Tag Archives: hamba

HIKMAH SEMBAHYANG LIMA WAKTU

Aktiviti Harian - Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Aktiviti Harian – Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Lima waktu sehari semalam Tuhan disembah
Dibesarkan, dipuja, dipuji, munajat dan meminta
Agar hati yang dilalaikan oleh kesibukan dunia,
terbangun semula
Supaya rasa bertuhan, rasa kehambaan hidup membara

Sembahyang lima waktu
adalah rahmat Tuhan kepada hamba-hamba-Nya
Agar manusia tidak terus lalai sepanjang masa
Hampir-hampir jiwa manusia lalai,
dengan sembahyang sedar semula
Tidaklah sampai mati, hingga tertutup pintu hati

Rasa bertuhan dan rasa kehambaan itulah mengawal manusia
Daripada melakukan kejahatan dan kederhakaan
Daripada berlalai-lalai dan daripada melakukan dosa
Kalau tidak manusia tenggelam terus-menerus dengan dosa dan durjana

Oleh itu dirikanlah sembahyang, jangan sekadar sembahyang
Sembahyang sahaja tidak menghidupkan jiwa
Mendirikan sembahyang menghidupkan jiwa yang buta
Inilah hikmahnya mendirikan sembahyang,
kelalaian tidak sampai mematikan jiwa

Apabila sembahyang didirikan ketika tiba masanya
Roh sembahyang itu tertanam di dalam jiwa
Rohnya itulah akan dibawa ke mana-mana
Semangat sembahyang itulah yang akan berperanan
di mana sahaja kita berada

25.10.2002 -Selepas Zuhur

RASA BERTUHAN PARA SAHABAT

sahabat

Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada di situlah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.

Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.

Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.

Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilek, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.

Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.

Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya (istidraj).

Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.

Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.

Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa beTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.

Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam. Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.

Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, “Oh tidak begitu,sekarang adalah lebih baik. Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.

Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.

Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.

HURAIAN AL FATIHAH – ALHAMDULILLAH

Jika ibu, suami atau isteri kita memanggil dan mengajak kita duduk bersama bertujuan hendak menghiburkan hati kita, mereka hendak berkongsi apa yang mereka ada. Begitulah dengan kalimah ayat kedua Al Fatihah – Alhamdulillahirabbil alamin. Segala pujian adalah untuk Allah, Tuhan seru sekelian alam. Tuhan meluahkan cintaNya dan hendak berkongsikan kebesaran-Nya dengan kita. Segala pujian ialah segalanya yang agung-agung, semuanya adalah kepunyaan Dia yang Maha Esa. Allah mengajar kita agar menafikan yang lain. Hanya DIA sahaja yang besar.Tuhan mendorong hambaNya supaya mencintai Dia yang Maha Hebat itu.

Al Fatihah sangat penting dijadikan rukun dalam sembahyang. Apabila para hamba memuji Allah dalam solat, Allah berkata begini, “Dengarlah malaikat bahawa hamba-hamba-Ku memuji Aku dalam sembahyang”. Setelah segala kepujian, segala kemuliaan dan keagungan itu dilafazkan, Allah mengingatkan lagi akan sifatNya yang Ar Rahman Ar Rahim. Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Maha Pemurah yang sangat agung kerana Dia Maha Pemberi, orang tidak minta pun Dia tetap memberi. Watak manusia ini sangat suka jika diberi hadiah. Tuhan sebenarnya berbuat kepada kita seperti itulah. Akulah yang paling Pemurah. Cuba kira berapa banyak yang Tuhan sudah beri kepada kita. Begitu sekalilah Allah hendak menyuruh kita cinta kepadaNya. Memang kalau kita faham, kita akan jatuh cinta dan rasa bahagia dan seronok, cukup dengan Allah dalam hidup ini.

Setelah kita hurai Bismillah, bahas dan nilai, barulah terasa munasabah selepas itu kita ucapkan Alhamdulillah, kita puji Tuhan. Setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan, tidak boleh hidup tanpa Tuhan, setelah kita terasa kita ini hambaNya yang patut merendah diri pada Nya,setelah kita rasa patut kita cintai dan takut denganNya, maka barulah sebut alhamdulillah itu. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah.

Selama ini kita puji Tuhan tetapi tidak terasa apa-apa. Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Lain sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak terasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, bila membaca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan syahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya.

“‘Segala puji bagi Allah’ Apakah ‘puji’ itu?

Erti Puji: Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (kalau orang) atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.

Bagaimanakan untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu? baiknya Tuhan, hebatnya Tuhan, maha kuasanya Tuhan, pemurahnya Tuhan dan maha agungnya Tuhan. Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu. Kalau Tuhan izinkan, katalah kita boleh hidup sejuta tahun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis. Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas. Kalau Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak cukup kerana ia tidak ada kesudahan. Maha Besar Nya Tuhan.

Patutlah selepas Bismillah, ialah alhamdulillah sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh berbuat begitu.Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan Nya, tidak akan ada titik noktah. Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian Alhamdulillah.

TUHAN SUKA KELUHAN ORANG YANG BERDOSA

Keluhan orang berdosa kerana dosa-dosanya
Tuhan amat suka
Lebih-lebih lagi gugurnya airmatanya
waktu menangis mengenangkan dosa-dosanya
memadamkan api Neraka
Takutnya kepada Tuhan kalau-kalau terbuat salah
atau takut tidak diampunkan dosa
adalah ibadah
Sedangkan orang beribadah
belum tentu jadi ibadah
Kerana ibadah itu mestilah dirasa oleh hati
di dalam ibadahnya
Penghayatan itu adalah kerja hati
Kalau fizikal sahaja yang nampaknya beribadah
hati tidak beribadah
tidak ada erti apa-apa dengan ibadahnya
Tuhan tidak pandang rangka
tapi pandang isinya
Rangka cantik macam mana sekalipun
tidak ada isi, tidak ada erti apa-apa
Rasa bertuhan dibawa ke mana-mana
ini adalah ibadah batin
Pahalanya sentiasa mengalir selagi ada rasa
Rasa hamba dibawa ke mana-mana
lemah dan tiada kuasa
adalah juga ibadah batin
Rasa hamba itulah sifat hamba yang sebenarnya
Janganlah sifat hamba itu ditukar
kepada sifat tuan atau ketuhanan
Itu sombong namanya
Dia ambil pakaian Tuhan dan dipakainya
Tuhan sangat murka
Sifat ketuanan adalah bangga diri, Tuhan benci
Siapalah kita manusia ini hendak rasa bangga
Takkan kita tidak sedar lemahnya diri manusia ini
Mengapa pula kita rasa ada kuasa dan bangga diri pula
Ini sikap orang yang tidak sedarkan diri
Takkan kita tidak sedar
bahawa kita ini dhaif dan lemah
Setiap saat kita perlukan bantuan
Bantuan oksigen, bantuan kesihatan
bantuan kerehatan
Bantuan-bantuan yang diperlukan itu
siapa yang empunya?
Takkan kita buat tidak tahu dari mana kita dapat
Kalau kita sedar ini semuanya
di dalam fikiran setiap masa
atau di dalam perasaan
itulah dia ibadah
IBADAH TANPA PERBUATAN
Ibadah batin atau ibadah rohaniah namanya
Perasaan itu atau kesedaran itu
adalah diberi pahala

Menjelang Asar
08-09-2004

BETULKAH IBADAH ITU AGAMA?

Sebuah kuliah untuk renungan kita semua.

Saya ini sudah 67 tahun umur. Orang tertua di kalangan kita. katalah 60 tahun dulu saya sudah faham apa erti agama, apa itu kebenaran, setidak-tidaknya sudah dengar. Kalau saudara-saudari mungkin 30 atau 40 tahun dulu tetapi saya agak lama. Katalah 7 tahun pertama terbuang begitu sahaja, kita ambil 60 tahun. Waktu itu terbayang oleh saya kalau ada orang berkata, “dia itu kuat beragama, dia itu baik orangnya, dia itu bagus orangnya” . apa yang terbayang oleh saya? Dia sembahyang, puasa, kalau ada duit dia pergi haji, hari Jumaat pergi masjid. Sekali-sekala sembahyang jemaah, mungkin sekali sekala kita dengar di berzikir dan baca Quran. Itulah yang saya terbayangkan. Saya tak terfikir waktu itu kalau orang kata polan itu beragama, tak tergambar dia pejuang, berakhlak baik, selalu memperhatikan jirannya, Tanya-tanya adakah makanan pada jirannya, kalau tak ada diberinya. Tak terfikir oleh saya, orang itu membayarkan hutang orang, sebab saya tak terfikir itu agama. Memaafkan orang, tolong orang. Kalau saya, duduk di kampung tentulah cara orang kampung, pergi bendang tolong orang buat bendang. Tak terfikir. Yang terfikir bila dikata beragama sembahyang, puasa, naik haji, pergi ke masjid sekali-sekala sembahyang jemaah. Masa itu tak faham apa itu taqwa.

Itulah gambaran 60 tahun dulu dan sebelumnya sebab Islam sudah rosak 700 tahun dulu. Sejak 700 tahun bila dikatakan orang beragama dia itu perjuang Islam tak adalah. Fikir dan tolong jiran, tak ada. Sekarang nak bahas bila dikatakan agama itu hanya ibadah saja. Kalau yang ibadah sahaja sudah betul-betul diagamakan itu dah cukup baik. Sebab, orang masa itu tak terfikir beragama itu ialah berjuang dan berjuang itu dianggap ibadah, itu tak terfikir. Pergi jala ikan dapat ikan bagi jiran itu tak dianggap agama, saya buat contoh sesuai dengan alam saya di Pilin 60 tahun lalu. Kalau ibadah itu sahaja agama, maka kita lupakan aspek-aspek lain. Betulkah ibadah itu agama seperti yang dimaksudkan. Kita anggap, ibadah yang dibuat orang-orang 60 tahun dulu itulah yang dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat sampai dapat syahid. Sahabat-sahabat sampai ke negeri Cina, samakah ibadah yang dibuat sekarang dengan mereka buat? Marilah kita kaji. Betulkah ibadah itu agama? Betulkah ibadah itu Islam? Ibadah itu apa? Itu tugas. Bila dikatakan ibadah, ta’abbud. Itu sifat orang. Ada yang lahir ada yang batin. Orangnya, hamba. Sebab itu Tuhan katakan “tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku”. Rupanya kita beribadah itu sebab kita hamba Tuhan. Hamba Tuhan mesti memperhambakan diri kepada Tuhan. Sebab kita hamba.

Rasa hamba itu apa? Rupanya agama itu kita kata ibadah, itu dari Tuhan. Jadi Tuhan ajar manusia nak hambakan diri kepada Tuhan itu macamana, Tuhan tunjuk jalan supaya nak hambakan diri pada Tuhan. Buat masing-masing sebab rasa kehambaan itu fitrah. Jadi kalau nak dikembalikan kepada fitrah itu, dia sembah-sembah agak-agak,rasa hamba sudah ada, Tuhan dia sudah yakin. Macamana nak besarkan Tuhan. Oleh kerana dia tak dapat jalan dari Tuhan dia ikut rasa sendiri. Niatnya baik tapi cara tak baik, sebab ibadah direka-reka. Sebab itu Tuhan faham bila hamba Tuhan masukkan ke dalam hati mereka rasa kehambaan itu fitrah, supaya jangan direka-reka, kalau nak sembah aku, begini, begini, begini, begini, begini. Jadi bagi orang yang dapat petunjuk dari Tuhan, setidak-tidaknya ibadah lahirnya betul. Tetapi Tuhan sebenarnya tak nak yang lahir, yang lahir itu dibuat hanya untuk guide yang dalam. Tetapi setidak-tidaknya kalau tak dapat yang batin, yang lahir ikut samada bacaan, perbuatan sudah betul. Kalau itu yang dikatakan ibadah belum jadi lagi. Itu sebagai satu simbol atau isyarat bagi yang dalam.

Sebab kalau kita buat contoh dengan selain Tuhan, supaya orang itu boleh teringat seseorang atas dasar kehebatannya, peranannya, istmewanya, kena sebut orang itu, bila sebut nampak macam-macam, kalau tak diingatkan tak nampak. Ibadah lahir setakat itu sahaja. Katalah kita ada raja, takkan tiap hari kita ingat raja, mungkin setahun sekali waktu nak sambut harijadi dia, orangpun sebut, kerajaan sebut, kenapa sebut? Bukan atas dasar sebut itu saja! Itu sebenarnya nak mengingati ada benda lain yang patut dia sedar. Katalah Raja Selangor, menyebut sifat lahirnya supaya dapat teringat padanya, tetapi kalau setakat itu sahaja, tak nampak benda-benda lain, sebab itu perlu ingat dulu. lepas itu baru nak geledah. Macam kita ingat seorang perempuan, kita hayati, ingat saja dia, menggeledah. Matanya nampak, telinganya nampak, senyumnya nampak. Jadi bermula dari teringat itu baru mula menggeledah. Kalau saya tak buat tamsil macam ini mungkin tak senang untuk faham ibadah, Ini contoh. Kalau begitu, rupanya nak abdikan diri pada Tuhan, nak rasakan apa yang ada pada Tuhan. saya buat misal raja, kalau kita kenal raja itu setakat dia kaya, tinggi orangnya, pemarah orangnya. Had itu sahaja. Bila sebut raja selangor, nampak tiga sifatnya. Walaupun nampak tiga, sebab tiga benda itu ada padanya. Tapi kalau sebut raja selangor tak nampak yang tiga, tak kenal, tak betul. Bila sebut saja nampak yang tiga itu, itu betul.

Jadi kita disuruh ibadah dengan Tuhan menghadirkan diri kepada Tuhan nak merasa apa yang ada pada Tuhan. kalau kita beribadah pada Tuhan kita sebut Tuhan ingat Tuhan, sebut Allah teringat ada Allah. Had itu sahaja dia tak terasa apa yang ada pada Tuhan, itu bukan ibadah, itu bukan ta’abud. Jadi Ibadah yang dimaksudkan liya’buduun. Seolah-olah Tuhan berkata begini “tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada Aku” yaitu engkau merasa apa yang ada pada-Ku. Kalau Aku berkuasa engkau terasa Aku berkuasa, kalau Aku itu hebat”, engkau terasa Aku hebat, kalau teringat saja Aku, Aku itu agung maka terasa keagunganKu, kalau “Aku menentukan nasib kamu”, sebut sahaja Tuhan engkau rasa Aku Tuhan yang menentukan nasib engkau. Sebut sahaja nama Aku rasa akan Aku menghidupkan, mematikan, nasib engkau Aku yang tentukan. Sebut saja nama Tuhan, terasa kun fayakun, bila sebut “Mati!”, Mati. Bila sebut “Hidup!”, hidup. Bila sebut “Binasa”, binasa. kalau T kata “Gunung runtuh.”, Runtuh. Bila sebut “Dunia Kiamat.”, Kiamat. Aku nak engkau rasa itu. Jadi kalau ibadah, sembahyang, puasa, baca Quran, berwirid, tak terasa apa yang ada pada Tuhan, itu bukan ibadah, rasa kehambaan tak ada, rasa Kuasa Tuhan itu tak ada.

Kalau begitu yang dimaksudkan ibadah dengan sembahyang saja meniti di atas makna untuk membantu meneroka di dalam, sebab itu bacaan-bacaan dalam ibadah sembahyang itu kena faham. sebab itu membantu meneroka ke dalam. Kalau wirid zikir, sembahyang, puasa tak faham makna, macamana nak meniti lebih dalam lagi. Kalau begitu apa yang kita nampak selama ini bila dikatakan orang itu baik beragama, sembahyang, baca Quran, baca Yaasin, naik haji dah tak sesuai dengan konsep ibadah. Jadi ibadah yang masih ada pada orang Islam itu yang dimaksud agama jadi sudah bukan agama. Kalau itu jadi ibadah boleh tahan, artinya asas Islam masih ada. Tapi kalau dikatakan agama itu ibadah sudah tidak jadi ibadah artinya 700 tahun umat Islam mati terjun ke neraka (3X) yang selamat bilangan jari saja. Kenapa ? Ibadah yang dikatakan agama itu pun konsepnya sudah berubah, peranan nya sudah berubah, ibadah tak jadi ibadah, tak payah dihayati, makna pun tak tahu, ini ajaib. Ibadah itu nak rasa hamba, nak rasa kebesaran yang ada pada Tuhan. kalau maknapun tak tahu itu bukan ibadah, padahal tahu makna itu belum tahu lagi nak hayati. Tapi membantu untuk rasa, kalau makna yang membantu untuk rasa itupun tak tahu artinya ibadah yang dikatakan agama itu tak jadi agama, sudah 700 tahun.

Betul tak kalau kita rasa nak buat ibadah 30 atau 40 tahun dulu, tak tahu makna tak apa yang penting hafal dulu. Kedua lebih-lebih lagi nak rasa kita beribadah apa yang ada pada Tuhan, kalau Tuhan itu hebat nak rasa Tuhan itu hebat itu lagi tak ada. Kalau wirid zikir lagilah, sembahyang yang penting pun tak dicerita konsep sebenar yang lain lagi kecil. Rupanya umat Islam yang masih beragama yang masih beribadah kepada Tuhan pun masih tidak jadi ibadah.

Apa yang kita dengar bila ibadah kita nak minta sesuatu dari Tuhan. tak terfikir aku beribadah aku nak minta sesuatu dari Tuhan. kita faham sembahyang nak pahala, itu bukan ta’abbud. Bila kita puasa minta fadhilat dari Tuhan, padahal kita beribadah, Tuhan nak sesuatu dari kita. konsep ibadah pun dah terseleweng. Seolah Tuhan berkata begini engkau sembahyang sembah Aku, aku nak tagih janji engkau takut dengan Aku. Ini tak kita tagih fadhilat dari Tuhan, itu hak Tuhan mengapa nak tagih hak Tuhan padahal Tuhan nak dari kita sudahkah kita tunaikan?

Saya buat contoh: katalah di kampung kita ada orang kaya, pemurah ataupun ada raja pemurah, orang besar yang pemurah setiap tahun atau setiap bulan dia beri hadiah. Dia beri itu ada syarat, orang kampung pun pergi nak ambil. Dia punya syarat siapa yang dapat buat begian-begian aku akan beri hadiah. Ada syarat. Orang kampung itu nak hadiah mesti tunaikan syarat. Kita nak hadiah kenapa tak tunaikan syarat mengapa?. Jangan fiikirkan hadiah, tapi fikirkan syaratnya. Begitu juga Tuhan , nak dapat fadhilat bila kita dapat tunaikan syarat-syaratnya. Dengan kata lain Aku akan beri hadiah kepada kamu bilamana kamu bertaqwa atau tidak. Dari sembahyang dan ibadah kamu, kamu jadi jadi orang bertaqwa atau tidak? Ada tuntutan Tuhan dari kita dahulu baru dapat. Kita nak dapat dari Tuhan kena fikir dari kita apa? Begitu juga puasa di bulan Ramadhan. bila dapat ditunaikan tuntutan kepada Tuhan, baru dapat hadiah. Dengan kata-kata lain segala fadhilat Ramadhan, sembahyang, puasa, baca Quran, wirid zikir kalau bertaqwa atau tidak, kalau bertaqwa jangan susah hati otomatik dapat. Soalnya kamu bertaqwa atau tidak, kalau tak taqwa fadhilat pun tak dapat, pernahkah kita diajar begitu selama ini? Selama ini kita belajar kalau buat ini dapat ini. Pernahkah kita diajar bila buat ibadah begini perasaannya begini, bila buat ibadah begini perasaanya begini. perasaan itulah taqwa, itulah ibadah, itulah rasa kehambaan, itulah rasa bertuhan,. Kalau rasa-rasa itu tak ada, fadhilat-fadhilat itu apa ertinya. Tak ada erti apa-apa. macam seorang raja, lebih-lebih lagi raja sombong dengan kebesarannya. kalau rakyatnya berhadapan dengan dia, apa yang dia suka. Kalau seorang datang dengan rasa takut raja suka, kalau datang dengan cekak pinggang kena halau. Buat kurang ajar depan raja. Begitu juga depan Tuhan, Raja segala raja lebih-lebih lagi.

Setelah kita bahas ibadah yang dikatakan agama itu, siapa beribadah dengan baik rupanya tak jadi ibadah. Pergi haji tak jadi ibadah, buat umrah tak jadi ibadah, tertipulah kita selama 700 tahun. jadi Ibadah itu yang Tuhan mahu rasanya sesuai dengan kebesaran Tuhan apa yang ada pada Tuhan. apa yang ada dia nak kena rasa, kalau Tuhan Besar terasa kebesaran Tuhan. kalau Tuhan beri rezeki terasa Tuhan beri rezki, bila sihat terasa Tuhan yang beri sihat bukan doktor. Nampaknya ibadah yang bersifat agama pun tak jadi ibadah. Kalau selama ini orang yang beribadah dianggap orang baik rupanya tak baik, orang jahat. Orang macam itu berjuta-juta mati sebenarnya dia orang jahat, beribadah tapi tidak beribadah (sebenar).

Apakah itu ibadah dia sedikit tapi terasa, biar sedikit tapi menghayati.

Call Now
Directions