Tag Archives: kekayaan

KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA

Di dalam kehidupan di dunia ini ada kekayaan lahir , ada kekayaan batin dan kedua-duanya adalah anugerah ALLAH. Semestinya pula ada peranan dan falsafahnya. Oleh kerana kekayaan menjadi idaman semua, bila sebut kaya, kita rasa seronok, rasa bangga, rasa puas. Setiap kekayaan ada racunnya, ada implikasi, maka hendaklah kita tahu kekayaan macam mana yang boleh menyelamatkan dan kekayaan macam mana yang boleh merosakkan, mesti ada tanda baik, mesti ada tanda buruk. Ada bawa bahagia,ada bawa kesengsaraan. Ada awalnya baik tetapi hujungnya menderita. Kita tidak dilarang memburu kekayaan, jangan kata agama Islam melarang cari kekayaan tetapi yang penting kita ada ilmu mengenainya.

Bila disebut sahaja kekayaan, yang cepat dingat dan difokus ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Manusia memburu dan mencari… tak ada wang dan harta tak kaya namanya. Tak terfikir akan kekayaan selain harta dan wang ringgit. Kalaupun ada yabg terfikir bahawa kekayaan itu bukan semata-mata harta dan wang ringgit, tetapi aspek ini kurang diminati, kurang diperbualkan, kurang diperkatakan oleh manusia…tak jadi igauan. Ini menunjukkan di antara fitrah semulajadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan yang sangat menjadi tarikan dan minat adalah kekayaan harta dan wang ringgit. Sehinggakan budak kecil pun terpengaruh dengan wang ringgit…lihatlah suasana di Hari Raya di mana budak-budak kecil asyik mengira duit raya mereka. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia. Akhirnya manusia sibuk mengumpul harta macam Qarun… bila jumpa kawan-kawan,tanya ada projek ke ?

Dalam pengalaman kehidupan manusia kita lihat manusia bertungkus lumus, bekerja keras mencari harta dan wang ringgit, lebih dari yang lain… tetapi dalam mencari Tuhan mereka tak bekerja keras pula macam mencari harta sedangkan yang dicari itu Tuhan yang punya. Ada yang mencari harta sampai lupa Tuhan,sampai lupa sembahyang. Orang kaya raya seperti Onassis pun mati. Dalam belajar mencari ilmu pun ingat nak gaji tinggi, nak jadi kaya . Nak berkawan pun ada niat nak jadi kaya. Hingga nak berkahwin pun adakalanya nak cari harta juga. Begitulah kuatnya pengaruh kekayaan harta dan wang ringgit kepada manusia.

1.JENIS-JENIS KEKAYAAN
Yang sebenarnya kekayaan dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja semata-mata. Banyak lagi kekayaan-kekayaan lain yang jarang diperkatakan manusia. Bahkan ada kekayaan lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan jenis-jenis kekayaan manusia:-
1.Kaya wang ringgit dan harta
2.Kaya ilmu dan pengalaman
3.Kaya dengan anak-anak
4.Kaya dengan pengikut
5.Kaya jiwa
6.Kaya budi bahasa
7.Kaya kawan dan kenalan

KAYA WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Disini ada dua golongan manusia:

1.Golongan yang mencari harta yang halal semata-mata.

2.Golongan yang mencari harta tak kira halal dan haram, semuanya disapu belaka. Apa saja yang boleh mendatangkan kekayaan dibuat. Contoh: berjudi, arak, menipu, menerima rasuah, membuka disko dsbnya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan sesuai dengan fitrah manusia itu tetapi dengan beberapa syarat: (Sila ambil perhatian bahawa perbincangan ini adalah untuk orang Islam. Sebab kalau kita tak cukup ilmu, dari kekayaan yang halal akan jadi haram)

1.Mencari kekayaan hendaklah secara yang halal; bertani, berniaga, mengajar dsbnya.

2.Bila dah guna cara yang halal, kemudian dah jadi kaya dan cukup haulnya (tempoh masa) kenalah diberi
zakat. Kalau tak beri zakat, harta yang halal tadi dah jadi haram pula.

3.Bila dah kaya, hendaklah bersifat pemurah, rajinlah bersedekah. Kita tanam padi, padi yang lebih yang
dimakan binatang, kita niat sedekah.

4.Harta kekayaan yang kita perolehi hendaklah kita gunakan ke jalan ALLAH untuk menyelamatkan diri daripada
kemurkaan ALLAH…menutup aurat, bangunkan rumah  ibadah, bukan masjid sahaja tetapi juga bangunkan
sekolah, hospital, rumah anak yatim dll.

5.Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta dengan tidak menentu. Pengurusan harta hendaklah
dengan betul. Seeloknya kita jadi ‘bank’ kepada  masyarakat…kita beri sedikit-sedikit, macam dam atau empangan air; kita buka saluran air dengan kecil, supaya tak jadi bah atau banjir besar.

6.Kekayaan yang kita perolehi tidak digunakan untuk maksiat dan menderhakai ALLAH. Cuba beli dari kedai
orang Islam. Tak usahlah beli majalah-majalah yang tak senonoh.

7.Dalam mencari harta kekayaan, jangan sampai meninggalkan perkara-perkara yang asas dalam Islam
seperti jangan sampai tak sembahyang, tak puasa, tak naik haji.

8.Sebagai orang yang kaya harta dan wang ringgit kita kena tunaikan wajib yang aradhi (wajib yang datang
kemudian) contoh: pada suatu masa masyarakat Islam perlu buat sekolah atau masjid, kewangan tak cukup,
masyarakat umum tak mampu, maka orang kaya (orang yang ada duit lebih) di kalangan mereka kena tanggung
kewajipan ini.

Sekiranya syarat-syarat yang diatas dipenuhi barulah harta dan wang ringgit yang kita punyai dikira halal…jadi bila kita nak kaya kenalah pasang  niat…bila kaya nanti saya nak bayar zakat, nak bagi diskaun dekat pelanggan, nak bantu orang susah, nak tolong ibu bapa dll. Kalau kita tak ada ilmu macam mana kita nak pasang niat.

Selalunya sikap orang kaya Islam, majoritinya apa yang berlaku dalam sejarah tidak bersykur kepada ALLAH dan
mereka membuat perkara-perkara seperti dibawah:-

1.Selalunya mendapat kekayaan tidak kira halal dan haram.
2.Sombong dengan Tuhan dan manusia
3.Bakhil dan kedekut
4.Menjadi orang yang tamak yang rasa tidak cukup.
5.Lalai dengan ALLAH seperti cuai dengan syariatNya.
6.Tidak mengeluarkan zakat.
7.Menyalah-gunakan kekayaan dengan memberi rasuah.
8.Apatah lagi hendak bertanggungjawab dengan
keperluan-keperluan masyarakat Islam yang aradhi
sudah tidak berlaku.Kalaupun ada bantuan, ada udang
disebalik batu.

Mari kita sama-sama suluh-suluh diri kita… apa yang kita lakukan selama ini dah ikut syarat atau belum? Kalau tak cukup syarat, sudah tentu tak selamat diri kita dan juga orang-orang lain di bawah tanggungan kita. Nanti di Akhirat sudah tentu kita terhukum…akibat tak cukup ilmu dan tak faham syariat.

 

KEKAYAAN, KESENANGAN, KEMEWAHAN ADALAH SEKEJAP – YANG LAMA ADALAH PENDERITAAN DAN KESUSAHAN

Mari kita sama-sama menerima peluang rezeki umur dan bermacam pengalaman yang Allah berikan kepada kita untuk menyaksikan berbagai perkara di dunia. Banyaklah yang boleh diambil iktibar. Rupa-rupanya ada perkara yang kita fikirkan di masa muda, secara realitinya tidak dapat kita lakukan. Tuhan telah tetapkan segalanya.

Sebagai contohnya ialah soal mencari kesenangan. Siapa pun memang mempunyai cita-cita hidup senang lenang, kaya raya dan sebagainya. Cuma kita dapati biasanya hal sebegitu tidak lama. Kalau pun sudah berhempas pulas berusaha sejak muda, hanya taqdir Tuhan yang akan berlaku. Kadang-kadang kita lihat dalam berusaha mencari kesenangan – untuk keluarga dan anak cucu – tanpa mengira halal haram semuanya di rempuh asalkan dapat apa yang diharap-harapkan. Bila kekayaan sudah melimpah ruah, baru hendak berehat dan santai, datang pula berbagai masalah baru. Sebenarnya masalah ini wujud sejak awal usaha mengejar dunia.

Ditipu, dirompak, difitnah, dituduh di mahkamah, kerugian, perceraian, kematian anak atau isteri, menderita sakit, sakit jiwa dan berbagai ragam masalah lagi adalah ‘pakej’ ujian yang datang silih berganti. Inilah yang lumrah terjadi. Ianya sangat menginsafkan betapa dunia itu sangat menipu. Kadang-kadang kelihatan tidak ada apa-apa tetapi setelah kesenangan yang dikejar begitu lama, bila sudah dapat, rupanya ada masalah lain yang menanti bersama kesenangan. Banyak kesusahan yang tersembunyi di sebalik kesenangan. Itulah yang malangnya,.

Kita boleh lihat ramai tokoh gerakan Islam di Malaysia yang berkata umat Islam mesti kaya untuk bela Islam. Maka mereka pun berusaha dengan berbagai cara – yang halal dan haram – demi memastikan mereka jadi kaya. Dan untuk membolehkan kekayaan itu menjadi tapak membangunkan ‘Islam’ yang dicita-citakan, maka mereka memujuk anak-anak untuk bersekolah di mana-mana sekolah Islam. Yang hantar ke sekolah tahfiz pun ramai. Asalkan sianak mahu belajar, siayah akan sangup menghantar mereka ke mana sahaja.

Ada seorang tokoh yang ada cita-cita Islam, 30 tahun lalu berfikiran seperti apa yang dinyatakan ini. Anaknya 3 orang dihantar ke sekolah tahfiz. Si ayah sibuk menguruskan dunia korporat – mengejar dan merebut peluang demi peluang. Kesibukan mengurus perniagaan yang makin berkembang menjadikan dia lupa niat awalnya. Dunia korporat yang dikejar. Empayar perniagaan dikembang biakkan dengan pelbagai bidang operasi di bawah anak-anak syarikat. Maka akhirnya anak-anak tidak sempat habis belajar. Mereka dipanggil pulang untuk membantunya menguruskan perniagaan. Cita-cita mewujudkan sekolah tahfiz yang serba lengkap – hasil kekayaan yang ada – tidak kesampaian. Apa yang dicita-citakan dulu hanya mampu wujud dalam hatinya di peringkat awal; apabila masa berlalku, dunia yang melingkari hidup berjaya mengubah cita-citanya ke arah membina empayar perniagaan – tidak lagi ’empayar perjuangan.

Ada seorang tokoh lagi, sibuk dengan usaha perniagaan yang datang tergolek di depan mata. Anugerah kontrak daripada rakannya seorang menteri menjadikan cita-cita untuk bangunkan sebuah pusat kebajikan golongan tua terhenti begitu sahaja. Kesibukan berniaga dan peluang yang sentiasa datang menjadikan dia tidak ada masa memikirkan cita-cita awalnya. Sedangkan niatnya berniaga adalah untuk mencari sumber kewangan bagi membantu golongan warga emas yang ramai terlantar dan terbiar.

Ada pula seorang hamba Allah yang sombong bila sudah kaya raya. Belajar dulu sama-sama di Al-Azhar tetapi setelah balik dan terlibat dalam politik, tawadhuknya hilang. Pura-pura dan menipu menjadi budaya. Dia sempat kaya dan senang lenang dalam masa 8 tahun sahaja. Nafsu tentulah belum puas tetapi 8 tahun itu sudah lama mengecap nikmat dunia. Apa yang berlaku, isterinya meninggal dunia. Dia berkahwin lain. Anak-anaknya ketandusan kasih sayang yang akhirnya terjebak dengan dadah. Kalau dulu dia bergelut mencari dunia, sekarang dia bergelut menguruskan 2 orang anak lelaki yang sudah ketagih dadah. Sudah beberapa kali ditahan polis kerana ditahan di pusat hiburan dan bila diuji air kencing mereka didapati positif dadah. Dia malu dan menderita. Hidupnya kehilangan bahagia.

Apa yang kita nampak, kekayaan dan kesenangan itu hanya beberapa tahun sahaja. Janganlah tersilap menganggap masa yang sama dia juga bahagia; sememangnya dia tidak bahagia sedari awal. Orang yang bergelut dengan dunia tidak menempuh bahagia yang hakiki. Senang lenang yang ditempuh tidak bersama bahagia di hati. Hati yang makin kosong, menjadikan hubungan dengan Tuhan makin longgar. Sembahyang sudah tidak dipentingkan. Jadi ‘kesenangan’ hanyalah sementara. Selepas itu bersedialah pula menerima giliran kesusahan.

Ada berbagai pakej kesusahan yang Tuhan sediakan untuk dirasai setiap insan. Bukankah pergiliran nikmat dan ujian itu adalah janji Tuhan?

Ada seorang wanita korporat bergelar Dato’ yang berjaya. Hartanya berjuta ada di mana-mana. Kekayaannya juga tidak lama. Hasil hubungan baik dengan pihak tertentu banyaklah peluang yang berjaya direbut. Tetapi jangka masanya menempuh kekayaan itu tidaklah lama. Hanya 10 tahun dia merasa mencapai kemuncak ‘kejayaan dan kekayaan’. Tahun ke sebelas, dia disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Seorang ustaz dibawa suaminya untuk membaca surah Yasin dan mendoakannya. Dato’ ini sedang duduk di kerusi roda. Air matanya mengalir di pipi. Wajahnya pucat, rambutnya tidak terurus. Dato’ ini hanya menggagahkan membuka mulut dengan berkata. “Ustaz! tolonglah saya Ustaz, Saya sekarang sudah tidak fikirkan apa lagi. Semua yang saya miliki, sudah tidak ada ertinya pada saya. Saya insaf Ustaz!! Saya hanya minta satu perkara sahaja dengan Allah Taala… Saya minta saya disihatkan semula. Saya sangat berharap Tuhan sembuhkan penyakit saya ini. Tolonglah doakan saya Ustaz!!”

Selepas 3 hari, Dato’ ini meninggal dunia di hospital yang sama. Dia ada berjanji akan membantu siapa sahaja selepas dia sihat nanti. Dia menyesal selama ini melanggar perintah Allah. Dia berazam mahu menebus kesalahannya yang lalu. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana Tuhan maha tahu.

Jadi bagi anak cucu yang terfikir hendak mengejar dunia, renungilah semula kisah-kisah tadi. Dunia akan menjauhkan kita dari Tuhan dan akhirat. Dunia akan melalaikan kita. Bukan tidak boleh tetapi siapa yang berani bolehlah cuba tetapi janganlah menyesal seperti mereka yang lain menyesal. Lagi pula, tidaklah lama mengecap kesenangan kerana ada banyak kesengsaraan lain pula yang datang beriringan.

Lihatlah rumah-rumah besar dan mahligai indah di sekeliling kita. Ada yang usang ada yang masih gagah tersergam. Semuanya pernah dan sedang diduduki orang-orang kaya dan berada. Mahligai usang dan lesu itu tentulah sudah tiada penghuninya. Dunia yang dikejar akhirnya terpaksa ditinggalkan bila nyawa ditarik malaikat maut. Mahligai yang masih gagah pula hanya menunggu hari ditinggal pergi.

Mengejar dunia, rosaknya di semua segi, di hujungnya sengsara. Mengejar Tuhan, dapat akhirat yang kekal abadi yang segalanya nikmat kebahgiaan. Inilah tujuan kehidupan.

Di Palembang, seorang wanita pegawai tinggi Tentera Negara Indonesia (TNI) bertemu dengan seorang ustazah. Dia menitiskan air mata ketika memberi ucapan meluahkan rasa hatinya. “Saya tercari-cari tujuan dan matlamat saya hidup di atas muka bumi ini. Adakah sekadar belajar sampai ke universiti, berkahwin, bekerja, mempunyai anak, sakit dan kemudian mati. Saya tidak mahu hidup yang sebegini. Ini hidup yang tidak ada maknanya! Saya mahu hidup yang ada tujuan – kenapa saya dihidupkan Tuhan?”

Luahan hatinya dijelaskan oleh ustazah bahawa hidup kita adalah untuk Tuhan. Bukankah kita dihidupkan oleh Tuhan? Bukankah kita selalu ungkapkan dalam solat, ikrar dan janji kita untuk menyerahkan segala-galanya yang ada kepada Tuhan yang mencatur alam. Jadi kenapa kita tidak jadikan hidup mati kita untuk Tuhan?. Hidup kita adalah Hidup sebagai seorang hamba dan khalifah, sebagai seorang abid dan pejuang.

Percayalah jika kita jadikan Tuhan sebagai matlamat, hidup kita akan penuh dengan aktiviti yang tidak memungkinkan kita bersenang-senang atau santai-santai. Kita akan temui satu kehidupan yang penuh dengan program untuk membesarkan Tuhan. Setiap ruang waktu kita adalah ibadah. Dalam kehidupan kita seharian, kita kena promosi Tuhan di tengah masyarakat. Kita kena wujudkan aktiviti atas nama Islam untuk memperlihatkan Islam itu hebat, gagah, kaya dan berwibawa. Inilah maknanya kehidupan seorang mukmin. Dia mesti aktif dan berperanan sebagai seorang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dan dalam masa sama, dia juga seorang yang aktif bekerja untuk Islam, untuk Allah dan Rasul. Dia akan sanggup berkorban apa saja demi untuk menjayakan cita-cita ini.

Ibu beranak dua ini meninggalkan majlis dalam keadaan hatinya sudah puas menerima jawapan yang dicari-cari selama ini. “Saya telah bertemu dengan apa yang saya cari. Inilah kebenaran dan Insya Allah, saya akan turut serta memperjuangkannya!!”

APA ITU MEMBAZIR?

Di dalam Al Quran dikatakan
Orang yang membazir
Tuhan mengatakan mereka itu
Adalah kawan-kawan syaitan,
Disini kita faham,
Membazir itu sangat dibenci Tuhan,
Sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”,
Mari kita belajar apa itu membazir?
Erti membazir itu menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan,
Kalau begitu mensia-siakan nikmat Tuhan banyak aspeknya
Yang perlu kita faham,
Membazirkan nikmat Tuhan
Ada yang bersifat fizik,
Ada yang bersifat maddi,
Ada yang bersifat maknawi,
Ada yang bersifat rohani,
Ada yang bersifat masa,
Aspek-aspek itu kalau kita tidak gunakan untuk Tuhan
Dikatakan membazir,
Membazir itu kita ulang lagi
Iaitu menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan,
Mari kita menghurai aspek-aspek nikmat Tuhan
Yang dikatakan mensia-siakan nikmat Tuhan itu supaya lebih difaham,
Mana satukah nikmat Tuhan yang kita sia-siakan?
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan,
Pertama: katalah nikmat yang bersifat maddi itu,
Orang itu tidak menggunakan kekayaannya
Atau hartanya atau wang ringgit untuk Tuhan,
Itu dianggap membazir,
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan,
Kedua: di aspek fizik pula,
Seseorang yang menggunakan tenaganya bukan untuk Tuhan,
Seperti untuk memukul orang,
Bukan untuk berjuang atau untuk rehat atau tidur,
Tidak untuk ziarah orang,
Tidak digunakan untuk ziarah ibubapa,
Tidak digunakan untuk belajar,
Ertinya dia membazir tenaga,
Dia dikatakan kawan syaitan,
Ketiga: ada yang bersifat maknawi,
Seperti akal fikiran atau ilmu,
Kalau tidak digunakan untuk Tuhan,
Maka dianggap membazir kerana mensia-siakan nikmat Tuhan,
Keempat: di aspek masa,
Kalau Tuhan beri dia masa,
Katalah orang itu hidup lima puluh tahun,
Tuhan bagi masa lima puluh tahun,
Masa lima puluh tahun tak digunakan untuk Tuhan
Ertinya dia telah membazir masa yang Tuhan bagi,
Tidak digunakan untuk Tuhan,
Maka orang itu juga kawan syaitan.
Kelima: di aspek rohani,
Seseorang itu rohaninya tidak digunakan untuk Tuhan,
Dikatakan orang itu membazirkan nikmat Tuhan bentuk rohani,
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan.
Seperti perasaan kalau
Tidak digunakan untuk Tuhan
Tidak terasa kuasanya Tuhan
Tidak terasa takutnya dengan Tuhan
Tidak terasa cinta dengan Tuhan
Tidak terasa diawasi oleh Tuhan
Maka orang itu sudah membazir nikmat Tuhan
Maka orang itu dikatakan kawan syaitan.
Kalau begitu mensia-siakan nikmat Tuhan,
Bukan harta saja,
Bukan semua orang banyak harta,
Tapi mensia-siakan akal, fikiran, ilmu, masa, perasaan,
Orang tak kata membazir
Sedangkan makin lama hidup,
Makin lama nikmat itu disia-siakan,
Kalau tak digunakan nikmat untuk Tuhan,
Maka orang ini juga adalah kawan syaitan.
Ada orang anggap di segi harta sahaja,
Orang membazir masa lagi banyak,
Orang membazir akal lagi banyak,
Orang membazir ilmu lagi banyak,
Orang membazir perasaan lagi banyak,
Perasaan digunakan untuk sedih,
Sedih kerana miskin,
Sedih kerana orang benci,
Sedih kerana sakit,
Sedih dengan dosa,
Sedih dengan orang kata, hina, caci maki,
Tapi jarang orang gunakan perasaan untuk Tuhan
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan, Tuhan itu mengawasinya,
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan takut dengan Tuhan,
Cinta dengan Tuhan,
Jarang orang gunakan perasaan untuk merasakan Tuhan itu Maha Agung,
Kalau seseorang itu tidak menyebut Tuhan itu Maha Agung,
Tapi perasaannya terasa Agungnya Tuhan
Adalah lebih baik daripada seseorang yang menyebut Tuhan itu Maha Agung
Tapi perasaannya tidak terasa Agungnya Tuhan,
Jarang orang gunakan perasaan untuk rasa berdosa,
Dalam ajaran Islam kalau tidak berdosa, tidak rasa berdosa pun salah,
Betapalah kalau berdosa tidak rasa berdosa,
Jadi orang yang mensia-siakan harta, sedikit sahaja,
Tapi akal, fikiran, ilmu, perasaan, masa lagi banyak,
Makin panjang umur makin banyak masa disia-siakan,
Makin panjang umur makin banyak ilmu disia-siakan,
Makin panjang umur makin banyak akal fikiran disia-siakan
Makin panjang umur makin banyak perasaan disia-siakan,
Nikmat disudut-sudut itu
Orang banyak mensia-siakan selama ini,
Sedangkan itu juga kawan syaitan,
Mereka mungkin nampak hanya
Pada nasi yang tumpah,
Mereka kata:
“Jangan membazir, membazir itu kawan syaitan”
Tapi masa yang disia-siakan,
Akal fikiran yang disia-siakan,
Ilmu yang disia-siakan,
Perasaan yang disia-siakan,
Itu tidak dianggap membazir,
Jadi apa yang ulama katakan membazir itu
Tidak secara global.
Padahal membazir nikmat Tuhan itu disemua aspek tadi,
Barulah dikatakan membazir yang global,
Membazir harta itu sedikit,
Yang banyak berlaku membazir ialah
Pada akal fikiran, ilmu, perasaan dan masa.

14.07.06
11.05 mlm

Call Now
Directions