Tag Archives: Mati

NASIHAT IMAM AL-GHAZALI

Pada suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau mengajukan 6 pertanyaan.

Pertanyaan Pertama, ”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, kawan-kawan ,dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu betul, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

Pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah betul. Tapi yang paling betul adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kendaraan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Pertanyaan yang ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, lautan dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al A’Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan ke empat, “Apa yang paling berat di dunia ini?”. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban itu benar, kata Imam Ghazali. Tapi yang paling berat adalah “memegang AMANAH” (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup menyambut permintaan Allah SWT,sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

Lantas pertanyaan ke enam, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah,  manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

ORANG YANG CERDIK ADALAH ORANG YANG BANYAK MENGINGATI MATI

https://i2.wp.com/www.usahataqwa.com/wp-content/uploads/2010/10/alam-barzakh.jpg

Kita masih dan sedang merancang hendak besarkan lagi rumah yang sudah besar. Sedang berkira-kira hendak ambil loan untuk dapat kereta baru. Bersuka-suka dengan perempuan yang tidak halal. Ingin bahkan rebut jawatan, pangkat, gaji besar supaya dapat berbangga, menunjuk-nunjuk, bermewah-mewah. Gila puji, gila dunia, sombong, takabur, dengki, dendam, bakhil dan macam-macam lagi sifat jahat lahir mahupun batin yang kita jadikan mainan hidup kita.

Walhal kalau kita sedar dan rasa yang kita akan mati, tentulah semua kejahatan itu dapat kita elakkan. Tentu rumah yang ada sudah cukup, bahkan mungkin hendak dikecilkan lagi, sebab takut dihisab nanti. Tentu tidak ambil riba lagi dan tidak bantu bank-bank riba. Bahkan duit-duit simpanan pun dikeluarkan dari bank dunia dimasukkan ke bank akhirat. Tentu sudah takut hendak bergaul bebas dengan perempuan yang haram bagi kita. Bahkan hendak pandang pun takut. Takut zina mata. Takut mata itu nanti dibakar oleh api neraka. Sudah takut hendak pegang jawatan besar dan gaji besar sebab itu semua akan memberatkan dan menyusahkan hisab di Padang Mahsyar. Takut hendak bermewah apalagi membazir, kerana takut tidak dapat jawab dan tidak lepas dari hukuman Allah. Sebab itu semua itu di serahkan kepada tabung jihad, tabung akhirat. Dengan harapan untuk bermewah di akhirat.

Pendek kata apa juga perkara yang boleh menyusahkan kita di alam Barzakh dan di alam kubur nanti tentu kita elakkan sedaya mungkin. Hatta soal-soal hati pun dijaga, jangan biarkan busuk dan kotor kerana hati begitu nanti tidak selamat juga daripada dibakar oleh api neraka.

Firman Allah :
Terjemahannya: Pada hari itu (hari kita pergi mengadap Allah) tidak berguna lagi harta dan anak kecuali mereka yang pergi membawa hati yang selamat. (Surah As Syuara` : 89)

Kerana itu orang yang sedar dan rasa dia akan mati bukan saja membersihkan amalan lahir tetapi hati pun dijaga betul. Supaya kekotoran sifat mazmumah diganti oleh mahmudah. Selagi hati masih kotor dan selagi dosa-dosa lahir masih dibuat, selama itu kita tidak rasa tenang dan bahagia. Sebab takut dan rasa tidak selamat dari hukuman Allah di alam barzakh dan di akhirat. Tapi kalau ada orang yang masih rasa tidak apa dan rasa seronok dengan maksiat lahir mahu pun batin, orang itu sebenarnya tidak sedar yang dia akan mati. Orang begini adalah orang yang bodoh.

Kata Rasulullah, orang yang paling cerdik ialah orang yang banyak ingat mati . Maknanya orang yang paling bodoh ialah yang langsung tidak fikir tentang mati. Lebih kurang macam kambing yang walaupun nampak pisau di tangan tuannya, sedang dihala ke lehemya, bakal mengambil nyawanya, tapi dia masih ketawa dan manis muka. Bodoh betullah dia.Tetapi tidak apalah, sebab dia kambing. Kambing tidak akan disoal oleh mungkar nakir. Tidak akan dihisab di Padang Mahsyar. Apa hal dengan manusia yang macam kambing? Ataukah mereka rasa lepas mati kita tidak hidup lagi? Itu satu perkiraan yang tidak wajar. Sebab kehidupan di dunia perlu diadili. Kerana itu Allah akan bangunkan sekali lagi untuk satu pengadilan dan kira bicara yang mutlak.Agar hidup benar-benar bermakna pada semua orang.

Ayat Al Quran:
Terjemahannya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenarnya dan hanya kepada Kamilah, kamu dikembalikan. ( Al Anbiya` : 35 )

Ya, mati pasti datang! Dan kita akan dihidupkan kembali untuk dipersoalkan tentang apa-apa yang Allah pertanggungjawabkan pada kita di dunia. Soalnya bilakah masanya kita akan mati? Jawabnya kematian itu mungkin akan berlaku sejam lagi! Mati boleh datang sedetik lagi! Jawabnya kematian itu mungkin akan berlaku seminit lagi. Mati boleh datang sedetik lagi! Jangan kita nafikan hal ini .Jangan kita remehkan hal ini, bahawa Allah cukup kuasa untuk mematikan kita sebentar lagi. Kalau kita tidak gentar dengan keperkasaan Allah ini,cuba doakan agar Allah tarik nyawa kita sekarang juga. Jangan fikir Allah tidak buat. Allah boleh matikan seluruh manusia di dunia sekaligus sekelip mata.Begitu kuasa Allah.”Jadi!”Maka jadilah. Cuma Allah tidak berbuat begitu. Dia benarkan lagi kita hidup untuk beberapa waktu lagi agar sempat lagi kita hidup untuk beberapa waktu lagi agar sempat lagi kita taubat dan menambah bakti dan mengabdikan diri padaNya. Ingat Firman Allah:
Terjemahannya: Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku ( Ad Dzariat : 56)

Maknanya Allah panjangkan lagi umur kita ini dengan tujuan memberi peluang lagi kita mencari jalan untuk menyembah-Nya. Sebab itulah setiap kali Allah bangunkan kita untuk hidup sehari lagi, dan sehari lagi, syukurlah banyak-banyak sebab Allah beri peluang lagi untuk kita mencari dan menambahkan lagi bekal untuk perjalanan dan hidup di akhirat. Serta mintalah pada Allah hidayah dan taufik untuk hari itu dan hari-hari berikutnya, agar dapat kita gunakan sepenuhnya untuk dan kerana Allah.

Dalam pada itu kita mesti selalu ingat bahawa bila-bila masa saja Izrail boleh datang menjemput kita untuk kembali ke hadrat Allah. Memang Izrail tiap-tiap hari menjenguk atau memandang kita. Dua kali sehari. Dia lihat kalau kalau sudah tiba masanya untuk kita dibawa ke alam barzakh. Izrail tidak pernah cuti. Kalau begitu nyawa kita boleh diambil bila-bila saja. Mungkin seminit dari sekarang!

Masya-Allah! Cuba kita rasakan benar-benar yang kita boleh jadi mati seminit lagi. Aduh! Akan jadilah sepertimana orang yang dihukum gantung, yang dibincangkan di awal tadi. Nescaya kita tidak berani lagi hendak buat maksiat kecil atau besar. Bukan saja maksiat, bahkan perkara harus pun sudah tidak lalu. Panggang hati atau ayam pun kalau dihidang tidak ada makna. Isteri muda yang cantik molek pun dibawa, kita tidak ada mood lagi. Yang kita fikir ialah dosa-dosa yang bertimbun. Tentu akan kejar sana, kejar sini, cari orang yang kita ada buat dosa, untuk minta maaf. Panggil siapa sempat untuk wasiat agar bayar hutang, wakafkan harta benda, keluarkan duit di bank. Sambil itu menangis dengan Allah minta ampunkan dosa-dosa. Minta tangguh kalau boleh agar beri masa untuk buat segala-gala amal soleh. Hati tidak fikir lain lagi melainkan Allah, Allah, Allah.

Itulah faedahnya ingat mati. Kita akan takut dengan dosa, bahkan amal yang sia-sia pun tidak terbuat lagi. Ingat mati benar-benar kontrol kita untuk minta ampun dengan Allah dan dengan manusia. Tidak terfikir lagi hendak derhaka pada Allah dan hendak bersengit-sengit hati dengan kawan-kawan. Di samping itu ingat mati akan tambah kekuatan untuk membangunkan amal kebaikan dan berkorban serta berjuang menegakkan agama Allah. Kita tidak fikir panjang lagi untuk korban segala-galanya di jalan Allah. Tidak letih lagi berjuang untuk menegakkan hukurn Allah. Inilah yang dimaksudkin oleh Rasulullah bahawa orang cerdik ialah orang yang banyak ingat mati Yang mana, hasil ingat akan mad akan tercetuslah segala kebaikan dan hapuslah sikap jahat kita. Bukannya bila ingat mati langsung tidak mahu keluar rumah. Hendak sembahyang saja.

Itulah perangai orang jahil. Orang yang faham Islam, bila sebut mati maka berlompatanlah mereka berjuang, membangunkan Islam agar mati syahid. Sebab kematian yang paling mulia ialah mati syahid. Rasulullah dan para sahabat ialah generasi umat Islam yang sangat banyak ingat mati. Apakah mereka bangsa yang pasif dan jumud? Tidak. Di tangan merekalah 3/4 dunia menyerah pada Islam. Mereka berhabis-habisan menyerah tenaga, fikiran dan segala-galanya untuk Allah, sebagai simpanandi akhirat nanti.

Itulah hasil ingat mati. Dan kalau kita boleh ulangi sikap ini (sentiasa ingat mati) nescaya kita juga jadi bangsa yang sentiasa bertenaga untuk berkorban dan berjuang di jalan Allah demi menegakkan Islam ke seluruh dunia. InsyaAllah

KEHEBATAN MATI

SESUATU yang pasti terjadi, tapi sering dilupakan dan tidak dipedulikan, ialah mati. Yakni berhentinya degupan jantung, lalu berhentilah nafas dan aktiviti lainnya, hingga manusia tidak berguna apa-apa lagi. Walaupun dia seorang profesor, raja atau presiden. Kalau dibiarkan akan busuk dan berkerut, maka terpaksalah ditanam jauh-jauh ke dalam bumi.
Semua orang dulu pasti sudah merasakan mati. Mereka sudah tidak ada lagi di bumi ini. Yang tinggal hanya nama dan sejarah hidup mereka saja. Dan detik itu pasti datang pada setiap orang diantara kita. Ia adalah program yang tidak boleh tidak pasti terjadi, dan kita sering tertanya-tanya: “Bilakah giliranku untuk mati? Dan apa persediaan yang mesti aku lakukan?’~ .

Kesakitan sewaktu roh dicabut dari badan oleh Malaikat Izrail seperti ditusuk-tusuk 300 kali dengan mata pedang. Hancur lumat hingga hilang segala-galanya. Rasa haus ketika maut tiba teramat sangat azabnya hingga kalaupun air satu lautan diminum tidak akan puas-puas juga. Tersedar kembali sewaktu berhadapan dengan Munkar dan Nakir. Yakni di satu alam luar yang lain dari alam dunia ini. Alam Barzakh namanya. Alam di mana kita dapat melihat malaikat dan bertanya-jawab dengannya. Alam yang diperlihatkan Syurga dan Neraka. Dan dapat juga melihat ragam manusia di dunia yang belum mati lagi itu.
Hidup di sana kalau bahagia, sangat lama sekali yakni hingga Kiamat, mungkin beribu-ribu tahun. Dan kalau Kiamat tiba mungkin beribu-ribu tahun lagi. Dan kalau tersiksa pun begitu jugalah lamanya. Bahagia atau derita bergantung pada berhasil atau tidaknya kita ketika di dunia. Kalau berhasil menjalankan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di bumi, maka bahagialah kita. Sebaliknya kalau sewaktu di dunia menjadi hamba nafsu dan syaitan serta berjuang untuk itu, maka malaikat akan mengazab kita di Barzakh sana. Terkurung selama beribu-ribu tahun dalam azab sengsara.
Itu kata Allah dan itulah ketentuan-Nya. Al Quran dan hadis banyak sekali menceritakan tentang ini dengan sejelas-jelasnya. Lihat contoh-contohnya
1. Surah Al Qiyamah, ayat 36-40:

Terjemahannya: Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa dipertanggungjawabkan) ? Bukankah dia dahulu setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah lalu Allah menciptakannya sepasang laki-laki dan perempuan. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa (pula) menghidupkan orang yang mati?

2. Surah Al ‘Aadiyaat, ayat 6-11:

Terjemahannya: Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya, dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya pada harta. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada. Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka.

3. Surah An Naaazi’at, ayat 10-14 :

Terjemahannya: (Orang kafir) berkata: “Apakah sesungguhnya kami benar-benar dikembalikan kepada kehidupan yang sebelumnya?” Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kamu telah menjadi tulang belulang dan hancur lumat? Mereka berkata: “Kalau demikian, itu adalah satu pengembalian yang merugikan . ” Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah dengan satu tiupan saja. Maka dengan serta-merta mereka hidup kembali di permukaan bumi.

4. Surah An Nabaa’, ayat 38-40:

Terjemahannya: Pada hari ketika roh dan para malaikat berdiri bershaf-shaf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan yang Maha Pemurah. Dan ia mengucapkan kata yang benar. Itulah hari yang pasti terjadi maka barangsiapa yang menghendaki, nescaya ia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya. Sesungguhnya kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat pada hari manusia melihat apa yang telah dibuat oleh kedua-dua tangannya dan orang kafir berkata: “Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.”

5. Surah An Naaz’iat, ayat 34 -41:

Terjemahannya : Maka apabila malapetaka yang sangat besar (Hari Kiamat) telah datang. Pada hari (ketika manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya dan diperlihatkan Neraka dengan jelas setiap orang yang melihat. Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya Nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka Syurga tempat tinggalnya.

Demikianlah kita telah diberitahu seterang-terangnya tentang sesuatu yang bakal terjadi dan menimpa setiap diri. Apa pendapat anda? Nasib di dunia atau nasib di akhiratkah yang hendak diutamakan? Sebab orang yang kaya di dunia (tetapi tidak bertaqwa) akan miskin di akhirat. sedangkan miskin di dunia masih ada tempat tinggal, pakaian dan makan minum. Masih boleh berikhtiar. Sedangkan jika miskin di akhirat, sesuap makanan pun tidak akan dapat. Tidak ada seorang pun yang simpati.
Kemiskinan dan penderitaan yang mana yang lebih patut ditakuti. Berusaha keras untuk dunia atau untuk akhirat yang mesti diutamakan? Rasulullah SAW menjawab ketika ditanya:

Terjemahannya: Siapakah orang mukmin yang paling cerdik? Sabda Rasulullah: (orang yang paling cerdik) ialah orang yang banyak mengingati mati.
(Riwayat lbnu Majah)

Maka fahamlah kita, keutamaan harus diberikan pada urusan-urusan akhirat. Sebab mati boleh jadi datang esok. Dan kalaulah hal itu terjadi dalam keadaan kita belum menjalankan tugas yang diamanahkan, kita akan menderita selama-lamanya. Sedangkan untuk dunia, kalau hari ini belum selesai, esok boleh disambung lagi. Kelalaian tentang urusan dunia tidak akan mengakibatkan kerugian yang panjang. Contohnya, kalau urusan yang kita tinggalkan boleh disambung lagi. Kita tidak rugi apa-apa. Tapi kalau kerana dunia kita tangguhkan sembahyang, tiba-tiba kita mati sebelum sembahyang. Sementara akibat meninggalkan sembahyang dengan sengaja ialah 40 tahun masuk Neraka. Demikian juga halnya kalau kita menimbun duit dalam bank, konon untuk masa depan. Kalau kita sempat tua, mungkin duit itu boleh kita gunakan; itu pun di akhirat tidak dapat apa-apa. Apa jadinya kalau kita mati sebelum tua, sudahlah duit itu tidak berguna untuk kita di dunia, di akhirat kita akan menderita kerana dosa membekukan harta pemberian Allah. Sedangkan kalau duit itu kita korbankan pada jalan Allah, di dunia lagi kita akan hidup senang. Inilah yang diingatkan oleh Rasulullah SAW, melalui sabdanya:

Terjemahannya: Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan berusahalah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esok hari.
(Riwayat Ibnu Asakir)

Jangan mengertikan hadis ini menyuruh kita bekerja keras di dunia saja; bekerja keraslah juga untuk akhirat. Maksud yang sebenarnya ialah urusan dunia kerana lama lagi (masih ada waktu) boleh ditangguhkan atau dikemudiankan; sedangkan untuk akhirat, kerana boleh jadi mati esok, mesti disegerakan atau didahulukan.
Ingatlah mati dan akibatnya. Ia dahsyat, hebat dan menakutkan pada yang mati dan untuk yang tinggal. Secara kasar kita sudah ceritakan hal sesudah mati, untuk yang mati dan akan mati. Mari kita lihat pula akibat mati pada yang hidup. Betapa hebat dan menakutkan!
Orang yang kematian orang yang dikasihinya, akan merasakan kehilangan yang amat berat untuk ditanggung. Sedih pilu yang tidak terkira. Tempat bergantung putus sudah. Harapan hidup bahagia, meliar tidak menentu; ke mana hendak mengadukan nasib.
Kalau yang meninggal itu raja, negara diselubungi duka, rakyat kehilangan ketua negara. dengan terpaksa dicarilah penggantinya. Maka berubahlah sistem pengaturan negara. Kalau pemimpin meninggal dunia, pengikut bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Pimpinan terputus, didikan terhenti, payung tempat berteduh dirasa telah tiada lagi. Pengganti belum tentu sama gayanya. Huru-hara mungkin terjadi, jika ada orang yang mahu mengambil kesempatan dari bala itu.
Kalau guru meninggal dunia, murid-murid akan kehilangan sumber ilmu. Lampu yang menerangi hidup padam. Merka akan berada dalam kegelapan sesaat sebelum ada guru pengganti. Itu pun belum tentu sama. Dukacitapun berkepanjangan.
Apabila suami meninggal, isteri menjadi janda. Hidupnya jadi serba salah. Mahu kemana? Mahu kawin, banyak masalah walaupun itu tuntutan fitrah. Kehilangan orang yang dikasihi, tinggal bersendirian, tiada orang yang mengurus keperluan. Bukan mudah mencari pengganti. Kalau bapa meninggal, anak-anak jadi yatim. Malang sekali kerana sumber kehidupan terputus. Siapa yang bakal menyanggupi nasib mereka? Kalau tidak ada, hidup mereka terabaikan dan tersiksalah hidupnya. Jika ibu yang mati, anak-anak jadi piatu. Tempat bermanja tidak ada lagi. Kasih sayang, belaian dan penjagaan tidak akan ditemui lagi dalam hidup.
Kalau tunang pula mati, remuk-redam jantung hati. Buah hati yang dirindui, belum sempat bertemu sudah pergi buat selama-lamanya. Kalau tidak kuat iman, berduka sepanjang hayat.
Demikianlah dahsyatnya akibat kematian; ngeri dan menakutkan. Sebut saja mati, orang yang tidak beriman sangat benci. Sebaliknya orang yang beriman akan insaf; sedangkan para kekasih Allah merasakan mati itu indah kerana saat pertemuan dengan Allah sudah tiba. Betul-betullah mati itu sebagai guru. Sabda Rasulullah:

Terjemahannya: Cukuplah kematian itu sebagai nasehat.
(Riwayat At Tabrani)

Kenapa Allah jadikan mati begitu dahsyat? Jawabnya supaya manusia memberi perhatian serius. Sebab biasanya satu hal yang besar dan dahsyat sangat diberi perhatian yang serius oleh manusia. Begitulah sepatutnya dengan mati. Oleh kerana akibatnya terlalu dahsyat pada yang mati dan yang hidup, tentu kita tidak boleh berbuat seolah-olah tak tahu saja. Mestilah berusaha dan bersedia dengan sebaik-baiknya, agar takdir Allah itu (ujian) dapat dihadapi dengan baik dan berhasil.
Ibarat kita akan menghadapi suatu ujian kenaikan yang besar dan penting. Tentu kita akan siap sedia dengan bersungguh-sungguh menghadapinya kerana mengharapkan kejayaan. Demikianlah halnya dengan mati ini. Iman dan taqwa, amal soleh dan akhlak mulia dengan Allah dan dengan manusia adalah syarat penting untuk selamat baik untuk yang pergi atau yang ditinggal. Yang pergi selamat di kubur, yang ditinggal tidak menderita. Iman dan taqwa akan jadi penghiburnya.
Tapi kita lihat hari ini, umat Islam tidak terlalu peduli dengan mati. Walaupun setiap hari ada orang yang mati, tapi hal itu tidak mengingatkan dan menginsafkannya; masyarakat terus bergelumang dengan dosa dan hiburan di dunia. Memang kalau manusia itu tidak ingat akan mati, mereka tidak akan takut untuk hidup dalam dosa dan maksiat. Sebab mereka mengira kejahatan itu tidak akan dipertanggungjawabkan oleh siapapun. Mereka lupa atau jahil tentang apa yang dikatakan oleh Allah :

Terjemahannya: Apakah manusia itu menyangka bahwa sekali-kali tidak seorang pun berkuasa atasnya? Dia mengatakan; “Aku telah menghabiskan harta yang banyak.” Apakah dia menyangka bahwa tiada seorang pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah memberikan padanya dua mata, lidah dan dua bibir? Dan Kami telah menunjukkannya dua jalan. Tapi dia tidak menempuh jalan mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan mendaki lagi sukar itu? (Iaitu) melepaskan hamba daripada perhambaan, atau memberi makan pada hari kelaparan (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat atau orang miskin yang sangat fakir. Dan dia tidak juga termasuk orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar serta berpesan untak berkasih sayang. Mereka (orang-orang beriman dan saling berpesan) adalah golongan kanan. Dan orang yang kafir kepada ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada dalam Neraka yang ditutup rapat.
(AI Balad: 5-20)

Maknanya, mengingati mati bukan untuk keselamatan di akhirat saja, tapi juga di dunia. Tapi hari ini, kalau kita banyak sebut tentang mati, orang mentertawakan atau marah-marah. “Bila mahu membangun kalau asyik ingat mati saja”, kata mereka. Padahal dengan tak ingat mati pun umat Islam hari ini bukan membangun. Cuma ikut bangga dengan pembangunan dan kemodernan yang diimport dari Barat.
Sudahlah begitu, masalah hidup dan masalah masyarakat tidak pernah habis-habis. Berdengki, saling berhujah, fitnah, krisis dam lain-lain tidak selesai. Kalau ada pembangunan, sedikit banyak ada saja golongan kiri yang mahu meruntuhkan. Semua ini ialah diakibatkan kerana kita melupakan Allah. Apabila kita lupa Allah, Allah lupakan kita. Maka susahlah kita. Mari kita kembali kepada jalan Allah. Ingatkan mati itulah sebenarnya jalan yang menyampaikan kita kepada kemenangam dunia dan akhirat!

KEKAYAAN, KESENANGAN, KEMEWAHAN ADALAH SEKEJAP – YANG LAMA ADALAH PENDERITAAN DAN KESUSAHAN

Mari kita sama-sama menerima peluang rezeki umur dan bermacam pengalaman yang Allah berikan kepada kita untuk menyaksikan berbagai perkara di dunia. Banyaklah yang boleh diambil iktibar. Rupa-rupanya ada perkara yang kita fikirkan di masa muda, secara realitinya tidak dapat kita lakukan. Tuhan telah tetapkan segalanya.

Sebagai contohnya ialah soal mencari kesenangan. Siapa pun memang mempunyai cita-cita hidup senang lenang, kaya raya dan sebagainya. Cuma kita dapati biasanya hal sebegitu tidak lama. Kalau pun sudah berhempas pulas berusaha sejak muda, hanya taqdir Tuhan yang akan berlaku. Kadang-kadang kita lihat dalam berusaha mencari kesenangan – untuk keluarga dan anak cucu – tanpa mengira halal haram semuanya di rempuh asalkan dapat apa yang diharap-harapkan. Bila kekayaan sudah melimpah ruah, baru hendak berehat dan santai, datang pula berbagai masalah baru. Sebenarnya masalah ini wujud sejak awal usaha mengejar dunia.

Ditipu, dirompak, difitnah, dituduh di mahkamah, kerugian, perceraian, kematian anak atau isteri, menderita sakit, sakit jiwa dan berbagai ragam masalah lagi adalah ‘pakej’ ujian yang datang silih berganti. Inilah yang lumrah terjadi. Ianya sangat menginsafkan betapa dunia itu sangat menipu. Kadang-kadang kelihatan tidak ada apa-apa tetapi setelah kesenangan yang dikejar begitu lama, bila sudah dapat, rupanya ada masalah lain yang menanti bersama kesenangan. Banyak kesusahan yang tersembunyi di sebalik kesenangan. Itulah yang malangnya,.

Kita boleh lihat ramai tokoh gerakan Islam di Malaysia yang berkata umat Islam mesti kaya untuk bela Islam. Maka mereka pun berusaha dengan berbagai cara – yang halal dan haram – demi memastikan mereka jadi kaya. Dan untuk membolehkan kekayaan itu menjadi tapak membangunkan ‘Islam’ yang dicita-citakan, maka mereka memujuk anak-anak untuk bersekolah di mana-mana sekolah Islam. Yang hantar ke sekolah tahfiz pun ramai. Asalkan sianak mahu belajar, siayah akan sangup menghantar mereka ke mana sahaja.

Ada seorang tokoh yang ada cita-cita Islam, 30 tahun lalu berfikiran seperti apa yang dinyatakan ini. Anaknya 3 orang dihantar ke sekolah tahfiz. Si ayah sibuk menguruskan dunia korporat – mengejar dan merebut peluang demi peluang. Kesibukan mengurus perniagaan yang makin berkembang menjadikan dia lupa niat awalnya. Dunia korporat yang dikejar. Empayar perniagaan dikembang biakkan dengan pelbagai bidang operasi di bawah anak-anak syarikat. Maka akhirnya anak-anak tidak sempat habis belajar. Mereka dipanggil pulang untuk membantunya menguruskan perniagaan. Cita-cita mewujudkan sekolah tahfiz yang serba lengkap – hasil kekayaan yang ada – tidak kesampaian. Apa yang dicita-citakan dulu hanya mampu wujud dalam hatinya di peringkat awal; apabila masa berlalku, dunia yang melingkari hidup berjaya mengubah cita-citanya ke arah membina empayar perniagaan – tidak lagi ’empayar perjuangan.

Ada seorang tokoh lagi, sibuk dengan usaha perniagaan yang datang tergolek di depan mata. Anugerah kontrak daripada rakannya seorang menteri menjadikan cita-cita untuk bangunkan sebuah pusat kebajikan golongan tua terhenti begitu sahaja. Kesibukan berniaga dan peluang yang sentiasa datang menjadikan dia tidak ada masa memikirkan cita-cita awalnya. Sedangkan niatnya berniaga adalah untuk mencari sumber kewangan bagi membantu golongan warga emas yang ramai terlantar dan terbiar.

Ada pula seorang hamba Allah yang sombong bila sudah kaya raya. Belajar dulu sama-sama di Al-Azhar tetapi setelah balik dan terlibat dalam politik, tawadhuknya hilang. Pura-pura dan menipu menjadi budaya. Dia sempat kaya dan senang lenang dalam masa 8 tahun sahaja. Nafsu tentulah belum puas tetapi 8 tahun itu sudah lama mengecap nikmat dunia. Apa yang berlaku, isterinya meninggal dunia. Dia berkahwin lain. Anak-anaknya ketandusan kasih sayang yang akhirnya terjebak dengan dadah. Kalau dulu dia bergelut mencari dunia, sekarang dia bergelut menguruskan 2 orang anak lelaki yang sudah ketagih dadah. Sudah beberapa kali ditahan polis kerana ditahan di pusat hiburan dan bila diuji air kencing mereka didapati positif dadah. Dia malu dan menderita. Hidupnya kehilangan bahagia.

Apa yang kita nampak, kekayaan dan kesenangan itu hanya beberapa tahun sahaja. Janganlah tersilap menganggap masa yang sama dia juga bahagia; sememangnya dia tidak bahagia sedari awal. Orang yang bergelut dengan dunia tidak menempuh bahagia yang hakiki. Senang lenang yang ditempuh tidak bersama bahagia di hati. Hati yang makin kosong, menjadikan hubungan dengan Tuhan makin longgar. Sembahyang sudah tidak dipentingkan. Jadi ‘kesenangan’ hanyalah sementara. Selepas itu bersedialah pula menerima giliran kesusahan.

Ada berbagai pakej kesusahan yang Tuhan sediakan untuk dirasai setiap insan. Bukankah pergiliran nikmat dan ujian itu adalah janji Tuhan?

Ada seorang wanita korporat bergelar Dato’ yang berjaya. Hartanya berjuta ada di mana-mana. Kekayaannya juga tidak lama. Hasil hubungan baik dengan pihak tertentu banyaklah peluang yang berjaya direbut. Tetapi jangka masanya menempuh kekayaan itu tidaklah lama. Hanya 10 tahun dia merasa mencapai kemuncak ‘kejayaan dan kekayaan’. Tahun ke sebelas, dia disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Seorang ustaz dibawa suaminya untuk membaca surah Yasin dan mendoakannya. Dato’ ini sedang duduk di kerusi roda. Air matanya mengalir di pipi. Wajahnya pucat, rambutnya tidak terurus. Dato’ ini hanya menggagahkan membuka mulut dengan berkata. “Ustaz! tolonglah saya Ustaz, Saya sekarang sudah tidak fikirkan apa lagi. Semua yang saya miliki, sudah tidak ada ertinya pada saya. Saya insaf Ustaz!! Saya hanya minta satu perkara sahaja dengan Allah Taala… Saya minta saya disihatkan semula. Saya sangat berharap Tuhan sembuhkan penyakit saya ini. Tolonglah doakan saya Ustaz!!”

Selepas 3 hari, Dato’ ini meninggal dunia di hospital yang sama. Dia ada berjanji akan membantu siapa sahaja selepas dia sihat nanti. Dia menyesal selama ini melanggar perintah Allah. Dia berazam mahu menebus kesalahannya yang lalu. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana Tuhan maha tahu.

Jadi bagi anak cucu yang terfikir hendak mengejar dunia, renungilah semula kisah-kisah tadi. Dunia akan menjauhkan kita dari Tuhan dan akhirat. Dunia akan melalaikan kita. Bukan tidak boleh tetapi siapa yang berani bolehlah cuba tetapi janganlah menyesal seperti mereka yang lain menyesal. Lagi pula, tidaklah lama mengecap kesenangan kerana ada banyak kesengsaraan lain pula yang datang beriringan.

Lihatlah rumah-rumah besar dan mahligai indah di sekeliling kita. Ada yang usang ada yang masih gagah tersergam. Semuanya pernah dan sedang diduduki orang-orang kaya dan berada. Mahligai usang dan lesu itu tentulah sudah tiada penghuninya. Dunia yang dikejar akhirnya terpaksa ditinggalkan bila nyawa ditarik malaikat maut. Mahligai yang masih gagah pula hanya menunggu hari ditinggal pergi.

Mengejar dunia, rosaknya di semua segi, di hujungnya sengsara. Mengejar Tuhan, dapat akhirat yang kekal abadi yang segalanya nikmat kebahgiaan. Inilah tujuan kehidupan.

Di Palembang, seorang wanita pegawai tinggi Tentera Negara Indonesia (TNI) bertemu dengan seorang ustazah. Dia menitiskan air mata ketika memberi ucapan meluahkan rasa hatinya. “Saya tercari-cari tujuan dan matlamat saya hidup di atas muka bumi ini. Adakah sekadar belajar sampai ke universiti, berkahwin, bekerja, mempunyai anak, sakit dan kemudian mati. Saya tidak mahu hidup yang sebegini. Ini hidup yang tidak ada maknanya! Saya mahu hidup yang ada tujuan – kenapa saya dihidupkan Tuhan?”

Luahan hatinya dijelaskan oleh ustazah bahawa hidup kita adalah untuk Tuhan. Bukankah kita dihidupkan oleh Tuhan? Bukankah kita selalu ungkapkan dalam solat, ikrar dan janji kita untuk menyerahkan segala-galanya yang ada kepada Tuhan yang mencatur alam. Jadi kenapa kita tidak jadikan hidup mati kita untuk Tuhan?. Hidup kita adalah Hidup sebagai seorang hamba dan khalifah, sebagai seorang abid dan pejuang.

Percayalah jika kita jadikan Tuhan sebagai matlamat, hidup kita akan penuh dengan aktiviti yang tidak memungkinkan kita bersenang-senang atau santai-santai. Kita akan temui satu kehidupan yang penuh dengan program untuk membesarkan Tuhan. Setiap ruang waktu kita adalah ibadah. Dalam kehidupan kita seharian, kita kena promosi Tuhan di tengah masyarakat. Kita kena wujudkan aktiviti atas nama Islam untuk memperlihatkan Islam itu hebat, gagah, kaya dan berwibawa. Inilah maknanya kehidupan seorang mukmin. Dia mesti aktif dan berperanan sebagai seorang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dan dalam masa sama, dia juga seorang yang aktif bekerja untuk Islam, untuk Allah dan Rasul. Dia akan sanggup berkorban apa saja demi untuk menjayakan cita-cita ini.

Ibu beranak dua ini meninggalkan majlis dalam keadaan hatinya sudah puas menerima jawapan yang dicari-cari selama ini. “Saya telah bertemu dengan apa yang saya cari. Inilah kebenaran dan Insya Allah, saya akan turut serta memperjuangkannya!!”

MENGINGATI MATI ITU SATU KEPERLUAN

Al-Nisaii meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah katanya; Sabda Rasul Allah s.a.w.
”اكثروا ذكر هادم اللذات”
Ertinya, “Perbanyakkan ingat terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”.

Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab, sabda Nabi s.a.w. yang bererti; “Perbanyakkan ingatan terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”. Kami bertanya Nabi; wahai Rasul Allah apakah yang dimaksudkan
dengan (هادم اللذات). Jawab Baginda; iaitu mati.

Ibnu Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibnu Umar katanya; “Ketika aku duduk bersama dengan Rasul Allah s.a.w. lalu datang seorang lelaki dari kalangan al-Ansar memberi salam kepada Nabi s.a.w., dan terus bertanya baginda: Siapakah orang mukmin yang afdzal? Jawab Baginda: Orang yang lebih baik akhlaknya”. Lelaki tersebut terus mengemukakan soalan; siapakah orang mukmin yang sempurna akalnya? Jawab Baginda:
“اكثروا للموت ذكرا وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الأكياس”
Ertinya: “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling baik amalannya untuk persiapan selepas mati, itulah mereka yang paling sempurna akalnya”.

Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya; sabda Nabi s.a.w.

“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ،
وتمنى على الله “.
Ertinya; “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita untuk mendapat keredhaan Allah tanpa beramal”.

Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya, sabda Nabi s.a.w.
“اكثروا ذكر الموت ، فانه يمحص الذنوب ، ويزهد فى الد نيا”.
Ertinya: “Banyakkan ingatan mati, kerana ia boleh menghapuskan dosa dan menjadi zahid (ambil dunia sekadar keperluan) di dunia”.

Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w.pernah bersabda:
“كفى بالموت واعظا وكفى بالموت مفرقا”
Ertinya; “Cukup dengan mati menjadi pengajaran dan cukup dengan mati juga menjadi pemisah antara hak dan batil”.

 

Bacaan Al Quran

Anak-anak Rumah Amal Limpahan Kasih membaca Al Quran bersama-sama, mengkhatamkan 30 juzuk sementara menantikan jenazah seorang ibu yang akan dikebumikan.

 

Selamat pulang ke negeri asal

Selamat pulang ke negara asal. Wahai ibu tersayang, muga-muga ibu bahagia di sana.

 

Call Now
Directions