Tag Archives: Tuhan

PERBEZAAN DI ANTARA EKONOMI KAPITALIS DAN EKONOMI TUHAN

Banyak beza ekonomi kapitalis dan ekonomi Tuhan. Saya tak sebut ekonomi Islam sebab dah banyak versi orang
sebut tentang ekonomi Islam. Jadi untuk kelainan, saya katalah ekonomi Tuhan. Satu perbezaan yang nyata adalah seperti berikut:

Ekonomi kapitalis berorientasikan kekayaan. Kenapa disebut kekayaan? Sebab biasanya orang terlibat dengan ekonomi itu, targetnya nak kaya. Mereka inject duit dalam company untuk dapatkan pulangan. Objektif CEO/CFO company pula tak ada lain hanya nak maximising shareholders’ wealth. Ini boleh dicapai dengan cara utamanya melalui profit maximisation. Jadi apapun dalam company, the end objective ialah kekayaan atau dalam istilah perniagaan disebut untung. Pendek cerita nak berniaga untuk untung. Dengan untung, dapat banyak duit. Banyak duit, bolehlah kaya. Begitulah ceritanya.

Ekonomi Tuhan lain ceritanya. Berekonomi bukan matlamatnya nak cari untung. Bukan untuk dapat banyak duit dan jadi kaya. Walaupun dalam ekonomi, akan ada keuntungan dan boleh mendapat kaya, tapi untung tidak dijadikan matlamat. Kaya itu bukan targetnya. Yang penting dalam ekonomi Tuhan, tujuan berekonomi nak
tegakkan syariat Tuhan. Ini boleh terlaksana dengan berbagai cara. Umpamanya dengan ekonomi, kita dapat
tegakkan fardhu kifayah, kita dapat menyediakan produk halal kepada orang Islam, kita dapat khidmat pada orang, kita dapat berkenal-kenalan dan berkasih sayang dengan orang yang terlibat secara langsung dalam ekonomi kita. Jelas dalam ekonomi Tuhan, ekonomi itu hanya wadah untuk dapat Tuhan. Untuk besarkan dan agungkan Tuhan. Ringkasnya, bila kita tegakkan ekonomi, kita dapat tegakkan syariat Tuhan. Bila syariat dapat ditegakkan, itulah jalan untuk kita sampai kepada Tuhan.

Kalaulah ekonomi kapitalis begitu popular dengan istilah maximising profit, ekonomi Tuhan pula gunakan istilah maximising khidmat. Yang biasa kita dengar dalam ekonomi kapitalis. Peniaga dok pulun untuk maximise profit. Siang malam kepala pengusaha-pengusaha ekonomi ini akan memikirkan untung. Untung!Untung!Untung! Pernah seseorang bertanya kepada Towkey kedai Cina. “Macam mana bisnes ini hari Tokey?” Towkey itu menjawab dengan nada selamba. “ini hari tarak untung laa”. Begitulah kita lihat akauntan-akauntan syarikat selalu kena press
tentang untung ini. Yang biasa kita dengar dari bos-bos mereka ialah “ Kita kena make profit. Jika tak company akan rugi dan pelabur pun lari. Akhirnya, company tutup dan pekerja kena cari kerja lain.”

Sedikit nak diceritakan juga, secara straightforward bagaimana pengusaha ekonomi ini memaksimakan untung.
Mudah sahaja, bagi mereka, nak maksimakan untung, jawabnya kenalah maksimakan jualan. RM untuk jualan
kena tinggi. Itu yang kadang-kadang kita lihat harga barang naik. Baru naik 2-3 bulan lepas, tiba-tiba naik lagi. Ini berlaku samada mereka nak tingkatkan jualan supaya dapat untung lebih atau nak cover kos supaya dapat maintain untung dan tak rugi. Satu lagi, kalaulah jualan tetap atau statik, mereka masih boleh maksimakan untung. Bagaimana? Mereka kurangkan kos beli barang atau kos operasi. Mana-mana yang boleh dikurangkan. Sehinggakan ada yang sanggup menipu dengan berbagai cara supaya mereka dapat beli dengan kos murah dan jual dengan harga tinggi. Ataupun mereka jimat kos dengan tidak membayar sewa premis atau tidak membayar lesen. Itulah sehingga berlakunya cetak rompak VCD. Sebabnya mungkin banyak tapi yang jelas ialah mereka nak untung tanpa nak bebankan diri mereka dengan kos.

Tapi saya tak mahu perpanjangkan bab maksimakan untung. Sebab target saya nak highlightkan ekonomi Tuhan yang guna konsep maksimakan khidmat. Dengan ekonomi Tuhan, peniaga-peniaga hari-hari akan memikirkan bagaimana cara nak maksimakan khidmat kepada pelanggan. Supaya pelanggan terhibur dan layak mereka menjadi penghibur. Kenapa?

Kerana Rasulullah ada menyebut begini. Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak memberi manfaat (khidmat) kepada manusia lain. Peluang nak jadi sebaik-baik manusia boleh dicapai bila kita berniaga. Bila berniaga, katakan di situ tiada kedai makan minum untuk orang Islam. Jadi kita buka kedai makan. Ini memberi kita peluang untuk berkhidmat kepada orang Islam setempat. Kita lepaskan mereka dari dosa atas tuntutan fardhu kifayah untuk menyediakan makan-minum yang halal. Kita dapat bantu mereka yang sibuk dan tidak ada masa untuk masak di rumah. Kita dapat sediakan tempat untuk mereka bertemu dan berkenal-kenalan. Secara tak langsung merapatkan ukhuwwah dan berkasih sayang. Kepada orang yang susah, kita boleh memberi mereka makan percuma. Takpun, makan dahulu, bayar kemudian. Atau makanlah sepuas hati, bayar ikut rasa hati. Atau berapa yang mampu. Seperti orang-orang yang angkat sampah, kita boleh hiburkan mereka dengan memberi minuman percuma pada waktu pagi untuk mereka hilangkan dahaga. Jadi itu baru satu contoh. Hanya dengan menjadi pengusaha kedai makan, bilamana kita ikut kaedah ekonomi Tuhan, terbuka luas peluang untuk kita khidmat kepada manusia. Betapa besar peluang untuk kita hiburkan manusia. Bila kita hiburkan manusia yang mana mereka ini semua makhluk Tuhan, secara tak langsung kita sudah hiburkan Tuhan.

Kesannya, Tuhan akan melimpahkan rahmatNya. Itulah cara kita khidmat dengan Tuhan. Iaitu dengan berkhidmat kepada hamba-hambaNya.

Lihat betapa besarnya nilai ekonomi Tuhan berbanding ekonomi kapitalis. Saya bawa contoh ini sebab orang dah tak nampak ekonomi Tuhan. Yang orang nampak cara kapitalis tadi. Sebab yang itu yang mereka belajar. Saya pun belajar yang itu juga. Tetapi kapitalis ini dibuat kerana nak tenggelamkan yang Tuhan punya. Sudah sampai masa kita guna yang Tuhan punya. Ia selamat dan menyelamatkan.
Perlu ditekan disini, ekonomi Tuhan bukan tak boleh dapat untung. Memang untung itu perlu juga.Kalau tak
untung, tak boleh nak cover kos. Tapi ia bukan jadi matlamat. Maksudnya kita berniaga atau berekonomi, memang niat untuk Tuhan. Berniaga kerana Tuhan. Kalau perlu dilafazkan, dilafazkan begini: Aku berniaga ini kerana Tuhan (Lillahitaa’la).

Kalau kita berniaga niat nak untung sahaja, kita akan lafaz begini: Aku berniaga kerana nak untung. Jadi ada beza antara kedua-duanya. Kalau kita berniaga kerana Tuhan,secara tak langsung ia dapat menjaga amal kita agar ikhlas.
Berniaga itu ibadah umum. Jadi dalam ibadah, kena ikhlas. Baru diterima Tuhan. Kalau kita niat untung, takut-takut cacat ibadah kita dengan Tuhan. Satu lagi, kalau kita ibadah kerana Tuhan semata-mata,kita dah tak fikir tentang fadhilat. Kalau kita niat kerana untung, itu fadhilat. Samalah macam kita solat. Solat kerana nak pahala. Pahala itu fadhilat. Jadi dalam berniaga, kalau nak untung, itu seperti solat kerana nak pahala. Sedangkan pahala itu fadhilat. Di mana kita nak letakkan Tuhan. Kalau kerana Tuhan, insyaAllah kita akan dapat Tuhan. Terserahlah pada Tuhan, nak bagi pahala. Yang penting dapat Tuhan. Tapi kalau dapat pahala, tak dapat Tuhan, bukankah berat?
Kalau kita berniaga dapat untung, tapi tak dapat Tuhan, apalah ertinya. Yang penting Tuhan itu, kasih sayangNya, rahmatNya dan redhaNya. Apakah ada yang lebih besar dan lebih bernilai dari rahmat dan kasih sayang Tuhan? Bila dapat Tuhan, insyaAllah, untung itu Tuhan akan beri.

Kalaupun tak untung, tak menjadi persoalan. Kerana tak semua berniaga kita itu dapat untung. Contohnya katakan dalam satu kawasan kita ada ramai orang Islam. Tapi tak ada satu pun kedai runcit yang jual makan minum yang halal. Takkan kita nak fikir-fikir lagi. Ini dah jadi fardhu kifayah untuk penduduk Islam setempat buka kedai runcit. Takkan nak kaji dulu viable atau tak viable. Takkan nak kaji dulu samada boleh untung tak boleh untung. Yang penting kita buka dulu dan penuhi tuntutan fardhu kifayah. Kalau tidak, semua kita dalam kawasan itu akan berdosa. Jadi kalau dah buka, masih tak untung. Itu tak untung dari segi untung material. Kita masih dapat untung yang disebut untung maknawi. Bagaimana? Sebab kita sudah dapat penuhi tuntutan fardhu kifayah. Kita dapat berkhidmat pada penduduk dengan menyediakan barang-barang makan minum yang halal. Begitulah cara ekonomi Tuhan.

Ada juga orang bertanya, sudah tak untung macam mana nak teruskan operasi? Bukankah untung itu penentu jatuh bangun operasi ekonomi? Tadi saya beri contoh ekonomi fardhu kifayah. Dalam ekonomi itu sebenarnya tanggungjawab bersama penduduk Islam setempat. Katakan ada seorang pengusaha yang mengusahakannya, bila akhir bulan, dia check tak ada untung. Sekadar break-even. Itu masih boleh teruskan. Sebab ini bukan soal untung
rugi, tapi soal kita dengan Tuhan. Tapi kalau rugi, bagaimana? Akan ada penyelesaiannya. Jangan jadikan projek itu projek individu. Jadikan ia projek jemaah atau projek masyarakat. Biar masyarakat rasa memiliki kedai itu. Di waktu itu, mereka akan sama-sama turun tangan dan melabur untuk kedai dan pastikan ia benar-benar dapat beroperasi. Tapi masyarakat kena diberi faham hal-hal ini agar ia dapat berjalan dengan baik.

Dalam ekonomi kapitalis, sumber perniagaan dah boleh dikenal pasti dari jualan. Dengan adanya jualan, masuklah duit. Kalau pandai, dapat cover kos, dan bolehlah untung. Dengan untung yang ada, boleh dimanfaatkan untuk company, untuk pelabur dan untuk berbagai lagi.

Berbeza dengan ekonomi Tuhan, sumber perniagaan atau sumber rezeki peniaga-peniaga ini boleh dikategorikan
kepada dua. 1.Sumber yang diduga, 2. Sumber yang tidak diduga.

Yang diduga, seperti biasa, bila berniaga kita dah boleh agak sedikit sebanyak berapa barang yang akan terjual dan duit yang akan masuk. Kalau barang seunit harga RM40, terjual 3 unit, maka kita akan dapat RM120. Begitulah seterusnya. Tapi tak semua barang boleh terjual dengan harga yang sebegitu.
Dalam ekonomi Tuhan, kita kena amal lapang dada, terutama bila ada orang minta kurang. Lebih-lebih lagi kalau barang asas, seperti beras. Katakan ada orang miskin yang datang membeli beras. Patut sekilo kita jual, RM2.00, tapi si miskin perlu 2 kilo dan dia beri kita RM2. Kita terimalah dengan lapang dada, dengan niat nak bantu si miskin. Takpun kita letak dulu dalam buku hutang. Moga-moga ada pula orang lain yang bayarkan hutangnya. Ikut sebeginilah konsep ekonomi Tuhan, logik akal akan mula memikir bahawa sukar menampung kos. Dah banyak yang keluar, tapi kurang RM yang masuk. Maklumlah kalau datang seorang miskin tak apa juga. Kalau dalam sehari dalam 3 hingga 4 orang miskin. Macam mana? Itu tak masuk lagi orang minta hutang barang. Ambil barang dulu, bayarnya kemudian.

Dalam soal-soal ini, memang ekonomi Tuhan menuntut kita untuk bertolak ansur, berlapang dada dan menggembirakan pelanggan kita.

Tadi kita sebut sumber ada dua. Yang diduga, itu yang sudah kita pasti atau dah boleh dicongak-congak. Sedangkan ada satu lagi sumber unlimited yang patut kita raih. Sumber itu nantilah yang nak tampung kekurangan nilai barang yang dah kita baik hati memberi kepada orang miskin. Sebenarnya dengan pemurahnya kita kepada orang miskin, itu sudah memberi laluan untuk sumber tidak diduga datang kepada kita. Ianya sebagai satu ketukan atau goncangan untuk sumber tidak diduga datang kepada kita. Sebab Tuhan sudah janjikan kalau kita buat satu kebaikan, Tuhan akan balas dengan 10 kebaikan. Dan boleh sampai kepada 70 kebaikan.

Selain dengan menjadi pemurah seperti contoh di atas, kalau kita sungguh-sungguh lagi buat kebaikan seperti
dengan bersembahyang tahajjud di malam hari, bertaubat dan berkasih sayang dengan pekerja atau dengan sesama
insan, insyaAllah, ia akan membuka ruang untuk Tuhan beri kita sumber rezeki yang tidak diduga. Memang itu
sudah janji Tuhan seperti dalam firmanNya: Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan beri
dia jalan keluar dan sumber rezeki yang tidak diduga ( tidak disangka-sangka). Walaupun kita belum bertaqwa,
tetapi setidak-tidaknya jalan-jalan yang kita tempuh untuk menuju Taqwa dinilai Allah juga.

Ia boleh berlaku berbagai cara dalam perniagaan kita dan memang ianya sudah terjadi kepad orang-orang yang
benar-benar bersungguh-sungguh mengusahakan taqwa. Sebagai contoh bila orang beli barang, harga sepatutnya RM30, tetapi dibayarnya RM50. Bila nak dipulangkan lebihnya RM20, orang itu menolak. “Keep the change”, katanya. Ada juga kisah di mana supplier yang sepatutnya memberi hutang barang kepada peniaga selama 1 bulan, tetapi tiba-tiba datang rasa simpati kepada peniaga itu dan melanjutkan tempoh kepada 2 bulan. Selain itu, datang seorang kaya dengan tiba-tiba bertanyakan buku hutang. “Adakah orang-orang miskin yang berhutang”. Jadi bila dilihatnya buku hutang itu, maka tergerak hati orang kaya itu untuk membayarkan hutang orang-orang miskin, maka langsailah hutang orang miskin dan dapatlah peniaga duit tunai untuk keperluan peniagaannya.

Begitu sekali yang dapat kita lihat keindahan berniaga mengikut ekonomi Tuhan, dan begitulah juga sepatutnya
berlaku dalam sebuah masyarakat Islam. Bila mana kuat hubungan kita dengan Tuhan, akan Tuhan selesaikan
keperluan kita dan Tuhan mudahkan kerja kita.

BAGAIMANA MENGENALI DAN MENCINTAI RASULULLAH SAW

Photo by: Abdulhameed Shamandour Location: Madina Munawara, Saudi Arabia

Dalam sistem pendidikan sekularisma ini, manusia mengalami pupusnya cinta dan hubungan hati dengan Rasulullah SAW. Tidak pernah terfikir oleh kita bahawa Rasulullah SAW yang bukan darah daging kita, yang kita tidak kenal pun tetapi agama yang kita anuti ini meminta kita menjadikan dia cinta yang utama.
Apakah langkah-langkah yang perlu kita ketahui untuk mencintainya. Inilah aset yang paling penting untuk mengelakkan manusia terjerumus kepada penghinaan dan mala petaka.

SOALAN:

Manusia pertama yang perlu kita cintai mengatasi ibu bapa kita adalah Rasulullah SAW.  Bagaimana Ustaz mengenali Rasulullah?

JAWAPAN:

Saya berterima kasih kepada Tuhan dan kepada orang yang memelihara saya yakni ibu ayah saya, Kiyai Syahid, Pak cik Lebai Ibrahim serta lain-lain lagi kerana hidup saya dari kecil dalam suasana yang agak beragama. Jadi kalau tidak ke sekolah, di rumah pun saya mendengar tentang Nabi dan para Sahabat.
Lebih-lebih lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana dihantar ke sekolah Agama. Cuma Tuhan tidak takdirkan saya mengaji tinggi. Setakat sekolah menengah rendah, tingkatan 3. Kalau ikut sistem sekarang, PMR. Di sanalah saya dapat dengar tentang Rasulullah dan rasul-rasul. Di samping itu, saya baca sendiri kisah-kisah itu. Dahulu saya kuat membaca. Sebab saya sedar saya tak dapat sekolah tinggi, jadi saya terpaksa struggle. Lebih-lebih lagi ketika umur saya 20 tahun, atas desakan bapa, saya kahwin cepat.
Saya dahulu tak sekolah tinggi. Setakat menengah rendah. Saya usaha sendiri dengan banyak membaca. Bahkan pernah, ketika umur 20-an, saya wajibkan diri saya membaca sekalipun balik pukul satu atau tiga pagi. Saya baca tentang sejarah, politik, agama, perbandingan agama, ideologi dll. Di samping itu, sejak dari muda, saya selalu berjalan. Saya tidak tinggal satu tempat saja. Apa yang berlaku di satu-satu tempat itu saya ambil perhatian. Saya perhatikan nelayan, penoreh, petani, orang yang duduk di sawah padi. Bahkan saya ikut sama orang yang pergi tanam padi. Saya tidak tanam sebab tidak pandai tetapi saya ikut. Orang ke hutan pun saya ikut. Kalau saya ke bandar atau ke hutan saya prihatin. Saya banyak mengembara dan saya prihatin.

Begitu pun perkara-perkara yang tidak baik, tidak menjejaskan diri saya. Dahulu siapa yang hendak menjaga saya? Di rumah bolehlah emak dan ayah jaga, tetapi di luar, siapa hendak jaga? Bagaimana pun perkara negatif tidak pernah mempengaruhi saya sedangkan masa itu masyarakat paling rosak, sebab tidak tersusun seperti hari ini. Jadi saya terpelihara. Yang saya dapat itulah pengalaman. Apa yang berlaku dalam kehidupan manusia, saya campurkan dengan apa yang saya dapat dari bacaan saya. Padahal waktu itu, hendak dapat satu buku pun susah. Hendak beli buku bukannya ada duit. Bukan macam sekarang. Buku di depan mata dan senang hendak dapat. Dahulu susah hendak dapat. Oleh kerana susah, saya cari guru. Mana pergi pun, saya cari guru. Kadang-kadang sampai pukul 12 malam. Tetapi ramai yang saya tidak berkenan kerana tidak boleh membangunkan jiwa dan akal saya.

Jadi dari hasil pengalaman dan bacaan saya, disitulah saya kenal Rasulullah. Rasulullah SAW itu, waktu kecilnya tak seperti kita. Mungkin kerana dia hendak jadi pilihan Tuhan, dia hendak dijadikan orang besar Tuhan, dia hendak dijadikan pemimpin, penyelamat dunia dan akhirat, maka Tuhan siapkan dalam dirinya satu peribadi luar biasa. Akalnya luar biasa, rohnya luar biasa, perasaannya luar biasa, fizikalnya luar biasa dan nafsunya terdidik.
Contohnya, sewaktu Rasulullah muda, sama ada dia duduk dengan mak angkatnya, Halimatussa’diah, atau duduk dengan emaknya sendiri, Siti Aminah, atau duduk dengan datuknya Abdul Mutallib, maupun duduk dengan pakciknya, Abu Talib, di antara perangai Rasulullah ini kalau dia tidak diberi makan, dia tidak makanlah. Tidak macam anak-anak kita. Bukan tidak diberi makan langsung, lambat makan sikit pun sudah mula merungut-rungut. Rasulullah tidak. Begitu juga kalau dia makan, kalau tidak ada lagi makanan untuk ditambah, dia tidak minta. Katalah dia belum kenyang lagi tetapi dia tidak minta. Sebab itu siapa yang jaga Rasulullah akan rasa hairan dengan budak ini yang tidak macam budak-budak lain. Perangainya pelik.

Baginda juga kurang bermain-main dengan budak lain. Kecuali orang-orang tertentu sahaja seperti Sayidina Abu Bakar. Masa kecil-kecil, dia tidak tahu Sayidina hendak jadi sahabat dia. Dia tidak tahu lagi bahawa dia akan jadi pemimpin. Dia pun tidak tahu Sayidina Abu Bakar itu akan jadi orang kuatnya.
Jadi, masyarakat yang tengok Rasulullah ini sangat terkesan. Dia lain dari budak-budak lain. Tidak pernah bergaduh. Bahkan tidak tahu bergaduh. Kalau orang ajak bergaduh pun , dia tak nak. Tidak akan jadi bergaduh. Kan pelik!
Adakalanya dia terpengaruh jugalah macam budak-budak lain. Hendak pergi tengok tarian gelek. Masa itu jahiliyah. Sampai-sampai sahaja tempat persembahan, dia terus tidur. Bila bangun, dia tinggal seorang. Orang sudah balik. Orang yang perasan, akan terus tanya, “Mad, seronok yang tengok malam tadi”. Dia kata, “Tidak, saya tidur. Saya tidur nyenyak. Orang dah bersurai, baru saya bangun. Selesai sahaja orang bersurai, saya bangun. Bukan setakat penyanyi sahaja tidak ada. Penonton semua pun dah balik.” Tuhan jaga dia. Dua kali sahaja dia pergi dan berlaku begitu.

Di antara perangai Rasulullah ialah dia rajin bekerja. Sejak budak-budak lagi dia jaga kambing dan ikut pak ciknya berniaga. Yang peliknya, dia berniaga itu, siapa yang ajar dia? Agama belum datang lagi. Wahyu belum turun lagi tetapi dia tak pernah letak harga. Dia berniaga tetapi tak pernah letak harga. Kalau orang hendak beli barang, tanya dia berapa harganya, dia kata,”Bayarlah berapa yang awak yakin.” Di situlah banyak dia dapat untung. Orang beri lebih dari harga biasa. Dia berniaga itu pula bukan harta sendiri, harta Khadijah. Itulah Siti Khadijah jatuh hati.”Mengapa budak muda ini dapat untung banyak?”

Rasulullah ini, diwaktu mudanya, selalu menyendiri dan termenung. Apa yang dia menungkan bukan seprti angan-angan budak kita. Budak-budak kita, kalau dia termenung, yang dia fikirkankan,” Rokok tak ada. Duit tak ada. Hendak minta duit dengan mak takut. Takut-takut kena marah”. Rasulullah tidak. Baginda merenung jauh. Merenung masyarakatnya. Melihat masyarakatnya selalu bergaduh, selalu bertengkar, selalu berperang, berjudi, minum arak, berfoya-foya, hidup tidak menentu, tidak ada matlamat, tipu menipu, jatuh menjatuhkan,dia sedih. Hendak selesaikan dia tidak tahu. Dan dia tidak ada panduan. Tapi waktu itu rasa bertuhannya sudah kuat. Seolah-olah mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Supaya ditunjuk, diselamatkan masyarakatnya.

Pernah ada orang memerhati, ditengah malam, dia keluar ke tengah padang pasir, medongak ke langit. Mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Seolah-olah hatinya berkata, “Janganlah biarkan hamba-hambaMu, bangsa ku ini dalam keadaan haru biru ini. Hidup tak ada matlamat, hidup dalam maksiat dan hidup dalam kejahatan. Hidup dalam pergaduhan dan pembunuhan.” Dia mendongak ke langit. Itu waktu dia muda remaja. Sudah ada rasa hendak bertanggung jawab. Tetapi tidak tahu bagaimana kerana belum ada panduan lagi.

Kemuncaknya, dia akhirnya mengasingkan diri ke Gua Hira’. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang dua minggu, kadang-kadang sampai sebulan. Dia bawa bekal. Kalau sebulan, dia bawa bekal untuk sebulan. Waktu itu dia sudah kahwin dengan Siti Khadijah, tetapi umurnya masih sekitar 20-an. Jadi isterinya pun hairan mengapa dia pergi ke suatu tempat di gua, duduk di sana, adakalanya sampai sebulan. Itulah Rasulullah. Dia terlalu mengharapkan panduan dari Tuhan untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berbuat. Maka berlakulah pada satu hari, malaikat datang. Cerita ini semua sudah tahu, iaitu malaikat datang dan mengajarkannya 5 ayat dari Surah Al Alaq.

Maklumlah, tidak ada pengalaman, maka dia pun ketakutan. Dia balik ke rumah macam orang sakit. Isterinya tanya, “Apa sudah jadi pada abang ini?” Dia pun ceritalah pengalamannya. Kemudian Khadijah bawa jumpa sepupunya, Waraqah bin Naufal, berumur 80 tahun, yang beragama Nasrani. Jadi, Rasulullah pun cerita pengalamannya kepada Waraqah. Waraqah faham pengalaman inilah yang pernah berlaku pada rasul-rasul yang sudah. Dia pun menenangkan Rasulullah, “Engkau jangan takut. Allah sayangi engkau. Engkau sudah jadi orang besar Tuhan. Engkau akan jadi penyelamat. Engkau akan ambil berat hal-hal orang lain. Engkau akan menolong orang.” Itulah kata-kata Waraqah bin Naufal. Waktu itu Rasulullah berumur 40 tahun.

Tetapi pelik. Selepas itu wahyu tak datang lagi. Sudahlah, Rasulullah tidak ada pengalaman. Baru pertama kali menerima wahyu, dia takut dan menggigil. Kerana itulah dia mengadu pada isterinya yang faham dan dapat beri kekuatan kepadanya. Mujur ada Waraqah bin Naufal yang menenangkan dia. Tetapi selepas itu, putus wahyu selama 2 tahun. Jadi Rasulullah menunggu, hinggakan Rasululullah jadi rindu hendakkan kedatangan wahyu itu lagi. Setelah dia sudah tenang, sudah sempat berfikir tentang apa yang berlaku, sudah rasa rindu maka setelah 2 tahun, barulah datang wahyu lagi. Tetapi bukan menyambung ayat. Ayat itu disambung waktu lain.

Malaikat datang dengan surah kedua iaitu ayat “…ya ayyuhal mudhassir.” Selepas dua tahun. Kali kedua jumpa malaikat, keluarlah ayat itu. Bukan lagi di Gua Hira’. Waktu dia ingin sangat hendak dapat wahyu, ketika dia sedang berjalan-jalan di satu malam, dia terkejut dan ketakutan, melihat malaikat yang pernah dia jumpa di Gua Hira’. Kali ini dia lihat malaikat macam terawang-awang di antara langit dan bumi. Rasulullah ketakutan lagi. Hari itu bentuk lain. Hari itu kan dia kena peluk tiga kali. Kali kedua ini dia melihat, malaikat yang dia berjumpa di Gua Hira’ dahulu berada antara langit dan bumi. Seolah-olah duduk di awang-awangan. Waktu itulah dia dapat ayat itu.

Jadi Rasulullah ini dari muda lagi dijadualkan oleh Tuhan. Perangainya berbeza sangat dari orang lain. Waktu itu, mana ada agama lagi tetapi dia sudah beragama.

DOSA-DOSA YANG TIDAK DIPEDULIKAN MANUSIA

tua

Semua umat Islam faham bahawa yang dimaksud dengan berdosa adalah bila manusia melanggar larangan-larangan Allah SWT dan meninggalkan perintah-perintah Allah yang berkaitan dengan amalan-amalan lahiriah. Tetapi berapa ramai umat Islam yang tidak mempedulikan dosa-dosa yang berkaitan dengan amalan batiniah.

Sebenarnya dosa dapat kita klasifikasikan ke dalam beberapa jenis, di antaranya:

dosa-dosa anggota lahir terhadap manusia dan Tuhan
dosa-dosa batin terhadap sesama manusia
dosa-dosa ilmu yang tidak diamalkan
dosa-dosa tidak syukur nikmat
dosa-dosa perjuangan bagi anggota jemaah perjuangan
dosa-dosa batin dengan Tuhan
dosa kerana melupakan dosa-dosa

Masyarakat umum menganggap bahwa yang dianggap dengan dosa adalah hanya yang berkaitan dengan aspek-aspek lahiriah saja seperti menipu, berbohong, mencuri, berzina, korupsi, memukul orang yang tidak bersalah, memfitnah, meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa dan lain-lain. Ada juga yang lebih halus, walaupun lebih sedikit jumlahnya. Mereka menganggap dosa juga amalan-amalan batin yang berkaitan dengan manusia lain seperti ego, hasad dengki, pemarah, bakhil dan lain-lain.

Jarang orang yang menganggap dirinya berdosa kepada Tuhan bila dia tidak melaksanakan perintah Allah seperti tidak belajar ilmu fardhu ‘ain, tidak mendidik anak isteri untuk di bawa kepada Tuhan, tidak pemurah, tidak berkasih sayang, tidak tawadhu, tidak pemaaf, tidak simpati kepada orang yang susah, tidak berakhlak mulia dan sebagainya. Padahal semua itu merupakan dosa-dosa kepada Allah.

Jarang juga orang menganggap dirinya berdosa bila dia tidak mengamalkan ilmu yang pernah dipelajari terutamanya ilmu-ilmu fardhu ‘ain, ilmu-ilmu baiki diri. Padahal ilmu-ilmu yang kita pelajari yang tidak kita amalkan, atau tak berniat untuk mengamalkannya, itu adalah satu dosa juga.

Allah berfirman dalam Al Qur’an: “Sungguh besar kemurkaan Allah kepada mereka yang mengatakan (ilmu) tetapi tidak mengamalkannya.“ (As Saff:3)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya, akan diazab Allah 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala.“

Jadi jelaslah satu dosa yang nyata bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Patutnya kita selalu berdoa dan merintih kepada Allah agar kita dilindungi dari ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak diamalkan.

Kadang kala terjadi pembaziran dalam dalam menuntut ilmu. Ilmu-ilmu fardhu ‘ain dan baiki diri tidak sungguh-sungguh dituntut sehingga ilmu fardhu ‘ainnya tidak cukup, tetapi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pekerjaan di dunia seperti matematik, ekonomi, biologi, kimia dan lain-lain dipelajari sampai berlebih. Terjadi kekurangan dalam ilmu fardhu ‘ain dan baiki diri tetapi pembaziran dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pekerjaan di dunia. Padahal mubazir adalah kawan syaitan. Inilah yang terjadi di dalam sistem pendidikan di dunia sekarang ini. Ilmu yang diterapkan dalam pekerjaan profesional seorang sarjana maksima 10% dari ilmu-ilmu profesional yang dia pelajari di bangku sekolah atau universiti.

Firman Allah dalam Al Qur’an:

Dan janganlah kamu membazir. Bahwasanya orang-orang yang membazir itu adalah daripada golongan syaitan dan syaitan itu sangat kufur pada Tuhan. (Al Isra’: 26 – 27)

Ada satu jenis dosa lain yang orang kurang peduli dan ambil perhatian yaitu dosa tidak syukur nikmat atau dosa kufur nikmat. Terjadi salah faham tentang syukur ini. Majoriti masyarakat menganggap bahwa syukur adalah mengucap alhamdulillah ketika mendapat nikmat dari Allah. Padahal syukur tidak cukup dengan sekadar mengucap Alhamdulillah, dia mesti dibenarkan oleh hati. Bila mendapat nikmat, hatinya teringat kepada Tuhan yang memberi. Selain itu nikmat itu mesti digunakan di jalan Tuhan.

Bila ketiga hal ini tidak dapat dilakukan, ertinya dia masih kufur nikmat lagi. Bila mendapat rezeki, menyebut alhamdulillah, tetapi tidak menggunakan wang itu di jalan Tuhan, tidak berkorban fisabilillah, tidak membantu orang miskin, tidak membangun berbagai projek kebaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Orang ini masih belum bersyukur lagi, padahal dalam Al Qur’an Allah berfirman yang maksudnya:

“Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya.“ (Al Baqarah: 172)

“Jika kamu bersyukur akan Aku tambah nikmat-nikmatKu, tetapi jika kamu kufur tunggulah azabKu yang amat pedih”. (Ibrahim: 7)

Orang yang bersyukur selain melakukan ke-3 aspek di atas, dia akan iringi dengan rasa takut kalau-kalau nikmat itu tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berniat sungguh-sungguh untuk menggunakan nikmat itu hanya untuk Allah.

Bagi pengikut sebuah jemaah perjuangan kebenaran, lebih-lebih lagi jemaah perjuangan kebenaran yang dijanjikan, ada kewajipan-kewajipan aradhi yang mesti dilaksanakan. Kalau para pengikutnya lalai atau tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan itu maka akan merosakkan imej Islam dan jemaah perjuangan itu.

Contohnya membersihkan rumah tamu, pejabat atau premis. Walaupun sudah ada orang yang ditugaskan resmi untuk membuat kerja-kerja itu, tetapi kalau ada seorang anggota jemaah yang melihat sampah atau kotoran di premis, kemudian dia biarkan saja, maka kesalahan ini termasuk dosa aradhi perjuangan yang cukup besar. Sebab para tetamu yang datang akan mendapat imej yang kurang baik terhadap jemaah dan Islam. Apalagi kalau sampai ada yang mengkritik secara terbuka. Sepatutnya para tetamu yang datang ke pejabat atau premis kita mendapat kesan yang sangat baik tentang Islam dan perjuangan sehingga mereka terdorong untuk lebih bersungguh-sungguh mencari Tuhan.

Contoh lainnya adalah berkorban harta dan tenaga ketika jemaah perjuangan hendak membangunkan sebuah projek kebaikan untuk masyarakat. Maka diwaktu itu seluruh anggota sepatutnya berlumba-lumba mengambil peluang berkorban ini. Bila ada seorang yang menunggu, dia harap orang lain yang berkorban lebih dahulu, maka ini adalah satu kesalahan atau dosa yang aradhi.

Jenis dosa perjuangan lainnya adalah bila tidak saling berkasih sayang sesama anggota jemaah, tidak tolong menolong, tidak simpati terhadap kesusahan dan penderitaan kawan. Kalau kita pemimpin kita kurang peduli atau kurang memperhatikan keperluan anak-anak buah dari sudut makan minum, rumah tinggal, pendidikan keluarga, environment, pekerjaan, sembahyang, ibadah, akhlak dan lain-lain. Begitulah manusia senantiasa terlibat dengan dosa.

Ada 1 jenis dosa yang lebih besar dari dosa-dosa di atas, tetapi umat Islam secara umum termasuk para ulama dan sarjana Islam kurang begitu mempedulikannya yaitu dosa-dosa batin yang berkaitan dengan Tuhan seperti:

Tidak kenal Tuhan
Tidak cinta Tuhan
Tidak takut Tuhan
Tidak merasa kehebatan dan kebesaran Tuhan
Tidak bertawakkal kepada Tuhan
Tidak merasa Tuhan pemberi rezeki
Tidak khusyuk beribadah
Tidak yakin dengan Tuhan
Tidak ikhlas dengan Tuhan
Tidak takut pada ancaman Tuhan
Tidak harap pada rahmat Tuhan
Tidak redha akan takdir Tuhan
Tidak puas dengan pemberian Tuhan
Tidak sabar atas ujian Tuhan
Tidak syukur atas nikmat Tuhan
Tidak terasa di awasi Tuhan
Tidak terasa kehebatan Tuhan
Tidak rindu dan cinta dengan Tuhan
Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
Lalai dari mengingat Tuhan
Dan lain-lain

Padahal rasulullah SAW bersabda: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah“.

Jadi kewajipan awal dalam kehidupan manusia adalah mengenal Tuhan. Kalau manusia tidak kenal Tuhan, maka akan timbul berbagai jenis dosa-dosa lain yang mereka perbuat baik secara sadar ataupun tidak sedar. Bila tidak kenal Tuhan, sudah tentu tidak cinta dan takut Tuhan, padahal Tuhan itu patut dicintai. Bila tidak cinta Tuhan, maka otomatis tidak akan cinta kepada sesama manusia. Hidup manusia akan mementingkan diri, keluarga dan kelompok sendiri. Mengapa? Atas alasan apa kita dapat mencintai orang lain, sedangkan Tuhan yang sangat berjasa kepada kita yang telah memberi segalanya kepada kita, tidak kita cintai.

Kerana itu bila manusia jahil, tidak kenal dan tidak cinta Tuhan, otomatik cinta pada sesama manusia sudah tidak murni. Akibatnya kesan negatifnya terlalu banyak. Tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada tenggang rasa, tidak ada perikemanusiaan, keadilan dan kerja sama. Kalaupun ada kerjasama bukan kerana cinta, tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu tipis dan dapat berpecah kapan saja.

Selain itu, bila manusia tidak kenal Tuhan, maka manusia tidak akan takut pada Tuhan, walaupun mereka tahu bahwa Tuhan patut ditakuti. Akibatnya mereka tidak merasa pengawasan ghaib dari Tuhan sehingga tidak takut untuk membuat maksiat dan kejahatan. Kalau hukum Tuhan saja mereka tidak takut untuk melanggarnya, lagilah hukum-hukum dan peraturan buatan manusia. Akhirnya lahirlah berbagai kejahatan dalam masyarakat yang dibuat oleh orang-orang yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan. Bahkan yang lebih teruk lagi orang-orang yang pakar hukum dan penegak hukumpun berani melanggar hukum secara terang-terangan. Jadi tidak kenal Tuhan adalah punca atau sumber segala dosa dan permasalahan yang menimpa manusia di dunia.

Termasuk dalam dosa-dosa ini adalah tidak sabar dan tidak redho dengan ketentuan Tuhan. Bila diuji manusia tidak sabar, berkeluh kesah bahkan ada yang komplen dan menyalahkan Tuhan, merasa Tuhan tidak patut memberinya ujian yang begitu berat. Tidak redha dengan ketentuan, ketika Tuhan uji dengan kesusahan dan kepahitan hidup, mereka cemas, gelisah, hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat. Sebaliknya ketika Tuhan uji dengan kesenangan dan kemewahan hidup, mereka lupa daratan, hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan. Padahal Maha Suci Tuhan dari pada menzalimi hamba-hambaNya. Tuhan memberi ujian dengan maksud untuk menghapuskan dosa-dosa hamba-hambaNya agar tidak diazab di akhirat nanti atau untuk meningkatkan darjat hamba-hambaNya bila mereka sabar dengan ujian itu. Meraka yang sabar dengan ujian akan mendapat pahala bighoiri hisab. Allah marah kepada orang yang tidak sabar dengan ujian dariNya.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: Barangsiapa tidak redha terhadap takdir yang terjadi dan tidak sabar terhadap bala (cubaan) dari-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku. (Riwayat: At Tabrani)

Jangan Ambil Ringan Dosa

Jangan anggap kecil dosa yang kita buat sejak kita baligh, sekalipun ia kecil pada pandangan lahir manusia. Pada pandangan manusia mungkin dosa itu kecil atau bukan dosa tetapi ia besar pada pandangan Tuhan. Bila dikata dosa ertinya nerakalah. Dosa walau sebesar habuk pun, kalau Tuhan tidak ampunkan, maknanya besar sebab dapat membawa manusia ke dalam neraka. Jangan anggap ringan dengan berkata, “alah kecil sebesar habuk”. Kalau kita paham, ini akan mengganggu perasaan kita. Dosa ertinya neraka, kalau neraka, kecil besar sama saja.

Dosa yang besar, manusia akan terasa dan kalau ia bertaubat dan meminta ampun, maka bila Tuhan ampunkan selesailah. Tetapi dosa yang kecil sebesar habuk, atau dosa-dosa batin seperti yang dihuraikan di atas, tidak nampak dan tidak terasa kecuali oleh orang-orang yang sensitif dengan Tuhan saja. Bila tidak terasa, maka dia akan lupakan dosa-dosa itu dan dia tidak akan bertaubat dan meminta ampun kepada Tuhan. Maka sudah menjadi satu dosa lagi. Dosa di atas dosa. Kadang-kadang manusia sangat mengambil perhatian tentang dosa-dosa lahir yang besar tetapi dengan dosa kecil atau dosa-dosa batin yang tidak nampak dia tidak ambil peduli. Matilah dia dalam keadaan tidak merasa berdosa. Maka matilah dia dalam kemurkaan Allah. Ini yang Tuhan marah. Kerana itu jangan pandang kecil atau lupa-lupakan dosa.

Mari bertaubat atas dosa-dosa

Kalau kita perhatikan betapa banyaknya dan menggunungnya dosa-dosa yang kita buat sejak baligh yang belum kita taubatkan. Bahkan kebanyakan dosa-dosa itu tidak kita rasakan sebagai dosa sehingga telah kita lupakan. Kadang yang kita sedar sebagai dosa pun tidak kita taubatkan sungguh-sungguh. Melupakan atau meringankan dosa yang pernah kita buat sejak baligh adalah dosa. Akhirnya dosa kita sudah beranak pinak.

Jelaslah bahwa sejak baligh lagi manusia sentiasa berada dalam dosa yang menjadi hijab antara dirinya dengan Tuhan. Sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang manusia buat, Tuhan tidak pandang dan tidak terima. Bukan itu sahaja, bahkan di Akhirat kelak, Tuhan akan hukum dengan Neraka yang amat dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Tuhan itu merasa senantiasa berdosa dan bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan yang ia sadari.

Taubat ertinya kembali merujuk kepada Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang serta menyerah diri kepada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh. Yakni kesal, sedih, dukacita serta rasa tak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Merayu moga-moga Tuhan ambil perhatian. Merintih moga-moga Tuhan mendengar. Memohon agar Tuhan yang Maha Pengampun akan mengampunkannya. Meminta agar Tuhan memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Hati pecah-pecah itu menjadikan anggota-anggota lahir (mata, telinga, kepala, kaki, tangan, kemaluan) tunduk dan patuh dengan syariat yang Tuhan telah tetapkan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi perbuatan-perbuatan derhaka itu.

Taubat tidak cukup hanya dengan mengucapkan istighfar di mulut, tanpa hati merasa bersalah dan berdosa. Kerana itu tidak semudah itu pula Tuhan menerima taubat hamba-hamba-Nya, kecuali setelah menempuh syarat-syarat yang telah ditetapkan-Nya. Syarat-syarat taubat dibagi kepada dua sebagaimana dosa dan pahala terbagi kepada dua, yaitu syarat taubat diatas dosa dan kesalahan dengan Tuhan dan juga dosa dan kesalahan sesama manusia.

Antara syarat-syarat taubat yang berhubung kait dengan Tuhan ialah:

Pertama: Menyesal sungguh-sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Yakni terasa kesal, sedih, duka cita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Tuhan. Sekaligus datang perasaan menyerah diri padaNya.

Kedua: Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Tuhan itu.

Ketiga: Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Tuhan baik dosa besar maupun dosa kecil.

Diantara contoh dosa-dosa besar ialah meninggalkan sembahyang, tidak puasa, menenung nasib, minum arak, berzina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh.
Diantara dosa-dosa kecil ialah tidak menutup aurat, bergaul bebas lelaki dan wanita, melihat aurat yang bukan muhrim, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap lucah, bergurau berlebih-lebihan, berkelakar, membazir.

Kalau selama ini ia terlibat dengan perbuatan yang haram (seperti riba, tidak menutup aurat, minum arak) maka ia terus tinggalkan perbuatan tersebut. Kalau terlibat dengan dosa-dosa meninggalkan perkara-perkara wajib (seperti sembahyang dan puasa), maka ia tidak akan meninggalkannya lagi. Ia terus melaksanakan perkara-perkara yang wajib dengan bersungguh- sungguh dan membayar qada’ segala perintah wajib yang tertinggal itu.

Tetapi jika dosa dan kesalahan itu terhadap sesama manusia, selain menempuh 3 syarat taubat yang sudah disebut di atas, ia mesti meminta maaf atau minta redha (halal) kepada orang tersebut di atas dosa-dosanya. Dosa-dosa sesama manusia ini sebenarnya terlalu banyak. Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu:

Dosa berkaitan dengan harta seperti hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain. Ini semua mesti minta dihalalkan atau minta maaf pada orang yang bersangkutan, membayar hutang atau ganti ruginya.
Dosa berkaitan dengan peribadi, seperti pernah memukul, menempeleng, mencubit, merotan, mendera, mengikat dirinya, merantai, menyiksa, mencacatkan anggota badannya, mengurung atau memenjarakan dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang yang berkenaan atau menerima hukuman mengikut ketentuan syariat, sekiranya orang itu meminta dikenakan hukuman diatas perbuatan kita itu.
Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya. Seperti memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinakan dia, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, memfitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.
Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya, seperti pernah memegang-megang, meraba-raba, mencium anak gadisnya atau menzinai anggota keluarganya atau membunuh ahli keluarganya. Maka hendaklah meminta maaf dan meminta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, mesti sanggup untuk dibalas oleh pihak keluarganya baik dipukul, ditempeleng dan lain-lain mengikut syariat yang disahkan oleh mahkamah.

Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah-kaedah tadi barulah taubat itu diterima oleh Tuhan. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat ini melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan menyerah pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tidak diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi bila dosa yang dilakukan itu sesama manusia.

Begitulah kasih sayangnya Tuhan kepada hamba-hambaNya yang berdosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Tuhan dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa-dosa syirik, yang tidak dapat keampunan dari Tuhan. Kerana ia telah dinyatakanNya didalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi mengampunkan selain itu“ (An Nisa 48)

Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Tuhan. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.“

Firman Allah SWT: “Maka barangsiapa yang bertaubat, sesudah melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Maidah: 39)

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.“ – Ayat 110; Surah An Nisa’.

Berdasarkan Hadis-Hadis dan ayat-ayat Al Quran tadi dapat difahami bahawa wajib setiap orang Islam itu bertaubat daripada dosa-dosanya. Supaya tidak menjadi hijab antara dia dengan Allah. Setelah bersih dari pada dosa, maka hijab pun terangkat. Terhubunglah kembali kasih Allah yang terputus selama ini. Dia memandang hambaNya itu dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga rahmatNya melimpah ruah. Justru itu, hiduplah si hamba yang bertaubat itu dengan penuh bahagia di dunia dan mendapat balasan Syurga di Akhirat. Sebab itu ALLAH minta dan memujuk hamba-hambaNya supaya segera bertaubat.

FirmanNya yang bermaksud:“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan TuhanMu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…” Surah Ali Imran; ayat 133.

Berdasarkan ayat ini Tuhan meminta kita bersegera bertaubat dari segala dosa-dosa baik yang besar maupun yang dan perbuatan makruh yang dibenci Allah. Kerana mati itu tidak tahu bila masanya. Boleh jadi mengejut, datang tiba-tiba. Setelah bertaubat memohon keampunan Tuhan, Tuhan menyuruh kita segera mengejar Syurga. Yakni dengan cara melakukan amal soleh atau amal kebajikan seperti berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, bersedekah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang dan sebagainya.

Takutilah Dosa-Dosa Batin

Ada seorang yang pernah melakukan dosa besar 20 tahun yang lalu dan dia setiap hari merasa berdosa, menyesali dan menagisi dosanya sehingga matanya rabun dan dadanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis. Bertaubat seperti ini merupakan satu ibadah yang baik. Takutnya kepada Tuhan itu akan menjadi syafaat bagi dia di dunia dan di akhirat. Ini lebih besar dari sembahyang dan puasa sunat. Sebab tujuan taubatnya tercapai iaitu mendapat rasa hamba. Ini satu anugerah dari Tuhan, sebab bukan mudah untuk mengingati apalagi menyesali dosa-dosa yang pernah kita buat beberapa puluh tahun yang lalu. Pada suatu hari Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, “Apakah ada umatmu yang nanti dapat masuk syurga tanpa hisab?” Jawab baginda,”Ada, iaitu orang yang mengenang dosanya lalu dia menangis.”

Ada juga hamba Allah yang terlalu tajam rasa bertuhannya sehingga setiap kali selesai membuat kebaikan menurut ukuran manusia biasa dia segera bertaubat kerana dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak sempurna. Dia merasa kebaikan yang dia buat itu tidak ikhlas kerana Allah, terselit kepentingan-kepentingan lain atau dia merasa tidak beradab kepada Tuhan yang senantiasa mengawasinya dalam membuat kebaikan itu. Dia terasa yang dia buat itu bukan suatu kebaikan tetapi suatu kedurhakaan kepada Tuhan walaupun secara lahiriah suatu kebaikan. Hamba seperti ini senantiasa merasakan dirinya berdosa dan ibadah-ibadahnya tidak sempurna. Tanpa anugerah dari Allah, sangat sukar bagi manusia untuk memiliki sifat kehambaan yang halus seperti ini. Sangat sukar untuk mengesannya, ia memerlukan pandangan mata batin, tidak cukup dengan mata lahir dan akal saja.

Kadang suatu amalan nampak baik oleh mata dan akal tetapi kalau dicermati dengan hati yang tajam ternyata suatu kejahatan. Contohnya mengerjakan sembahyang. Mata lahir mengatakan baik, akal-pun berkata demikian juga. Tapi kalau kita tanya hati, susah untuk memberi jawaban baik atau tidak baik. Kalau lepas mengerjakan sembahyang, hati kita rasa senang, rasa selamat dengan sembahyang itu, maka rosaklah ibadah kita itu. Selepas sembahyang dipuji orang hati rasa bangga dan berbunga, habislah semua. Itulah yang dimaksudkan ibadah itu menjadi hijab dan dosa. Mana boleh selepas sembahyang kita rasa senang dan tenang. Patutnya kita rasa takut dan cemas sebab sembahyang kita tidak sempurna, ada lalai dan cacat di sepanjang sembahyang. Hati sepatutnya bertanya-tanya, sembahyang aku ini Tuhan terima atau tidak? Tuhan redho atau tidak? Tuhan tidak pandang mata dan aqal, tetapi Tuhan pandang hati manusia walau ibadah lahir mesti dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: Hari kiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang menghadap Allah membawa hati yang selamat. (Asy Syuara’: 88 – 89)

Sabda Rasulullah SAW: Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu. (Riwayat: Muslim)

Sebenarnya ketika menghadap Tuhan kita sedang menghadap Raja dari segala raja. Sebab itu bagi orang yang betul-betul faham, ketika dia hendak sembahyang dia bimbang dan gelisah takut tidak beradab di hadapan Raja segala raja. Macam raja besar dunia hendak memanggil kita rakyat biasa ke istana, tentu kita ada rasa takut dan cemas, bertanya sana-sini tentang tata cara dan sopan santun menghadap raja. Apa pantang larangnya. Waktu pergi sebelum menghadap sudah susah hati dan bimbang, waktu sedang menghadap-pun susah hati dan bimbang. Selepas menghadap pun susah hati dan bimbang, takut kita sudah tidak beradab dan kurang ajar di hadapan raja. Begitulah rasa hati rakyat jelata yang dipanggil menghadap ke istana raja besar.

Tuhan adalah raja dari segala raja. Patutnya kita lebih merasakan susah hati dan bimbang ketika menghadapNya dibanding dengan menghadap raja besar manusia tadi. Apakah hati kita merasakan ini? Kalau tidak rasa begitu, benarkah kita beribadah kepada Tuhan? Menyembah Tuhan? Kalau hatinya betul-betul ikut sembahyang atau dengan kata lain dia sangat menghayati sembahyangnya, maka hatinya akan takut, bimbang dan cemas. Kalau orang yang kenal dan faham Tuhan, maka sebelum mengerjakan sembahyang hatinya sudah gelisah. Orang lain tidak nampak hatinya yang gelisah. Setelah sembahyang dia merasa betapa telah tidak beradabnya dia ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Besar itu. Sebab itu selepas sembahyang sebelum berdoa mengajukan berbagai permintaan kepada Allah, dia bertaubat dahulu, beristighfar dahulu di atas dosa sembahyangnya yang tidak sempurna. Atau Setidak-tidaknya dia rasa bimbang dan cemas. Barulah setelah itu dia berterima kasih kepada Allah yang telah memberinya kekuatan untuk menyembahNya dan dengan penuh harap dia berdoa kepada Allah.

Itulah yang dimaksudkan kadang-kadang kita tidak sadar kebaikan yang kita buat berubah menjadi kejahatan. Sembahyang kita yang lalai dan tidak sempurna itu telah membuat kita rasa senang dan selamat, padahal dia membuat kita terhijab dari rahmat Tuhan. Dosa-dosa batin ini sangat halus, susah dikesan dan dirasa. Orang yang secara lahirnya membuat kebaikan tetapi terhijab dari rahmat Tuhan, dia tidak bertaubat. Kalau kesalahan yang lahir misalnya minum arak dan berjudi, mudah manusia mengesannya sehingga mereka dapat segera bertaubat. Tetapi kesalahan dan dosa batin susah.

Cuba kita tanya orang yang sembahyang. Bagaimana sembahyang saudara tadi? Kalau dia kata Alhamdulillah dengan senang hati dan rasa selamat dengan ibadahnya, tanpa ada rasa berdosa, sebenarnya dia sedang membuat satu dosa batin. Orang dulu walau takut dengan dosa lahir, tetapi mereka lebih takut dengan dosa-dosa batin. Di celah-celah ibadah dan kebaikan ada dosa, ada tidak beradab dengan Tuhan. Sebab itu ada hadis yang menyebutkan bahwa seorang hamba menjadi wali Allah bukan kerana faktor sembahyang dia yang banyak, baca Qur’an yang banyak, tetapi kerana hatinya sangat halus dengan Tuhan. Orang yang beribadah kerana fadhilat, inginkan syurga atau kerana takutkan neraka, selalu tertipu. Hati dia rasa senang dan selamat dengan ibadahnya. Tidak risau, bimbang dan cemas apakah ibadahnya diterima Tuhan atau tidak. Ibadah orang-orang yang mengejar fadhilat ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupannya sehari-hari. Tidak ada bedanya antara yang orang yang beribadah dengan yang tidak.

Soal rasa dan hati ini sangat sulit dan halus. Para sahabat secara umum memiliki hati yang tajam. Saidina Umar bin Khattab memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi sehingga begitu bimbang dengan keselamatan dirinya.

Kalau dia berjumpa dengan Abu Huzaifah yang Allah anugerahkan pandangan batin yang tajam, dia akan bertanya, “Wahai Abu Huzaifah, apakah aku ini orang munafik?”

Pada kesempatan lain ia berkata pada dirinya, “Kalaulah ada penghuni neraka yang Allah ampunkan dan beri rahmatNya kemudian Allah masukkan ke dalam syurga, aku harap akulah orang terakhir yang Allah keluarkan dari neraka itu.”

Itulah kebimbangan dan kecemasan orang bertaqwa. Mereka tenang dengan dunia, kemiskinan, kesusahan dan lain-lain tetapi sangat sensitif dan cemas dengan dosa-dosa kepada Tuhan. Hati mereka harap dan takut pada Tuhan.

Apa yang dimaksud dengan harap dan takut? Tanda berharap adalah dia berbuat dan tidak putus asa. Dia mengharap rahmat Allah. Tanda takut adalah dia sudah berbuat, tetapi takut dan cemas Tuhan tidak terima amalan dan taubat dia. Jadi harap itu ada asasnya. Berharap di atas perbuatan dan amalannya, dia baik sangka dengan Tuhan. Bila sudah berbuat hatinya bimbang juga, sebab yang kita buat amalan yang lahir. Yang batin kita tidak nampak, Tuhan tahu. Mungkin ada kesalahan yang kita tidak sadar. Kita rasa sudah tidak ada masalah. Disitulah perlu ada takut. Jadi takut disini ada hubung kait dengan kita merendah diri di hadapan Tuhan. Seolah kita mengaku, ‘walau aku sudah berbuat tetapi tidak sempurna. Engkau Maha tahu. Sebab itu aku takut, cemas. Aku sudah berbuat yang lahir, tetapi ada yang batin. Aku tidak tahu yang batin ini’.

Adanya perasaan takut ini menunjukkan ada benda lain: rendah diri dan tawadhu. Kalau tidak tawadhu, tidak akan lahir benda seperti itu, takut-takut Tuhan tidak terima. Tapi kalau tidak tawadhu, dia akan rasa dan yakin seluruh amalannya diterima Tuhan. Dia akan rasa selamat. Rasa ini menafikan rasa kehambaan. Lebih jauh dari itu keyakinan yang terlalu kuat bahwa amalannya diterima Tuhan, selain merupakan dosa batin, ia dapat menggelincirkan tauhid seseorang sebab orang tersebut merasa seolah-olah pandangannya sudah sama dengan pandangan Tuhan.

Satu jenis tipuan lagi adalah perasaan tenang dan steady dengan dosa yang dibuat baik dosa lahir maupun dosa batin. Mengapa dia rasa tenang. Sebab dia tahu bahwa Allah Maha pengasih Maha Penyayang. Mengapa ini disebut satu tipuan?

Memang benar dan tepat bahwa Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tetapi perasaan tenang, steady dan tidak susah hati dengan dosa itu yang salah. Seolah-olah tidak perlu sungguh-sungguh bertaubat atas dosa sebab Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dia yakin Allah akan mengampunkan dia walau tidak sungguh-sungguh bertaubat. Mengampunkan atau tidak itu hak Allah, tetapi memiliki keyakinan ini yang salah bahkan dapat merosak tauhid sebab sudah jelas disebut dalam berbagai ayat Qur’an dan hadis bahwa Allah murka dan marah kepada hamba-hamba yang berdosa dan tidak sungguh-sungguh bertaubat atas dosa-dosanya. Yang halus dan seni-seni seperti ini susah untuk faham, kalau kita tidak ada ilmu tasawuf, tidak dipimpin oleh seorang guru mursyid.

PUISI: TIDAK BIMBANG DENGAN DOSA ADALAH DOSA

Engkau tidak bimbang akan berlakunya dosa di masa-masa depan
Itulah menunjukkan engkau telah berdosa
Kerana engkau yakin dengan diri engkau sendiri, bahawa engkau akan selamat dengan dosa dan kesalahan
Yakin engkau dengan diri engkau itu engkau sudah tidak beradab dengan Tuhan
Sepatutnya engkau mengharapkan pemeliharaan dari Tuhan terhadap diri engkau
Sebenarnya engkau mana ada kuasa
Kerana itulah engkau perlu kepada penjagaan dari Tuhan
Tuhanlah yang boleh menjaga diri engkau dan diri kita semuanya

Perlunya kepada Tuhan itu amat penting
Ini menunjukkan kelemahan kita dan ingin pertolongan Tuhan
Rasa seumpama ini adalah sangat disukai oleh Allah
Kerana kita masih dapat mengekalkan rasa kehambaan
Tuhan sangat suka seseorang hamba itu dapat merasa kehambaan
Seorang hamba dia tidak boleh rasa aman
Dia sepatutnya selalu bimbang jika terbuat dosa atau melakukan kesalahan
Dia selalu runsing dengan kelemahannya dan kecuaiannya
Bila-bila sahaja dia boleh melakukan kesalahan dan kesilapan

Begitulah sifat orang mukmin itu, dia tidak pernah merasa aman
Kerana itulah rasa bertuhan begitu menebal
Dia mengharap selalu hidayah dan taufik dari Tuhan
Dia tidak merasa selamat tanpa Tuhan
Kerana itulah Tuhan sentiasa dalam ingatannya
Dia yakin Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkannya
Memang Tuhan itu salah satu sifatnya adalah penyelamat

MEMBERI KASIH SAYANG DENGAN CARA YANG TEPAT

Perlunya-kasihsayang

Sebenarnya untuk mendidik rakyat, anak-anak dan murid-murid, memang tidak terlepas dari kasih sayang sebab ia merupakan keperluan. Bagaimanapun kasih sayang itu bukan atas dasar akal, nafsu atau perasaan. Pendapat akal itu mesti ditapis oleh syariat. Kehendak atas dasar nafsu itu perlu ditapis syariat. Begitu juga perasaan itu mesti dicensor oleh syariat. Setelah disahkan oleh syariat, itulah kaedah yang boleh dipakai. Itulah dia cara atau pendidikan yang akan perlu digunakan untuk murid-murid dan rakyat. Itu pun syariat sahaja tidak cukup bila tidak ditunjang iman. Walau pun atas dasar ilmunya ia berdasarkan syariat tetapi kalau Tuhan tidak wujud di situ, syariat itu sudah jadi ideologi, jadi isme. Mana boleh ideologi itu baiki manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bila mana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan, manusia tidak akan boleh dididik. Kalau begitu dalam mendidik manusia ini, samada ibu bapa hendak mendidik anak-anak, guru-guru hendak mendidik muridnya atau pemimpin hendak mendidik rakyatnya, tidak boleh merujuk pada 3 aspek tadi. Mesti dirujuk pada iman dan syariat Tuhan. Dengan kata lain, rujuk pada Tuhan dan syariat Nya. Mungkin peringkat awal menggunakan kaedah ini, sesetengah golongan tidak rasa diberi kasih sayang tetapi sebenarnya jangka panjang baru dia akan dapat hasilnya. Jangka panjang barulah dia akan faham dan boleh terima bahawa apa yang dilakukan ibu bapa, guru atau pemimpin itu membuahkan hasil yang baik. Dia akan rasakan itulah kasih sayang.

Peringkat awal mungkin dia rasa tersiksa dan terasa diikat oleh disiplin tetapi bila sudah cerdik, setelah dia mendapat faedah dari hasil didikan itu, barulah dia terfikir, rupanya bijak mak ayah atau guru atau pemimpin buat dia begitu. Cara pendidikan dengan iman dan syariat ini sebenarnya, buahnya tidak dirasa dalam jangka pendek. Tetapi jangka panjang, bila dia sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan berkata, Bijaknya orang-orang yang sudah mendidik aku hingga aku jadi begini. (Samada ibu bapanya, gurunya atau pemimpinnya) Mereka akan rasakan kemuncak kasih sayang ibubapa, guru atau pemimpin itu adalah untuk selamatkan orang yang dididik itu dari neraka. Hingga dapat masuk syurga yang nikmatnya kekal abadi. Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang tidak dapat dirasa peringkat awalnya.

Mendidik orang dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini, tidak akan ke mana. Jangka pendek akan merosakkan dan jangka panjang nanti akan merugikan. Jangka pajang menyesal tidak sudah. Pemimpin, ibubapa atau guru yang mendidik dengan mengatakan dunia ini adalah segala-nya, nikmat dunia ini termasuk makan, minum, kenderaan dan rumah adalah segala-galanya, walaupun niatnya baik dan orang yang dididik cepat terasa, tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana untung seguni, rugi segunung. Orang yang dididik itu tidak terasa sebab hasilnya cepat. Dia fikir, Baik mak ayah aku. Bagi orang yang faham, dia akan kata ini pengkhianat bangsa. Bagi Allah dan Rasul, pendidik itu dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Pemberian kasih sayang mengikut usia anak

Kemudian kasih sayang yang hendak kita beri itu pula ia berperingkat-peringkat :

1. Anak yang baru lahir hingga darjah satu. Anak-anak di usia ini, dia akan rasa disayangi dengan sentuhan-sentuhan pada dirinya. Walaupun tidak kita cakap, tidak diberi ilmu, dari sentuhan itu dia akan faham maknya sayang. Pada golongan ini, kasih sayang dapat ditunjukkan dengan didukung, dicium, bergurau.

2. Anak yang sekolah rendah hingga remaja. Ayah, ibu tidak tunjuk sayang atau benci. Kecuali pendidik akan hukum atau marah bilamana dia buat kesalahan yang berat. Pendidik boleh bercakap sedikit perkataan yang memberitahu kita kasih kepadanya. Sekadarnya, sebab takut dia riak. Selain itu berilah hadiah.

3. Golongan anak yang sudah dewasa. Pendidik dapat menunjukkan kasih sayang dengan dijadikan kawan. Kadang kita dengar ilmunya, tanya khabar berita, ajak berbincang.

Itulah peringkat-peringkat dalam cara memberi kasih sayang. Cara memberi kasih sayang dengan bertunjangkan Tuhan dan syariat memang susah sedikit, tapi untungnya untuk jangka panjang sangat besar.

Macamlah kita hendak makan durian yang manis, maka kita letak baja tahi ayam dan tahi lembu pada pokok durian itu. Nanti hasilnya akan dapat buah durian yang manis. Kalau dicampak gula yang manis pada pokok itu, mungkin pokok itu akan mati.

Rasulullah-lah paling sayang umatnya. Semoga ibu bapa, guru, pemimpin, berusaha bersungguh-sungguh memberi kasih sayang pada orang-orang dibawah tanggung jawabnya, dengan cara yang telah Rasul SAW contohkan.

CUKUPLAH MATI SEBAGAI PENASIHAT

 

mati

Dalam Al-Quran Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya.” (Mulk: 2)

Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:

Tuhan jadikan mati dan hidup
Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya.

TUHAN JADIKAN MATI DAN HIDUP

Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukanTuhan yang menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan. Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka.

Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup. Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat.

Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun.

Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun

Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.

1. Penderitaan sewaktu mati
Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, “Si Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja,” itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita tahu.

Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
– mata terbeliak
– telinga kembang
– berbunyi macam kerbau berdengkur

Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah penderitaan mati.

Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang . Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat 300 tetakan.

2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, “Kau siapa?” Lembaga itu akan menjawab, “Aku ini kejahatan engkau.” Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?

3 . Penderitaan Padang Mahsyar
Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?

4. Penderitaan Neraka
Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?

Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.

Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.

Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?

Penderitaan dunia dan Akhirat itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di dunia ini macam digigit nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa. Walaupun sebenarnya kadarnya bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan. Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko dibaham singa mengapa? Sebenarnya bandingannya entah berapa ribu kali ganda.

Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah makan, apa yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke mana? Tak ke istana tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat, katalah kita makan epal, kita gigit kali pertama, lain rasanya, gigit lagi kali ke dua sudah lain pula rasa, bertambah sedap, bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut, tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak durian di dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah, dalam sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke tandas! Betapa indahnya Akhirat!

Di Syurga, orang yang paling lemah iman dapat 50 bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New York, tapi tidak dapat digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah orang hadiah kita 50 bandar macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan. Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu pun tentu letih, jemu, fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat, teringat sahaja sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya lebih tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York, niat sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja sudah sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang tidak jatuh. Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak takut.

Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua isteriisteri, kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk Syurga sama, habislah. Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah. Di Syurga kehidupannya tidak pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang masa. Teringat gaduh pun tak. Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.

Di Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun dahsyat, sebab itu Tuhan sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia kecil tidak ada harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai setakat sebelah sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.

Kerana dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka orang jahat diberi banyak, siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang baik-baik, makin tidak dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk para kekasih Tuhan, Tuhan berkata: “Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan di Syurga.”

Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat, munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi tumpuan pada Akhirat daripada dunia.

Dijadikan Hidup Untuk Diuji
Manusia hidup didunia tetapi tidak mahu diuji,tidak kenalah.Sebab itu sudah dasar Tuhan.Manusia kena akur dengan Tuhan.Setelah manusia diuji Tuhan hendak tengok siapa di antara manusia yang biasa,siapa yang jahat.Yang baik ke Syurga yang jahat ke Neraka.

Kalau mengikut pandangan kita,ujian itu benda yang negatif ujian itu ada dua bentuk:

1.Ujian yang menyukakan,menggembirakan, atau menyenangkan (positif)
Contoh: Menjadi raja, Perdana Menteri, pegawai tinggi, dapat kekayaan, harta banyak, ilmu banyak dan sebagainya. Itu di antara contoh besar.

2.Ujian yang tidak menyukakan,mendukacitakan atau menyusahkan (negatif)
Contoh:Lumpuh,sakit kronik,sakit yang teruk,tidak boleh jalan,itu paling azab.Ujian lain sudah ringan,contohnya orang mengata kita,isteri tidak sayang,suami benci.Luka atau kudis lagi ringanlah. Di antara dua ujian ini yang lebih mudah merosakkan manusia adalah ujian senang. Sebab itu Tuhan sebut yang banyak masuk Neraka adalah orang kaya, high class tetapi yang banyak masuk Syurga adalah orang miskin.

Padahal lojiknya kalau orang kaya atau high class tentu boleh buat baik, ada kuasa tolong orang, bantu orang, hiburkan orang. Tapi yang berlaku tidak begitu. Bila jadi kaya raya, jadi megah, sombong, ada kuasa, zalim. Bila ada yang mencabar, dia akan mencari jalan supaya orang tersebut dipersalahkan untuk ditangkap. Jadi lojik tidak boleh pakai.

Sebelum dapat, lojik berfikir: Kalau aku kaya, aku akan tolong orang,bantu orang,untuk dapat pahala besar.Tapi bila sudah jadi kaya,jadi jutawan,dia sudah jadi Tuhan pula.Seperti Firaun,dia raja tapi dia kata:Ana rabb,Ana Rabb.Dia mengaku Tuhan.

Jadi dari segi logiknya,sebelum kaya kita berfikir:kalau aku kaya aku akan buat baik,tolong orang,bantu orang,banyakkan sedeqah.Orang miskin aku tolong,kan baik.Bila sudah kaya apa yang terjadi?Sombong,bakhil,makin megah.Logik sudah tidak boleh pakai.Sebelum dapat pakai logik,kalau tak kaya,macamana nak buat baik?Macam mana nak naik haji?Tapi bila sudah kaya lain jadinya.

Begitu juga bila ilmu belum dapat,kita berfikir:Kalau dapat ilmu banyak boleh khidmat pada orang,boleh ajar orangaku boleh tunjuk jaln.Itu secara logik.Tapi bila sudah dapat kita jadi megah,sombong dan meghina orang yang bodoh.

Jadi sebenarnya ujian yang positiflah yang banyak merosakkan daripada ujian yang negatif.Tapi Tuhan Maha Bijaksana,segala apa yang dilihat di dunia ini Tuhan sudah siapkan hujah disini.Katalah ada orang kaya,berkuasa,diazab oleh Tuhan,kerana derhakanya,dia hendak bahas:Wahai Tuhan,aku kena azab ni sebab Engkau juga.Engkau bagi aku kaya,bagi aku kuasa ,sebab itu aku jadi jahat.Kalau Engkau tidak jadikan aku raja dan kaya,aku taklah kena azab.Lalu Tuhan memberi hujah dengan berkata:Bukankah ada di kalangan orang baik yang jadi raja?Nabi Sulaiman jadi raja,Nabi Daud jadi raja,Nabi Muhammad jadi raja tapi mereka lebih baik dari engkau.Sebab itu di kalangan Rasul ada tiga orang yang Tuhan jadikan raja supaya jadi hujah di Akhirat.

Kalau orang kaya pula kata pada Tuhan: “Saya ini jahat pasal Engkau jadikan aku kaya. Cuba Engkau tidak jadikan aku kaya, tentu aku tidak jahat.” Lalu Tuhan berkata: “Engkau mana lebih kaya dari Nabi Sulaiman?” Orang tersebut tidak boleh menjawab. Kemudian Tuhan berkata: “Dia lebih kaya dari engkau tapi dia jauh lebih baik dari engkau.”

Ada juga orang miskin masuk Neraka. Walaupun banyak juga orang miskin masuk Neraka tapi orang high class lebih banyak. Orang miskin pun berhujah pada Tuhan: “Macam mana aku tidak jahat, Engkau miskinkan aku. Aku nak makan terpaksa mencuri, terpaksa menipu. Kalau aku kaya tidaklah jadi begitu.”

Lalu Tuhan pun bertanya: “Engkau lebih miskin atau Nabi Muhammad lebih miskin?” Maka orang tersebut tidak boleh menjawab. Jadi Tuhan berkata, “Aku jadikan mati dan hidup untuk manusia diuji dengan ujian positif atau negatif, dengan maksud siapa di kalangan kamu yang baik.” Rupanya bila diuji, ramai orang jadi jahat. Jadi nampaknya dengan ujian yang menggembirakan, orang makin ramai jadi jahat berbanding orang yang diuji dengan kesusahan. Kalaupun jahat tidak sebesar yang dibuat orang yang senang.

Jadi hidup di dunia ini ujian. Kalau tidak kuat dengan Tuhan tidak takut dan cinta Tuhan, tidak pandang besar Akhirat, ujian apa pun sama ada positif atau negatif, kita akan tewas. Senang pun gagal, miskin pun gagal. Berkuasa pun gagal, tidak berkuasa pun gagal.

Sebab itu Tuhan adalah penting dalam hidup kita. Besarkan Akhirat itu penting, supaya apa pun ujian, kita tidak terjejas. Apapun ujian sama ada positif atau negatif, tidak mengubah kita, tetap Tuhan tujuan kita, kita tidak akan berubah.

Bahkan orang yang takut dan cinta Tuhan, kalau dia senang, misalnya dia jadi raja, banyak harta maka banyak kebaikan yang dia boleh buat seperti sedekah, tolong orang, bantu orang, selamatkan orang.

Tapi kalau orang miskin, susah, sakit, menderita, kalau dia takut dan cinta Tuhan, pahalanya lain. Kalau nikmat dia tidak dapat, kalau dia redha maka dia dapat pahala sabar. Kalau sabar apa kata Tuhan:

Maksudnya: “Kalau sabar, aku bagi hadiah tidak berkira, bighairi hisab.” (Zumar: 10)

Maka sudah kalah orang kaya. Orang miskin bila nampak ada orang jual durian, tetapi dia tidak boleh beli hingga tercicir air liur, maka Tuhan ampunkan dosanya. Itulah rahmat Tuhan. Kalau orang miskin teringin beli durian tetapi tidak boleh beli, maka itu adalah penghapusan dosa. Maha Adilnya Tuhan.

Selama ini kita selalu persoalkan Tuhan. Sebenarnya apa yang Tuhan buatkan sudah adil. Para Rasul adalah orang yang paling kenal Tuhan dan kenal kerja Tuhan, apa pun Tuhan buatkan pada dia, Ilia faham bahawa itu adalah keadilan Tuhan. Rasul-rasul sejak lahir sudah diuji tetapi tidak pernah susah hati. Contohnya, Nabi Ibrahim lahir di gua, Nabi Musa waktu bayi lagi dihanyutkan di sungai Nil.

Bahkan ada di antara kita beribadah kerana hendak pahala banyak tetapi mendapat lebih banyak pahala dengan tidak ibadah. Ada orang hendak pahala banyak lalu beribadah banyak, yang lain pula hendak pahala banyak tetapi ibadahnya tidak banyak. Biasanya orang yang hendak banyak pahala, dia akan banyak bersolat dan berpuasa, tetapi pahalanya tidak banyak. Sebenarnya pahala yang banyak adalah apabila sakit. Bila sakit selalu, itu dianggap banyak bersembahyang dan berpuasa. Sebab itu para Rasul sakit pun tidak merasa susah. Bagi mereka perkara itu adalah kerja Tuhan.

Untuk dapat pahala banyak, apakah kita larat sembahyang 1000 rakaat? Jadi kalau sakit panjang hendaklah redha. Itu kalau orang faham kerja Tuhan. Jadi bagi orang yang faham kerja Tuhan, bila ditimpa sakit, dia sabar, redha, kerana di situ lebih banyak pahalanya.

Bila orang miskin nampak makanan yang banyak tetapi tidak boleh beli kerana tidak mampu, di situlah keampunan Tuhan. Selalunya kita kata, “Kenapa Tuhan buat begini?” Isteri menyakitkan kita itu pahala. Tuhan buat itu untuk bagi pahala. Lebih baik isteri meragam dan redha dengannya. Lain kali kalau isteri celupar mulut, kita kata elok-elok, nanti pahala di catit. Bila dia berhenti rugilah, “Cakap lagilah jangan berhenti lagi, ini income aku.” Lama-lama isteri malu sendiri. Kalau kita faham kerja Tuhan, kita akan seronok dengan Tuhan.

Sekian.

Call Now
Directions