Monthly Archives: June 2017

MUHASABAH RAMADHAN

ramadhan 2

Umat akhir zaman dijanjikan dengan kemenangan yang akan berlaku seperti apa yang pernah terjadi di zaman Baginda Nabi saw. Walaupun begitu, sebelum zaman yang sebegitu bermakna muncul di depan mata, dunia Islam mengalami zaman fitnah yang panjang. Inilah yang sedang berlaku di hari ini.

Hal keadaan umat Islam tiada jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Bahkan dari segi kehidupan dunia, nyata sekali orang-orang bukan Islam mengatasi umat Islam. Sedangkan ALLAH berjanji bumi ini hendak diserahkan pada hamba­-hambaNya. Firman-Nya: Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh.(Al Anbiya’: 105)

Tetapi mengapa janji ALLAH itu belum pun terjadi? Jawabnya ialah kerana kita umat Islam tidak mengikut petunjuk Al Quran. Kita ambil kulit lahir dari Al Quran tetapi tidak mengambil isinya. Kita hafal dan syarahkan ayat-ayat Al Quran tetapi kita tidak beramal dengannya. Sebab itu kita tidak menjadi peribadi Al Quran. Akal, jiwa dan fizikal kita tidak terbentuk oleh Al Quran. Tetapi lebih dicorakkan oleh sekularisme.

Sebab itu cara hidup kita lebih bersifat sekular daripada bersifat Islam atau Al Quran. Di waktu pejuang-pejuang Islam meriuh-rendahkan sistem hidup Islam, mereka tidak pun menyiapkan peribadi-peribadi Al Quran yang boleh menjayakan sistem tersebut. Walhal tentu mereka maklum bahawa sistem hanya berlaku kerana ada manusia-manusia yang mencetuskannya. Sistem tidak terjadi secara tiba-tiba dan ajaib (miracle). la perlukan proses awal pembinaannya oleh orang-orang yang mahu melakukannya.

Sistem Al Quran hanya terjadi dalam realiti bilamana lahir ke dunia ini manusia-manusia Al Quran bergerak. Yakni Nabi Muhammad SAW bersama Sahabat­-Sahabat Baginda. Selagi Al Quran tidak difahami bacaannya, juga tidak diamalkan dalam kehidupan, maka selama itulah kita akan hidup dalam suasana krisis, huru-hara, gelisah, maksiat dan mungkar. Dan juga berada dalam kemurkaan ALLAH SWT. Ingatlah firman ALLAH dalam surah Al Haj ayat 41: (laitu) Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.(Al Haj: 41)

Ya! Sepatutnya sepanjang bulan Ramadhan ini, ilmu kita akan bertambah. Yakni ilmu Al Quran yang kita baca. Yang mana dengan ilmu yang makin bertambah dan makin matang, perlaksanaanya pun makin halus, maka sepatutnya kita mendapat berkat yang banyak di bulan yang dikatakan bulan berkat itu.

Dan sepatutnya kita jadi bertambah mulia. Kerana memasuki bulan yang sangat mulia itu. Juga sepatutnya kita menjadi semakin pemurah sebagai hasil berpuasa. Kerana puasa itu adalah untuk melahirkan rasa timbang rasa kepada fakir miskin. Dan sepatutnya kita juga mendapat rasa ke­harnbaan dan tawadhuk dalam pergaulan hasil dari berpuasa. Kerana puasa boleh mengikis rasa sombong, angkuh, takabur dan hasad dengki dari dada manusia.

Hingga tercetuslah kasih sayang dan perpaduan sebenar dalam masyarakat. Hasil dari latihan berpuasa sebulan Ramadhan.Tetapi sedih sekali, kerana apa yang sepatutnya terjadi, tidak pun terjadi. Kita tidak mendapat hasil yang patut didapati daripada menempuh Ramadhan. Mengapakah terjadi demikian? Mengapa ilmu tidak bertambah walaupun membaca Al Quran? Mengapa perlaksanaan Islam tidak meningkat sedangkan sudah berkali-kali kita dilatih oleh Ramadhan?

Mengapa akhlak umat Islam tidak berubah-ubah dari jahat kepada baik? Mengapa perpaduan sebenar sebagai saudara seIslam tidak berlaku? Bahkan krisis menjadi-jadi. Mengapa kemungkaran masih bermaharajalela, mencengkam dan mencekik kehidupan kita? Ya, mengapa dan mengapa segala persoalan negatif ini masih belum dapat diatasi?

Sedangkan peranan Ramadhan ialah untuk mendidik manusia menyelesaikan semua masalah ini? Tentu ada yang tidak kenanya dengan bacaan Al Quran kita, dengan puasa dan mujahadah kita itu. Yakni dalam masa Ramadhan masih bersama kita ini. Mari kita mencari puncanya. Supaya kita boleh menghadapi dan menghayatinya dengan betul. Kita kena usaha untuk memenuhi syarat-syaratnya dengan sempurna.

Supaya kita dapat menikmati isi-isi dan roh Ramadhan, bukan kulit lahirnya sahaja. Sebab ALLAH hanya memberi pahala kalau kita dapat menempuh syarat dan adabnya sahaja. Yang mana kalau fikiran dan jiwa kita berubah, hasil melakukan ibadah sepanjang Ramadhan, kita akan mendapat pahala yang besar dan penghapusan dosa-dosa.

Jadi sekarang disenaraikan dengan izin ALLAH, sebab-sebab mengapa kita belum mendapat hasil yang sepatutnya daripada didikan Ramadhan.

1. Umat Islam ramai lagi yang tidak membaca Al Quran walaupun di bulan Ramadhan. Ramai juga yang membacanya tetapi oleh kerana ianya dalam bahasa Arab, maka tidaklah difahami ertinya. Sedikit sekali umat Islam yang berusaha membaca terjemahan Al Quran dan tafsirannya. Sebab itu ramai sekali umat Islam yang tidak ada pada mereka ilmu Al Quran. Kalau ada, tidak pula bertambah-tambah ilmunya. Bila ilmu tidak ada, dengan apa umat Islam hendak tegakkan Islam? Macam orang hendak berperang tetapi tidak ada senjata, macam mana hendak berperang?

2. Dalam hal puasa, umumnya umat Islam hanya tidak makan dan tidak minum. Yakni puasa lahir sahaja. Sedangkan batinnya tidak berpuasa. Akalnya tidak pun dikawal dari ber­fikiran jahat dan hati atau rohnya dibiarkan kotor dengan mazmumah. Yakni tidak cuba dibersihkan dari sifat-sifat keji. Matanya dibiarkan liar, lidahnya celupar, telinga dibuka lebar, semua boleh masuk sekalipun maksiat. Sedangkan puasa batin ini sama penting dengan puasa lahir. Maka kalau tidak di­lakukan, ertinya manusia itu tidak berpuasa dan tidaklah ada hasilnya. Maksiat pun terus menjadi jadi. Rasulullah SAW bersabda: Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak men­dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. (Riwayat An Nasai’ dan Ibnu Majah)

3. Ada juga umat Islam yang cuba melakukan puasa batin itu, kerana mereka ada ilmu tentangnya. Tetapi sering gagal. Mereka tidak dapat menundukkan akal, roh, mata, telinga dan lidah kepada kehendak ALLAH. Sebab tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh mujahadah. Hasilnya, nafsu jugalah yang menang hingga maksiat dan dosa tidak dapat dikawal.

4. Sembahyang sunat Tarawih, agak ramai yang melakukannya tetapi tidak dengan khusyuk dan tawadhuk. Maka jadilah ibadah itu seperti pokok yang tidak berbuah. Ertinya, bertambah sembahyang tapi tidak bertambah rasa kehambaan kepada ALLAH. Maka akhlak tidak berubah.

5. Kebaikan yang dibuat di dalam maksiat tidak akan berkat dan tidak membawa hasil yang sepatutnya. Kalau di bulan Ramadhan, kita masih terlibat dengan maksiat di tempat kerja atau di rumah dan lain-lain tempat yang ada maksiat di dalamnya, puasa kita pun tidak berhasil. Macam buat rumah atas lumpur, mana boleh tahan!

Itulah dia lima perkara penting yang perlu dilakukan di bulan Ramadhan, supaya ibadah kita benar-benar berkesan. Yakni mencapai matlamat Ramadhan yang sebenar. Apakah matlamat yang dimaksudkan? laitu berdasarkan firman ALLAH: “Wahai orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu jadi orang yang bertaqwa”. (Al Baqarah: 183)

sumber: www.suaramuhajirin313.blogspot.my

umar al khattab 2

Call Now
Directions