Monthly Archives: November 2017

APAKAH ENGKAU KENAL NABI-MU?

Apakah engkau benar-benar kenal Nabimu?
Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaninya,
Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?
Atau engkau kenal secara rambang sahaja?
Sebenarnya kalau engkau kenallah secara lahir dan batin, jasmani, rohaniahnya,
peribadi Nabimu pasti engkau jatuh hati padanya,
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya melalui selawat
dan ingatan padanya,
Engkau akan terasa terhutang budi padanya, kerana kedatangnya dan
jasanya kepada dunia.

Muhammad Nabimu S.A.W., Nabimu dia seorang manusia istimewa,
Luar biasa yang tiada taranya,
Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah S.W.T. ,
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas agar engkau kenal Nabimu sendiri,
Siapa dia yang sebenarnya?

Ia adalah Muhammad anak Abdullah,
Ibunya Aminah,
Bangsa Quraish dari Bani Hashim,
Nasabnya hingga ke Nabi Ibrahim,
Dia adalah anak yatim piatu, seorang anak yang
tidak pernah dapat bermanja dengan ibu dan bapanya seperti orang lain,
Dia lahir dari keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh keluarga
yang miskin.

Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan,
Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad,
Dan Nur Muhammad-lah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan,
syurga, dunia, akhirat, para malaikat, `arasy,
kursyi, sirat, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya.

Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad S.A.W,
yang lain tidak akan diwujudkan,
Kalau begitu rupanya Nabi kita membawa rahmat, zahir dan batin kepada
semua makhluk Tuhan,
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh, yang akhir nisbah jasad
dikalangan para Nabi,
Dia adalah satu-satunya Nabi yang di isra` dan di mi`rajkan,
Mukanya laksana bulan purnama kerana cahaya yang terang,
Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan,
Kerana itulah dia dipanggil Habibullah oleh Allah,
ketua seluruh para Rasul dan para ambiak,
penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia.

Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat,
Orang yang memberi syafa`tul kubro di Akhirat dan orang pertama masuk Syurga,
Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap,
merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung,
Tiada siapa yang dapat menirunya,
Dia memiliki ilmu dunia dan Akhirat sekalipun dia tidak perlu menulis
dan membaca.

Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya,
Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa,
Adakalanya laksana ibu dan ayah,
adakalanya macam kawan yang membela dan setia,
adakalanya dirasakan guru, adakalanya bagaikan pemimpin,
dan adakalnya bagaikan ketua tentera.

Setiap orang yang semajlis dengannya
merasakan dapat layananya memuaskan darinya,
Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian daripada Tuhan-nya,
Keberaniannya luar biasa,
Dia boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya,
Tidak sedikit pun takut dengan raja-raja,
Setiap orang yang meminta-minta tidak pernah dikecewakannya
sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia,
Ibadahnya banyak terutama sembahyang sehingga
bengkak-bengkak kakinya kerana,
terlalu lama berdiri di hadapan Tuhannya.

Baginda tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan,
Di sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja.
Satu perbuatan yang luar biasa.
Tidak pernah menghina, mencaci dan merendah-rendahkan orang lain.
Sangat pemalu dan merendah diri,
sangat menerima keuzuran orang,
sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan ;
dan bermacam-macam bentuknya,
Kerana itulah dia dapat menjadi ketua Ulul Azmi
daripada keseluruhan para Rasul Alaihimussaltuwassalam.

Dia suka kepada seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah.
Hatinya begitu jaga, matanya sahaja tidur tetapi hatinya tidak tidur.
Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wuduknya.
Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan,
27 kali dia ikut sama atau ikut serta,
Tetapi pelik, tidak pernah dia membunuh
musuh-musuhnya walaupun seorang.

Anak-anak didikannya itulah dia para sahabat
sehingga dia berkata ” Sahabat-sahabatku laksana bintang di langit,
mana satu yang kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk”,
“Para ulama` umatku laksana para Nabi Bani Israil” ,
Jolokan ini tidak didapati oleh umat-umat Nabi sebelumnya,
Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis,
dibaling dengan batu hingga berdarah,
dibuang daerah selama tiga tahun, dikepung hendak dibunuh,
berhijrah meninggalkan tanahair
dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan.

Kemulian di sisi Allah S.W.T begitu ketara dan terserlah
iaitu namanya dikampilkan dengan nama Tuhannya,
Iaitu di dalam dua kalimah syahadah,
Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak
diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya,
Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut namanya,
Doanya sangat Qabul bahkan siapa yang hendak berdoa,
bertawassul dengannya lebih diterima doanya,
Sesiapa yang banyak berselawat dengannya diberi syafaat di Akhirat,
Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat .

ALLAHU AKBAR

Allahu Akbar adalah salah satu sifat Tuhan,

di dalamnya terkandung atau terhimpun

seluruh sifat-sifat Allah yang sempurna

Sebagai yang terpokok yang wajib diketahui

itulah dia sifat Tuhan yang dua puluh

Yang lebih terperinci ialah Asmaul Husna yang 99

Kalau secara detail Maha Besarnya Tuhan itu

Dia mempunyai sifat-sifat yang sempurna yang tidak dapat dihinggakan

Kerana itulah di dalam sembahyang perpindahan dari rukun ke rukun

disuruh menyebut Allahu Akbar

Di dalam apa saja kemenangan disuruh jangan tinggalkan menyebut Allahu Akbar

 

Fahamlah kita Allahu Akbar,

Tuhan ada mempunyai himpunan sifat-sifat yang sempurna tidak berkesudahan

Menyebut saja Allahu Akbar,

ertinya kita mengakui keseluruhan sifat-sifat kesempurnaan-Nya

 

Allahu Akbar ini kalau Tuhan rasakan kepada gunung-gunung,

hancur-luluhlah gunung

Kalau Allah Taala rasakan kepada lautan,

akan bergelombang besarlah laut, banjirlah dunia

Matilah semua kehidupan di laut dan di daratan

Jika kehebatan Allahu Akbar itu dirasakan kepada langit runtuhlah langit

Berguguran segala matahari dan bulan dan seluruh planet,

kiamatlah dunia sebelum Kiamat

Kalau Allah Ta’ala rasakan pula kepada bumi,

bergerak dan bergelombanglah bumi, mati semua kehidupan

Jika dirasakanlah kepada para binatang,

akan matilah bergelimpangan di daratan dan di lautan

 

Allah Ta’ala rasakan kepada orang yang bertaqwa sesuai dengan kadar ketaqwaannya

Tuhan batasi rasa itu mengikut peringkat-peringkatnya

Kalau Tuhan rasakan kepada golongan yang bertaqwa Allahu Akbar itu lebih

daripada yang sepatutnya

Di waktu itu matilah mereka

kerana tidak tahan dengan rasa kehebatan Allahu Akbar

 

Maha Besar Tuhan, Maha Agung Zat Yang Maha Esa

Siapa saja yang tidak terasa kehebatan Tuhan,

atau tidak gementar dengan kebesaran Allah

Ertinya rohnya sudah mati sebelum kematian badannya

Marilah kita berlindung dengan Allah,

daripada tidak terasa kebesaran Tuhan.

06-12-2002 ( 1 Syawal 1423H)

 

Call Now
Directions