Daily Archives: March 29, 2018
DIALOG ANTARA LANGIT DAN BUMI
Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata bumi kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik daripada kamu kerana Allah s.w.t. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, lautan, sungai-sungai, tanam-tanaman, gunung-ganang dan lain-lain.
Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, falah, buruj, ‘arasy, kursi dan syurga ada padaku.”
Bumi menjawab, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan roh para wali dan solihin (orang-orang yang baik).”
“Hai langit, sesungguhnya pemimpin para sekalian nabi dan sekalian rasul bahkan penutup para nabi, juga kekasih Allah s.w.t. seru sekalian alam berada di atas perutku, baginda seutama segala yang wujud serta kepadanya diberikan penghormatan yang paling sempurna itu, tinggal di tempatku. Dan baginda menjalankan syari’atnya juga di tempatku.”
Langit tidak dapat berkata apa-apa apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri lalu mengadap Allah s.w.t. dengan berkata, “Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”
Lalu Allah s.w.t. mengabulkan permintaan langit. Allah s.w.t. kemudiannya memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau Izrail jangan mencabut nyawa pada malam ini.”
Jibrail a.s bertanya, ” Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?”
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”
Kemudian Jibrail a.s. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail a.s.terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail a.s. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?”
Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”
Berkata Jibrail a.s., “Aku akan mempertemukan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail a.s.memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad SAW.
Begitulah kebesaran Rasulullah SAW, yang mana langit pun mendapat kemuliaan bilamana baginda Rasul diangkat kepadanya dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Begitu juga dengan kerinduan buraq kepada nabi akhir zaman itu hingga bercucuran air matanya. Kita umatnya ini patutnya lebih-lebih lagi merindui baginda, tapi kerinduan kita kepada baginda masih jauh dari ISO yang sepatutnya. Perjuangan dan pengorbanan kita untuk Islam masih belum membuktikan kecintaan dan kerinduan kita kepada baginda.
Ya Rasulullah, pandulah kami, ajarkanlah kami hingga kami pandai memberikan kerinduan yang sewajarnya kepadamu