Daily Archives: October 3, 2018

Cinta Rasulullah SAW kepada anak yatim

Cinta Rasulullah SAW kepada anak yatim

 

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda : “Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini – sambil Baginda menunjuk dengan kedua-dua jarinya – jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya, sebagai isyarat rapatnya mereka dan duduk bersama-sama Nabi di dalam syurga). (Hadis Riwayat Bukhari)

Anak yatim merupakan duta kecil Nabi. Mendekati mereka bermakna mendekati Baginda. Banyak hadis yang menceritakan kelebihan orang yang menjaga dan berbuat baik kepada anak yatim. Sayang sekali kalau kita tidak teruja dengan tawaran eksklusif ini. Islam sangat mengambil berat perihal anak yatim. Jika disemak dalam al-Quran, Allah menjelaskan berkenaan anak-anak yatim di pelbagai tempat.

Siapakah anak yatim?

Anak yatim merujuk kepada anak-anak yang kematian bapa. Bahkan ada yang berpendapat ibu, atau jika kematian salah seorang daripada ibu atau bapa. Tetapi pendapat yang lebih kuat ialah anak yang kematian bapa. Mengapa bapa? Kerana bapa diibaratkan ‘tangan’ yang akan membawa pulang makan-minum dan sebagainya untuk keluarga. Justeru kehilangan bapa akan memberi kesan kepada perkembangan anak-anak tersebut baik dari sudut mental, fizikal, keyakinan diri dan kewangan.

Berkaitan usia anak-anak yang dikatakan anak yatim, Saiyidina Ali berpendapat umur anak yatim ialah sebelum umur baligh. Hal ini bermaksud setelah baligh dia tidak lagi dikira sebagai anak yatim. Manakala menurut Imam Hanafi, usia anak yatim ialah anak-anak yang berada di bawah umur 18 tahun.

Sikap berbuat baik

Allah Taala menyebut di dalam Surah ad-Duha ayat 9-10 : “Pada anak yatim itu ada penawar yang menyembuhkan. Pada anak yatim itu juga ada racun yang sangat menyakitkan. Sekiranya hatimu tega dan rela dengan kesusahan mereka ertinya kau lupa dengan pesan Allah ini. Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berkasar, dan terhadap pengemis janganlah kau herdik.”

Mereka ini mempunyai hak untuk ditunaikan seperti mana yang disebut dalam ayat di atas, berbuat baik kepada mereka adalah perkara yang paling terpuji, dan menyakiti mereka adalah perkara yang paling dikeji. Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang menanggung makan minum seorang anak yatim Muslim sehingga cukup keperluannya, maka wajib baginya syurga.” (Riwayat al-Tabarani)

Rasulullah sangat menyayangi anak yatim, perasaan ini semuanya datang daripada hati Baginda yang penuh dengan cinta. Baginda pernah mengalaminya, kerana itu baginda dapat menghayatinya. Semasa Perang Muktah walaupun dimenangi oleh umat Islam namun turut menyaksikan kehilangan ramai sahabat Nabi. Antaranya Zaid bin Harithah, diikuti Jaafar bin Abu Talib, sepupu rapat Baginda dan diakhiri dengan Abdullah bin Rawahah.

Pemergian Jaafar amat dirasai, beliau meninggalkan isteri dan dua orang anak kecil yang sedang membesar. Maka Rasulullah mengambil berat urusan mereka. Rasulullah pernah menjadi pengasuh anak yatim.

Daripada kisah ini kita boleh meneladani dan melihat betapa mulianya hati seorang Nabi junjungan mulia, mengajar kita erti cinta kepada anak yatim yang kehilangan tempat bergantung, bahkan mengambil tempat sebagai bapa angkat kepada mereka.

Cintailah dan Sayangilah Anak Yatim

Belajar dengan Rasulullah

Kita semua harus belajar daripada kisah yatim Rasulullah. Tentang erti kesabaran, kegigihan, keberanian dan kejujuran yang menjadikan Baginda seorang peniaga yang berjaya, hakim yang jujur dan bijaksana, pendakwah yang penuh hikmah dan tidak pernah mengalah, jeneral perang yang penuh strategi dan berani, ahli ibadah yang taat dan sering menangis, orator yang bicaranya memukau dan mempengaruhi telinga yang mendengar, pemimpin yang adil dan penuh kasih sayang, dan seorang Nabi dan Rasul yang sangat dicintai dan mulia.

Baginda merupakan idola si yatim yang hebat. Yatim bukanlah alasan untuk merasa malas, hina dan terasing. Sebaliknya harus menjadi pencetus motivasi untuk meraih kehidupan yang lebih baik dengan sifat jujur, amanah, rajin, gigih mencari ilmu dan iman demi kejayaan dunia dan akhirat.

Yatim hakiki adalah apabila miskin akhlak dan budi, sering tidak bersyukur akan kurniaan Allah. Sekiranya kita mengabaikan anak yatim, diri kita inilah yang yatim sebenarnya. Orang yang intim dan menjaga anak yatim akan intim dengan Rasulullah, bahkan akan intim dengan Allah.

Kasih sayang terhadap anak yatim sinonim dengan iman. Maka apakah kita beriman sekiranya mengabaikan anak yatim sama ada yang berada di kawasan berhampiran atau dalam masyarakat dan di negara kita?

Call Now
Directions