Daily Archives: March 21, 2019
Surah Al-Ikhlas dan huraiannya….
1.Pengenalan Dan Ringkasan Pada Surah Al-Ikhlas
SurahAl-Ikhlaṣ (الإخلاص) bererti Keikhlasan atau ‘Yang Ikhlas’ yang merupakan Penyataan Ringkas Tauhid, Perisytiharan Kesempurnaan Allah SWT serta Ketulusan Agama. Surah Ikhlas meringkaskan dalam empat ayat tentang ketuhanan dan keesaan Allah SWT.
Surah Al-Ikhlas terdiri daripada 4 ayat adalah surah ke-112 dalam Al-Quran. Al-Ikhlas bererti ‘Kesucian’ yang bermaksud untuk kekal suci dan setia atau keadaan membersihkan jiwa seseorang dari kepercayaan selain Islam, seperti paganisme, animisme dan sebagainya. Ini adalah satu-satunya surah dalam Al-Quran yang namanya tidak terdapat atau tidak mempunyai hubungan linguistik terhadap surah itu sendiri.
Ia juga dikenali sebagai Surah Pelindung. Surah ini adalah sebuah surah Makkiyah yang mengesahkan mengenai Bilal yang ketika diseksa oleh tuannya yang kejam iaitu Umaiyah, dia berulang kali mengatakan “Ahad! Ahad!” (Tunggal atau Esa, ia merujuk kepada Allah SWT).
2.Sebab Diturunkan
Terdapat di dalam beberapa riwayat yang dibawakan oleh ahli tafsir bahawa asal mula surah ini diturunkan adalah kerana pernah seorang musyrik meminta kepada Rasulullah SAW: “صف لنا ربك”– ‘Shif lanaa rabbaka’ (Cuba jelaskan kepada kami, baigaimana Tuhanmu itu,emaskah dia atau tembaga atau loyangkah ia?).
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Termidzi daripada Ubay bin Ka’ab, memang ada seorang musyrik meminta kepada Nabi SAW supaya dihuraikannya nasab (keturunan atau sejarah) Tuhannya itu. Maka datanglah surah yang tegas ini tentang Tuhan.
Abu Su’ud berkata dalam tafsirnya: “Diulangi nama Allah sampai dua kali (ayat 1 dan ayat 2) dengan jelasanya bahawa Dia adalah Esa, Tunggal, Dia adalah pergantungan segala makhluk, .Di ayat pertama ditegaskan KeesaanNya, untuk menjelaskan bersihNya Allah daripada berbilang-bilang dan bersusun-susun, dan dengan menjelaskan bahawa Dialah pergantungan segala makhluk, jelaslah bahawa padaNya terkumpul segala sifat Kesempurnaan dan Dia adalah tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaanNya, tidak pernah berkurang. Dengan penegasan ‘Tidak beranak’, ditolaklah kepercayaan setengah manusia bahawa malaikat itu adalah anak Allah atau Isa Al-Masih adalah anak Allah. Kerana tidak ada sesuatu pun yang ada persamaannya dengan Allah itu“.