Daily Archives: January 6, 2023
KALAU TERASA KEBESARAN TUHAN
Kalau seseorang itu terasa kebesaran Tuhannya,
Nescaya lebur kebesarannya
Di dalam kebesaran Tuhannya.
Fana di dalam kehebatan-Nya.
Terasa kerdilnya diri ini dan terlalu hinanya.
Tenggelam di dalam keagungan-Nya.
Jika seseorang terasa Maha Kuasa-Nya Tuhan.
Bagaimana besarnya kuasa seseorang itu
tidak terasa lagi ada kuasa pada dirinya.
Terasa sangat dirinya itu tertakluk di dalam kekuasaan Tuhannya.
Kalau seseorang itu terlalu kenal kemurahan Tuhannya.
Setiap detik sentiasa menerima anugerah-Nya dan kasih sayang-Nya.
Aduh! Malunya dia kepada Tuhannya.
Menjadikan dia seorang pemurah,
kerana mengikut Pemurahnya Tuhan-Nya.
Jika seseorang itu sedar sangat bahawa kehendak Tuhan itu lulus.
Apa sahaja boleh berlaku kepada seseorang itu.
Tuhan boleh buat apa sahaja terhadap dirinya.
Aduh kecut perutnya, menggeletar sendi-sendinya.
Cemas selalu, rusuh hatinya.
Kalau seseorang sentiasa sedar bahawa Tuhan Tahu,
Tuhan Melihat, Tuhan Mendengar,
tidak pernah lekang sekalipun sekelip mata,
sudah tentu rasa bertuhan menyelubungi rasa hatinya.
Dia rasa tidak tentu arah, serba salah.
Betapalah hendak membuat salah dengan sengaja.
Tidak tergamak dia hendak melakukannya.
Malu yang amat sangat hendak mengerjakannya.