Daily Archives: February 9, 2023
SEDEKAH BERKUALITI
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ قَالُوا وَكَيْفَ قَالَ كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.” (HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
- Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.
- Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari harta yang dimilikinya (dua dirham) walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar pada dirinya.
- Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya (hanya sedikit) kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.
- Sedekah itu bukan bergantung pada kuantiti namun yang lebih penting adalah kualiti dan keikhlasan.
- Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih
Mari kita hulurkan sedekah yang berkualiti.