Monthly Archives: March 2023

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Daripada ‘Aisyah radliallahu ‘anha bahawa “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh”. (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor.

2.  Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

Ayuh kita menuruti sunah Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat mengiringi waktu antaranya solat sunat sebelum zohor dan sebelum subuh.

MALAM NISFU SYAABAN


Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:”يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ”

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang syirik dan bermusuhan sesama mereka.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi’, baginda bersabda: ” Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?” saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ta’ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing.” (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan ibadat dengan solat sunat, zikir, membaca al-Quran, selawat, doa dan memohon keampunan setiap waktu dan masa.

07hb Mac 2023
14hb Syaaban 1444H

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan  takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, “Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan.” (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2.  Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3.  Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

27hb Februari  2023
06hb Syaaban 1444H

Call Now
Directions