ZIKIR TAUBAT
Surah Al Anbiya : 87
Laa ila hailla anta subhanaka inni kuntu minadzolimin….
( Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim )
~~~~~
Kekuatan orang bertaqwa kerana dia mampu bertaubat. Hendak elakkan dari melakukan dosa, kita tak mampu. Sebab memang begitulah seorang hamba. Para wali juga dikatakan mahfuz dan Rasulullah juga maksum tetapi mereka sangat merasa bersalah kepada Tuhan. Mereka mahfuz dan maksum dalam hal syariat sesama manusia tetapi Tuhan suruh Rasulullah membaca ayat itu kerana Tuhan mahu para hamba-Nya mengaku zalim terhadap Allah. Mereka juga diminta bertaubat mengaku diri zalim. Kalau kita yang membaca ayat ini, memang selayaklah kita mengaku zalim. Tetapi mereka ( para wali dan Rasulullah ) pun membaca ayat ini dan melihat diri mereka sebagai orang yang zalim.
Hebatnya ayat itu kerana ia sangat memperlihatkan kelemahan diri kita yang kita adalah orang yang jahat dan paling tidak selamat di zaman ini. Kalau seseorang dapat merendahkan dirinya begitu, semua merasa akan lemah, hina dan bolehlah merendah diri dan tak akan sombong, tak tengking orang, dia akan sentiasa menguasai dirinya. Kalau terbuat juga, dia taubat. Ayat ini membuatkan seseorang sangat melihat kejahatannya. Kalau orang puji, dia akan nampak yang ‘lain’ sebab dia kata… “aku termasuk orang-orang yang zalim”.
Kalau ada satu hari kita rasa tidak bersalah dan berdosa, itulah waktunya kita sangat bersalah dan berdosa kerana tidak ada rasa hamba dan melihat diri istimewa.
Seseorang yang tidak rasa takut selepas sembahyang, itu tandanya sembahyangnya tidak diterima. Begitulah bila kita tidak rasa hina, itu tandanya kita tidak ada rasa hamba. Melihatkan ini, kita jadi tertekan sangat sebenarnya. Tetapi sebenarnya bila kita tak mampu dan kita rasa bersalah, kita diberi peluang dan kemaafan. Islam itu memang indah. Sseseorang yang rasa takut selepas sembahyang, barulah sembahyangnya diterima. Kita dibingungkan dengan kenyataan-kenyataan bersifat roh. . Bila kita betul-betul rasa menghadap Tuhan dan ada buat silap maka kita rasa tak sempurna. Itulah satu tamsilan yang kita disuruh takut. Bukan saja disuruh tetapi siapa sembahyang yang tepat, dia mesti ada rasa takut dan itu ciri bahawa sembahyangnya diterima. Rasa takut yang bukan dipaksa-paksa tetapi ada gegaran ketakutan yang diperlukan.
Dalam zikir taubat ini, kita diminta melihat 1001 kejahatan diri terutama kepada Allah. Betapa kita mensia-siakan Allah. Sanggup melakukankan semuanya kerana cintakan keluarga tetapi kita tidak buat begitu kepada Allah. Kalau disuruh berkorban ke jalan Allah tidak seperti pengorbanan kita untuk anak-anak. Kalau untuk anak, tidak rasa terkorban pun. Tetapi kalau kepada Allah, kita rasa azab.(Contoh, bangun malam demi anak atau untuk qiam, mana yang mudah?)
Bagi orang yang bertaqwa, tidak perlu disuruh kerana Allah itu yang utama. Kita bahagia memberi kepada Tuhan yang sangat kita cintai. Kalau anak meminta sesuatu yang berat, memanglah rasa tersiksa tapi kita berdoa supaya dia dapat apa yang dia hajati. Itu baru cinta fitrah. Kalau anak menyusahkan kita teruk sangat pun kita rasa tak patut kalau dia tak ditolong. Tetapi kalau untuk cinta Allah, untuk Tuhan buat kita dapat balik khusyu’ kepada Allah, rasa berat……
Sepatutnya jika Tuhan hendak ambil balik anak kita seperti kisah Nabi Ibrahim, kita akan jawab, ‘saya setuju supaya Engkau dapat imbangkan nikmat dan ujian. Kalau kerana poligami yang buatkan saya terkenang-kenangkan Engkau, ya Allah… maka silakan..’
Dalam zikir taubat ini, kita diminta hitung kejahatan maka Tuhan kata, Aku hendak uji engkau.
Maha suci Allah, kerana-Nya, agama-Nya mampu menyelesaikan segala masalah bukan sahaja hutang malah poligami.
Sebuah Hadis menceritakan tentang seorang yang dapat melepasi semua halangan di Akhirat tetapi bila sudah sampai dekat dengan Syurga, dia tak boleh masuk. Bila nak masuk, ada orang yang tarik dia kerana dia rupanya masih berhutang. Ini bermakna, hutang itu besar di sisi Tuhan tetapi bagi kita tak penting. Hutang tidak ditangiskan dan tidak dirintihkan.
Dalam masyarakat solafussoleh, bila berlaku satu rompakan di dalam negeri, mereka akan tertanya-tanya apakah dosa yang sudah berlaku sehingga berlakunya rompakan? Begitu juga bila mereka berhutang. Mereka akan tercari-cari dosa apakah yang mesti ditaubatkan agar hutang diselesaikan Tuhan.
Sebenarnya kita belum bertaqwa. Bila kita bercakap, anak buah atau isteri atau anak-anak tidak mahu dengar. Tanyakanlah pada diri berapa kali habis zikir? Kalau sikit, patutlah lidah tak masin. Wirid itu adalah jalan taqwa.
Bila kita baca ayat ini, kita kata bahawa kita zalim tetapi kadang-kadang tak dapat rasa lagi yang kita zalim. Tambah bagi perempuan, mulutnya tidak boleh dipakai sangat sebab tidak dari hati. Hati sebenarnya belum menangis. Banyak kezaliman kita kepada Allah. Kita tidak membesarkan-Nya. Kita tidak pun merasakan kehebatan-Nya. Sedangkan oksigen itu kalau hanya sekejap tidak Dia berikan kepada kita, kita akan mati. Kita tidak takutkan Allah kerana itu kita boleh merajuk dengan suami. Kita tidak beradab dengan Allah. Kalau hati kita dihancurkan dalam pengembaraan ayat ini, mudah-mudahan kita sempat kekal dalam keadaan hamba.
Mereka yang sudah meningkat mungkin lebih cepat sebab mereka zikir dengan hati jadi dapat memecut dengan laju. Sebab mereka betul-betul dikuasai oleh ayat-ayat itu. Berbanding dengan kita, macamlah orang naik kereta dan kita naik basikal. Bukankah kita akan letih dan penat?
Leave a Reply