NABI MUHAMMAD SAW – RAHMAT SELURUH ALAM
Rasulullah SAW telah dilahirkan pada 12 Rabi’ul Awal, Tahun Gajah, di Kota Mekah. Kelahiran baginda membawa rahmat ke seluruh alam. Jika tidak kerana baginda, segala yang ada, tidak akan diciptakan. Kelahiran seorang Rasul Utusan Tuhan, sungguh besar ertinya. Ia bererti lahirnya seorang penyelamat, pemimpin, pembela, penunjuk jalan lurus, penghubung antara manusia dengan Tuhannya dan bagindalah orang yang memahamkan bagaimana untuk kita berhubung sesama manusia. Bagindalah sumber ilmu, sumber kebahagiaan, sumber kasih sayang, sumber ketenangan, sumber perpaduan, menyempurnakan kehidupan manusia dalam dua negara iaitu negara yang terdekat, dunia namanya dan negara yang jauh, yang kekal abadi yakni Akhirat. Begitu penting kehadiran seorang Rasul di mana kedatangannya membawa rahmat, bukan sahaja kepada manusia bahkan seluruh alam dapat merasa rahmat dan nikmatnya.
KELUARGA NABI MUHAMMAD SAW
Nama ibunya: Siti Aminah bt Wahab
Nama Bapa: Abdullah bin Abdul Mutallib
Nama Isteri-isteri baginda:
1. Siti Khadijah bt Khuwailid
2. Saudah bt Zam’ah
3. Siti Aisyah bt Abu Bakar
4. Habsah bt Umar
5. Zainab bt Khuzaimah
6. Ummu Salamah
7. Ummu Habibah bt Abu Sufyan
8. Juwairiah
9. Sofiyah bt Huyey
10. Zainab bt Zahsyi
11. Raihanah
Nama anak-anak baginda:
1. Zainab
2. Ruqayyah
3. Ummu Kalsom
4. Siti Fatimah
5. Qosim
6. Abdullah
7. Ibrahim
(Anak-anak lelaki baginda semuanya meninggal sewaktu masih kecil)
Dari perkahwinan Siti Fatimah dan Sayyidina Ali bin Abi Talib
Anak-anak mereka:
1. Sayyidina Hassan
2. Sayyidina Hussin
3. Zainab (Al Kubra)
APAKAH ENGKAU BENAR-BENAR KENAL NABI-MU?
Apakah engkau benar-benar kenal Nabimu?
Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaninya
Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?
Atau engkau kenal secara rambang sahaja?
Sebenarnya kalau engkau kenallah secara lahir dan batin,
jasmani, rohaniahnya peribadi Nabimu,
pasti engkau jatuh hati kepadanya
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya
Melalui selawat dan ingatan terhadapnya
Engkau akan terasa terhutang budi kepadanya
Kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia
Muhammad SAW, Nabimu
Dia seorang manusia istimewa, luar biasa yang tiada taranya
Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala.
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas
agar engkau kenal Nabimu sendiri
Siapa dia yang sebenarnya?
Dia adalah Muhammad anak Abdullah, ibunya Aminah
Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim
Nasabnya hingga ke Nabi Ibrahim
Dia adalah anak yatim piatu
Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja
dengan ibu bapanya seperti orang lain
Dia lahir daripada keluarga yang miskin dan dipelihara pula
oleh keluarga yang miskin
Dia adalah makhluk yang pertama dan utama
yang paling dicintai oleh Tuhan
Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad
Dari Nur Muhammad seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan
Syurga, Neraka, dunia, Akhirat, para malaikat, Arasy, Kursy, Sirat,
manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya
Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad SAW,
yang lainnya tidak akan diwujudkan
Kalau begitu, rupanya Nabi kita membawa rahmat zahir dan batin
kepada semua makhluk Tuhan
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh,
yang akhir nisbah jasad di kalangan para nabi
Dia adalah satu-satunya Nabi yang diisrak dan dimikrajkan
Mukanya laksana bulan purnama kerana cahayanya yang terang
Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan
Kerana itulah dipanggil Habibullah oleh Allah
Ketua seluruh para rasul dan para anbiya
Penghulu seluruh orang yang bertaqwa
Imam seluruh manusia
Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat
Orang yang memberi syafaatulkubra di Akhirat
dan orang yang pertama masuk Syurga
Al Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap
Merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung
Tiada siapa yang dapat menirunya
Dia memiliki ilmu dunia dan Akhirat
Sekalipun dia tidak boleh menulis dan membaca
Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia
yang tiada taranya
Bahkan lebih mulia dari para malaikat
Terutamanya kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah
Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya
Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum,
tidur, baring dengan fakir miskin
Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah
Tiada seorang pun melihat mukanya
melainkan jatuh cinta kepadanya
Bahkan macam orang mabuk tidak boleh melupakannya
Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin,
anak-anak yatim dan janda-janda
Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya
Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa
Adakalanya laksana ibu dan ayah
Adakalanya macam kawan yang membela dan setia
Adakalanya dirasakan guru
Adakalanya bagaikan pemimpin
Adakalanya bagaikan ketua tentera
Setiap orang yang semajlis dengannya
merasakan dapat layanan yang memuaskan darinya
Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian
daripada Tuhannya
Keberaniannya luar biasa
Dia boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya
Tidak sedikit pun takut dengan raja-raja
Setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan
Sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia
Ibadahnya banyak terutama sembahyang
hingga bengkak-bengkak kakinya
kerana terlalu lama berdiri di hadapan Tuhannya
Tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya
dengan kejahatan
Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf
kepada sesiapa sahaja
Dia membalas kejahatan orang dengan kebaikan
Satu perbuatan yang luar biasa
Tidak pernah menghina, mencaci
dan merendah-rendahkan orang lain
Sangat pemalu dan merendah diri
Sangat menerima keuzuran orang
Sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan
dan bermacam-macam bentuknya
Kerana itulah dia dapat menjadi Ketua Ulul Azmi
daripada keseluruhan para rasul alaihimussolatuwassalam
Dia suka seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah
Hatinya begitu juga, matanya sahaja yang tidur
tetapi hatinya tidak tidur
Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wuduknya
Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan
27 kali dia ikut sama atau ikut serta tapi pelik,
tidak pernah dia membunuh musuh-musuhnya walaupun seorang
Anak-anak didikannya itulah dia para Sahabat hingga dia berkata:
“Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di langit,
yang mana satu yang kamu ikut, kamu akan dapat petunjuk.”
“Para ulama umatku laksana para-para nabi Bani Israil.”
– jolokan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya’
Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan
dengan najis, dibaling dengan batu hingga berdarah,
dibuang daerah selama 3 tahun, dikepung,
hendak dibunuh, berhijrah meninggalkan tanah air
dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan
Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan terserlah
Iaitu namanya dikampilkan dengan nama Tuhannya
Iaitu di dalam dua kalimah syahadah
Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak
diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya
Doa yang hendak dikabulkan,
awal akhir kenalah menyebut namanya
Doanya sangat kabul, bahkan siapa yang berdoa
bertawasul dengannya lebih diterima doanya
Siapa yang banyak berselawat dengannya
diberi syafaat di Akhirat
Siapa yang selalu menyebut namanya
diturunkan rahmat dan berkat
Mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak
menunjukkan kebenarannya
Tertulis di belikatnya khatamun nubuwwah
Peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi daripada kasturi
Orang tidak dapat menentang matanya
kerana kehebatannya yang amat terserlah di wajahnya
Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya
bila bertembung dengan pandangannya
Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka
oleh Allah Taala kepadanya
Sehinggakan sebahagian perkara-perkara yang belum terjadi
seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakan
Terlalu kuat tawakalnya kepada Allah Taala
Hinggakan makanan yang berlebih tidak disimpan di malamnya
Bahkan diberi kepada yang berhak
Apabila dia buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya
Lalat tidak pernah hinggap pada badannya
Kalau dia berpaling, dia bepaling dengan seluruh badannya
Tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan
Tidak pernah mencerca makanan
Kalau dia tidak suka, dia tidak makan makanan itu
Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya
Terlalu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir
Terlalu mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri
Tidak pernah melaknat sekalipun binatang
Apa yang diperkatakannya ibarat mutiara
Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya
Didikan dan pimpinannya sangat berjaya
Di antara kesan didikan dan pimpinannya
yang telah berlaku dan telah dicatat dalam sejarah
Dapat melahirkan manusia yang sangat mencintai
dan menakuti Allah Taala
Bahkan Tuhan menjadi idola mereka
Dapat menyatupadukan manusia yang berbagai-bagai etnik,
puak, kaum, bangsa dan yang berlainan warna kulit,
bahasa dan budaya
Bahkan dapat menanamkan kasih sayang satu sama lain
di kalangan manusia
Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh
kepada syariat Tuhannya
Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya
Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa
Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati
naungan pimpinannya sekalipun yang bukan Islam
Mereka merasakan dia adalah pelindung dan penyelamat
kepada seluruh manusia sekalipun binatang
Itulah dia Nabi Muhammad Rasulullah SAw
Itulah dia Nabi kita, manusia yang luar biasa, yang istimewa
yang kejadian dan akhlaknya paling sempurna,
tidak ada tandingannya
Baru sedikit sahaja kita menceritakan tentangnya,
sudah mengkagumkan kita
Apakah peribadi yang semacam ini
kita tidak jatuh hati kepadanya?
Apakah manusia ini kita boleh melupakan begitu sahaja?
Apakah kita tidak terasa, dia adalah manusia
yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia?
Apakah kita tidak terasa terhutang budi kepadanya?
Bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang masa
Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin
yang lain di dunia?
Jauh panggang dari api, macam langit dengan bumi
Lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal Nabinya
bersama Tuhannya, sanggup mati kerananya
Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kita
Agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan,
merdeka, bersatu, berakhlak mulia, bertamadun,
berkasih sayang, bertolong bantu, berharmoni, bermaruah,
bersih dari noda dan dosa
Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita
Leave a Reply