Kisah Benar Untuk Iktibar Remaja – Berhati-hatilah Dengan Dosa Merokok

Remaja yang merokok sebenarnya menipu diri sendiri. Mereka belum cukup dewasa tapi ingin cepat dianggap matang. Mereka masih mentah tapi sudah cuba menunjuk lagak. Mereka menipu diri sendiri dengan mengambil rokok untuk menyatakan betapa matang dan dewasanya mereka. Hakikatnya jika mereka merenung diri, terlalu banyak perkara yang mereka tidak tahu.

Yang malangnya mereka bukan mahu belajar dengan orang yang lebih dewasa. Mereka merasa mereka sudah pandai dan tahu segala-galanya. Ini adalah tipuan ilusi dalam diri seorang remaja. Ianya wujud semula jadi kerana darah muda yang bergelora, panas dan bersemangat. Semuanya dirasakan dapat dicapai dengan tangkas dan mudah. Semuanya sangat dirasakan boleh dibuat. Tiada sesiapa yang mampu menegur dan menghalang. Apa saja perkara mahu dicubanya.

Tanpa didikan dan panduan, di sinilah kebanyakan remaja terperangkap. Mereka ditipu oleh nafsu mereka sendiri. Mereka berjaya ditunggang iblis dan syaitan. Mereka mengambil rokok sebagai cara menunjuk ego tanpa sedar bahawa yang menunggangi di atas tengkuk mereka adalah iblis syaitan yang berpesta dan bersorak. Siremaja tidak sedar diri. Setiap kali menyedut asap rokok ke dalam paru-parunya, Iblis sedang menghembus asap-asap neraka ke dalam dirinya. Setiap kali asap rokok dilepaskan keluar, iblis melumuri seluruh mukanya, rambut dan pakaiannya dengan asap beracun yang sangat jijik dan merosakkan.

Remaja yang ditunggangi syaitan dan Iblis ini akan terus tersasar untuk mencuba ‘benda-benda’ lain yang lebih dahsyat tapi sangat dialu-alukan oleh iblis dan kumpulannya di alam ghaib. Setiap kali si remaja mencuba dadah, arak dan segalanya mereka meraikan si remaja dengan pesta gembira, menari-menari dan bertepuk sorak. Mereka menepuk-nepuk belakang si remaja dan memujinya. Tanpa sedar dia sedang dipuji syaitan, siremaja itu rasa bangga diri, rasa diri ‘macho’, rasa diri hebat dan kuat… Hanyutlah si remaja dengan dunia khayalan, tipuan dan mainan syaitan.

Ibu bapa menangisi sikap si anak. Teguran dan larangan tidak diendahkan. Cakap ibubapa sudah tidak didengari. Mereka tanpa malu merasakan diri tidak perlukan nasihat orang lain sekalipun ibubapa sendiri. Inilah remaja yang dihujung hidupnya akan bertemu dengan neraka. Kematiannya pasti menyiksakannya. Tuhan tidak akan biarkan seorang yang menderhaka ibubapa untuk hidup selesa di atas muka bumi. Pasti Tuhan akan kenakan azab ke atasnya sebelum tubuhnya disumbat ke liang lahat.

Rokok hanya permulaan pada remaja untuk ‘melangkah’ lebih jauh ke dunia syaitan. Rokok adalah produk yahudi yang sangat kreatif untuk merosakkan remaja muslim. Rokok menjadi permulaan bagi kerosakan demi kerosakan untuk ditempah siremaja bagi merosakkan dirinya sendiri.

Sudah termaklum dalam kajian kesihatan, rokok juga merosakkan orang lain tapi itu semua tidak dipeduli. Banyak kisah berlaku rokok menjadi sebab orang lain menderita. Rokok menjadi sebab penempatan setinggan terbakar seluruhnya. Rokok menjadi punca kemalangan dan azab sensara pada orang lain.

Inilah yang berlaku kepada Firdaus (bukan nama sebenar), seorang pelajar Tingkatan 3 di sebuah kampong pedalaman di Hulu Terengganu. Ayahnya Abang Kassim, adalah seorang kakitangan rendah di sebuah jabatan kerajaan daerah Hulu Terengganu manakala ibunya Kak Dah pula seorang peniaga kain baju yang berjualan dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal. Ayah dan ibunya mempunyai motosikal setiap seorang untuk kemudahan perjalanan kerja masing-masing. Firdaus mempunyai 4 orang adik-beradik dimana dia seorang sahaja yang lelaki. 3 orang adik-adiknya yang lain adalah perempuan. Dia merupakan anak yang sulong. Kejadian ini berlaku ketika Firdaus digantung persekolahan selama 2 minggu kerana merosakkan harta benda sekolahnya.

Kenakalan Firdaus sangat membimbangkan ibu bapanya. Mereka malu dengan jiran dan saudara mara yang melihat sikap dan tingkah laku anaknya itu. Merokok, mencuri, menghidu gam dan merempit sudah menjadi buah mulut orang kampong. Entah di mana silapnya mereka dalam mendidik anaknya, mereka tidak tahu. Walau bagaimanapun, kaum keluarga dan jiran terdekat sangat maklum betapa siemak sangat memanjakan anak lelakinya yang seorang itu. Akibat sejak kecil melayan semua kehendak dan keinginan Firdaus, akhirnya siemak terperangkap menurut semua yang diminta oleh sianak terutama wang ringgit.

Demikianlah situasi yang berlaku pada keluarga ini. Anak yang sejak kecil ditatang bagai minyak yang penuh rupanya menjadi racun berbisa. Walaupun baru berumur 15 tahun, terasa sukarnya mahu dipulihkan dari kenakalannya kecuali memang Tuhan yang menghendakinya. Ya rupanya Tuhan ada cara menginsafkan hambanya. Firdaus akhirnya menyaksikan dan mengalami satu pengajaran khusus dari Tuhan – satu peristiwa yang menerbitkan penyesalan yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidupnya.

Firdaus juga tidak menyangka, betapa beratnya akibat yang terpaksa ditanggung oleh emaknya dan mereka sekeluarga akibat dari dirinya. Ikutilah kisahnya:

Satu hari Firdaus diminta emaknya untuk ke kedai membeli benang. Ibunya menjahit sendiri baju-baju jualan disamping membekalkan juga baju atau pakaian siap yang diambil dari kedai borong di Bandar Kuala Terengganu. Walaupun kedai itu sebenarnya tidak jauh tetapi Firdaus lebih suka menaiki motosikal ibunya.

Apa yang berlaku pada malam tadi, motosikal itu sudah dibawanya merempit. Jalan raya dari rumahnya ke Kuala Berang adalah jalan yang baru siap diturap – langsung tidak ada lopak. Jam 1,2 pagi memang langsung tidak ada kenderaan lain. Puaslah mereka berlumba dan merempit, 5, 6 biji motor sudah cukup membingitkan seisi kampong.

Firdaus sudah 2 kali terlibat kemalangan tetapi dia masih tidak serik. Malang bagi Firdaus kerana pada malam itu, motosikal emaknya yang dinaikinya itu kehabisan minyak. Rakan-rakannya membantu menundanya dengan dua biji motorsikal menolak dari belakang. Perjalanan sejauh 4km itu menjadikan dia hanya sampai ke rumah jam 2 pagi.

Permintaan Emaknya supaya ke kedai itu disambutnya dengan berat hati tetapi sempat dia merungut-rungut tidak senang tidurnya diganggu. Sedih hati si emak tidak terkira. Emaknya hanya mampu menggeleng-geleng kepala. Kata Emaknya, “Cepat pergi cepat balik, jangan lupa belikan minyak motosikal emak yang Firdaus habiskan malam tadi. Emak nak selesaikan jahitan ni dulu, lepas tu emak hendak memasak pula. Petang nanti emak akan keluar berjualan!”

Firdaus turun dari rumah dengan malas. Dia masih sayangkan tidurnya tetapi terpaksa juga bangun kerana sebetulnya dia juga lapar. Dia tahu dia akan bertemu Mail kawan merempitnya malam tadi di kedai itu kerana dia anak Pak Hasyim tuan kedai runcit yang sedang ditujunya. Dia bercadang untuk minum dan bersarapan di restoran sebelah kedai runcit itu bersama Mail.

Di rumah, emaknya yang dipanggil orang kampong dengan panggilan Kak Dah sedang resah menunggu. Sudah lebih setengah jam Firdaus ke kedai, bayangnya belum muncul lagi. Kerja-kerja jahitannya ditangguhkannya dulu. Dia ke dapur untuk memasak di bahagian belakang. Rumah pusaka aruah orang tuanya masih kukuh. Dapurnya di bahagian belakang rumah itu dibuat dari kayu. Dia memasak menggunakan dapur gas.

Firdaus masih di kedai. Selesai makan, mereka berdua berborak sambil menghisap rokok. Orang di sekeliling tidak mereka endahkan. Pak Hasyim ayah Mail juga sudah tidak tahu bagaimana caranya mengubah anaknya itu.

Firdaus akhirnya teringat pesanan emaknya. Di belinya benang dan sebotol plastik minyak petrol untuk motosikal emaknya. Dia melangkah pulang dengan longlai. Tangannya terasa lembab dengan titisan minyak petrol yang tidak bertutup kejap.

Sebaik sampai di rumah, dia terus menuju ke dapur kerana itulah pintu yang digunakannya untuk keluar masuk rumah. Dia melihat emaknya sedang menggoreng ikan. Tanpa banyak cakap dia menghulur benang dan minyak petrol tersebut kepada emaknya. Tiba-tiba, pompppp!!! Bunyi letupan dikuti api menyambar dan membakar mereka kedua beranak.

Rupanya botol minyak petrol itu disambar api. Firdaus terbakar seluruh muka, dada dan kedua tangannya. Dinding dapur rumah itu juga disambar api hasil percikan petrol. Kak Dah emaknya juga sedang terbakar seluruh muka, rambut, dada dan tangan. Mereka berdua menjerit sekuat hati meminta tolong!! Melihatkan anaknya Firdaus sedang terbakar, Kak Dah tidak menghiraukan dirinya, dia terus mengambil kain tuala lusuh di tepi pintu lalu mengibas-ngibas api yang sedang membakar anaknya itu sekuat hati.

Anaknya yang kecil berusia 5 tahun hanya mampu menangis terjerit-jerit ketakutan menyaksikan emak dan abangnya sedang terbakar. Api yang membakar Firdaus sukar untuk dipadamkan kerana petrol yang tersimbah itu agak banyak. 1,2 minit masa dihabiskan untuk membantu Firdaus. Diri Kak Dah sendiri sudah seperti jamung yang terbakar sehingga separuh badan – mengikut kain baju yang ada di badannya. Kesakitan dirinya sendiri sudah terlalu azab tetapi digagahinya juga lantaran itulah hati seorang ibu yang sangat menguasainya menyelamatkan anaknya. Tiba-tiba Kak Dah tersedar, dinding rumah sudah di jilat api. Rupanya paip tong gas juga sudah terbakar dan api menyambar gas yang bocor lalu mengenai dinding rumah yang sedia terbakar. Kak Dah sekali lagi kuatkan kudrat walaupun peritnya diri terbakar sudah tidak tertanggung tetapi dia bertekad untuk selamatkan rumah pusaka itu. Lalu, terus diangkatnya tong gas itu dan di humbannya keluar – tergolek ke halaman dalam keadaan hujung paipnya masih menyala.

Ketika itu baru muncul beberapa orang jiran – semuanya perempuan- untuk membantu mereka. Mereka bergegas membantu Firdaus yang sedang memadamkan api di dinding dapur itu. Dua tiga orang yang lain mendapatkan Kak Dah yang sudah tidak mampu menahan sengsara tubuh dibakar api. Mereka berkejar pula mencari air. Ketika itu Kak Dah cuba memadam api yang membakar dirinya dengan mengguling-gulingkan badannya di atas tanah berdebu.

Ketika itu, muncul Mak Cik Leha, emak saudaranya yang tinggal di sebelah rumahnya membawa guni tebal yang sudah dibasahkan dengan air. Dia segera membalut seluruh bahagian badan Kak Dah dengan guni basah tersebut. Akhirnya api berjaya dipadamkan. Kak Dah sudah tidak mampu tegak. Dia terus jatuh sambil menggelupur kesakitan. Setiap inci tubuhnya perit, pedih penuh kesakitan terbakar yang tidak tergambarkan.

Mulutnya hanya menyebut istighfar dan Allah! Allah!. Sambil mengelupur, dia mengibas-ngibas tangannya seperti merayu membantu hilangkan penderitaannya. Sakitnya Tuhan saja yang maha mengetahui. Tiba-tiba Kak Dah sudah tidak bergerak lagi. Dia sudah tidak sedarkan diri. Firdaus berkejar mendapatkan emaknya. Firdaus menangis dan meraung sekuat hati meminta ampun daripada emaknya. Dalam masa sama dia sendiri, sedang sangat tersiksa kesan bahagian tubuhnya yang terbakar itu.

Kejadian jeritan, raungan dan kekecuhan itu menyebabkan bertambah ramai yang berdatangan. Semuanya terperanjat menyaksikan dua beranak yang baru lepas terbakar itu. Keadaan Kak Dah lebih teruk dan menggerunkan. Seluruh rambutnya terbakar licin. Mukanya hitam legam kecuali mata dan mulutnya. Bahagian atas pusatnya teruk terbakar. Kulitnya menggelembung. Sebahagian besar kawasan dadanya sudah kelihatan daging merah terbakar dan hangus. Campuran tanah, debu dan kesan terbakar menjadikannya sudah sukar dikenali.

Seorang jiran yang mempunyai kenderaan segera membawa Kak Dah dan Firdaus ke hospital. Kak Dah sudah kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan. Mulutnya pula sudah berbuih.

Abang Kassim suaminya terjelepuk jatuh mendengar khabar dahsyat itu. Dia kaku tidak dapat bergerak – terkejut mengetahui kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Dia terbayangkan anak-anaknya. Dia tertanya-tanya seteruk mana keadaan isterinya. Maklumat dari Mak Cik Leha yang diperolehinya menggambarkan keadaan isterinya amat membimbangkan. Kepada Tuhan mereka berserah.

Dia bergegas ke Hospital Kuala Terengganu dan mendapati isterinya sudah berada di Unit Rawatan Rapi. Saluran bantuan pernafasan menunjukkan kesulitan ia bernafas. Seluruh tubuh memerah terutama seluruh bahagian atas pinggangnya – depan dan belakang – kelihatan seperti daging panggang. Sudah masak terbakar. Kulit sudah tiada. Semuanya adalah daging merah serta lemak kuning yang kelihatan. Keadaannya sungguh menyedihkan. Rupa paras Kak Dah yang sememangnya cantik sudah lenyap.

Anaknya Firdaus pula dalam keadaan stabil walaupun 35% tubuhnya sudah terbakar. Ia bernasib baik kerana api yang panas membakar itu segera di padamkan oleh emaknya. Organ dalam tubuhnya terselamat. Sebaliknya emaknya Kak Dah sedang kritikal. Doktor mengesahkan kebakaran 60% yang meliputi bahagian pinggang ke atas itu sudah memberi kesan kepada organ dalam tubuhnya. Satu demi satu organ dalamannya sudah tidak berfungsi. Ianya kesan dari lama terbakar kerana menyelamatkan anak dan rumahnya.

Setelah 4 hari dalam keadaan kritikal, Kak Dah disahkan meninggal dunia. Firdaus terpaksa berada selama 3 bulan di hospital untuk rawatan demi rawatan.

Kejadian dahsyat itu benar-benar mengubah Firdaus. Dia merasa sangat berdosa terhadap emaknya. Kalaulah dia tidak melengah-lengahkan masa dengan menghisap rokok dan bersembang dengan Mail, kemungkinan besar kejadian itu tidak akan berlaku kerana emaknya sedang menunggu benang yang dibelinya untuk meneruskan jahitan. Walaubagaimana pun taqdir telah terjadi. Hakikatnya jika Tuhan kehendaki, tiada yang mampu menghalangnya. Masa akan terus berjalan. Sehebat mana pun penyesalan, masa yang telah berlalu tidak akan dapat diputarkan kembali.

Firdaus masih beruntung kerana masih diberi peluang untuk terus hidup. Jika dia berubah, insaf dan kembali menjadi anak yang soleh, itulah kegembiraan emaknya di alam sana.

Pak Lang bertemu dengan keluarga ini 10 tahun kemudian. Abang Kassim sudah berkahwin lain. Firdaus yang cacat di muka, tangan dan leher sangat-sangat berubah. Dia masih menangis, mengenangkan emaknya setiap kali bercerita tentang kejadian itu. Walaupun dia sudah beristeri dan mempunyai seorang anak tetapi separuh dari keceriaan wajahnya hilang ditelan dukahatinya menyesali diri yang menjadi penyebab kematian trajis emaknya sendiri…

Renung-renungkanlah!!

(Cerita di atas berdasarkan kisah benar cuma nama orang dan tempat yang digunakan dalam cerita ini bukanlah nama orang dan tempat sebenar)

SUMBER: www.suaramuhajirin313.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions