RAHSIA BAHAGIA

Sekaya-kaya manusia di dunia, biasanya dia menempuhnya dalam keadaan keluh kesah dan tertekan. Gelisah, menderita serta rasa tidak mendapat apa yang dicari sentiasa menghantui diri. Di pihak luaran orang lain melihat sikaya dengan perasaan kagum. Orang lain jadi cemburu tetapi empunya diri rupanya sedang menderita dan kecewa.

Kekayaan serta harta benda yang banyak tidak mampu membeli bahagia. Semakin dikejar dengan wang ringgit dan kemewahan, rasa bahagia semakin hilang. Jadilah seperti anjing mengejar bayang-bayang.

Demikianlah pintarnya dunia. Manusia dengan mudah ditipunya walaupun cerdik pandai dan sikaya yang banyak harta. Berhempas pulaslah manusia mengejar kekayaan dan kesenangan hidup. Dikumpulnya harta untuk dilonggokkan di rumah agar anak isteri cukup segalanya bahkan tenggelam dalam kemewahan. Jadilah mereka manusia yang rosak dengan dunia. Matlamat hidup hilang entah ke mana. Dilihat bersembahyang tetapi tetaplah sembahyang yang hilang khusyuknya.

Di manakah kebahagiaan boleh dibeli? Di manakah ketenangan boleh dicari? Sebenarnya ketenangan atau kebahagiaan itu tidak ada hubung kaitnya dengan harta dan wang kekayaan. Bahkan dialah perosak bahagia dan ketenangan jiwa. Semakin banyak kekayaan yang dikumpulkan, semakin hilang nilai bahagia di dalam jiwa.

Jiwa yang tenang dan bahagia adalah jiwa yang merasa dirinya hamba yang hina dan faqir (berhajat) kepada Tuhannya. Hamba yang merasa dirinya kerdil dan berdosa, rasa lemah serta rasa tidak mampu itulah yang berpotensi memiliki rasa bahagia. Proses mendapatkan rasa jiwa hamba yang takut dengan Tuhan ini dilakukan dalam sembahyang. Dalam sembahyanglah kita berbicara sebagai hamba yang diajar untuk tunduk, taat, patuh, merendah diri dengan Tuhan. Seluruh bacaan dan perbuatan dalam sembahyang adalah untuk menguatkan rasa hamba di dalam jiwa agar rasa itulah yang kekal sehingga di luar sembahyang. Hanya rasa hamba yang hina dan takutkanTuhan sahajalah yang mampu menghadapi kekayaan.

Rahsia bahagia tersimpan pada hati dan jiwa hamba. Rahsia bahagia adalah rasa cukup dengan Tuhan kerana mendapat Tuhan bererti mendapat segala-galanya. Kalau kebetulan mereka kaya, kekayaan itu bukan untuk diri mereka tetapi untuk Islam dilihat kaya. Mereka mengambil secukupnya untuk keperluan mereka sahaja. Selebihnya dikorbankan kepada perjuangan menegakkan Islam. Jika situasi sebegini sudah terjadi pada hati sikaya, sebanyak manapun kekayaan yang datang, akan mereka curahkan untuk perjuangan Islam, untuk Islam dilihat kaya, bermaruah dan berwibawa.

Mereka meraih bahagia sejati. Mereka akan gigih menjadi pengusaha, peniaga atau jutawan tetapi hati mereka ikhlas untuk menjadikan harta yang ada sebagai laluan pengorbanan mendapatkan redha Tuhan.

petikan: www.suaramuhajirin313.blogspot.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions