APA YANG KITA MAHU DAPATKAN DIBULAN RAMADHAN YANG ISTIMEWA

Mari kita bersama-sama menghayati kata-kata sanjungan dan penghargaan kepada Ramadhan, satu-satunya bulan yang disiapkan Tuhan dengan pelbagai peluang kebaikan serta keberkatan bagi mereka yang menghayatinya.
Ramadhan disiapkan Allah dengan keistimewaannya yang tersendiri. Sebaik bermula maghrib 1 Ramadhan, semua syaitan ditangkap dibelenggu dan dirantai bagi membolehkan anak Adam menjalani ibadah puasa dengan lebih mudah. Hanya gangguan nafsu yang di dalam diri sahaja yang tinggal untuk dihadapi. Itulah Ramadhan yang disiapkan Tuhan.
Seolah-olah ‘ada kesibukan’ di alam ghaib yang kita tidak dapat melihatnya. Para malaikat ada tugas dan kerja yang tersendiri. Ramadhan adalah bulan di mana malaikat disuruh membukakan semua pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Malaikat menangkap syaitan dan iblis. Malaikat juga disuruh mengintai-ngintai pekerjaan hamba-hamba Allah yang menghayati Ramadhan untuk diganjari sebaik-baik ganjaran kebaikan.

Ramadhan juga adalah bulan dihentikan buat sementara siksa derita untuk ahli neraka. Ahli neraka merasa amat lega dan berharap biarlah penangguhan siksa ini adalah selama-lamanya. Menurut riwayat, ahli neraka akan kembali menangis meraung melolong sebaik masuknya maghrib 1 syawal. Ketika kita bertakbir raya dengan suara yang syahdu penuh kesyukuran, ahli neraka sedang ketakutan yang amat sangat menyambut kedatangan malaikat juru azab mereka.
Demikianlah hebatnya Ramadhan yang padanya pelbagai janji ganjaran untuk setiap kebaikan yang kita lakukan. Apa yang penting kita beramal dengan niat mendapatkan Tuhan. Kita diajar agar hati jadi tulus denganNya. Kita tidak digalakkan untuk mengejar fadhilat dalam beribadah. Kita juga dipesan agar beribadah untuk mendapatkan rasa hati yang khusyuk dengan Tuhan. Ibadah adalah proses ruh kita dicelikkan.

Ibadah sepatutnya menjadikan hati kita mudah tersentuh dengan Allah. Tumpuan sepatutnya kepada rasa hati terhadap Ramadhan bukannya membicarakan makam khawasul khawas. Almarhum Abuya Ashaari Muhammad pernah menyebut “Biarlah kita tidak pandai menghuraikan tentang makam ibadah yang berbagai peringkat kerana yang penting, hati kita berjaya sampai ke makam terpilih di sisi Tuhan. Apa guna kita alim dan pakar menghuraikan tentang makam-makam (pangkat kedudukan) jika secara hakikatnya – kita masih di takuk yang jauh di bawah yang tidak ada nilai di sisi Tuhan.”

Di bawah ini adalah bait-bait nasyid yang digalakkan untuk kita semua menghayatinya:

Ya Allah..mengapa aku ini
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria

Tapi aku berlainan
Kedatangan Ramadhan penuh duka
Bukan aku benci bulan-Mu
Yang penuh rahmat dan berkat

Tapi aku benci diriku
Aku bimbang RamadhanMu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Ya Allah
Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan Al Quran aku tidak sampai kemana
Ya Allah..
Itulah yang menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan
Adakah satu kesalahan
Ampunkan aku Ya Allah
Maafkanlah aku Ya Allah kalau itu satu kesalahan
Pimpinlah aku betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dari-Mu Ya Allah..

Begitulah rasa hati seorang hamba Allah yang sangat tulus dan suci yang penuh rasa bimbang dengan amalan yang akan dilaksanakan. Seorang hamba Allah yang menanti Ramadhan dengan rasa yang sangat cemas.
Kita diajar – dalam beramal ibadah, pastikan kita mengawal rasa hati pada 3 peringkat yang utama iaitu sebelum mengerjakannya, semasa mengerjakannya dan selepas selesai melaksanakan ibadah tersebut. Itulah sunnah Rasulullah SAW yang sangat penting untuk kita laksanakan.

Maka sebelum mengerjakan ibadah puasa, elok kita mengingatkan diri kita masing-masing agar mengasak hati dengan rasa cemas dan bimbang. Antaranya ialah untuk rasa takut kerana tidak membesarkan Ramadhan. Begitu juga rasa bimbangkan hati yang tidak dapat menghayati ibadah puasa, sembahyang dan sebagainya dengan selayaknya. Takut-takut ibadah berkenaan dirasa biasa-biasa – tidak dirasakan ianya agung dan hebat. Sedangkan ibadah itu adalah suatu yang datang dari Tuhan yang Maha Besar lagi Maha Hebat. Tentulah segala-gala yang dari Allah, sangat hebat dan besar. Hati perlu dibawa merasakan sedemikian. Inilah yang sangat perlu kita bimbangkan.

Selain itu, hati juga dibina rasa cemas dalam hendak menyambut Ramadhan atau dalam hendak berdiri mengerjakan sembahyang atau dalam hendak berbuat lain-lain ibadah. Cemasnya hati kerana kita sendiri sedar bahawa kita pasti akan gagal dalam khusyuk. Kita tentu akan sekali lagi mengulangi kelalaian dalam ibadah.
Kita tentu dapat merasakan semasa beribadah nanti, hati kita akan melupakan Tuhan seperti selalunya. Justeru hati kita diasak dengan rasa cemas dan takutkan kemurkaan Allah. Adakah ibadah kali ini juga mengulangi semua kegagalan sebelum ini? Adakah sekali lagi kita mendapat dosa hasil ibadah yang tertolak sedangkan ibadah sepatutnya menambahkan dekatnya kita dengan Allah? Adakah semakin beribadah semakin menjauhkan kita denganNya?
Hal ini sangatlah perlu kita runsingkan.

Rasa hati yang lebih halus lagi ialah rasa tidak layak, rasa hina diri yang teramat sangat. Hati merasakan ibadah yang difardukan Allah itu adalah anugerahNya. Hati merasakan Tuhan memberi penghormatan dengan anugerah ibadah yang sedemikian besar dan agung. Justeru sebagai hamba yang hina dina, yang rasa tidak layak, situasi ini patut sangat mengharu-birukan hati kita. Gejolak rasa hati adalah serba salah di antara rasa hina dan rasa sangat mahu bersyukur, rasa sangat menghargai anugerah Tuhan ini.

Justeru orang-orang soleh di sepanjang Ramadhan, menempuhnya dengan perasaan yang bercampur baur. Sepanjang bulan Ramadhan mereka amat menghayati setiap yang berlalu tanpa dibiarkan sia-sia. Semuanya di isi dengan rasa cinta dan takutkan Allah. Apa jua ibadah yang dilakukan semata-mata mencari redha yang Maha Kuasa, mendekatkan hati dengan kekasih agung iaitu Rasulullah SAW.

Dunia yang sedang di depan mata, tidak dirasakan wujud. Mereka berada di alam yang lagi satu iaitu di alam rohaniah. Ruh sedang ghairah meneroka ke segenap ruang keampunan Allah dan kasih sayangNya. Semua ibadah dan aktiviti kehidupan yang ditempuhi sepanjang Ramadhan dapat membawa hati mereka kepada Tuhan. Inilah golongan yang terlalu sedikit yang ada di atas muka bumi ini. Yang ramai tentulah para pemburu dan pencinta dunia yang menipu.
Ramadhan yang Tuhan persiapkan untuk hamba-hambaNya yang pilihan benar-benar menjadi medan membezakan yang terpilih dan yang terbuang. Orang-orang pilihan Tuhan tetaplah mengutamakan Tuhan dan membesarkan Ramadhan dengan solat, baca Quran, terawih, zikir, tazkirah, berdakwah, berjuang dan berjihad. Orang-orang yang terbuang tetaplah kekal dengan kelalaian demi kelalaian. Kami mohon berlindung dariMu Ya Allah daripada termasuk golongan yang lalai.

Muga-muga Allah rezekikan kita rasa hamba itu di awal Ramadhan, pertengahan dan di akhirnya. Ianya satu rasa hati yang sempurna dan terpelihara yang dianugerahkan Tuhan untuk hati. Bukan mudah mengekalkan rasa hamba sebegini rupa. Ramai yang mampu bercakap dan bersyarah tetapi gagal pada penghayatan. Hatilah yang diberi keutamaan bukannya pada hebatnya cakap atau berjelanya ijazah ‘kelayakan’.

Janganlah kita menjadi seperti mereka yang ramai yang tertipu. Mereka merasakan ilmu itulah satu-satunya modal kejayaan sedangkan Islam itu adalah agama rasa. Iman dan tauhid itu tunjangnya adalah rasa hati dengan Allah. Bukannya ilmu yang dikira tetapi bagaimana rasa takutkan Allah yang menguasai hati kita. Bukankah taqwa yang disyarahkan adalah rasa takutkan Allah. Takut itulah rasa!!!

Ilmu itu hanyalah penyampai untuk hati dibantu mendapatkan rasa. Walaupun ianya fardhu dan sangat penting, keutamaan tetaplah bagaimana mendapatkan hati yang tunduk, patuh dengan rasa cinta dan takutkan Allah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions