ANTARA SYARIAT DAN TAUHID – Mana yang patut didahulukan?
Umat Islam mesti memahami erti sebenar syariat dan
tauhid dan dimana letak duduknya. Mesti tahu yang mana
satu patut didahulukan dan mana satu yang lebih
utama.Umat Islam juga mesti sedar apakah syariat itu
timbul dari tauhid atau tauhid itu timbul dari
syariat. Kalau semua ini tidak difahami dengan betul,
kita boleh tersalah langkah dalam beragama. Agama kita
boleh jadi tunggang terbalik. Kita boleh kehilangan
Tuhan walaupun kita serius beragama.
Sebenarnya perkara yang pertama yang berlaku dalam
agama ialah soal aqidah atau ketauhidan iaitu soal
mengenal Tuhan. Setelah Tuhan dikenali, barulah timbul
keperluan syariat, sama ada syariat lahir yang kita
sebut juga Fiqah, mahu pun syariat batin atau apa yang
kita namakan tasawuf.
Syariat ialah cara atau kaedah bagaimana kita dapat
memperhambakan diri kepada Tuhan atau cara kita
membesarkan Tuhan setelah Tuhan itu kita kenali
sungguh-sungguh.
Contohnya setelah kita kenal Tuhan dan kita rasa kita
ini hamba dan Tuhan itu Khaliq, maka kita akan
terdorong untuk menyembahnya. Tetapi kita tak boleh
sembah Tuhan ikut suka hati kita. Sebab itu perlu
rujuk kepada syariat untuk mengetahui cara Tuhan mahu
kita menyembahNya. Begitulah juga dengan hal-hal lain
dalam kehidupan seperti pendidikan, dakwah,
masyarakat, pergaulan, perniagaan dan sebagainya yang
Tuhan mahu kita tegakkan.
Kita tak boleh memandai-mandai dalam hal ini atau
mengikut saja sistem orang Nasrani atau Yahudi. Tuhan
hendak kita buat itu ikut cara yang Tuhan mahu. Untuk
itu syariat diturunkan.
Jadi mengenal Tuhan mesti berlaku dahulu. Kemudian
baru timbul keperluan bersyariat. Ini sesuai dengan
hadis yang bermaksud:
“Awal-awal agama, mengenal Allah”
Kalau kita belum kenal Allah, atas dasar apa kita dan
untuk siapa kita hendak beragama?
Tambahan lagi, kalau kita belum betul-betul kenal
Tuhan, sudah tentu kita belum berjiwa tauhid. Kalau
belum berjiwa tauhid, sudah tentu belum khusyuk dengan
Tuhan. Kalau belum khusyuk dengan Tuhan, sudah tentu
belum bertaqwa. Kalau belum bertaqwa, kita tidak ada
kekuatan jiwa untuk melaksanakan dan menegakkan
syariat. Hanya orang yang bertaqwa saja yang mampu
memperjuangkan syariat sungguh-sungguh.
Jadi kenal Tuhanlah menjadi pendorong untuk kita
mengamalkan syariat. Kenal Tuhanlah yang memberi
kekuatan untuk mengamalkan syariat. Orang yang belum
kenal Tuhan tidak akan mampu mengamalkan syariat
secara bersungguh-sungguh dan istiqamah.
Begitu jugalah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.
Selama 13 tahun di Mekah, Rasulullah hanya mengajar
para sahabat tentang Tuhan dan tentang ketauhidan.
Rasulullah tidak mengajar apa-apa tentang syariat.
Hanya apabila di Madinah, barulah turun hukum-hakam
tentang syariat. Maknanya para sahabat diperkenalkan
kepada Tuhan terlebih dahulu sehingga mereka cinta
dan takut dengan Tuhan sebelum mereka didedahkan
kepada syariat. Apabila datang hukum syariat yang
berbagai-bagai rupa, mudah sahaja para Sahabat
menegakkannya.
Oleh itu, dalam mendidik anak-anak atau pun
masyarakat, kita tak boleh utamakan syariat sebelum
kita selesaikan soal tauhid atau soal mengenal Tuhan
terlebih dahulu. Tuhan mesti diperkenalkan. Selepas
itu barulah diperkenalkan syariatNya. Kalau tidak
maka akan timbullah syariat yang tidak dikaitkan
dengan Tuhan.
Orang yang agamanya hanya syariat semata-mata tanpa
dikaitkan dengan Tuhan ialah orang yang nampak seperti
beragama tapi tidak beraqidah. Hakikatnya dia tidak
beragama kerana agama itu ialah sistem penyembahan
atau sistem peribadatan yang ada hubungkait dengan
Tuhan. Kalau tidak ada hubungkait dengan Tuhan, ianya
bukan agama. Ia hanyalah ideologi. Ideologi memang
tidak ada hubungkait dengan Tuhan.
Orang yang bersyariat atau beribadah tanpa Tuhan,
syariatnya dan ibadahnya kosong dan tidak berjiwa.
Kerana Tuhan tidak dilibatkan sama, maka tidak ada
kemanisan, keindahan dan kepuasan dalam ibadahnya.
Walaupun ibadahnya banyak tetapi ianya tidak memberi
kesan apa-apa pada hatinya dan peribadinya. Akhlaknya
tidak berubah malahan bertambah rosak. Mereka tidak
terlepas dari membuat perkara-perkara yang keji dan
mungkar.
Orang yang bersyariat tanpa Tuhan selalunya memandang
syariat itu besar. Tuhan tidak besar. Mereka
memperjuangkan syariat tetapi tidak memperjuangkan
Tuhan. Padahal syariat itu turun untuk membesarkan
Tuhan. Mereka hendak paksa syariat ke atas manusia
termasuk hukum hudud dan sebagainya, tetapi tidak mahu
membawa atau memperkenalkan Tuhan kepada manusia
sehingga manusia boleh jatuh cinta dan takut dengan
Tuhan. Oleh itu tujuan sebenar mereka beragama telah
tersasar. Walaupun mereka nampak seperti beragama,
tetapi mereka sebenarnya kehilangan Tuhan. Mereka
beragama tetapi tidak beraqidah.
Orang yang bersyariat tanpa Tuhan akan mengejar pahala
serta fadhilat dalam beribadah dan bukan untuk menagih
redha, rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka merasakan
ibadah mereka itu boleh membeli syurga. Mereka lupa
bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga
kerana amalan mereka. Tidak juga Rasulullah SAW
sendiri. Manusia masuk syurga hanya kerana rahmat
Tuhan. Fadhilat dan pahala adalah urusan Tuhan. Kalau
kita beribadah kerana Tuhan, nescaya Tuhan akan
kurniakan pahala dan fadhilatnya. Tetapi kalau kita
beribadah kerana pahala dan fadhilat, siapakah yang
akan memberi pahala dan fadhilat itu? Siapakah yang
akan memberinya kalau tidak Tuhan? Oleh itu kenapa
ketepikan Tuhan yang memberi pahala dan fadhilat.
Orang yang membesarkan pahala dan fadhilat akan hilang
takut dengan dosa. Mereka mengangap dengan mengambil
wudhuk akan terhapus dosa. Bila sembahyang akan
terhapus dosa. Bila naik haji akan terhapus
dosa.Walaupun ini benar tetapi ia bentuk fadhilat.
Hakikat ini tidak boleh digunakan untuk meremeh-remeh
dan meringan-ringankan dosa.Kesannya mereka sudah
tidak takut lagi dengan dosa kerana merasakan dosa
terlalu mudah untuk dihapuskan. Akhirnya mereka hilang
takut dengan dosa dan dengan Tuhan itu sendiri.
Itu sebabnya kita lihat ramai orang yang nampaknya
beragama dan kuat beribadah, tetapi dalam masa yang
sama mereka terjebak dengan berbagai-bagai maksiat.
Ramai juga yang dengan mudah boleh murtad dan
meninggalkan Islam atas alasan yang terlalu kecil
seperti hendak kahwin dengan jejaka yang bukan Islam,
walhal sebelum itu mereka berjubah dan bertudung labuh
dan pandai baca Quran dan tidak pernah tinggal
sembahyang. Inilah orang-orang Islam yang tidak
mengikat hubungan atau telah memutuskan hubungan
dengan Tuhan dan hanya mengikat diri dengan syariat
semata-mata.Lagi banyak mereka beribadah, lagi jauh
mereka dengan Tuhan.
Orang yang beribadah kerana pahala dan fadhilat dan
yang beribadah kerana Tuhan ibarat dua orang anak yang
berkhidmat kepada ibu mereka. Seorang berkhidmat
kerana setiap kali dia berkhidmat kepada ibunya, dia
diberi upah. Kalau ibunya tidak menjanjikan upah, maka
dia enggan berkhidmat.
Seorang lagi anak berkhidmat kepada ibunya tanpa minta
upah. Ada upah atau tidak ada upah, dia tetap setia
berkhidmat kepada ibunya.Apabila ditanya kenapa, dia
menjawab bahawa ibunya telah melahirkan dia. Kalau
ibunya tidak ada, maka dia pun tidak ada. Dia
berkhidmat hanya kerana ibunya itu ibunya dan dia
adalah anak. Sudah sepatutnyalah anak berkhidmat untuk
ibunya. Inilah sepatutnya sikap kita terhadap Tuhan.
Oleh itu, jangan kita hanya menyogok hal-hal syariat
sahaja kepada anak-anak kita dan masyarakat seperti
soal sembahyang, puasa, zakat, baca Quran, hukum hudud
dan sebagainya. Kita perlu banyakkan lagi usaha untuk
membawa mereka mengenal Tuhan, untuk merasakan mereka
itu adalah hamba kepada Tuhan. Kita mesti berusaha
untuk menanam di hati mereka rasa cinta dan takut
dengan Tuhan.Kalau ini dapat kita lakukan, maka soal
syariat akan jadi mudah. Orang yang sudah cinta dan
takut dengan Tuhan akan ghairah melakukan syariat
kerana itulah jalan baginya untuk membesarkan Tuhan
yang dicintainya dan untuk taat kepada Tuhan yang
ditakutinya. Orang yang cinta dengan Tuhan sudah tentu
ghairah untuk membuat apa sahaja yang disukai
Tuhannya. Orang yang takut dengan Tuhan sudah tentu
bimbang untuk membuat sesuatu yang tidak disukai atau
yang dibenci Tuhannya.
Leave a Reply