BAGAIMANA MENGENALI DAN MENCINTAI RASULULLAH SAW

Photo by: Abdulhameed Shamandour Location: Madina Munawara, Saudi Arabia

Dalam sistem pendidikan sekularisma ini, manusia mengalami pupusnya cinta dan hubungan hati dengan Rasulullah SAW. Tidak pernah terfikir oleh kita bahawa Rasulullah SAW yang bukan darah daging kita, yang kita tidak kenal pun tetapi agama yang kita anuti ini meminta kita menjadikan dia cinta yang utama.
Apakah langkah-langkah yang perlu kita ketahui untuk mencintainya. Inilah aset yang paling penting untuk mengelakkan manusia terjerumus kepada penghinaan dan mala petaka.

SOALAN:

Manusia pertama yang perlu kita cintai mengatasi ibu bapa kita adalah Rasulullah SAW.  Bagaimana Ustaz mengenali Rasulullah?

JAWAPAN:

Saya berterima kasih kepada Tuhan dan kepada orang yang memelihara saya yakni ibu ayah saya, Kiyai Syahid, Pak cik Lebai Ibrahim serta lain-lain lagi kerana hidup saya dari kecil dalam suasana yang agak beragama. Jadi kalau tidak ke sekolah, di rumah pun saya mendengar tentang Nabi dan para Sahabat.
Lebih-lebih lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana dihantar ke sekolah Agama. Cuma Tuhan tidak takdirkan saya mengaji tinggi. Setakat sekolah menengah rendah, tingkatan 3. Kalau ikut sistem sekarang, PMR. Di sanalah saya dapat dengar tentang Rasulullah dan rasul-rasul. Di samping itu, saya baca sendiri kisah-kisah itu. Dahulu saya kuat membaca. Sebab saya sedar saya tak dapat sekolah tinggi, jadi saya terpaksa struggle. Lebih-lebih lagi ketika umur saya 20 tahun, atas desakan bapa, saya kahwin cepat.
Saya dahulu tak sekolah tinggi. Setakat menengah rendah. Saya usaha sendiri dengan banyak membaca. Bahkan pernah, ketika umur 20-an, saya wajibkan diri saya membaca sekalipun balik pukul satu atau tiga pagi. Saya baca tentang sejarah, politik, agama, perbandingan agama, ideologi dll. Di samping itu, sejak dari muda, saya selalu berjalan. Saya tidak tinggal satu tempat saja. Apa yang berlaku di satu-satu tempat itu saya ambil perhatian. Saya perhatikan nelayan, penoreh, petani, orang yang duduk di sawah padi. Bahkan saya ikut sama orang yang pergi tanam padi. Saya tidak tanam sebab tidak pandai tetapi saya ikut. Orang ke hutan pun saya ikut. Kalau saya ke bandar atau ke hutan saya prihatin. Saya banyak mengembara dan saya prihatin.

Begitu pun perkara-perkara yang tidak baik, tidak menjejaskan diri saya. Dahulu siapa yang hendak menjaga saya? Di rumah bolehlah emak dan ayah jaga, tetapi di luar, siapa hendak jaga? Bagaimana pun perkara negatif tidak pernah mempengaruhi saya sedangkan masa itu masyarakat paling rosak, sebab tidak tersusun seperti hari ini. Jadi saya terpelihara. Yang saya dapat itulah pengalaman. Apa yang berlaku dalam kehidupan manusia, saya campurkan dengan apa yang saya dapat dari bacaan saya. Padahal waktu itu, hendak dapat satu buku pun susah. Hendak beli buku bukannya ada duit. Bukan macam sekarang. Buku di depan mata dan senang hendak dapat. Dahulu susah hendak dapat. Oleh kerana susah, saya cari guru. Mana pergi pun, saya cari guru. Kadang-kadang sampai pukul 12 malam. Tetapi ramai yang saya tidak berkenan kerana tidak boleh membangunkan jiwa dan akal saya.

Jadi dari hasil pengalaman dan bacaan saya, disitulah saya kenal Rasulullah. Rasulullah SAW itu, waktu kecilnya tak seperti kita. Mungkin kerana dia hendak jadi pilihan Tuhan, dia hendak dijadikan orang besar Tuhan, dia hendak dijadikan pemimpin, penyelamat dunia dan akhirat, maka Tuhan siapkan dalam dirinya satu peribadi luar biasa. Akalnya luar biasa, rohnya luar biasa, perasaannya luar biasa, fizikalnya luar biasa dan nafsunya terdidik.
Contohnya, sewaktu Rasulullah muda, sama ada dia duduk dengan mak angkatnya, Halimatussa’diah, atau duduk dengan emaknya sendiri, Siti Aminah, atau duduk dengan datuknya Abdul Mutallib, maupun duduk dengan pakciknya, Abu Talib, di antara perangai Rasulullah ini kalau dia tidak diberi makan, dia tidak makanlah. Tidak macam anak-anak kita. Bukan tidak diberi makan langsung, lambat makan sikit pun sudah mula merungut-rungut. Rasulullah tidak. Begitu juga kalau dia makan, kalau tidak ada lagi makanan untuk ditambah, dia tidak minta. Katalah dia belum kenyang lagi tetapi dia tidak minta. Sebab itu siapa yang jaga Rasulullah akan rasa hairan dengan budak ini yang tidak macam budak-budak lain. Perangainya pelik.

Baginda juga kurang bermain-main dengan budak lain. Kecuali orang-orang tertentu sahaja seperti Sayidina Abu Bakar. Masa kecil-kecil, dia tidak tahu Sayidina hendak jadi sahabat dia. Dia tidak tahu lagi bahawa dia akan jadi pemimpin. Dia pun tidak tahu Sayidina Abu Bakar itu akan jadi orang kuatnya.
Jadi, masyarakat yang tengok Rasulullah ini sangat terkesan. Dia lain dari budak-budak lain. Tidak pernah bergaduh. Bahkan tidak tahu bergaduh. Kalau orang ajak bergaduh pun , dia tak nak. Tidak akan jadi bergaduh. Kan pelik!
Adakalanya dia terpengaruh jugalah macam budak-budak lain. Hendak pergi tengok tarian gelek. Masa itu jahiliyah. Sampai-sampai sahaja tempat persembahan, dia terus tidur. Bila bangun, dia tinggal seorang. Orang sudah balik. Orang yang perasan, akan terus tanya, “Mad, seronok yang tengok malam tadi”. Dia kata, “Tidak, saya tidur. Saya tidur nyenyak. Orang dah bersurai, baru saya bangun. Selesai sahaja orang bersurai, saya bangun. Bukan setakat penyanyi sahaja tidak ada. Penonton semua pun dah balik.” Tuhan jaga dia. Dua kali sahaja dia pergi dan berlaku begitu.

Di antara perangai Rasulullah ialah dia rajin bekerja. Sejak budak-budak lagi dia jaga kambing dan ikut pak ciknya berniaga. Yang peliknya, dia berniaga itu, siapa yang ajar dia? Agama belum datang lagi. Wahyu belum turun lagi tetapi dia tak pernah letak harga. Dia berniaga tetapi tak pernah letak harga. Kalau orang hendak beli barang, tanya dia berapa harganya, dia kata,”Bayarlah berapa yang awak yakin.” Di situlah banyak dia dapat untung. Orang beri lebih dari harga biasa. Dia berniaga itu pula bukan harta sendiri, harta Khadijah. Itulah Siti Khadijah jatuh hati.”Mengapa budak muda ini dapat untung banyak?”

Rasulullah ini, diwaktu mudanya, selalu menyendiri dan termenung. Apa yang dia menungkan bukan seprti angan-angan budak kita. Budak-budak kita, kalau dia termenung, yang dia fikirkankan,” Rokok tak ada. Duit tak ada. Hendak minta duit dengan mak takut. Takut-takut kena marah”. Rasulullah tidak. Baginda merenung jauh. Merenung masyarakatnya. Melihat masyarakatnya selalu bergaduh, selalu bertengkar, selalu berperang, berjudi, minum arak, berfoya-foya, hidup tidak menentu, tidak ada matlamat, tipu menipu, jatuh menjatuhkan,dia sedih. Hendak selesaikan dia tidak tahu. Dan dia tidak ada panduan. Tapi waktu itu rasa bertuhannya sudah kuat. Seolah-olah mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Supaya ditunjuk, diselamatkan masyarakatnya.

Pernah ada orang memerhati, ditengah malam, dia keluar ke tengah padang pasir, medongak ke langit. Mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Seolah-olah hatinya berkata, “Janganlah biarkan hamba-hambaMu, bangsa ku ini dalam keadaan haru biru ini. Hidup tak ada matlamat, hidup dalam maksiat dan hidup dalam kejahatan. Hidup dalam pergaduhan dan pembunuhan.” Dia mendongak ke langit. Itu waktu dia muda remaja. Sudah ada rasa hendak bertanggung jawab. Tetapi tidak tahu bagaimana kerana belum ada panduan lagi.

Kemuncaknya, dia akhirnya mengasingkan diri ke Gua Hira’. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang dua minggu, kadang-kadang sampai sebulan. Dia bawa bekal. Kalau sebulan, dia bawa bekal untuk sebulan. Waktu itu dia sudah kahwin dengan Siti Khadijah, tetapi umurnya masih sekitar 20-an. Jadi isterinya pun hairan mengapa dia pergi ke suatu tempat di gua, duduk di sana, adakalanya sampai sebulan. Itulah Rasulullah. Dia terlalu mengharapkan panduan dari Tuhan untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berbuat. Maka berlakulah pada satu hari, malaikat datang. Cerita ini semua sudah tahu, iaitu malaikat datang dan mengajarkannya 5 ayat dari Surah Al Alaq.

Maklumlah, tidak ada pengalaman, maka dia pun ketakutan. Dia balik ke rumah macam orang sakit. Isterinya tanya, “Apa sudah jadi pada abang ini?” Dia pun ceritalah pengalamannya. Kemudian Khadijah bawa jumpa sepupunya, Waraqah bin Naufal, berumur 80 tahun, yang beragama Nasrani. Jadi, Rasulullah pun cerita pengalamannya kepada Waraqah. Waraqah faham pengalaman inilah yang pernah berlaku pada rasul-rasul yang sudah. Dia pun menenangkan Rasulullah, “Engkau jangan takut. Allah sayangi engkau. Engkau sudah jadi orang besar Tuhan. Engkau akan jadi penyelamat. Engkau akan ambil berat hal-hal orang lain. Engkau akan menolong orang.” Itulah kata-kata Waraqah bin Naufal. Waktu itu Rasulullah berumur 40 tahun.

Tetapi pelik. Selepas itu wahyu tak datang lagi. Sudahlah, Rasulullah tidak ada pengalaman. Baru pertama kali menerima wahyu, dia takut dan menggigil. Kerana itulah dia mengadu pada isterinya yang faham dan dapat beri kekuatan kepadanya. Mujur ada Waraqah bin Naufal yang menenangkan dia. Tetapi selepas itu, putus wahyu selama 2 tahun. Jadi Rasulullah menunggu, hinggakan Rasululullah jadi rindu hendakkan kedatangan wahyu itu lagi. Setelah dia sudah tenang, sudah sempat berfikir tentang apa yang berlaku, sudah rasa rindu maka setelah 2 tahun, barulah datang wahyu lagi. Tetapi bukan menyambung ayat. Ayat itu disambung waktu lain.

Malaikat datang dengan surah kedua iaitu ayat “…ya ayyuhal mudhassir.” Selepas dua tahun. Kali kedua jumpa malaikat, keluarlah ayat itu. Bukan lagi di Gua Hira’. Waktu dia ingin sangat hendak dapat wahyu, ketika dia sedang berjalan-jalan di satu malam, dia terkejut dan ketakutan, melihat malaikat yang pernah dia jumpa di Gua Hira’. Kali ini dia lihat malaikat macam terawang-awang di antara langit dan bumi. Rasulullah ketakutan lagi. Hari itu bentuk lain. Hari itu kan dia kena peluk tiga kali. Kali kedua ini dia melihat, malaikat yang dia berjumpa di Gua Hira’ dahulu berada antara langit dan bumi. Seolah-olah duduk di awang-awangan. Waktu itulah dia dapat ayat itu.

Jadi Rasulullah ini dari muda lagi dijadualkan oleh Tuhan. Perangainya berbeza sangat dari orang lain. Waktu itu, mana ada agama lagi tetapi dia sudah beragama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions