Berkat Sekeping Roti

Suatu ketika pada zaman Nabi Musa a.s telah hidup seorang gadis Bani Israel yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang amat kaya raya. Sejak dari kecil lagi, anak gadis berhati halus ini memang sangat mudah berbelas kasihan kepada golongan hamba yang bekerja dengan keluarganya mahupun golongan fakir miskin dalam masyarakat Bani Israel ketika itu.

Ayahnya seorang saudagar yang diberi rezeki begitu melimpah ruah oleh Allah SWT, namun hartanya semakin menjauhkannya dari Tuhan.

Dia sering memberi amaran kepada isteri, anak-anaknya, serta para hamba sahaya dan pekerjanya.

” Jangan sekali-kali kamu semua membazirkan harta penat lelahku untuk diberikan kepada orang susah, miskin dan melarat, yang pemalas itu. Aku tidak akan teragak-agak untuk menghukum kamu, hingga kepada tangan-tangan atau kaki-kakimu sekali akan aku potong kelak!”

Pada suatu masa, musim kemarau dan keperitan melanda Bani Israel. Makanan semakin sukar didapati, ramai fakir miskin mati kebuluran akibat kurang makanan dan cuaca yang terlampau panas. Pagar tembaga istana si kaya tertutup rapat malah dijaga oleh pengawal dari dimasuki orang melarat yang meminta sedekah. Pengawal akan menghalau sesiapa sahaja yang cuba mendekati istana si kaya dengan pukulan cemeti dan maki hamun.

” Cis ! Berambus kamu semua ! Pemalas! Di sini bukan rumah kebajikan untuk kamu mendapat makan-minum percuma. Mintalah kepada Tuhan, jika Dia berkehendak pasti kamu akan dikurniakan rezeki!!”

Anak gadis si kaya sepanjang siang dan malam memang dipingit oleh keluarganya duduk di dalam istana. Dia selalu merasa hiba dengan sikap ayahnya yang sangat bakhil dan kejam.

” Alangkah sedihnya aku melihat keadaan ayahku sedemikian…. Segala kekayaan yang kumiliki hanya pinjaman dan ujian Allah kepada ayahku. Sebahagian harta ini bukan haknya, malah hak orang miskin dan melarat di luar sana. Hanya, Allah menumpangkannya kepada tangan ayahku, untuk diagih-agihkan kepada yang berhak…. Ya Allah, berikanlah keinsafan kepada ayahku agar dia kembali kepada jalan Mu….”

Suatu petang si gadis sedang melihat-lihat bunga-bungaan di tamannya yang semakin layu akibat musim kemarau. Melihat keindahan alam adalah suatu hiburan yang tinggi kepadanya. Dia sering merenung matahari, langit, bulan, bintang-bintang dan segala kejadian alam untuk rohnya menghayati dan merasakan kebesaran Allah Yang Maha Pencipta, Maha Berkuasa dan Maha Kaya. Pepohonan hijau, bunga-bungaan yang indahnya tiada tolok bandingnya menguatkan lagi rasa kehambaan dan rasa berTuhannya.

” Tolong jangan habiskan air itu untuk menyiram pokok-pokok ” katanya kepada si hamba.

” Mengapa cik Puan? Nanti tuan akan marah melihat pokok-pokok ini mati”

” Tidak mengapa, kamu simpanlah air ini di pondok kamu untuk tujuan makan dan minum, kamu semua lebih memerlukan air dari pokok-pokok ini.”

Seorang fakir kebetulan dapat meloloskan dirinya melalui pintu pagar belakang berdekatan taman Istana itu yang agak tersorok, yang kurang dijaga pengawal.

” Puan, tolonglah Puan berikan saya sedikit makanan. Saya sudah berhari-hari belum menjamah apa-apa untuk mengurangkan kelaparan perut yang sangat pedih ini, malah hampir mengganggu kewarasan akal saya ini.”

Si gadis merasa sangat kasihan melihat si fakir yang kurus cengkung dan kelihatan sangat menderita itu.

” Minta tolong pergi ke dapur dan ambilkan sedikit makanan untuk tetamu ini” pintanya kepada hamba sahayanya sambil memberikan air yang sepatutnya digunakan untuk menyiram pokok kepada si fakir, untuk diminum.

” Maaf cik Puan, saya amat takut dihukum oleh tuan nanti sekiranya tuan dapat tahu.”

” Tidak mengapalah, saya akan mengambilnya sendiri”

Si gadis pantas ke dapur mengambil sebuku roti panas yang baru dikeluarkan dari pemanggang lalu diberikan kepada si pengemis.

” Terima kasih Puan. Terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah memberkati”

Rupa-rupanya berita si gadis memberikan sebuku roti yang masih panas kepada si pengemis telah diadukan oleh seorang pengawal yang terlihat kejadian itu kepada ayah gadis tersebut, si kaya yang bakhil itu.

” Kau pun tahu bukan, kau telah melakukan kesalahan yang berat. Nescaya rakan-rakan pengemis yang pemalas itu akan datang semula untuk menagih bahagian mereka pula. Kau sangat mengecewakan aku!! Sebagai pengajaran kepada semua, tangan kananmu akan kupotong di hadapan semua ahli istana ini termasuk para hamba dan pekerja!”

Lalu hukuman pun dijalankan.

Si gadis yang berhati hamba menerima ujian besar dari Allah itu dengan redha. Dia yakin segala yang berlaku ada hikmah yang besar dari Tuhan. Dia yakin Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-hambaNya. Dunia adalah tempat segala bala dan ujian, manakala akhiratlah yang kekal abadi selamanya.

Sejak kejadian itu, bala menimpa si kaya itu silih berganti. Perniagaannya mendapat kerugian besar dan jatuh merudum. Dia ditakdirkan jatuh sakit yang mengaibkan dan tidak mampu lagi berusaha untuk memperbaiki keadaan. Para pekerjanya lari darinya. Istananya terbiar bak sarang tikus, isterinya pergi meninggalkan suaminya. Akhirnya si kaya mati dalam keadaan terhina.

Si gadis yang kudung sebelah tangan, yang sudah tidak mempunyai sesiapa, hanya berbekalkan iman di dada memutuskan untuk mengemis demi keperluan asas agar dapat terus bernafas.
Pada hari pertama mengemis lagi, Allah sudah mengurniakan RahmatNya kepada gadis yang baik ini.

Seorang wanita tertarik melihat perwatakan dan kecantikan gadis kudung yang mengemis di pintu rumahnya. Dari air muka gadis itu, dia dapat merasai suatu ketenangan.

Dengan penuh sopan dan kepayahan si gadis berkata,

” Puan, saya sudah kelaparan berhari lamanya. Kasihanilah saya Puan… Jika Puan perlu bantuan, saya sudi bekerja untuk Puan sebagai upah makanan yang saya sangat perlukan. ”

“Wahai anak, sudikah kau tinggal bersamaku untuk menggembirakan hatiku yang tidak punya anak perempuan?

Dari mana asalmu, bagaimana kamu boleh menjadi cacat sebegini?”

Gadis itu hanya mengangguk-ngangguk lesu bersama tangisan yang membasahi pipinya.

“Terima kasih Puan. Terima kasih Allah Yang Maha Baik. InsyaAllah bila sampai masanya saya akan ceritakan”

Selama tinggal bersama, wanita itu semakin tertarik dengan kehalusan budi pekerti, ibadah dan akhlak gadis cantik yang kudung sebelah tangan itu, apatah lagi setelah gadis itu akhirnya mahu bercerita tentang sejarah asal-usulnya dan asbab akan kecacatan tangan yang dialaminya itu.

Wanita itu akhirnya berniat untuk menjodohkan gadis itu dengan anak lelakinya. Dia yakin anaknya akan beroleh keselamatan di dunia dan akhirat jika berkahwin dengan gadis itu.

” Tidak lama lagi, anakku akan pulang dari menuntut ilmu di perantauan. Sudikah kau menerimanya sebagai suamimu?”

“Bagaimana mungkin saya akan berkahwin dengan anak Puan, sedangkan saya ini cacat.”

“Kecacatan tanganmu itu hanya perkara kecil pada pandanganku. Tuhan Maha Baik, aku yakin Dia tidak akan mensiakan-siakanmu atas takdir yang telah menimpamu.”

Maka majlis perkahwinan berlangsung dengan penuh keberkatan dan meriah.

Pada malamnya, semasa keraian untuk meraikan perkahwinan itu dalam satu majlis makan bersama kerabat terdekat, gadis itu pun membuka hijab mukanya.

Maka semakin tertariklah hati suaminya dan bertambah sayang kepadanya melihat watak dan pekertinya.

Namun, apabila makanan dihidangkan, amatlah memeranjatkan apabila gadis itu makan menggunakan tangan kirinya.

” Ibu, gadis apakah yang ibu jodohkan kepadaku, yang kurang beradab ini? Adakah dia tidak tahu menggunakan tangan kanannya untuk menyuap makanan?”

” Anakku, bersabarlah, nanti ( belum habis bercakap)…..”

” Wahai isteriku, adakah asal usul kefakiranmu telah menyebabkan kau menjadi begini?” Makanlah dengan tangan kananmu! Makan dengan tangan kananmu!”

Setelah tiga kali suami gadis ini menegur, si gadis hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sepatah perkataan pun.

Tiba-tiba muncullah suara hatif, yang dapat didengari semua, berkata.

” Wahai gadis. Keluarkanlah tangan kananmu. Allah tidak mensiakan-siakan keikhlasan hatimu bersedekah kepada fakir yang kelaparan itu. Kau melakukannya demi kerana Allah semata-mata. Maka sekarang Allah mengembalikan tangan kananmu yang hilang demi keranaNya itu.”

Si gadis segera mengeluarkan tangan kanannya.

Dia menangis kegembiraan dan bersyukur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions