HURAIAN AL FATIHAH – ALHAMDULILLAH

Jika ibu, suami atau isteri kita memanggil dan mengajak kita duduk bersama bertujuan hendak menghiburkan hati kita, mereka hendak berkongsi apa yang mereka ada. Begitulah dengan kalimah ayat kedua Al Fatihah – Alhamdulillahirabbil alamin. Segala pujian adalah untuk Allah, Tuhan seru sekelian alam. Tuhan meluahkan cintaNya dan hendak berkongsikan kebesaran-Nya dengan kita. Segala pujian ialah segalanya yang agung-agung, semuanya adalah kepunyaan Dia yang Maha Esa. Allah mengajar kita agar menafikan yang lain. Hanya DIA sahaja yang besar.Tuhan mendorong hambaNya supaya mencintai Dia yang Maha Hebat itu.

Al Fatihah sangat penting dijadikan rukun dalam sembahyang. Apabila para hamba memuji Allah dalam solat, Allah berkata begini, “Dengarlah malaikat bahawa hamba-hamba-Ku memuji Aku dalam sembahyang”. Setelah segala kepujian, segala kemuliaan dan keagungan itu dilafazkan, Allah mengingatkan lagi akan sifatNya yang Ar Rahman Ar Rahim. Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Maha Pemurah yang sangat agung kerana Dia Maha Pemberi, orang tidak minta pun Dia tetap memberi. Watak manusia ini sangat suka jika diberi hadiah. Tuhan sebenarnya berbuat kepada kita seperti itulah. Akulah yang paling Pemurah. Cuba kira berapa banyak yang Tuhan sudah beri kepada kita. Begitu sekalilah Allah hendak menyuruh kita cinta kepadaNya. Memang kalau kita faham, kita akan jatuh cinta dan rasa bahagia dan seronok, cukup dengan Allah dalam hidup ini.

Setelah kita hurai Bismillah, bahas dan nilai, barulah terasa munasabah selepas itu kita ucapkan Alhamdulillah, kita puji Tuhan. Setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan, tidak boleh hidup tanpa Tuhan, setelah kita terasa kita ini hambaNya yang patut merendah diri pada Nya,setelah kita rasa patut kita cintai dan takut denganNya, maka barulah sebut alhamdulillah itu. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah.

Selama ini kita puji Tuhan tetapi tidak terasa apa-apa. Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Lain sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak terasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, bila membaca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan syahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya.

“‘Segala puji bagi Allah’ Apakah ‘puji’ itu?

Erti Puji: Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (kalau orang) atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.

Bagaimanakan untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu? baiknya Tuhan, hebatnya Tuhan, maha kuasanya Tuhan, pemurahnya Tuhan dan maha agungnya Tuhan. Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu. Kalau Tuhan izinkan, katalah kita boleh hidup sejuta tahun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis. Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas. Kalau Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak cukup kerana ia tidak ada kesudahan. Maha Besar Nya Tuhan.

Patutlah selepas Bismillah, ialah alhamdulillah sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh berbuat begitu.Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan Nya, tidak akan ada titik noktah. Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian Alhamdulillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions