ISLAM AGAMA SUCI

la-ilaha-illallah-muhammadur-rasullullah

Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan mencintai orang yang membersih/ mensucikan dirinya ( zahir batin ).
Maksud hadith Rasulullah saw:
“Menjadi bersihlah kamu kerana Islam itu bersih.”
“Kebersihan itu sebahagian dari iman.”
“Bersuci itu pintu bagi ibadah.”

Hujjatul Islam Imam al Ghazali menukilkan di dalam kitabnya ‘ ‘Mau’izatul mukminin’ (Bimbingan Mukmin), Barangsiapa menghendaki bertemu dengan Allah swt dengan selamat hendaklah ia menyempurnakan empat peringkat bersuci.”

Pertama: Bersuci badan, pakaian dan tempat tinggal dari najis, hadas, perkara-perkara cemar dan lebihan yang tidak diperlukan. Inilah kebersihan yang paling asas.
* Tempat tinggal (rumah dan persekitaran); bersih dari sampah sarap, semak samun, sarang lalat, sarang nyamuk, sarang tikus dan dari bau busuk. Hendaklah dalam keadaan bersih, kemas, rapi, tersusun, dihias cantik dan harum. (Orang barat sangat menitik beratkan hal ini).

* Bersih dari benda-benda cemar: dari habuk, lumpur, tahi lalat dan keadaan comot. Walau pun sah sembahyang kalau kaki bersalut lumpur, telekung bertahi lalat dan comot, sejadah berhabuk tetapi tak beradablah mengadap Allah dalam keadaan membawa cemar dan makruh hukumnya. Nak mengadap sultan di dunia pun tak akan dibenarkan oleh pengawal istana kalau berpakaian compang-camping, comot, bertahi lalat dan membawa lumpur.

*Bersih dari lebihan yang tidak diperlukan seperti kuku, bulu ketiak dan bulu ari2. Makruh hukumnya kalau tidak dikerat atau dicukur melebihi 40 hari dan dikatakan menjadi sarang syaitan. Celah kuku yang bertahi kuku akan menghalang sampai air wudhuk dan kuku yang dibiar panjang kelihatan tidak sopan.

* Bersih dari najis. Tak sah sembahyang membawa najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang ( Ini tuntutan syariat yang orang barat tak faham ).

* Bersih dari hadath kecil dan hadath besar dengan berwudhuk dan mandi hadath.

Maka adalah menjadi tuntutan fardhu ain keatas setiap Muslim yang mukallaf (akil baligh) mempelajari dan memahami sungguh-sungguh tentang bersuci dari najis dan hadath kecil serta hadath besar. Tentang air mutlak yang sah bersuci dengannya dan tentang air mutanajjis, musta’mal dan air bercampur dangan bahan lain umpama air teh yang tak sah digunakan untuk bersuci. Begitu juga air yang terjemur pada matahari di dalam bekas yang boleh berkarat yang makruh digunakan untuk angkat hadath kerana ianya boleh mengakibatkan penyakit sopak. Isteri diharuskan minta cerai sekiranya suaminya berpenyakit sopak kerana penyakit itu dianggap aib. Begitu juga kena faham sungguh-sungguh tentang istinjak (basuh kencing-berak), mengenal jenis-jenis najis dan cara membersihkannya serta syarat sah mengangkat wudhu’ dan mandi hadath. Ibu bapa bertanggung- jawab ke atas ilmu fardhu ain ini terhadap anak-anak mereka. Kalau tak sah bersuci maka tak sah sembahyang.

Kedua: Bersuci jawarikh yakni anggota lahir iaitu mata, telinga, lidah, kaki, tangan, perut dan faraj dari menyentuh dosa. Mata itu jendela hati kata pepatah Melayu “Dari mata turun ke hati.” Bagi kaum Adam mengawal mata dari menatap dan merenung wanitalah yang paling payah dan selalu gagal nak dikawal. Sedangkan menatap wanita yang halal nikah adalah diharamkan kerana ianya menimbulkan berahi atau keinginan syahwat yang boleh mendorong kepada perbuatan zina. Walaupun ianya dosa kecil tatapi kalau selalu-selalu dilakukan menjadi dosa besar dan perlu ditaubatkan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Pandangan mata (lelaki) terhadap kejelitaan wanita itu adalah umpama panah beracun dari panah iblis. Barang siapa dapat mengawal matanya dari melihat seumpama itu akan merasa kemanisan beribadah.” Jadi ini termasuklah melihat gambar-gambar, lebih-lebih lagi yang bergerak dan beradegan cinta dan bercumbu dalam filem dan drama serta menyanyi tergendai-gendai sudah tentu meruntun nafsu dan melacur hati serta mendatangkan dosa. Jadi tanya lah diri kita “Mengapa sembahyang kita tidak khusyuk.”

Malah seluruh anggota lahir kita adalah merupakan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita namun ianya juga merupakan pintu masuk nya maksiat. Maka wajiblah kita bersyukur dan guna kan sebaik-baiknya untuk menjunjung syariat Allah. Jauhi maksiat dan gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada manusia.

*Lidah digunakan untuk zikirullah, baca Quran dan bercakap yang baik-baik. Jauhi mengumpat, mengeji, mengata, mengadu domba, berkata dengan bahasa kesat dan lucah serta perkataan yang sia2.

*Telinga jauhi dari mendengar perkara-perkara buruk, yang terlarang dan sia-sia serta melalaikan. Gunakan untuk mendengar yang baik-baik dan berfaedah serta nasihat.

*Kaki jauhi dari melangkah ke tempat-tempat maksiat. Gunakan untuk pergi ketempat-tempat yang berfaedah.

*Tangan jauhi dari menyentuh, mengambil benda-benda yang terlarang. Gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada sesama manusia.

*Perut jauhi dari masuk makan-minum yang haram dan syubahat. Makan minum yang syubahat walapun belum jatuh haram tapi ianya menggelapkan hati, menjadi hijab untuk merasakan kemanisan iman dan dari rasa khusyuk dalam ibadah. Umat Islam wajib menyediakan makan minum yang benar-benar suci dan ianya menjadi tuntutan fardhu kifayah, apabila tak ada siapa pun umat Islam menghasilkannya maka semua umat Islam menanggung dosa. Ini jarang umat Islam rasa berdosa. Sedarkah kita berbagai-bagai produk makanan yang diadun dengan gelatin, pactin, emulsifire dan shortening mengandungi lemak babi atau lemak binatang yang tak disembelih secara Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Hati kamu dibentuk oleh makan-minum kamu.” Maka jauhilah dari makanan yang jelas baram, subhat, yang berunsur riba, curi, rasuah, tipu dan seumpamanya.

*Faraj yakni kemaluan hendak lah dijauhi dari perbuatan zina. Ini termasuk menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsang kepada perbuatan zina: melihat, berkata lucah dan mengkhayalkan yang lucah dan membaca bahan-bahan lucah.

Ketiga: Bersih akal-fikiran dan rasa hati dari perkara-perkara dosa. Jauhi dari mengkhayalkan perkara-perkara maksiat dan sia-sia. Bersihkan hati dari sifat mazmumah yakni sifat keji seperti perasaan ego, takabbur, membesar diri. Dari perasaan riak, ujub, suma’ah. Dari bakhil, pemarah, hasad-dengki, berburuk sangka, gila dunia dan seumpamanya.
Hendaklah dipelihara hati dari perasaan syirik, kufur, nifak dan menganut fahaman ideoloji.

Keempat: Bersihkan rasa hati dari sir yakni dari mengingati selain Allah. Inilah hati para rasul, para ambia’ dan para aulia’ Allah yang kaki mereka berpijak di bumi tetapi hati mereka di alam tinggi, tenggelam dalam kebesaran Allah. Apa yang mereka lihat semuanya di hubungkan dengan kebesaran Allah.

Maka hendaklah kita berusaha semaksima mumgkin membersihkan lahir-batin kita agar kita berjaya menjadi kekasih Allah. Firman Allah bermaksud “Beruntunglah barangsiapa yang berjaya membersihkan jiwanya dan rugilah barangsiapa yang mengotorinya.”⁠⁠⁠⁠

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions