Kemiskinan Bukan Ditakuti Tetapi Disukai
Bila disebut miskin dan kemiskinan, semua orang takut dan benci. Bersediakah kita untuk hidup miskin? Senangkah hati kita jika anak-anak kita hidup dalam kemiskinan? Marilah kita memandang miskin harta ini dengan positif, supaya nanti kita dapat melaksanakan hidup yang indah ini.
Rasulullah SAW pernah berdoa agar dapat menjadi orang miskin.
“Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan himpunkan aku bersama orang miskin di dalam syurga” – Riwayat At Tarmizi
Nampaknya Rasulullah bukan sahaja tidak takut miskin bahkan memintanya, demikian juga para sahabatnya. Harta yang ada padanya digunakan untuk fisabillah dan membantu orang miskin, tidak digunakan untuk dirinya dan keluarganya, tidak sempat mengumpul wang untuk menjadi kaya, dengan itu perjuangan Islam dapat menjadikan masyarakat dan jemaah kaya tapi individu miskin. Untuk diri sendiri baginda berusaha untuk menjadi miskin dan baginda bahagia dengan kemiskinan itu.
Orang miskin yang bertaqwa pada Allah jauh lebih baik dan beruntung daripada orang yang kaya harta kerana:
1. Orang miskin tidak disibukkan atau dilalaikan oleh harta individu, dengan itu peluang ditipu oleh harta tertutup sama sekali.
2. Harta selain menipu daya, ia juga mengikat dan mengongkong pergerakan tuannya, orang tak sanggup meninggalkan harta dan rumahnya seperti tidak sanggup meninggalkan anak isterinya, sedangkan manusia bebas ke mana sahaja demi memperjuangkan agama Allah.
3. Orang miskin yang mengorbankan harta di jalan Allah ialah menyimpan harta di bank akhirat , dia dapat berganda-ganda untung lagi, keuntungan dunia diperolehi dengan menjadikan masyarakat, jemaah dan negara kaya. Negara kaya lebih hebat dari individu kaya.
4. Bilamana Rasul memilih kemiskinan dengan sendirinya perebutan kekayaan di kalangan pengikut akan terhenti, kerana pemimpin miskin tidak mengumpul kekayaan, mereka tidak meneruskan merebut kekayaan kerana Rasul tidak suka, bahkan masing-masing mengorbankan harta mereka. Kerana demikianlah Allah dan Rasul perintahkan.
5. Orang miskin rapat dengan Tuhan. Mereka selalu meminta-minta pada Tuhan dan merasakan Tuhan amat perlu dalam hidup mereka, sebaliknya orang kaya selalu lalai dengan Allah, bahkan sering terlupa bahawa kekayaan itu semua adalah pinjaman dari Allah. Sebab itu kita lihat orang kaya lebih terdedah kepada sifat sombong dibandingkan dengan orang miskin, sebab itu orang-orang mukmin kerana pentingkan hati yang suci dan tawadhuk, mereka memilih kemiskinan daripada kekayaan.
6. Orang miskin lebih dahulu masuk syurga berbanding orang kaya kerana kurang hisab mereka, orang kaya yang boleh masuk syurga pun akan lewat 500 tahun dibandingkan dengan orang miskin.
Atas sebab itu Rasullah memilih kemiskinan. Bahkan Islam pun tidak menentangnya, bagi mereka yang tidak dapat mengelak. Kerana kemiskinan seperti juga kelemahan-kelemahan yang lain adalah sunnah Allah ,ketetapan yang tidak boleh dibasmi. Ia mesti berlaku sebagai satu bentuk ujian yang ditetapkan oleh Allah, bahkan merupakan satu keperluan yang tersirat dalam masyarakat dan kepada individu individu tertentu.
Dalam Islam, kemiskinan tidak dianggap masalah masyarakat, maka perjuangan untuk membasmi kemiskinan tidak dilaung-laungkan, sebaliknya dinilai mengandungi penuh hikmah dan didikan, yakni satu peluang yang menjalin kerjasama dalam masyarakat juga pencetus kedamaian dalam hidup bermasyarakat, kerana satu sama lain perlu memerlukan.
Namun hal ini amat tersurat, susah hendak dilihat dengan mata kasar, mungkin sulit untuk difahami kalau tiada bukti kecuali bagi hati yang bersih.
Di kalangan orang-orang Islam bertaqwa, para pemimpin dan orang kaya memerlukan orang-orang miskin untuk hidup mereka, bukan untuk dihambakan kepada kepentingan mereka tetapi untuk :
1. Tempat berhibur dengan mencurahkan harta mereka seperti yang Alllah perintahkan
2. Mengisi berbagai projek kemasyarakatan yang dibangunkan oleh orang orang kaya.
Hal ini hanya berlaku dalam masyarakat yang sudah terdidik dengan ilmu Islam dan iman, hanya orang kaya yang bertaqwa yang sudi terhadap orang miskin dan hanya orang miskin yang bertaqwa yang boleh bangga dengan orang-orang kaya.
Pokoknya, perjuangkan iman dan taqwa untuk kedua-dua golongan ini , ubat bagi kedua golongan masyarakat yang berpenyakit ini ialah iman dan taqwa agar si kaya sanggup bertanggungjawab kepada fakir miskin dan fakir miskin redha dengan kemiskinannya.
Leave a Reply