MAHALNYA NILAI KASIH SAYANG
” Sewaktu pertempuran di Yarmuk, ramai dari kalangan tentera Islam yang luka parah. Mereka yang cedera itu sudah tidak berdaya untuk meneruskan perjuangan, lalu ditempatkan dalam sebuah khemah. Mereka semua mengalami luka-luka yang banyak di seluruh tubuh.
Banyak darah yang keluar hingga menyebabkan mereka merasa dahaga yang amat sangat. Lalu salah seorang daripada tentera Islam yang cedera itu, iaitu Al Haris bin Hisyam, meminta air. “Air, air,” katanya.
Seorang Sahabat yang mendengar Al Haris meminta air itu segera membawa air kepadanya. Namun belum sempat Al Haris meminumnya, tiba-tiba dia terdengar suara Ikrimah yang turut cedera meminta air.
Al Haris pun berkata, “Berikanlah air itu kepadanya.” Ketika pembawa air itu sampai kepada Ikrimah, belum pun sempat beliau meminumnya, Ikrimah terdengar pula suara Aiyasy meminta air.
Ikrimah juga tidak jadi meminumnya. Dia menyuruh memberi air itu kepada Aiyasy. Pembawa air itu segera mendapatkan Aiyasy yang terbaring kesakitan. Belum sempat dia memberi air itu kepada Aiyasy, Sahabat tersebut telah pun syahid. Pembawa air itu segera kembali kepada Ikrimah, didapatinya Ikrimah juga telah syahid. ”
Lalu dia segera berlari ke arah Al Haris, juga didapatinya Al Haris sudah syahid. Terduduklah Sahabat yang membawa air itu sambil menangis keharuan.
Sejarah ini bukan khayalan, tapi ia benar-benar terjadi.
Mungkin kita merasakan apa sangatlah susahnya mengorbankan sedikit air untuk orang lain. Tapi cuba kita renungi bagaimana hausnya seorang yang sedang luka parah. Tubuh normal seorang manusia memerlukan tidak kurang 75 peratus kandungan air. Jika air dalam badan berkurangan, kita akan merasa dahaga. Katalah kita berpuasa sepanjang hari, peratus air badan kita akan berkurangan sehingga 73 peratus. Kalau kita berpuasa di hari yang terik dan kita bekerja keras di tengah panas pula, paling-paling tidak air badan kita akan menurun sehingga 70 peratus. Waktu itu kita akan merasa sangat haus. Apabila masuk sahaja waktu berbuka, kita pun cepat-cepat minum, tidak sempat fikir kawan, fikir anak atau ibu ayah.
Tapi, tahukah kita bagaimana hausnya orang yang sedang luka parah? Darah yang banyak keluar boleh menyebabkan kandungan air di dalam badan turun sehingga 40 peratus. Bayangkanlah betapa hausnya orang yang cedera itu! Setitik air sekali pun amat bermakna kepada mereka.
Dengan itu, dapatlah kita bayangkan bagaimana tingginya kasih sayang antara para Sahabat yang mampu mengorbankan air dalam keadaan yang sangat haus itu. Tiada seorang pun di antara mereka yang sempat meminumnya kerana masing-masing mengutamakan keperluan sahabat lain walaupun diri kehausan yang teramat sangat.
Apakah demikian kasih sayang kita sesama umat Islam pada hari ini? Kalau ada pun kasih sayang di waktu ini, kasih sayang kita hanyalah main-main dan berlakon-lakon. Belum ada kasih sayang yang sejati seperti yang dipamerkan oleh para Sahabat tadi, sekali pun antara suami isteri. Selagi mana suami atau isteri memenuhi kehendak pasangan masing-masing, selagi itu wujudlah kasih sayang. Jika terkurang sedikit atau teruji sedikit, mulalah terungkai dan hilang kasih sayang.
Madah buat renungan….
” Orang yang kenyang dengan kasih sayang kurang lapar dengan benda-benda atau pekara-pekara lain. Kalau orang lapar dengan kasih sayang,dia rasa lapar dengan benda-benda atau pekara-pekara lain.”
Leave a Reply