MENGINGATI MATI ITU SATU KEPERLUAN
Al-Nisaii meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah katanya; Sabda Rasul Allah s.a.w.
”اكثروا ذكر هادم اللذات”
Ertinya, “Perbanyakkan ingat terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”.
Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab, sabda Nabi s.a.w. yang bererti; “Perbanyakkan ingatan terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”. Kami bertanya Nabi; wahai Rasul Allah apakah yang dimaksudkan
dengan (هادم اللذات). Jawab Baginda; iaitu mati.
Ibnu Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibnu Umar katanya; “Ketika aku duduk bersama dengan Rasul Allah s.a.w. lalu datang seorang lelaki dari kalangan al-Ansar memberi salam kepada Nabi s.a.w., dan terus bertanya baginda: Siapakah orang mukmin yang afdzal? Jawab Baginda: Orang yang lebih baik akhlaknya”. Lelaki tersebut terus mengemukakan soalan; siapakah orang mukmin yang sempurna akalnya? Jawab Baginda:
“اكثروا للموت ذكرا وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الأكياس”
Ertinya: “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling baik amalannya untuk persiapan selepas mati, itulah mereka yang paling sempurna akalnya”.
Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya; sabda Nabi s.a.w.
“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ،
وتمنى على الله “.
Ertinya; “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita untuk mendapat keredhaan Allah tanpa beramal”.
Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya, sabda Nabi s.a.w.
“اكثروا ذكر الموت ، فانه يمحص الذنوب ، ويزهد فى الد نيا”.
Ertinya: “Banyakkan ingatan mati, kerana ia boleh menghapuskan dosa dan menjadi zahid (ambil dunia sekadar keperluan) di dunia”.
Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w.pernah bersabda:
“كفى بالموت واعظا وكفى بالموت مفرقا”
Ertinya; “Cukup dengan mati menjadi pengajaran dan cukup dengan mati juga menjadi pemisah antara hak dan batil”.
Leave a Reply