PERISTIWA SEBELUM KELAHIRAN RASULULLAH
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan dengan berkat Rasulullah SAW. Inilah singkapan sejarah hidup seagung-agung manusia di atas muka bumi ini. Kelahirannya telah mengubah kehidupan manusia daripada memperhambakan diri kepada makhluk kepada memperhambakan diri kepada Pencipta segala makhluk. Dia telah memperkenalkan Tuhan kepada manusia. Lahir dari didikannya segolongan manusia yang telah dapat mengenali Tuhan seterusnya cinta dan takut kepada Tuhan itu. Merekalah sebaik-baik ummah yang pernah dilahirkan ke dunia ini.
Untuk memulakan sejarah ini wajarlah kita semak dahulu peristiwa sebelumnya agar kita juga dapat mengetahui sejarah bangsa-bangsa ketika itu. Nanti kita akan dapat melihat perbezaan mereka sebelum dan selepas kedatangan Rasulullah SAW. Kedatangan pemimpin daripada Tuhan itu telah merubah Jaziratul Arabiah dan dunia. Dalam masa hanya dua puluh tiga tahun, Rasul itu telah berjaya membawa bangsanya daripada sebuah bangsa yang diperhambakan kepada sebuah bangsa yang disegani lawan dan kawan. Semua itu hanyalah kerana mereka telah diperkenalkan kepada Allah SWT. Akhirnya mereka jatuh cinta kepada Zat Yang Maha Agung itu. Lalu mereka sangat takut terhadap-Nya. Akhirnya mereka telah layak menjadi pemimpin dan penyelamat kemanusiaan. Demikianlah rahmat besar yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Benarlah kedatanganmu adalah rahmat, wahai Rasulullah SAW.
Allah Memerintahkan Nabi Ibrahim Membina Ka’bah
Allah I telah memerintahkan Nabi Ibrahim membawa isteri dan anak kecil kesayangannya Nabi Ismail untuk ditinggalkan di Mekah. Mekah ketika itu hanyalah sebuah wadi gersang dan kering-kontang. Namun di situlah Ka’bah dibina oleh Nabi Ibrahim . Di situlah Rumah Allah dan tanahnya dimuliakan sebagai Tanah Haram. Demi menunaikan perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim telah meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail
di situ. Siti Hajar merasa terkejut kerana di kawasan itu tidak ada air dan makanan bahkan tiada manusia dan kehidupan sama sekali. Namun dia akan ditinggalkan bersama seorang bayi kecil.
Ketika Nabi Ibrahim ingin meninggalkan tempat itu, Siti Hajar mengekorinya sambil bertanya kepada suaminya mengapa dia ditinggalkan sendirian di situ. Namun Nabi Ibrahim tidak mengendahkannya. Akhirnya Siti Hajar bertanya, “Apakah Allah yang memerintahkan agar aku ditinggalkan di sini?” Nabi Ibrahim menjawab, “Benar wahai isteriku.” Mendengarkan itu, Siti Hajar dengan hati yang beriman kepada Allah berkata, “Kalau begitu, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita.” Dia yakin, pasti akan ada pembelaan dari Allah, Tuhan yang Maha Baik itu. Tinggallah Siti Hajar di situ sendirian bertemankan si anak kecil.
Si anak menangis kehausan kerana susu Siti Hajar sudah mulai kering. Tiada yang boleh dilakukan olehnya melainkan meminta kepada Allah SWT. Sambil meminta kepada Tuhannya, Siti Hajar berlari ke bukit Safa. Dari Bukit Safa, dia berlari pula ke bukit Marwa dengan harapan ada orang lalu di situ. Namun tiada sesiapa yang ditemuinya. Berkat rintihan hati Siti Hajar yang sangat yakin bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakannya, Allah telah menghantar Malaikat Jibril menyingkap telaga Zam-zam dengan hujung sayapnya. Lalu terpancarlah air itu dari hentakan kaki anak kecilnya, bakal seorang Nabi. Inilah sejarah Zam-zam yang kekal hingga ke hari ini.
Peristiwa ini berlaku selepas sebuah empangan besar di Yaman yang dikenali dengan nama Sad Ma’rib pecah. Ia adalah sebuah empangan besar yang menjadi sumber air dan sumber kehidupan kepada rakyat Yaman. Empangan ini dibina oleh kerajaan Saba’ yang terkenal dengan kepakaran seni bina. Mereka membina empangan ini untuk menampung air hujan yang akan dimanfaatkan untuk keperluan harian dan pertanian mereka. Apabila mereka kufur terhadap nikmat-Nya, Allah SWT telah menghukum mereka dengan dipecahkan empangan itu menyebabkan berlakunya banjir besar. Akhirnya penduduk Yaman yang merupakan bangsa Arab terpaksa berpindah mencari kehidupan dan tempat tinggal yang baru. Sejak itu, bertebaranlah bangsa Arab ke seluruh Semenanjung Arab mencari kehidupan baru. Bani Tsaqif telah berpindah ke Taif, Bani Aus dan Bani Khazraj berpindah ke Madinah, Bani Ghasasinah berhijrah ke Syam, manakala Bani Manazirah pula berhijrah ke sempadan Iraq.
Tidak berapa lama selepas peristiwa Zam-zam itu, berlaku suatu lagi ketentuan Tuhan. Bani Jurhum sedang dalam perjalanan mencari tempat tinggal baru. Ketika lalu berhampiran lembah Mekah, mereka kehairanan apabila melihat kawanan burung berterbangan di kawasan itu. Kewujudan burung-burung itu menandakan adanya air di kawasan itu sedangkan mereka sangat tahu di kawasan itu tidak ada sumber air.
Apabila diperiksa, ternyata memang ada air di situ. Malah mereka mendapati ada seorang wanita bersama anak kecilnya di mata air itu. Bani Jurhum yang terkenal dengan sifat baik itu, tidak merampas Zam-zam daripada Siti Hajar. Mereka telah meminta kebenaran untuk berkongsi air dengannya. Malah mereka sanggup membayar sewa telaga air itu kepada Siti Hajar. Demikianlah Allah yang Maha Baik tidak mensia-siakan hamba-Nya yang bergantung sepenuhnya dengan rahmat-Nya.
Ini juga keberkatan doa dan rintihan hati seorang Nabi. Nabi Ibrahim , kerana perintah Allah SWT dengan hati yang lurus kepada Tuhan telah meninggalkan isteri dan anak kesayangannya di tempat yang mustahil untuk manusia hidup. Namun inilah keyakinan seorang Nabi kepada Tuhannya.
Petikan Dari : http://kisahsuriteladan.blogspot.com
Leave a Reply