PUASA YANG DIHAYATI

Image result for image ramadan

Untuk menghayati puasa sehingga mendapatkan puasa yang hakiki, marilah kita mengenal manusia, kita ini manusia, ertinya mari mengenal diri. Kata Rasulullah SAW, “Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya.” Jadi kita hendak kenal diri kita. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Makin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.

Perkataan manusia itu dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris disebut human being. Dalam bahasa Arab, disebut ‘insan’. Insan itu, kalau diterjemah ke bahasa Malaysia, ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa kita adalah makhluk pelupa. Jadi bila disebut manusia atau insan itu, bukanlah satu benda yang gah. “Kalau kita kata, mari kita kenal intan.” Besarlah. Tapi kalau sebut,”mari kita kenal orang pelupa,” apalah indahnya. Intan tidak ada rasa bangga tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata kita ini makhluk pelupa?

Sekarang kita hendak kenal makhluk pelupa iaitu kita. Makhluk pelupa atau insan ini, ada 4 unsur yang paling penting padanya. Kalau tidak ada 4 unsur ini, dia bukan manusia, bukan pelupa. Dia boleh jadi malaikat, binatang, syaitan atau jamadat yakni benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah. Jadi pada diri manusia itu ada 4 unsur yang sangat penting. 4 unsur itu merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Yang satu sama lainnya, perlu-memerlukan. Kalaulah ada satu yang jam, tidak boleh kerjasama, habis.

Sebab itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicergaskan untuk membolehkan manusia ini bergerak. Supaya keempat-empat unsur itu boleh bekerjasama, bantu-membantu untuk menggerakkan manusia, agar boleh bertindak, bekerja, berjuang, membangun dan sebagainya. Unsur-unsur itu adalah:

1. Fizikal atau dalam bahasa Arabnya, jawarih.
2. Akal
3. Nafsu
4. Roh

Apakah peranan keempat-empat unsur ini?

1. Apa peranan fizikal? Tenaga lahir adalah rakyat dalam diri. Ia alat yang dialatkan oleh roh, akal dan nafsu. Yang lahir ini ia taat sahaja. Kalau 3 unsur tadi tidak aktif, maka fizikal pun tidak aktif. Itu yang jadi kaki tidur. Sebab akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir tidak pandai berfikir atau merancang, ia hanya tunggu arahan. Dia jadi rakyat dalam kerajaan diri.

2. Apa pula peranan akal? Kita ada akal tetapi kita tidak tahu apa peranannya. Pelik juga. Sebab ia bersifat maknawiyah. Anggota lahir itu kita nampak ia bekerja. Tapi kalau kita tanya orang, “Apa kerja akal awak?” “Entahlah.” Sebab itu perlu kenal akal sebab ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranannya atau kerjanya menerima maklumat, menerima pengalaman, menerima ilmu, kemudian, masuk ke otaknya, ia diproses dan disimpan. Bila perlu, ia dikeluarkan balik. Proses itu yang dikatakan berfikir. Contohnya, dia tengok cawan, maklumat itu masuk. Dia tidak biarkan. Dia berfikir. Itu kalau otaknya aktif. Kalau tidak, kita tidak ajak otak bekerja. Macam fizikal yang tidak diajak bekerja. Begitulah kebanyakan umat Islam kini. Maklumat sudah jumpa tetapi akal tidak diajak bekerja, jadi pasif. Sebab maklumat tidak diproses. Jadi peranan akal, terima maklumat, ilmu, pengalaman, masuk ke otak dan diproses. Disimpan. Bila perlu, dikeluarkan.

3. Nafsu peranannya berkehendak. Dia pendorong. Tanpa nafsu, manusia tidak dapat hidup sebagai manusia. Kalau nafsu itu terdidik, ia akan mendorong manusia kepada kebaikan dan kepada mentaati Tuhan. Kalau ia tidak terdidik, ia akan mendorong kepada kejahatan dan jalan syeitan. Tuhan berfirman : “Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan”

4. Roh dikatakan juga hati atau jiwa. Peranannya ialah untuk merasa. Merasa susah, senang, suka duka takut, cemas, bimbang, risau, gelisah, gembira, sedih dll. Ia raja dalam diri. Roh manusia itu sensitif dan selalu berubah-ubah. Perubahan itu berlaku terlalu cepat hingga susah kita hendak mengesannya. Sifat roh terbagi kepada 2 : sifat mahmudah dan sifat mazmumah.

Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan. Hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa. Hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa, menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa. Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa. Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan. Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria yang dalam gelap-gelita. Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa.

Tuhan pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam. Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa bertuhan. Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita. Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya. Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa. Berzikir bukan di lidah tapi ingatan di hati.

Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya. Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati tahan pula setahun lagi. Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai. Bagi orang yang bertaqwa jiwanya hidup setiap masa. Kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya.Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa. Luar meriah di dalam tidak meriah. Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap. Kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang. Gelaplah hati sepanjang tahun. Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions