SOLAT YANG ADA ROH

Solat yang benar-benar dihayati lahir dan batin akan membuahkan peribadi yang agung, iaitu lahir satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Allah hingga bukan umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini. Kalau begitu ajaran Islam ini sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita lakukan solat sekadar cukupkan syarat dan rukunnya sahaja.

Hasil solat yang tepat dan dijiwai atau ada roh akan menjadikan dirinya sangat memberikan manfaat kepada umat Islam dan orang bukan Islam di atas muka bumi ini. Hasil solat yang agung juga dapat bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Islam yang menaungi dunia.

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN.

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solatnya tetapi dengan syarat, mesti ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH.

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada latihan yang berterusan dalam keluarga yang mendidik ke arah solat yang agung. Kalau tidak ada pimpinan dalam keluarga yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku. Pemimpin keluarga itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang ketua keluarga. Ketua keluarga yang hendak menjadikan keluarganya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia mahu mendidik anak isterinya supaya mempunyai ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti usahakan berkat dari Tuhan melalui mursyidnya. Bila terhubung berkat dengan mursyidnya barulah ada kekuatan. Dia juga akan memiliki kekuatan yang mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan keluarga mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:

1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.

Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini: Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”

Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan. Inilah sumber kekuatan umat Islam yang Allah janjikan. Siapa yang mengusahakannya pasti akan dibantu. Siapa yang bercita-cita menjadi pejuang Islam dan pejuang kebenaran, ini mesti diketahui dan diambil perhatian. Jika tidak, perjuangannya boleh dipersoalkan dan dipertikaikan. Dari mana lagi sumber kekuatan umat Islam jika tidak dari sembahyang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Call Now
Directions