Tag Archives: agama
PERMOHONAN BANTUAN DERMA UNTUK MENAIK TARAF SURAU ASRAMA PUSAT PENDIDIKAN LIMPAHAN KASIH
Merujuk kepada perkara di atas Pusat Pendidikan Limpahan Kasih (PPLK) memberi peluang kepada semua para penyumbang dari semua golongan masyarakat serta seluruh muslimin muslimat untuk menanam saham akhirat dengan mendermakan atau memberikan bantuan kewangan bagi mengubahsuai dan menaik-taraf Surau di Asrama Pusat Pendidikan Limpahan Kasih.
2. Sukacitanya dimaklumkan Pusat Pendidikan Limpahan Kasih adalah sebuah Pusat Pendidikan dan Kebajikan yang menjaga serta menaungi seramai 120 pelajar, terdiri daripada anak-anak Asnaf dan anak yatim dari pelbagai latar belakang. Telah beroperasi dari tahun 2006 hingga sekarang. Disamping menguruskan sekolah agama untuk anak-anak ini, kami juga mewujudkan pusat latihan kemahiran bagi para remaja mempelajari kemahiran seperti ; Bakeri, Jahitan, Pengurusan Restoran, Pertanian, Penternakan, Kebudayaan dan Media. Buat masa ini Pusat Kebajikan kami tidak mempunyai penyumbang tetap untuk menampung perbelanjaan operasi, justeru untuk kos menaiktaraf surau ini, kami memerlukan sumbangan dan derma dari para dermawan untuk menjayakannya.
3. Tujuan menaik-taraf surau :
Memberi keselesaan penghuni PPLK dan tetamu yang hadir bagi menunaikan solat,
Mencegah haiwan-haiwan seperti kelawar, kucing masuk ke ruang solat.
Mengelakkan tempias hujan yang masuk ke ruang solat.
4 . Sumbangan juga boleh dibuat atas nama akaun:
Maybank : Limpahan Kasih Solutions – 562777220661
Maybank : Pusat Pendidikan Limpahan Kasih – 562777200627
Bank Islam : Rumah Limpahan Kasih – 12065010041461
Sebarang pertanyaan sila hubungi pejabat pentadbiran di talian:
Pejabat : 03-80523814
5. Sehubungan itu, besarlah harapan kami bagi para dermawan yang dimuliakan Tuhan menghulurkan sumbangan dan mempertimbangkan hasrat mulia PPLK. Semoga sumbangan yang bakal dihulurkan, Tuhan melimpahkan rezeki yang berlipat ganda dan mendapat sebesar-besar keberkatan di dunia dan akhirat.
Kos dan Keperluan Menaiktaraf Surau Asrama Pusat Pendidikan Limpahan Kasih :
BIL PERKARA HARGA TAJAAN
1 Dinding Gypsum Board RM 300
2 Simen Bord RM 1,100
3 Pintu Sliding Kaca RM 2,400
4 Tingkap Sliding Kaca RM 7,200
5 Mihrab RM 2,000
6 Aircond 7.5HP RM 7,500
7 Upah pasang Air Cond RM 1,000
7 Upah tukang RM 1,000
8 Aluminium RM 400
9 Karpet Surau 1200sq x RM6.5 RM 7,800
10 Upah pasang karpet RM 1,000
11 Baik Pulih tempat Wudhu’ RM 3,500
Jumlah keseluruhan RM 35,200
Para penyumbang boleh memilih bahagian manakah yang ingin ditaja. Semoga Tajaan yang diberikan mendapat Rahmat dan Keberkatan dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Di bawah ini adalah gambar-gambar terkini suasana surau Pusat Pendidikan Limpahan Kasih
“Gembirakanlah Hamba Allah,Nescaya Allah Akan Menggembirakan Kita kelak”
ISLAM AGAMA SUCI
Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan mencintai orang yang membersih/ mensucikan dirinya ( zahir batin ).
Maksud hadith Rasulullah saw:
“Menjadi bersihlah kamu kerana Islam itu bersih.”
“Kebersihan itu sebahagian dari iman.”
“Bersuci itu pintu bagi ibadah.”
Hujjatul Islam Imam al Ghazali menukilkan di dalam kitabnya ‘ ‘Mau’izatul mukminin’ (Bimbingan Mukmin), Barangsiapa menghendaki bertemu dengan Allah swt dengan selamat hendaklah ia menyempurnakan empat peringkat bersuci.”
Pertama: Bersuci badan, pakaian dan tempat tinggal dari najis, hadas, perkara-perkara cemar dan lebihan yang tidak diperlukan. Inilah kebersihan yang paling asas.
* Tempat tinggal (rumah dan persekitaran); bersih dari sampah sarap, semak samun, sarang lalat, sarang nyamuk, sarang tikus dan dari bau busuk. Hendaklah dalam keadaan bersih, kemas, rapi, tersusun, dihias cantik dan harum. (Orang barat sangat menitik beratkan hal ini).
* Bersih dari benda-benda cemar: dari habuk, lumpur, tahi lalat dan keadaan comot. Walau pun sah sembahyang kalau kaki bersalut lumpur, telekung bertahi lalat dan comot, sejadah berhabuk tetapi tak beradablah mengadap Allah dalam keadaan membawa cemar dan makruh hukumnya. Nak mengadap sultan di dunia pun tak akan dibenarkan oleh pengawal istana kalau berpakaian compang-camping, comot, bertahi lalat dan membawa lumpur.
*Bersih dari lebihan yang tidak diperlukan seperti kuku, bulu ketiak dan bulu ari2. Makruh hukumnya kalau tidak dikerat atau dicukur melebihi 40 hari dan dikatakan menjadi sarang syaitan. Celah kuku yang bertahi kuku akan menghalang sampai air wudhuk dan kuku yang dibiar panjang kelihatan tidak sopan.
* Bersih dari najis. Tak sah sembahyang membawa najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang ( Ini tuntutan syariat yang orang barat tak faham ).
* Bersih dari hadath kecil dan hadath besar dengan berwudhuk dan mandi hadath.
Maka adalah menjadi tuntutan fardhu ain keatas setiap Muslim yang mukallaf (akil baligh) mempelajari dan memahami sungguh-sungguh tentang bersuci dari najis dan hadath kecil serta hadath besar. Tentang air mutlak yang sah bersuci dengannya dan tentang air mutanajjis, musta’mal dan air bercampur dangan bahan lain umpama air teh yang tak sah digunakan untuk bersuci. Begitu juga air yang terjemur pada matahari di dalam bekas yang boleh berkarat yang makruh digunakan untuk angkat hadath kerana ianya boleh mengakibatkan penyakit sopak. Isteri diharuskan minta cerai sekiranya suaminya berpenyakit sopak kerana penyakit itu dianggap aib. Begitu juga kena faham sungguh-sungguh tentang istinjak (basuh kencing-berak), mengenal jenis-jenis najis dan cara membersihkannya serta syarat sah mengangkat wudhu’ dan mandi hadath. Ibu bapa bertanggung- jawab ke atas ilmu fardhu ain ini terhadap anak-anak mereka. Kalau tak sah bersuci maka tak sah sembahyang.
Kedua: Bersuci jawarikh yakni anggota lahir iaitu mata, telinga, lidah, kaki, tangan, perut dan faraj dari menyentuh dosa. Mata itu jendela hati kata pepatah Melayu “Dari mata turun ke hati.” Bagi kaum Adam mengawal mata dari menatap dan merenung wanitalah yang paling payah dan selalu gagal nak dikawal. Sedangkan menatap wanita yang halal nikah adalah diharamkan kerana ianya menimbulkan berahi atau keinginan syahwat yang boleh mendorong kepada perbuatan zina. Walaupun ianya dosa kecil tatapi kalau selalu-selalu dilakukan menjadi dosa besar dan perlu ditaubatkan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Pandangan mata (lelaki) terhadap kejelitaan wanita itu adalah umpama panah beracun dari panah iblis. Barang siapa dapat mengawal matanya dari melihat seumpama itu akan merasa kemanisan beribadah.” Jadi ini termasuklah melihat gambar-gambar, lebih-lebih lagi yang bergerak dan beradegan cinta dan bercumbu dalam filem dan drama serta menyanyi tergendai-gendai sudah tentu meruntun nafsu dan melacur hati serta mendatangkan dosa. Jadi tanya lah diri kita “Mengapa sembahyang kita tidak khusyuk.”
Malah seluruh anggota lahir kita adalah merupakan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita namun ianya juga merupakan pintu masuk nya maksiat. Maka wajiblah kita bersyukur dan guna kan sebaik-baiknya untuk menjunjung syariat Allah. Jauhi maksiat dan gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada manusia.
*Lidah digunakan untuk zikirullah, baca Quran dan bercakap yang baik-baik. Jauhi mengumpat, mengeji, mengata, mengadu domba, berkata dengan bahasa kesat dan lucah serta perkataan yang sia2.
*Telinga jauhi dari mendengar perkara-perkara buruk, yang terlarang dan sia-sia serta melalaikan. Gunakan untuk mendengar yang baik-baik dan berfaedah serta nasihat.
*Kaki jauhi dari melangkah ke tempat-tempat maksiat. Gunakan untuk pergi ketempat-tempat yang berfaedah.
*Tangan jauhi dari menyentuh, mengambil benda-benda yang terlarang. Gunakan untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada sesama manusia.
*Perut jauhi dari masuk makan-minum yang haram dan syubahat. Makan minum yang syubahat walapun belum jatuh haram tapi ianya menggelapkan hati, menjadi hijab untuk merasakan kemanisan iman dan dari rasa khusyuk dalam ibadah. Umat Islam wajib menyediakan makan minum yang benar-benar suci dan ianya menjadi tuntutan fardhu kifayah, apabila tak ada siapa pun umat Islam menghasilkannya maka semua umat Islam menanggung dosa. Ini jarang umat Islam rasa berdosa. Sedarkah kita berbagai-bagai produk makanan yang diadun dengan gelatin, pactin, emulsifire dan shortening mengandungi lemak babi atau lemak binatang yang tak disembelih secara Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Hati kamu dibentuk oleh makan-minum kamu.” Maka jauhilah dari makanan yang jelas baram, subhat, yang berunsur riba, curi, rasuah, tipu dan seumpamanya.
*Faraj yakni kemaluan hendak lah dijauhi dari perbuatan zina. Ini termasuk menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsang kepada perbuatan zina: melihat, berkata lucah dan mengkhayalkan yang lucah dan membaca bahan-bahan lucah.
Ketiga: Bersih akal-fikiran dan rasa hati dari perkara-perkara dosa. Jauhi dari mengkhayalkan perkara-perkara maksiat dan sia-sia. Bersihkan hati dari sifat mazmumah yakni sifat keji seperti perasaan ego, takabbur, membesar diri. Dari perasaan riak, ujub, suma’ah. Dari bakhil, pemarah, hasad-dengki, berburuk sangka, gila dunia dan seumpamanya.
Hendaklah dipelihara hati dari perasaan syirik, kufur, nifak dan menganut fahaman ideoloji.
Keempat: Bersihkan rasa hati dari sir yakni dari mengingati selain Allah. Inilah hati para rasul, para ambia’ dan para aulia’ Allah yang kaki mereka berpijak di bumi tetapi hati mereka di alam tinggi, tenggelam dalam kebesaran Allah. Apa yang mereka lihat semuanya di hubungkan dengan kebesaran Allah.
Maka hendaklah kita berusaha semaksima mumgkin membersihkan lahir-batin kita agar kita berjaya menjadi kekasih Allah. Firman Allah bermaksud “Beruntunglah barangsiapa yang berjaya membersihkan jiwanya dan rugilah barangsiapa yang mengotorinya.”
BAGAIMANA MENGENALI DAN MENCINTAI RASULULLAH SAW
Dalam sistem pendidikan sekularisma ini, manusia mengalami pupusnya cinta dan hubungan hati dengan Rasulullah SAW. Tidak pernah terfikir oleh kita bahawa Rasulullah SAW yang bukan darah daging kita, yang kita tidak kenal pun tetapi agama yang kita anuti ini meminta kita menjadikan dia cinta yang utama.
Apakah langkah-langkah yang perlu kita ketahui untuk mencintainya. Inilah aset yang paling penting untuk mengelakkan manusia terjerumus kepada penghinaan dan mala petaka.
SOALAN:
Manusia pertama yang perlu kita cintai mengatasi ibu bapa kita adalah Rasulullah SAW. Bagaimana Ustaz mengenali Rasulullah?
JAWAPAN:
Saya berterima kasih kepada Tuhan dan kepada orang yang memelihara saya yakni ibu ayah saya, Kiyai Syahid, Pak cik Lebai Ibrahim serta lain-lain lagi kerana hidup saya dari kecil dalam suasana yang agak beragama. Jadi kalau tidak ke sekolah, di rumah pun saya mendengar tentang Nabi dan para Sahabat.
Lebih-lebih lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana dihantar ke sekolah Agama. Cuma Tuhan tidak takdirkan saya mengaji tinggi. Setakat sekolah menengah rendah, tingkatan 3. Kalau ikut sistem sekarang, PMR. Di sanalah saya dapat dengar tentang Rasulullah dan rasul-rasul. Di samping itu, saya baca sendiri kisah-kisah itu. Dahulu saya kuat membaca. Sebab saya sedar saya tak dapat sekolah tinggi, jadi saya terpaksa struggle. Lebih-lebih lagi ketika umur saya 20 tahun, atas desakan bapa, saya kahwin cepat.
Saya dahulu tak sekolah tinggi. Setakat menengah rendah. Saya usaha sendiri dengan banyak membaca. Bahkan pernah, ketika umur 20-an, saya wajibkan diri saya membaca sekalipun balik pukul satu atau tiga pagi. Saya baca tentang sejarah, politik, agama, perbandingan agama, ideologi dll. Di samping itu, sejak dari muda, saya selalu berjalan. Saya tidak tinggal satu tempat saja. Apa yang berlaku di satu-satu tempat itu saya ambil perhatian. Saya perhatikan nelayan, penoreh, petani, orang yang duduk di sawah padi. Bahkan saya ikut sama orang yang pergi tanam padi. Saya tidak tanam sebab tidak pandai tetapi saya ikut. Orang ke hutan pun saya ikut. Kalau saya ke bandar atau ke hutan saya prihatin. Saya banyak mengembara dan saya prihatin.
Begitu pun perkara-perkara yang tidak baik, tidak menjejaskan diri saya. Dahulu siapa yang hendak menjaga saya? Di rumah bolehlah emak dan ayah jaga, tetapi di luar, siapa hendak jaga? Bagaimana pun perkara negatif tidak pernah mempengaruhi saya sedangkan masa itu masyarakat paling rosak, sebab tidak tersusun seperti hari ini. Jadi saya terpelihara. Yang saya dapat itulah pengalaman. Apa yang berlaku dalam kehidupan manusia, saya campurkan dengan apa yang saya dapat dari bacaan saya. Padahal waktu itu, hendak dapat satu buku pun susah. Hendak beli buku bukannya ada duit. Bukan macam sekarang. Buku di depan mata dan senang hendak dapat. Dahulu susah hendak dapat. Oleh kerana susah, saya cari guru. Mana pergi pun, saya cari guru. Kadang-kadang sampai pukul 12 malam. Tetapi ramai yang saya tidak berkenan kerana tidak boleh membangunkan jiwa dan akal saya.
Jadi dari hasil pengalaman dan bacaan saya, disitulah saya kenal Rasulullah. Rasulullah SAW itu, waktu kecilnya tak seperti kita. Mungkin kerana dia hendak jadi pilihan Tuhan, dia hendak dijadikan orang besar Tuhan, dia hendak dijadikan pemimpin, penyelamat dunia dan akhirat, maka Tuhan siapkan dalam dirinya satu peribadi luar biasa. Akalnya luar biasa, rohnya luar biasa, perasaannya luar biasa, fizikalnya luar biasa dan nafsunya terdidik.
Contohnya, sewaktu Rasulullah muda, sama ada dia duduk dengan mak angkatnya, Halimatussa’diah, atau duduk dengan emaknya sendiri, Siti Aminah, atau duduk dengan datuknya Abdul Mutallib, maupun duduk dengan pakciknya, Abu Talib, di antara perangai Rasulullah ini kalau dia tidak diberi makan, dia tidak makanlah. Tidak macam anak-anak kita. Bukan tidak diberi makan langsung, lambat makan sikit pun sudah mula merungut-rungut. Rasulullah tidak. Begitu juga kalau dia makan, kalau tidak ada lagi makanan untuk ditambah, dia tidak minta. Katalah dia belum kenyang lagi tetapi dia tidak minta. Sebab itu siapa yang jaga Rasulullah akan rasa hairan dengan budak ini yang tidak macam budak-budak lain. Perangainya pelik.
Baginda juga kurang bermain-main dengan budak lain. Kecuali orang-orang tertentu sahaja seperti Sayidina Abu Bakar. Masa kecil-kecil, dia tidak tahu Sayidina hendak jadi sahabat dia. Dia tidak tahu lagi bahawa dia akan jadi pemimpin. Dia pun tidak tahu Sayidina Abu Bakar itu akan jadi orang kuatnya.
Jadi, masyarakat yang tengok Rasulullah ini sangat terkesan. Dia lain dari budak-budak lain. Tidak pernah bergaduh. Bahkan tidak tahu bergaduh. Kalau orang ajak bergaduh pun , dia tak nak. Tidak akan jadi bergaduh. Kan pelik!
Adakalanya dia terpengaruh jugalah macam budak-budak lain. Hendak pergi tengok tarian gelek. Masa itu jahiliyah. Sampai-sampai sahaja tempat persembahan, dia terus tidur. Bila bangun, dia tinggal seorang. Orang sudah balik. Orang yang perasan, akan terus tanya, “Mad, seronok yang tengok malam tadi”. Dia kata, “Tidak, saya tidur. Saya tidur nyenyak. Orang dah bersurai, baru saya bangun. Selesai sahaja orang bersurai, saya bangun. Bukan setakat penyanyi sahaja tidak ada. Penonton semua pun dah balik.” Tuhan jaga dia. Dua kali sahaja dia pergi dan berlaku begitu.
Di antara perangai Rasulullah ialah dia rajin bekerja. Sejak budak-budak lagi dia jaga kambing dan ikut pak ciknya berniaga. Yang peliknya, dia berniaga itu, siapa yang ajar dia? Agama belum datang lagi. Wahyu belum turun lagi tetapi dia tak pernah letak harga. Dia berniaga tetapi tak pernah letak harga. Kalau orang hendak beli barang, tanya dia berapa harganya, dia kata,”Bayarlah berapa yang awak yakin.” Di situlah banyak dia dapat untung. Orang beri lebih dari harga biasa. Dia berniaga itu pula bukan harta sendiri, harta Khadijah. Itulah Siti Khadijah jatuh hati.”Mengapa budak muda ini dapat untung banyak?”
Rasulullah ini, diwaktu mudanya, selalu menyendiri dan termenung. Apa yang dia menungkan bukan seprti angan-angan budak kita. Budak-budak kita, kalau dia termenung, yang dia fikirkankan,” Rokok tak ada. Duit tak ada. Hendak minta duit dengan mak takut. Takut-takut kena marah”. Rasulullah tidak. Baginda merenung jauh. Merenung masyarakatnya. Melihat masyarakatnya selalu bergaduh, selalu bertengkar, selalu berperang, berjudi, minum arak, berfoya-foya, hidup tidak menentu, tidak ada matlamat, tipu menipu, jatuh menjatuhkan,dia sedih. Hendak selesaikan dia tidak tahu. Dan dia tidak ada panduan. Tapi waktu itu rasa bertuhannya sudah kuat. Seolah-olah mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Supaya ditunjuk, diselamatkan masyarakatnya.
Pernah ada orang memerhati, ditengah malam, dia keluar ke tengah padang pasir, medongak ke langit. Mengharapkan sesuatu dari Tuhan. Seolah-olah hatinya berkata, “Janganlah biarkan hamba-hambaMu, bangsa ku ini dalam keadaan haru biru ini. Hidup tak ada matlamat, hidup dalam maksiat dan hidup dalam kejahatan. Hidup dalam pergaduhan dan pembunuhan.” Dia mendongak ke langit. Itu waktu dia muda remaja. Sudah ada rasa hendak bertanggung jawab. Tetapi tidak tahu bagaimana kerana belum ada panduan lagi.
Kemuncaknya, dia akhirnya mengasingkan diri ke Gua Hira’. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang dua minggu, kadang-kadang sampai sebulan. Dia bawa bekal. Kalau sebulan, dia bawa bekal untuk sebulan. Waktu itu dia sudah kahwin dengan Siti Khadijah, tetapi umurnya masih sekitar 20-an. Jadi isterinya pun hairan mengapa dia pergi ke suatu tempat di gua, duduk di sana, adakalanya sampai sebulan. Itulah Rasulullah. Dia terlalu mengharapkan panduan dari Tuhan untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berbuat. Maka berlakulah pada satu hari, malaikat datang. Cerita ini semua sudah tahu, iaitu malaikat datang dan mengajarkannya 5 ayat dari Surah Al Alaq.
Maklumlah, tidak ada pengalaman, maka dia pun ketakutan. Dia balik ke rumah macam orang sakit. Isterinya tanya, “Apa sudah jadi pada abang ini?” Dia pun ceritalah pengalamannya. Kemudian Khadijah bawa jumpa sepupunya, Waraqah bin Naufal, berumur 80 tahun, yang beragama Nasrani. Jadi, Rasulullah pun cerita pengalamannya kepada Waraqah. Waraqah faham pengalaman inilah yang pernah berlaku pada rasul-rasul yang sudah. Dia pun menenangkan Rasulullah, “Engkau jangan takut. Allah sayangi engkau. Engkau sudah jadi orang besar Tuhan. Engkau akan jadi penyelamat. Engkau akan ambil berat hal-hal orang lain. Engkau akan menolong orang.” Itulah kata-kata Waraqah bin Naufal. Waktu itu Rasulullah berumur 40 tahun.
Tetapi pelik. Selepas itu wahyu tak datang lagi. Sudahlah, Rasulullah tidak ada pengalaman. Baru pertama kali menerima wahyu, dia takut dan menggigil. Kerana itulah dia mengadu pada isterinya yang faham dan dapat beri kekuatan kepadanya. Mujur ada Waraqah bin Naufal yang menenangkan dia. Tetapi selepas itu, putus wahyu selama 2 tahun. Jadi Rasulullah menunggu, hinggakan Rasululullah jadi rindu hendakkan kedatangan wahyu itu lagi. Setelah dia sudah tenang, sudah sempat berfikir tentang apa yang berlaku, sudah rasa rindu maka setelah 2 tahun, barulah datang wahyu lagi. Tetapi bukan menyambung ayat. Ayat itu disambung waktu lain.
Malaikat datang dengan surah kedua iaitu ayat “…ya ayyuhal mudhassir.” Selepas dua tahun. Kali kedua jumpa malaikat, keluarlah ayat itu. Bukan lagi di Gua Hira’. Waktu dia ingin sangat hendak dapat wahyu, ketika dia sedang berjalan-jalan di satu malam, dia terkejut dan ketakutan, melihat malaikat yang pernah dia jumpa di Gua Hira’. Kali ini dia lihat malaikat macam terawang-awang di antara langit dan bumi. Rasulullah ketakutan lagi. Hari itu bentuk lain. Hari itu kan dia kena peluk tiga kali. Kali kedua ini dia melihat, malaikat yang dia berjumpa di Gua Hira’ dahulu berada antara langit dan bumi. Seolah-olah duduk di awang-awangan. Waktu itulah dia dapat ayat itu.
Jadi Rasulullah ini dari muda lagi dijadualkan oleh Tuhan. Perangainya berbeza sangat dari orang lain. Waktu itu, mana ada agama lagi tetapi dia sudah beragama.
KEAGUNGAN SOLAT
24 ciri keagungan solat:
1.Ia merupakan ibu segala ibadah
2. Ia merupakan tiang seri agama Islam
3. Ia diperintah oleh Allah dengan cara Allah Taala memanggil Rasulullah SAW mengadapNya pada malam Israk Mikraj tanpa melalui Malaikat Jibrail sedangkan suruhan amalan yang lain diterima melalui Malaikat Jibrail.
4. Siapa yang meninggalkan solat , dia menjadi kafir.
Maksud hadis ;
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja – kafir yang nyata”
5. Di dalam solat, seluruh anggota terlibat, perbuatan, perkataan, fizikal, bacaan ,( lisan ) dan hati atau roh, kerana merasa dan menjiwai dan akal kerana memahami (4 anggota berjalan serentak ).
6. Mengerjakannya disyaratkan suci lahir dan batin daripada hadas besar dan kecil, najis ‘ain dan najis hukmi.
7. Kena mengadap kiblat, ertinya merupakan lambang perpaduan umat Islam.
8.Terikat dengan waktu.
9. Digalakkan berjemaah.
10. Berbagai-bagai amalan malaikat ada di dalam solat kerana malaikat itu ibadahnya hanya satu perkara sahaja seperti ada yang bertasbih sahaja sejak diperintah hinggalah hari kiamat; ada yang bertakbir sahaja, rukuk sahaja, berdiri sahaja, ada yang sujud sahaja, begitulah seterusnya.
11. Ada berbagai bentuk amalan di dalam solat, ada berdiri, ada ruku’ ada sujud, duduk antara dua sujud, ada tasbih, ada tahmid, ada takbir, ada munajat, ada berbagai bentuk doa, ada zikir, ada selawat, ada fizikal, ada akal, ada roh, ada material ada maknawi.
12. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin yang tertentu dan cara yang tertentu.
13. Amalan solat merupakan intipati dan intisari ajaran Islam. Di dalamnya ada aqidah, ada ibadah, ada thaharah, ada masyarakat, ada perpaduan, ada disiplin ada pemimpin, ada yang dipimpin (politik), ada pendidikan, ada syariat, ada tasawuf, ada akhlak, ada kebudayaan, ekonomi dan psikologi. Ertinya solat menggambarkan ajaran Islam secara ijmali (rangkuman)
14. Ia merupakan penyembahan atau peribadatan yang paling lengkap, kerana segala bentuk ibadah dan zikir para malaikat wujud di dalam solat.
15. Ia merupakan zikir yang paling besar atau agung, kerana seluruh bentuk zikir ada di dalam solat.
16. Ia merupakan peribadatan di mana semua anggota lahir dan batin terlibat, ada yang bersifat fizikal dan ada yang bersifat maknawi dan rohani.
17. Dalam solat seluruh bentuk doa ada, ertinya berbagai permintaan ada di dalam solat.
18. Berbagai amalan para rasul ada di dalam solat.
19. Solat merupakan mikraj orang mukmin.
20. Pada solat ada latihan jasmani, ada latihan mental dan ada latihan rohani.
21. Solat merupakan simbol merendah diri, ketaatan dan kepatuhan dan symbol manusia berdiri di padang mahsyar seolah-olah berhadapan dengan Tuhan menunggu perintahNya.
22. Solat merupakan pembaharuan ikrar manusia kepada Tuhan sehari semalam lima kali.
23. Solat merupakan pembaharuan syahadah dan iman.
Maksud ayat Quran ;
“ Perbaharuilah iman kamu dengan ucapan “Lailahaillallah”.
24. Solat merupakan pembersihan jiwa dan dosa.
PERANAN SOLAT
1. Menghayati solat bermaksud menghayati dan merasakan di dalam hati setiap lafaz dan ungkapan di dalamnya. Bukan sekadar tahu maknanya sahaja.
2. Menghayati solat dapat membangun jiwa dan mental, memperolehi hikmah dan didikan, akhirnya akan terbinalah peribadi agung yang memiliki tujuh ciri.
3. Oleh itu peranan solat ;
Akan melahirkan peribadi yang agung dan kuat keyakinannya
Akan melahirkan peribadi yang kuat imannya.
Akan melahirkan peribadi yang kuat dan agung akhlaknya.
Akan melahirkan peribadi yang berdisiplin dalam hidupnya.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih jiwanya dari sifat-sifat mazmumah.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih lahir dan batinnya dari maksiat dan kemungkaran, kalaupun ada sangat sedikit.
Akan melahirkan peribadi yang kuat syariatnya.
4. Peribadi agung yang memiliki 7 ciri ini menjadikan bangsa-bangsa lain boleh bernaung di bawah mereka. Ini kerana peribadi-peribadi agung ini dinaungi oleh Allah SWT Yang Maha Agung.
NASIHAT IMAM AL-GHAZALI
Pada suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau mengajukan 6 pertanyaan.
Pertanyaan Pertama, ”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, kawan-kawan ,dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu betul, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah betul. Tapi yang paling betul adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kendaraan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Pertanyaan yang ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, lautan dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al A’Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan ke empat, “Apa yang paling berat di dunia ini?”. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban itu benar, kata Imam Ghazali. Tapi yang paling berat adalah “memegang AMANAH” (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup menyambut permintaan Allah SWT,sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.