Tag Archives: air mata

AIR MATA TAKUTKAN ALLAH PEMADAM API NERAKA

Alhamdulillah kerana saat ini kita masih diberi nafas untuk hidup di bumi Allah yang maha luas ini. Manusia yang hidup tak pernah lari dari membuat kesilapan kerana kealpaan dan sifat manusia itu sendiri. Manusia juga tak dapat lari dari digoda iblis dan anak cucunya yakni syaitan. Oleh yang demikian kita dapat lihat di dunia sekarang pelbagai masalah yang timbul akibat sifat manusia yang tidak berpegang teguh pada kalam Allah.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk Neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”
Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam Neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke Neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepadaMu.”
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api Neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan Neraka Jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah Al-Jatsiyah: ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api Neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api Neraka Jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, “Wahai api, demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”
Walaupun dikata demikian, api Neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api Neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W”
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. “Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka terpadamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. “Wahai Jibril, Apakah air itu?” Maka Jibril berkata, “Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W, ” Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”

AIR MATA TAUBAT NABI ADAM

” Semenjak Nabi Adam terkeluar dari Syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah SWT. Beliau sujud di atas gunung selama 100 tahun. Kemudian beliau menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dan air mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pokok kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau.

Burung-burung itu berkata, “Sedap sungguh air ini.” Nabi Adam terdengar kata-kata burung itu. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, “Hai Adam, sesungguhnya Aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dari air mata taubatmu.”

Begitulah rasa berdosa dan bersalah kepada Allah telah menyebabkan Nabi Adam menangis selama beratus tahun lamanya. Sehingga kemudiannya Allah telah menerima taubatnya dan menjadikan air yang lazat, pohon cengkih dan kayu manis daripada air mata taubatnya itu.”

Bagaimana pula dengan kita. Pernahkah kita menangis apabila terbuat dosa? Sesungguhnya airmata taubat dari seseorang manusia itu boleh menyelamatkannya dari bakaran api Neraka.

Renungan……….

Bersegeralah Bertaubat.
Marilah kepada-Ku, wahai hamba-hamba-Ku,
Bersegeralah pulang, ke pangkuan-Ku,
Bersegeralah bertaubat selalu,
Aku tetap menerimamu, percayalah,
Aku tahu kamu hamba-hamba-Ku, ciptaan-Ku,
Kamu adalah lemah, kelalaian dan kealpaan adalah watakmu,
Aku mahu akuilah kelemahan itu.

Setiap kali bersalah kamu datang pada-Ku,
Kemudian mengakulah bersalah,
Menangislah di depan-Ku ,tanda penyesalan yang tidak sudah,
Kalau engkau lakukan lagi tanpa nawaitu,
Datang lagi kepada-Ku,
Mengakulah salah, menyesallah, merintihlah, menangislah,
Ketahuilah wahai hamba-hamba-Ku,
Rintihan orang yang berdosa,
Lebih Aku cintai daripada tasbih para auliya` .

Wahai hamba-hamba-Ku,
Jangan bertangguh-tangguh lagi,
Siapalah yang tidak bersalah ,kamu adalah hamba,
Tapi Aku suka orang yang mengaku salah,
Aku cinta kepada orang yang bertaubat ,
Minta ampunlah kepada-Ku wahai hamba-hamba-Ku,
Aku tetap menerimamu ,bukankah Aku Tuhanmu,
Kasih-Ku kepada hamba-hamba-Ku,
Lebih daripada seorang ibu yang kasih kepada anak-anaknya,
Begitulah kehendak Allah kepada hamba-hamba-Nya,
Mengikut keterangan Al Quran dan As Sunnah.

Call Now
Directions