Tag Archives: Al Quran

MUKJIZAT-MUKJIZAT RASULULLAH SAW

Nabi Muhammad SAW
Pancaran Nur kenabian baginda Rasulullah SAW  terang nyata selama 300 tahun iaitu tiga kurun.
Hal ini tidak berlaku kepada Rasul-rasul lain, dan sesuai dengan maksud zahir hadis yang menyebutkan sebaik-baik kurun itu adalah kurun Nabi Muhammad SAW, kurun berikutnya dan seterusnya..
Selain itu, generasi umat pilihan yang menerima didikan terus daripada Nabi Muhammad SAW, yang disebut sebagai  para sahabat RA, adalah contoh kejayaan baginda SAW mendidik mereka dalam masa yang amat singkat, menjadi orang-orang yang sangat bertaqwa, sama fikirannya, sama amalannya, sama hatinya, sama kaya jiwa mereka, sama perjuangan mereka, sama usaha dan niat mereka dan sama pula matlamat yang ingin mereka capai.
 
Ingatlah  bahawa mereka sebelum itu hidup dalam persengketaan, permusuhan, pecah-belah, nafsi-nafsi, suka membunuh, tidak kenal erti kemajuan, tidak kenal erti halal dan haram, tidak tahu apa itu hidayah, yang kayanya kaya sangat, yang miskinnya miskin sangat, tindas-menindas dan tidak ada tujuan hidup.
Tiba-tiba setelah mendapat hidayah Allah melalui Rasul-Nya SAW, mereka terus berputar seratus peratus menjadi sebaliknya.
 
Tidakkah itu semua menunjukkan betapa hebatnya keperibadian baginda SAW kepada seluruh umat manusia?
Antara mukjizat yang pernah berlaku kepada baginda SAW ialah Al-Quran, dan itulah yang terbesar.
Terjadi dua kali dadanya dibedah, sekali semasa kecil dan sekali semasa sudah menjadi Rasul.
Dapat memberitahukan keadaan Baitul Maqdis sedangkan Baitul Maqdis itu dikecilkan di hadapan baginda SAW.
Kemudian bulan terbelah dua dan turun ke Makkah, kemudian naik semula ke tempat asalnya.
Pernah sekelompok pemuda Quraisy berkomplot membunuhnya, kemudian mereka tertidur semasa Nabi Muhammad SAW keluar. Nabi Muhammad SAW menghampiri mereka, mengambil segenggam tanah lalu ditaburkan di atas kepala mereka sambil bersabda, “Semoga wajah-wajah mereka menjadi buruk.”
Setiap pemuda yang terkena tanah itu terbunuh di medan Badar.
 
Dalam perang Hunain, kaum Quraisy dilempari segenggam pasir  oleh baginda SAW, menjadikan penglihatan mereka gelap dan mereka pun dikalahkan oleh Allah.
 
Begitu pula peristiwa yang menimpa Suraqah bin Malik ketika mengejar Nabi Muhammad SAW yang sedang hijrah, kaki kudanya terbenam tiga kali dalam tanah yang keras.
Rasulullah SAW pernah mengusap belakang unta betina yang belum digauli oleh unta jantan, lalu susunya menjadi penuh dan keluar dengan banyak.
Juga kisah kambing Ummu Maabad yang mengeluarkan susu semula setelah kering beberapa lama,
Juga doa Nabi Muhammad  SAW untuk Umar al-Khattab agar Allah memenangkan Islam dengannya.
 Juga doa Nabi Muhammad SAW supaya Allah menghilangkan panas dan dingin dari badan Sayidina Ali RA, selain pernah meludahi kedua-dua mata Sayidina Ali RA yang  sedang sakit sehingga sembuh pada ketika itu juga dan tidak pernah sakit mata lagi selepas itu.
 
Nabi Muhammad SAW juga pernah memasukkan semula biji mata Qatadah bin Nukman yang telah terkeluar dan tergantung di pipinya sehingga pulih ketika itu juga, malah lebih cerah lagi penglihatannya daripada sebelumnya.
 
Nabi Muhammad SAW juga pernah mendoakan Abdullah bin Abbas RA yang baru lahir agar menjadi seorang yang amat faham dalam ilmu tafsir.

Nabi Muhammad SAW juga mendapat Israk dan Mikraj, suatu mukjizat yang paling agung pernah diterima oleh mana-mana Nabi dan Rasul, menghadap terus kepada Tuhannya untuk menerima perintah menunaikan sembahyang.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini juga, baginda SAW menjadi imam bagi sekalian Rasul dan Malaikat, berjumpa dengan roh-roh para rasul AS, melepasi had yang tidak dapat dilepasi oleh mana-mana malaikat pun, dan dapat berbicara dengan Tuhan secara langsung tanpa sebarang perantara, di tempat yang suci dan dalam keadaan suci.
 
Nabi Muhammad SAW juga pernah mendoakan unta Jabir RA yang selalu kalah dalam perlumbaan, sehingga dapat mengalahkan unta-unta yang lain.
Begitu juga doa Nabi Muhammad SAW untuk Anas bin Malik RA agar panjang umur, mempunyai banyak harta dan banyak anak.
Nabi Muhammad SAW juga  pernah mendoakan kurma Jabir RA sehingga dia mampu melangsaikan  seluruh hutangnya, sedangkan kurmanya itu masih bersisa 13  Wasaq lagi.
Nabi Muhammad SAW juga pernah mendoakan kebinasaan bagi Utaibah bin Abi Lahab, sehingga dia mati dimakan singa di Az-Zarqak, dekat Syam.
Rasulullah SAW juga pernah memohon diturunkan hujan sehingga turun hujan selama seminggu, kemudian memohon agar hujan berhenti dan berhentilah hujan itu.
Batu dan pepohon memberi salam kepada baginda SAW  pada malam-malam menjelang turunnya wahyu pertama  dengan lafaz yang terang,
 “Assalamu alaika ya Rasulullah.”
Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui batu-batu di Makkah yang memberi salam kepadaku sebelum aku diangkat menjadi Nabi.”
 Baginda SAW juga mampu atau dapat mengalahkan tokoh penggusti yang hebat, semasa sebelum Hijrah, dalam usaha dakwahnya.
Pernah ada pohon kurma yang menyatakan kerinduannya kepada Nabi Muhammad SAW dan batu yang bertasbih di atas tapak tangan baginda SAW, begitu juga makanan.
 Daging kambing yang telah dimasak pernah bercakap memberitahu Nabi Muhammad SAW bahawa padanya ada racun, dan unta tua yang mengeluh di hadapan Nabi Muhammad SAW bahawa dirinya banyak kerja-kerja berat yang dibebankan sedangkan rumput yang diberikan kepadanya tidak mencukupi.
Nabi Muhammad SAW pernah memberitahu tentang tempat-tempat matinya kaum Musyrikin pada Perang Badar, padahal perang belum lagi berlaku, dan nyata selepas itu bahawa semuanya benar dan tepat.
Nabi Muhammad SAW juga pernah memberitahu bahawa ada sekumpulan umatnya akan berperang menyeberangi laut dan Ummi Haram binti Milhan termasuk salah seorang daripada mereka.
 
Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan kepada Sayidina Usman RA bahawa dia akan ditimpa bencana besar, dan terjadilah bencana itu sehingga menewaskannya.
 Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya cucuku ini (Sayidina Hasan bin Ali RA) adalah pemimpin dan Allah akan mendamaikan dengannya dua golongan yang besar dari kaum Muslimin.”
 Nabi Muhammad SAW juga pernah memberitahu tentang tewasnya Al-Ansi si pendusta yang berada di San’a pada malam dia dibunuh dan disebutkan siapa pembunuhnya.
 Nabi Muhammad SAW pernah  bersabda kepada Sabit bin Qais RA,” Engkau hidup terpuji dan mati sebagai syahid.” Maka dia terbunuh sebagai syuhadak dalam Perang Yamamah.
 
Seorang lelaki yang murtad mengikuti kaum musyrikin berperang. Apabila Nabi Muhammad SAW mendengar berita bahawa orang itu mati, Nabi Muhammad SAW pun bersabda,” Bumi tidak menerimanya.”  Benar apa yang disabdakan oleh baginda itu, seperti yang disaksikan oleh orang ramai.
 
Nabi Muhammad SAW pernah menegur seorang lelaki yang makan dengan tangan kirinya,”Makanlah dengan 
tangan kananmu.” Orang itu menjawab,”Aku tidak mampu.”
Maka Nabi Muhammad SAW pun bersabda, “Engkau tidak akan mampu.” Sesudah itu, orang itu tidak mampu lagi mengangkat tangan kanan ke mulutnya.
 
Rasulullah SAW memasuki Kota Makkah pada Futuh Makkiah, berhala-berhala 360 buah berkeliling di Kaabah. Nabi Muhammad SAW menunjuk ke arah berhala-berhala itu dengan tongkatnya dan bersabda,
 Telah datang kebenaran, kebatilan pasti lenyap!’
Pada ketika itu juga berhala-berhala itu jatuh berguguran dan hancur.
Dalam Perang Khandaq, baginda SAW memberi tenteranya makan dari satu sya’ (kira-kira secupak) gandum dan mengenyangkan mereka semuanya.

 Nabi Muhammad SAW juga memberi makan kaum muslimin dari lebihan kurma mereka yang dikumpulkan di atas tikar, lalu didoakan agar berkat oleh Allah, kemudian dibahagi-bahagikan kepada semua anggota pasukan, dan itu mampu mencukupkan untuk mereka semua.,

Abu Hurairah RA datang kepada Nabi Muhammad SAW membawa beberapa biji kurma dan berkata, “Doakan ini agar diberi berkat.”Sesudah didoakan oleh Nabi Muhammad SAW, Abu Hurairah RA menyedekahkan sebahagian kurma itu pada jalan Allah dan selebihnya dimakannya. Kurma itu dimakannya setiap hari dan baru habis semua sekali setelah meninggalnya Khalifah Ketiga, Sayidina Usman RA.

 Nabi Muhammad SAW memanggil semua penghuni Suffah untuk diberi makan, kemudian Abu Hurairah berkata,”Aku amat berharap sebagai orang yang akan dipanggil dahulu, kerana makanan pada piring itu hanya sedikit sedangkan penghuni Suffah cukup banyak.
Maka Rasulullah SAW mengumpulkan makanan itu sehingga menjadi sesuap lalu ditekupnya dengan tangannya, sambil bersabda,”Makanlah, dengan nama Allah.
” Demi Tuhan yang jiwaku yang berada di Tangan-Nya, aku terus makan di situ sehingga aku merasa kenyang.”

BACAAN TALQIN : SOALAN BOCOR RAHMAT TUHAN UNTUK YANG MASIH HIDUP

Mari kita dengan memikirkan sejenak tentang tajuk di atas… sebagai seorang yang bergelar manusia kita akan melalui 5 alam sama ada kita suka atau tidak. Alam roh,alam rahim, alam dunia,alam barzah dan akhir sekali alam mahsyar.

Segala panduan telah diberi di dalam Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Dalam kita nak masuk alam barzah, Allah juga dah berikan kepada kita soalan-soalan yang akan ditanya oleh malaikat Munkar dan Nankir…kebanyakan dari kita meremeh-remehkan soalan malaikat dalam kubur seolah-olah itulah dikatakan soalan bocor.

Sepatutnya Munkar dan Nankir marah sebab soalan dah bocor tetapi kebanyakan dari umat manusia tak boleh jawab soalan itu nanti. Kita kena gentlemen, soalan dah bocor tapi tak boleh jawab juga!  Kita kena faham bahawa soalan itu susah nak dijawab dan atas rahmat Allah kita dah diberitahu siang-siang.
Cuba kita perhatikan salah satu soalan dalam kubur…Siapakah saudaramu?
Apakah kita boleh jawab? Jawapannya ialah orang mukmin.
Cuba cek berapa sahabat yang kita dapat yang betul-betul mukmin? jangan-jangan belum ada? Dalam sembahyang lebih terlihat lagi dalam kita beri salam ke kanan dan ke kiri: untuk memberi kesejahteraan kepada manusia,itulah target sembahyang. Tapi nampaknya lepas sembahyang kita tak buat apa-apa pun kepada manusia. Orang miskin kita biarkan, kita tak pernah beri kecuali diminta…ertinya aqidah kita tentang sembahyang belum berbuah lagi atau tak ada side effectnya.

Talqin itu lebih manfaatnya kepada orang yang hidup padahal ianya dibacakan sewaktu perkebumian.

Apa itu talqin?…ia adalah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW, ia-itu Rasulullah SAW-lah yang mencipta dan menyusun bacaan talqin itu. Saya tak mahu bincangkan apa yang dibaca tetapi kepada saudara,saudari yang telah biasa menghadiri majlis perkebumian sudah tentu lebih mengetahui apa yang dibacakan.
Talqin itu sikit sangat fungsinya, ianya hanya mengingat-ingatkan kita sahaja sebab bukan waktu kita dalam kubur baru nak belajar ilmu . Talqin itu faedahnya 10% untuk orang yang dah mati, manakala 90% lagi adalah untuk orang yang hidup.
Pengajaran kepada yang hidup – sewaktu kita dengar talqin itu, ia mengingatkan kita, esok bila kita mati kita akan di soal begitu,begini, dah siap ke kita?
Seolah-olah Allah dah beritahu kalau kamu mati, datang malaikat soal, itulah yang akan ditanya,dah siap ke?

Dah ada ke persiapan? Macam mana kita dengan Tuhan? Untuk orang yang dah mati, talqin itu hanya sebagai reminder kepada yang dah siap. Bukan waktu itu baru nak belajar!

Contoh: Kalau ada seorang budak nak ambil PMR,tapi dia tak pernah masuk kelas pun. Kemudian kita suruh dia masuk exam, sudah tentu tak lulus. Tak ada persiapan,macam mana nak pass! Bila kita mati maknanya kita kena masuk exam, sepatutnya dah siap belajar, dah habis semua proses pembelajaran. Dah siap betul.

Anak kita nak ambil PMR, kita dah siapkan dia daripada tadika lagi. Kita masukkan dia dari satu tahap sekolah ke tahap sekolah yang lebih tinggi.Kita ambil perhatian tentang tuitionnya dan sebagainya hinggalah dia meningkat umur 15 tahun.Dia lulus PMR dan persiapannya dah dibuat lebih awal,dari 10 tahun yang lalu. Begitulah kita usahakan persediaan untuk kejayaan seseorang.

Kita tahu yang mati itu dahsyat dan kita dah diberitahu kehebatan mati walaupun kita dah buat persiapan. Allah datangkan kasih sayangNya, itulah rahmatNya disedarkan kita dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh kedua-dua malaikat di dalam kubur nanti.

Kita sebagai orang Islam telah Allah siapkan perjalanan kita seawal saat kita dilahirkan sehinggalah saat kita berakhir. Semua manusia mati dan akan masuk ke dalam tanah dengan kaedah yang sama. Sedangkan Islam sahaja yang mengajarkan…kalau kamu mati, kamu masuk tanah dan kamu akan jadi begini,begini… Islam memberi panduan cara kita hidup sampailah saat kita mati. Tidak bijaklah kita bila sudah dah beritahu yang kita nak masuk exam , soalannya juga dah diberitahu tapi kita tak bersedia pun! padahal semua orang akan ditanya tak kira Islam atau kafir.

Sepatutnya sebagai persiapan untuk mati kita sediakan dari waktu kita dilahirkan lagi. Bukan bila dah masuk kubur baru nak diajar,baru nak dibacakan siapa Tuhan,siapa Allah,siapa Imam kamu,siapa saudara kamu? sudah tentu tak lulus exam.

Salah satu perkataan dalam talqin ialah “Hidup mati kita berpegang kepada konsep Lailahaillah Muhammadar Rasulullah” Jadi tujuan manusia didatangkan ke dunia ini adalah untuk melakukan tuntutan Lailahaillah Muhammadar Rasulullah. itu maksudnya. Kita berikrar hidup mati kita diatas kalimah itu tapi kita buat macam tak perasan saja. Sepatutnya kita ikrarkan secara sedar, dalam bahasa Melayu untuk dijadikan teras dan pegangan hidup kita. anak-anak kita patut dididik seawal mungkin untuk mengambil ikrar Lailahaillah Muhammadar Rasulullah.

Di dunia kita siapkan anak-anak kita dengan jalan yang dia nak lalu iaitu… pertama sekali syahadah, kemudian sembahyang, diikuti dengan puasa,zakat dan haji. Kereta yang dia nak naik ialah Rukun Iman…percayakan Allah, Malaikat,Rasul,Kitab,Hari Kiamat dan Qadak dan qadar Allah. Apa juga sistem kehidupan yang dia nak lalui mesti di atas landasan Rukun Iman dan Rukun Islam.

Kita nak dapat markah 100%…mungkin syahadah 10%, itu pun kita tak pernah tahu dan tak pernah tanya! Sembahyang yang menjadi tiang agama bernilai 40%,dicampur dengan syahadah jadilah 50% tingkat ketaqwaan kita. Ini kita baru nak hafal bacaan sembahyang, baru nak hafal makna. Sembahyang belum lagi dijadikan pakaian dan hiasan diri, rasa-rasa kehambaan belum ada lagi.
Masuk bab puasa, ia bernilai 20%. Ini program Allah yang disetkan untuk kita sebagai workshop untuk overhaul hati,akal dan nafsu dan juga zahir kita. Ini terdapat dalam Rukun Islam. Puasa adalah khazanah maknawiyah( yang kita tak nampak) yang boleh membuat manusia jadi kaya,manusia yang berwatak malaikat… ini pun kita tak pernah kaji.
Seterusnya zakat yang bernilai 20% merupakan satu agenda,satu program pembersihan jiwa daripada sifat bakhil,tamak dan takut miskin…perkara ini pun kita tak pernah study. Istilah zakat pun mungkin 10 tahun sekali keluar.
Akhirnya datang pula Haji yang bernilai 10% dari perjalanan kita keakhirat. Haji adalah pengunci, pemeteri sehinggakan seorang yang pergi haji, maka pulangnya ke tanah air sebagai seorang malaikat berwajah manusia yang dialah yang menjadi aset di negara-negara yang Allah hantarkan kesana.

Bila kita suluh diri kita,terlalu banyak tuntutan Allah yang kita tak buat… begitu zalimnya kita terhadap apa yang Allah dah setkan untuk kita.

Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah hidup dan mati, dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa kubur dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa api Neraka dan kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah Dajjal. Aamiin Ya Allah

 

Rabiul Awal Maulidur Rasul Bulan Mukjizat

Kebesaran dan keistimewaan Rabiul Awal memang tidak boleh dilupakan oleh dunia. Semua lapisan manusia
sekalipun yang bukan Islam, orang baik, orang jahat, terutamanya cerdik pandai dan khususnya umat Islam
akan meraikan, memperkatakan dan merayakan Rabiul Awal setiap tahun bila dia menjelang tiba. Rabiul Awal adalah bulan yang agung kerana di dalamnya terdapat sejarah paling agung bertaraf dunia yang ditempa sejak 1,500 tahun yang lalu. Sungguh belum ada sejarah lain yang dapat memecahkan keistimewaan rekod sejarah ini samada sebelum atau selepasnya.
Rabiul Awal menghadiahkan kepada dunia seagung-agung manusia yang sempurna peribadinya lahir dan batin
(insanul kamil). Jawatannya mengatasi segala-gala jawatan besar dunia.Dia tidak langsung melakukan sebarang kesalahan kecil atau besar (ma’sum). Dia bukan ahli filasof, bukan tokoh politik berpengaruh, bukan raja ekonomi, bukan saintis ulung, bukan juga negarawan atau budayawan terkenal dan tidak tokoh sihir yang handal. Mengatasi semua itu. Baginda adalah berjawatan Maharaja Alam sejagat, tuan punya seluruh zaman sepanjang umur dunia, pembawa rahmat bagi seluruh alam, pemimpin dunia kepada semua bangsa sepanjang 1,500 tahun untuk berbillion-billion manusia.
Dia ialah wakil Tuhan untuk alam berjawatan Rasulullah SAW dengan nama Muhammad Ibnu Abdullah. Di antara gelarannya ummi. Yakni ibu ilmu. Yakni sumber ilmu yang diajar langsung oleh Allah kepadanya tanpa perantaraan membaca dan menulis. Allah menjadi gurunya. Yakni dengan mencurahkan ilmu langsung kepada ibu dirinya iaitu roh atau hatinya. Kadang kala melalui perantaraan Jibril. Rohnyalah yang berbicara padanya. Bukan akalnya yang fathonah atau maha cerdik itu. Baginda pemimpin bukan dengan akalnya tapi dengan rohnya. Roh yang mampu menerima wahyu dari Allah. Ilmu itu semua termaktub dalam Al Quran yang ditafsirkan oleh Sunnahnya.
Inilah satu-satunya manusia yang mampu melakukan keagungan ini sepanjang umur dunia. Dialah Sayyidil Mursalin, penghulu orang bertaqwa. Maka dengan keluarbiasaan inilah Baginda telah merakamkan sejarah yang tiada tandingnya. Ahli-ahli falsafah yang mencetuskan isma-isma atau segala ideologi itu mengerahkan seluruh daya akal fikirannya untuk mencari formula menyelamatkan dunia. Tapi ternyata akal semata telah gagal sama sekali dalam menghadapi masaalah dunia. Maka oleh Rasulullah, dengan rohnya disuluh oleh akalnya telah memberi jawapan pada semua masaalah. Bahkan terbukti mampu menyelesaikan krisis dunia dalam masa yang sangat pendek.
Masyarakat dunia khususnya bangsa Arab yang cukup rosak waktu itu telah dibaik pulih oleh Baginda menjadi begitu bertamaddun sekali. Dengan mudah ilmu Allah telah merubah sistem-sistem zamannya, merubah cara berfikir, cara hidup, sistem kebudayaan, sistem politik, sistem ekonomi, sistem pemerintahan, sistem kekeluargaan, sistem pendidikan dan sistem masyarakat.Dunia menjadi indah dengan keharmonian dan kasih sayang. Sistem jahiliyah hancur punah.
Itulah dia rahsia Rabiul Awal. Sebab itu tidaklah hairan mengapa hingga ke hari ini setiap menjelang bulan mukjizat ini, peribadi ini dan ajarannya dikenang orang dalam forum, tulisan dan syarahan. Lebih menakjubkan lagi di awal kurun ke 15 ini, yakni setelah 1000 tahun lebih kewafatannya kelihatan pengamalan sunnah Baginda sedang giat dihidupkan semula. Inilah mukjizat yang amat besar Allah hadiahkan untuk Baginda di hari lahirnya.

Dalam memperingati hari lahir Rasullah SAW tahun ini, mari kita sebagai umat Muhammad Rasulullah SAW meniliti tentang watak masyarakat  jahiliyah yang Baginda telah rubah itu. Dengan maksud mudah-mudahan ajaran Rasullah itu juga kita dapat gunakan untuk merubah sistem jahiliyah moden yang sedang mencengkam kehidupan kita di zaman ini. Sebab Rasul itu datang bukan untuk zamannya saja, tapi juga untuk zaman kita ini.
Apa mustahil bagi Allah dengan kuasaNya melakukan ajaran Nabi Muhammad cukup relevan untuk zaman ini,
dipakai oleh pewarisnya untuk melakukan apa yang  dibuat oleh Muhammad pertama, sekalipun Baginda telah
wafat? Kita yakin Allah akan jadikan ia sebagai kenyataan untuk kita pula dapat melihat kebesaranNya, kebenaran
Rasulullah dan kekuatan para pejuang kebenaran.

WATAK DUNIA DI ZAMAN JAHILIYAH
Bulan Rabiul Awal tahun Masihi 621 menyaksikan masyarakat manusia sedang cukup rosak lahir dan batin. Kehidupan penuh dengan kesusahan dan  ketakutan. Masaalah-masaalah dunia begitu menjadi kusut hingga tidak terungkaikan lagi oleh mana-mana pemimpin waktu itu. Rasulullah dilahirkan  di tengah-tengah kerosakan suasana masyarakat Arab yang berwatak seperti  berikut:

1.Manusia putus hubungan denagn Tuhan. Mereka langsung tak kenal pencipta dan penjaganya, mungkin sekadar
percaya wujudnya .Tapi ramai yang tidak percayakan Tuhan lagi. Ertinya manusia tidak merasa lagi Tuhan ada
peranan dalam hidup mereka.Semua masaalah hidup mereka yakin mereka boleh selesaikan sendiri. Akibat pegangan jiwa yang vakuum ini, bila berhadapan dengan  masaalah hidup, ramai yang kecewa, putus asa dan bunuh
diri. Kalau Tuhan diambil sebagai tempat rujuk, pelindung dan penyelamat, manusia akan mampu terhadap
penderitaan.

2.Berlaku perpecahan kaum di kalangan manusia, maka berperanganlah bangsa denagn bangsa, puak dengan puak, etnik dengan etnik, agama dengan agama hingga keamanan tidak wujud lagi.

3.Orang yang kuat memakan yang lemah.Silemah menjadi mangsa. Keadilan dan pembelaan tidak berlaku, menjadikan golongan bawahan tambah tertindas dan menderita.

4.Perempuan tidak ada tempat dalam masyarakat.Hanya dijadikan alat pemuas nafsu kaum lelaki, terutama lelaki kaya dan ketua negara waktu itu akan ambil saja dengan paksa mana-mana wanita yang mereka berkenan tanpa peduli anak atau isteri siapa. Menjadikan mana-mana keluarga yang ada anak perempuan hidup tertekan sehingga ada yang bila lahir anak perempuan dibunuh saja.

5.Sistem ekonomi riba yang membolehkan si kaya menekan si miskin, seperi lintah darat hisap darah simiskin, menjadi budaya dalam ekonomi. Orang miskin dicekik dengan hutang, akhirnya diambil jadi hamba sahaya. Kebebasan dan kemerdekaan bagi mereka tiada sama sekali.

6.Amalan hidup nafsi-nafsi, susah tanggung sendiri, senang untuk diri sendiri itu menjadikan masyarakat yang ditimpa macam-macam kesusahan hidup itu bagaikan berendam dalam ketakutan.Kebahagiaan hilang, ketenangan melayang.

7.Kes rompak, samun dan bunuh bermaharajalela.Tinggal dalam rumah pun rasa tak selamat.Apa lagi kalau pergi
musafir atau mengembara.

8.Kemanusiaan dan keturunan bertambah rosak lagi dengan menularnya penyakit-penyakit sosial seperti zina, rogol, liwat, lesbian, sumbang mahram dll. Gelombang jahat ini melanda bagaikan banjir, hingga tak mungkin dapat dikawal lagi.

9.Manusia benar-benar bertuhankan hawa nafsu. Hormat menghormati satu sama lain tak wujud lagi.Rakyat tak
hormat pemimpin, pemimpin tak beri kasih sayang lagi.Orang kaya atau senang tak berperi kemanusiaan lagi. Perompak, penyamun dan pembunuh tumbuh meliar akibat hasad dan dendam.

10.Allah lakukan peringatan-peringatan yang banyak dengan bencana alam, gempa bumi, bah, belalang memusnahkan tanaman, ribut taufan, penyakit  berjangkit tanpa ubat.Manusia tambah derita dan melarat.

11.Orang-orang kerajaan jatuh menjatuhkan.Politik  tidak stabil.

Demikianlah gambaran secara umum keadaan atau watak dunia yang Rasulullah terpaksa hadapi sistem hidup
yang direka cipta oleh akal fikiran manusia waktu itu sudah hadapi titik buntu.Mereka tiada formula untuk selesaikan penyakit-penyakit kronik, feudalisma, pragmatisma, diktator sudah jam.Pemimpin-pemimpin pening kepala kerana tidak mampu kontrol manusia  dengan disiplin.Mereka habis akal, tidak tahu lagi apa boleh dibuat. Sebab makin banyak usaha-usaha atau peraturan-peraturan dibuat makin banyak pula masaalah yang belaku. Peraturan dan undang-undang itu jadi penyakit di atas penyakit yang sudah ada.

Maka dikesempatan beginilah Allah SWT akan mendatangi manusia melalui orangNya. Seolah-olah Allah berkata,”Wahai hamba-hambaKU, setelah kamu mencuba dan gagal maka bertanyalah kepadaKu. Ini wakil Ku untuk menjawab masaalah-masaalah kamu.”

PENGHAYATAN RUKUN IMAN DAN RUKUN ISLAM DI DALAM SEMBAHYANG

SEMBAHYANG- Mengapa ia dianggap besar,penting dan sebagai tiang agama?

Oleh kerana sembahyang dianggap sebagai tiang agama, sudah tentulah ia satu perkara yang besar dan penting dalam hidup kita dan dengan demikian ada beberapa perkara yang mesti kita tahu dan kena faham secara simbolik
dan falsafahnya. Kita faham betul-betul sehingga ketika kita mendirikan sembahyang kita terasa kita kenal Tuhan dan sembahyang itu diikat dengan perkara-perkara tertentu.
Sembahyang itu dianggap penting, agung dan besar kerana di dalam sembahyang itu tercantum seluruh Rukun Iman dan Rukun Islam. Sewaktu kita belajar agama dahulu, kita belajar dengan secara terpisah tetapi kita kena bawa kedua-dua ini ke dalam sembahyang sehingga semua rukun iman dan rukun Islam itu ada di dalamnya
…susah tak nak buat demikian? tentulah susah.
Untuk nak mudah faham lagi cuba kita fikir apa yang lebih besar dalam Islam selain Rukun Iman dan Rukun Islam? Kalau dua rukun ini besar di dalam Islam, ada tak di dalam sembahyang kita?
Barulah kita sedar kenapa sembahyang itu besar, sebab ia diikat atau disadur dengan semua Rukun Iman dan semua Rukun Islam.

Mari kita tengok Rukun Iman dahulu:-

1.Rukun Iman yang pertama ialah Percaya kepada Allah. Ada tak percaya kepada Allah dalam sembahyang? di ambang atau permulaan sembahyang itu kita tak boleh sebut Alhamdulillah tetapi mesti sebut Allahuakbar, itu tandanya Allah Maha Besar, tak ada yang lain paling besar melainkan Allah. Di tiap-tiap peralihan rukun sembahyang kita sebut Allahuakbar, semuanya tak ubah. Di pintu nak masuk sembahyang atau di permulaan sembahyang (takbiratulihram) jika kita tak sebut Allahuakbar, terbatal sembahyang! Mengapa di sebut Allahuakbar?  sebab Allah Maha Besar.
Di dalam azan pun disebut Allahuakbar beberapa kali walaupun syahadat itu juga besar tetapi kita sebut Allahuakbar. Itulah besarnya sembahyang. Di waktu kita menyebut Allahukabar tadi hati perlulah bersih dan tidak
mengingati yang lain selain dari Allah, kita menyucikan hati kita sesucinya. Kita angkat tangan tanda kita surrender kepada Allah, kita tak bawa yang lain selain Allah. Kalau dalam nisbah perang kita angkat tangan terasalah di waktu itu kita surrender.
Seolah-olah hati kita berkata-kata “Hai Tuhan, saya surrender ni, saya mengaku kalah, saya dah tak kisah apa yang Tuhan nak buat kepada saya, buatlah”…sampailah kita melafazkan Allahuakbar. Kalau kita hanya belajar rukun sembahyang yang 13, kita hanya tahu mengangkat tangan dan mengucap Allahuakbar tetapi falsafah disebaliknya kita tak tahu.

2.Rukun iman yang kedua ialah Percaya kepada Malaikat
Yang kita nak tekankan ialah amalan percaya kepada malaikat…bukan percaya atas dasar ilmu sahaja, tetapi terus dihayati dalam sembahyang. Sewaktu kita angkat tangan kita sedar sekurang-kurangnya ada dua malaikat di sebelah kiri dan kanan kita yang sedang mencatit segala perbuatan kita Raqib dan ‘Atid. Kita wajib kenal malaikat yang sepuluh. Selepas angkat tangan, sebelum baca doa iftitah, cuba kita renung sekejap akan 2 malaikat yang berada di sebelah kita…kalau kita sedarlah …MasyaAllah rasa macam polis Bukit Aman yang sedang ekori kita.
Tetapi selalunya kita lalai, kita tak bawa rukun iman dalam sembahyang, yang kita bawa adalah “hidup kita”, anak kita, anak kunci kita, rumah kita hingga akaun dalam bank pun nampak. Sebab kita tak bawa rukun iman, yang
kita bawa rukun sembahyang!… yang kita ingat itu sahaja. Tak ada maknalah kita sembahyang kalau kita tak bawa rukun iman dan rukun Islam. Mengapa ia terpisah? sedangkan sembahyang itu tiang agama. Mengapa pembaharuan ikrar ada di dalam sembahyang?. Mengapa pembaharuan syahadat kita ada dalam sembahyang? …ini semua menunjukkan akan pentingnya dan besarnya sembahyang.
Tak ada maknanya kita sembahyang kalau kita tak faham. Kebanyakan kita asyik terkejar-kejar dengan bacaan dalam sembahyang kerana kita nak ikut rukun tetapi kita tak ikut falsafahnya, peringatan dan pengajian yang kita dapat dengan Tuhan dalam sembahyang. Kalau kita betul-betul faham sudah tentu kita sembahyang dengan cara
berlambat-lambat dan sangat beradab dengan Tuhan.

3.Percaya kepada Kitab adalah rukun iman yang ketiga.
Ada tak dalam sembahyang?…Al Fatihah itu adalah Ummul Kitab dan surah ini wajib dibaca dalam sembahyang. Seluruh kitab yang pernah diturunkan Allah kepada Rasul-rasulNya semuanya terkumpul di dalam Al Fatihah, Ummul Kitab.
Sewaktu kita baca Al Fatihah kita kena ingat yang ia merangkumi semua kitab. Sedar tak kita akan perkara ini di waktu sembahyang?…bukan sekadar ingat rukun iman dalam nasyid sahaja! Baru kita sedar yang sembahyang ini bukan boleh main-main, sembahyang itu penting…bila dah faham baru datang khusyuk. Kalau kita sedar yang kita nak bawa Rukun Iman dalam sembahyang, sudah tentu sebelum sembahyang lagi kita dah rasa takut. Sebab itulah para-para Sahabat, sewaktu berwudhuk lagi mereka dah rasa menggigil sebab mereka takut kerana nak bawa Rukun Iman dalam sembahyang. Kita mendirikan sembahyang kerana nak ingatkan Tuhan, barulah kita akan terasa besar dan hebatnya sembahyang.

4.Rukun Iman yang ke 4 ialah percaya kepada Rasul-Rasul
Semua Rasul bersembahyang. Rasulullah SAW kena ambil sembahyang ini dari Allah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Perisitiwa ini kita kena ingat dan yakini di mana hanya Rasulullah SAW sahaja yang menempuhnya dan Baginda dianugerahkan Allah perintah sembahyang untuk umatnya. Kalau begitu murtad tak kalau kita tak sembahyang dengan sengaja? Kafir tak hukumnya kalau kita tak terima hukum sembahyang? Masuk neraka tak kalau kita lalai dalam sembahyang?…Allah dah janjikan Neraka wail unutk semua yang lalai dalam sembahyang.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu bukan hanya kita ingat dan baca setahun sekali tetapi kita kita kena hayati 5X tiap-tiap hari…kita kena faham dengan penghayatannya sekali.
Betapa susahnya Rasulullah SAW dan betapa malunya baginda turun naik memohon dari Allah agar perintah sembahyang dikurangkan dari 50 hingga 5 waktu sahaja. Kita sebagai umatnya ditetapkan sembahyang 5 waktu sedangkan nilainya masih 50 waktu. Barulah rasa besar anugerah Tuhan, barulah rasa diri ini kecil, barulah kita sembahyang terasa Allah kita bawa bersama. Mikraj seorang mukmin adalah sembahyang.

5.Rukun iman yang kelima ialah Percaya hari Kiamat.
Ada tak rukun ini di dalam sembahyang kita? Di dalam Ummul Fatihah ada ayat Maalikiyaumiddin. Allah yang menjadi Raja/Pemerintah di hari kemudian atau Akhirat. Sekiranya kita faham tidaklah sembahyang kita menjadi sia-sia. Sebelum masuk waktu kita dah bersedia sebab memang sembahyang kita jenis yang cincai-cincai, jadi elok sekiranya kita ambil masa duduk sebentar merenung-renung rukun Iman yang kita nak bawa dalam sembahyang – beginilah kita mengaji dengan Allah secara direct. Ulama zaman dahulu, khusyuknya mereka sehingga runtuh bangunan pun mereka tak sedar! mereka bayangkan zaman akhirat, terasa tulang badan dimamah, digigit, terasa takut yang amat sangat. Kita tak rasa takut sebab kita tak faham. Cuba bayangkan kita di padang Mahsyar, berdiri di hadapan Allah, kita ingat semua nikmat Allah, dengan apa nak dibayar?… yang ada pada diri kita sekarang ini kita punya ke atau Allah yang punya? hak kita ke?

6.Percaya kepada Qadak dan Qadar
Rukun Iman yang ke 6 ialah percaya bahawa untung baik dan untung jahat seluruh hidup kita semuanya datang dari Allah. Kita serah bulat-bulat kepada Allah. Di dalam doa iftitah kita baca,” innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil’alamin”. Segala urusan hidup dan mati kita semuanya kita serah pada Allah, kita redha dengan ketentuan Allah. Kita kaya ke, kita miskin ke, kita rakyat ke, kita raja ke itu semua ketetapan Allah dan kita perlu redha. Segala perintah Allah kita buat dan segala yang dilarang kita tinggalkan. Qadak adalah segala ketetapan Allah yang sudah dan sedang berlaku. Manakala Qadar Allah ialah yang akan datang di mana kita tak tahu. Untuk Allah umur, rezeki, hidup dan mati kita Dia sudah tetapkan dari azali lagi, cuma kita sebagai manusia yang tak tahu apa yang akan berlaku di waktu akan datang.

Sebagai kesimpulan, sedarkah kita sama ada kita bawa rukun iman dalam sembahyang atau tidak? Janganlah Rukun Iman yang kita tahu amat penting dalam Islam kita simpan dalam kitab sahaja, nak simpan dalam memori sahaja!
Marilah kita berusaha membawa dan hayati semua rukun iman di dalam sembahyang kita. Ingatlah satu sahaja rukun iman kita tak terima terbatallah iman kita.

Mari kita lihat pula di mana letaknya Rukun Islam di dalam sembahyang kita.

1.Rukun Islam yang pertama ialah mengucap dua kalimah syahadat.

Ada tak rukun ini di dalam sembahyang kita? Di dalam satu hari berapa kali kita mengucapkan syahadat di dalam sembahyang kita? dalam satu hari kita mengucapkan 9 kali syahadat. Ini yang wajib. Kita memperbaharui syahadat
kita 9X sehari.
Janganlah Rukun Islam dijadikan ingatan di dalam lagu sahaja, janganlah dimainkan sahaja syahadat ini, jangan pula kita tak sembahyang. Syahadat di luar sembahyang tak payah kiralah berapa yang kita nak buat. Tetapi yang wajib 9X, tak ada syahadat, tak sah sembahyang kita. Tak eloklah kita hanya hafal Rukun Islam bila nak nikah, ini semua orang boleh hafal, orang kafir pun boleh tetapi bila ditanya orang di mana letaknya Rukun Islam
di dalam sembahyang, susah nak jawab.
Kita bersembahyang tapi tak faham, akhirnya sampai mati pun kita tak faham – kita akan didakwa di Akhirat nanti. Ilmu yang kita dapat perlu kita faham dan hayati dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita. Bila kita faham yang kita kena menghayati Rukun Iman dan Rukun Islam di dalam sembahyang kita barulah kita boleh menghayati kedua-dua rukun ini di dalam setiap aspek kehidupan kita.

Dua Rukun ini berganding sebagai rel untuk keretapi bergerak, sebesar manapun gerabak keretapi, berat macam manapun gerabak keretapi ia tetap boleh berjalan dan dapat bertahan – iaitu bila Rukun Iman dan Rukun Islam
dijadikan rel. Barulah kita faham kenapa orang yang bersembahyang pun boleh tidak tenteram atau berkecamuk hidupnya – kerana dia tak faham Rukun Iman dan Rukun Islam yang perlu dibawa didalam sembahyangnya. Disinilah kita wajib belajar, kerana kita diwajibkan mengamalkan kedua Rukun ini dalam sembahyang.

2.Rukun Islam yang kedua ialah Sembahyang.
Ini tak berubah dari zaman Rasulullah SAW. Waktu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh ini sembahyang yang wajib. Ada yang sunat, yang bermacam-macam jenis yang boleh kita buat. Rukun sembahyang yang 13 kita
perlu belajar dan ketahui, tak payah dihurai disini.

3.Rukun Islam yang ketiga ialah puasa.
Puasa yang wajib ialah di bulan Ramadhan, dalam setahun hanya sebulan sahaja kita berpuasa. Puasa hari-hari tak ada ke? – cuba kita tengok amalan puasa kita dalam sembahyang. Boleh tak kita makan dalam sembahyang?- yang kita tahu bukan makan, minum sahaja tak boleh, senyum dan ketawa pun tak boleh. Bergerak lebih dari 3 kali pun tak boleh. Kita ingat yang lain selain Allah pun tak boleh. Katakan kita sembahyang 5 minit dalam satu waktu, bermakna kita berpuasa untuk 5 minit; satu hari kita berpuasa 25 minit kalau setahun ada 365 hari bermakna sebulanlah kita berpuasa. Sewaktu berpuasa kalau kita makan atau minum terbatallah puasa itu.
Disiplin puasa dalam sembahyang lebih kuat lagi, makan minum tak boleh, bergerak lebih dari 3X tak boleh, menoleh pun tak boleh.
Cuba fikir-fikirkan sama ada kita ada rasa berpuasa tak di dalam sembahyang kita! –  bila nak berwudhuk kita berkumur-kumur mulut, itu menandakan kita nak berpuasalah di dalam sembahyang. Latihan berpuasa setiap kali kita bersembahyang membuatkan kita bersedia untuk berpuasa lahir dan batin di dalam bulan Ramadhan, jadi tak susahlah kita nak menghadapi puasa bulan Ramadhan. Yang banyak berlaku, kita tak faham intisari sembahyang, tak dapat kesan Rukun Islam dalam sembahyang kita yang membuat kita tak dapat menghayatinya dalam kehidupan kita.

4.Rukun Islam yang keempat ialah Zakat.
Zakat atau Zakah (sebutan ikut ejaan bahasa Arab) bermakna pembersihan atau pensucian. Ada tak rukun ini dalam sembahyang? – Bersuci ( 4 peringkat) perlu kita lakukan dalam sembahyang. Awal-awal dalam persiapan sembahyang kita dah melakukan amalan zakat. Kita kena bersuci pakaian dan tempat sembahyang dan semua anggota lahir dari najis. Kita kena juga bersuci dari hadas kecil dan juga hadas besar. Anggota-anggota 7 kita juga perlu disucikan dari perbuatan-perbuatan yang keji. Hati kita juga perlu bersih dari sifat-sifat mazmumah. Di dalam
sembahyang hati kita tidak boleh mengingati yang lain selain Allah. Pembersihan harta bagi orang kaya ialah dengan berzakat. Bagi orang yang miskin mereka tidak perlu berzakat harta tetapi mereka melakukan amalan zakat di dalam sembahyang setiap hari. Seluruh anggota diperlukan bersih dari najis. Pada yang berzakat harta tetapi tak sembahyang tak ada maknanya, tak ada nilainya.

5.Rukun Islam yang ke 5 ialah menunaikan Haji ke Mekah.
Ada tak amalan ini di dalam sembahyang? Ke mana yang kita hadapkan muka dan badan kita setiap kali kita sembahyang? Tentulah ke Baitullah. Kita kena faham yang kita mengadap Kiblat setiap hari, disana tempat orang pergi haji. Bagi orang yang bersembahyang sungguh-sungguh, insyaAllah Allah akan izinkan dia pergi ke Mekah walaupun dia miskin. Setiap waktu dia sembahyang, dia mengucapkan kecintaannya kepada Allah, dia amat rindu kepada Baitullah dan berasa remuk redam dihatinya – bayangkan kalau dia bersembahyang di sana, tentulah rasa amat seronok pergi ke Mekah. Tak payahlah kita jadi seperti kebanyakan orang yang pergi Haji tetapi asyik tengok orang lain sembahyang, jadi bila balik asyik bawa cerita cara-cara orang lain sembahyang.

PENGERTIAN ZALIM – ADILKAH KITA DENGAN DIRI KITA SENDIRI?

Ada perkara yang selalu orang sebut-sebut di hadapan kita, bahkan orang ramai sebut iaitu tentang penzaliman. Ada ayat Quran yang pendek yang berkait dengan perkara ini :

‘Tuhan tidak menzalimi mereka itu tetapi merekalah (manusialah) yang menzalimi diri mereka sendiri.’

Ayat ini pendek tapi mempunyai ilmu yang global. Di dalamnya ada ilmu yang tersurat dan tersirat.

Hari-hari kita baca dalam surat khabar, di media masa, di TV, orang sebut tentang penzaliman. Tetapi penzaliman yang selalu disebut orang, termasuk kita, diberitakan seseorang itu menzalimi seseorang yang lain, satu etnik menzalimi etnik lain, satu bangsa menzalimi bangsa lain, satu puak menzalimi puak lain.

Di sekitar itulah kezaliman itu disebut orang. Tapi orang tak pernah terfikir bahawa kezaliman itu lebih luas dari itu. Tuhan kata : ‘Tuhan tidak menzalimi mereka tapi mereka menzalimi diri sendiri’

Di sini, kalau kita hurai erti kezaliman paling-paling tidak ada 7 aspek kezaliman. Dalam penzaliman mengikut pengertian Tuhan paling tidak ada 7 kategori atau 7 aspek yang menyebabkan manusia boleh menjadi zalim :

1. Zalim dengan Tuhan

Ini penzaliman peringkat tertinggi. Tak ada yang lebih tinggi daripada zalim taraf ini, yakni seorang manusia zalim dengan Tuhan.

Apa maksud zalim dengan Tuhan. Ialah :

· tak kenal Tuhan

· syirik dengan Tuhan.

· Tak takut dengan Tuhan,

· tak cinta dengan Tuhan,

· tak pedulikan Tuhan,

· tak dihubungkan hidup ini dengan Tuhan.

· Tuhan ada atau Tuhan tak ada dia tak ambil peduli. “Ada tak ada Tuhan, apa perlu aku fikir Tuhan.”

Ini penzaliman taraf tinggi sekali. Paling atas. Tak terfikir oleh kita. Padahal ramai orang tak peduli Tuhan, ini termasuk kita. Tiap-tiap hari kita tak pedulikan Tuhan.

Padahal satu perkara Tuhan kata dalam Qur’an :

‘Iqra bismirabbik’.

Maksudnya : ”Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhan-Mu.”

Apa sahaja hendak dibuat mesti atas nama Tuhan. Membaca, bertindak, berjuang, membangun, berpendidikan, berekonomi, berkebudayaan, berhibur, berhubung, mentadbir, mesti atas nama Tuhan. Mesti dikaitkan dengan Tuhan, mesti ada hubungan dengan Tuhan. Kalau kita tidak lakukan atas nama Tuhan maka sebenarnya kita melakukan penzaliman paling tinggi.

Kalau begitu yang dimaksudkan, kita juga ada melakukan zalim peringkat tinggi ini. Yang paling banyak, ada pada orang kafir dan orang munafik. Tapi pada kita orang Islam pun unsur-unsur itu ada. Mana orang Islam hari ini yang betul-betul cinta dengan Tuhan, takut dengan Tuhan, menghubungkan hidupnya dengan Tuhan? Maaf, sekalipun ulama, orang Islam hari ini sekadarkan percaya wujudnya Tuhan. Sekadar betul akidah atau sekadar tidak jatuh kafir. Atau Akidah sekadar cukup makan. Di luar itu, dengan Tuhan tak ada pun takut, cinta, tak ada hendak menghubungkan diri dengan Tuhan.

Awal-awal umat Islam telah melakukan penzaliman peringkat atas. Kemudian hendak minta bantuan Tuhan, hendak minta pertolongan Tuhan untuk menghancurkan musuh-musuh Tuhan. Padahal kita juga sudah jadi musuh Tuhan kerana awal-awal sudah melakukan zalim peringkat paling atas. Akhirnya kita sama-sama hancur, kerana kita sudah masuk dalam golongan musuh Tuhan.

2. Zalim dengan Fizikal

Yakni zalim yang ada hubungan dengan fizikal. Manusia melihat dengan mata, mesti atas nama Tuhan. Bercakap, mendengar, bertindak, menggunakan tangan, kaki dan seluruh anggota badan kita mesti atas nama Tuhan. Ertinya selaras dengan kehendak Tuhan. Mata, telinga, tangan, kaki, semua gerak geri kita jangan bertentangan dengan kehendak Tuhan. Kalau berlaku pertentangan itu ertinya kita telah melakukan penzaliman peringkat kedua.

3. Zalim dengan harta

Yakni zalim yang ada hubungan dengan harta. Harta itu milik Tuhan. Tuhan bagi pada kita. Ada yang sedikit, ada yang banyak, ada yang jadi jutawan, ada yang jadi bilioner. Ada yang kaya jangan gunakan sedikitpun atas nama selain Tuhan. Mesti selaras dengan kehendak Tuhan, sebab yang kita miliki itu sebenarnya Tuhan punya. Diri kita pun Tuhan yang punya. Tak boleh sesuka hati kita gunakan diri dan kekayaan kita, sesuka hati kita. Mesti digunakan menurut kehendak Tuhan. Kalau tidak, kita melakukan penzaliman yang ketiga yang ada hubungan dengan harta.

4. Zalim dengan manusia lain

Zalim seseorang pada manusia lain, atau penzaliman manusia sesama manusia contohnya : orang pukul orang lain, mengata orang lain, menjauhkan orang lain, bagi malu, menghina, fitnah, curi barang orang lain, itu ialah kezaliman keempat yang ada hubungan dengan orang lain.

Zalim yang ke 4 ini lah yang dibesarkan-besarkan tiap hari. Tentang zalim peringkat yang pertama, manusia senyap sahaja. Tidak diperkatakan sama sekali. Zalim peringkat 2 dan 3 kurang diperkatakan. Sedangkan zalim yang ke 4 ini di surat kabar, awal-awal sahaja diceritakan : “Tak patut dia tuduh saya, pukul saya, fitnah saya.”

Setiap hari zalim peringkat ke 4 itu di heboh-hebohkan. Jadi perkataan zalim itu sudah sempit, tapi perkara yang kecil dibesarkan. Zalim peringkat 1,2 dan 3 tak masuk buku langsung, tak masuk surat kabar langsung, tak masuk TV langsung. Tak pernah pun dikatakan dalam perbualan.

5. Zalim dengan jawatan

Yakni zalimnya seseorang yang ada hubungan dengan jawatannya. Jawatan itu macam-macam : Mungkin dia PM, Presiden, DO, mungkin dia gabenor, kerani, pegawai mungkin dia pengarah, pengurus, dan lain-lain. Jawatan itu semua kalau tak dihubungkan dengan Tuhan tak selari dengan kehendak Tuhan, sesuka hati tak buat seperti yang Tuhan kehendaki, maka dia zalim.

Yang ini pun ada orang bisingkan :

“Nampak presiden tak betul.”

“Nampak PM tak betul.”

“Nampak DO tak betul.”

“Hakim tak betul.”

Tapi kerani, cikgu, ustaz tak betul, itu tak nampak. Yang nampak Presiden, PM, hakim, polis tak betul. Dibawah itu tak sebut. Contoh peon tak betul, perkara itu tak nampak. Padahal peon itu jawatan juga. Sebenarnya walau sekecil apapun jawatan mesti dilakukan selaras dengan kehendak Tuhan.

Zalim peringkat ini ada dibincangkan juga tapi fokus pada jawatan yang besar-besar. Jawatan yang kecil tak disebut, lebih-lebih lagi orang kecil. Dia suluh yang besar-besar : ‘Presiden tak betul’, “PM tak betul”, “Hakim tak betul.” Tapi guru, ustaz tak diteropong, kerani, peon tak diteropong. Pengurus, guru tadika, guru kemas tak pernah disuluh. Padahal itu jawatan juga. Kalau tak selaras dengan kehendak Tuhan, maka zalim.

6. Zalim dengan ilmu

Peringkat 6 adalah penzaliman oleh manusia terhadap ilmu. Ada yang dapat ilmu banyak ada yang dapat ilmu sedikit. Professor dapat ilmu banyak. Ijazah Doktor Falsafah dapat ilmu banyak juga. Sarjana dapat kurang sedikit. Ijazah Sarjana Muda dapat ilmu lagi kurang. Kalau di bawah itu lagi kurang. Sama ada banyak atau sedikit ilmu yang dimiliki, kalau digunakan ilmu itu untuk kepentingan diri, maka dia zalim. Sebab itu orang masuk neraka bukan sahaja kerana termasuk golongan orang yang zalim pada peringkat 1-5 tapi golongan yang termasuk zalim peringkat 6 inipun masuk neraka. Kalau zalim yang ada hubungan dengan ilmu, maka akan masuk neraka.

Kebanyakan di zaman ini, orang telah menyalah gunakan ilmu, sekalipun orang yang mempunyai ilmu Islam. Ilmu digunakan bukan untuk Tuhan tapi untuk poket, untuk megah, untuk nama, untuk glamour, untuk cari duit. Tapi hal ini tak pernah dibesarkan atau diberitakan dalam surat kabar.

Dia zalim dengan ilmunya, kitapun zalim dengan ilmu. Tapi orang tak pernah sebut perkara ini. Mana ada hari ini orang terfikir bahawa satu kezaliman bila orang menggunakan ilmunya untuk kepentingan diri. Orang tak terfikir bila ada yang menggunakan ilmunya untuk mencari nama, itu dikatakan zalim. Orang tak mengatakan zalim pada seseorang yang megah kerana ilmunya, yang sombong dengan ilmunya. Bahkan orang anggap dia ada wibawa. Bila sombong dengan ilmu, rasa hebat, apakah itu dikatakan berwibawa? Dia derhaka dengan Tuhan, akan masuk neraka, itukah wibawa?

Itu zalim kategori 6. Yakni menyalahgunakan ilmu bukan untuk Tuhan tapi untuk kepentingan diri samada untuk pangkat, nama glamor, untuk megah.

7. Zalim dengan roh / perasaan

Kezaliman yang ada hubungan dengan roh atau perasaan, dengan hatinya. Ini lagi susah, ini lagi payah. Tak pernah orang sebut, surat kabar pun tak sebut, radio sekali pun tak sebut. Patutnya dalam roh atau dalam hati ada perasaan untuk Tuhan :

“Sedih, Tuhan redha ke tidak. Sedih, jangan-jangan aku berdosa. Sedih aku tak ada rasa kehambaan. Sedih aku tak takut dengan Tuhan, aku tak cinta dengan Tuhan.”

Tapi hati kita tak merasa seperti itu. Apa yang dirasa?

“Sakit aku ini bilakah nak sehat. Asyik sakit je.”

“Sedihnya, aku miskin. Bila nak kaya.”

“Sedihlah isteri tak sayang aku.”

“Sedih, suami tak sayang aku.”

Perasaan kita tidak diberi pada Tuhan. Perasaan telah disalah digunakan : orang tak peduli, suami tak sayang, isteri tak sayang. Itulah yang disedihkan dan disusahkan. Hati ini, perasaan ini telah kita salahgunakan. Kita zalim dengan perasaan.

Sebenarnya zalim ini bukan setakat 7 ini boleh lebih luas. Sedangkan orang lain hanya sebut 1, 2 perkara sahaja. Bahkan dalam ajaran Islam, nafas turun naik bukan untuk Tuhan adalah satu kezaliman. Tuhan akan tanya. Kalau Tuhan tanya kita tak boleh jawab, kalau Tuhan tak maafkan, dengan nafas manusia boleh masuk neraka. Betapalah kalau tak takut dengan Tuhan, tak cinta dengan Tuhan. Kalau Tuhan tanya dan kita tak boleh jawab, Tuhan tak maafkan, maka manusia masuk neraka. Mana orang terfikir nafas turun naik, bila tidak digunakan untuk Tuhan boleh masuk neraka? orang tak terfikir.

Jadi kalau orang faham ayat tadi, kemudian dapat betulkan diri dan selamat dari 7 peringkat zalim tadi barulah sesuai dengan pengakuan kita dalam sembahyang :

“Inasholati manusuki wamahyaya wamamaati lillaahirabbil ‘alamin.”

Sebab itu kalau kita faham, waktu sembahyang bila akan menyebut janji tersebut, macam mahu gila. Tapi karena kita tak faham, jadi tak rasa.

Sebab itu mahu baca janji itu kalau orang faham, akan teragak-agakk sebab kita berbohong dengan Tuhan. Sedangkan Tuhan mendengar. Hendak baca pun takut.

Tapi kerana tak faham, kita tak rasa itu. Sebab itu kerana tak faham, tak rasa apa-apa, orang sembahyang tapi tak boleh membaiki diri. Lagilah wirid, baca Quran tak kan boleh baiki diri. Sebab zikir yang paling besar adalah sembahyang. Zikir, wirid yang lain itu kecil. Dalam sembahyang ada zikir bacaan, perbuatan, percakapan dan perasaan. Macam-macam bentuk zikir terhimpun dalam sembahyang, termasuk zikir perasaan. Tapi kita tak rasa. Sebab itu patutnya mahu sembahyang itu takut. Sembahyang diperintah tapi takut janji-bohong, janji-bohong lagi. Itu sudah zalim.

Jadi pengertian zalim itu luas. Tapi yang orang besarkan zalim peringkat 4. Padahal zalim itu cukup luas.

“Jangan campakkan diri engkau kepada kebinasaan.”

Ayat itu ditujukan pada orang yang tak berkorban, tak menginfakkan hartanya, orang yang tak menderma. Mereka dianggap mencampakkan diri dalam kebinasaan. Orang yang tak bersedekah ertinya mencampakkan diri dalam neraka. Dia zalim. Tuhan kata jangan campakkan diri engkau dalam kebinasaan neraka. Orang yang tak korbankan harta dianggap zalim.

Tapi zalim peringkat atas sekali : syirik, tak takut Tuhan itu zalim teratas.

Bila kita bahas, yang zalim yang pertama pun sudah ada pada diri kita. Kalau tak selalu pun sekali sekala. Kalau manusia ini faham bahwa pengertian zalim dengan Tuhan itu begitu luas, begitu global, dia tak akan lagi bergaduh. Sebab tak nampak lagi salah orang. Walaupun orang zalim, tapi kita tak nampak kezaliman dia sebab kita pun zalim dengan Tuhan. Kezaliman yang lebih besar. Tapi kerana Tuhan tak nampak, kita tak rasa Tuhan itu yang patut dibesarkan, jadi akhirnya manusia membesarkan zalim peringkat ke 4.

Kesimpulannya, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, apakah sudah ADILkah kita terhadap diri sendiri dan sudah bebaskan kita dari MENZALIMI diri sendiri dan yang paling perlu kita muhasabahkan adakah diri kita tanpa sedar juga ZALIM kepada Pencipta kita?

Sekian

Call Now
Directions