Tag Archives: anak yatim dalam islam
JEMPUTAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 1440H
Assalamualikum dan Salam Sejahtera pada para dermawan yang dikasihi Allah s.w.t. Moga kita semua didalam rahmat dan kasih sayangNya.
Rumah Amal Limpahan Kasih ingin menjemput pada semua para dermawan Dato’/Datin/Tuan/Puan untuk menghadiri majlis Rumah terbuka Aidilfitri 1440H RALK pada tahun ini.
Sekian Terima Kasih.
“Tiga Peristiwa Haji Yang Perlu Diketahui Dan Dihayati “
Petikan : Oleh Nurazmallail
Tanggal 10 Zulhijjah 1440 yang dijangka jatuh pada 11 Ogos 2019 pastinya mengingatkan kita kepada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban yang disebut juga Hari Raya Haji yang bakal menjelma tidak lama lagi. Dalam tempoh terdekat ini kita sering mendapat khabar gembira bahawa sebahagian keluarga terdekat, saudara, jiran tetangga, dan sahabat handai yang terpilih sebagai tetamu Allah dan berpeluang menunaikan ibadah haji serta menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W. Bagi yang tidak menunaikan haji, fokus kita ialah kepada ibadah korban yang amat digalakkan pelaksanaannya pada 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.
Peristiwa haji dalam lipatan sejarahnya yang panjang melibatkan pelbagai peristiwa dan pengajaran yang penting dalam kehidupan kita. Dalam ruangan yang agak terhad ini penulis menyorot perhatian sidang pembaca kepada tiga peristiwa haji yang perlu diketahui dan dihayati pengajarannya, iaitu pertama, peristiwa Kaabah diselamatkan Allah daripada serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah; kedua, peristiwa di Safa dan Marwa sebagai saksi kecekalan dan sifat tawakal Siti Hajar menjaga anaknya Ismail A.S; ketiga, peristiwa Arafah sebagai medan khutbah perpisahan sebelum kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Pemilihan ketiga-tiga peristiwa tersebut adalah berdasarkan keutamaan lokasi dan individu yang terlibat merangkumi Kaabah, Bukit Safa dan Marwa, Padang Arafah, Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad S.A.W selaku ketua kaum Quraisy yang menjaga Kaabah, Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S, serta junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
PERISTIWA PERTAMA :
KAABAH DISELAMATKAN DARIPADA SERANGAN TENTERA BERGAJAH PIMPINAN ABRAHAH.
Peristiwa ini terjadi dan bertepatan dengan tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang lebih dikenali sebagai Tahun Gajah. Peristiwa pasukan bergajah terjadi pada bulan Muharram bertepatan dengan akhir Februari atau awal bulan Mac tahun 571 Masihi, atau sekitar sebulan setengah sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Ringkasan kisahnya adalah Abrahah yang menjadi wakil Raja Habasyah di Yaman menyaksikan orang-orang Arab berbondong-bondong datang ke Mekah setiap tahun untuk menunaikan ibadah haji. Rentetan daripada itu, beliau membina sebuah gereja besar dan mewah di Yaman yang dinamakannya dengan Al-Qulais. Tujuan pembinaan gereja tersebut adalah untuk mengalihkan tumpuan orang-orang Arab daripada setiap tahun pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji dan beralih menuju ke gereja megah yang dibina olehnya di Yaman. Kejadian tersebut didengar oleh seorang laki-laki daripada Bani Kinanah yang kemudiannya melakukan perjalanan menuju gereja tersebut dan memasukinya pada suatu malam, lalu melumuri dinding-dindingnya dengan kotoran.
Abrahah yang mendengar berita tersebut berasa amat marah dan memutuskan untuk menghancurkan Kaabah. Dia kemudian memimpin sebuah pasukan tentera yang berjumlah 60,000 orang dengan pasukan yang dilengkapi oleh beberapa ekor gajah. Mereka berjalan menuju ke Mekah dan tiada satu pun kekuatan yang berani menghadangnya hingga tiba di sebuah tempat bernama Al-Maghmas. Di tempat itulah, mereka menggiring harta milik orang-orang Quraisy yang antaranya 200 ekor unta milik Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad S.A.W. Hal tersebut menyebabkan Abdul Muttalib selaku pemimpin masyarakat Quraisy datang menemui Abrahah.
Melihatkan kedatangan Abdul Muttalib maka Abrahah memberikan penghormatan dan memuliakannya. Tatkala Abrahah bertanya apa maksud kedatangannya, Abdul Muttalib berkata, “Maksud kedatangan saya ialah berharap Raja dapat mengembalikan unta-unta saya yang ditawan.” Abrahah berkata, “Mulanya saya berasa kagum denganmu saat melihat kedatanganmu, kemudian saya tidak lagi menghargaimu setelah kamu berbicara kepadaku. Apakah kamu hanya memikirkan untamu dan sama sekali tidak membicarakan tentang Kaabah yang merupakan agamamu dan agama leluhurmu, padahal kedatanganku ke mari adalah untuk menghancurkannya?” Abdul Muttalib berkata, “Saya adalah pemilik unta-unta itu. Adapun Kaabah, maka Pemiliknyalah yang akan menjaganya.” Abrahah berkata, “Tidak akan ada yang mampu menghalang saya.” Abdul Muttalib berkata, “Itu urusan kamu dan Pemiliknya” (Allah Ta’ala). Orang-orang Quraisy keluar berlindung ke gunung dan menanti sambil melihat apa yang akan dilakukan oleh tentara Abrahah.”
Abrahah mempersiapkan pasukannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke Mekah. Tatkala pasukan tentera memerintahkan gajah yang bernama Mahmud untuk berjalan menuju ke Mekah, ternyata gajah tersebut duduk (tidak mahu berjalan). Mereka akhirnya memaksa gajah tersebut dengan memukulnya, tetapi ia tetap enggan untuk berjalan. Namun, ketika mereka mengarahkannya ke arah selain Mekah ternyata gajah itu mahu berjalan. Tidak lama kemudian datanglah pasukan burung Ababil (burung yang datang secara berkelompok) yang membawa batu-batu di paruh mereka dan ketika batu-batu tersebut menimpa salah seorang antara mereka, ia menjadi binasa.
Allah Ta’ala berfirman,
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).” (Surah Al-Fil: 105: 1-5).
PERISTIWA KEDUA :
SAFA DAN MARWA SAKSI KECEKALAN DAN TAWAKAL SITI HAJAR MENJAGA ANAKNYA ISMAIL .
Jauh sebelum perintah ibadah haji dilaksanakan, Bukit Safa dan Marwa telah menjadi saksi sejarah perjuangan seorang ibu bernama Siti Hajar dalam menyelamatkan anaknya Nabi Ismail A.S daripada kehausan. Setelah turun wahyu kepada Nabi Ibrahim A.S memerintahkan supaya baginda bersama-sama dengan anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Mekah yang ketika itu belum didiami manusia, malah hanya berupa lembah pasir, bukit-bukau yang tandus dan tiada air. Di tempat inilah, kedua-duanya ditinggalkan Ibrahim. Siti Hajar merasa sedih saat ditinggalkan begitu saja di tempat yang tak berpenghuni lalu bertanya kepada Ibrahim “Hendak ke manakah engkau Ibrahim?” “Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua di tempat yang sunyi dan tandus ini?” Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab walau sepatah kata. Siti Hajar bertanya lagi, “Adakah ini memang perintah daripada Allah?” Barulah Nabi Ibrahim menjawab, “Ya.” Mendengar jawaban suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya menjadi tenteram. Ia percaya bahawa hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tiada manusia dan segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail A.S masih menyusu.
Kecintaan Ibrahim kepada Allah dan menuruti perintah-Nya, melebihi segalanya. Ia pun menyerahkan semuanya kepada Allah dan berdoa,
”Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman berdekatan rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, 14: 37).
Sewaktu Nabi Ismail A.S dan ibunya hanya berdua dan kehabisan air untuk minum di lembah pasir dan bukit yang tandus, Siti Hajar pergi mencari air dengan berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwa sebanyak tujuh kali. Saat kali ketujuh (terakhir), ketika sampai di Marwa, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya di bawah telapak kaki Nabi Ismail A.S. Air itu adalah air zam-zam. Siti Hajar kemudian mendengar suara malaikat Jibril A.S dan berkata kepadanya, “Jangan khuatir, di sini Baitullah (rumah Allah) dan anak ini (Nabi Ismail A.S) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya.”
PERISTIWA KETIGA :
ARAFAH SEBAGAI MEDAN KHUTBAH PERPISAHAN
Peristiwa ini berlaku pada tanggal 9 Zulhijjah tahun 10 Hijriyah, ketika Rasulullah S.A.W menunaikan ibadah haji yang kemudian dikenali sebagai Haji Wada’ (Haji Perpisahan). Baginda tiba di lembah Wadi Urana, dalam keadaan masih di atas unta lalu berhenti dan kemudian berkhutbah di depan lebih seratus ribu orang yang hadir. Itulah peristiwa penyampaian khutbah yang begitu menggetarkan jiwa dan boleh dikatakan sebagai kesimpulan ajaran Islam dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang diwariskan kepada umat manusia. Khutbah berlangsung di bawah panas matahari dan seorang sahabat bernama Umayyah bin Rabi’ah bin Khalaf diminta mengulang dengan suara yang kuat setiap kalimat yang Nabi S.A.W sampaikan agar dapat didengari di tempat yang jauh dari tempat baginda berada.
Khutbah perpisahan ini adalah penting kerana mengandungi mesej yang perlu difahami, diingati, dan diikuti walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Jika diamati, hampir kesemua mesej disampaikan Nabi S.A.W adalah menyentuh hubungan sesama manusia. Ringkasnya, isi khutbah perpisahan tersebut merangkumi 10 perkara penting, iaitu;
1) larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa hak
2) kewajipan meninggalkan tradisi jahiliyah seperti pembunuhan balasan dan riba
3) mewaspadai gangguan syaitan dan kewajipan menjaga agama
4) larangan mengharamkan yang dihalalkan dan sebaliknya
5) kewajipan memuliakan wanita (isteri)
6) kewajipan berpegang teguh pada al-Qur’an dan as-Sunnah
7) kewajipan taat kepada pemimpin selama masih berpegang teguh pada al-Qur’an
8) kewajipan berbuat baik kepada hamba sahaya
9) umat Islam adalah bersaudara antara satu dengan lainnya
10) kewajipan menyampaikan khutbah Rasulullah S.A.W kepada orang lain.
Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah dan di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempurnaan agama Islam.
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepada kamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Ma’idah, 5: 3)
Selepas baginda membaca akan wahyu tersebut, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun, Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a perasan bahawa al-Qaswah unta Nabi S.A.W menitiskan air mata dengan banyak lalu beliau pun ikut menangis. Saidina Umar r.a bertanya apakah sebabnya lalu Saidina Abu Bakar r.a menjelaskan bahawa di sebalik berita gembira tentang telah sempurnanya agama Islam, maka wahyu penutup itu juga petanda khabar duka bahawa Nabi S.A.W pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai rasul telah selesai. Mendengar penjelasan itu maka Saidina Umar r.a pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.
Artikel ringkas berkaitan tiga peristiwa haji yang perlu diketahui dan dihayati mengingatkan kita tentang kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T yang tiada sekutu dan bandingan bagi-Nya. Setiap perintah-Nya pasti membawa kebaikan kepada umat manusia meskipun pada peringkat awalnya kelihatan seperti ujian yang amat berat. Namun, keyakinan yang tinggi dan bertawakal kepada Allah S.W.T menjanjikan kesudahan yang terbaik dan penuh hikmah. Gambaran betapa kasih dan sayang Nabi Muhammad S.A.W terhadap umatnya jelas diabadikan dalam suatu perutusan agung ketika menunaikan haji kali pertama dan terakhir buat baginda yang menyentuh persoalan hubungan sesama manusia.
PETIKAN DAN PERKONGSIAN : Oleh Dr. Nurazmallail bin Marni (nurazmal@utm.my)
Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM
IBADAH QURBAN AMAL UNTUK ANAK-ANAK YATIM, FAKIR MISKIN DAN ASNAF 2019
Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas kami menawarkan Pakej Ibadah Qurban Amal yang dianjurkan sempena Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah 1440H bersamaan / 11hb Ogos 2019 pada tahun ini. Daging Qurban yang telah disembelih akan diagih-agihkan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang layak menerima zakat seperti muallaf, fakir miskin, Sekolah Agama, Institut Tahfiz dan sebagainya yang telah kami kenal pasti.
2. Disertakan borang penyertaan ibadah qurban amal tersebut :
1. | Harga satu bahagian daripada seekor lembu | RM 630.00 |
2. | Harga untuk seekor lembu | RM 4,500.00 |
3. | Harga untuk seekor kambing | RM 900.00 |
3. Segala keuntungan atau lebihan dari pakej ini akan dimasukkan ke dalam Tabung Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) yang kini amat memerlukan bagi menampung seluruh keperluan dan urusan Rumah Kebajikan kami. Sebarang pertanyaan silalah hubungi di talian berik
- En Abu Zar : 018-571 7490
- En Usamah : 012-6453582
- Pn Aiman : 011-37037672
- Whatsapp : 018-2827910
4. Akhir kata RALK mengalu-alukan kerjasama semua pihak yang ingin membahu di dalam membela nasib golongan yang kurang bernasib baik dan berada dalam kesusahan. Semoga usaha kecil yang kita jalankan ini akan dapat membawa sinar baru di dalam kehidupan mereka dan Tuhan memberkatinya.
Sekian, terima kasih.
(Sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: “Perbesarkanlah Qurban kamu kerana ianya akan menjadi tunggangan ketika kamu meniti Titian Siratul-Mustaqim di akhirat kelak”).
Yang berusaha,
(En. Zahid B Azhar)
Pengetua - (Sekolah Islam Zadut Taqwa)
(Pn. Rashidah Bt Abdullah)
Pengurus - (Rumah Amal Limpahan Kasih)
“Marilah kita membela nasib orang lain mudah-mudahan Allah akan membela nasib kita kelak”
BORANG IBADAH QURBAN AMAL :
Dengan ini dimaklumkan bahawa saya
____________________________________________________________________________ .
Alamat :
____________________________________________________________________________
_________________________________________________________________________ .
No Telefon : __________________ . No H/P : ______________________ .
No I/C : ________________________________________bersetuju untuk menyertai Ibadah Qurban Amal ini.
Saya sertakan bayaran dan nama-nama seperti berikut :
Nama-nama peserta :
1.______________________________________ .
2.______________________________________ .
3.______________________________________ .
4.______________________________________ .
5.______________________________________ .
6.______________________________________ .
7.______________________________________ .
Pakej pilihan :
1. Membeli lembu untuk diqurbankan di tempat sendiri (dagingnya diagih-agihkan sendiri).
2. Membeli lembu untuk diqurbankan di tempat sendiri (dagingnya pihak penganjur akan ambil untuk diagih-agihkan).
3. Membayar harga seekor lembu / bahagian, saya / kami wakilkan pihak pengajur menguruskan penyembelihan dan mengagihkan dagingnya kepada golongan yang tersebut di atas :
1. | Harga untuk satu bahagian / nama | RM650.00 |
2. | Harga untuk seekor lembu | RM 4,300.00 |
3. | Harga untuk seekor kambing | RM 850.00 |
Wang tunai / cek ( cek atas nama Pusat Pendidikan Limpahan Kasih ) berjumlah : RM ___________________________ . No akaun : 562777200627 ( Maybank ).
Semoga sumbangan ini akan dapat membantu menjayakan serta melancarkan lagi kerja-kerja amal yang diusahakan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
_______________________________ .
Nama: ________________________ .
“Orang Yang Baik Itu, Semakin Banyak Dia Melakukan Amal Kebaikan, Semakin Dia Rasa Seolah-Olah Belum Berbuat Apa-Apa Kebaikan”