Tag Archives: anak yatim dan miskin
6 Keistimewaan Bulan Syaaban
Rejab, Syaaban dan Ramadhan adalah tiga bulan dalam kalendar Hijrah umat Islam yang amat diagungkan serta dimuliakan oleh Allah s.w.t sebagai peluang kepada kita umat Islam untuk menggandakan amal ibadah.
Antara ketiga-tiga bulan ini, apa yang ingin dikongsikan adalah mengenai bulan Syaaban iaitu bulan pertengahan antara tiga bulan mulia ini yang juga bulan ‘warming up’ bagi umat Islam sebelum menempuhi puasa Ramadhan pada bulan berikutnya.
Mungkin, ada yang masih belum mengetahui apa yang ada dalam bulan Syaaban? Mengapa bulan itu termasuk dalam kategori bulan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T dan pelbagai persoalan lagi.
Berikut dikongsikan beberapa hadis dan kalam ulama yang menyebut mengenai bulan istimewa ini;
1. Rasulullah S.A.W Berpuasa Lebih Banyak Pada Bulan Ini
Saidatina Aisyah r.a menyatakan;
“Tidak pernah Rasulullah s.a.w berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Syaaban (selain bulan Ramadhan). Sesungguhnya, Baginda s.a.w telah berpuasa sebulan penuh.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
2. Bulan Yang Diangkat Segala Amalan
Usman bin Zaid menceritakan Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w;
“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa Tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban.”
Lalu Baginda menjawab;
“Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu, aku (Baginda) amat suka kiranya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa’.” Hadis Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai
3. Diampunkan Dosa-Dosa
Saidatina Aisyah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda;
“Sesungguhnya, Allah s.w.t turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.” Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah
4. Allah S.W.T Membuka Pintu Rahmat-Nya
Khalifah Umar Abdul Aziz telah memberitahu wakilnya di Basrah;
“Hendaklah kamu memerhatikan empat malam dalam satu tahun, kerana sesungguhnya Allah s.w.t membukakan pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya iaitu pada malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Eidulfitri dan malam Eiduladha.”
5. Bulan Menambahkan Amalan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Apabila tiba malam nisfu Syaaban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadat dan berpuasa pada siangnya. Allah s.w.t berfirman; ‘Sesiapa yang meminta ampun, maka Aku mengampunkannya, mereka yang ditimpa bala bencana Aku lepaskannya, mereka yang meminta rezeki Aku berikan rezekinya’.”
6. Adanya Malam Nisfu Syaaban
Perkataan ‘nisfu’ itu adalah dalam bahasa Arab yang bermaksud, ‘pertengahan’. Tahukah kita, di pertengahan bulan Syaaban atau lebih sinonim dipanggil sebagai ‘nisfu Syaaban’, sebelum memasuki bulan Ramadhan segala amalan setiap hamba Allah s.w.t akan diangkat ke langit dunia.
Baginda Nabi s.a.w turut menyarankan kepada kita umatnya untuk memperbanyakkan amal kebajikan pada malam tersebut.
Bahkan, sesetengah ahli tafsir ada yang menyatakan bahawa malam nisfu Syaaban itu adalah Malam Bara’ah atau malam keberkatan.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca untuk melonjakkan lagi momentum ibadah kita semua untuk ‘dipersembahkan’ kepada Allah s.w.t.
Juga, sebagai persediaan untuk melalui bulan Ramadhan; bulan yang terkandung di dalamnya pelbagai keistimewaan dan ganjaran buat hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah….
SEDEKAH MELINDUNGI DARI MALAPETAKA….
Pada zaman Nabi Sulaiman AS, hidup seorang lelaki yang mempunyai pohon besar di samping rumahnya. Di atas pohon tersebut terdapat sarang burung yang berisi beberapa ekor anak merpati. Kemudian isteri kepada lelaki itu menyuruhnya memanjat pohon besar itu dan mengambil anak merpati untuk dijadikan makanan bagi anak-anak mereka. Lelaki itu pun lantas melakukanya.
Selepas kejadian itu, ibu kepada anak merpati menghadap baginda Nabi Sulaiman AS. Sang ibu menceritakan kejadian tersebut. Akhirnya Nabi Sulaiman memanggil lelaki itu dan menyuruhnya untuk bertaubat. Lelaki itu berjanji kepada Nabi Sulaiman untuk tidak akan mengulangi perbuatannya tadi.
Suatu ketika, si isteri menyuruhnya untuk mengambil anak merpati lagi. Lelaki itu pun berkata kepada isterinya, “Aku tidak akan melakukanya lagi. Sebab Nabi Sulaiman telah melarangku untuk berbuat yang demikian.”
Isterinya menjawab, “Apakah kamu menyangka Nabi Sulaiman akan mempedulikan dirimu atau merpati itu? Sedangkan dia selalu sibuk dengan urusan kerajaannya.”
Si isteri tak henti-henti memujuknya agar dia mahu melakukanya lagi. Hingga akhirnya dia mengalah juga. Seperti biasanya ia memanjat pohon besar itu dan mengambil anak merpati lagi.
Ibu merpati kembali menghadap Nabi Sulaiman dan mengadukan kejadian itu. Nabi Sulaiman pun menjadi marah dengan kejadian itu. Kemudian Nabi Sulaiman memanggil dua ekor jin, yang satu berasal dari hujung timur dan yang satu lagi berasal dari penjuru barat.
Nabi Sulaiman AS berkata kepada dua jin itu, “Jagalah pohon besar itu. Dan ketika lelaki tersebut mengulangi perbuatannya mengambil anak merpati itu. Peganglah kedua kakinya dan jatuhkan ia dari pohon itu.”
Kedua ekor jin itu pun bergegas pergi dan menjaga pohon itu.
Ketika merpati sudah beranak lagi, lelaki itu segera memanjat dan meletakkan kedua kakinya pada pohon itu. Tiba-tiba datanglah seorang pengemis mengetuk pintu rumahnya. Lalu ia menyuruh isterinya untuk memberikan sesuatu pada pengemis itu.
Lantas isterinya berkata, “Aku tidak punya apa-apa.” Laki-laki itu turun dari pohon dan mengambil segenggam makanan. Lalu ia memberikanya kepada si pengemis itu. Setelah itu ia kembali memanjat pohon dan mengambil anak merpati.
Setelah itu, merpati kembali menghadap Nabi Sulaiman dan mengadukan kejadian tersebut kepadanya. Nabi Sulaiman bertambah marah. Kemudian ia memanggil kedua ekor jin yang diberi tugas menjaga pohon itu.
Nabi Sulaiman berkata pada kedua ekor jin itu, “Kalian berdua telah mengkhianatiku!”
Dua jin itupun menjawab, “Kami sama sekali tidak menghianatimu. Kami terus menjaga pohon itu. Hanya saja, ketika lelaki itu memanjat pohon datanglah seorang pengemis mengetuk pintu rumahnya. Lalu ia memberikan segenggam gandum untuk pengemis itu. Saat dia kembali memanjat pohon, kami sudah bergegas untuk mendapatkannya. Namun tiba-tiba Allah mengutus dua malaikat. Salah satu dari mereka memegang leherku dan melemparku sampai ke tempat terbitnya matahari. Sedang yang satunya lagi memegang leher sahabatku dan melemparnya sampai ke tempat terbenamnya matahari.”
Demikianlah sebuah cerita dari Kitab Tanqihul Qaulil Hatsits karya Syekh Nawawi Al-Bantani. Betapa sedekah dapat menjadi sebab terhindarnya seseorang dari mara bahaya. Tetapi yang disedekahkan itu wajiblah barang yang halal. Namun jika yang disedekahkan adalah barang yang haram pasti akan berlaku kecelakaan terhadap orang itu.
Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, “Sungguh, di dalam neraka terdapat rumah yang disebut baitul huzni (rumah kesusahan). Allah menyediakannya untuk orang yang bersedekah dari barang yang haram.”