Tag Archives: Ar Rahman

HURAIAN BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Image result for image bismillahirrahmanirrahim

Dalam hidup kita, ada atau tidak, pada setiap hari seseorang yang memberitahu kita bahawa dia terlalu sayang dan terlalu pemurah kepada kita? Kita mungkin terfikirkan orang tersebut boleh jadi adalah ibu, suami atau isteri kita. Mereka kemudian memanggil kita duduk bersama, memberi sedikit sebanyak apa yang kita mahu dan perlu sehingga kita merasa yang mereka benar-benar sayang kepada kita.

Sebenarnya di dalam sembahyang, Allah, Tuhan Pencipta kita memanggil kita untuk ‘duduk-duduk’ denganNya dan Dia berkata kepada kita bahawa Dia adalah sangat Pemurah dan sangat Penyayang kepada kita. Ini adalah satu hadiah yang sangat istimewa. Ibu, suami atau isteri kita walau pun dia sayang tetapi dia tidak boleh katakan bahawa mereka terlalu sayang dan terlalu kasihkan kita. Namun kita dapat merasa kasih sayang mereka.

Tetapi Allah, Dia memanggil kita supaya datang kepada-Nya kerana terlalu sayang dan telah memberi apa sahaja untuk kita. Apa yang seharusnya kita rasa? Tentulah kita merasa seronok, bertuah, berbahagia.. Tuhan sayang kepada aku! Itulah perasaan, tindak balas kita kepada Allah. Tuhan mahu kita merasai kasih sayang-Nya dan kasih sayang itu akan Dia membalas lebih lagi.

Seperti sayang kita kepada ibu, maka kita sanggup memberi apa sahaja kepada ibu kita. Tetapi kenapa dengan Allah, kita tidak membalasnya? Kita tidak berusaha untuk membalasinya? Sebab itulah kita mesti kerap bertemu dengan-Nya (dalam sembahyang). Kalau kita mati tidak sempat membawa hati yang berperasaan terhadap Tuhan seperti yang Dia mahu, yakni hati yang tidak selamat maka tidak ada gunanya lagi, tiada nilainya kita dihantar ke dunia ini. Sembahyang menuntut kita sangat berhubung dengan Allah, merasai apa perasaan yang Dia mahu dari kita dan kita cuba membalasinya. Dalam sembahyang itu Allah seolah-olah mengajak kita untuk ‘berbual-bual’.

Huraian Bismillahirrahmannirrahim dalam Al Fatihah

Al Fatihah dimulai dengan Bismillah ( dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang). Daripada 99 nama-nama Allah dalam Asmaul Husna, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan RahimNya. Istilah ALLAH itu dikatakan Ismu Jalalah, nama Tuhan yang Maha Agung. Nama bagi satu Zat yang dikatakan Dia lah Tuhan, yang menciptakan langit dan bumi. Yang dimasyhurkan ialah dua sifat Nya iaitu Rahman dan Rahim. Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini dan tidak sifat yang lain? Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:

Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol. Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh. Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah Nya. Tetapi Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik tertonjol, terserlah tetapi aneh kita tidak prihatin!.

AR RAHMAN – Yang Maha Pemurah

Orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif, dia nampak sangat Rahmat Tuhan itu, seolah-olah macam salji yang turun.Pada kita yang terkesan ialah sifatnya yang sekali sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran, sebulan orang perbualkan padahal beberapa tahun sekali sahaja ia berlaku. Ajaib sekali. Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku.

Sepatutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan itu sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik ia berlaku. Buktinya, ia berlaku dari kita bangun tidur sejak pagi. Sedar-sedar sahaja kita boleh bernafas.

“Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan dengan aku”.

Dengan nafas itulah aku boleh hidup. Kita hidup itu adalah dari kurnia Rahman dan Rahim Tuhan.

Bila kita pergi bilik air, itu Rahman dan Rahim Tuhan. “Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku.”

Masuk bilik air, ada air lagi untuk mandi. Kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu , bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit itu dahsyat. Kena air, ¾ sakit hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Mandi, bernafas dalam bilik air. Lepas itu kita boleh sembahyang dengan Rahman dan Rahim Tuhan juga. Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik.

Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan. Kalaulah Tuhan jerluskan bumi, bukankah dahsyat. Boleh berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah,

“Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan.”

Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti di lambak-lambak dengan nikmat Tuhan. Kalau seseorang yang terlalu jatuh cinta dengan Allah dan dia bukan seorang pemimpin manusia, perasaan yang dirasa untuk dirinya sahaja maka dia akan mabuk (sakr) dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang dipakai. Dia mungkin seperti orang gila kerana tidak tahan dengan Rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin dia sudah mabuk. Kalau sudah mabuk, sudah tidak boleh memimpin orang ramai.

Tetapi biasanya pemimpin-pemimpin itu Tuhan kawal perasaannya supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang mabuk. Sebab itu kalau kita lihat ahli sufi yang bukan memimpin, ramai yang aneh-aneh. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.

Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjat dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia jika dia bukan pemimpin manusia. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, mereka hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Melihat muka mereka pun terasa terhubung hati kita dengan Tuhan. Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia jadi semacam mabuk bersendirian.

Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang yang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya prihatin, memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan ini kelihatan yang sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di padang pasir kemudian didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, begitu sekali pun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahirrahmanirrahim, namun kita buat tidak tahu dan kita tidak merasakan.

Padahal saya telah sebut tadi, mulai bangun tidur, di bilik air, di hadapan pintu rumah, belum jauh pun kita melangkah, kita merasa begitu banyak nikmat Tuhan. Jadi munasabahlah Tuhan menyuruh kita menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang paling tertonjol . Tetapi sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati kita sudah terlalu lalai. Kalau orang bukan Islam, kita tidak hairanlah. Hati yang lalai ini dimiliki orang yang masih solat, puasa dan sudah naik haji. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja.

Contohnya kita ada seorang kawan yang kaya yang pemurah. Dia mengaajak kita bersiar-siar sekali sekala, memberi kita pakaian, hadiah untuk dibawa balik kepada anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita round-round lagi dengan keretanya.Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita mula bercakap, “Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”

Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, kita tidak pernah rasa ibu ayah begitu sayangkan kita berbanding kawan kita yang bebuat sekali sekala. Kita boleh terikat hati dengan orang luar padahal sekali sekala sahaja orang itu berbuat baik pada kita

Ini samalah dengan apa yang orang buat pada Tuhan. Tuhan Pemurah dengan mereka, setiap detik dan setiap saat tetapi tidak pernah pula disebut. Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan. Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita bukan yang belanja sebulan sekali. Tetapi yang tidak logik itulah berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.

Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita berkata, “Apalah Tuhan ni!!”. Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji tetapi tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan hendak hidupkan hati susah sekali padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari.

Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah kerana Dia hendak mengisytiharkan dua sifat ini yang menonjol. Sifat yang lain hanya berlaku sekali sekala untuk kesedaran, untuk insafkan manusia.

Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, rohaniah, jangan lupa baca Bismillah. Supaya lahir cinta terhadap Tuhan. Apa rahsianya? Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita baca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan. Faedahnya bukan untuk Tuhan.

Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan cinta sesama manusia. Untungnya dirasai sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan.

Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan. Kalau yang di luar pun kita tidak sedar, yang mata boleh melihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat.

Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak terfikir bagaimana hendak membalas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat sebagai kesyukuran kepada Tuhan? Sebab itu Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia mencintai Tuhan. Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia. Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.

Selama ini kita belajar Bismillah,

”Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut sunnah ya.” Setakat itu sahaja. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya cinta kita sesama manusia.

RAHMAT DAN BERKAT

Perkataan rahmat dan berkat
Tidak asing lagi di dalam ajaran Islam,
Akhir-akhirnya dua istilah ini menjadi bahasa kita,
Hampir setiap hari disebut perkataan rahmat dan berkat,
Oleh itu mari kita mempelajarinya,
Apa itu erti rahmat dan berkat?
Rahmat itu adalah sifat Tuhan,
Daripada perkataan Ar Rahman Ar Rahim,
Kalau tidak cukup ilmu,
Seolah-olah rahmat dan berkat itu sama,
Yang sebenarnya rahmat dan berkat
Pengertiannya berlainan,
Rahmat merupakan khazanah Tuhan
Yang di Luh Mahfuz,
Khazanah Tuhan itu di dalamnya ada berbagai-bagai kebaikan,
Ada iman, ada taqwa, ada ilmu,
Ada kebaikan yang bersifat maknawi,
Ada kebaikan yang bersifat maddi,
Jadi Tuhan nak menurunkan rahmat-Nya
Daripada Luh Mahfuz kepada hamba-hamba-Nya
Samada secara individu
Mahupun secara jemaah,
Ia ada sistem,
Sistem itu Tuhan tetapkan di azali
Yang merupakan sunatullah,
Yang tidak ada berubah-ubah,
Sebab itu adalah satu ketetapan Tuhan diazali lagi,
Barakah saluran kebaikan Tuhan,
Daripada rahmat yang ada pada azali,
Samada yang berbentuk maknawi atau maddi,
Yang disalurkan kepada individu yang bertaqwa
Ataupun jemaah yang bertaqwa,

Barakah itu saluran
Yang diberi kepada orang yang bertaqwa itu,
Itu juga karamah orang itu,
Samada orang bertaqwa itu individu atau jemaah,
Kalau orang itu, Tuhan salurkan barakah kepadanya
Itulah karamah yang Tuhan bagi padanya,
Melalui barakah orang itu
Disalurkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kadang-kadang emak atau ayah yang bertaqwa
Disalurkan barakah kepada anak-anak,
Kadang-kadang seorang guru yang ada barakah,
Dialirkan kepada murid-murid
Kadang-kadang pemimpin yang ada barakah
Disalurkan kepada pengikut-pengikutnya,
Cara karamah itu mengalir
Samada orang itu bertawasul kepadanya
Atau tidak bertawasul,
Jadi barakah itu aliran rahmat
Kepada orang-orang bertaqwa
Samada individu atau jemaah,
Kemudian dialirkan kepada orang lain,
Samada secara individu atau jemaah,
Kemudian perlu diingat,
Barakah ini kalau berlaku di dunia orang kafir pun dapat,
Bantuan yang bersifat maddi
Seperti kekayaan, intan berlian, makan minum,
Pakaian, rumah, kenderaan-kenderaan,
Tetapi perlu diingat
Kalau orang yang dapat berkat itu ada yang jahat,
Ia akan jadi istidraj,
Contoh:
Kalaulah seorang ada berkat,
Berkat itu dialirkan kepada seorang yang bertaqwa,
Contohnya kekayaan,
Kekayaan itu akan menjadi kebaikannya,
Ia jadi pemurah,
Menolong orang atau
Kalau barakah itu dialirkan kepada
orang yang bertaqwa itu ilmu,
ilmu itu akan memberi kebaikan kepadanya,
dengan bertambah ilmu, bertambah iman,
bertambah kebaikan, bertambah taqwa,
tapi kalau disalurkan kepada orang jahat,
contohnya ilmu,
dengan ilmu itu, orang itu jadi jahat,
jadi sombong,
kalau barakah itu disalurkan kepada orang yang jahat berkat orang baik
contoh kekayaan,
kekayaan itu menjadikannya sombong,
bangga, jadi membazir,
dengan kekayaan jadi istidraj,
asalnya baik iaitu rahmat,
akhirnya berkat itu jadi istidraj

14-07-o6

RAHSIA MENYELESAI GEJALA SOSIAL DALAM MASYARAKAT

Dalam kehidupan seharian, manusia pasti menempuh berbagai ujian, cabaran dan masalah. Itu adalah lumrah kejadian insan. Tuhan jadikan kejadian alam ini saling kait-mengait, saling ada hubungan. Adakalanya hubungan sesama makhluk ciptaan Tuhan ini dalam bentuk sokong menyokong, bekerjasama dan saling membantu. Ada ketikanya, wujud pula konflik, pertentangan, perebutan, kalah mengalahkan, hancur menghancurkan.

Air bah menghancurkan apa sahaja. Api membakar memusnah bangunan, tumbuhan, binatang dan harta benda. Binatang pula yang kuat memakan yang lemah. Haiwan, unggas dan serangga hidup atas keupayaan menguasai sesamanya.

Hanya manusia yang Tuhan jadikan kehidupannya istimewa. Setiap yang bernama manusia – atas nama agama apa sekalipun, pasti mempunyai fitrah semula jadi yang tersendiri. Dengan akal fikiran anugerah Tuhan, fitrah manusia cenderong menjaga maslahat dirinya, keluarganya dan masyarakatnya.

Walaupun begitu, fitrah yang baik itu tidak mampu memandu manusia untuk mencapai kesempurnaan insaniahnya. Hal ini adakah kerana Tuhan bekalkan juga nafsu untuk berperanan menjadi pendorong sebenar. Malangnya nafsu lebih memihak kepada kejahatan.

Sebab itu fitrah sahaja tidak berupaya stabil melainkan akan sentiasa dipengaruhi nafsu untuk melakukan kejahatan. Di sinilah perlunya manusia kepada nabi-nabi dan rasul-rasul atau para pemimpin yang berperanan seperti para nabi dan rasul.

Allahlah yang memimpin para nabi, rasul dan orang-orangNya. Di setengah zaman, pada beberapa orang rasul, Allah bekalkan mereka dengan kitab panduan. Ianya memudahkan tugas mereka memimpin umat di zaman mereka.

Al-Quran yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya kitab dari langit yang terpelihara dan kekal keasliannya sampai bila-bila. Kemudian, Allah jadikan Nabi Muhammad SAW itulah sesempurna makhlukNya – bahkan kekasihNYa. Setiap apa yang terkandung di dalam Al-Quran, itulah yang ada pada diri dan peribadinya.

Nabi Muhammad SAW dengan Al-Quran adalah satu. Tidak ada pemisah antara keduanya. Kalau ada manusia bodoh yang memisahkan antara Al-Quran dan diri penghulu para rasul ini, jelaslah asas pemikiran normal seseorang manusia itu tidak ada dalam dirinya.

Allah itu kuasa yang terlalu dahsyat. Sepatutnya ancaman Tuhan akan menjadikan seseorang manusia – yang mengaku Islam itu – berhati-hati dalam bercakap dan bertindak. Tentulah seseorang yang normal itu akan mengambil kira apa jua risiko bagi setiap ucapan atau tindakannya.

Ertinya umat Islam sangat-sangat yakin Allah ialah kuasa yang akan membalasi setiap amal perbuatan hamba. Yang baik dibalas dengan kebaikan, rahmat dan kasih sayangNya. Yang jahat tentulah buruk dan dahsyat padahnya.

Umat yang beriman juga yakin dengan kuasa Allah dalam membantu dan menolong hamba-hambaNya. Tuhan itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim – maha pengasih dan maha penyayang. Dia maha segala-galanya – menghidupkan dan mematikan, memberi nikmat atau menimpakan ujian. Tuhan maha mampu menyelesaikan masalah dalam kehidupan jika kita pandai merujuk padaNya.

Tapi kenapa ya, dalam hidup Umat Islam kini, terjadi macam-macam masalah. Kenapa Tuhan yang di pohon doa dari-Nya untuk selesaikan masalah-masalah tidak pun mengkabulkan doa-doa umat yang menderita? Apakah yang tidak kenanya dengan doa-doa yang dilafazkan?

Biasanya seorang guru itu akan tunaikan permintaan anak muridnya atas dasar apa? Dan atas dasar apa pulakah guru tidak menunaikannya?

Ya kita setuju dengan guru yang memberi pertolongan kepada murid yang layak! Iaitu murid yang dengan pertolongan gurunya itu dia tidak sombong! Murid yang berjaya tapi teruslah merendah diri dan taat! Murid yang terus takut untuk melanggar disiplin-disiplin gurunya. Takut kalau-kalau guru hilang sayang padanya.

Maka demikian jugalah Allah terhadap hamba-hambaNya. Allah mendidik dengan Maha BijaksanaNya supaya hamba-hamba terbentuk menjadi peribadi-peribadi yang mulia. Lihat apa kata Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:
1. Allah Penolong orang-orang yang bertaqwa.
2. Barang siapa bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan selesaikan masalah hidupnya dan
akan memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga!

Demikianlah cara Allah untuk mengkabulkan permintaan-permintaan dari hamba-hamba Nya! Yakni hanya kepada hamba-hamba yang takut padaNya saja Allah akan tolong! Mana-mana hamba yang tidak mengusahakan taqwa, ertinya tiadalah kabul pertolongan yang diminta!

Jadi marilah kita berusaha untuk mendapatkan rasa takut kepada Allah dengan sesungguh-sungguhnya, disamping amat mengharapkan pertolonganNya! Juga tidak lupa kepada Nabi Pesuruh Allah Muhammad SAW yang akan melaksanakan pertolongan dari Allah kepada kita itu hendak ditambah rindu dalam berselawat padanya.Takut Allah dan Rindu Nabi ialah slogan kita yang inginkan pertolongan Tuhan.

Inilah formula penyelesaian sebenar kepada masalah gejala sosial yang sedang serius dalam masyarakat umat Islam di Malaysia. Umat yang sudah tidak pedulikan Allah dan Rasul ini hendaklah diusahakan agar mereka berubah menjadi orang yang takut pada Allah SWT dan rindu pada Nabi SAW. Maka bila semua peringkat umat Islam sudah mempunyai rasa takut Allah dan rindukan Nabi nescaya akan kabullah doa mereka kepada Allah! Pertolongan Allah pun berlakulah!Insya Allah!

Ingatlah apa jua yang berlaku pada kita, keluarga, masyarakat dan negara kita, adalah kasih sayang Allah utnuk kita. Ianya adalah peringatan untuk kita insaf. Jangan hanya kita merintih dan berdoa sedangkan masa yang sama masih melakukan maksiat dan dosa. Pertolongan Allah tentu tidak akan berlaku. Bartaubatlah dan tinggalkan dosa terlebih dahulu barulah berdoa kerana kemurkaan Allah itu perlu kita hindari sebelum menagih perhatian dan pertolonganNya.

Ingatlah juga bahawa nikmat Tuhan akan terus kita kecapi sekalipun kita menderhakaiNya. Itulah intipati dari sifat Ar-Rahman pada Allah SWT. Dia maha pemurah untuk apa dan siapa sahaja. Tuhan berikan untuk semua makhluk Allah samada kafir, fasik, munafik atau muslim / mukmin. Jika selain muslim, itu adalah pemberian dalam kemurkaanNya.

Untuk muslim yang berdosa, Tuhan tetap berikan nikmat tetapi dalam bentuk ‘istidraj’ iaitu dalam kemurkaanNya atau dalam ketidakredhaanNya!! Sebab itu jika telah diturunkan bermacam-macam azab, hendaklah kita segera bertaubat. Kembalilah kepada Tuhan agar kita mendapat redhaNya.

Ingatlah gejala sosial akan terus melanda keluarga siapa sahaja. Semua kemungkinan boleh berlaku dan ianya akan semakin bertambah dan meruncing serta menakutkan. Jika kita tidak serius mencari jalan penyelesaian dari Tuhan, kita pasti akan menyesal satu masa nanti.

Lihatlah di sekeliling kita apa yang sedang terjadi. Kita pasti akur semuanya sedang mengasak kita untuk kita segera bertaubat dan kembali padaNya!

Jika sudah berbagai azab yang Tuhan timpakan pada negara kita Malaysia, sepatutnya para pemimpin mengajak umat untuk menginsafi diri dan bertaubat meminta ampun padaNya! Tapi pelik, kalau sudah sampai begini sekali Allah tunjukkan kuasaNya kepada kita, mengapa belum lagi kita mahu takut Allah dan rindu Nabi lagi? Mahu Allah dan Rasul buat apa lagi baru kita mahu insaf?

Sekian.
www.suaramuhajirin313.blogspot.com

Call Now
Directions