Tag Archives: Cinta

CINTA DAN PENGORBANAN TIDAK BOLEH DIPISAHKAN

Biasanya seorang kekasih rela berkorban apa saja untuk kekasihnya demi merealisasikan bukti cintanya. Biar apa pun kata nista orang, langsung tidak dipedulikannya. Buktinya, lihatlah pada seorang lelaki yang mencintai seorang perempuan. Kelihatannya macam orang yang hilang pertimbangan. Kerana segala fikirannya, masa, tenaga, harta, wang ringgit dan sebagainya, dikorbankan berhabis-habisan untuk cintanya. Hingga melupakan kepentingan diri sendiri.

Kalau ada orang yang mengatakan perbuatannya itu bodoh atau sudah gila, dia tidak ambil pusing, macam tidak didengarnya. Dia tidak terasa sakit hati dengan cemuhan-cemuhan, kritikan dan kata nista itu. Padanya, bila dia dapat berkorban atau berbelanja dengan memberi hadiah atau memberi sesuatu pemberian pada kekasihnya itu, ia satu nikmat, bukan menyusahkannya. Bahkan terasa indah dan bahagia serta seronok pula. Walaupun lahiriahnya kita nampak fizikalnya susah payah bekerja untuk itu, berhempas pulas mengumpulkan duit untuk menyediakan hadiah-hadiah itu.

Seperti juga orang yang sedang bertunang yang hanya tunggu diijabkabulkan. Inilah masanya dia berkorban habis-habisan. Habislah seluruh tenaga, fizikal, masa, wang ringgit dan harta dikerahkan untuk memikirkan bagaimana hendak memuaskan hati buah hatinya itu.Tentu dia akan lipatgandakan usaha-usaha lebih daripada biasa, bagi menawan buah hatinya semaksima mungkin. Tentu dia bekerja keras untuk cari duit belanja, bermati-matian untuk buat rumah dan membeli segala kelengkapan isi rumah sebagai persediaan menunggu hari perkahwinan atau hari pertemuan pertama itu. Pendek kata, buat kerja apa pun, semuanya untuk memikirkan cintanya. Itu sahaja. Di waktu itu wang ringgit payah hendak diberikan pada orang lain.

Itu baru gambaran cinta seseorang terhadap sesama makhluk yang tidak ada apa-apa jasa padanya. Sekadar terpikat pada rupa paras dan kecantikannya. Itu pun dia sanggup berkorban bermati-matian untuk membalas cinta kekasihnya. Demi menyenangkan hati orang yang dicintainya.
Bagaimana pula dengan orang yang bercinta dengan Tuhan?Bagaimana pula dia berkorban untuk membuktikan cintanya?
Infak fisabilillah (berkorban pada jalan Allah) mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredhai oleh Allah atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga, masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untukAllah.

Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk dirinya berehat atau langsung tidak rehat, kurang dapat kasih sayang atau langsung tidak dapat kasih sayang dan bermanja dengan isteri-isteri, suami, anak-anak dan keluarga. Rumah yang besar jadi kecil atau langsung tidak ada rumah.

Patut dapat kasih sayang, sudah tidak dapat lagi. Terpaksa tinggalkan anak-anak, isteri-isteri, suami, ibu ayah, saudara-mara, sahabat-handai, kampung halaman, harta, rumah tangga, tinggal jawatan, kedudukan, degri, menara gading dan tinggal segalagalanya kerana diuntukkan segala-galanya tadi buat mencari keredhaan Allah. Untuk perbuatan dan sikapnya itu, mereka sanggup menerima apa jua risikonya seperti sanggup menjadi miskin, dihina, difitnah, dikata, dicaci, dimaki, dikecam,ditohmah, diseksa hatta sanggup dibunuh sekalipun, demi semata-mata hendak menunaikan kehendak cinta agungnya, iaitu Allah.

Begitulah pengorbanan seseorang itu bilamana Allah sudah dijadikan Cinta Agungnya. Kerana cinta itu memanglah buta walau kepada apa dan siapa sekalipun, sama ada kepada isteri, kepada suami, kekasih, tunang atau kepada Allah. Pada saya, orang yang boleh berkorban atau berbelanja berhabis-habisan untuk Allah itu ialah orang yang sangat cinta dan mabuk dengan Allah. Yakni meletakkan Allah itu sebagai Cinta Agungnya mengatasi segala cinta yang lain.
Tidak salah rasanya kalau disebutkan mereka ini orang yang gilakan Allah.Hingga kerana-Nya, manusia sanggup susah dan mati. Bahkan kesusahan itu tidak dirasakan susah lagi.Sebaliknya susah itu dirasakan satu kebahagiaan dan kegembiraan bila dapat ditunaikan. Ianya sebagai hadiah atau pemberian untuk Cinta Agungnya. Itulah kepuasan walaupun dia sendiri susah untuk mendapatkannya.

Seorang mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sudah tentulah pengorbanannya lebih berganda-ganda lagi dalam semua hal untuk Allah. Pengorbanan itulah bukti rasa cinta pada Allah itu. Yang lain-lainnya sudah jadi kecil. Dia rela susah dan menderita bahkan sanggup berkorban apa saja demi Allah Cinta Agungnya itu.

Di waktu itu dia sudah benar-benar tajalli dengan Allah SWT. Oleh itu dia dapat menyempurnakan urusannya dengan Cinta Agungnya. Dengan membawa rasa cinta di hati yang memuncak inilah seseorang itu dapat berkorban untuk yang dicintainya. Kalau cintanya meminta apa saja sekalipun hak miliknya, akan sanggup dikorbankan. Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Kerana cintanya kepada Allah, Allah pun mengaku dialah kekasih-Nya yang digelar Habibullah. Yang mana segala tenaga, masa, kekayaan sepenuhnya dikorbankan untuk Allah.

Begitulah juga berlaku pada para Sahabat baginda yang lain seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Usman dan ramai lagi. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia. Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah Allah pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.

Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah kerana hendak membuktikan cintanya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.

Jadi, orang mabuk cinta Allah ini dia akan berkorban. Dengan pengorbanan itu lahirlah kemajuan dan tamadun Islam. Kerana merealisasikan cintanya pada Allah, bermacam-macam pengorbanan yang dapat dibuatnya. Sehingga terlahirnya tamadun itu. Gabungan dari hati-hati yang mabuk cinta ini akan dapat membangunkan jemaah dan negara serta empayar Islam. Inilah buahnya. Kemajuan atau tamadun itu adalah hasil perjuangan dan pengorbanan. Perjuangan dan pengorbanan adalah buah cinta umat Islam kepada Allah.

Contoh buah cinta lahirkan pengorbanan adalah seperti:

1. Memberi bantuan kewangan kepada pendakwah-pendakwah.

2. Membantu dengan harta untuk menegakkan agama Allah seperti membangunkan sistem pendidikan Islam, sekolah Islam, universiti Islam, membangunkan masjid, surau atau rumah-rumah kebajikan, rumah wakaf, membina kampung-kampung Islam, hospital secara Islam, ekonomi Islam, rumah anak-anak yatim, fakir miskin dan janda-janda terbiar, membina jalan raya dan jalan air atau tandas awam, memberi bantuan kewangan kepada orang yang menegakkan ekonomi Islam seperti membangunkan kilang atau projek-projek secara Islam, keluarkan biasiswa, bantu beli kenderaaan untuk kemudahan jemaah Islamiah, alat perhubungan bagi mempercepatkan pergerakan perjuangan Islam dan lain-lain lagi. Membantu tertegaknya pertanian secara Islam, mewakafkan tanah untuk pembangunan semua hal yang tersebut tadi, mencairkan seluruh harta kekayaan sebagai modal untuk membantu dalam semua sudut pembangunan
Islam.

Maka dengan pengorbanan itu lahirlah tamadun Islam seperti zaman Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafussoleh. Mereka telah pun korbankan segala-galanya untuk membuktikan cinta agung mereka. Rasulullah SAW berkorban selaju angin kencang. Sayidina Abu Bakar habiskan semua hartanya sehingga yang tinggal hanya Allah dan Rasul sahaja. Sayidina Umar Al Khattab tiga perempat hartanya habis dikorbankan. Sayidina Usman Affan pula korbankan separuh daripada hartanya dan begitulah para Sahabat yang lainnya. Walaupun miskin tapi tetap juga berkorban. Jika tidak ada pengorbanan, ertinya cinta itu adalah palsu. Cinta itu mesti dibuktikan dengan pengorbanan.

Di sini dapat difahami bahawa kesan daripada cinta Allah dan Rasulullah serta cintakan hari Akhirat, jadi pendorong kepada seseorang itu sanggup berkorban hingga dapat membangunkan kemajuan dan tamadun Islam. Kalau cinta kepada Allah dan Rasul tidak mendalam atau langsung tidak ada, maka seseorang itu tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Mungkin tangannya menghulurkan wang untuk jihad tetapi hatinya tidak ikhlas. Ada kepentingan atau ada udang di sebalik batu. Mungkin kerana ingin undi, ingin dipuji, ingin dibalas jasanya dan sebagainya. Maka lahirlah tamadun yang tidak bercorak Islam.

Bila seseorang itu cintanya kepada Allah dan Rasul tidak mendalam, maka dia tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Pengorbanan itu tidak wujud darinya. Kesannya, umat Islam tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan tamadun Islam. Juga tidak akan hidup bertolong bantu. Tenaga, fikiran, masa, wang ringgit dan harta dihabiskan untuk membangunkan sistem riba, hotel-hotel untuk kemungkaran, disko untuk puaskan nafsu, kilang atau faktori untuk ada peluang melabur atau untuk mendapat saham kosong, membangunkan sekolah atau universiti untuk dapat ilmu yang banyak tetapi niat untuk pangkat dan jawatan, bukan untuk Allah dan Rasul.

Pembangunan atau tamadun begini, walau macam mana pesat sekalipun ia adalah kerana cinta nafsu dan diri sendiri. Ini akan menjadikan manusia itu rosak seperti sombong, gila dunia, rakus, mementingkan diri dan sebagainya. Inilah yang banyak berlaku di dunia hari ini. Kemajuan dan tamadun yang begitu tinggi, tidak dapat menyelamatkan insaniah manusia. Kemajuan yang tidak memberi ketenangan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan. Oleh itu pengorbanan yang dicurahkan itu tidak dianggap pengorbanan. Ia diibaratkan barang buruk yang dihadiahkan kepada kita. Begitulah pengorbanan yang Allah minta tetapi kita balas dengan kejahatan.

ANTARA SYARIAT DAN TAUHID – Mana yang patut didahulukan?

Umat Islam mesti memahami erti sebenar syariat dan
tauhid dan dimana letak duduknya. Mesti tahu yang mana
satu patut didahulukan dan mana satu yang lebih
utama.Umat Islam juga mesti sedar apakah syariat itu
timbul dari tauhid atau tauhid itu timbul dari
syariat. Kalau semua ini tidak difahami dengan betul,
kita boleh tersalah langkah dalam beragama. Agama kita
boleh jadi tunggang terbalik. Kita boleh kehilangan
Tuhan walaupun kita serius beragama.

Sebenarnya perkara yang pertama yang berlaku dalam
agama ialah soal aqidah atau ketauhidan iaitu soal
mengenal Tuhan. Setelah Tuhan dikenali, barulah timbul
keperluan syariat, sama ada syariat lahir yang kita
sebut juga Fiqah, mahu pun syariat batin atau apa yang
kita namakan tasawuf.
Syariat ialah cara atau kaedah bagaimana kita dapat
memperhambakan diri kepada Tuhan atau cara kita
membesarkan Tuhan setelah Tuhan itu kita kenali
sungguh-sungguh.

Contohnya setelah kita kenal Tuhan dan kita rasa kita
ini hamba dan Tuhan itu Khaliq, maka kita akan
terdorong untuk menyembahnya. Tetapi kita tak boleh
sembah Tuhan ikut suka hati kita. Sebab itu perlu
rujuk kepada syariat untuk mengetahui cara Tuhan mahu
kita menyembahNya. Begitulah juga dengan hal-hal lain
dalam kehidupan seperti pendidikan, dakwah,
masyarakat, pergaulan, perniagaan dan sebagainya yang
Tuhan mahu kita tegakkan.
Kita tak boleh memandai-mandai dalam hal ini atau
mengikut saja sistem orang Nasrani atau Yahudi. Tuhan
hendak kita buat itu ikut cara yang Tuhan mahu. Untuk
itu syariat diturunkan.
Jadi mengenal Tuhan mesti berlaku dahulu. Kemudian
baru timbul keperluan bersyariat. Ini sesuai dengan
hadis yang bermaksud:
“Awal-awal agama, mengenal Allah”

Kalau kita belum kenal Allah, atas dasar apa kita dan
untuk siapa kita hendak beragama?

Tambahan lagi, kalau kita belum betul-betul kenal
Tuhan, sudah tentu kita belum berjiwa tauhid. Kalau
belum berjiwa tauhid, sudah tentu belum khusyuk dengan
Tuhan. Kalau belum khusyuk dengan Tuhan, sudah tentu
belum bertaqwa. Kalau belum bertaqwa, kita tidak ada
kekuatan jiwa untuk melaksanakan dan menegakkan
syariat. Hanya orang yang bertaqwa saja yang mampu
memperjuangkan syariat sungguh-sungguh.

Jadi kenal Tuhanlah menjadi pendorong untuk kita
mengamalkan syariat. Kenal Tuhanlah yang memberi
kekuatan untuk mengamalkan syariat. Orang yang belum
kenal Tuhan tidak akan mampu mengamalkan syariat
secara bersungguh-sungguh dan istiqamah.

Begitu jugalah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.
Selama 13 tahun di Mekah, Rasulullah hanya mengajar
para sahabat tentang Tuhan dan tentang ketauhidan.
Rasulullah tidak mengajar apa-apa tentang syariat.
Hanya apabila di Madinah, barulah turun hukum-hakam
tentang syariat. Maknanya para sahabat diperkenalkan
kepada Tuhan terlebih dahulu sehingga mereka cinta
dan takut dengan Tuhan sebelum mereka didedahkan
kepada syariat. Apabila datang hukum syariat yang
berbagai-bagai rupa, mudah sahaja para Sahabat
menegakkannya.

Oleh itu, dalam mendidik anak-anak atau pun
masyarakat, kita tak boleh utamakan syariat sebelum
kita selesaikan soal tauhid atau soal mengenal Tuhan
terlebih dahulu. Tuhan mesti diperkenalkan. Selepas
itu barulah diperkenalkan syariatNya. Kalau tidak
maka akan timbullah syariat yang tidak dikaitkan
dengan Tuhan.
Orang yang agamanya hanya syariat semata-mata tanpa
dikaitkan dengan Tuhan ialah orang yang nampak seperti
beragama tapi tidak beraqidah. Hakikatnya dia tidak
beragama kerana agama itu ialah sistem penyembahan
atau sistem peribadatan yang ada hubungkait dengan
Tuhan. Kalau tidak ada hubungkait dengan Tuhan, ianya
bukan agama. Ia hanyalah ideologi. Ideologi memang
tidak ada hubungkait dengan Tuhan.

Orang yang bersyariat atau beribadah tanpa Tuhan,
syariatnya dan ibadahnya kosong dan tidak berjiwa.
Kerana Tuhan tidak dilibatkan sama, maka tidak ada
kemanisan, keindahan dan kepuasan dalam ibadahnya.
Walaupun ibadahnya banyak tetapi ianya tidak memberi
kesan apa-apa pada hatinya dan peribadinya. Akhlaknya
tidak berubah malahan bertambah rosak. Mereka tidak
terlepas dari membuat perkara-perkara yang keji dan
mungkar.

Orang yang bersyariat tanpa Tuhan selalunya memandang
syariat itu besar. Tuhan tidak besar. Mereka
memperjuangkan syariat tetapi tidak memperjuangkan
Tuhan. Padahal syariat itu turun untuk membesarkan
Tuhan. Mereka hendak paksa syariat ke atas manusia
termasuk hukum hudud dan sebagainya, tetapi tidak mahu
membawa atau memperkenalkan Tuhan kepada manusia
sehingga manusia boleh jatuh cinta dan takut dengan
Tuhan. Oleh itu tujuan sebenar mereka beragama telah
tersasar. Walaupun mereka nampak seperti beragama,
tetapi mereka sebenarnya kehilangan Tuhan. Mereka
beragama tetapi tidak beraqidah.

Orang yang bersyariat tanpa Tuhan akan mengejar pahala
serta fadhilat dalam beribadah dan bukan untuk menagih
redha, rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka merasakan
ibadah mereka itu boleh membeli syurga. Mereka lupa
bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga
kerana amalan mereka. Tidak juga Rasulullah SAW
sendiri. Manusia masuk syurga hanya kerana rahmat
Tuhan. Fadhilat dan pahala adalah urusan Tuhan. Kalau
kita beribadah kerana Tuhan, nescaya Tuhan akan
kurniakan pahala dan fadhilatnya. Tetapi kalau kita
beribadah kerana pahala dan fadhilat, siapakah yang
akan memberi pahala dan fadhilat itu? Siapakah yang
akan memberinya kalau tidak Tuhan? Oleh itu kenapa
ketepikan Tuhan yang memberi pahala dan fadhilat.

Orang yang membesarkan pahala dan fadhilat akan hilang
takut dengan dosa. Mereka mengangap dengan mengambil
wudhuk akan terhapus dosa. Bila sembahyang akan
terhapus dosa. Bila naik haji akan terhapus
dosa.Walaupun ini benar tetapi ia bentuk fadhilat.
Hakikat ini tidak boleh digunakan untuk meremeh-remeh
dan meringan-ringankan dosa.Kesannya mereka sudah
tidak takut lagi dengan dosa kerana merasakan dosa
terlalu mudah untuk dihapuskan. Akhirnya mereka hilang
takut dengan dosa dan dengan Tuhan itu sendiri.

Itu sebabnya kita lihat ramai orang yang nampaknya
beragama dan kuat beribadah, tetapi dalam masa yang
sama mereka terjebak dengan berbagai-bagai maksiat.
Ramai juga yang dengan mudah boleh murtad dan
meninggalkan Islam atas alasan yang terlalu kecil
seperti hendak kahwin dengan jejaka yang bukan Islam,
walhal sebelum itu mereka berjubah dan bertudung labuh
dan pandai baca Quran dan tidak pernah tinggal
sembahyang. Inilah orang-orang Islam yang tidak
mengikat hubungan atau telah memutuskan hubungan
dengan Tuhan dan hanya mengikat diri dengan syariat
semata-mata.Lagi banyak mereka beribadah, lagi jauh
mereka dengan Tuhan.

Orang yang beribadah kerana pahala dan fadhilat dan
yang beribadah kerana Tuhan ibarat dua orang anak yang
berkhidmat kepada ibu mereka. Seorang berkhidmat
kerana setiap kali dia berkhidmat kepada ibunya, dia
diberi upah. Kalau ibunya tidak menjanjikan upah, maka
dia enggan berkhidmat.
Seorang lagi anak berkhidmat kepada ibunya tanpa minta
upah. Ada upah atau tidak ada upah, dia tetap setia
berkhidmat kepada ibunya.Apabila ditanya kenapa, dia
menjawab bahawa ibunya telah melahirkan dia. Kalau
ibunya tidak ada, maka dia pun tidak ada. Dia
berkhidmat hanya kerana ibunya itu ibunya dan dia
adalah anak. Sudah sepatutnyalah anak berkhidmat untuk
ibunya. Inilah sepatutnya sikap kita terhadap Tuhan.

Oleh itu, jangan kita hanya menyogok hal-hal syariat
sahaja kepada anak-anak kita dan masyarakat seperti
soal sembahyang, puasa, zakat, baca Quran, hukum hudud
dan sebagainya. Kita perlu banyakkan lagi usaha untuk
membawa mereka mengenal Tuhan, untuk merasakan mereka
itu adalah hamba kepada Tuhan. Kita mesti berusaha
untuk menanam di hati mereka rasa cinta dan takut
dengan Tuhan.Kalau ini dapat kita lakukan, maka soal
syariat akan jadi mudah. Orang yang sudah cinta dan
takut dengan Tuhan akan ghairah melakukan syariat
kerana itulah jalan baginya untuk membesarkan Tuhan
yang dicintainya dan untuk taat kepada Tuhan yang
ditakutinya. Orang yang cinta dengan Tuhan sudah tentu
ghairah untuk membuat apa sahaja yang disukai
Tuhannya. Orang yang takut dengan Tuhan sudah tentu
bimbang untuk membuat sesuatu yang tidak disukai atau
yang dibenci Tuhannya.

KISAH CINTA DAN RINDU UWAIS AL QARNI DENGAN RASULULLAH SAW

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan, kulitnya kemerah-merahan, dagunya menempel di dada selalu melihat pada tempat sujudnya, tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya, ahli membaca Al Qur’an dan menangis, pakaiannya hanya dua helai sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya untuk selendangan, tiada orang yang menghiraukan, tak dikenal oleh penduduk bumi akan tetapi sangat terkenal di langit. Dia, jika bersumpah demi Allah pasti terkabul. Pada hari kiamat nanti ketika semua ahli ibadah dipanggil disuruh masuk Syurga, dia justru dipanggil agar berhenti dahulu dan disuruh memberi syafa’at, ternyata Allah memberi izin dia untuk memberi syafa’at sejumlah qobilah Robi’ah dan qobilah Mudhor, semua dimasukkan Syurga tak ada yang ketinggalan kerananya.

Dia adalah “Uwais al-Qarni”. Ia tak dikenal banyak orang dan juga miskin, banyak orang suka tertawakan, mengolok-olok, dan menuduhnya sebagai tukang membujuk, tukang mencuri serta berbagai macam umpatan dan penghinaan lainnya. Seorang fuqoha’ negeri Kuffah, kerana ingin duduk dengannya, memberinya hadiah dua helai pakaian, tapi tak berhasil dengan baik, kerana hadiah pakaian tadi diterima lalu dikembalikan lagi olehnya seraya berkata :“Aku khawatir, nanti sebahagian orang menuduh aku, dari mana kamu dapatkan pakaian itu, kalau tidak dari membujuk pasti dari mencuri”.

Pemuda dari Yaman ini telah lama menjadi yatim, tak punya sanak famili kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa. Untuk mencukupi kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai penggembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk sekadar menopang kesehariannya bersama Sang ibu, bila ada kelebihan, ia pergunakan untuk membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti keadaannya. Kesibukannya sebagai penggembala domba dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya, ia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya. Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad SAW. yang telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tak ada sekutu bagi-Nya.

Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya sangat menarik hati Uwais, sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad SAW secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbarui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.

Alangkah sedihnya hati Uwais setiap melihat tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah “bertamu dan bertemu” dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang ia sendiri belum.Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih, tapi apalah daya ia tak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah, dan yang lebih ia beratkan adalah sang ibu yang jika ia pergi, tak ada yang merawatnya.Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mendapat cedera dan giginya patah karena dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Kabar ini akhirnya terdengar oleh Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada beliau SAW, sekalipun ia belum pernah melihatnya.

Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tak terbendung membuat hasrat untuk bertemu tak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dari dekat ? Tapi, bukankah ia mempunyai ibu yang sangat memerlukan khidmatnya dan tak rela ditingalkan sendiri, hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa. Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan pergi menziarahi Nabi SAW di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau memaklumi perasaan Uwais, dan berkata:“Pergilah wahai anakku ! temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang”.

Dengan rasa gembira ia berkemas untuk berangkat dan tak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran tetangganya agar dapat menemani ibunya selama ia pergi.
Sesudah mengucap selamat tinggal sambil menciumi sang ibu, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak kurang lebih empat ratus kilometer dari Yaman. Medan yang begitu ganas dilaluinya, tak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi SAW yang selama ini dirindukannya. Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi SAW, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah Sayyidatina ‘Aisyah r.a., sambil menjawab salam Uwais. Segera saja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata beliau SAW tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tak berada di rumah.

Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi SAW dari medan perang. Tapi, bilakah beliau pulang ? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman,” Engkau harus lekas pulang”.Kerana ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi SAW. Ia akhirnya dengan terpaksa mohon izin kepada Sayyidatina ‘Aisyah r.a. untuk segera pulang ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi SAW dan melangkah pulang dengan perasaan haru.

Sepulangnya dari perang, Nabi SAW langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahwa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit). Mendengar perkataan baginda Rosulullah SAW, Sayyidatina ‘Aisyah r.a. dan para sahabatnya terpegun. Menurut maklumat dari Sayyidatina ‘Aisyah r.a., memang benar ada yang mencari Nabi SAW dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakit sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah SAW bersabda : “Kalau kamu semua ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.” Sesudah itu beliau SAW, memandang kepada Sayyidina Ali k.w. dan Sayyidina Umar r.a. dan bersabda : “Suatu ketika, apabila kamu bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.
Tahun terus berjalan, dan tak lama kemudian Nabi SAW wafat, hingga kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq r.a. telah berpindah tangan kepada Khalifah Umar r.a. Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi SAW. tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada Sayyidina Ali k.w. untuk mencarinya bersama. Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, beliau berdua selalu menanyakan tentang Uwais al-Qorni, apakah ia turut bersama mereka.

Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai-sampai ia dicari oleh beliau berdua. Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qorni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar r.a. dan sayyidina Ali k.w. mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka. Rombongan itu mengatakan bahwa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qorni.

Sesampainya di kemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w. memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi SAW. Memang benar ! Dia penghuni langit.

Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut, siapakah nama saudara ?“Abdullah”, jawab Uwais.
Mendengar jawaban itu, kedua sahabatpun tertawa dan mengatakan : “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah.
Tapi siapakah namamu yang sebenarnya ?”
Uwais kemudian berkata: “Nama saya Uwais al-Qorni”.
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, ia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali k.w. memohon agar Uwais berkenan mendo’akan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah:“Sayalah yang harus meminta do’a kepada tuan-tuan”.
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata:“Kami datang ke sini untuk mohon do’a dan istighfar dari anda”.
Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qorni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdo’a dan membacakan istighfar.
Setelah itu Khalifah Umar r.a. berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya.
Segera saja Uwais menolak dengan halus dengan berkata : “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.

Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam tak terdengar beritanya.Tapi ada seorang lelaki pernah bertemu dan ditolong oleh Uwais , waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju tanah Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin topan berhembus dengan kencang. Akibatnya hempasan ombak menghantam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat.Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya. Lelaki itu keluar dari kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
“Wahai waliyullah,” Tolonglah kami !” tetapi lelaki itu tidak menoleh.
Lalu kami berseru lagi,” Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!”
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata: “Apa yang terjadi ?”“Tidakkah engkau melihat bahwa kapal dihembus angin dan dihantam ombak ?”tanya kami.“Dekatkanlah diri kalian pada Allah ! ”katanya.
“Kami telah melakukannya.”“Keluarlah kalian dari kapal dengan membaca bismillahirrohmaanirrohiim!”
Kami pun keluar dari kapal satu persatu dan berkumpul di dekat itu. Pada saat itu jumlah kami lima ratus jiwa lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami berikut isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami ,”Tak apalah harta kalian menjadi korban asalkan kalian semua selamat”.
“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan ? ”Tanya kami.
“Uwais al-Qorni”. Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya, ”Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”
“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membagi-bagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” tanyanya.
“Ya,”jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan sholat dua rakaat di atas air, lalu berdo’a.
Setelah Uwais al-Qorni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membagi-bagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tidak satupun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar kabar kalau Uwais al-Qorni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebutan untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafani, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafaninya. Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke pekuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Dan Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan, “ketika aku ikut mengurusi jenazahnya hingga aku pulang dari mengantarkan jenazahnya, lalu aku bermaksud untuk kembali ke tempat penguburannya guna memberi tanda pada kuburannya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas kuburannya. (Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qorni pada masa pemerintahan sayyidina Umar r.a.)
Meninggalnya Uwais al-Qorni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat mengherankan. Sedemikian banyaknya orang yang tak dikenal berdatangan untuk mengurus jenazah dan pemakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.
Penduduk kota Yaman tercengang.Mereka saling bertanya-tanya : “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qorni ? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala domba dan unta ? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa “Uwais al-Qorni” ternyata ia tak terkenal di bumi tapi menjadi terkenal di langit.

WATAK ORANG KAYA DAN ORANG MISKIN DI AKHIR ZAMAN

http://1.bp.blogspot.com/-3QTwWR0d5xM/TjTLs9Z8CiI/AAAAAAAABnE/x7QNkToGK_4/s1600/rumah+orang+kaya.jpg

Di zaman moden, di akhir zaman ini,
Perbezaan antara orang kaya dan orang miskin
Dalam setengah-setengah hal tidak sama,
Masing-masing ada gaya hidup yang tersendiri tidak serupa,

Orang yang kaya atau yang berada,
Rumah mereka sebiji-sebiji,
Satu sama lain berjauh-jauhan jaraknya,
Mereka lebih banyak berhubung dengan alat-alat kehidupan, daripada manusia,
Mereka bersahabat dengan kereta, dengan comunicator,
Sedikit sekali dengan manusia,
Hidup sendiri-sendiri, dengan manusia prajudis sahaja,
Kalau pun mereka berkawan dengan manusia
Hanya dengan keluarga,
Itu pun berkawan suami isteri kerana benda dan harta,
Satu sama lain prajudis sahaja,
Dengan orang gaji dibuat macam hamba,
Berjumpa dengan manusia, rasmi-rasmi sahaja,

Orang miskin, lain pula,
Di setengah-setengah hal, ada budaya yang tersendiri pula,
Rumah mereka dekat-dekat dan rapat-rapat,
Setiap hari boleh bertemu muka,
Tapi sekadar kita pandang dia, dia pandang kita,
Namun hati tidak seia sekata,
Satu sama lain curiga mencuriga,
Mereka selalu bertemu tidak rasmi,
Tapi bualannya hanya dunia,
Seolah-olah Tuhan dan akhirat tidak ada,
Perhubungan suami isteri nampaknya erat,
Tapi krisis rumah tangga jadi budaya,
Hidup bersama tidak ada bahagia,
Tapi kerana tuntutan biologi damai seketika,

Kedua-dua golongan ini sekarang fikiran dan jiwa mereka sudah rosak binasa,
Kerana tidak kenal Tuhan dan cinta dunia,
Mereka ini kalaulah bukan perintah Tuhan,
Di dalam tanah dikuburkan,
Elok dibakar sahaja atau dicampak di dalam lautan,
Tapi kerana perintah Tuhan kenalah ditanam.

Selasa,
08.11.05-01
06 Syawal 1426 H,
7.35 Malam,

SEBAB-SEBAB ROSAKNYA MANUSIA

Manusia rosak banyak sebabnya. Ada sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam tiga perkara yang pokok.

Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.

Manusia Sudah Kehilangan Tuhan

Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan. Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup manusia bukan lagi untuk Tuhan.

Manusia sudah tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan tuhan-tuhan palsu yang lain. Secara sedar atau tidak, Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat Tuhan.

Hatta, orang agama yang lahirnya nampak macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan. Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan. Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka.

Segala apa yang manusia fikirkan, segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata. Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan.

Manusia sudah tidak yakin lagi dengan Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka. Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)

Ramai manusia percaya kepada Tuhan. Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada matlamat dancara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.

Bilamana manusia melupakan Tuhan, maka Tuhan pun melupakan mereka. Bilamana manusia memutuskan hubungan mereka dengan Tuhan, maka Tuhan pun berlepas diri dari mereka. Tinggallah manusia terumbang-ambing dalam arus kehidupan dunia. Tuhan tidak memimpin mereka lagi. Tuhan tidak membela mereka lagi. Manusia hanyut dalam kesesatan dan dibawa arus menuju kehancuran. Hidup manusia menjadi kucar-kacir, kelam-kabut dan haru-biru. Manusia dilanda berbagai gejala dan penyakit sosial. Hilang kasih sayang.

Punca Rosaknya Manusia

Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.

Manusia hilang tempat mengadu. Hilang tempat merujuk.Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.

Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.

Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”

Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.

Manusia Ketandusan Kepimpinan

Manusia sudah tidak terpimpin lagi kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak berfungsi sebagai manusia lagi.

Pemimpin yang ada di dunia sekarang sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin. Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara,kewangan, khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.

Pemimpin dalam Islam bukan setakat menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani.Pemimpin dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa rakyat kepada Tuhan.Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.

Soal keperluan lahir juga penting tetapi ia jatuh nombor dua.Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi. Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.

Para pentadbir dan pemimpin dunia seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Mana mungkin mereka mampu berbuat demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka sendiri pun kucar-kacir.Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.

Paling baik, mereka hanya boleh membawa pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat. Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan terletak kepada keselesaan hidup.Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan fitrah yang terlaksana.

Keperluan fitrah manusia yang utama ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri kepada Tuhan.Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.

Sistem Hidup Manusia Sudah Punah

Sistem hidup manusia di muka bumi ini tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia yang begitu dhaif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.

Di antaranya:

1. Sistem pendidikan sekular yang hanya bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi pencinta dan pemburu dunia.Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup nafsu-nafsi,zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya, manusia menjadi baik, berguna, bertolong-bantu dan berkasih sayang.

2. Sistem ekonomi ciptaan manusia terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia, maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk menjual barangan. Berlaku monopoli, oligopoli,kartel, menetapkan harga yang menekan dan berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana hendakkan keuntungan yang banyak.Walhal sistem ekonomi Islam menekankan khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari syariat dan hukumhakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat keredhaan Tuhan.

3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Mudamudi diajak menghayati rock, pop, metal, berpoya-poya, bergaul bebas dan berjinak-jinak dengan arak dan dadah.Hasilnya, moral muda-mudi runtuh. Timbul bohsia, bohjan,anak luar nikah, buang anak, penagihan dadah dan macammacam lagi. Walhal sistem kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan menghidupkan jiwa mereka.

Kalau hidup manusia mahu dibetulkan, tidak dapat tidak,ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.

Pertama, manusia perlu dibawa kepada Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.

Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut cara yang Tuhan mahu.

Namun, di antara ketiga-tiga perkara ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang berusaha mengubahkannya.

Call Now
Directions