Tag Archives: didikan
KASIH SAYANG YANG SEBENAR
Kasih sayang ibu dia bertanggungjawab kepada anak-anaknya
Bukan hanya bersuka ria, bergurau senda, dengan anak-anaknya
Diberi Tuhan, diberi pelajaran, diberi didikan
Bukan sekadar diberi makan minum, rumah dan pakaian
Kasih sayang ibu bapa tidak terlalu dimewahkan, tidak terlalu
dimanjakan
Dilatih bekerja, didisiplinkan kehidupan mereka
Ada time belajar, ada time rehat, ada time ibadah
Ada time tidur, ada time bermain, ada time makan dan minum
Kasih sayang ibu dan ayah utamakan Akhirat, dunia tidak diabaikan
Cintakan Tuhan, takutkan-Nya, taat kepada-Nya
Diasuh berakhlak mulia, tanam kasih sayang sesama manusia
Berkawan setia, utamakan kawan, bekerjasama
Kasih sayang ibu bapa nasihat selalu diberi
Kepada anak-anak yang masih di dalam jagaannya
Sekali-sekala dihukum anak-anaknya yang melampaui batas
Tapi jangan sampai cacat dan memudharatkan
Begitulah kasih sayang ibu bapa kepada anak-anaknya
Kasih sayang anak bukan dimanja-manjakan dan dimewah-mewahkan
Bukan diajak bergurau senda, bergelak ketawa
Apa sahaja kehendak anak-anaknya diikutkan sahaja
Biasanya anak yang mewah, dimanjakan pula, tidak faham erti susah
Setelah dewasa nanti dia tidak tahan berhadapan dengan kesusahan
Di waktu itu dia akan cari jalan mudah
Mungkin mencuri, menipu, meminta-minta, hendak hidup lakukan jenayah
10.3.2004
RAMADHAN BULAN OVERHAUL HATI
Allah Taala menjadikan manusia dijadikan sekali
di mana kekuatannya dan kelemahannya
Tuhan tahu bagaimana menguatkan yang lemah
dan bagaimana menyuburkan yang kuat
Allah Taala tahu di mana kebaikan mereka,
dan di mana kejahatan mereka
Memang Tuhan ada bekalkan manusia ada benih baik ada benih jahat
Tuhan tahu dari punca apa dia baik dan dari punca apa dia jahat
Hatilah wadahnya yang boleh menerima kebaikan dan kejahatan
Di dalam masa setahun manusia terdedah dengan
berbagai-bagai ajaran dan cabaran
Cabaran itu seperti tekanan hidup, sibuk dengan kerja,
berhadapan dengan kerenah manusia
Berlaku juga ujian-ujian yang mendadak,
kemalangan yang tidak disangka,
melihat, mendengar perkara yang merosakkan
Ditambah lagi hasil didikan, bacaan semuanya ini
memberi kesan yang negatif kepada jiwa kebanyakan orang
Kecuali orang yang kuat dengan Tuhan
jiwanya tidak rosak dan tidak memberi kesan
Cabaran-cabaran itu tidak merosakkan jiwa mereka,
bahkan bertambah kuat dengan Tuhan
Dengan rahmat Tuhan dan kasih sayang-Nya
Tuhan perintahkan puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah tambahan
Ramadhan boleh membaik pulih kejahatan
Kerosakan manusia setahun hanya sebulan
Seolah-olah Ramadhan bulan overhaul hati insan
Seperti kereta yang sudah lama dipakai,
banyak kerosakan telah berlaku terutama enjin, perlu overhaul
Overhaullah caranya membaikpulihkan kereta
yang perjalanannya sudah tidak berapa betul
Manusia yang sudah rosak jiwanya, fikirannya,
sikap dan tingkahlakunya dipulihkan melalui didikan Ramadhan
Didikan Ramadhan merupakan satu pakej pendidikan
di antara satu sama lain kuat-menguatkan
Siangnya puasa, sembahyang ditambah lagi dengan Tarawikh,
disusul dengan membaca Al Quran
Ditambah lagi dengan perkara-perkara sampingan,
zikir, tasbih, tahmid, salawat, tafakur
digalakkan bersedekah dan pemurah,
perbualan yang menambah kesedaran
Keseluruhan itu asasnya adalah mujahadah melawan nafsu
menentukan didikan Ramadhan berkesan atau tidak bekesan
Didikan Ramadhan ada mujahadah, ada didikan puasa, didikan sembahyang
Ditambah lagi didikan Al Quran dan lain-lain lagi tambahannya
Mujahadah ertinya memerlukan kekuatan jiwa,
memaksa membuat yang disuruh,
memaksa meninggalkan larangan
Larangan itu sama ada yang lahir mahupun yang batin kenalah tinggalkan
Mujahadah ertinya memaksa, terseksa, membencikan, menjemukan, meletihkan
Kalau jiwa tidak kuat usaha tidak dapat diteruskan, atau buat tanpa kesungguhan
Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan,
Pemangkin ialah puasa yang hati dan fikirannya puasa,
sembahyang yang dapat dihayati,
didikan Al Quran yang difaham dan dijiwai
Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan
dan menajamkan rasa bertuhan
Di antara didikan Al Quran di sana ada khabar gembira,
ada amaran, ada suri teladan juga ada kesedaran dan keinsafan
Didikan puasa rasa lemah, rasa hamba,
rasa timbang rasa, menyedarkan dan menginsafkan
Daripada 3 pakej didikan yang utama itulah
menjadikan pemangkin menguatkan jiwa, menyuburkan jiwa, meneguhkan keyakinan
Apabila jiwa kuat, jiwa subur, mujahadah pun kuat
Apabila jiwa kuat dan subur hikmah Ramadhan
daripada 3 pakej didikan tadi boleh bangunkan insan
Jika hikmah Ramadhan itu dapat dimiliki lahirlah manusia luarbiasa
Ertinya manusia yang dioverhaul di bulan Ramadhan
mengembalikan manusia kepada fitrah sucinya
Lahirlah manusia yang luar biasa,
iaitu manusia yang benar-benar rasa kehambaan
Manusia yang tawadhuk, sabar, redha, berkasih sayang,
bertimbang rasa, pemurah, kerjasama
Malu akan jadi pakaian, tawakal menjadi perasaan, keyakinan kental
Apabila sifat ini dapat dimiliki, automatik mazmumah terbasmi
Sombong, tamak, bakhil, pemarah, hasad, dendam, gila puji, gila nama, mati
Inilah dia orang yang menang dan berjaya didikan Ramadhan
Selepas Ramadhan manusia itu kembali suci seperti fitrahnya yang semulajadi
Orang ini sahajalah yang layak berhari raya
Kerana berjaya mengembalikan kesucian fitrahnya, hari raya namanya
Hari raya ertinya mengembalikan fitrah suci lagi murni
Kalau fitrah yang suci murni ini kekal sepanjang tahun,
Ramadhan yang akan datang hanya memberi cahaya lagi, bukan overhaul
Begitulah didikan Ramadhan ramai orang yang gagal, sedikit sangat yang berjaya
ABU MUHAMMAD
25.11.2002
Selepas Tarawih