Tag Archives: dunia
BANGUNKAN HATI UNTUK DAPATKAN AKHLAK YANG MULIA
Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah.
Budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan.
Dari pembangunan jiwa, lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri. Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik.
Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: Maksudnya: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.” Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia.
Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan, apabila dia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahui olehmu itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimus-solatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pem- bangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pem- bangunan material dan fizikal. Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin.
Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.
Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)
Sabda Baginda lagi: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)
Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengab memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orangNya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama-ul-amilin, paling tidak orang yang soleh.
Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: akhlak kepada Allah
Kedua: akhlak kepada manusia
Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakkal, khusyuk, khuduk. Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka.
Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.
Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.
ALLAH ITU “OWNER” – PEMILIK KERAJAAN DUNIA DAN AKHIRAT
Di dalam kehidupan kita seharian, kita semua termasuk orang yang lebih mementingkan dunia dan kesenangannya. Dunia dan nafsu menjadi fokus dalam segenap hal dan keadaan. Semakin hari semakin tamak dengan dunia. Aktiviti mengejar dunia berlaku secara serius dan sepenuh hati.
Di sisi Allah, akhirat itu ‘lebih utama dan lebih kekal’. Hanya orang bodoh sahaja yang mengusahakan yang tidak utama dan mengutamakan sesuatu yang akan binasa. Sepatutnya akhirat yang kekal itulah keutamaan kita kerana kita akan menanggung segala-galanya sampai bila-bila. Sepatutnya kehidupan dunia hanya digunakan sebagai jambatan menyampaikan ke akhirat, Sepatutnya usaha-usaha kehidupan di dunia hanya sekadar dunia tempat persinggahan sementara yang ianya akan pasti binasa.
Orang bertaqwa itu ialah orang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Masa hidup seharian mereka lebih banyak mempunyai rasa hati yang takutkan Allah daripada yang lain. Orang sebegini adalah orang pilihan. Mereka sudah benar-benar menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi. Tentulah Allah yang menjadi pemilik dan owner alam ini tersangat tahu untuk membela, membalasi dan mengganjari mereka.
Sebab itu mereka dikatakan golongan yang tidak mempunyai sebarang rasa takut dan bimbang dengan kehidupan dunia. Mereka tidak bersedih hati kalau berdepan dengan sebarang kesusahan dunia. Mereka menganggapnya sebagai lumrah kebiasaan yang mesti dihadapi dengan jiwa yang positif – menyerahkan segala-galanya pada Allah.
Jika wakil mana-mana kerajaan dunia pun mendapat kemudahan dan keistimewaan apatah lagi wakil kerajaan Tuhan. Lebih-lebih lagilah mereka dicukupkan Tuhan, dibela, dibantu, dipermudahkan dan dimurahkan rezeki. Adakah kita juga mendakwa Allah itu miskin untuk membela hamba-hambaNya yang bertaqwa seperti yang dijanjikanNya?
Kalau kita masih beranggapan sedemikian, jelaslah kita bukan orang beriman. Tuhan adalah pembela orang-orang bertaqwa. Tuhan itu maha kaya raya. Dia owner, pemilik bahkan ‘CEO’ kita semua. Dia yang akan memberi ‘gaji’ kepada semua hamba sahaya yang bekerja untukNya.
Jika mata hati kita celik, kita akan ‘melihat; wang ringgit dari Tuhan berterbangan diberikan kepada kita untuk kita meneruskan hidup. Contohnya, jika setiap sedutan nafas kita mendapatkan oksijen, kita perlu membayarnya RM1.00 ertinya JUTAAN ringgit yang Tuhan bayarkan untuk kita. Itu belum dikira nikmat Allah yang lain yang tidak terkira untuk kelangsungan hidup kita seharian!!
Adakah kita mahu melihat Allah memasukkan wang ringgit yang banyak ke dalam akaun kita untuk kita keluarkannya melalui mesin ATM, baru kita mahu percaya pada kekayaan Tuhan? Jika hati kita masih berdetik sedemikian, jelaslah kita belum lagi beriman. Atau iman kita masih boleh dipersoalkan.
Allah adalah pembela bagi hamba-hambaNya. Dialah yang memberi makan, memberi pakaian, menyediakan tempat tinggal, mengubat kesakitan, memberi kenderaan, kerehatan, kesenangan dan kebahagiaan. Tidak ada satu zarrah pun yang kita miliki yang terpisah dari Tuhan. Bahkan Tuhanlah yang mengurniakan segala-galanya kepada kita.
Kalau begitu kenapa kita tidak usahakan menjadi orang bertaqwa? Kenapa kita tidak serius mendidik anak bangsa kita menjadi generasi bertaqwa yang mana kesenangan dunia akhirat mereka dijamin Allah SWT?
Sukarnya untuk orang yang cintakan dunia melihat ini semua sebagai suatu yang realiti dan boleh terjadi. Payahnya orang-orang yang tidak yakin rezeki manusia di tangan Tuhan untuk menerima hakikat ini dan merealisasikannya.
Janganlah tidak percaya bahawa semua ini boleh terjadi dengan izin Allah jika kita sepakat bersatu hati menjayakannya. Ranjaunya memang banyak tetapi lakukanlah yang terbaik. Selebihnya berserahlah kepada Tuhan. Dia maha tahu membantu setiap usaha yang kita laksanakan.
sumber: www.suaramuhajirin313.blogspot.my
ANAK-ANAK, CAHAYA MATA, HARTA YANG BOLEH MENYELAMATKAN KITA DI AKHIRAT
Kebanyakan dari kita masing-masingnya ada mempunyai anak dan mana-mana yang belum mempunyai anak di suatu masa kelak dengan izin Allah SWT, akan pula mempunyai anak. Kerana itu ilmu pendidikan anak-anak ini amatlah amat penting, supaya kita dapat mengetahui cara-cara bagaimana kita hendak mendidik anak-anak kita. Di dalam sepotong hadis Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang kanak-kanak yang telah berumur 7 tahun hendaklah kamu perintah ke atasnya akan sembahyang. Manakala kanak-kanak itu telah sampai umur 10 tahun, apabila dia tidak mahu sembahyang, hendaklah kamu pukul akan dia.”
Berdasarkan hadis ini dan juga apa yang telah diceritakan di dalam kitab-kitab, mula-mula sekali kita mendidik akan anak-anak kita ialah ketika berumur 7 tahun paling kurang. Tetapi yang sebaik-baiknya waktu kita mendidik anak-anak kita ialah dari awal-awal lagi. Di dalam hadis di atas pendidikan awal-awal kita lakukan kepada anak-anak kita ialah menyuruh dia bersembahyang dan tidak perkara-perkara yang lain. Ini adalah kerana di antara syariat lahir yang terpokok sekali ialah sembahyang. Ertinya, Rasulullah SAW menyentuh pokok di dalam pendidikan anak-anak kerana apabila persoalan pokok ini dapat dilakukan, perkara-perkara yang lain akan mengikut dengan sendiri.
Jadi, Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kita bahawa mendidik anak-anak itu hendaklah bermula daripada umurnya 7 tahun, paling tidak. Justeru itu, kita ingin menghuraikan cara-cara bagaimana kita hendak melakukan pendidikan itu agar anak-anak kita memiliki akhlak yang mulia itu adalah perkara yang paling penting sekali. Maksudnya, selepas Iman dan Islam dan perkara-perkara yang asasi di dalam Islam, mendidik anaklah yang mesti kita utamakan. Yang demikian, ia menjadi wajib ain bagi setiap orang.
Kalau kanak-kanak itu masih ada ibu bapanya, maka bertanggungjawablah pada kedua ibu bapanya. Kalau ibu bapa kanak-kanak itu tidak ada dan sekiranya yang menjadi penjaga kanak- kanak itu abangnya, maka pada abangnyalah tanggungjawab itu terpikul. Begitu juga, kalau yang menjadi penjaga kanak-kanak itu bapa saudaranya, maka bapa saudaranyalah yang bertanggungjawab. Dan kalau kanak-kanak itu menjadi anak angkat, maka bapa angkatnyalah yang bertanggungjawab.
Begitu pentingnya syariat Islam meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada kita. la adalah menjadi wajib ain bagi kita iaitu selepas mengetahui rukun Iman dan rukun Islam serta perkara-perkara yang menjadi asasi dalam ajaran Islam seperti bab bersuci dan sebagainya, maka adalah mustahak kita mengetahui cara-cara bagaimana hendak mendidik anak-anak mengikut yang dikehendaki oleh ajaran Islam supaya anak-anak kita itu menjadi orang mukmin yang berakhlak mulia.
Mengapakah ajaran Islam telah meletakkan mendidik anak-anak sebagai perkara yang begitu penting? Ini adalah kerana anak-anak adalah amanah Tuhan kepada dua ibu bapanya. Dengan kata-kata yang lain, seorang anak itu adalah nikmat Allah yang telah Allah serahkan kepada kita untuk kita jaga, kita pelihara dan kita asuh dengan sebaik-baiknya mengikut ajaran Al Quran dan sunnah supaya dia menjadi orang yang beribadah kepada Allah SWT. Maka oleh kerana anak-anak itu adalah amanah Allah kepada ibu bapanya atau kepada sesiapa saja yang menjadi penjaga kepada anak-anak itu, di akhirat kelak, Allah akan tanya dia bagaimana dia memelihara dan mendidik anak-anak itu. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Setiap orang kamu adalah penggembala (pemimpin) dan setiap penggembala itu akan ditanya tentang apa yang digembalanya (dipimpinnya).”
Ertinya, di akhirat kelak selepas Allah tanya tentang diri kita, Allah akan tanya pula tentang diri anak-anak kita yang mana termasuklah isteri kita. Bagaimana kita mendidik mereka. Adakah kita mendidik mereka secara yang dikehendaki oleh Al Quran dan sunnah? Adakah kita suruh mereka menyembah Allah? Adakah kita mendidik mereka agar mereka memiliki akhlak yang baik? Adakah kita mendidik mereka agar mereka mencintai akhirat? Semua ini akan Allah tanya nanti. Dan sebab itulah Allah berfirman, “Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka.” Jadi kenalah kita mendidik diri kita dan kemudian mendidik ahli-ahli keluarga kita mengikut yang dikehendaki oleh Allah kerana di akhirat nanti kita akan ditanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:”Seorang kanak-kanak itu dilahirkan suci bersih. Dua ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Majusi atau Nasrani.” Mengikut keterangan hadis ini, kanak-kanak yang dilahirkan itu adalah suci murni. Terpulanglah kepada kedua ibu bapanya atau siapa-siapa yang menjadi penjaganya sama ada abangnya atau bapa saudaranya, datuknya atau bapa angkatnya untuk mencorakkan anak itu untuk menjadi Yahudikah atau Majusikah atau Nasranikah atau mulhid iaitu orang yang tidak beragama. Maka itu, bersih dan murninya anak semasa lahir itu adalah seperti bersihnya kain putih. Kalau kain yang putih itu menjadi hitam selepas itu, maka kedua ibu bapanyalah yang menghitamkannya. Begitu juga kalau kain itu di kemudian harinya menjadi hijau atau berbelang-belang dan sebagainya, ibu bapanyalah atau penjaganyalah yang bertanggungjawab menjadikan anak-anak itu berwarna demikian.
Sebab itulah semasa kanak-kanak itu sebersih kain putih, hendaklah kita jaga sungguh-sungguh supaya ia tidak tercalit oleh sebarang warna lain. Kita mesti pelihara supaya sampai ke akhirnya dia putih. Iaitu dari lahirnya dia putih sehingga dia berdepan dengan Allah pun mesti putih juga. Jangan pula, dari Allah kepada kita dia putih tetapi apabila berdepan dengan Allah nanti dia hitam atau berbelang-belang atau tercalit dengan bermacam-macam warna. Kalau demikian, kita sudah tidak menjaga hak Allah dengan betul, kita sudah mensia-siakan nikmat Allah atau kita telah rosakkan amanah Allah atau dengan kata-kata lain kita telah khianat kepada Allah SWT.
Jadi, ibu dan ayah atau siapa-siapa saja yang menjadi penjaga kepada anak-anak adalah mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu mempunyai anak yang ramai. Kalau sekiranya dia tidak boleh didik dan pelihara anaknya itu secara yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul, maka beratlah keadaannya ketika di akhirat nanti. Apabila ditanya oleh Allah tentang anak-anaknya serta isterinya, dia tidak boleh lepas. Sebab itulah dalam soal ini, apabila Allah tanya seseorang itu tentang dirinya dahulu, banyak orang boleh lepas. Ertinya dia boleh masuk syurga. Tetapi apabila ditanya tentang anak isterinya, ramai yang tidak lepas. Akibatnya, dia tidak jadi masuk syurga kerana Allah tarik balik. Dan dia dimasukkan ke dalam neraka. Sebab hendaklah kita ingat sungguh-sungguh bahawa apabila kita sudah ada mempunyai anak, jangan kita bermudah-mudah tanggungjawab mendidik dan menjaganya.
Anak-anak yang telah Allah berikan kepada kita itu adalah sebahagian dari diri kita. la adalah satu juzuk daripada diri kita. Atau dia adalah sebahagian daripada darah daging kita. Jadi, anak- anak kita itulah yang menjadi penyambung hidup kita di masa hadapan. Yang demikian, orang yang hendak menyambung hidup kita ini hendaklah kita jaga baik-baik supaya kalau kita boleh berbuat baik serta boleh berbakti kepada Allah SWT, dia juga boleh berbuat baik dan boleh berbakti kepada Allah SWT. Kalau semasa hayat kita boleh beribadah kepada Allah, maka anak-anak kita boleh berjuang dan berjihad, anak-anak kita juga boleh menyambung perjuangan dan jihad kita. Dan kalau kita sedikit sebanyak ada ilmu pengetahuan, mudah-mudahan anak-anak kita juga boleh menyambung ilmu pengetahuan kita itu.
Di sini dapatlah kita fahamkan juga bahawa anak-anak kita itu adalah generasi kita di masa hadapan. Oleh yang demikian, masa depan generasi kita sebagai umat Islam adalah ditentukan oleh corak kita mendidik di masa sekarang. Bagaimana corak dan suasana masyarakat Islam di masa akan datang adalah bergantung kepada corak dan suasana kita mendidik anak-anak kita sekarang. Sepertimana corak dan suasana masyarakat Islam kita di masa sekarang atau di zaman kita ini, ia sebenarnya adalah mengikut corak dan suasana pendidikan yang telah dilakukan oleh orang-orang tua kita di zaman dahulu. Bagaimana orang-orang tua kita dahulu telah mendidik kita, lihatlah bagaimana keadaan dan suasana masyarakat kita di hari ini. Jadi, kalau kita hendak tahu bagaimana generasi kita di masa akan datang, dapatlah kita nilai daripada cara kita mendidik anak-anak kita di masa sekarang ini.
Sehubungan dengan ini, sekarang ini tentulah kita sudah dapat mengagak bagaimana umat Islam kita di masa akan datang atau bagaimana corak generasi kita di masa depan. Kita tentu telah dapat menilai bagaimana bentuk umat ini di masa hadapan kerana selama ini kita telah membentuk mereka melalui didikan dan asuhan yang telah kita lakukan.
Begitulah nilainya anak-anak kepada kita. Mereka adalah menjadi penyambung hidup kita, penyambung ibadah dan amal bakti kita, penyambung perjuangan dan jihad kita serta merekalah penyambung generasi kita di masa hadapan. Walhasil, anak-anak itu adalah harta yang paling berharga kepada kita selepas Iman dan Islam serta perkara-perkara yang asasi di dalam Islam. Dia boleh menguntungkan kita di dunia dan boleh menjadi jariah kita di akhirat. Sebab itulah anak-anak itu adalah dikatakan “cahaya mata” kita. Mengapakah dikatakan anak-anak itu sebagai “cahaya mata”? Ini adalah kerana mata yang melihat mereka itu menusuk sampai ke hati. Ketenangan mata yang melihat anak-anak itu membawa kepada ketenangan hati.
Jadi, anak-anak kita itu boleh menyejuk dan mententeramkan hati kita. Dia boleh menjadi “cahaya mata” kita yang “menghiburkan hati kita dengan syarat dia dapat kita didik betul-betul mengikut yang dikehendaki oleh Allah SWT. Ertinya, kalau anak-anak itu dapat kita didik secara Islam, di dunia lagi, dia dapat menenangkan hati kita. Di dunia lagi kita sudah seronok dibuatnya. Manakala di akhirat nanti, anak-anak itu jadi jariah. Bermakna, setiap kebajikan yang dibuat oleh anak-anak itu, kita mendapat pahalanya sama.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang yang menunjukkan kebaikan itu, dia mendapat pahala sepertimana orang yang membuat kebaikan itu.”
Oleh itu anak-anak yang dapat melakukan kebaikan, anak-anak yang dapat berlaku taat kepada Allah, anak-anak yang menjadi orang bertaqwa dan orang yang beramal oleh hasil daripada didikan kita, di akhirat nanti dia menjadi jariah kepada kita. Setiap apa saja kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak kita itu, mendapat pahala darinya.
Nisbah kalau di dunia ini kita telah dapat mendidik anak-anak kita hingga dia dapat berjawatan baik yang mana hasil dari didikan itu, tiap-tiap bulan dia mengirim kita belanja sebanyak $50 atau $100 dan sebagainya. Begitulah juga di akhirat, kerana kita telah dapat mendidik dia menjadi orang yang baik dan taat kepada Allah, maka setiap kebaikan yang dilakukannya, pahalanya datang kepada kita seperti kiriman register di dunia dahulu.
Sebab itulah, anak-anak itu boleh memberi keuntungan kepada kita di dunia dan dia menjadi jariah kita di akhirat. Di dunia dia boleh menyejukkan hati kita kerana akhlaknya begitu baik. Dia menyenangkan hati kita, menolong kita serta membantu kita sama ada berupa tenaganya ataupun wang ringgitnya. Manakala di akhirat nanti setelah kita mati, dia terus menerus membantu dan menolong kita dengan mengirimkan pahala dari setiap amal kebaikan yang dilakukannya.
Dalam hal ini, di dalam kitab-kitab ada diceritakan berbagai-bagai peristiwa mimpi oleh orang-orang soleh. Walaupun peristiwa-peristiwa mimpi tidak boleh kita jadikan hukum, namun kita harus ingat bahawa peristiwa-peristiwa mimpi itu adalah dari orang-orang soleh dan mimpi orang-orang soleh selalunya benar terutamanya orang-orang soleh di akhir zaman. Kerana di akhir zaman, nabi dan rasul sudah tidak ada. Maka tinggallah orang-orang soleh untuk memberi pimpinan dan panduan kepada umat. Kerana itu, mimpi-mimpi mereka selalunya benar. Bahkan ada satu keterangan hadis yang mengatakan bahawa mimpi orang mukmin itu adalah satu perempat puluh tujuh daripada kenabian. Manakala dalam satu keterangan hadis yang lain pula mengatakan bahawa mimpi orang mukmin itu adalah satu perempat puluh enam daripada kenabian. Inilah keistimewaan yang diberi oleh Allah kepada orang-orang mukmin di akhir zaman yang bilangan mereka itu adalah amat kecil. Banyak daripada mimpi-mimpi mereka itu adalah benar sebagai menghibur mereka. Jadi, di dalam kitab-kitab ada diterangkan cerita-cerita dari mimpi orang soleh ini. Dan di dalam satu cerita ada diriwayatkan satu mimpi dari satu orang soleh. Ceritanya, dia bermimpi berjalan di atas suatu tanah perkuburan. Dia lihat semua orang yang di dalam kubur itu masing-masing keluar mengais-ngais sampah seolah-olah mencari-cari satu barang yang hilang, macam ayam mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Dan di kubur itu suasananya gelap gelita. Dan di dalam suasana yang gelap gelita itulah masing-masing tadi mencari-cari.
Tetapi orang soleh itu terlihat ada satu kubur yang suasananya terang benderang bercahaya-cahaya. Di dalamnya dia nampak ada satu orang sedang duduk berehat-rehat di atas tempat yang indah. Bila diamatinya orang itu, rupanya dia adalah seorang kenalannya yang sudah lama meninggal dunia. Orang soleh itu pun menghampirinya dan berkata kepada kenalannya itu, “Wahai saudara, mengapakah saya itu masih hidup dan bekerja di pasar sekian-sekian.”
Kemudian orang soleh itu pun terjaga dari tidurnya. Dia pun memikir-mikir tentang mimpinya lantas dia mahu membuktikannya untuk melihat sendiri anak yang disebut oleh taulannya yang sudah mati itu. Dia pun pergilah ke pasar tempat yang diceritakan oleh taulannya yang sudah mati dalam mimpinya semalam. Sampai di sana dia pun bertanyalah kepada orang ramai tentang nama polan-polan. Orang-orang pun menunjukkan kepadanya akan orang tersebut. Dia pun pergi menemui orang itu dan didapatinya benarlah yang dia sedang menjual ikan dan sayur di pasar seperti yang diceritakan oleh ayahnya di dalam mimpi semalam. Lantas orang soleh itu pun berkata: “Wahai orang muda, malam tadi saya bermimpi bertemu ayahmu. Kedudukannya begitu istimewa dan dia sedang berehat-rehat dan bersenang-senang.“ Katanya, dia mendapat keistimewaan itu kerana anaknya.
Jika kita tidak mendidik mereka dengan cara yang betul, mereka sebaliknya akan menjadi tuan-tuan besar di rumah dan akan memperhambakan ibu dan ayahnya. Hal ini memang banyak sekali berlaku di akhir zaman ini, anak-anak menjadi tuan-tuan besar manakala ibu dan ayahnya menjadi hamba-hambanya. Salahnya adalah terletak kepada ibu dan ayah itu sendiri kerana mereka mendidik anak-anak untuk nilai ekonomi semata-mata. Anak-anak itu mereka dorong sepenuh-penuhnya untuk belajar ilmu pengetahuan duniawi sahaja hingga dapat kelulusan tinggi tetapi sedikit pun tidak dididik secara Islam. Tidak sedikit pun anak-anak itu dididik secara Al Quran dan sunnah.
Anak-anak itu boleh berjaya dalam pelajarannya hingga dapat degri dan dapat berjawatan besar, bergaji besar, berkereta besar dan berumah besar. Seterusnya pandai pula cakap besar. Kalau di rumah, dia boleh perintah ibu orang-orang kita pun ada berkata, kanak-kanak itu ibarat kain putih yang suci bersih. Sehubungan demikian, waktu kanak-kanak ibarat kain putih itulah, dia mesti kita jaga supaya kain putih itu tidak tercalit sebarang warna lain. Jangan sampai kain yang putih itu bertukar warna. Biarlah dari awal lagi dia ibarat kain putih sampailah bila dia berhadapan dengan Allah pun tetap ibarat kain putih. Jangan sampai kain putih yang Allah berikan kepada kita tetapi kain putih itu telah bertukar warna bila kita kembalikan kepada Allah nanti. Allah akan murka dan kita akan dihukum dengan neraka. Dan kata Imam Ghazali lagi, waktu kanak-kanak ibarat kain putih itu, dia boleh menerima sebarang lukisan. Dia boleh menerima apa saja yang kita lukis padanya. Dan dia juga boleh cenderung kepada apa saja yang kita lenturkan kepadanya. Ke mana saja yang kita mahu, dia akan condong ke arah itu. Dan kalau kita pertahankan tegaknya yang menyebabkan anak-anak itu berpegang kepada satu-satu agama di kemudian harinya adalah kerana kita sebagai ibu dan ayahnya yang mendorongnya.
Ertinya, dia boleh berfaham Yahudi, kalau tidak di sudut akidahnya boleh jadi di sudut syariatnya. Begitu juga dia boleh berfaham Nasrani, kalau tidak akidahnya boleh jadi syariatnya. Dan seterusnya, dia boleh berfaham Majusi, kalau tidak di segi akidahnya boleh jadi di segi syariatnya. Dan dia juga boleh berfaham Mulhid iaitu tidak bertuhan dan tidak beragama. Dia juga boleh berfahaman komunis, faham sosialis, faham nasionalis atau sebarang apa saja fahmaan kalau kita dorong ia ke arah fahaman-fahaman itu.
Kalau begitu, semasa anak-anak kita itu ibarat kain putih, hendaklah kita didik dia sungguh-sungguh. Hendaklah kita hantar dia ke sekolah-sekolah yang ada pendidikan dan pengajian Al Quran dan sunnah dan didikannya juga adalah didikan Al Quran dan sunnah. Jangan kita hantar dia ke sekolah-sekolah yang tidak berpendidikan Al Quran dan sunnah serta yang pengajiannya bukan Al Quran dan sunnah. Jangan kita hantar dia ke tempat-tempat yang berpendidikan sekular semata-mata, tidak berpendidikan secara keakhiratan.
Kemudian kata Imam Ghazali lagi, jika anak-anak itu dibiasakan membuat baik dan diajar dengan kebiasaan membuat baik, dia akan membesar di atas kebaikan itu. Dan dia akan tumbuh dengan subur di atas kebaikan itu. Akhirnya, dia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dia mendapat kebahagiaan di dunia kerana ibu dan ayahnya telah mendidik dia kepada agama Islam yakni kepada kebaikan. Adapun hati orang yang beragama, dia sentiasa bahagia walaupun berhadapan dengan ujian-ujian. Inilah yang dimaksudkan dalam doa yang kita pohonkan kepada Allah SWT: “Ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.”
Jadi, kebaikan di dunia yang dikurniakan oleh Allah SWT ialah hatinya cenderung kepada kebaikan kerana dia dididik kepada agama Islam dan natijahnya hatinya sentiasa tenang dan bahagia walaupun dia ditimpa dengan berbagai-bagai ujian. Kebaikan di dunia atau kebahagiaan di dunia bukan bererti mempunyai wang yang banyak, mempunyai kereta besar, rumah besar, gaji besar dan sebagainya. Yang dikatakan bahagia itu hati seseorang itu yang bahagia dan hatinya yang sentiasa tenang dan tenteram. Hati seseorang itu tidak akan bahagia kalau dia tidak dididik secara Islam.
Dari itu, kata Imam Ghazali, kanak- kanak yang dididik oleh ibu dan ayahnya dengan membuat kebajikan-kebajikan di dalam ajaran Islam, dia akan tumbuh dengan subur di atas kebaikan itu. Kanak-kanak yang seperti itu, di dunia lagi sudah mendapat kebahagiaan. Kerana, agama Islam yang diterimanya daripada kecil hinggalah besar, itulah yang menyebabkan dia bahagia. Di samping bahagia di dunia dia juga ada jaminan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat iaitu duduk menikmati kebahagiaan yang kekal abadi di dalam syurga Allah. Semua ini hanya tercapai apabila kanak-kanak itu dididik secara Islam.
Orang yang tidak dididik secara Islam tidak akan mencapai kebahagiaan di dunia walaupun wangnya banyak, rumahnya besar, keretanya besar dan selalu pula cakap besar. Pengalaman kita telah menunjukkan betapa orang-orang yang demikian membunuh dirinya sendiri. Kemudian, kanak-kanak yang telah dididik membuat kebaikan itu hingga dia boleh menyembah Allah, dia boleh berpuasa, dia boleh bersembahyang, dia boleh bersedekah dan berkorban, dia boleh berjuang dan berjihad, dia boleh berkasih sayang dan lain-lainnya, hakikatnya Allahlah yang telah memberikan dia kebaikan itu. Tetapi yang menyebabkan dia dapat membuat kebaikan itu ialah pendidiknya sama ada ibu dan ayahnya atau pun penjaganya.
Adapun orang-orang yang telah mendidik dia hingga dia biasa dengan kebaikan sebenarnya telah sama-sama bersyarikat dan telah sama-sama mendapat sahamnya. Ertinya, siapa-siapa yang telah menjadi pendidik kepada anak-anak itu, dia juga turut mendapat pahala daripada Allah SWT. Ramailah yang akan mendapat saham ini terutamanya ibu dan ayahnya atau datuknya atau abang dan kakaknya atau ibu dan bapa angkatnya. Dan akan turut mendapat saham bersama tentulah cikgu-cikgunya, ustaz-ustaznya, sahabat-sahabatnya dan siapa saja yang pernah mengajar dia tentang kebaikan. Jadi kalau kita lihat di sini guru-guru dan ustaz-ustaz yang terlibat mendidik anak-anak muridnya membuat kebaikan, dia adalah orang-orang yang bertuah. Bukan saja anak-anaknya sendiri membuat kebaikan. dia mendapat pahalanya malah anak-anak muridnya membuat kebaikan pun dia mendapat pahala yang sama. Kalau 100 anak muridnya telah dididik membuat kebaikan, maka 100 banyak kali pahala yang diterima daripada anak muridnya. Kalau 1000 orang anak muridnya membuat kebaikan, dia mendapat pahala dari 1000 anak muridnya. Yang demikian siapa- siapa saja yang menjadi tok-tok guru, ustaz-ustaz, mualim, cikgu-cikgu dan para pendidik, bertuahlah mereka itu kalau mereka dapat mendidik anak- anak muridnya membuat kebaikan dengan mengenal Allah yang disembah, mengenal ibadah dan bakti kepada Allah, mengenal akhirat lebih daripada mengenal dunia serta dapat mendorong anak-anak muridnya itu mencintai Allah daripada mencintai yang Iain-Iain.
Yang demikian, amat beruntunglah penjaga kepada kanak-kanak yang telah dapat mendidik anak-anaknya dengan membuat kebaikan. Dia telah mendapat saham percuma daripada kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh anak-anaknya. Kalau anak-anak itu bersembahyang, pahala sembahyang diperolehinya, kalau anak-anak itu berpuasa, pahala puasa itu diperolehinya, kalau anak-anak itu bersedekah, berjuang dan berjihad dan lain-lainnya, semua pahala itu juga diperolehinya. Hak ini adalah kalau sekiranya anak-anak itu dapat dididik secara Islam.
Sebaliknya, kata Imam Ghazali, jika anak-anak itu dibiasakan dengan kejahatan dan melakukan kecuaian seperti binatang, dia akan mendapat celaka dan akan binasa. Dia akan celaka di dunia dan celaka di akhirat. Ertinya, kalau anak-anak itu dibiasakan oleh sesiapa yang mendidiknya dengan kejahatan dan kemungkaran sahaja tidak dibiasakan dengan mengenal Allah, tidak dibiasakan dengan menyembah Allah, tidak dibiasakan hanya dengan perkara jahat dan mungkar sahaja, dibiasakanndengan membuat fasik, dibiasakan dengan akhlak jahat dan sebagainya, maka malanglah kanak-kanak itu. Dia akan mendapat kecelakaan dan kebinasaan bukan saja di akhirat bahkan di dunia lagi dia akan celaka dan binasa.
Adapun celaka dan binasa di dunia yang diterimanya adalah dalam bentuk jiwanya dan tidak pernah tenang, sentiasa resah dan gelisah. Dia tidak tahu langsung hendak membuat kebaikan melainkan sentiasa saja membuat kejahatan seperti tidak mahu sembahyang, tidak mahu puasa, tidak mahu mengaji fardhu ain, tidak mahu bersedekah, tidak mahu berjuang dan berjihad dan sebagainya. Yang suka dilakukannya hanyalah membuat kefasikan dan kemungkaran, berakhlak jahat, sombong, bongkak, takabur, hasad dengki, dendam mendendam, bergaduh, berjudi, minum arak, berzina, rasuah, menipu, mencuri, merompak dan akhirnya membawa kepada melakukan pembunuhan.
Jadi, itulah akibatnya yang diterima oleh kanak-kanak yang tidak dididik secara Islam itu. Akibat dari itu juga, jiwanya sentiasa tidak tenang dan akhirnya dia boleh kena tangkap dan kena penjara. Ertinya, di dunia lagi dia telah tertangkap dan terhukum. Tidak ada siapa yang suka kepadanya. Semua orang benci kepadanya. Oleh itu, di dunia lagi dia telah mendapat kebinasan dan kecelakaan sedangkan di akhirat kecelakaan dan kebinasaan yang lebih dahsyat akan menunggunya iaitu neraka Allah, waliyazubillah.
Kalau begitu, amat malang sekalilah seorang kanak-kanak yang tidak dididik dengan kebaikan, tidak dididik dengan agama Islam tetapi dididik dengan kejahatan semata-mata. Dia akan mendapat celaka di dunia dan celaka di akhirat. Maka itu siapa-siapa saja yang bertanggungjawab memeliharanya samada yang menjadi penjaganya, sama ada ibu dan ayahnya, sama ada guru-gurunya, sama ada ustaz-ustaznya serta pendidik-pendidiknya, semuanya sama-sama mendapat saham di akhirat nanti. Erti-nya, siapa-siapa yang terlibat dalam mendidik kanak-kanak itu dengan kejahatan semata-mata, dia juga akan menerima kecelakaan di akhirat nanti iaitu menerima azab neraka Allah. Maka dengan sebab itulah Allah peringatkan kepada kita di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.”
Allah peringatkan kita demikian kerana memelihara anak-anak dan ahli keluarga kita daripada api neraka itu adalah penting dan mustahak kerana kalau mereka menerima azab neraka Allah di akhirat nanti, kita juga tidak akan dapat lepas lari. Mereka mendapat kecelakaan dan kebinasaan neraka Allah akibat daripada pendidikan yang telah kita lakukan ke atas mereka. Mereka terjerumus ke dalam neraka akibat dari kecuaian kita mendidik mereka mengikut yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul serta mengikut Al Quran dan sunnah. Mereka mendapat celaka di dunia dan celaka di akhirat akibat dari kita sentiasa membiasakan mereka dengan kejahatan semata-mata. Kita sebagai ibu dan ayah, tidak akan dapat lepas lari dari perbuatan mereka itu. Kalau mereka menerima celaka di dalam neraka Allah, kita juga akan menerima nasib yang sama seperti mereka.
Setiap dosa yang mereka terima daripada kejahatan yang mereka lakukan, kita juga akan menerima dosanya. Dan oleh kerana itulah, sebelum anak-anak kita itu menerima bermacam-macam fahaman selain dari fahaman Islam, untuk dididik semula secara Islam adalah amat payah sekali. Kalaulah dia sedar ketika telah lewat umur nanti, payah sekali dia hendak mendidik dirinya secara Islam. Begitu juga dengan ibu dan ayah, kalau di akhir-akhir nanti dia mendapati anaknya itu banyak melakukan kesalahan dan kejahatan akibat dari penerapan fahaman-fahaman yang salah ketika kecilnya, ketika itu bila dia hendak didik semula secara Islam sudah payah. Sebab itulah ada setengah-setengah ibu dan ayah, apabila dia lihat anak dia sudah banyak melakukan kemungkaran, sudah derhaka dengan Tuhan dan derhaka pula dengannya, dia akan mengeluarkan kata-kata, “Apa boleh buat, dia sudah besar. Bukan senang kita nak suruh dia buat baik. Bukan senang kita nak suruh dia sembahyang. Sudah takdir Allah. Nabi-nabi pun ada yang tidak berjaya mendidik anak-anaknya.”
Cakap-cakap seperti ini hanya hendak mencari jalan keluar yang sedikit pun tidak diterima oleh Allah. Nabi-nabi walaupun ada yang tidak berjaya mendidik anak-anaknya, tetapi mereka telah mendidiknya sungguh-sungguh mengikut yang dikehendaki oleh Allah. Cuma, tidak berjayanya didikan itu kerana sudah ditakdirkan Allah demikian. Tetapi, kita dengan anak-anak kita berlainan; kita belum didik anak-anak kita dengan betul dan kita tidak didik anak-anak kita secara Islam. Yang kita didik ialah secara sekular, secara keduniaan dan secara yang lain dari Al Quran dan sunnah. Kemudian anak-anak kita itu jadi jahat, derhaka kepada Allah dan derhaka pula kepada kita. Ini adalah salah kita sendiri. Janganlah mudah- mudah kita hendak melepaskan diri dengan mencari alasan konon-konon nabi-nabi dan rasul-rasul pun ada juga yang tidak berjaya mendidik anak-anak dan isterinya.
Perlu kita ingat bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul itu telah berusaha mendidik anak mereka itu dari kecil lagi. Tidak berjayanya mereka itu kerana ada hikmah dari Allah iaitu hendak menunjukkan kepada nabi-nabi dan rasul bahawa tugas mereka hanyalah menyampaikan saja tetapi yang berkuasa mengubah hati manusia ialah Allah sendiri. Jadi bagi nabi dan rasul, apabila ditanya oleh Allah di akhirat nanti, mereka akan lepas tetapi, yang berkuasa mengubah hati manusia ialah Allah sendiri. Jadi bagi nabi dan rasul, apabila ditanya oleh Allah di akhirat nanti, mereka akan lepas tetapi, kita tidak akan lepas kerana awal-awal lagi anak-anak kita itu telah kita didik dengan fahaman-fahaman sekular awal-awal lagi kita telah hantar anak- anak kita mempelajari perkara-perkara yang lain dari mengenal Allah SWT Sedangkan, “Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”
Sebab itu, jangan mudah-mudah kita hendak mencari alasan apabila kita mendapati anak-anak itu sudah tersalah faham. Jadi, ketika anak-anak itu ibarat permata yang suci, masa itulah hendak kita didik supaya mengenal Allah, beribadah kepada Allah, berakhlak mulia dan sebagainya.
CUKUPLAH MATI SEBAGAI PENASIHAT
Dalam Al-Quran Tuhan berfirman:
Maksudnya: “Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya.” (Mulk: 2)
Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:
Tuhan jadikan mati dan hidup
Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya.
TUHAN JADIKAN MATI DAN HIDUP
Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukanTuhan yang menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan. Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka.
Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup. Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat.
Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun.
Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun
Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.
1. Penderitaan sewaktu mati
Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, “Si Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja,” itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita tahu.
Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
– mata terbeliak
– telinga kembang
– berbunyi macam kerbau berdengkur
Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah penderitaan mati.
Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang . Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat 300 tetakan.
2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, “Kau siapa?” Lembaga itu akan menjawab, “Aku ini kejahatan engkau.” Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?
3 . Penderitaan Padang Mahsyar
Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?
4. Penderitaan Neraka
Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?
Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.
Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.
Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?
Penderitaan dunia dan Akhirat itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di dunia ini macam digigit nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa. Walaupun sebenarnya kadarnya bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan. Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko dibaham singa mengapa? Sebenarnya bandingannya entah berapa ribu kali ganda.
Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah makan, apa yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke mana? Tak ke istana tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat, katalah kita makan epal, kita gigit kali pertama, lain rasanya, gigit lagi kali ke dua sudah lain pula rasa, bertambah sedap, bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut, tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak durian di dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah, dalam sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke tandas! Betapa indahnya Akhirat!
Di Syurga, orang yang paling lemah iman dapat 50 bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New York, tapi tidak dapat digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah orang hadiah kita 50 bandar macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan. Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu pun tentu letih, jemu, fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat, teringat sahaja sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya lebih tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York, niat sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja sudah sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang tidak jatuh. Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak takut.
Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua isteriisteri, kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk Syurga sama, habislah. Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah. Di Syurga kehidupannya tidak pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang masa. Teringat gaduh pun tak. Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.
Di Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun dahsyat, sebab itu Tuhan sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia kecil tidak ada harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai setakat sebelah sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.
Kerana dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka orang jahat diberi banyak, siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang baik-baik, makin tidak dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk para kekasih Tuhan, Tuhan berkata: “Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan di Syurga.”
Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat, munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi tumpuan pada Akhirat daripada dunia.
Dijadikan Hidup Untuk Diuji
Manusia hidup didunia tetapi tidak mahu diuji,tidak kenalah.Sebab itu sudah dasar Tuhan.Manusia kena akur dengan Tuhan.Setelah manusia diuji Tuhan hendak tengok siapa di antara manusia yang biasa,siapa yang jahat.Yang baik ke Syurga yang jahat ke Neraka.
Kalau mengikut pandangan kita,ujian itu benda yang negatif ujian itu ada dua bentuk:
1.Ujian yang menyukakan,menggembirakan, atau menyenangkan (positif)
Contoh: Menjadi raja, Perdana Menteri, pegawai tinggi, dapat kekayaan, harta banyak, ilmu banyak dan sebagainya. Itu di antara contoh besar.
2.Ujian yang tidak menyukakan,mendukacitakan atau menyusahkan (negatif)
Contoh:Lumpuh,sakit kronik,sakit yang teruk,tidak boleh jalan,itu paling azab.Ujian lain sudah ringan,contohnya orang mengata kita,isteri tidak sayang,suami benci.Luka atau kudis lagi ringanlah. Di antara dua ujian ini yang lebih mudah merosakkan manusia adalah ujian senang. Sebab itu Tuhan sebut yang banyak masuk Neraka adalah orang kaya, high class tetapi yang banyak masuk Syurga adalah orang miskin.
Padahal lojiknya kalau orang kaya atau high class tentu boleh buat baik, ada kuasa tolong orang, bantu orang, hiburkan orang. Tapi yang berlaku tidak begitu. Bila jadi kaya raya, jadi megah, sombong, ada kuasa, zalim. Bila ada yang mencabar, dia akan mencari jalan supaya orang tersebut dipersalahkan untuk ditangkap. Jadi lojik tidak boleh pakai.
Sebelum dapat, lojik berfikir: Kalau aku kaya, aku akan tolong orang,bantu orang,untuk dapat pahala besar.Tapi bila sudah jadi kaya,jadi jutawan,dia sudah jadi Tuhan pula.Seperti Firaun,dia raja tapi dia kata:Ana rabb,Ana Rabb.Dia mengaku Tuhan.
Jadi dari segi logiknya,sebelum kaya kita berfikir:kalau aku kaya aku akan buat baik,tolong orang,bantu orang,banyakkan sedeqah.Orang miskin aku tolong,kan baik.Bila sudah kaya apa yang terjadi?Sombong,bakhil,makin megah.Logik sudah tidak boleh pakai.Sebelum dapat pakai logik,kalau tak kaya,macamana nak buat baik?Macam mana nak naik haji?Tapi bila sudah kaya lain jadinya.
Begitu juga bila ilmu belum dapat,kita berfikir:Kalau dapat ilmu banyak boleh khidmat pada orang,boleh ajar orangaku boleh tunjuk jaln.Itu secara logik.Tapi bila sudah dapat kita jadi megah,sombong dan meghina orang yang bodoh.
Jadi sebenarnya ujian yang positiflah yang banyak merosakkan daripada ujian yang negatif.Tapi Tuhan Maha Bijaksana,segala apa yang dilihat di dunia ini Tuhan sudah siapkan hujah disini.Katalah ada orang kaya,berkuasa,diazab oleh Tuhan,kerana derhakanya,dia hendak bahas:Wahai Tuhan,aku kena azab ni sebab Engkau juga.Engkau bagi aku kaya,bagi aku kuasa ,sebab itu aku jadi jahat.Kalau Engkau tidak jadikan aku raja dan kaya,aku taklah kena azab.Lalu Tuhan memberi hujah dengan berkata:Bukankah ada di kalangan orang baik yang jadi raja?Nabi Sulaiman jadi raja,Nabi Daud jadi raja,Nabi Muhammad jadi raja tapi mereka lebih baik dari engkau.Sebab itu di kalangan Rasul ada tiga orang yang Tuhan jadikan raja supaya jadi hujah di Akhirat.
Kalau orang kaya pula kata pada Tuhan: “Saya ini jahat pasal Engkau jadikan aku kaya. Cuba Engkau tidak jadikan aku kaya, tentu aku tidak jahat.” Lalu Tuhan berkata: “Engkau mana lebih kaya dari Nabi Sulaiman?” Orang tersebut tidak boleh menjawab. Kemudian Tuhan berkata: “Dia lebih kaya dari engkau tapi dia jauh lebih baik dari engkau.”
Ada juga orang miskin masuk Neraka. Walaupun banyak juga orang miskin masuk Neraka tapi orang high class lebih banyak. Orang miskin pun berhujah pada Tuhan: “Macam mana aku tidak jahat, Engkau miskinkan aku. Aku nak makan terpaksa mencuri, terpaksa menipu. Kalau aku kaya tidaklah jadi begitu.”
Lalu Tuhan pun bertanya: “Engkau lebih miskin atau Nabi Muhammad lebih miskin?” Maka orang tersebut tidak boleh menjawab. Jadi Tuhan berkata, “Aku jadikan mati dan hidup untuk manusia diuji dengan ujian positif atau negatif, dengan maksud siapa di kalangan kamu yang baik.” Rupanya bila diuji, ramai orang jadi jahat. Jadi nampaknya dengan ujian yang menggembirakan, orang makin ramai jadi jahat berbanding orang yang diuji dengan kesusahan. Kalaupun jahat tidak sebesar yang dibuat orang yang senang.
Jadi hidup di dunia ini ujian. Kalau tidak kuat dengan Tuhan tidak takut dan cinta Tuhan, tidak pandang besar Akhirat, ujian apa pun sama ada positif atau negatif, kita akan tewas. Senang pun gagal, miskin pun gagal. Berkuasa pun gagal, tidak berkuasa pun gagal.
Sebab itu Tuhan adalah penting dalam hidup kita. Besarkan Akhirat itu penting, supaya apa pun ujian, kita tidak terjejas. Apapun ujian sama ada positif atau negatif, tidak mengubah kita, tetap Tuhan tujuan kita, kita tidak akan berubah.
Bahkan orang yang takut dan cinta Tuhan, kalau dia senang, misalnya dia jadi raja, banyak harta maka banyak kebaikan yang dia boleh buat seperti sedekah, tolong orang, bantu orang, selamatkan orang.
Tapi kalau orang miskin, susah, sakit, menderita, kalau dia takut dan cinta Tuhan, pahalanya lain. Kalau nikmat dia tidak dapat, kalau dia redha maka dia dapat pahala sabar. Kalau sabar apa kata Tuhan:
Maksudnya: “Kalau sabar, aku bagi hadiah tidak berkira, bighairi hisab.” (Zumar: 10)
Maka sudah kalah orang kaya. Orang miskin bila nampak ada orang jual durian, tetapi dia tidak boleh beli hingga tercicir air liur, maka Tuhan ampunkan dosanya. Itulah rahmat Tuhan. Kalau orang miskin teringin beli durian tetapi tidak boleh beli, maka itu adalah penghapusan dosa. Maha Adilnya Tuhan.
Selama ini kita selalu persoalkan Tuhan. Sebenarnya apa yang Tuhan buatkan sudah adil. Para Rasul adalah orang yang paling kenal Tuhan dan kenal kerja Tuhan, apa pun Tuhan buatkan pada dia, Ilia faham bahawa itu adalah keadilan Tuhan. Rasul-rasul sejak lahir sudah diuji tetapi tidak pernah susah hati. Contohnya, Nabi Ibrahim lahir di gua, Nabi Musa waktu bayi lagi dihanyutkan di sungai Nil.
Bahkan ada di antara kita beribadah kerana hendak pahala banyak tetapi mendapat lebih banyak pahala dengan tidak ibadah. Ada orang hendak pahala banyak lalu beribadah banyak, yang lain pula hendak pahala banyak tetapi ibadahnya tidak banyak. Biasanya orang yang hendak banyak pahala, dia akan banyak bersolat dan berpuasa, tetapi pahalanya tidak banyak. Sebenarnya pahala yang banyak adalah apabila sakit. Bila sakit selalu, itu dianggap banyak bersembahyang dan berpuasa. Sebab itu para Rasul sakit pun tidak merasa susah. Bagi mereka perkara itu adalah kerja Tuhan.
Untuk dapat pahala banyak, apakah kita larat sembahyang 1000 rakaat? Jadi kalau sakit panjang hendaklah redha. Itu kalau orang faham kerja Tuhan. Jadi bagi orang yang faham kerja Tuhan, bila ditimpa sakit, dia sabar, redha, kerana di situ lebih banyak pahalanya.
Bila orang miskin nampak makanan yang banyak tetapi tidak boleh beli kerana tidak mampu, di situlah keampunan Tuhan. Selalunya kita kata, “Kenapa Tuhan buat begini?” Isteri menyakitkan kita itu pahala. Tuhan buat itu untuk bagi pahala. Lebih baik isteri meragam dan redha dengannya. Lain kali kalau isteri celupar mulut, kita kata elok-elok, nanti pahala di catit. Bila dia berhenti rugilah, “Cakap lagilah jangan berhenti lagi, ini income aku.” Lama-lama isteri malu sendiri. Kalau kita faham kerja Tuhan, kita akan seronok dengan Tuhan.
Sekian.
NASIHAT IMAM AL-GHAZALI
Pada suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau mengajukan 6 pertanyaan.
Pertanyaan Pertama, ”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, kawan-kawan ,dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu betul, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah betul. Tapi yang paling betul adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kendaraan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Pertanyaan yang ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, lautan dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al A’Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan ke empat, “Apa yang paling berat di dunia ini?”. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban itu benar, kata Imam Ghazali. Tapi yang paling berat adalah “memegang AMANAH” (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup menyambut permintaan Allah SWT,sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.