Tag Archives: Hadis
SOLAT TAHAJUD YANG INDAH
SEJARAH telah mencatat bahawa Rasulullah Saw dan para sahabat selalu melaksanakan solat tahajud. Solat tahajud adalah solat yang sangat mulia. Keindahan dan keajaiban melaksanakan solat tahajud telah tercatat dalam Al Quran. Ada beberapa keindahan solat tahajud seperti berikut ini:
1. Solat Tahajud sebagai tiket masuk Syurga …
Abdullah Ibn Muslin berkata “kalimat yang pertama kali ku dengar dari Rasulullah Saw saat itu adalah,” Hai sekelian manusia! Sebarkanlah salam, bagikanlah makanan, sambunglah silaturahmi, tegakkanlah solat malam ketika manusia lain sedang tidur, nescaya kalian masuk Syurga dengan selamat. “(HR. Ibnu Majah).
2. Amal yang menolong di Akhirat …
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman Syurga dan di mata air-mata air,seraya mengambil apa yang Allah berikan kepada mereka. Sebelumnya mereka adalah telah berbuat baik sebelumnya (di dunia), mereka adalah orang-orang yang sedikit tidurnya di waktu malam dan di akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah). “(QS. Az Zariyat: 15-18)
Ayat di atas menunjukkan bahawa orang yang sentiasa bertahajud InsyaAllah akan mendapatkan balasan yang sangat nikmat di Akhirat kelak.
3. Pembersih penyakit hati dan jasmani …
Salman Al Farisi berkata, Rasulullah Saw bersabda, “Dirikanlah solat malam, kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, (solat malam dapat) mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, (solat malam adalah) sebagai penebus perbuatan buruk, mencegah berbuat dosa, dan menghindarkan diri dari penyakit yang menyerang tubuh. “(HR.Ahmad)
4. Sarana meraih kemuliaan …
Rasulullah Saw bersabda, “Jibril mendatangiku dan berkata, “Wahai Muhammad, hiduplah sesukamu, kerana engkau akan mati, cintailah orang yang engkau suka, kerana engkau akan berpisah dengannya, lakukanlah apa keinginanmu, engkau akan mendapat balasannya, ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang muslim adalah solat waktu malam dan tidak perlunya dimuliakan orang lain. “(HR. Al Baihaqi)
5. Jalan mendapatkan rahmat Allah …
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, “Semoga Allah merahmati lelaki yang bangun malam, lalu melaksanakan solat dan membangunkan isterinya. Jika isterinya menolak, ia memercikkan air di wajahnya. Juga, merahmati perempuan yang bangun malam, lalu solat dan membangunkan suaminya. Jika suami menolak, ia memercikkan air di wajahnya. “(HR. Abu Daud)
6. Sarana Pengabulan permohonan …
Allah SWT berjanji akan mengabulkan doa orang-orang yang menunaikan solat tahajud dengan ikhlas. Rasulullah Saw bersabda,
“Dari Jabir berkata, bahawa Nabi Saw bersabda,” Sesungguhnya di malam hari, ada satu masa yang apabila seorang Muslim meminta kebaikan dunia dan Akhirat, pasti Allah memberinya, Itu berlangsung setiap malam. “(HR. Muslim)
7. Penghapus dosa dan kesalahan …
Dari Abu Umamah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah sawbersabda, “Lakukanlah Qiyamul Lail, kerana itu kebiasaan orang soleh sebelum kalian, bentuk taqarub, penghapus dosa, dan penghalang berbuat salah.” (HR. At-Tirmidzi)
8. Jalan mendapat tempat yang terpuji …
Allah berfirman,
“Dan pada sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatkamu ke tempat yang terpuji.” (QS. Al-Isra ‘: 79)
9. Pelepas ikatan syaitan …
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah Saw bersabda, “Syaitan akan mengikat kepala seseorang yang sedang tidur dengan ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang itu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka terlepaslah ikatan pertama, apabila ia berwudhu maka akan terbukalah ikatan kedua, apabila dia solat akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasa bersemangat dan ketenangan jiwa, jika tidak maka dia akan malas dan kekusutan jiwa. ”
10. Waktu utama untuk berdoa …
Amru Ibn ‘Abasah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah Saw,”Ya Rasulullah! Malam apakah yang paling di dengar? “, RasulullahSaw menjawab,” Tengah malam terakhir, maka solatlah sebanyak yang engkau mahu, sesungguhnya solat waktu tersebut adalah maktubah masyudah (waktu yang apabila bermunajat maka Allah menyaksikannya dan apabila berdoa maka didengar doanya) “(HR.Abu Daud)
11. Meraih kesihatan jasmani …
“Hendaklah kalian bangun malam. Sebab hal itu merupakan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian. Wahana pendekatan diri pada Allah swt, penghapus dosa, dan pengusir penyakit dari dalam tubuh. “(HR. At-Tarmidzi)
12. Penjaga kesihatan rohani …
Allah SWT menegaskan bahawa orang yang solat tahajud akan selalu mempunyai sifat rendah hati dan ramah. Ketenangan yang merupakan refleksi ketenangan jiwa dalam menjalani kehidupan sehari-hari di masyarakat.
Allah berfirman, “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melewati malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. “(QS. Al-Furqan: 63-64)
Kredit Sumber:
http://www.ibnuhasyim.com/2014/11/solat-tahajud-yang-indah.html
CONTOH KEHIDUPAN YANG MENGUTAMAKAN AKHIRAT
RAHSIA kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin dan sekalian salafussoleh dapat memerintah dan memajukan tiga perempat dunia dengan jayanya ialah kerana mereka cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Kerana memberi tumpuan yang serius kepada Akhiratlah maka mereka dapat menundukkan dunia. Dan kalaulah mereka tidak dapat mengutamakan Akhirat daripada dunia, nescaya mereka pun senasib dengan kita. Yakni bukan sahaja mereka tidak dapat menegakkan empayar, perintah satu negara pun tidak akan berjaya. Satu negeri pun gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun tidak upaya. Kalau masalah dalam rumah pun tidak boleh diatasi, tidak selesai-selesai, apa lojiknya kita boleh selesaikan masalah yang lebih besar dari itu.
Berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat mengIslamkan dunia adalah kerana mereka serius dalam menguruskan Akhirat. Proses itu berlaku begini:
Apabila yang diutamakan itu Akhirat, maka mereka tidak mengambil kepentingan-kepentingan duniawi untuk peribadi, keluarga dan klik-klik mereka. Sebab orang yang sangat memikirkan nasib di Akhirat, mereka sangat takut pada Hari Hisab di Padang Mahsyar nanti. Hari penggelidahan lahir batin oleh polis-polis Akhirat, iaitu para malaikat, terhadap setiap orang manusia tanpa kecuali. Yang mana pada hari itu, orang-orang kaya di dunia, yang menimbunkan kekayaan yang halal untuk diri dan keluarganya sahaja, akan tertahan lama di border. Manakala yang kumpul kekayaan secara haram, terus terjun ke Neraka. Sementara orang miskin terutamanya yang miskinnya itu disengajakan kerana harta bendanya digunakan untuk khidmat masyarakat, untuk jihad fisabilillah, untuk ALLAH dan Rasul, untuk pembangunan-pembangunan material demi tertegaknya tamadun Islam yang canggih, maka ia akan dibebaskan dengan mudah, untuk pergi ke Syurga. Dalam Hadis, Rasulullah ada berkata:
Terjemahannya: Orang miskin itu akan masuk ke Syurga 500 tahun sebelum orang kaya.
(Riwayat At Tarmizi)
Atas dasar itulah Rasulullah SAW dan para Sahabat. sangat merebut peluang ini. Mereka meminta agar mereka tetap dapat hidup seperti orang miskin, sekalipun mereka diberi seluruh kekayaan dunia. Sebab itu di waktu ¾ dunia sudah ada dalam tangan, mereka masih tetap dapat zuhud lagi dengan dunia. Dan dengan sebab itulah mereka dapat memerintah dengan jayanya.
Apabila setiap individu sanggup hidup macam orang miskin, kerana kckayaan mereka itu dikorbankan untuk kepentingan masyarakat, demi membangunkan hukum ALLAH, maka hasilnya masyarakat dapat melahirkan banyak projek pembangunan seperti sekolah, hospital, kilang-kilang dan lain-lain lagi. Dalam pada itu kerajaan yang adil pula akan menggunakan wang negara untuk projek-projek pembangunan masyarakat yang semua itu , akan memberi kemudahan pada rakyat. Maka rakyat akan mendapat keselesaan hidup serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan. Jadilah negara itu penuh dengan pembangunan-pembangunan kepunyaan umat Islam dan rakyatnya hidup aman makmur. Proses inilah yang membawa kepada terbangunnya negara yang ALLAH kehendaki, iaitu:
Terjemahannya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (Saba: 15)
Tanpa proses ini, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang lain, dan rakyat hidup susah. Sebaliknya orang yang memerintah hidup senang-lenang. Keadaan ini boleh dilihat di Malaysia dan lain-lain negara umat Islam di seluruh dunia. Yang mana ekonomi negara dan masyarakat berada dalam tangan bangsa asing. Perojek-projek ekonomi yang besar-besar berada dalam tangan orang luar atau beberapa orang kapitalis Melayu, Cina dan India. Rakyat hidup ala kadar. Pemerintah hidup kaya-raya. Wakil rakyat pun lebih kaya dari sebelumnya. Yang miskin terlalu miskin. Yang kaya terlalu kaya. Keadilan yang sebenar tidak wujud. Keamanan yang sebenar tidak jadi realiti. Kemakmuran yang sebenar tidak terasa. Keampunan dari ALLAH tidak diperolehi hasilnya. Akhirnya di Akhirat masuk Neraka.
Sebab itu Islam meminta umatnya agar berjuang dan berkorban. Yang mana dengan kaedah itu, sistem ekonomi kapitalis akan terbunuh dengan sendirinya. Sayidina Abdul Rahman bin Auf berjaya menghalau kapitalis Yahudi dari Madinah, sekaligus membunuh sistem kapitalis itu, bukan dengan pergaduhan dan peperangan. Tetapi dengan membangunkan sistem ekonomi Islam di sebelah sistem kapitalis. Bila masyarakat memilih sistem Islam, dengan sendirinya sistem kapitalis terbunuh.
Dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam, kemasukan wang kepada negara dan masyarakat cukup besar. Sebab pemerintah tidak ambil wang negara lebih dari keperluan. Mereka cuma ambil maasy yakni mengikut keperluan. Selebihnya untuk negara dan rakyat. Ini yang dapat dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat. Orang-orang kaya pula sangat kuat berkorban. Maka semua wang yang terkumpul digunakan untuk membangunkan kilang-kilang, perniagaan-perniagaan dan macam-macam perusahaan untuk rakyat. Sebab itu rakyat dapat hidup senang. Mungkin lebih senang dari pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar mereka. Sebab itu masyarakat tidak buat masalah lagi. Dan jadilah negara itu negara yang benar-benar aman dan makmur.
Tetapi mana ada kerajaan yang mampu mengorbankan kekayaan mereka untuk rakyat. Hampir semua pemimpin yang naik, menjadi lebih kaya dari sebelumnya, sama ada dirancang atau tidak. Sebab dunia itu penipu, kata ALLAH. Pemimpin yang bercita-cita hendak menegakkan Islam pun dapat ditipunya. Apalagilah yang memang bercita-cita untuk dapatkan dunia. Lagi hebatlah tipuannya.
Oleh itu mari kita kaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah dan para Sahabat dalam menghadapi dan menguruskan dunia ini.
Sikap mereka terhadap urusan dunia:
1. Rumah
Kalaulah Rasulullah SAW mahu, rumahnya boleh mengalahkan semua rumah raja-raja di dunia. Sebab baginda dengan doa sahaja boleh dapat apa yang dimahunya. Pasir pun boleh jadi emas. Gunung Uhud pernah bertukar menjadi emas hasil doa Rasulullah. Tetapi semua itu ditolaknya. Bila Rasulullah SAW tolak dunia, jangan kita kata, “Dia Nabi, bolehlah!” Baginda menolak itu bukan kerana dia Nabi. Yang mana kalau bukan Nabi, bolehlah baginda mengambilnya. Bukan begitu! Rasul itu contoh kita dalam segala hal. Rasulullah SAW menolak kekayaan adalah kerana baginda tidak mahu umatnya mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Itulah maksudnya. Sekalipun baginda Rasul kekasih ALLAH, apa saja baginda boleh dapat, tetapi baginda tetap mahu hidup macam hamba. Itulah sikap pemimpin sejati. Yang boleh pun, tidak diambil, apalagi yang tak boleh. Sebab itu rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat dari tanah dan pintunya dari kain guni.
2. Tempat tidur
Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma (macam tikar mengkuang). Bila bangun, berbekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia, yang namanya sampai hari ini dilaungkan di segenap pelosok dunia, di surau dan masjid, terkenal dan dicintai oleh dunia, tidak pun menghalang baginda untuk terus hidup seperti hamba yang lemah dan hina. Walhal kita baru jadi kerani sudah mahu bergaya, lagak macam tuan. Sudah rasa tidak layak hendak menjadi hamba. Apalagilah tuan-tuan besar kita itu. Memang takkan sudilah untuk mencemar kemuliaan seperti seorang hamba yang lemah lagi hina di sisi Tuhannya.
3. Makan dan makanan
Rasulullah memanglah makan. Tetapi seringkali juga baginda berlapar. Perutnya pernah diikat dengan batu untuk menahan kelaparan. Kerana makanannya diberikan pada orang lain. Apabila baginda makan, yakni makan hanya bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, seringnya makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Kiranya ada berlebih, baginda tidak buang. Pantang Rasulullah menghina pemberian ALLAH sekalipun sekecil-kecil barang. Baginda sangat sayang dan menjaga rezeki yang ALLAH kurniakan. Sebab itu kalau berlebih, cepat cepat dihantar ke rumah jiran yang perlu untuk dihabiskan. Baginda tidak menyimpan makanan di malam hari. Hidupnya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Makan pula betul-betul macam hamba. Macam orang susah makan. Iaitu baki-baki kuah dan makanan dalam bekas makannya dijilat hingga licin, disapu bersih. Siti Fatimah AZ Zahra puteri Rasulullah SAW, sangat kenal bekas makan Rasulullah kerana katanya begitu licin seolah-olah sudah berbasuh. Serbuk-serbuk makanan dikutip, kuah yang tumpah disapu dengan jari dan dijilatnya. Dan baginda tidak akan makan seorang diri, mesti secara jemaah.
4. Pakai dan Pakaian
Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian. Itu pun jenis pakaian orang susah. Sesekali baginda pakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang, bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah dari orang itu. Tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah.
5. Kenderaan
Sebagai hamba, baginda tidak rasa jijik untuk naik keledai. Tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Sementelahan pula, keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya, baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.
6. Harta Benda dan Wang Ringgit
Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada. Kerana seluruh kekayaan isterinya Siti Khadijah diserahkan padanya. Tetapi sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang ringgit. Ertinya kekayaannya bukan untuk tumpuk harta dan simpan harta. Semuanya telah dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.
Bila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali. Sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan dari masyarakat yang beriman. Iaitu dari kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab; yang cintakan ALLAH dan Akhirat lebih dari cintakan dunia dan segala kesenangan di dalamnya. Siapa yang hidup dalam jemaah Islam atau negara Islam pasti terbela. Dunia dan Akhirat. Bukan dunia sahaja dan bukan Akhirat sahaja.
Begitulah sikap Rasulullah terhadap dunia. Baginda seolah-olah tidak peduli sangat dengan urusan dunianya. Yakni rumahnya, pakaian, makan minum, tidur baring dan lain-lain urusan duniawi dan peribadi. Tetapi untuk Akhirat, baginda sangat serius. Baginda tidak main-main. Baginda sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita lihat buktinya:
1. Perjuangan
Saya letakkan perjuangan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja Akhirat yang Rasulullah lakukan. Tujuan saya ialah untuk menarik perhatian pembaca tentang pentingnya perjuangan ini. Di samping untuk menyatakan bahawa ia bukan urusan dunia tetapi adalah urusan Akhirat. Yang mana selama ini ramai menganggap perjuangan itu tidak penting dan merupakan kerja-kerja duniawi, bukan Ukhrawi.
Rasulullah SAW berjuang sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Dengan kata lain, berjuang untuk meng-Islamkan dunia. Bahkan perjuangan itu menjadi cita-cita hidup matinya. Dan untuk itulah baginda dilantik jadi nabi dan Rasul. Sebab itu baginda sungguh serius dalam perjuangan. Demi menegakkan perintah ALLAH, baginda sanggup hadapi apa saja risiko. Sekalipun mati. Rasulullah pernah bertegas dengan bapa saudaranya:
Terjemahannya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekulipun mereku meletukkun matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga ALLAH memberi keputusannya.
Umur baginda habis untuk perjuangan. Harta benda habis untuk itu. Tenaga, fikiran, jiwa raga semuanya untuk jihad fisabilillah. Baginda jadi miskin, dihina, diburu, dikejar, diundang ke medan perang dan hampir-hampir mati ditetak. Semuanya dihadapi semata-mata mahu memperkenalkan ALLAH pada dunia serta menegakkan syariat-Nya. Begitulah bersungguh-sungguhnya baginda Rasulullah SAW dalam berjuang.
2. Mendidik
Usaha ini adalah satu dari cabang perjuangan yang penting. Ia juga urusan Akhirat. Rasulullah SAW siang malam, pagi petang, atau di mana saja, sentiasa mendidik umatnya. Tidak minta upah dan tidak cari kepentingan. Baginda lakukan itu semata-mata kerana sayangkan umat, agar mereka selamat dunia Akhirat. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa saja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke pasar, pergi ke Taif, pergi ke mana-mana sahaja, sekalipun di atas unta, untuk menyampaikan mesej Ilahi pada manusia. Hingga waktu sakit tenat dan hampir wafat pun baginda masih bercakap tentang nasib umat.
3. Berkorban
Perjuangan dan pendidikan tidak akan berjalan baik tanpa pengorbanan. Sebab itu Rasulullah sangat serius berkorban. Korban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segala-galanya. Baginda pergi ke medan perang, di baris hadapan. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim untuk menjadi pembela pada orang-orang susah itu. Bila dapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya. Diri dan keluarga tidak dapat apa-apa. Orang berhutang, bagindalah yang membayar. Kalau ada masakan, mesti dihulurkan pada jiran, sekalipun kaki kambing. Pendeknya, untuk keselamatan ummah, baginda yang menanggung susah dan payahnya.
4. Akhlak
Baginda sangat serius menjaga akhlaknya. Ini juga soal Akhirat. Baginda memiliki akhlak yang agung, kata ALLAH. Ertinya ALLAH pun kagum dan memuji keupayaan Rasul-Nya dalam melayani ALLAH dan hamba-hamba ALLAH, dengan sebaik-baik akhlak. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah:
a. Pemaaf
i. Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah di perjalanan. Yakni dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh Rasulullah bila pergi berdakwah. Si tua itu sangat benci dengan Rasulullah. Tetapi satu hari ketika ia jatuh sakit, satu-satunya orang yang datang ziarah beliau ialah Rasulullah. Alangkah pemaafnya baginda. Bukan sahaja diziarah tetapi dicarikan ubat. Hingga di atas akhlak yang luar biasa itu, perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam.
ii. Satu hari Rasulullah berjalan dengan memakai baju Arab Najran. Tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut. Bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkan kepada si Badwi tadi.
b. Kasih Sayang
Kalau dua tiga hari Rasulullah tidak nampak salah seorang Sahabatnya atau tidak bertemu, nescaya akan ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang akan ziarah ke rumah Sahabat tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang, dan duduk sama-sama dengan para Sahabat. Satu hari, ketika sedang mengadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya, datang meminta makanan. Rasulullah tanpa jijik dan dengan penuh tawadhuk, memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-ALLAH, agungnya akhlakmu ya Rasulullah.
c. Ibadah
Perkara ini memanglah perkara Akhirat. Yang pada sesetengah orang Islam telah ‘diduniakan’ juga, untuk mencari untung dunia. Rasulullah telah menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak. Tetapi ingat, hal itu bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan ibadah untuk kita ikuti jejak langkahnya. Rasulullah sembahyang sunat terlalu banyak. Adakala semalaman tidak tidur hingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud untuk Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya.
Puasa juga banyak. Sehari puasa, sehari pula makan. Begitulah digilir-gilirkan. Tentang zikir, bukan sahaja waktu jaga, dalam tidur pun baginda berzikir. Baginda adalah ‘Al Quran bergerak’. Ertinya Al Quran bukan sahaja dihafal bahkan dijadikan panduan seluruh hidupnya. Melihat kepada ciri-ciri ini, benarlah dia Nabi kekasih ALLAH. Yang sangat cintakan ALLAH dan Akhirat. Hatinya tidak terpaut sedikit pun pada dunia. Maka marilah kita letakkan kasih dan rindu padanya. Ini adalah kerana terlalu besar jasanya pada kita.
Setelah menyaksikan bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap dunia dan juga terhadap Akhirat, bolehlah kita simpulkan bahawa nisbah dunia Akhirat bukan fifty-fifty (50:50). Sebaliknya ialah 1:99.
Untuk dunia satu peratus sahaja. Untuk Akhirat 99 peratus. Kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk dunia ialah satu. Manakala kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk Akhirat ialah 99. Barulah sesuai dengan darjat dan nilai masing-masing. Itulah keseimbangan dalam Islam. Itulah ukuran yang tepat, bijak, lahir dari fikiran yang luas dan matang. Sesiapa yang masih mahu menyamakan kerja untuk dunia dengan keperluan untuk Akhirat, 50-50, itu datangnya dari nafsu yang jahat dan fikiran yang sempit. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun akan hairan dan mentertawakannya. Tersesat dalam berfikir! Jahil dalam menilai dunia dan Akhirat.
Bila Islam meletakkan nisbah dunia Akhirat 1:99, jangan kita anggap umat Islam mesti tinggal dunia. Sebaliknya kerana diuntukkan kepada Akhirat 99 itulah maka dunia dapat dibangunkan dengan keadaannya yang aman dan wujud masyarakat yang kaya-raya. Hingga semua orang dapat merasa nikmat hidup termasuk orang kafir. Sebaliknya kalau dunia 99, Akhirat 1, akan terjadilah macam hari ini. Yakni individu kaya tetapi masyarakat miskin dan Islam tidak dapat ditegakkan.
KELEBIHAN PUASA SUNAT 9 DAN 10 MUHARRAM
Puasa selain merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala juga mengandungi banyak manfaat yang lain. Ianya menjadikan kita prihatin dan sensitif dengan maslah orang lain. Melalui puasa, Tuhan memaksa kita untuk sedar kita perlu meihat keperluan orang lain berbanding diri kita. Itulah kemuncak kasih sayang yang akan melahirkan perpaduan di tengah masyarakat. Dengan berpuasa seseorang juga dapat mengendalikan syahwat dan hawa nafsunya sehingga dapat menjadi perisai dari api neraka. Bahkan puasa yang benar-benar ikhlas dan diterima Tuhan dapat menghapus dosa-dosa dan memberi syafaat di hari kiamat.
Sebenarnya Hari Asyura juga digelar sebagai Ayyamillah (Hari-hari Allah) iaitu hari-hari yang dinasabkan oleh Allah swt kepada ZatNya. Allah swt telah menyuruh Nabi Musa as agar mengingatkan kaumnya tentang hari-hari tersebut dalam firmanNya:
وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ bermaksud, “Dan ingatkanlah mereka tentang Hari-hari Allah”.
Pendapat digalakkan berpuasa pada kedua-dua hari kesembilan dan hari kesepuluh bulan Muharram berdasarkan hadis “حين صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا: يا رسول الله! إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم “فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع” قال: فلم يأت العام المقبل حتى تُوفي رسول الله صلى الله عليه وسلم
Bermaksud, “Pada hari Rasulullah saw berpuasa Hari Asyura (pada Hari Kesepuluh), para Sahabat ra berkata, ‘Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah saw bersabda, Tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada Hari Kesembilan jika aku masih hidup’. Sebelum tiba tahun depan Rasulullah saw wafat”. Oleh itu Imam Asy-Syafie ra, Imam Ahmad dan sebahagian Ulamak mengatakan sunat berpuasa pada kedua-dua Hari Kesembilan dan Hari Kesepuluh agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari sahaja. Di kalangan mereka ada yang mengatakan puasa Hari Kesembilan sebagai laangkah hati-hati agar tidak terlepas kelebihan puasa Hari Asyura.
Maksud Hari-hari Allah ialah Ayat-ayatNya dan nikmat-nikmatNya seperti selamatnya Nabi Musa as dan kaumnya dari kekejaman Firaun, terbelahnya laut, tenggelamnya Firaun dan tenteranya yang zalim lagi mendustakan Allah swt, Al-Mann dan Al-Salwa yang diturunkan dari langit untuk Bani Israel dan nikmat-nikmat yang lain.
هذا يوم عظيم يوم نجى الله فيه موسى وأغرق فرعون
Ertinya; “Ini adalah hari yang agung – hari di mana Allah telah selamatkan Musa padanya dan tenggelamkan Firaun serta seluruh kekayaannya”.
Dari hadis riwayat Muslim berbunyi “إن عاشوراء من أيام الله..”
bermaksud, “Sesungguhnya Asyura adalah dari hari-hari Allah”.
Pada bulan Muharram ada satu hari yang dikenal dengan sebutan hari ‘Asyura. Orang-orang jahiliyah pada masa pra Islam dan bangsa Yahudi sangat memuliakan hari ini. Hal tersebut kerana pada hari ini Allah Subhanahu wa Ta’ala selamatkan Nabi Musa ‘alaihissalam dari Fir’aun dan bala tentaranya.
Bagi menzahirkan kesyukurannya kepada Allah swt, Nabi Musa ‘alaihissalam akhirnya berpuasa pada hari ini. Tatkala sampai berita ini kepada Nabi saw, melalui orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah beliau bersabda,
فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ
“Saya lebih berhak mengikuti Musa dari kalian (kaum Yahudi)”.
Saiyidina Abdullah bin Abbas ra. menceritakan kisah ini kepada kita sebagaimana yang diriwayatkan Imam Bukhari:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِيْنَةَ فَرَأَى اليَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاء فَقَالَ:ماَ هَذَا؟ قَالُوْا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوْسَى. قَالَ: فَأَناَ أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
“Tatkala Nabi saw. datang ke Madinah beliau melihat orang-orang Yahudi melakukan puasa di hari ‘Asyura. Baginda saw. lalu bertanya, “Hari apa ini?”. Orang-orang Yahudi menjawab, “Ini adalah hari baik, pada hari ini Allah selamatkan Bani Israil dari musuhnya, maka Musa as. berpuasa pada hari ini. Nabi saw. bersabda, “Saya lebih berhak mengikuti Musa daripada kamu semua (kaum Yahudi). Maka beliau berpuasa pada hari itu dan memerintahkan ummatnya untuk melakukannya”. (Bukhari)
Saiyidatina A’Isyah rha menyatakan,
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانَ كَانَ مَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ
“Dahulu Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa di hari ‘Asyura. Dan ketika puasa Ramadhan diwajibkan, barangsiapa yang ingin (berpuasa di hari ‘Asyura) ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang ingin (tidak berpuasa) ia boleh berbuka”. (Bukhori).
Puasa Asyura merupakan amalan Baginda Nabi saw sejak belum diwajibkan puasa Ramadhan dan ianya terus diamalkan Baginda saw sampai akhir hayatnya.
Saiyidina Abdullah bin Abbas ra meriwayatkan seperti berikut;
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَومَ فَضْلِهِ عَلَى غَيْرِهِ إِلاَّ هَذَا اليَوْمِ يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ وَهذَا الشَّهْرُ يَعْنِي شَهْرُ رَمَضَانَ
“Aku tidak pernah mendapati Rasulullah saw menjaga puasa suatu hari kerana keutamaannya dibandingkan hari-hari yang lain kecuali hari ini yaitu hari ‘Asyura dan bulan ini yaitu bulan Ramadhan”.
Hal ini menandakan akan keutamaan besar yang terkandung pada puasa di hari ini. Oleh sebab itu ketika Baginda saw. ditanya pada satu kesempatan tentang puasa yang paling afdhal setelah Ramadhan, Baginda menjawab bulan Allah iaitu Muharram. Imam Muslim serta yang lainnya meriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahwa Rasulullah saw bersabda,
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللهِ المُحَرَّمُ.
وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الفَرِيْضَةَ، صَلاَةُ اللَّيْلِ
“Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah (puasa) di bulan Allah iaitu Muharram. Dan shalat yang paling utama setelah shalat wajib adalah shalat malam”.
Dan puasa ‘Asyura menggugurkan dosa-dosa setahun yang lalu. Imam Abu Daud meriwayatkan di dalam Sunan-nya dari Abu Qatadah r.a.
وَصَوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ إنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَنَة َالتِيْ قَبْلَهُ
“Dan puasa di hari ‘Asyura, sungguh saya mengharap kepada Allah agar menggugurkan dosa setahun yang lalu”.
Hukum Puasa ‘Asyura
Sebagian ulama salaf menganggap puasa ‘Asyura hukumnya wajib akan tetapi hadits ‘Aisyah di atas menegaskan bahwa kewajibannya telah dihapus dan menjadi ibadah yang mustahab (sunnah). Jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf berpendapat bahwa hari ‘Asyura adalah hari ke-10 di bulan Muharram. Pada hari inilah Rasulullah saw. semasa hidupnya melaksanakan puasa ‘Asyura. Dan kurang lebih setahun sebelum wafatnya, Baginda saw. bersabda,
لَئِنْ بَقِيْتُ إِلَى قَابِلٍ َلأَصُوْمَنَّ التَاسِعَ
“Jikalau masih ada umurku tahun depan, aku akan berpuasa pada hari sembilan (Muharram)”
Para ulama berpendapat perkataan Rasulullah saw , “…aku akan berpuasa pada sembilan (Muharram)”, mengandung kemungkinan beliau ingin memindahkan puasa tanggal 10 ke tanggal 9 Muharram dan beliau ingin menggabungkan keduanya dalam pelaksanaan puasa ‘Asyura. Tapi Rasulullah saw. ternyata wafat sebelum itu maka para ulamak mengatakan bahawa yang paling selamat adalah puasa pada kedua hari tersebut sekaligus, iaitu pada 9 dan 10 Muharram.
Pendapat sebahagian ulamak ialah berpuasa sunnat pada hari kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas
فقد سُئل ابن عباس عن صيام يوم عاشوراء فقال: إذا رأيت هلال المحرم فاعدد، وأصبح يوم التاسع صائمًا، قلت: هكذا كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه؟ قال: نعم
“Apabila ditanya Ibnu Abbas tentang puasa Hari Asyura, dia berkata yang bermaksud, “Apabila kamu melihat anak bulan Muharram, kiralah hari-harinya dan jadilah seorang yang berpuasa pada hari kesembilan’. Aku bertanya, ‘Begitukah Rasulullah saw berpuasa?’. Dia menjawab, ‘Ya’’. (riwayat Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Ahmad).
Imam Asy-Syaukani dan Hafidz Ibnu Hajar mengatakan puasa ‘Asyura ada tiga tingkatan. Yang pertama puasa di hari ke 10 saja, tingkatan kedua puasa di hari ke 9 dan ke 10 dan tingkatan ketiga puasa di hari 9,10 dan 11.
KELEBIHAN PUASA ENAM SYAWAL
Pada Syawal ini pula, umat Islam disunatkan untuk mengerjakan puasa
sunat enam. Ia sebagai penerus kepada ibadat puasa yang dilakukan
sepanjang Ramadan.
Abu Ayyub Al-Anshari meriwayatkan, Rasulullah bersabda: “Barang siapa
berpuasa penuh pada Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam
hari pada Syawal, maka (pahalanya) seperti dia berpuasa selama satu
tahun.” (Hadis riwayat Muslim).
Imam Ahmad dan An-Nasai, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah
bersabda: “Puasa Ramadan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa)
sepuluh bulan, sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya)
sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa
selama setahun penuh.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Barang siapa berpuasa
Ramadan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia
bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadis riwayat Al-Bazzar).
Pahala puasa Ramadan yang dilanjutkan dengan puasa enam hari pada
Syawal menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap
hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, sebagaimana
disentuh dalam hadis.
Ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa
enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan
dengan berturut-turut mulai hari raya kedua.
Ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan
secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya
selama dalam Syawal.
Bagaimanapun, mengerjakannya dengan berturut-turut adalah lebih
afdal. Membiasakan puasa selepas Ramadan memiliki banyak manfaat,
antaranya:
Puasa enam hari pada Syawal adalah pelengkap dan penyempurna pahala
daripada puasa setahun penuh.
Puasa Syawal dan Syaaban bagaikan solat sunnah rawatib, berfungsi
sebagai penyempurna daripada kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat,
perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan
sunnah.
Sebagaimana keterangan Rasulullah dalam beberapa riwayat. Majoriti
puasa fardu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan
ketidaksempurnaan. Oleh itu, memerlukan sesuatu bagi menutup dan
menyempurnakannya.
Membiasakan puasa selepas Ramadan menandakan diterimanya puasa
Ramadan. Ini kerana apabila Allah menerima amal seorang hamba, pasti
Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya.
Sebahagian orang bijak mengatakan: “Pahala amal kebaikan adalah
kebaikan yang ada selepasnya.” Oleh itu, barang siapa mengerjakan
kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu
tanda atas terkabulnya amal pertama.
Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan,
lalu diikuti dengan yang buruk, maka hal itu adalah tanda tertolaknya
amal yang pertama.
Puasa Ramadan dapat mendatangkan maghfirah atas dosa masa lain. Orang
yang berpuasa Ramadan akan mendapatkan pahalanya pada Aidilfitri yang
juga hari pengurniaan ganjaran. Membiasakan puasa selepas Aidilfitri
adalah bentuk kesyukuran atas nikmat ini. Dan sesungguhnya tidak ada
nikmat yang lebih agung daripada pengampunan dosa.
Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada
seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan
kepadanya adalah dengan berpuasa selepas Ramadan.
Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk
kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila dia
berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, pada ketika melakukan
ibadah puasa, maka puasanya tidak akan terkabul. Dia bagaikan orang
yang mendirikan sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali.
Allah berfirman: “Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang
menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-
berai kembali.” (Surah an-Nahl, ayat 92)
Antara manfaat puasa enam hari pada Syawal adalah segala amalan yang
dikerjakan oleh seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya
pada Ramadan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia ini,
selama masih hidup.
Orang yang selepas Ramadan berpuasa bagaikan orang yang cepat-cepat
kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada
peperangan fi sabilillah lantas kembali lagi. Sebab tidak sedikit
manusia yang berbahagia dengan berlalunya Ramadan sebab mereka
merasakan berat, jenuh dan lama berpuasa Ramadan.
Barang siapa berasa demikian maka sukar baginya untuk segera kembali
melaksanakan puasa, padahal orang yang segera kembali melaksanakan
puasa selepas Aidilfitri adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah
puasa. Dia tidak bosan dan berat, apalagi benci untuk menunaikannya.
Seorang ulama salaf ditanya mengenai kaum yang bersungguh-sungguh
dalam ibadahnya pada Ramadan, tetapi jika Ramadan berlalu mereka
tidak bersungguh-sungguh lagi, beliau mengulas:
“Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah secara benar
kecuali pada Ramadan saja, pada hal orang soleh adalah yang beribadah
dengan sungguh-sungguh sepanjang tahun.”