Tag Archives: hamba
APA MAKSUD ALLAH MEMERINTAHKAN KITA BERPUASA SEBULAN PADA SETIAP TAHUN
Perkongsian kuliah tentang puasa di bulan Ramadhan sebagai ulang kaji untuk kita semua, muga-muga ada manfaatnya kepada yang sudi membacanya juga.
Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya;
“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”
Berpuasa rupanya dapat mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.
Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan, hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.
Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan, overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula.
Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.
B. Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?
Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan. Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.
C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia
Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!
Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.
Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di
Bulan Ramadhan iaitu:
Puasa yang dihayati
Sembahyang yang khusyuk
Baca Quran yang dijiwai
Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah
Tanpa mujahadah adalah mustahil seorang hamba sampai kepadaNya,
Kerana yang menjadi penghalang
Seseorang itu menuju Allah, ialah syaitan dan nafsunya,
Tapi nafsu adalah lebih menghalang
Dari syaitan laknatullah
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan
Biasanya selalu sahaja berlawan,
Disinilah perlunya bermujahadah
Bersungguh dan bermati-matian,
Bermujahadah adalah sangat menjemukan,
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan,
Tapi disinilah pahalanya
Yang besar dari Tuhan,
Bermujahadah ada kalanya Sangat susah dan payah,
Ada juga dengan rahmat Tuhan
Bermujahadah dipermudahkan,
Tapi para rasul dan para nabi
Dengan anugerah Tuhan dipelihara Tuhan,
Mereka diberi kelebihan
Tanpa mujahadah menuju Tuhan,
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan,
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya,
Mereka adalah orang pilihan Tuhan,
Kerana mereka hendak dijadikan
Contoh dan ikutan,
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan,
Untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan
Kita yang bukan rasul dan nabi ini,
Kenalah bermujahadah,
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan,
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah
Melawan nafsu dan syaitan,
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan mursyid,
Meminta tolong di dalam bermujahadah
Agar dimudahkan oleh Tuhan,
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu,
Nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan.
KENAPA SI MATI MEMILIH UNTUK BERSEDEKAH SEKIRANYA DIA DIKEMBALIKAN KE DUNIA UNTUK HIDUP SEMULA
KELEBIHAN BERSEDEKAH
Sebagaimana firman Allah, “…Wahai Tuhanku, alangkah baiknya Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah…..” -(Surah Al Mu’minun:10)
Sedangkan dia tidak pun berkata “supaya aku dapat mengerjakan umrah” atau “supaya aku dapat solat” atau “supaya aku dapat berpuasa”?
Seorang ulama berkata, “Tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya..”
Maka hendaklah kamu perbanyakkan sedekah kerana sesungguhnya seorang mu’min akan berada di bawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat nanti.
Bersedekahlah untuk saudaramu yang telah pun meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka amat berharap untuk kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amalan soleh. Oleh itu realisasikanlah harapan mereka. Dan latihlah anak-anakmu supaya membiasakan diri dengan bersedekah.
Bersedekahlah.. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang yang bersedekah.
“Kalaulah orang yang bersedekah itu mengetahui dengan sebenarnya dan dapat menggambarkan bahawa sedekah itu diletakkan dalam ‘tangan Allah’ sebelum ia diletakkan ke tangan orang faqir, nescaya kelazatan orang yang memberi lebih terasa besar daripada kelazatan si penerima.- Ibnu Qayyim.
Adakah anda pernah membaca tentang faedah bersedekah?
1) Amalan sedekah itu adalah salah satu pintu daripada pintu-pintu Syurga
2) Sedekah adalah sebaik-baik amalan soleh dan sebaik-baik sedekah ialah memberi makan
3) Pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskannya dari azab neraka
4) Sedekah dapat memadam kemurkaan Allah dan kepanasan kubur
5) Sedekah adalah sebaik-baik hadiah buat si mati, yang paling bermanfaat untuknya di kubur dan yang ditambah oleh Allah akan rezeki (kerana bersedekah)
6) Sedekah adalah satu penyucian harta dan jiwa dapat menggandakan kebaikan.
7) Sedekah adalah punca kegembiraan si pemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat
8) Sedekah menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru hara besar dan hari yang tiada kesedihan kerana hilangnya sesuatu daripadanya (hari kiamat)
9) Sedekah menjadi punca keampunan terhadap dosa dan penghapusan daripada kejahatan
10) Sebagai pembawa berita gembira tentang pengakhiran yang baik dan punca doa malaikat buatnya
11) Orang yang bersedekah adalah orang yang terbaik di kalangan manusia. Pahala sedekah pula adalah untuk semua yang berkongsi tentang sedekah itu (bukan hanya utk si pemberi)
12) Pemberi sedekah dijanjikan kebaikan yang banyak dan pahala yang besar
13) Orang yang suka menginfaq adalah salah satu sifat orang yang bertaqwa. Dan sedekah menjadi punca lahirnya kasih sayang hamba Allah kepada si pemberi.
14) Sedekah tanda dermawan dan salah satu tanda kemuliaan dan kemurahan hati
15) Bersedekah memustajabkan doa dan merungkaikan segala kesulitan.
16) Bersedekah menolak bala dan menutup 70 kejahatan di dunia.
17) Sedekah memanjangkan umur, menambah rezeki, menjadi punca rezeki dan kemenangan
18) Sedekah menjadi ubat, penawar dan penyembuh
19) Sedekah menghalang kebakaran, tenggelam akibat banjir dan kecurian
20) Pahala sedekah adalah tetap (tidak berbeza-beza) walaupun diberikan kepada haiwan ternakan atau burung-burung.
KITA SALING MEMERLUKAN
JANGANLAH kita merasa cukup gagah dan tidak perlu kepada orang lain. Hingga kerana itu kita menyombongkan diri terhadap orang lain terutama orang yang kedudukannya lebih rendah dari kita seperti orang yang kita rasakan lebih miskin, lebih bodoh dan lebih rendah pangkatnya dari kita. Sebenarnya sebagai hamba Allah, kita diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan serba lemah dan sangat memerlukan pertolongan dan bantuan orang lain, terlebih lagi bantuan dari Allah SWT sendiri. Tanpa bantuan dari Allah dan dari sesama manusia, kita akan mengalami kesusahan dam hina dina. Mari kita lihat beberapa contoh :
1. Seorang raja atau ketua negara yang menguasai daerah pemerintahan yang luas, dengan rakyat yang banyak dan bala tentara yang besar, sehingga ia ditakuti kawan dan lawan, apakah ia sudah mampu hidup sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain? Jawabnya, tidak! la tetap memerlukan bantuan orang lain. Sebab kalau bukan dengan jasa dan budi orang lain, raja ita akan berada dalam kesusahan dan dalam keadaan lemah.
Istananya yang besar, gagah dan indah itu bukankah dibangun dengan titik peluh tukang bangunan? Kayu-kayu yang digunakan untuk membangunkan istana bukankah diusahakan oleh penebang kayu di hutan belantara? Kayu-kayu itu kemudian diproses dan dijual kepada raja untuk dijadikan istana, bukankah pekerjaan itu dilakukan oleh para pekerja dan penjual kayu? Nyatalah bahwa untuk mendapatkan istana itu, raja telah menerima sumbangan dan jasa yang besar dari rakyat atau orang-orang bawahan. Mustahil raja sanggup masuk ke hutan untuk menebang kayu, memproses kayu menjadi papan, kemudian mendirikan istananya seorang diri. Kerana itu raja terpaksa meminta bantuan orang banyak walaupun mereka itu lebih rendah darjatnya dari sang raja. Ertinya banyak orang lain yang terlibat membangunkan istana besar dan berdiri dengan segala keindahannya itu. Jika tidak mendapat bantuan mereka tentu raja ridak dapat tinggal dalam istana yang dibanggakannya itu.
Pengajaran dari masalah ini ialah sekalipun kita seorang raja, apalagi kalau rakyat jelata, kita tetap memerlukan orang lain untuk menolong kita. Kita tidak mungkin mampu hidup sendiri. Sudah banyak kita menerima budi dan jasa orang lain. Bahkan mungkin jasa orang pada kita lebih besar dan lebih banyak daripada apa yang sanggup kita berikan kepada mereka. Kerana itu kita sepatutnya merasa malu dan terhutang budi kepada manusia lain lebih-lebih lagi kepada Allah. Sumbangan mereka besar pada tamadun manusia. Sebaiknya kita mencari jalan bagaimana untuk membalas budi mereka itu dan mencari jalan bagaimana untuk menghibur mereka atau bagaimana untuk menolong memenuhi keperluan hidup mereka. Sudah sepatutnya kita muliakan mereka sesuai dengan jasa mereka. Jangan sekali-kali kita sombong dan angkuh terhadap mereka dan membiarkan mereka dalam kesusahan atau meletakkan mereka di taraf yang hina seolah-olah merekalah manusia yang tidak berharga dan tidak berguna apa-apa di dalam kehidupan. Di sisi Allah barangkali darjat mereka lebih mulia daripada kita. Allah berfirman:
Terjemahnya: Semulia-mulianya kamu di sisi Alah ialah yang paling bertaqwa.
(Al Hujurat: 13)
Sekalipun kita raja apalagi kalau kita hanya seorang rakyat biasa sebenarnya kita ini lemah dan serba kurang. Kekuatan dan kehebatan kita adalah hasil pengorbanan orang lain. Tanpa pengorbanan dan kerjasama orang lain, kita tidak mungkin mampu memiliki keistimewaan dan kemuliaan seperti sekarang. Tanpa tukang rumah, kita akan menjadi orang yang tidak ada tempat tinggal, terpaksa hidup berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit.
Tanpa petani, kita ketiadaan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanpa nelayan kita tidak akan makan dengan lauk. Tanpa tukang jahit, kita tidak akan memakai baju. Tanpa tukang masak kita akan kelaparan. Tanpa penjual kita tidak ada persediaan bahan makanan. Tanpa pekerja kita tidak akan dapat keperluan hidup yang bemmacam-macam jenis dan corak baik dari segi bentuknya, rupa atau kelazatannya. Pendek kata hidup kita ini sentiasa bergantung dan bersandar pada jasa dan pengorbanan orang lain. Seorang yang mahu bebas daripada mengharap sumbangan orang lain lebh-lebih lagi dengan Allah pasti akan merasa sangat susah bahkan mungkin akan mati kelaparan. Demikianlah sunnatullah dijadikan manusia terpaksa merasa perlu kepada manusia lain agar mereka saling merasa berhutang budi dan saling memerlukan.
Agar mereka dapat hidup dalam keadaan hormat-menghormati dan berkasih sayang, jangan sampai raja memperkecilkan rakyatnya, jangan sampai orang besar memperkecilkan orang bawah, jangan sampai si kaya memperkecilkan si miskin, jangan sampai orang pandai menghina orang bodoh, jangan sampai ada seorang hamba Allah yang menyombongkan diri pada seorang hamba yang lain, kerana orang yang diperkecilkan dan dianggap hina itu banyak berjasa kepada kita. Mereka itu sangat kita perlukan dalam hidup kita. Tanpa mereka kita tidak akan merasakan kenyamanan dan keistimewaan hidup seperti sekarang.
Ingatlah firman Allah:
Terjemahnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu kaum mengolok-olokkan kaum yang (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) itu lebih baik dari mereka yang mengolok-olokkan dan jangan pula wanita- wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan lebih baik darpada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan panggilan yang buruk. Seburuk-buruk panggilan itu ialah panggilan yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Al Hujurat : 11)
Firman Allah lagi :
Terjemahnya: Janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekuatanmu tidak dapat membelah bumi dan ketinggianmu tidak dapat menyamai bukit.
(Al Israk: 37)
2. Seorang ahli ilmu, bijak pandai, cendekiawan atau pujangga yang bertaraf profesor antar negara yang fikiran dan ucapannya dlkagumi, hasil karyanya banyak dan bertimbun-timbun, mempunyai peminat dari seluruh lapisan masyarakat di dunia ini, apakah dia bebas dari mengharap dan memerlukan bantuan atau kerjasama orang lain? Apakah dia boleh merasa dirinya luar biasa dari manusia lain, seolah-olah dia didatangkan dari kayangan? Dan bolehkah dia menyombongkan diri, menepuk dada mengakui kebesarannya hingga orang lain seolah-olah tidak berguna dan tidak diperlukan dalam hidupnya?
Untuk menjawabnya, cuba kita tanyakan beberapa persoalan. Dari mana asal-usulnya? Adakah dia jadi pandai dengan sendirinya? Di mana dia belajar dan siapakah yang membangunkan tempat pengajian itu? Kepandaiannya untuk siapa dan tulisannya dibawa ke mana? Kertas-kertas tulis dan buku-buku karangannya siapa yang mencetak dan menyempurnakannya? Lalu siapa yang menjual, mengedarkan dan membelinya? Sanjungan yang diperolehnya, dari mana datangnya? Ketika ia sakit siapa yang mengurusnya, makan minumnya dari mana memperolehnya? Pakaian, tempat tinggal dan kendaraan dari mana mendapatkannya?
Sebenarnya, ada manusia yang lebih mulia dan lebih berjasa dari dirinya. Yakni ibu bapa dan guru-gurunya. Ibu bapanyalah yang mendidik dan menjadikan manusia berilmu sedangkan asalnya begitu lemah dan bodoh sekali. Lebih-lebih lagi dia berhutang budi kepada Allah SWT. Allah berfirman:
Terjemahnya: Bukankah telah datang atas manusla satu waktu dari masa sedangkan dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia itu dari setitis mani yang bercampur. Yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
(Al Insan: 1-2)
Kemudian guru-gurunya yang memperkenalkan alif, ba, ta dan a, b. c, kepadanya. Dan gurulah yang memperkenalkan dunia dan akhirat kepadanya. Kalau bukan melalui guru, bolehkah ilmu itu datang sendiri? Tentu tidak! Kalau begitu alangkah besarnya jasa guru dan alangkah mulianya guru bagi seorang murid. Seorang profesor yang tidak memuliakan guru dan ibu bapanya, bererti ia tidak tahu mengenang budi dan ia adalah profesor yang derhaka, profesor yang telah dirosakkan oleh kepandaian dan ilmunya sendiri. Ia patut disedarkan bahawa ibu bapa dan gurunya lebih besar jasa dan lebih mulia daripada dirinya. Kepandaian dan kemuliaan yang diperoleh adalah hasil sumbangan dan pengorbanan ibu bapa dan guru-gurunya. Firman Allah:
Terjemahnya: Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkan sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran
(Al Jatsiah: 23)
Seorang profesor juga patut sedar bahwa kepandaiannya bukan untuk dirinya. Kalau masyarakat tidak mengakui ilmunya dan tidak mahu belajar daripadanya, dia menjadi tidak istimewa lagi. Dia akan sendirian dan kesepian. Ketinggiannya adalah kerana diangkat oleh masyarakat. Masyarakat yang menjadikan dia berada di tempat yang begitu istimewa. Tanpa masyarakat dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak dikenal oleh siapapun. Kalau begitu, maka tidak boleh seorang profesor melupakan masyarakatnya.
Murid-murid juga penting bagi seorang profesor. Muridnyalah yang menyebabkan dia jadi guru yang terkenal dan diminati. Muridnyalah yang membuat dia dapat berjasa dan menjadi mulia. Tanpa murid, kepada siapa ilmunya hendak disalurkan? Hasil karya seorang profesor juga memerlukan pembaca, pembeli, pengedar, pencetak, pembuat kertas, tinta dan lain-lain. Mustahil seorang profesor dapat menguruskan semua itu seorang diri. Bagaimana kalau tidak ada kertas, tidak ada tinta, tiadak ada pencetak, penjual, pembeli dan pembaca? Akan berhargakah buah fikiran profesor itu? Tentu tidak! Kalau begitu, seorang profesor harus sedar bahawa ia tidaklah terlalu istimewa dari manusia yang berada di bawahnya. Tanpa orang-orang itu dia sendiri tidak berharga apa-apa.
Selain itu perlu disedari bahawa gelaran profesor itu hanya untuk satu sudut yang kecil dari keperluan hidup. Sedangkan hidup ini banyak keperluannya. Yakni makan minum, kesehatan, tempat tinggal, kendaraan, pakaian, pengawalan keselamatan dan lain-lain. Yang semua itu kita perlu dapatkan dari orang lain. Kita sendiri tidak dapat mengadakannya. Seorang profesor tentu tidak mampu membuat roti. Maka untuk makan roti dia memerlukan pembuat roti. Demikianlah dalam keperiuan kesehatan, tempat tinggal, kendaraan dan lain. Kita memerlukan jasa dan pengorbanan orang lain. Ertinya kita saling memerlukan.
Pengajaran atau hikmah yang boleh diambil ialah:
1. Sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, setiap orang pasti memerlukan bantuan. Baik bantuan itu datang dari Allah atau dari manusia. Hanya Allah yang tidak memerlukan apa-apa dari siapa pun.
2. Dalam hidup ini, kita telah banyak menerima budi dan bantuan dari manusia lain. Kadang-kadang orang yang berbudi itu ialah orang yang kita tidak kenal dan kita anggap tidak bemilai.
3. Adanya orang kaya dan orang miskin, orang besar dan orang kecil, orang pandai dan orang bodoh adalah rahmat Allah untuk menjadikan kita saling bantu-membantu dan saling memerlukan supaya wujud jemaah atau masyarakat. Hidup tidak akan sempurna kalau semua orang pandai dan kaya. Keseimbangam serta keindahan hidup itu hanya akan terjadi kalau ada orang besar dan ada juga orang kecil. Ada bos, ada kuli, ada orang kaya dan ada orang miskin. BaruIah segala keperluan masyarakat akan terisi dan dipenuhi dengan sendirinya.
4. Perbezaan keahlian bukan untuk dipertandingkan atau untuk menyombongkan diri atau untuk berbangga-bangga dan berkecil hati serta berhasad dengki. Ia adalah untuk saling mengisi, saling menyumbang, saling memberi dan menerima dan seterusnya agar masing-masing merasa dirinya diperlukan, dihormati dan dikasihi.
5. Kehidupan manusia yang bermula dari satu ibu dan ayah ini (Adam dan Hawa) sebenarnya umpama satu keluarga yang besar. Antara satu dengan yang lain berhubungan dan terikat baik sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu. Misalnya pembuat kereta di| Eropah berkait dengan penoreh getah di rancangan tanah Felda, Malaysia. Kalau hal ini dihalusi oleh bos kereta itu, tentu dia akan mengunjungi penoreh getah dengan rasa terhutang budi. Seterusnya bos ini akan membela penoreh tadi agar tidak hidup miskin dan tersisih. Penghuni istana di Kuala Lumpur juga akan menziarahi nelayan. Demikianlah seterusnya manusia akan saling membela dan mengunjungi kerana mereka sebenarnya adalah satu keluarga.
6. Sehebat apapun seseorang itu, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang, pasti dia sudah
terhutang budi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya di sisi orang lain, maka tidak seharusnya timbul saling menghina dan berpecah belah.
Seorang raja, presiden, perdana menteri, menteri, ulama, profesor, saudagar kaya atau ketua tentera atau apa saja kebesaran yang dimilikinya, dia pasti tidak mampu hidup bersendirian. Apalagi kalau manusia itu seorang rakyat biasa, petani, nelayan, buruh kasar dan mereka yang tidak kaya, tidak pandai, tidak mulia dan tidak berjawatan memang sangat memerlukan jasa dan sumbangan orang lain yang lebih mampu darinya. Ertinya manusia memang memerlukan orang lain. Mereka saling berkait dan tidak dapat berpisah, seolah-olah terikat dalam satu ikatan keluarga yang besar.
Oleh kerana itu tidak sepatutnya kita membiarkan adanya kasta-kasta atau kelas-kelas dalam sistem hidup bermasyarakat di dunia ini. Tidak sepatutnya raja terpisah dari rakyat jelata, orang besar terpisah dari orang kecil, si kaya mengasingkan diri dari orang miskin. Dan orang pandai tidak mampu hidup tanpa orang bodoh. Majikan tidak bisa hidup tanpa buruh begitulah seterusnya.
Kalaulah hal ini diinsafi dan disedari dengan sebenar-benarnya oleh setiap manusia, maka tidak ada seorang pun akan berbuat sombong kepada orang lain. Sebaliknya masing-masing merasa rendah diri dan memandang orang lain dengan rasa hormat dan kasih sayang. Raja akan menghormati rakyatnya, kerana dengan adanya rakyatlah maka dia naik menjadi raja. Rakyat pun memuliakan rajanya kerana merasa raja adalah penaung hidup mereka. Majikan-majikan besar akan menyayangi buruh-buruhya kerana dari titik peluh merekalah dia mampu menjadi majikan. Buruh-buruh juga akan sayang pada majikannya kerana atas jasa majikannyalah mereka dapat mencari sumber kehidupan. Orang pandai menghormati orang bodoh, kerana dengan adanya orang bodohlah dia boleh menggunakan kepandaiannya. Sebaliknya si bodoh akan sangat hormat pada si pandai kerana atas jasa si pandailah dia mendapat ilmu. Demikianlah seterusnya. Alhasil manusia akan hidup bersatu padu dalam satu susunan hidup bermasyarakat yang sama rata dan hormat-menghormati serta merasa saling memerlukan antara satu sama lain. tidak ada lagi istilah masyarakat super scale, first class, second class, third class dan no class, semuanya senasib. Senasib ertinya masing-masing tidak lepas dari menerima dan mengharap bantuan orang lain. Senasib juga ertinya tidak terlepas dari kekuasaan Allah SWT, tidak terlepas dari dimatikan oleh Allah, tidak terlepas dari alam Barzakh dan alam akhirat serta dari syurga dan neraka. Maknnya manusia semuanya jadi satu kelas, satu hati dan benar-benar bersatu.
Hari ini kesedaran seperti ini belum wujud dalam masyarakat kita. Tidak banyak yang faham kenapa Allah jadikan orang besar, orang kecil, orang pandai, orang bodoh, orang kaya, orang miskin, bos, buruh dan lain-lain. Kerana itulah manusia tidak sedar kalau mereka saling memerlukan, saling berkait dan saling mempunyai kaitan yang penting antara satu dengan yang lainnya. Apabila hal ini tidak disedari, terjadi suatu keadaan ketika masing-masing merasa dirinya lebih dari orang lain. Manakala yang kurang merasa hina diri dan hasad dengki. Lalu manusia hidup bermusuhan, berpecah belah dan saling tekan menekan. Tidak ada kedamaian dan kasih sayang lagi. Kehidupan menjadi begitu tegang dan meruncing. Kebahagiaan di dunia sering terancam, di akhirat lebih-lebih lagi.
Menyedari hakikat ini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap, membaiki keadaan dengan masing-masing dimulai untuk memiliki sikap menghormati orang lain sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri. Sayidina Muaz pernah bertanya kepada Rasulullah,”bagaimana untuk selamat di hari hisab nanti?” Jawab Rasulullah,”Engkau kasihi orang lain sebagaimana engkau mengasihi dirimu sendiri.
ISLAM MENGUTAMAKAN KASIH SAYANG
Islam, agama yang mengutamakan kasih sayang,
Allah memulakan kasih sayang itu,
Kepada hamba-hamba-Nya tidak kira Islam mahupun kafir,
Baik mahupun derhaka,
Buktinya,
Hamba-Nya tak meminta itu pun diberi-Nya,
Betapalah yang meminta,
Sebagai buktinya,
Kita hidup tidak memintanya,
Udara diberi kita tidak memintanya,
Bumi tempat kita berpijak, kita tidak memintanya,
Bulan, bintang, matahari yang sangat berguna,
Kita tidak memintanya,
Itu yang bersifat lahir yang sangat nyata,
Yang bersifat batin yang tidak ketara,
Kalau kita membuat baik diberi pahala,
Kalau kita terbuat salah, kita minta ampun,
Diampunkan-Nya,
Yang kita tidak ceritakan kiaskan saja,
Begitulah Allah meminta terutama kita manusia
Berkasih sayang sesama, yang susah dibela,
Yang senang membela,
Yang salah meminta maaf,
Itu kasih sayang namanya,
Yang tak bersalah memberi maaf,
Siapa tidak gembira,
Yang berkuasa, berlaku adil dan saksama,
Yang kaya, tidak sombong dan merendah diri,
Kepada manusia, kan orang suka?
Yang pandai tawadhuk tidak sombong kepada manusia,
Bukankah orang suka?
Yang senang kita tidak hasad dengki dengannya,
Bahkan turut sama gembira,
Itulah kasih sayang namanya
Yang berharta, pemurah, siapa tak suka?
Orang tidak mengata kita,
Kita tidak mengata orang,
Itulah kasih sayang namanya,
Orang dapat susah, kita rasa sedih bersamanya,
Kita dapat kesusahan, orang ikut simpati dengan kita,
Itukan kasih sayang namanya,
Bertolong bantu sesama manusia,
Itu kasih sayang namanya,
Bertolak ansur dalam pergaulan, berlapang di dalam kehidupan,
Itu termasuk kasih sayang juga,
Jadi jelas, Islam adalah agama kasih sayang,
Allah yang memujuk dan memberi kasih sayang kepada hamba-Nya,
Sekalipun hamba-Nya derhaka,
Cuma di Akhirat dibalas-Nya,
Kemudian dianjurkan kasih sayang itu kepada manusia,
Memang tidak ada manusia yang tak suka,
Kasih sayang adalah salah satu kebahagian manusia,
Siapa yang tak dapat kasih sayang,
Jiwanya derita,
Kalau orang yang memperjuangkan Islam tidak berkasih sayang,
Bukanlah Islam sebenarnya,
Islam menganjurkan kalau orang kafir pun disuruh kasih sayang,
Kejahatan mereka didoakan,
Betapalah kepada Umat Islam,
Kasih sayang mesti ketara,
Barulah manusia di dunia ini boleh bersatu padu dan bekerja sama dengan ikhlasnya,
Kalau tidak manusia berbuat juga tetapi pura-pura,
Perjuangkanlah Islam yang berkasih sayang, Allah sangat suka,
Sebab itu Allah memulakannya.
26.07.2005 Menjelang Maghrib
AIR MATA TAUBAT NABI ADAM
” Semenjak Nabi Adam terkeluar dari Syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah SWT. Beliau sujud di atas gunung selama 100 tahun. Kemudian beliau menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dan air mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pokok kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau.
Burung-burung itu berkata, “Sedap sungguh air ini.” Nabi Adam terdengar kata-kata burung itu. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, “Hai Adam, sesungguhnya Aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dari air mata taubatmu.”
Begitulah rasa berdosa dan bersalah kepada Allah telah menyebabkan Nabi Adam menangis selama beratus tahun lamanya. Sehingga kemudiannya Allah telah menerima taubatnya dan menjadikan air yang lazat, pohon cengkih dan kayu manis daripada air mata taubatnya itu.”
Bagaimana pula dengan kita. Pernahkah kita menangis apabila terbuat dosa? Sesungguhnya airmata taubat dari seseorang manusia itu boleh menyelamatkannya dari bakaran api Neraka.
Renungan……….
Bersegeralah Bertaubat.
Marilah kepada-Ku, wahai hamba-hamba-Ku,
Bersegeralah pulang, ke pangkuan-Ku,
Bersegeralah bertaubat selalu,
Aku tetap menerimamu, percayalah,
Aku tahu kamu hamba-hamba-Ku, ciptaan-Ku,
Kamu adalah lemah, kelalaian dan kealpaan adalah watakmu,
Aku mahu akuilah kelemahan itu.
Setiap kali bersalah kamu datang pada-Ku,
Kemudian mengakulah bersalah,
Menangislah di depan-Ku ,tanda penyesalan yang tidak sudah,
Kalau engkau lakukan lagi tanpa nawaitu,
Datang lagi kepada-Ku,
Mengakulah salah, menyesallah, merintihlah, menangislah,
Ketahuilah wahai hamba-hamba-Ku,
Rintihan orang yang berdosa,
Lebih Aku cintai daripada tasbih para auliya` .
Wahai hamba-hamba-Ku,
Jangan bertangguh-tangguh lagi,
Siapalah yang tidak bersalah ,kamu adalah hamba,
Tapi Aku suka orang yang mengaku salah,
Aku cinta kepada orang yang bertaubat ,
Minta ampunlah kepada-Ku wahai hamba-hamba-Ku,
Aku tetap menerimamu ,bukankah Aku Tuhanmu,
Kasih-Ku kepada hamba-hamba-Ku,
Lebih daripada seorang ibu yang kasih kepada anak-anaknya,
Begitulah kehendak Allah kepada hamba-hamba-Nya,
Mengikut keterangan Al Quran dan As Sunnah.