Tag Archives: hamba

HIKMAH MEMINTA DAN BERDOA

Ya Allah, kalau kami tidak memberitahu tentang diri kami,
Engkau pun tahu
Kami ini bukankah ciptaan Engkau?
Engkau lebih tahu tentang diri kami daripada diri kami sendiri
Engkau tahu apa yang kami perlu dan apa yang kami tidak perlukan
Engkau boleh menganugerahkan keperluan itu pada kami
Engkau boleh tidak memberi apa yang kami tidak perlu
Tapi seorang hamba itu
akan boleh berhubung dengan Khaliqnya
Engkau suruh kami meminta
Kerana itulah kami meminta kepada-Mu selalu
Supaya hamba itu dapat melahirkan sifat kehambaan
Meminta itu adalah salah satu cara
melahirkan sifat kehambaan
Hikmah yang lain, meminta itu adalah termasuk ibadah,
diberi pahala
Kalau tidak meminta, apa pahalanya
Inilah hikmahnya Engkau menyuruh hamba-Mu
meminta keperluannya
Dan meminta ditolak perkara yang tidak diperlukan
Terhubunglah antara hamba dan Khaliqnya
Terlahirlah sifat kehambaan di dalam meminta
Terlihat kebesaran Khaliq kerana ‘tempat meminta’
Kerana doa itu adalah usaha maka diberi pahala pula
Begitulah hikmah meminta dan berdoa
Kerana itulah aku meminta apa yang aku perlu
dan meminta ditolak apa yang tidak perlu
Padahal kalau kami tidak meminta pun,
Engkau tahu keperluan-keperluan kami

Menjelang tidur
17 – 10 – 1999

HAJI KEMUNCAK IBADAH

Selamat menyambut Idul Adha dan selamat menjalankan ibadah korban, muga-muga segala pengorbanan kita dinilai sebagai ibadah oleh Allah SWT.

Firman Allah. Surah Al-Haj ayat 27-32: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah) Mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaaf akan Baitullah (Ka’abah) yang tua sejarahnya itu.

Itulah yang wajib dipatuhi, dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan olehpenyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.

(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati Syi’ar-syi’ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati mukmin.”

Ya Allah, sedihnya hati kami, kerana tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya masih belum mampu untuk menziarahi istana Mu Ka’abah, yang terletak di Makkatul Mukarromah untuk menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kemuncak yang sangat menguntungkan itu. Belum layakkah kami untuk bersama Mu di istana suci. Tempat lahirnya para Anbiya Mursalin, sahabat Tabiin, Siddiqin, Syuhada, Muqarrobin dan Solihin itu? Agaknya kami masih jahat, lalu Dikau pun belum sudi memanggil sebagai tetamu Mu!. Namun percayalah wahai kekasih agung, hati-hati kami berazam keras untuk menebus kekurangan ini dengan melakukan apa jua yang patut untuk kami juga dapat keberuntungan dan pahala haji, sekalipun kami tidak pergi haji. Dalam sejarah memang ada ceritanya orang-orang yang tidak pergi menunaikan haji pada tahun itu, tapi berjaya dapatkan pahala haji. Moga-moga Ya Allah, kami mampu menempah sejarah itu juga dengan keizinan-Mu.

Untuk itu biarlah di musim haji ini kami mengenang-ngenangkan sesuatu berkait dengan ibadah haji dengan segala hikmah rahsia dan selok beloknya. Moga-moga harapan untuk dapat keuntungan haji mampu menjadi kenyataan.

Haji Kemuncak Ibadah

Rukun iman dan rukun islam adalah pelembagaan hidup lahir dan batin orang-orang yang cintakan Tuhan. Sepertilah rukun negara bagi orang yang cintakan negara. Gabungan kedua-dua rukun ugama ini, bila di amal, dihayati dan di perjuangkan sungguh-sungguh akan lahirkan patriot agama yang bertaraf muttaqim atau siddiqin, muqarrobin, paling tidak solihin yakni orang bertaqwa yang begitu dekat dengan Allah. Mereka adalah orang-orang Tuhan yang kekuatannya 1 orang Tuhan sama dengan 10 yang bukan.

Hal ini berlaku melalui satu proses pembinaan insaniah yang cukup profesional, sistematik dan intensif yang diprogramkan melalui rukun Islam yang 5.

Kalimah Syahadah

Bermula dengan mengucap dua kalimah syahadat. Bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Seseorang pun mulalah melihat Allah sebagai tujuan dan cita-cita hidupnya dengan berpandukan cara hidup Nabi Muhammad SAW. Cita-cita lain seperti hidup untuk kaya, hidup untuk berilmu, hidup untuk enjoy, hidup untuk berjawatan dan lain-lain lagi yang semuanya merupakan penyakit cinta dunia yang ditaja oleh nafsu dan syaitan, mula ditinggalkannya. Sebab dia faham bahawa prinsip hidup untuk Tuhan akan dengan sendirinya menundukkan dunia untuk juga di seretkan kepada Tuhan. Status dunia hanya sebagai alat bukan matlamat. Syaitan dan nafsu tidak layak dijadikan Tuhan. Darjat mereka telah rendah bahkan bertaraf musuh Tuhan. Kalimah syahadah adalah pemisah antara golongan yang bertuhankan nafsu dengan golongan yang bertuhankan Allah . Bagi orang yang benar-benar faham dan menghayati. Hamba nafsu matlamatnya dunia. Hamba Allah matlamatnya akhirat. Maka dari sinilah orang-orang seseorang orang Tuhan untuk bertolak ke destinasinya.

Rukun Islam Yang Kedua, Sembahyang.

Calon-calon patriot ugama, dipanggil Tuhan 5 kali sehari menghadapnya diupacara sembahyang. Panggilannya melalui azan dan iqamah cukup tegas dan jelas. Dengan maksud bahawa tiada dibesarkan dan tidak di taati melainkan Allah. Maka mengadaplah si hamba dengan ikrar dan perilaku yang membawa maksud lagi bahawa hidup mati hanya untuk Allah dengan tidak membesarkan dan tidak mentaati melainkan Allah. Hari demi hari jadi kian meneballah rasa bertuhan dan rasa kehambaan si calon. Makin tinggilah kemanusiannya, makin haluslah akhlaknya dan makin membaralah semangat juangnya untuk menjadi khalifah Allah, membela nasib seluruh hamba-hamba Allah di muka bumi ini.

Rukun Islam Yang Ketiga Dan Keempat, Puasa Dan Zakat.

Bagaimana rukun ini berperanan?

Cinta mesti dibuktikan. Yakni mesti mampu menahan diri dari keinginan-keinginan nafsu yang lahir dan yang batin, demi sumpah hidup untuk Allah. Dan mesti mampu mengorbankan hak, atas nama cinta dan sumpah yang sering diikrarkan. Maka puasa dan zakat adalah buktinya. Kedua-duanya adalah proses pembersihan lahir dan batin untuk seorang wira tuhan yang bakal memasuki gelanggang perjuangan bersama Tuhan. Dengan puasa danzakat seorang jadi cukup kebal bagi mempertahankan status hamba Allah bilamana diserang oleh Tuhan-tuhan palsu yakni nafsu dan syaitan.

Firman Allah:Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan

Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata.

Ya, nafsu dan syaitan sangat berhajat untuk menjadikan seluruh manusia dan hamba-hamba mereka hamba nafsu dan syaitan. Namun Allah, melalui puasa dan zakat sangat menarik manusia agar menjadi hamba Allah.

Rukun Islam Yang Kelima Ialah Kemuncak Ibadah Iaitu Haji.

Maka tibalah giliran upacara kemuncak bagi proses pembinaan rasa hamba dan rasa bertuhan dalam diri hamba Allah. Sekaligus terbakar hanguslah usaha-usaha nafsu dan syaitan membina mazmumah dalam diri-diri, bilamana manusia telah melalui proses kemuncak ini, haji adalah pengunci materi rohaniah manusia daripada dapat diganggu gugat lagi oleh nafsu dan syaitan. Ia pelengkap dan penyempurna proses pembangunan insaniah untuk manusia layak menjadi orang Tuhan samada menjadi Muqarrobin, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Kaedah inilah juga yang dipakai oleh raja-raja di dunia, bagi memartabatkan tokoh-tokoh dunia ke peringkat Datuk, Tan Sri, Tun, Datuk Sri dan lain-lain. Di mana untuk upacara kemuncak itu mereka-mereka yang layak dipanggil khusus ke Istana raja, untuk disematkan bintang-bintang kebesaran tadi. Haji selaku ibadah kemuncak, pelengkap rasa hamba dan rasa bertuhan, maka Allah, Raja bagi segala raja-raja memanggil khusus orang-orangnya untuk ke Istana Agung. Tepat pada tarikh 10 Zulhijjah di sana orang-orang Tuhan ditabalkan rohaniah mereka ke martabat-martabat yang Allah sendiri tetapkan untuk mereka. Orang ini, bila pulang ke tanah air pasti akan berubah watak dan sikapnya. Jadi lebih baik dari sebelum. Hingga orang ramai perasan akan perubahannya

Demikianlah rukun Islam dapat memalaikatkan manusia. Tiap-tiap satu dengan fungsinya masing-masing, membekalkan rasa hamba dan rasa bertuhan kepada roh manusia. Memang fungsi ibadah yang utama ialah untuk roh manusia merasa hamba kepada Allah sekaligus roh merasa dia ada Tuhan yang sentiasa bersamanya. Rasa kehambaan dan rasa bertuhan itu saling lazim-melazimi, tidak mungkin bercerai. Jika rasa bertuhan tajam , rasa kehambaan menebal, kalau rasa bertuhan tiada atau tipis, maka rasa hamba juga ikut tidak ada. Kedua-duanyalah yang dikatakan taqwa. Mungkin, syahadah dapat membekalkan 10 % rasa taqwa, sembahyang 50 %, puasa 20 %, zakat 10% dan haji 10%.

Begitulah besarnya peranan rukun Islam sebagai rukun hidup seorang hamba Allah, satu sama lain kuat menguatkan. Sepatutnya orang Islam kalau mahu jadi bangsa yang kuat ambillah rukun Allah ini sebagai rukun hidup, rukun perjuangannya, rukun negaranya. Barulah bangsa kita boleh maju menandingi Amerika, Jepun, Eropah, Korea dan lain-lain dari segi tamadun lahiriah.

Saudara-saudara tetamu Allah sekalian,

Umat Islam yang kuat itu ialah kuat taqwanya, jitu perpaduannya dan selaras fikiran serta tindakannya. Tamadun lahir hanya sebagai tambahan dan sokongannya. Dan ini hanya dibuat bilamana dalam dada-dada mereka penuh tebal rasa hamba dan rasa bertuhan. (Takut dan cintakan Tuhan) hasil mengamalkan rukun iman dan Islam. Sebab hanya dengan rasa-rasa inilah akan tercabutnya rasa sombong, pemarah, riyak, ujub, bakhil, tamak, dengki, mementingkan diri, dendam, gila kuasa, salah guna wang dan lain-lain. Yang mana semua mazmumah inilah yang menjadi punca pecah belahnya orang Islam hari ini.

Kalaulah sifat negatif ini sudah musnah oleh rasa hamba dan rasa bertuhan, yang dibangunkan oleh rukun Islam maka automatik manusia akan memiliki sifat-sifat positif atau mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, merendah diri, pemurah, timbang rasa, pemaaf, meminta maaf, bertolak ansur, kasih sayang, rasa bersama dan kerjasama, semua mahmudah ini amat penting, menjadi punca untuk manusia dapat bersatu padu dan selaras dalam bertindak dan berfikir. Dan dapat benar-benar berlaku jujur berkhidmat kepada seluruh manusia. Tanpa taqwa, mustahil manusia dapat disatukan secara hakiki dan praktikal.

Perpaduan-perpaduan palsu yang dibuat-buat dan hidup berpura-pura telah terbukti gagal membina tamadun bangsa sampai ke hujung. Semuanya bubar di tengah jalan. Hanya taqwa yang boleh menjamin orang Islam untuk dibantu Allah, menjadi empayar yang mampu menaungi bangsa-bangsa lain di dunia. Jiwa yang sudah diseal atau dimateri dengan mahmudah, akan menarik dan mempengaruhi semua orang sekalipun orang bukan Islam untuk menerima kepimpinan mereka. Kebaikan akhlak mereka dalam mengendalikan urusan-urussan hidup cukup manawan hati hingga semua orang sanggup taat dan hormat dengan sistem hidup yang mereka bawa.

Maha Baik-Nya dan Maha Bijak-Nya Allah kerana menghadiahkan rukun iman dan rukun Islam sebagai rukun asas bagi mendidik manusia dalam kehidupan di dunia ini. Rupa-rupanya di dalamnya tersimpan mutiara paling berharga untuk tujuan pembangunan insaniah bangsa. Sayang sekali selama ini kita tidak mampu mengambilnya.

Haji punyai maksud yang cukup besar.Tidak menunaikan haji ertinya kekurangan besarlah kita. Tapi bagi orang yang tidak cukup syarat kita masih boleh mengusahakannya agar roh atau semangat haji serta hikmahnya, boleh juga kita perolehi yakni dengan cara pada hari-hari Idul Adha ini usahalah lakukan ibadah-ibadah seperti di bawah ini:

Hiburkan dan gembirakan keluarga, jiran-jiran dan orang-orang susah dan miskin di persekitaran rumah kita, dengan menunaikan keperluan mereka semua. Kalau mampu korbankanlah seekor lembu atau kambing untuk mereka.

Maafkanlah semua orang yang bersalah kepada peribadi kita, walau siapa pun dia dan sebesar mana pun salahnya.

Meminta maaflah kepada manusia yang kita sudah bersalah pada mereka

Oleh kerana haji itu ialah pengorbanan, mengorbankan hak-hak kita untuk orang yang memerlukan, sebagai bukti cinta kita kepada Allah, maka dengan anak-anak jangan lagi menggarang tidak tentu pasal. Ambil kira perasaan mereka dengan sikap-sikap bengis kita. Takutilah Allah berkait dengan urusan mereka. Didiklah agar mereka kasih dan takut. Tidak kasih saja nanti dia manja, tidak takut saja nanti dia benci. Manja dan benci kedua-duanya racun pembunuh pertumbuhan rohaniah anak-anak.

Dengan orang gaji, lakukanlah dia seperti anak-anak atau saudara kita. Korbankan perasaan dan hak kita untuk menghibur dan menyelesaikan masalah kemiskinannya itu. Jangan pandang rendah dan hina, jangan anggap buruk. Gagal melayaninya dengan tanggungjawab dan kasih sayang. Ertinya gagal mendapat keredhaan Allah. Kaki kita akan tersangkut di situ. Berilah makanan dan pakaian berlebihan di rumah kita untuk dibawa pulang, gaji yang diberi biar cukup dengan keperluannya.

Setiap kali menghadap makanan yang enak-enak dan banyak, doakan petunjuk dan murah rezeki kepada segala petani dan nelayan yang terlibat mengusahakan nasi dan lauk-lauk itu. Jasa mereka itu mana boleh dilupakan saja. Sekalipun makanan itu sudah kita bayar. Sebab kemiskinan mereka tidak membolehkan mereka makan sedap. Sedangkan kita kaya-raya di atas jasa-jasa mereka. Kenalah kita bertanggungjawab. Pasti kita akan ditanya Allah tentang mereka suatu hari nanti. Begitu juga nasib buruh-buruh binaan, jalan raya, tukang angkat sampah, penoreh, pekerja kilang, hendaklah kita doakan dan tolong mereka atas jasa-jasa membangunkan rumah kita, pakaian, kenderaan, kebersihan dan lain-lain. Sebelum Allah tanya kita apa tanggungjawab terhadap golongan bawahan sedangkan kita hidup atas titik peluh mereka!

Ketika membeli di pasar, makan di restoran, berada di jalan raya, pertimbangkan nasib dan perasaan orang lain. Hingga kita terasa tidak sanggup makan seorang. Lalu bayarkanlah sekadar mampu orang kiri kanan yang berada di pasar atau di restoran. Manakala di jalan raya dahulukanlah laluan untuk orang. Begitulah kemuliaan akhlak yang dicetuskan oleh rukun Islam. Yang mana itu tidak mungkin dibuat kecuali oleh orang-orang yang seperti diceritakan dalam surah Al Haj ayat 35. Watak-watak ini sebenarnya cukup sulit kecuali haji mereka yang Allah bentangkan dalam surah Al Haj ayat 35:

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”

Ya Allah, Ya Tuhan kami, demi menjadikan hidup ini dan mati nanti benar-benar di atas jalan-Mu yang lurus, berilah kekuatan untuk kami melakukan pengorbanan-pengorbanan yang tersebut itu, di musim Haji yang meminta korban besar itu. Bapa agama kami ini, Nabi Ibrahim sampai tekad untuk korbankan nyawa anaknya untuk membuktikan kepatuhan dan taat setiapada-Mu Tuhan. Kami anak-anaknya ini belum mampu, korbankan hak yang kecil-kecil saja.

Ya Allah, jadikanlah semua jemaah haji yang dapat menunaikan haji mereka pada tahun ini dapat ubah perangai dan akhlak mereka bila pulang ke tanah air masing-masing. Materi matikanlah mazmumah dari hati mereka dan kunci kemaskanlah mahmudah di dalam dada-dada mereka. Supaya kepulangan mereka dapat membawa role model dan aset bangsa, modal-modal asas terbangunnya masyarakat madani dan negara Islam contoh. Kalau dia orang-orang politik dan pemimpin dapat jadi payung pada bangsanya, ulamak-ulamak dan cerdik pandai jadi obor, menerangi umat, orang-orang kaya boleh jadi bank biayai keperluan masyarakat. Rakyat-rakyat dan orang-orang bawahan mampu taat dan patuh pada pemimpin-pemimpin mereka, si miskin redha, sabar dan tidak meminta-minta, orang awam supaya berilmu dan terdidik, para remaja dan kanak-kanak berjuang dan membenteng negara dengan sikap-sikap soleh dan solehah.

Bila setiap golongan mampu sebaik ini berkat menyempurnakan ibadah haji moga-moga negara-negara umat Islam tidaklah lagi seteruk sekarang. Miskin, kotor, berebut-rebut, berkrisis, menipu, rasuah, pembunuhan, jenayah, gejala maksiat, dadah, zina, rogol, arak, judi, sumbang muhram, kemalangan jalan raya, bencana alam, rompakan dan perang. Mana ada satu pun negara orang Islam yang jadi negara maju setelah merdeka selama 100 tahun, 80 tahun, 50 tahun, 40 tahun, dan 30 tahun? Semuanya jauh ketinggalan, dengan barat, Eropah, Korea Jepun. Banyak yang masih mengemis dengan penjajah tapi terus-menerus menyalahkan penjajah. Walhal kedegilan dan kesombongan dan kejahatan kitalah yang menyebabkan Allah belum pun mendaulatkan kita di atas musuh-musuh kita itu! Ibadah-ibadah yang kita buat, haji yang menghimpunkan umat Islam sedunia setiap tahun tidak menghasilkan sesuatu yang sepatutnya yang dijanjikan Allah untuk orang-orang yang bertaqwa. Haji hanya tinggal jadi budaya sahaja.

Ya Allah, sempena haji 1435 ini, kami-kami yang tidak dapat berhaji ini, memohon sepenuh hati atas nama Rasulullah, keluarga dan Sahabat baginda dan guru-guru kami selaku wasilah antara hamba dengan Tuhan, semoga kami dapat sempurnakan pengorbanan dan taqwa yang disyaratkan untuk kami dapat kemenangan. Selesaikanlah Ya Allah masalah-masalah kami dengan pemimpin kami, dengan sesama kami, dengan anak-anak buah kami, dengan keluarga kami, dengan jiran kami, dengan kawan sahaja dan dengan seluruh umat Islam dan yang bukan Islam .

Krisis-krisis inilah yang menyebabkan bantuan dan janji-Mu untuk kami belum juga berlaku. Pimpin, ajar dan tunjuklah kami untuk sanggup berkorban melakukan jalan-Mu yang lurus ini. Dengan semangat Haji, moga-moga kami layak menjadi orang-orang yang dipanggil saudara-saudara Rasulullah yang mampu menempa sejarah sebagaimana yang pernah dijayakan oleh baginda, dan Sahabat-Sahabatnya.

KEKAYAAN, KESENANGAN, KEMEWAHAN ADALAH SEKEJAP – YANG LAMA ADALAH PENDERITAAN DAN KESUSAHAN

Mari kita sama-sama menerima peluang rezeki umur dan bermacam pengalaman yang Allah berikan kepada kita untuk menyaksikan berbagai perkara di dunia. Banyaklah yang boleh diambil iktibar. Rupa-rupanya ada perkara yang kita fikirkan di masa muda, secara realitinya tidak dapat kita lakukan. Tuhan telah tetapkan segalanya.

Sebagai contohnya ialah soal mencari kesenangan. Siapa pun memang mempunyai cita-cita hidup senang lenang, kaya raya dan sebagainya. Cuma kita dapati biasanya hal sebegitu tidak lama. Kalau pun sudah berhempas pulas berusaha sejak muda, hanya taqdir Tuhan yang akan berlaku. Kadang-kadang kita lihat dalam berusaha mencari kesenangan – untuk keluarga dan anak cucu – tanpa mengira halal haram semuanya di rempuh asalkan dapat apa yang diharap-harapkan. Bila kekayaan sudah melimpah ruah, baru hendak berehat dan santai, datang pula berbagai masalah baru. Sebenarnya masalah ini wujud sejak awal usaha mengejar dunia.

Ditipu, dirompak, difitnah, dituduh di mahkamah, kerugian, perceraian, kematian anak atau isteri, menderita sakit, sakit jiwa dan berbagai ragam masalah lagi adalah ‘pakej’ ujian yang datang silih berganti. Inilah yang lumrah terjadi. Ianya sangat menginsafkan betapa dunia itu sangat menipu. Kadang-kadang kelihatan tidak ada apa-apa tetapi setelah kesenangan yang dikejar begitu lama, bila sudah dapat, rupanya ada masalah lain yang menanti bersama kesenangan. Banyak kesusahan yang tersembunyi di sebalik kesenangan. Itulah yang malangnya,.

Kita boleh lihat ramai tokoh gerakan Islam di Malaysia yang berkata umat Islam mesti kaya untuk bela Islam. Maka mereka pun berusaha dengan berbagai cara – yang halal dan haram – demi memastikan mereka jadi kaya. Dan untuk membolehkan kekayaan itu menjadi tapak membangunkan ‘Islam’ yang dicita-citakan, maka mereka memujuk anak-anak untuk bersekolah di mana-mana sekolah Islam. Yang hantar ke sekolah tahfiz pun ramai. Asalkan sianak mahu belajar, siayah akan sangup menghantar mereka ke mana sahaja.

Ada seorang tokoh yang ada cita-cita Islam, 30 tahun lalu berfikiran seperti apa yang dinyatakan ini. Anaknya 3 orang dihantar ke sekolah tahfiz. Si ayah sibuk menguruskan dunia korporat – mengejar dan merebut peluang demi peluang. Kesibukan mengurus perniagaan yang makin berkembang menjadikan dia lupa niat awalnya. Dunia korporat yang dikejar. Empayar perniagaan dikembang biakkan dengan pelbagai bidang operasi di bawah anak-anak syarikat. Maka akhirnya anak-anak tidak sempat habis belajar. Mereka dipanggil pulang untuk membantunya menguruskan perniagaan. Cita-cita mewujudkan sekolah tahfiz yang serba lengkap – hasil kekayaan yang ada – tidak kesampaian. Apa yang dicita-citakan dulu hanya mampu wujud dalam hatinya di peringkat awal; apabila masa berlalku, dunia yang melingkari hidup berjaya mengubah cita-citanya ke arah membina empayar perniagaan – tidak lagi ’empayar perjuangan.

Ada seorang tokoh lagi, sibuk dengan usaha perniagaan yang datang tergolek di depan mata. Anugerah kontrak daripada rakannya seorang menteri menjadikan cita-cita untuk bangunkan sebuah pusat kebajikan golongan tua terhenti begitu sahaja. Kesibukan berniaga dan peluang yang sentiasa datang menjadikan dia tidak ada masa memikirkan cita-cita awalnya. Sedangkan niatnya berniaga adalah untuk mencari sumber kewangan bagi membantu golongan warga emas yang ramai terlantar dan terbiar.

Ada pula seorang hamba Allah yang sombong bila sudah kaya raya. Belajar dulu sama-sama di Al-Azhar tetapi setelah balik dan terlibat dalam politik, tawadhuknya hilang. Pura-pura dan menipu menjadi budaya. Dia sempat kaya dan senang lenang dalam masa 8 tahun sahaja. Nafsu tentulah belum puas tetapi 8 tahun itu sudah lama mengecap nikmat dunia. Apa yang berlaku, isterinya meninggal dunia. Dia berkahwin lain. Anak-anaknya ketandusan kasih sayang yang akhirnya terjebak dengan dadah. Kalau dulu dia bergelut mencari dunia, sekarang dia bergelut menguruskan 2 orang anak lelaki yang sudah ketagih dadah. Sudah beberapa kali ditahan polis kerana ditahan di pusat hiburan dan bila diuji air kencing mereka didapati positif dadah. Dia malu dan menderita. Hidupnya kehilangan bahagia.

Apa yang kita nampak, kekayaan dan kesenangan itu hanya beberapa tahun sahaja. Janganlah tersilap menganggap masa yang sama dia juga bahagia; sememangnya dia tidak bahagia sedari awal. Orang yang bergelut dengan dunia tidak menempuh bahagia yang hakiki. Senang lenang yang ditempuh tidak bersama bahagia di hati. Hati yang makin kosong, menjadikan hubungan dengan Tuhan makin longgar. Sembahyang sudah tidak dipentingkan. Jadi ‘kesenangan’ hanyalah sementara. Selepas itu bersedialah pula menerima giliran kesusahan.

Ada berbagai pakej kesusahan yang Tuhan sediakan untuk dirasai setiap insan. Bukankah pergiliran nikmat dan ujian itu adalah janji Tuhan?

Ada seorang wanita korporat bergelar Dato’ yang berjaya. Hartanya berjuta ada di mana-mana. Kekayaannya juga tidak lama. Hasil hubungan baik dengan pihak tertentu banyaklah peluang yang berjaya direbut. Tetapi jangka masanya menempuh kekayaan itu tidaklah lama. Hanya 10 tahun dia merasa mencapai kemuncak ‘kejayaan dan kekayaan’. Tahun ke sebelas, dia disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Seorang ustaz dibawa suaminya untuk membaca surah Yasin dan mendoakannya. Dato’ ini sedang duduk di kerusi roda. Air matanya mengalir di pipi. Wajahnya pucat, rambutnya tidak terurus. Dato’ ini hanya menggagahkan membuka mulut dengan berkata. “Ustaz! tolonglah saya Ustaz, Saya sekarang sudah tidak fikirkan apa lagi. Semua yang saya miliki, sudah tidak ada ertinya pada saya. Saya insaf Ustaz!! Saya hanya minta satu perkara sahaja dengan Allah Taala… Saya minta saya disihatkan semula. Saya sangat berharap Tuhan sembuhkan penyakit saya ini. Tolonglah doakan saya Ustaz!!”

Selepas 3 hari, Dato’ ini meninggal dunia di hospital yang sama. Dia ada berjanji akan membantu siapa sahaja selepas dia sihat nanti. Dia menyesal selama ini melanggar perintah Allah. Dia berazam mahu menebus kesalahannya yang lalu. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana Tuhan maha tahu.

Jadi bagi anak cucu yang terfikir hendak mengejar dunia, renungilah semula kisah-kisah tadi. Dunia akan menjauhkan kita dari Tuhan dan akhirat. Dunia akan melalaikan kita. Bukan tidak boleh tetapi siapa yang berani bolehlah cuba tetapi janganlah menyesal seperti mereka yang lain menyesal. Lagi pula, tidaklah lama mengecap kesenangan kerana ada banyak kesengsaraan lain pula yang datang beriringan.

Lihatlah rumah-rumah besar dan mahligai indah di sekeliling kita. Ada yang usang ada yang masih gagah tersergam. Semuanya pernah dan sedang diduduki orang-orang kaya dan berada. Mahligai usang dan lesu itu tentulah sudah tiada penghuninya. Dunia yang dikejar akhirnya terpaksa ditinggalkan bila nyawa ditarik malaikat maut. Mahligai yang masih gagah pula hanya menunggu hari ditinggal pergi.

Mengejar dunia, rosaknya di semua segi, di hujungnya sengsara. Mengejar Tuhan, dapat akhirat yang kekal abadi yang segalanya nikmat kebahgiaan. Inilah tujuan kehidupan.

Di Palembang, seorang wanita pegawai tinggi Tentera Negara Indonesia (TNI) bertemu dengan seorang ustazah. Dia menitiskan air mata ketika memberi ucapan meluahkan rasa hatinya. “Saya tercari-cari tujuan dan matlamat saya hidup di atas muka bumi ini. Adakah sekadar belajar sampai ke universiti, berkahwin, bekerja, mempunyai anak, sakit dan kemudian mati. Saya tidak mahu hidup yang sebegini. Ini hidup yang tidak ada maknanya! Saya mahu hidup yang ada tujuan – kenapa saya dihidupkan Tuhan?”

Luahan hatinya dijelaskan oleh ustazah bahawa hidup kita adalah untuk Tuhan. Bukankah kita dihidupkan oleh Tuhan? Bukankah kita selalu ungkapkan dalam solat, ikrar dan janji kita untuk menyerahkan segala-galanya yang ada kepada Tuhan yang mencatur alam. Jadi kenapa kita tidak jadikan hidup mati kita untuk Tuhan?. Hidup kita adalah Hidup sebagai seorang hamba dan khalifah, sebagai seorang abid dan pejuang.

Percayalah jika kita jadikan Tuhan sebagai matlamat, hidup kita akan penuh dengan aktiviti yang tidak memungkinkan kita bersenang-senang atau santai-santai. Kita akan temui satu kehidupan yang penuh dengan program untuk membesarkan Tuhan. Setiap ruang waktu kita adalah ibadah. Dalam kehidupan kita seharian, kita kena promosi Tuhan di tengah masyarakat. Kita kena wujudkan aktiviti atas nama Islam untuk memperlihatkan Islam itu hebat, gagah, kaya dan berwibawa. Inilah maknanya kehidupan seorang mukmin. Dia mesti aktif dan berperanan sebagai seorang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dan dalam masa sama, dia juga seorang yang aktif bekerja untuk Islam, untuk Allah dan Rasul. Dia akan sanggup berkorban apa saja demi untuk menjayakan cita-cita ini.

Ibu beranak dua ini meninggalkan majlis dalam keadaan hatinya sudah puas menerima jawapan yang dicari-cari selama ini. “Saya telah bertemu dengan apa yang saya cari. Inilah kebenaran dan Insya Allah, saya akan turut serta memperjuangkannya!!”

PENGHUJUNG RAMADHAN

Orang-orang Allah, orang-orang yang dekat dengan Allah, mereka menderita sepanjang Ramadhan. Jiwa mereka tidak tenteram kerana dihujani dengan rasa bersalah. Sejak belum Ramadhan lagi, mereka sudah berdebar untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Mereka bimbang tidak mampu menghayati Ramadhan. Mereka sangat sedar betapa agung dan berharganya Ramadhan. Pada mereka Ramadhan adalah anugerah istimewa dari Tuhan. Mereka khuatir, mereka tidak menghargai Ramadhan dengan selayaknya.

Sebenarnya perasaan sebegitulah yang dikatakan sifat taqwa iaitu hati yang penuh dengan rasa hamba. Kalau masih bergembira, bergelak ketawa maka hilanglah rasa hamba. Tiadalah sifat taqwa kerana taqwa itu adalah perasaan hati yang rasa bersalah dengan Allah, rasa belum berbuat ketaatan yang sepatutnya kepada Allah swt. Sedangkan sifat taqwa itulah yang hendak diusaha-dapatkan melalui seluruh ibadah yang dilakukan. Ibadah sepatutnya membina rasa hamba bukannya membuatkan seseorang itu makin sombong.

Ramadhan bagi orang biasa adalah bulan berpesta makan minum. Mazmumah malah makin berkembang biak. Pembaziran, berpeleseran, berfoya-foya dan berpesta-pesta jadi budaya aneh di bulan Ramadhan. Mereka berpuasa tetapi jauhnya disiplin puasa mereka daripada cara Nabi Muhammad saw dan salafussoleh. Puasa hanya rutin tahunan yang dilakukan kerana semua orang berpuasa.

Puasa tidak menjadi satu agenda utama untuk mendapatkan Allah. Bahkan ada yang hanya berpuasa, solatnya tetap tidak dilakukan. Lebih malang jika berpura-pura puasa – makan sembunyi-sembunyi tetapi tidak malu hadir ke majlis berbuka puasa! Sangatlah membudaya di kalangan masayarakat awam aktiviti Ramadhan diisi dengan persiapan hari raya. Sepatutnya Ramadhan dibesarkan dengan pelbagai amalan wajib dan sunat tetapi sebaliknya yang dilakukan.

Demikianlah tidak semua insan terpilih untuk menjadikan Ramadhan sebagai bulan penuh penghayatan. Sedangkan menghayati Ramadhan dengan solat yang lebih khusyuk, puasa yang sangat menginsafkan diri, solat Terawikh yang ditekuni sepenuh hati, baca Quran, bangun malam, bersedekah dan sebagainya adalah elemen pengukuh hubungan hati dengan Allah Maha Pencipta. Para kekasih Allah melakukannya secara sungguh-sungguh sampai menangis dan penuh kekesalan. Kadang-kadang mereka rasa benci dengan diri yang belum cukup istiqamah dalam mujahadah. Mereka kesal dengan hati yang masih terus ditunggangi nafsu walaupun syaitan iblis sudah dibelengggu.

Semakin ke hujung Ramadhan, hati para kekasih Allah semakin sedih dan menderita. Berpisah dengan Ramadhan adalah satu siksa yang mendera jiwa. Allah persiapkan Ramadhan dengan dirantai syaitan tetapi mula membukanya sebaik maghrib 1 Syawal menjelma. Allah bukakan pintu syurga seluas-luasnya dan menutup pintu neraka serapat-rapatnya apabila masuknya Ramadhan.

Habuan berganda untuk mereka yang mengisi Ramadhan dengan hati dan jiwa yang murni. Tetapi segala peluang sebegini akan tamat tawarannya apabila anak bulan Syawal muncul di kaki langit di ufuk barat. Tawaran sudah tamat. Kehidupan biasa akan kembali semula. Pintu neraka kembali dibuka menandakan kemasukan demi kemasukan ke neraka akan mula berlaku. Insan pilihan Allah akan bersedih hati mamikirkan ini semua.

Sejauh mana Ramadhan berjaya mengubah hati, akan dapat dilihat pada penghayatan hati masing-masing. Ianya gambaran hati yang terpancar pada cara Ramadhan diisi. Kemuncaknya pada Aidil Fitri akan terserlah natijah Ramadhan yang telah dilalui. Kecundang atau berjayanya Ramadhan seseorang akan dilihat kepada hatinya menyambut hari raya. Sebab itu syariat menganjurkan bertakbir dan bertahmid memuji Tuhan. Takbir raya yang dilafazkan adalah butiran kata-kata pujian, sanjungan serta penghargaan kepada Tuhan yang maha mengurniakan.

Bukan mudah menempuh hari raya dengan syukur kerana tabiat manusia lebih cenderung kepada kelalaian dari keinsafan. Manusia mudah didorong nafsu untuk mudah lupa diri yang hina dan bersalah dengan Tuhan. Manusia mudah melupakan Tuhan dan segala nikmat anugerahNya. Ramadhan bagi orang-orang Tuhan adalah bulan mengharapkan rahmat, berkat dan keampunan Tuhan. Inilah yang didambakan mereka. Mereka berusaha apa sahaja amal kebajikan agar semuanya dapat dipersembahkan sebaik mungkin untuk Allah yang menjadi ‘Owner’ alam semesta.

Marilah kita jadikan hari-hari akhir Ramadhan sebagai hari-hari yang penuh dengan kesedihan. Dianjurkan agar hati diasak dengan rasa sedih dan dukacita. Jangan dilayan keseronokan dan kegembiraan secara berlebih-lebihan. Berayalah dengan Tuhan kerana Dia sentiasa inginkan kita terus bersama-Nya. Waktu susah dan senang, waktu sihat atau sakit, waktu sendirian atau ketika ramai, kita jadikanlah Tuhan itu rakan sejati. Berayalah dengan Allah, bawalah Allah ke mana-mana. Ketika berziarah atau berbuat apa saja, Allah pasti bersama kita. Jika kita merasa cukup dengan Allah, kesalahan dan kelemahan orang lain akan mudah kita maafkan.

Ingatlah bahawa keselamatan yang utama ialah selamat dari api neraka. Allah-lah yang memilih siapa di kalangan hamba-Nya untuk ditaubatkan dan disedar-insafkan. Ya! Tentulah bukan mudah untuk menjadi orang-orang yang dekat dengan Allah. Ranjau dan liku terlalu menghalang. Jika kita ingin berbuat, nafsu dan syaitan akan tampil menggagalkan niat keinginan. Jika kita sudah berbuat, kecacatan hati pula yang terjadi.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar hati kita sentiasa takut sebenar-benar takut dengan Allah, rindu serindu-rindunya dengan Rasulullah SAW, muga-muga ia nya menjadi pendinding kita dari nafsu dan syaitan

KEINDAHAN ISLAM

“Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam…” [Ali Imran: 19]

Satu-satunya agama yang Allah akui kebenarannya, kesempurnaannya dan terbaik untuk manusia adalah Islam. Sebab Islam itu ialah agama yang datang dari Allah, sedangkan agama-agama lain adalah bikinan manusia semata-mata. Adakah sama sesuatu yang datang dari Allah dengan sesuatu yang direka oleh manusia?  Jauh, jauh sekali bezanya.

Allah adalah pencipta manusia, kerana itulah Allah lah yang paling tahu tentang manusia. Oleh kerananya aturan/agama Allah itulah yang paling lengkap dan paling sesuai dengan kejadian semula jadi (fitrah manusia).

Diri manusia terdiri dari 3 unsur, yaitu jasad, akal dan Roh/hati/jiwa. Roh/hati/jiwa manusia mempunyai perasaan yang Tuhan bekalkan bersamaan dengan lahirnya fizikal manusia. Indahnya Islam itu adalah dinul Islam itu sebenarnya sangat sesuai dengan fitrah manusia, dengan kata lain sesuai dengan perasaan manusia. Apa yang hati manusia setuju, itulah yang Allah suruh. Apa yang hati tidak setuju, itulah yang Allah larang.

Kemudian oleh Allah, Rasul diutus untuk membawa perintah untuk membenarkan apa yang ada dalam fitrah manusia, menyuburkan apa yang telah ada. Kerana itulah Islam itu indah sebab memberi makanan pada roh. Apa yang roh kehendaki, itu yang dihidangkan oleh Islam. Seperti makanan untuk fizikal manusia, kita suka daging, tiba-tiba terhidang daging, betapa indahnya. Kita suka ikan, dihidangkan ikan, betapa indahnya. Tapi ketika kita ingin daging dihidangkan lauk yang kita tidak suka, tidak indah.

Mari kita sebut contoh-contohnya.

1. Yang berhubungan dengan Akidah.

Manusia sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang menolong, melindungi dan yang memperhatikan dirinya. Atau dengan kata lain manusia rela mengabdikan diri kepada siapa yang dicintainya. Kalau kecintaannya itu perempuan maka ia akan menjadi hamba pada perempuan itu. Kalau kecintaannya pada kereta mewah, maka menghambalah ia pada kereta mewah. Kalau cintanya atau pautannya pada nafsu yakni menurut kata nafsu, jadilah ia seorang hamba nafsu.

Tapi aneh, manusia sangat marah kalau digelar hamba wanita, hamba kereta atau hamba nafsu. Fitrah menolak sekalipun sikapnya memang betul begitu. Mengapa? Sebab fitrah manusia ingin menjadi hamba Allah. Dan keinginan menjadi hamba selain Allah itu bukan fitrah. Katakanlah kepada siapa saja tanpa memandang orang kafir atau Islam, “Kamu ini hamba Allah”, nescaya dia mengiyakan dan rasa senang dengan kata-kata itu baik di mulut atau di hati. Hal ini adalah kerana fitrah manusia telah Allah ciptakan untuk menyembah-Nya dan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Lihat firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku”
[Az-Zaariyat: 56]

Allah mahu manusia menyembah-Nya dan tidak pada yang lain. Maka dijadikan fitrah manusia itu mempunyai rasa bertuhan dan menghamba diri pada-Nya. Tanyakanlah pada orang-orang yang menyembah Allah atau tidak menyembah Allah, adakah dia ingin menyembah Allah dan suka pada orang-orang yang menyembah Allah. Nescaya mereka menjawab memang suka. Suka pada pekerjaan menyembah Allah dan suka pada orang yang melakukannya. Cuma kalau mereka tidak melakukannya, itu bukan kerana benci, atau hati tidak mengakui, tetapi kerana nafsu dan syaitan menghalang dan melalaikan mereka. Mereka tidak berkuasa melawan nafsu (yang sifatnya ego), lalu menurutinya. Kalaulah bukan kerana nafsu dan syaitan, nescaya manusia ini akan sentiasa merindukan dan membesarkan Tuhannya dan sangat taat pada-Nya. Fitrah roh sudah kenal Allah dan mengaku untuk menyembah-Nya. Di dalam Al-Quran ada menceritakan hakikat ini:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), bahkan kami bersaksi”
[Al A’raf: 172]

2. Yang berhubungan dengan Syariat.

2.1. Manusia ingin menambah ilmu. Ingin mencari pengalaman dan ingin pandai, dan tidak menggantungkan hidupnya pada orang lain. Manusia tidak mahu hidup beku, jahil dan miskin papa. Itu adalah fitrah. Semua orang memilikinya walau apa pun juga bangsa dan agamanya. Memang Allah jadikan jiwa manusia begitu kemahuannya. Oleh kerana itu Allah datangkan agama Islam yang mengajar supaya manusia mengisi tuntutan fitrah itu. Firman Allah:

Katakanlah: “Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
[Al An’am: 11]

Ertinya kita disuruh mengembara untuk mencari pengalaman. Rasulullah SAW bersabda:

“Menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan wanita” (Riwayat Ibnu Abdi Al Barri)

Sabdanya lagi:

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”

Begitulah yang dikatakan Islam agama fitrah. Yakni apabila sesuatu itu disukai oleh fitrah maka Islam mendorong atau membenarkannya. Disebabkan Allah yang menjadikan fitrah manusia itu demikian maka Allah pun datangkan cara bagaimana keinginan fitrah itu disalurkan. Tanpa petunjuk dari Allah, nafsulah yang akan memimpin manusia untuk melaksanakan kehendak fitrah itu secara membabi buta. Hasilnya akan buruk sekali.

Misalnya apabila ilmu yang dituntut itu ilmu yang haram (ilmu sihir atau ilmu yang tidak dikaitkan dengan tauhid dan jiwa sufi) maka ia akan membawa akibat buruk. Walaupun adakalanya ilmu itu bersumber dari Islam, tetapi tanpa dikaitkan dengan Tauhid dan Akhlak, ia akan menyebabkan manusia sombong, dengki, bakhil, pemarah, rasuah, dan lain-lain.

Demikian juga halnya kalau mengembara yang tidak dikendalikan oleh syariat atau tidak diniatkan kerana Allah atau untuk kebaikan ia akan membawa hasil yang buruk. Sebab itu Islam menurunkan panduan-panduan yang rapi dalam melaksanakan tuntutan fitrah itu.

2.2. Dalam mencari kekayaan yang diinginkan oleh fitrah murni manusia misalnya, Islam tidak melarangnya. Malah Allah mendorong dengan firman-Nya:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

“Apabila telah ditunaikan solat hendaklah kamu bertebaran di muka bumi dan hendaklah kamu cari kurniaan Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak moga-moga kamu mendapat kemenangan”
[Al Jumuah: 10]

Nabi SAW bersabda yang ertinya:

“Berniagalah kerana sembilan puluh peratus dari rezeki itu ada dalam perniagaan”

Tapi mencari harta tidaklah boleh dibuat secara sewenang-wenang. Islam mengatur cara-cara yang bersih dari riba, penipuan dan tindas-menindas, kerana hal-hal yang buruk itu bertentangan dengan fitrah. Hasilnya tidak untuk berfoya-foya, berjudi atau membekukannya dalam bank, tapi untuk kebaikan seperti membantu fakir miskin, membangun projek yang memenuhi keperluan masyarakat atau membantu usaha jihad fisabilillah. Hal ini diatur begitu rupa kerana ia sesuai dengan fitrah. Sebaliknya apa yang Islam halang adalah bertentangan dengan fitrah.

2.3. Siapa saja, tanpa melihat apakah orang itu Islam atau yang bukan Islam suka kepada makanan sedap; lelaki suka pada perempuan, perempuan suka pada lelaki; ingin mempunyai badan yang sihat dan fikiran yang waras. Begitulah fitrah manusia. Kalau keinginan fitrah ini tidak tercapai, manusia akan rasa susah dukacita dan gelisah. Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa, tahu cara yang sebaik-baiknya untuk manusia mencapai keinginan-keinginan itu, dan tahu juga cara-cara yang dapat merosakkan manusia dalam usaha mereka mencapai keinginan-keinginan itu.

Oleh sebab itu Allah telah menurunkan petunjuk bagaimana keinginan itu boleh dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Islam tidak menghalang keinginan fitrah tetapi tidak juga terlalu membiarkan keinginan itu dipenuhi secara membabi buta. Makan sedap, misalnya, dibolehkan dengan syarat, jangan makan makanan yang haram atau berlebihan. Malah, mengikuti sunnah Rasulullah SAW, sunat hukumnya makan daging seminggu sekali.

Demikian juga Islam menunaikan keinginan fitrah manusia untuk menikah. Ia memang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

“Menikah itu adalah Sunnahku, siapa yang benci pada Sunnahku ini bukanlah ia dari umatku”

Hadis lain berbunyi :

“Dua rakaat solat orang yang menikah lebih baik dari 70 rakaat shalat orang bujang”

Demikianlah indahnya Islam. Dalam usaha mengelakkan masalah dalam perkahwinan, maka ditentukan syarat rukunnya yang wajib dipenuhi. Tanpa memenuhi syarat, rumah tangga akan goyang dan tumbang. Islam membenarkan menikah dan mengharamkan zina. Sebab zina akan menzalimi dan menganiaya kaum wanita. Anak hasil perzinaan yang tidak tentu bapaknya ini akan terkontang-kanting hidupnya. Ke mana anak itu akan membawa diri? Hal ini tidak ada siapapun yang suka. Fitrah menolak. Sebab itulah Allah mengharamkannya kerana ia bertentangan dengan fitrah. Bagaimana tidak, seseorang yang berzina itu akan melibatkan baik itu ibu orang atau isteri orang atau anak perempuan orang. Siapa pun akan marah kalau keluarganya yang terlibat. Kalau begitu sanggupkah kita berzina sedangkan kita sendiri tidak suka perkara itu terjadi dalam keluarga kita?

Dalam Islam ada kaedah:
Tidak mudharat dan tidak memberi mudharat.
Contohnya:

Kahwin boleh, tapi jangan dengan isteri orang.
Kaya boleh, tapi jangan cara mencuri atau menipu wang rakyat.
Tidak ada orang, baik itu Islam atau bukan Islam, yang menganggap zina itu baik. Kalau terjadi juga, itu kerana manusia sudah jadi syaitan dan nafsunya sudah jahat sekali. Namun hati kecilnya tetap menolak; ertinya dia sentiasa dalam keadaan melawan hati kecilnya. Orang ini tidak tenang hidupnya. Dia diburu rasa bersalah dan berdosa sepanjang masa.

2.4. Akhlak yang baik, budi pekerti yang mulia yakni berbuat kebaikan sesama manusia sehingga dapat menghibur hati manusa, semua orang suka. Bagi orang yang suka menyakiti hati orang lain sebetulnya dia pun tidak mahu orang lain menyakiti hatinya dan suka kalau ia dihiburkan. Begitulah fitrah. Maka Islam agama fitrah ini datang memerintahkan agar manusia berakhlak baik sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW, Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling banyak membuat kebaikan untuk manusia lain.

Dengan itu, siapa saja yang berakhlak buruk dengan sesama manusia, seperti sombong, bakhil, hasad dan lain-lain, bererti dia menentang Allah dan juga menentang fitrahnya. Orang begini bukan saja dimurkai Allah tapi dia membenci dirinya sendiri. Hidupnya tidak akan tenang dunia akhirat.

Kalau manusia saling mengisi fitrah, aman damailah masyarakat. Tapi apa yang terjadi sekarang kita susahkan orang tapi minta orang jangan susahkan kita. Al hasil sengketa semakin merata.

Begitulah huraian tentang indahnya Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Dan siapa yang tidak ikut Islam ertinya menentang fitrahnya. Walaupun mereka kaya-raya, mempunyai jabatan tinggi dan banyak ilmu, tidak akan tenang hidup mereka di dunia apatah lagi di akhirat. Kerana bukan saja dia bermusuhan dengan Allah tapi juga bermusuhan dengan dirinya sendiri. Pada lahirnya manusia nampak dia senang-lenang tapi hatinya hanya Allah saja yang tahu; kosong, gelisah, terseksa, serba salah dan mudah marah.

Di Barat hari ini, orang yang kelihatan bijak pandai dan hidup senang dilaporkan banyak yang terkena sakit jiwa. Sehingga jumlah orang yang masuk rumah sakit jiwa melebihi jumlah orang yang masuk ke universiti dan kolej. Di Timur, umat Islam yang sudah rosak imannya kerana terlalu menuruti nafsunya sedang menghadapi hal yang sama. Cara hidup yang mereka pilih telah menghantarkan mereka ke lembah masalah dan kesusahan.

Hanya Islam satu-satunya agama yang sistem hidupnya benar dan terbaik untuk diikuti. Yakni kehidupan Sunnah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin serta semua salafussoleh. Dengan mencontohi mereka, nescaya manusia akan kembali kepada fitrah murninya dan akan bahagia di dunia dan akhirat. Antara ciri-ciri hidup mereka adalah:

• Beriman dan bertaqwa
• Beribadah dan berzikir.
• Berakhlak mulia dengan Allah dan sesama manusia.
• Berjuang dan berjihad dengan Allah dan sesama manusia.
• Berkorban pada jalan Allah.
• Menuntut ilmu dunia dan akhirat untuk melaksanakannya.
• Bekerja mencari rezeki yang halal, di samping membangunkan tamadun ummah.
• Taat dan patuh pada Allah, pada Rasul dan pada pemimpin yang taat kepada Allah.
• Berkasih sayang.
• Saling membantu dalam kebaikan dan menolak kejahatan.
• Bermaaf-maafan.
• Bertimbang rasa di dalam masalah atau di sudut-sudut yang dibolehkan.

Call Now
Directions