Tag Archives: hamba
APA YANG KITA MAHU DAPATKAN DIBULAN RAMADHAN YANG ISTIMEWA
Mari kita bersama-sama menghayati kata-kata sanjungan dan penghargaan kepada Ramadhan, satu-satunya bulan yang disiapkan Tuhan dengan pelbagai peluang kebaikan serta keberkatan bagi mereka yang menghayatinya.
Ramadhan disiapkan Allah dengan keistimewaannya yang tersendiri. Sebaik bermula maghrib 1 Ramadhan, semua syaitan ditangkap dibelenggu dan dirantai bagi membolehkan anak Adam menjalani ibadah puasa dengan lebih mudah. Hanya gangguan nafsu yang di dalam diri sahaja yang tinggal untuk dihadapi. Itulah Ramadhan yang disiapkan Tuhan.
Seolah-olah ‘ada kesibukan’ di alam ghaib yang kita tidak dapat melihatnya. Para malaikat ada tugas dan kerja yang tersendiri. Ramadhan adalah bulan di mana malaikat disuruh membukakan semua pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Malaikat menangkap syaitan dan iblis. Malaikat juga disuruh mengintai-ngintai pekerjaan hamba-hamba Allah yang menghayati Ramadhan untuk diganjari sebaik-baik ganjaran kebaikan.
Ramadhan juga adalah bulan dihentikan buat sementara siksa derita untuk ahli neraka. Ahli neraka merasa amat lega dan berharap biarlah penangguhan siksa ini adalah selama-lamanya. Menurut riwayat, ahli neraka akan kembali menangis meraung melolong sebaik masuknya maghrib 1 syawal. Ketika kita bertakbir raya dengan suara yang syahdu penuh kesyukuran, ahli neraka sedang ketakutan yang amat sangat menyambut kedatangan malaikat juru azab mereka.
Demikianlah hebatnya Ramadhan yang padanya pelbagai janji ganjaran untuk setiap kebaikan yang kita lakukan. Apa yang penting kita beramal dengan niat mendapatkan Tuhan. Kita diajar agar hati jadi tulus denganNya. Kita tidak digalakkan untuk mengejar fadhilat dalam beribadah. Kita juga dipesan agar beribadah untuk mendapatkan rasa hati yang khusyuk dengan Tuhan. Ibadah adalah proses ruh kita dicelikkan.
Ibadah sepatutnya menjadikan hati kita mudah tersentuh dengan Allah. Tumpuan sepatutnya kepada rasa hati terhadap Ramadhan bukannya membicarakan makam khawasul khawas. Almarhum Abuya Ashaari Muhammad pernah menyebut “Biarlah kita tidak pandai menghuraikan tentang makam ibadah yang berbagai peringkat kerana yang penting, hati kita berjaya sampai ke makam terpilih di sisi Tuhan. Apa guna kita alim dan pakar menghuraikan tentang makam-makam (pangkat kedudukan) jika secara hakikatnya – kita masih di takuk yang jauh di bawah yang tidak ada nilai di sisi Tuhan.”
Di bawah ini adalah bait-bait nasyid yang digalakkan untuk kita semua menghayatinya:
Ya Allah..mengapa aku ini
Aku berlainan dari orang lain
Setiap kedatangan Ramadhan
Mereka menyambut dengan gembira
Mereka kelihatan ceria
Tapi aku berlainan
Kedatangan Ramadhan penuh duka
Bukan aku benci bulan-Mu
Yang penuh rahmat dan berkat
Tapi aku benci diriku
Aku bimbang RamadhanMu
Aku tidak mengisi sebaiknya
Aku rasa puasaku tidak sempurna
Ampunilah aku Ya Allah
Aku rasa sembahyangku tidak sah
Terawih, bacaan Al Quran aku tidak sampai kemana
Ya Allah..
Itulah yang menyelubungi hatiku
Setiap kali kedatangan Ramadhan
Adakah satu kesalahan
Ampunkan aku Ya Allah
Maafkanlah aku Ya Allah kalau itu satu kesalahan
Pimpinlah aku betulkan sikapku
Aku mohon keampunan dari-Mu Ya Allah..
Begitulah rasa hati seorang hamba Allah yang sangat tulus dan suci yang penuh rasa bimbang dengan amalan yang akan dilaksanakan. Seorang hamba Allah yang menanti Ramadhan dengan rasa yang sangat cemas.
Kita diajar – dalam beramal ibadah, pastikan kita mengawal rasa hati pada 3 peringkat yang utama iaitu sebelum mengerjakannya, semasa mengerjakannya dan selepas selesai melaksanakan ibadah tersebut. Itulah sunnah Rasulullah SAW yang sangat penting untuk kita laksanakan.
Maka sebelum mengerjakan ibadah puasa, elok kita mengingatkan diri kita masing-masing agar mengasak hati dengan rasa cemas dan bimbang. Antaranya ialah untuk rasa takut kerana tidak membesarkan Ramadhan. Begitu juga rasa bimbangkan hati yang tidak dapat menghayati ibadah puasa, sembahyang dan sebagainya dengan selayaknya. Takut-takut ibadah berkenaan dirasa biasa-biasa – tidak dirasakan ianya agung dan hebat. Sedangkan ibadah itu adalah suatu yang datang dari Tuhan yang Maha Besar lagi Maha Hebat. Tentulah segala-gala yang dari Allah, sangat hebat dan besar. Hati perlu dibawa merasakan sedemikian. Inilah yang sangat perlu kita bimbangkan.
Selain itu, hati juga dibina rasa cemas dalam hendak menyambut Ramadhan atau dalam hendak berdiri mengerjakan sembahyang atau dalam hendak berbuat lain-lain ibadah. Cemasnya hati kerana kita sendiri sedar bahawa kita pasti akan gagal dalam khusyuk. Kita tentu akan sekali lagi mengulangi kelalaian dalam ibadah.
Kita tentu dapat merasakan semasa beribadah nanti, hati kita akan melupakan Tuhan seperti selalunya. Justeru hati kita diasak dengan rasa cemas dan takutkan kemurkaan Allah. Adakah ibadah kali ini juga mengulangi semua kegagalan sebelum ini? Adakah sekali lagi kita mendapat dosa hasil ibadah yang tertolak sedangkan ibadah sepatutnya menambahkan dekatnya kita dengan Allah? Adakah semakin beribadah semakin menjauhkan kita denganNya?
Hal ini sangatlah perlu kita runsingkan.
Rasa hati yang lebih halus lagi ialah rasa tidak layak, rasa hina diri yang teramat sangat. Hati merasakan ibadah yang difardukan Allah itu adalah anugerahNya. Hati merasakan Tuhan memberi penghormatan dengan anugerah ibadah yang sedemikian besar dan agung. Justeru sebagai hamba yang hina dina, yang rasa tidak layak, situasi ini patut sangat mengharu-birukan hati kita. Gejolak rasa hati adalah serba salah di antara rasa hina dan rasa sangat mahu bersyukur, rasa sangat menghargai anugerah Tuhan ini.
Justeru orang-orang soleh di sepanjang Ramadhan, menempuhnya dengan perasaan yang bercampur baur. Sepanjang bulan Ramadhan mereka amat menghayati setiap yang berlalu tanpa dibiarkan sia-sia. Semuanya di isi dengan rasa cinta dan takutkan Allah. Apa jua ibadah yang dilakukan semata-mata mencari redha yang Maha Kuasa, mendekatkan hati dengan kekasih agung iaitu Rasulullah SAW.
Dunia yang sedang di depan mata, tidak dirasakan wujud. Mereka berada di alam yang lagi satu iaitu di alam rohaniah. Ruh sedang ghairah meneroka ke segenap ruang keampunan Allah dan kasih sayangNya. Semua ibadah dan aktiviti kehidupan yang ditempuhi sepanjang Ramadhan dapat membawa hati mereka kepada Tuhan. Inilah golongan yang terlalu sedikit yang ada di atas muka bumi ini. Yang ramai tentulah para pemburu dan pencinta dunia yang menipu.
Ramadhan yang Tuhan persiapkan untuk hamba-hambaNya yang pilihan benar-benar menjadi medan membezakan yang terpilih dan yang terbuang. Orang-orang pilihan Tuhan tetaplah mengutamakan Tuhan dan membesarkan Ramadhan dengan solat, baca Quran, terawih, zikir, tazkirah, berdakwah, berjuang dan berjihad. Orang-orang yang terbuang tetaplah kekal dengan kelalaian demi kelalaian. Kami mohon berlindung dariMu Ya Allah daripada termasuk golongan yang lalai.
Muga-muga Allah rezekikan kita rasa hamba itu di awal Ramadhan, pertengahan dan di akhirnya. Ianya satu rasa hati yang sempurna dan terpelihara yang dianugerahkan Tuhan untuk hati. Bukan mudah mengekalkan rasa hamba sebegini rupa. Ramai yang mampu bercakap dan bersyarah tetapi gagal pada penghayatan. Hatilah yang diberi keutamaan bukannya pada hebatnya cakap atau berjelanya ijazah ‘kelayakan’.
Janganlah kita menjadi seperti mereka yang ramai yang tertipu. Mereka merasakan ilmu itulah satu-satunya modal kejayaan sedangkan Islam itu adalah agama rasa. Iman dan tauhid itu tunjangnya adalah rasa hati dengan Allah. Bukannya ilmu yang dikira tetapi bagaimana rasa takutkan Allah yang menguasai hati kita. Bukankah taqwa yang disyarahkan adalah rasa takutkan Allah. Takut itulah rasa!!!
Ilmu itu hanyalah penyampai untuk hati dibantu mendapatkan rasa. Walaupun ianya fardhu dan sangat penting, keutamaan tetaplah bagaimana mendapatkan hati yang tunduk, patuh dengan rasa cinta dan takutkan Allah!
ORANG-ORANG YANG DIDOAKAN MALAIKAT
Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat–malaikat itu) adalah hamba–hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah–perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang–orang yang diridhai Allah, dan mereka selalu berhati–hati kerana takut kepada-Nya” (QS Al Anbiyaa’ 26-28)
Inilah orang–orang yang didoakan oleh para malaikat :
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci’” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)
2. Orang yang duduk menunggu solat. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia’” (Shahih Muslim no. 469)
3. Orang–orang yang berada di saf bahagian hadapan di dalam solat. Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang–orang) yang berada pada saf–saf terhadapan” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)
4. Orang–orang yang menyambung saf (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalam saf). Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang orang yang menyambung saf-saf” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)
5. Para malaikat mengucapkan ‘Amin’ ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu” (Shahih Bukhari no. 782)
6. Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhunya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia’” (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)
7. Orang–orang yang melakukan solat Subuh dan ‘Asar secara berjama’ah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat ( yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat ‘asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat ‘asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku ?’, mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat’” (Al Musnad no. 9140, hadits ini disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ ra., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan’” (Shahih Muslim no. 2733)
9. Orang–orang yang berinfak. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit’” (Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)
10. Orang yang makan sahur. Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang–orang yang makan sahur” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)
11. Orang yang menjenguk orang sakit. Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang bila-bila saja hingga petang dan di waktu malam bila-bila saja hingga subuh” (Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, “Sanadnya sahih”)
12. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain. Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain” (disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)
RAHSIA YANG SEMUA MANUSIA PATUT TAHU
” Apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa, kerana jiwanya dengan Tuhan saja”
Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah…
1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.
2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.
3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.
4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.
5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.
6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.
7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.
8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.
9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.
10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.
11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.
12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.
13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
Yang Biasa Dan Yang Luar Biasa
Untuk renungan kita bersama:
1.Sembahyang
Yang biasa
Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih “Better late than never” menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya ‘tahu’ dirinya hamba tapi tak ‘rasa’ hamba.
Luar biasa
Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 20 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa.
2. Sedeqah
Biasa
Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.
Luarbiasa
Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Tuhan.
3. Berjaga malam
Biasa
Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau ‘melayan’ VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.
Luarbiasa
Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.
4. Kerja
Biasa
Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan ‘alhamdulillah’, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya kuasa.
Luarbiasa
Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan. Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.
MARILAH KITA BERDOA KEPADA ALLAH
Berdoalah kepada Tuhan tanda merendah diri kepada-Nya
Memintalah kepada-Nya di dalam sebarang hal
Untuk menghilangkan kesombongan dan ketakburan
Memohonlah kepada Tuhan, itu adalah salah satu sifat kehambaan
Berdoalah kepada-Nya tanda kita hamba yang lemah
Meminta kepada Tuhan tanda kita hamba kepada-Nya dan baik sangka
Memohonlah kepada Tuhan, Dia tetap mengabulkannya sekalipun di Akhirat
Berdoa ertinya kita bermesra dengan TuhanBerdoa ertinya kita bermunajat dengan Tuhan
Berdoa ertinya kita bercakap-cakap dengan Tuhan
Mengadukan hal kita
Meminta itu dan ini
Bukankah itu satu keindahan dan kelazatan
Berdoa adalah satu ibadah
Bahkan ia dianggap otak ibadah
Doa adalah senjata orang mukmin
Berdoa adalah satu harapan
Berdoa termasuk perhubungan di antara hamba dengan Khaliqnya
Orang yang tidak berdoa ertinya dia sombong dengan Tuhan
Dia merasakan ada kuasa, tidak perlu lagi kepada Tuhannya
Ini termasuk orang yang telah putus rahmat dengan Tuhan