Tag Archives: Harta

ZUHUD ITU SATU KEPERLUAN

Seringkali apabila kita membicarakan tentang ZUHUD, kita sering beranggapan orang yang zuhud adalah orang yang meninggalkan segala kemewahan dunia dan hidup dengan keadaan yang sangat daif seperti kehidupan para suffah di zaman RSAW dahulu. Golongan suffah ini adalah satu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kehidupan mereka hanya di dalam lingkungan masjid sahaja.

Mereka ini di zaman Rasulullah SAW dahulu adalah golongan yang sangat cintakan ilmu dan berusaha mendapatkannya bukan untuk tujuan duniawi dan mencari kekayaan, pangkat atau glamor tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk mewibawakan umat Islam yang lain dengan menghafal al Quran dan Hadis serta ilmu-ilmu yang berkaitan bagi tujuan kepentingan ummah. Itulah antara pengorbanan para-para sahabat di zaman Rasulullah SAW ini di dalam mewibawakan Islam hingga Islam menjadi gemilang di zaman mereka.

Bagaimanapun, adakah golongan ini sahaja yang boleh kita ambil sebagai contoh untuk menjalani hidup sebagai orang Islam yang zuhud, apakah para-para sahabat Rasulullah SAW yang lain tidak zuhud? Sebenarnya, Rasulullah SAW telah mendidik sifat zuhud kepada semua para sahabat-sahabat beliau tetapi kezuhudan itu sebenarnya sangat mendalam maksudnya. Ia bukan menggambarkan hal yang tersurat sahaja tetapi sebenarnya yang lebih utama adalah kezuhudan hati itu. Sebab itu walaupun dunia ketika itu berada di tangan para sahabat tetapi dunia tidak menjadi keutamaan mereka. Bagaimanakah mereka dapat mengatasi penyakit cinta dunia ini walaupun segala-gala kenikmatan dunia berada dalam genggaman mereka. Mari kita sama-sama memahami apakah sebenarnya erti zuhud itu.

Memiskinkan diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada sesama manusia. Inilah sebenarnya erti zuhud. Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata.

Apabila orang kaya merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Tuhan jadikan miskin dan kaya supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain, kerana masing-masing saling memerlukan. Dunia ini Allah punya, segala-segala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya kita dimiliki.

Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan, wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, ia juga adalah milik Tuhan. Kita sebagai manusia dalam keadaan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk masyarakat. Allah jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hambanya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah kurniakan itu cukup untuk hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin. Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga.

Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi pula siapa yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi barangan dan khidmat yang dikeluarkan.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. Ia mesti disama ratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki-mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar-kacir, kacau-bilau, bergaduh dan berkelahi. Akan belaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskin diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud. Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta ini kita punya.

Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati. Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.

MUTIARA PERINGATAN

Wahai anak Adam,

Perbuatlah kebaikan, sesungguhnya itu adalah anak kunci dan penarikmu kepada Syurga. Dan jauhilah kejahatan kerana sesungguhnya itu adalah anak kunci dan penarikmu ke Neraka.

Wahai anak Adam, ketahuilah apa yang engkau bangunkan akan hancur, umurmu akan binasa, jasadmu itu adalah untuk tanah. Dan apa yang engkau himpunkan itu ( harta) adalah untuk diwarisi maka kesenangan untuk orang lain adalah hisab bagimu.

Bagimu jugalah balasan penyesalan. Dan yang akan menjadi teman bagimu di dalam kubur adalah AMALAN. Maka hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung, tetaplah di dalam keadaan mentaati-Ku, jauhilah dari menderhakai-Ku, redhalah di atas pemberiaan-Ku dan jadilah daripada golongan orang-orang bersyukur.

Wahai anak Adam,
Barangsiapa yang melakukan dosa dalam keadaan ketawa, Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka dalam keadaan menangis. Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada-Ku, akan Aku masukkan dia ke dalam Syurga dalam keadan ketawa.

Wahai anak Adam,
Berapa ramai orang-orang kaya yang menginginkan kefakiran di hari Hisab, berapa ramai orang yang bergembira dengan nikmatnya menjadi sedih apabila datang kepadanya maut? Berapa ramai orang-orang yang gagah dihina oleh kematian! Berapa banyak kemanisan yang dipahitkan oleh maut? Dan berapa ramai orang yang berseronok, mewarisi kedukacitaan yang panjang?

Yang Biasa Dan Yang Luar Biasa

Untuk renungan kita bersama:

1.Sembahyang
Yang biasa
Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih “Better late than never” menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya ‘tahu’ dirinya hamba tapi tak ‘rasa’ hamba.

Luar biasa
Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 20 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa.

2. Sedeqah
Biasa
Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.

Luarbiasa
Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Tuhan.

3. Berjaga malam
Biasa
Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau ‘melayan’ VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.

Luarbiasa
Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.

4. Kerja
Biasa
Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan ‘alhamdulillah’, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya kuasa.

Luarbiasa
Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan. Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.

Kemiskinan Bukan Ditakuti Tetapi Disukai

Bila disebut miskin dan kemiskinan, semua orang takut dan benci. Bersediakah kita untuk hidup miskin? Senangkah hati kita jika anak-anak kita hidup dalam kemiskinan? Marilah kita memandang miskin harta ini dengan positif, supaya nanti kita dapat melaksanakan hidup yang indah ini.

Rasulullah SAW pernah berdoa agar dapat menjadi orang miskin.

“Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan himpunkan aku bersama orang miskin di dalam syurga” – Riwayat At Tarmizi

Nampaknya Rasulullah bukan sahaja tidak takut miskin bahkan memintanya, demikian juga para sahabatnya. Harta yang ada padanya digunakan untuk fisabillah dan membantu orang miskin, tidak digunakan untuk dirinya dan keluarganya, tidak sempat mengumpul wang untuk menjadi kaya, dengan itu perjuangan Islam dapat menjadikan masyarakat dan jemaah kaya tapi individu miskin. Untuk diri sendiri baginda berusaha untuk menjadi miskin dan baginda bahagia dengan kemiskinan itu.

Orang miskin yang bertaqwa pada Allah jauh lebih baik dan beruntung daripada orang yang kaya harta kerana:

1. Orang miskin tidak disibukkan atau dilalaikan oleh harta individu, dengan itu peluang ditipu oleh harta tertutup sama sekali.

2. Harta selain menipu daya, ia juga mengikat dan mengongkong pergerakan tuannya, orang tak sanggup meninggalkan harta dan    rumahnya seperti tidak sanggup meninggalkan anak isterinya, sedangkan manusia bebas ke mana sahaja demi memperjuangkan agama Allah.

3. Orang miskin yang mengorbankan harta di jalan Allah ialah menyimpan harta di bank akhirat , dia dapat berganda-ganda untung lagi, keuntungan dunia diperolehi dengan menjadikan masyarakat, jemaah dan negara kaya. Negara kaya lebih hebat dari individu kaya.

4. Bilamana Rasul memilih kemiskinan dengan sendirinya perebutan kekayaan di kalangan pengikut akan terhenti, kerana pemimpin miskin tidak mengumpul kekayaan, mereka tidak meneruskan merebut kekayaan kerana Rasul tidak suka, bahkan masing-masing mengorbankan harta mereka. Kerana demikianlah Allah dan Rasul perintahkan.

5. Orang miskin rapat dengan Tuhan. Mereka selalu meminta-minta pada Tuhan dan merasakan Tuhan amat perlu dalam hidup mereka, sebaliknya orang kaya selalu lalai dengan Allah, bahkan sering terlupa bahawa kekayaan itu semua adalah pinjaman dari Allah. Sebab itu kita lihat orang kaya lebih terdedah kepada sifat sombong dibandingkan dengan orang miskin, sebab itu orang-orang mukmin kerana pentingkan hati yang suci dan tawadhuk, mereka memilih kemiskinan daripada kekayaan.

6. Orang miskin lebih dahulu masuk syurga berbanding orang kaya kerana kurang hisab mereka, orang kaya yang boleh masuk syurga pun akan lewat 500 tahun dibandingkan dengan orang miskin.

Atas sebab itu Rasullah memilih kemiskinan. Bahkan Islam pun tidak menentangnya, bagi mereka yang tidak dapat mengelak. Kerana kemiskinan seperti juga kelemahan-kelemahan yang lain adalah sunnah Allah ,ketetapan yang tidak boleh dibasmi. Ia mesti berlaku sebagai satu bentuk ujian yang ditetapkan oleh Allah, bahkan merupakan satu keperluan yang tersirat dalam masyarakat dan kepada individu individu tertentu.

Dalam Islam, kemiskinan tidak dianggap masalah masyarakat, maka perjuangan untuk membasmi kemiskinan tidak dilaung-laungkan, sebaliknya dinilai mengandungi penuh hikmah dan didikan, yakni satu peluang yang menjalin kerjasama dalam masyarakat juga pencetus kedamaian dalam hidup bermasyarakat, kerana satu sama lain perlu memerlukan.

Namun hal ini amat tersurat, susah hendak dilihat dengan mata kasar, mungkin sulit untuk difahami kalau tiada bukti kecuali bagi hati yang bersih.

Di kalangan orang-orang Islam bertaqwa, para pemimpin dan orang kaya memerlukan orang-orang miskin untuk hidup mereka, bukan untuk dihambakan kepada kepentingan mereka tetapi untuk :

1. Tempat berhibur dengan mencurahkan harta mereka seperti yang Alllah perintahkan

2. Mengisi berbagai projek kemasyarakatan yang dibangunkan oleh orang orang kaya.

Hal ini hanya berlaku dalam masyarakat yang sudah terdidik dengan ilmu Islam dan iman, hanya orang kaya yang bertaqwa yang sudi terhadap orang miskin dan hanya orang miskin yang bertaqwa yang boleh bangga dengan orang-orang kaya.

Pokoknya, perjuangkan iman dan taqwa untuk kedua-dua golongan ini , ubat bagi kedua golongan masyarakat yang berpenyakit ini ialah iman dan taqwa agar si kaya sanggup bertanggungjawab kepada fakir miskin dan fakir miskin redha dengan kemiskinannya.

Call Now
Directions