Tag Archives: Kaya
KEMISKINAN BUKAN UNTUK DI BASMI
Dalam hidup ini, banyak perkara yang manusia suka dan banyak perkara yang manusia benci. Yang manusia suka dia akan usahakan supaya diperbanyakkan lagi. Yang dibenci, kalau boleh hendak dibasmi dan dihapuskan.Di antara perkara yang manusia tidak suka ialah kemiskinan.
Maka banyaklah suara dan usul diketengahkan untuk membasmi kemiskinan. Malahan telah diadakan program khas untuk tujuan membasmi kemiskinan ini.
Hakikatnya, bukan sahaja manusia di zaman ini yang bencikan kemiskinan. Manusia di sepanjang zaman bencikan kemiskinan. Berbagai usaha telah dibuat oleh manusia dari zaman silam sama ada secara individu mahupun secara berkelompok untuk menghapuskan kemiskinan di dalam masyarakat dan tamadun mereka. Dalam hal ini manusia belum pernah berjaya.
Justeru itu soal yang timbul dalam fikiran kita bolehkah fenomena kemiskinan ini dibasmikan? Bukankah ia satu sunnatullah yang tidak akan berubah-ubah. Apa akan terjadi pada sesuatu masyarakat yang tidak mempunyai orang miskin dan semua ahlinya kaya belaka? Apakah hikmah Allah mencipta kemiskinan di kalangan manusia?
Yang sebenarnya, dalam sesuatu masyarakat tidak boleh semuanya miskin. Kelak tidak akan ada orang yang menjadi pengusaha yang mengeluarkan modal untuk perdagangan,industri, pertanian dan perniagaan. Maka ekonomi tidak akan tertegak sedangkan ia adalah nadi bagi kehidupan lahiriah manusia. Tidak boleh pula kesemua orang dalam masyarakat itu kaya. Kelak tidak akan ada pula buruh dan pekerja yang menggerakkan industri, pertanian dan perniagaan. Jelaslah bahawa orang miskin dan orang kaya itu saling bantu-membantu dan saling perlu-memerlukan di dalam menegakkan sistem hidup bermasyarakat dan ekonomi. Kalau semua ahli masyarakat miskin maka masing-masing akan hidup melarat tanpa ada sebarang kegiatan ekonomi. Masing-masing akan cari makan untuk kehidupan sendiri-sendiri. Kalau semua ahli masyarakat kaya pula maka kekayaan itu tidak ada sebarang makna. Wang tidak dapat digunakan untuk membeli apa-apa.Beras tidak ada. Ikan tidak ada. Buah-buahan dan sayursayuran tidak ada. Tidak akan ada petani yang menanam hasil pertanian dan tidak akan ada nelayan yang pergi ke laut menangkap ikan. Tidak ada tukang buat rumah. Tidak ada buruh membina jalan. Malahan tidak akan wujud sebarang kemajuan dan pembangunan di dalam masyarakat yang semua ahlinya orang kaya belaka. Dengan adanya miskin dan kaya dalam sesebuah masyarakat maka akan tercetuslah segala perkara yang perlu dalam kegiatan ekonomi seperti pengusaha,kewangan dan modal, tenaga buruh, tenaga pengurusan,bahan mentah, modal tetap, pembeli dan pengguna.
Memang Allah wujudkan miskin dan kaya itu supaya dapat hidup bersama-sama, bergantung dan perlu-memerlukan antara satu sama lain. Supaya terjadi interaksi di dalam masyarakat yang boleh mencetuskan kemajuan dan tamadun. Di atas itulah Allah adakan pula syariat supaya orang kaya dan miskin dapat hidup dalam harmoni dan berkasih sayang.Yang miskin disuruh sabar dan jangan meminta-minta. Yang kaya disyariatkan supaya mengasihi, membela dan membantu yang miskin melalui zakat, sedekah dan sebagainya.
Rezeki yang Allah kurniakan cukup untuk semua manusia.Hanya ia disalurkan melalui orang-orang kaya untuk diratakan.Maka celakalah orang-orang kaya yang tidak melaksanakan amanah ini dan mengumpulkan hak Allah itu untuk diri mereka sendiri sahaja.
Oleh yang demikian, membasmi kemiskinan bukan carauntuk menyelesaikan masalah. Kemiskinan akan tetap wujud sampai hari Kiamat. Apa yang perlu dibuat ialah laksanakan syariat Allah dalam mengendalikan harta dan kekayaan.Sempurnakan hak fakir miskin supaya mereka senang dalam kemiskinan mereka. Supaya timbul kasih sayang mereka terhadap orang-orang kaya. Orang miskin itu sebenarnya tidak miskin. Hanya rezeki dan hak mereka berada di tangan orangorang kaya. Jangan mereka dikhianati dan dizalimi dengan menahan hak mereka itu.
Rezeki yang Allah turunkan ke bumi bagi manusia adalah ibarat hujan yang airnya bertakung di tempat tadahan. Orang-orang kaya ibarat saluran-saluran paip yang besar yang membawa air tersebut. Orang-orang miskin yang ramai ibarat kepala-kepala paip yang kecil atau pancur yang terpaksa mereka buka untuk mendapatkan air.
Selagi orang-orang kaya mengambil air setakat mana yang mereka perlu dan menyalurkan selebihnya, maka selagi itulah kepala-kepala paip kecil atau pancur akan mengeluarkan air apabila dibuka. Tetapi kalau air ini disekat, maka kepala-kepala paip kecil atau pancur akan kekeringan.
Punca masalah dalam masyarakat bukan orang miskin tetapi orang kaya yang tamak, yang tidak bertanggungjawab dan yang mengumpulkan kekayaan melebihi dari apa yang mereka perlu. Mereka abaikan tanggungjawab mereka terhadap orang miskin dan terhadap masyarakat. Mereka ingat kekayaan mereka itu hak mutlak mereka dan bukan amanah dari Tuhan.Sebenarnya, kalau kita hendak membasmi kemiskinan,mudah sahaja. Basmikan orang kaya. Haramkan orang menjadi terlau kaya dan salurkan kekayaan yang lebih itu kepada orang miskin. Dalam erti kata yang lain, baiki saluran yang tersumbat.
MISKIN DAN KAYA
“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” ( Hadith Riwayat At Tabrani)
Dunia ini Allah punya. Segala-gala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita manusia tidak memiliki apa-apa. Sebaliknya kita dimiliki.
Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan dan wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, adalah milik Tuhan.
Kita sebagai manusia, dalam keaadan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai banyak harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil dan guna sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita itu tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk kemaslahatan masyarakat.
Allah SWT jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hamba-Nya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah SWT kurniakan itu cukup untuk semua hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada golongan yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.
Allah jadikan miskin dan kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan tidak akan berkembang.
Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.
INGATLAH JASA-JASA MEREKA
KHIDMAT SI MISKIN KEPADA SI KAYA
Kalau hendak dikira lojik, bahkan sepatutnya, orang-orang besar dan orang-orang kayalah yang lebih tawadhuk dan
merendah diri.
Mereka itu adalah orang-orang yang keperluannya disediakan oleh ramai manusia
Yang ramai di kalangan mereka adalah si miskin dan golongan yang menderita
Rumah besarnya banyak buruh kasar yang menyiapkannya
Sedangkan buruh-buruh itu rumahnya hanya gerobok buruk dan kecil sahaja
Makanan yang sedap-sedap dan lazat serta berzat
Buruh-buruh juga yang ramai terlibat menyediakannya
Petani-petani yang lapar, miskin lagi susah yang berusaha menanam bahan-bahan mentahnya
Nelayan-nelayan yang selalu menderita ke laut mencari ikan buat lauk si pembesar dan si kaya
Padahal nelayan itu sendiri memakan ikan yang murah-murah sahaja
Pakaian-pakaian pembesar dan si kaya mahal-mahal belaka
Fakir miskin yang menjadi buruh kasar mengharapkan sesuap nasi menjadi tenaga pengeluarnya
Mereka sendiri pakaiannya adalah compang-camping sahaja
Kenderaan mereka yang cantik, mewah lagi canggih, buruh-buruh jugalah yang menjadi tenaga membuatnya
Kenderaan itu orang kaya dan pembesar-pembesarlah yang memilikinya
Si buruh berjalan kaki atau naik bas turun bas sahaja
Mereka hanya boleh melihat sahaja tidak mampu memilikinya
Putih mata, cicir air liur, penuh kecewa
Rupanya makin berpangkat besar, semakin kaya, makin ramai orang yang berkhidmat kepada mereka
Sama ada disedari atau tidak, dikenali atau tidak
Yang ramai itu pula kebanyakannya adalah orang-orang yang miskin dan susah
Tapi apa yang terjadi secara lumrahnya
Orang-orang besar dan kaya yang sepatutnya merendah diri tapi berlaku sebaliknya
Majoriti mereka itu sombong dan bangga
Kesusahan orang miskin dan penderitaan mereka, tidak pun mendapat simpati orang besar dan kaya
Bahkan adakalanya mereka memandang rendah dan hina
Fakir miskin terbiar tiada siapa yang membela
Kerana itulah jurang pembesar dan kaya dengan si miskin terlalu jauh bezanya
Padahal pembesar-pembesar selalu sahaja menslogankan perpaduan
Mereka tidak sedar bahawa kesilapan mereka adalah salah satu faktor membawa perpecahan di kalangan etnik dan bangsa
Kalau kita mengadap hidangan, fikirkanlah berapa ramai orang yang terlibat membuat jasa kepada kita
Nasi jasa petani, ikan jasa nelayan
Sedangkan mereka kais pagi makan pagi kais petang makan petang
Ada makanan dari jasa-jasa buruh kilang
Mereka miskin dan papa dari kita
Jika kita berpakaian ingatlah berapa ramai pula orang yang menyediakannya
Sedangkan gaji mereka tidak seberapa
Mereka melarat dan menderita
Di waktu kita menaiki kenderaan yang mewah
Ingatlah berapa ramai buruh-buruh kasar yang menyiapkannya
Padahal mereka tidak pernah menaikinya
Kita senang-senang menaikinya
Begitulah kalau setiap apa yang kita makan dan apa yang kita rasa
Kita renung sejenak memikirkannya
Kita akan insaf dan sedar
Berapa ramai orang yang telah berjasa kepada kita
Kit akan bertimbang rasa kepada mereka
Kita akan belas kasihan kepada mereka yang miskin dan papa
WATAK ORANG KAYA DAN ORANG MISKIN DI AKHIR ZAMAN
Di zaman moden, di akhir zaman ini,
Perbezaan antara orang kaya dan orang miskin
Dalam setengah-setengah hal tidak sama,
Masing-masing ada gaya hidup yang tersendiri tidak serupa,
Orang yang kaya atau yang berada,
Rumah mereka sebiji-sebiji,
Satu sama lain berjauh-jauhan jaraknya,
Mereka lebih banyak berhubung dengan alat-alat kehidupan, daripada manusia,
Mereka bersahabat dengan kereta, dengan comunicator,
Sedikit sekali dengan manusia,
Hidup sendiri-sendiri, dengan manusia prajudis sahaja,
Kalau pun mereka berkawan dengan manusia
Hanya dengan keluarga,
Itu pun berkawan suami isteri kerana benda dan harta,
Satu sama lain prajudis sahaja,
Dengan orang gaji dibuat macam hamba,
Berjumpa dengan manusia, rasmi-rasmi sahaja,
Orang miskin, lain pula,
Di setengah-setengah hal, ada budaya yang tersendiri pula,
Rumah mereka dekat-dekat dan rapat-rapat,
Setiap hari boleh bertemu muka,
Tapi sekadar kita pandang dia, dia pandang kita,
Namun hati tidak seia sekata,
Satu sama lain curiga mencuriga,
Mereka selalu bertemu tidak rasmi,
Tapi bualannya hanya dunia,
Seolah-olah Tuhan dan akhirat tidak ada,
Perhubungan suami isteri nampaknya erat,
Tapi krisis rumah tangga jadi budaya,
Hidup bersama tidak ada bahagia,
Tapi kerana tuntutan biologi damai seketika,
Kedua-dua golongan ini sekarang fikiran dan jiwa mereka sudah rosak binasa,
Kerana tidak kenal Tuhan dan cinta dunia,
Mereka ini kalaulah bukan perintah Tuhan,
Di dalam tanah dikuburkan,
Elok dibakar sahaja atau dicampak di dalam lautan,
Tapi kerana perintah Tuhan kenalah ditanam.
Selasa,
08.11.05-01
06 Syawal 1426 H,
7.35 Malam,
PENGIKUT PARA NABI RAMAI DARI GOLONGAN MISKIN DAN LEMAH ( KAYA IMAN, MISKIN HARTA )
Ibnu Majah meriwayatkan hadith daripada Abu Sa’idah al-Khudri r.a. bahawa Nabi saw. pernah mengucapkan doa, “Ya Allah hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan bangkitkanlah aku bersama orang-orang miskin”.
Diriwayatkan dari Aisyah, Rasulullah S.A.W. berkata kepadaku: ”Sesungguhnya Allah menawarkan kepadaku dataran Mekkah untuk dijadikan emas dan diberikan kepadaku, maka aku menolaknya, lalu aku berkata: Aku tidak mengharapkan itu semuanya Ya Allah, akan tetapi aku lebih senang sehari lapar dan sehari kenyang. Tatkala hari yang aku merasakan lapar, aku merendah diri dan berdo’a kepada-Mu, sementara tatkala hari yang aku merasakan kenyang, aku bersyukur dan memuji-Mu”.
Rasulullah saw bersabda, “Perkara yang aku takuti atas umatku adalah perut besar (banyak makan), banyak tidur, malas dan lemah keyakinan”. (Riwayat Daruquthni melalui Jabir r.a). Baginda bimbang apabila umatnya terlalu kenyang kerana ia boleh menyebabkan mereka malas untuk berjihad.
Pengikutnya Ramai Daripada Kalangan Miskin
Salah satu daripada soalan yang ditanya oleh Raja Rom ialah tentang siapakah pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Hadis Abu Sufian r.a katanya: “Setelah aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dalam tempoh yang agak lama, pada waktu itu aku berada di Syam maka telah sampai sepucuk surat dari Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada Raja Hiraqal Pembesar Empayar Rom. Dahyat Al-Kalbi telah membawa surat tersebut dan menyampaikannya kepada pembesar Busra. Maka pembesar Busra telah membawa surat tersebut kepada Raja Hiraqal”.
Lalu Raja Hiraqal bertanya: “Adakah di sini terdapat seorang lelaki dari kaum orang yang mendakwa sebagai Nabi ini?” Orang-orang yang ditanya menjawab: “Ya! Ada. Aku pun dipanggil bersama beberapa orang Quraisy yang lainnya, maka kami pun terus masuk menghadap Raja Hiraqal. Setelah dipersilakan duduk di hadapannya, Raja Hiraqal mula mengajukan pertanyaan: “Adakah di antara kamu ini orang yang paling dekat nasab keturunan dengan seorang yang mengaku sebagai Nabi ini?” Maka aku pun menjawab: Aku!”
Beliau (Raja Hiraqal) meneruskan pertanyaan: “Siapakah yang menjadi pengikutnya? Adakah mereka terdiri dari kalangan orang yang mulia atau dari kalangan orang yang lemah?”
Aku menjawab: “Para pengikutnya adalah terdiri dari kalangan orang yang lemah (miskin)”. Kemudian Raja Hiraqal memerintahkan juru bicaranya supaya menyatakan (isi hatinya) bahawa: “Ketika aku tanyakan kepadamu mengenai para pengikutnya, kamu menjawab bahawa para pengikutnya terdiri dari orang-orang yang lemah dan mereka itulah pengikut para rasul”.
Raja Rom itu mengiyakan jawapan Abu Sufian itu kerana beliau mengetahui bahawa pengikut para rasul yang terdahulu adalah dari kalangan orang miskin.
Kekayaan Bukan Jaminan Dapat Fokus Pada Ibadah
Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w, bertanya kepada para sahabatnya yang miskin bagaimanakah keadaannya jika mereka diberikan kekayaan. Para sahabat mengatakan ia baik untuk mereka kerana mereka dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Namun Rasulullah s.a.w. menafikannya dan mengatakan bahawa keadaan mereka yang miskin itulah yang lebih baik dan membuatkan mereka dapat menumpukan kepada ibadat.
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah).
Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu masa nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain.Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”.
Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Lalu Nabi saw. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”.
Sumber: http://nasbunnuraini.wordpress.com