Tag Archives: Kemiskinan

KEMISKINAN BUKAN UNTUK DI BASMI

air-paip

Dalam hidup ini, banyak perkara yang manusia suka dan banyak perkara yang manusia benci. Yang manusia suka dia akan usahakan supaya diperbanyakkan lagi. Yang dibenci, kalau boleh hendak dibasmi dan dihapuskan.Di antara perkara yang manusia tidak suka ialah kemiskinan.

Maka banyaklah suara dan usul diketengahkan untuk membasmi kemiskinan. Malahan telah diadakan program khas untuk tujuan membasmi kemiskinan ini.

Hakikatnya, bukan sahaja manusia di zaman ini yang bencikan kemiskinan. Manusia di sepanjang zaman bencikan kemiskinan. Berbagai usaha telah dibuat oleh manusia dari zaman silam sama ada secara individu mahupun secara berkelompok untuk menghapuskan kemiskinan di dalam masyarakat dan tamadun mereka. Dalam hal ini manusia belum pernah berjaya.

Justeru itu soal yang timbul dalam fikiran kita bolehkah fenomena kemiskinan ini dibasmikan? Bukankah ia satu sunnatullah yang tidak akan berubah-ubah. Apa akan terjadi pada sesuatu masyarakat yang tidak mempunyai orang miskin dan semua ahlinya kaya belaka? Apakah hikmah Allah mencipta kemiskinan di kalangan manusia?

Yang sebenarnya, dalam sesuatu masyarakat tidak boleh semuanya miskin. Kelak tidak akan ada orang yang menjadi pengusaha yang mengeluarkan modal untuk perdagangan,industri, pertanian dan perniagaan. Maka ekonomi tidak akan tertegak sedangkan ia adalah nadi bagi kehidupan lahiriah manusia. Tidak boleh pula kesemua orang dalam masyarakat itu kaya. Kelak tidak akan ada pula buruh dan pekerja yang menggerakkan industri, pertanian dan perniagaan. Jelaslah bahawa orang miskin dan orang kaya itu saling bantu-membantu dan saling perlu-memerlukan di dalam menegakkan sistem hidup bermasyarakat dan ekonomi. Kalau semua ahli masyarakat miskin maka masing-masing akan hidup melarat tanpa ada sebarang kegiatan ekonomi. Masing-masing akan cari makan untuk kehidupan sendiri-sendiri. Kalau semua ahli masyarakat kaya pula maka kekayaan itu tidak ada sebarang makna. Wang tidak dapat digunakan untuk membeli apa-apa.Beras tidak ada. Ikan tidak ada. Buah-buahan dan sayursayuran tidak ada. Tidak akan ada petani yang menanam hasil pertanian dan tidak akan ada nelayan yang pergi ke laut menangkap ikan. Tidak ada tukang buat rumah. Tidak ada buruh membina jalan. Malahan tidak akan wujud sebarang kemajuan dan pembangunan di dalam masyarakat yang semua ahlinya orang kaya belaka. Dengan adanya miskin dan kaya dalam sesebuah masyarakat maka akan tercetuslah segala perkara yang perlu dalam kegiatan ekonomi seperti pengusaha,kewangan dan modal, tenaga buruh, tenaga pengurusan,bahan mentah, modal tetap, pembeli dan pengguna.

Memang Allah wujudkan miskin dan kaya itu supaya dapat hidup bersama-sama, bergantung dan perlu-memerlukan antara satu sama lain. Supaya terjadi interaksi di dalam masyarakat yang boleh mencetuskan kemajuan dan tamadun. Di atas itulah Allah adakan pula syariat supaya orang kaya dan miskin dapat hidup dalam harmoni dan berkasih sayang.Yang miskin disuruh sabar dan jangan meminta-minta. Yang kaya disyariatkan supaya mengasihi, membela dan membantu yang miskin melalui zakat, sedekah dan sebagainya.

Rezeki yang Allah kurniakan cukup untuk semua manusia.Hanya ia disalurkan melalui orang-orang kaya untuk diratakan.Maka celakalah orang-orang kaya yang tidak melaksanakan amanah ini dan mengumpulkan hak Allah itu untuk diri mereka sendiri sahaja.

Oleh yang demikian, membasmi kemiskinan bukan carauntuk menyelesaikan masalah. Kemiskinan akan tetap wujud sampai hari Kiamat. Apa yang perlu dibuat ialah laksanakan syariat Allah dalam mengendalikan harta dan kekayaan.Sempurnakan hak fakir miskin supaya mereka senang dalam kemiskinan mereka. Supaya timbul kasih sayang mereka terhadap orang-orang kaya. Orang miskin itu sebenarnya tidak miskin. Hanya rezeki dan hak mereka berada di tangan orangorang kaya. Jangan mereka dikhianati dan dizalimi dengan menahan hak mereka itu.

Rezeki yang Allah turunkan ke bumi bagi manusia adalah ibarat hujan yang airnya bertakung di tempat tadahan. Orang-orang kaya ibarat saluran-saluran paip yang besar yang membawa air tersebut. Orang-orang miskin yang ramai ibarat kepala-kepala paip yang kecil atau pancur yang terpaksa mereka buka untuk mendapatkan air.

Selagi orang-orang kaya mengambil air setakat mana yang mereka perlu dan menyalurkan selebihnya, maka selagi itulah kepala-kepala paip kecil atau pancur akan mengeluarkan air apabila dibuka. Tetapi kalau air ini disekat, maka kepala-kepala paip kecil atau pancur akan kekeringan.

Punca masalah dalam masyarakat bukan orang miskin tetapi orang kaya yang tamak, yang tidak bertanggungjawab dan yang mengumpulkan kekayaan melebihi dari apa yang mereka perlu. Mereka abaikan tanggungjawab mereka terhadap orang miskin dan terhadap masyarakat. Mereka ingat kekayaan mereka itu hak mutlak mereka dan bukan amanah dari Tuhan.Sebenarnya, kalau kita hendak membasmi kemiskinan,mudah sahaja. Basmikan orang kaya. Haramkan orang menjadi terlau kaya dan salurkan kekayaan yang lebih itu kepada orang miskin. Dalam erti kata yang lain, baiki saluran yang tersumbat.

RAHSIA YANG SEMUA MANUSIA PATUT TAHU

” Apabila seseorang itu jiwanya tidak tergugat oleh harta, tidak tergugat oleh derita, tidak tergugat oleh orang kata, dia termasuk manusia luar biasa, kerana jiwanya dengan Tuhan saja”

Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah…

1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.

2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.

3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.

4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.

5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.

6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.

7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.

8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.

9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.

10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.

11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.

12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.

13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.

Kemiskinan Bukan Ditakuti Tetapi Disukai

Bila disebut miskin dan kemiskinan, semua orang takut dan benci. Bersediakah kita untuk hidup miskin? Senangkah hati kita jika anak-anak kita hidup dalam kemiskinan? Marilah kita memandang miskin harta ini dengan positif, supaya nanti kita dapat melaksanakan hidup yang indah ini.

Rasulullah SAW pernah berdoa agar dapat menjadi orang miskin.

“Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikan aku sebagai orang miskin dan himpunkan aku bersama orang miskin di dalam syurga” – Riwayat At Tarmizi

Nampaknya Rasulullah bukan sahaja tidak takut miskin bahkan memintanya, demikian juga para sahabatnya. Harta yang ada padanya digunakan untuk fisabillah dan membantu orang miskin, tidak digunakan untuk dirinya dan keluarganya, tidak sempat mengumpul wang untuk menjadi kaya, dengan itu perjuangan Islam dapat menjadikan masyarakat dan jemaah kaya tapi individu miskin. Untuk diri sendiri baginda berusaha untuk menjadi miskin dan baginda bahagia dengan kemiskinan itu.

Orang miskin yang bertaqwa pada Allah jauh lebih baik dan beruntung daripada orang yang kaya harta kerana:

1. Orang miskin tidak disibukkan atau dilalaikan oleh harta individu, dengan itu peluang ditipu oleh harta tertutup sama sekali.

2. Harta selain menipu daya, ia juga mengikat dan mengongkong pergerakan tuannya, orang tak sanggup meninggalkan harta dan    rumahnya seperti tidak sanggup meninggalkan anak isterinya, sedangkan manusia bebas ke mana sahaja demi memperjuangkan agama Allah.

3. Orang miskin yang mengorbankan harta di jalan Allah ialah menyimpan harta di bank akhirat , dia dapat berganda-ganda untung lagi, keuntungan dunia diperolehi dengan menjadikan masyarakat, jemaah dan negara kaya. Negara kaya lebih hebat dari individu kaya.

4. Bilamana Rasul memilih kemiskinan dengan sendirinya perebutan kekayaan di kalangan pengikut akan terhenti, kerana pemimpin miskin tidak mengumpul kekayaan, mereka tidak meneruskan merebut kekayaan kerana Rasul tidak suka, bahkan masing-masing mengorbankan harta mereka. Kerana demikianlah Allah dan Rasul perintahkan.

5. Orang miskin rapat dengan Tuhan. Mereka selalu meminta-minta pada Tuhan dan merasakan Tuhan amat perlu dalam hidup mereka, sebaliknya orang kaya selalu lalai dengan Allah, bahkan sering terlupa bahawa kekayaan itu semua adalah pinjaman dari Allah. Sebab itu kita lihat orang kaya lebih terdedah kepada sifat sombong dibandingkan dengan orang miskin, sebab itu orang-orang mukmin kerana pentingkan hati yang suci dan tawadhuk, mereka memilih kemiskinan daripada kekayaan.

6. Orang miskin lebih dahulu masuk syurga berbanding orang kaya kerana kurang hisab mereka, orang kaya yang boleh masuk syurga pun akan lewat 500 tahun dibandingkan dengan orang miskin.

Atas sebab itu Rasullah memilih kemiskinan. Bahkan Islam pun tidak menentangnya, bagi mereka yang tidak dapat mengelak. Kerana kemiskinan seperti juga kelemahan-kelemahan yang lain adalah sunnah Allah ,ketetapan yang tidak boleh dibasmi. Ia mesti berlaku sebagai satu bentuk ujian yang ditetapkan oleh Allah, bahkan merupakan satu keperluan yang tersirat dalam masyarakat dan kepada individu individu tertentu.

Dalam Islam, kemiskinan tidak dianggap masalah masyarakat, maka perjuangan untuk membasmi kemiskinan tidak dilaung-laungkan, sebaliknya dinilai mengandungi penuh hikmah dan didikan, yakni satu peluang yang menjalin kerjasama dalam masyarakat juga pencetus kedamaian dalam hidup bermasyarakat, kerana satu sama lain perlu memerlukan.

Namun hal ini amat tersurat, susah hendak dilihat dengan mata kasar, mungkin sulit untuk difahami kalau tiada bukti kecuali bagi hati yang bersih.

Di kalangan orang-orang Islam bertaqwa, para pemimpin dan orang kaya memerlukan orang-orang miskin untuk hidup mereka, bukan untuk dihambakan kepada kepentingan mereka tetapi untuk :

1. Tempat berhibur dengan mencurahkan harta mereka seperti yang Alllah perintahkan

2. Mengisi berbagai projek kemasyarakatan yang dibangunkan oleh orang orang kaya.

Hal ini hanya berlaku dalam masyarakat yang sudah terdidik dengan ilmu Islam dan iman, hanya orang kaya yang bertaqwa yang sudi terhadap orang miskin dan hanya orang miskin yang bertaqwa yang boleh bangga dengan orang-orang kaya.

Pokoknya, perjuangkan iman dan taqwa untuk kedua-dua golongan ini , ubat bagi kedua golongan masyarakat yang berpenyakit ini ialah iman dan taqwa agar si kaya sanggup bertanggungjawab kepada fakir miskin dan fakir miskin redha dengan kemiskinannya.

Call Now
Directions