Tag Archives: kemuliaan
MISKIN MELARAT YANG HINA ATAU MISKIN PILIHAN UNTUK KAYAKAN ISLAM
Mari kita lihat, apakah hakikat kemiskinan yang sebenarnya. Muliakah jika kita kaya, hinakah jika kita miskin?
Sebenarnya kemuliaan dan kehinaan tidak ada hubung kaitnya dengan kaya miskin. Kemuliaan di sisi Tuhan adalah Taqwa atau rasa takutkan Allah. Seseorang itu mulia jika Allah sentiasa ditakuti, digeruni, dicintai dan diingati. Orang-orang dunia menganggap miskin itulah kehinaan. Hakikatnya kaya miskin itu tetaplah hina jika melupakan Tuhan atau menderhakai Tuhan. Hinalah seorang jutawan jika dia berzina, minum arak dan makan rasuah. Mulialah orang susah kalau dia taat dan takutkan Allah dalam hidupnya.
Orang yang cerdik akan memilih mulia di sisi Tuhan berbanding yang lain. Kemiskinan atau kekayaan bergantung pada usaha ikhtiar serta ketentuan Tuhan. Bukankah rezeki di tangan Tuhan. Mencari keperluan kehidupan itu disuruh sebagai tanggung jawab. Jika Tuhan anugerahkan rezeki melimpah, itu adalah amanah untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Berbuatlah apa saja asalkan ada Tuhan dihati kita. Itulah kemuliaan di sisiNya.
Orang yang malang ialah mereka yang hanya melihat kaya dan senang lenang itulah tujuan kehidupannya. Itulah yang disangkanya kemuliaan dan dipandang berharga. Dikejarnya kekayaan tanpa melihat haram halal atau tanpa memperdulikan sembahyang atau kewajipan Islam yang lainnya. Mereka jadi gila mengejar dunia yang semakin dikejar semakin menjauh. Itulah tipu daya.
Walaupun sudah mendapat dunia dan kekayaan melimpah ruah, dunia menipunya dengan mencabut bahagia dari hatinya. Keluarga berpecah belah. Kemewahan menjadikan anak-anak terjebak dengan berbagai gejala menakutkan. Malang berganda. Menjaga harta yang kaku itu sudah sangat menyusahkan. Makin dijaga, makin diurus, semakin tertekan jiwa, hilang rasa bahagia. Harta yang ada, dirasa sentiasa tidak cukup atau bila-bila masa boleh lenyap dari pandangan mata. Maka mereka akan menjadi manusia kedekut. Berkira-kira dalam hendak menggembirakan atau menolong orang yang menderita. Itulah tipuan dunia.
Suatu hal yang pelik pada pandangan ahli dunia ialah kemiskinan menjadi pilihan orang-orang Tuhan atau para kekasih Allah. Para Nabi dan Rasul adalah pelopor pegangan sebegini. Mereka memang diprogramkan sedemikian oleh Tuhan. Mereka walaupun ada pekerjaan mereka tetapi hakikatnya mereka full time dengan Tuhan. Nabi Musa mengembara dari Mesir ke Sinai bukannya untuk berniaga mencari kehidupan seperti manusia lainnya. Sebaliknya itu adalah perjalanan mentaati arahan Tuhan.
Tuhan memperlakukan mereka supaya mereka sepenuh masa memperjuangkan Tuhan. Mereka fulltime dengan kerajaan Tuhan. Itulah kemuliaan dan kehebatan mereka. Kesanggupan hidup susah bersama anak isteri adalah pilihan mereka. Apa yang penting pada mereka ialah Tuhan diperkenalkan kepada umat manusia untuk dipuja dan disembah. Rezeki Tuhan ada di mana-mana.
Mereka tidak bimbang dengan kekurangan makanan atau harta benda dunia. Sebab itu Siti Hajar ditinggalkan di tengah lembah yang kering kontang. Air pun tidak ada apatah lagi tumbuhan lainnya. Apakah yang tersedia untuk meneruskan kehidupan. Dahsyatnya Tuhan mendidik manusia supaya yakin dengan rezeki dariNya!! Itulah ujian keyakinan terhadap Tuhan – benarkah rezeki itu datangnya dari Tuhan?
Lalu bersediakah kita membina generasi yang sanggup utamakan Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya? Bangunkanlah dan didiklah generasi kita sehingga mereka sanggup berkorban membela orang lain dalam keadaan ramai yang lain hanya mementingkan diri sendiri. Asuhlah mereka berjiwa besar untuk mengutamakan Allah dalam segenap kehidupan mereka.
Jika kita mahu membangunkan Islam untuk melihat Islam kembali berdaulat, kemiskinan adalah syarat untuk layak dipanggil pejuang. Inilah sijil untuk dikejar oleh anak cucu kita. Kita bina mereka untuk jadikan Islam itu cita-cita hidupnya, nescaya dia akan sanggup susah dan menderita. Percayalah setiap kali kita bersedia untuk miskin, Tuhan akan membayar semua keperluan kita sepanjang masa. Tuhan ada cara untuk jadikan Islam itu dilihat kaya dalam kemiskinan peribadi yang sengaja kita pilih.