Tag Archives: kepimpinan
SEBAB-SEBAB ROSAKNYA MANUSIA
Manusia rosak banyak sebabnya. Ada sebab luaran dan ada sebab dalaman. Ada sebab lahir dan ada sebab batin. Namun kalau semua sebab-sebab itu dianalisa, puncanya dapat dirangkumkan ke dalam tiga perkara yang pokok.
Pertama adalah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan.
Kedua kerana ketandusan kepimpinan
Ketiga kerana sistem hidup manusia sudah punah ranah.
Manusia Sudah Kehilangan Tuhan
Manusia umumnya sudah kehilangan Tuhan. Manusia sudah melupakan Tuhan. Tuhan sudah tidak lagi menjadi teras dan pegangan dalam hidup manusia.Tuhan sudah tidak lagi menjadi matlamat hidup manusia. Dalam banyak hal, Tuhan diketepikan dan dikesampingkan. Tuhan tidak diletakkan di hadapan. Manusia sudah tidak merujuk lagi kepada Tuhan.Manusia sudah tidak patuh lagi kepada hukum-hakam dan peraturan Tuhan. Malahan hidup manusia bukan lagi untuk Tuhan.
Manusia sudah tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan.Tempat Tuhan telah digantikan dengan tuhan-tuhan palsu yang lain. Secara sedar atau tidak, Tuhan telah digantikan dengan dunia, dengan pangkat dan kuasa, dengan harta benda dan kekayaan, dengan wang ringgit, dengan nama dan glamour, dengan populariti, kemasyhuran dan sebagainya. Untuk ini semualah tujuan manusia hidup, bukan lagi untuk mendapat Tuhan.
Hatta, orang agama yang lahirnya nampak macam kuat beragama juga kehilangan Tuhan. Dalam solat mereka, tidak ada Tuhan. Dalam puasa mereka tidak ada Tuhan. Dalam zakat dan haji mereka tidak ada Tuhan. Dalam wirid, zikir dan bacaan Quran mereka juga sudah tidak ada Tuhan. Paling baik, mereka mengejar pahala dan fadilat, bukan Tuhan. Pahala dan fadhilat jadi matlamat, bukan Tuhan.Mereka hanya membesarkan syariat, bukan membesarkan Tuhan. Di samping itu,ramai juga orang agama yang mengejar nama dan jawatan diatas ilmu dan amalan agama mereka.
Segala apa yang manusia fikirkan, segala apa yang manusia mahukan dan segala apa yang manusia rasakan, kesemuanya tertumpu kepada matlamat material dan keperluan hidup di dunia semata-mata. Bukan untuk mengabdikan diri, berbakti atau untuk mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan.
Manusia sudah tidak yakin lagi dengan Tuhan. Sudah tidak tawakkal, tidak berserah diri dan tidak bergantung harap dengan Tuhan. Manusia menyangka seolah-olah Tuhan itu tidak ada peranan dalam hidup mereka. Mereka menganggap Tuhan tidak relevan dalam hidup mereka. Kalaupun lidah mereka tidak menyebut tetapi tindak tanduk dan amalan mereka membuktikannya. Mereka lupa dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku. (Az-Zariat:56)
Ramai manusia percaya kepada Tuhan. Tetapi mereka hanya setakat percaya sahaja. Orang Yahudi percaya Tuhan.Orang Nasrani percaya Tuhan. Orang Hindu pun percaya Tuhan. Malahan, kalau ditanya kepada setiap manusia dimuka bumi, siapakah yang menjadikan alam ini? Mereka semua akan berkata bahawa Tuhan yang menjadikannya. Tetapi percaya bukan satu keyakinan. Percaya bukan suatu itiqad. Percaya sahaja tidak cukup sebagai aqidah dan pegangan. Yang sedihnya, ramai orang Islam sendiri baru setakat percaya dengan Tuhan. Ia belum menjadi aqidah atau pegangan. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi wujudnya Tuhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada matlamat dancara hidup mereka. Mereka percaya Tuhan itu ada tetapi dalam kehidupan seharian, mereka bertindak seolah-olah Tuhan itu tidak wujud. Mereka ini termasuk golongan orang-orang yang kehilangan Tuhan.
Bilamana manusia melupakan Tuhan, maka Tuhan pun melupakan mereka. Bilamana manusia memutuskan hubungan mereka dengan Tuhan, maka Tuhan pun berlepas diri dari mereka. Tinggallah manusia terumbang-ambing dalam arus kehidupan dunia. Tuhan tidak memimpin mereka lagi. Tuhan tidak membela mereka lagi. Manusia hanyut dalam kesesatan dan dibawa arus menuju kehancuran. Hidup manusia menjadi kucar-kacir, kelam-kabut dan haru-biru. Manusia dilanda berbagai gejala dan penyakit sosial. Hilang kasih sayang.
Punca Rosaknya Manusia
Hilang perpaduan. Manusia bergaduh dan berperang. Jenayah berleluasa. Timbul kezaliman, penindasan dan tekan-menekan sehingga manusia cemas dan ketakutan. Perangai manusia tidak ubah seperti haiwan. Ini semua adalah akibat manusia meninggalkan Tuhan.
Manusia hilang tempat mengadu. Hilang tempat merujuk.Hilang tempat berserah dan bergantung harap. Hilang tempat meminta pertolongan. Alangkah ruginya manusia kalau sudah kehilangan Tuhan.
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata: Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”
Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.
Manusia Ketandusan Kepimpinan
Manusia sudah tidak terpimpin lagi kerana manusia sudah ketandusan kepimpinan. Oleh itu, manusia hanyut dan sesat dalam kehidupan ini tanpa menuju ke sesuatu arah yang tertentu dan tidak dapat memenuhi tujuan dan maksud mengapa manusia itu dijadikan. Manusia sudah tidak berfungsi sebagai manusia lagi.
Pemimpin yang ada di dunia sekarang sebenarnya bukan pemimpin. Obama bukan seorang pemimpin. Putin juga bukan seorang pemimpin. Begitu juga dengan Hosni Mubarak. Mereka bukan pemimpin. Paling tinggi mereka itu hanya pentadbir. Mereka mentadbir hal-hal negara,kewangan, khazanah dan ekonomi negara. Mereka hanya memenuhi keperluan lahir dan tidak langsung mengambil berat tentang keperluan rohani rakyat.
Pemimpin dalam Islam bukan setakat menyelesaikan keperluan lahir. Yang lebih penting ialah keperluan rohani.Pemimpin dalam Islam bertanggungjawab mendidik dan membina keinsanan rakyat. Membawa rakyat kepada Tuhan.Mengajar mereka supaya cinta, takut, taat dan patuh kepada Tuhan. Pemimpin dalam Islam berkewajipan menjaga kehidupan beragama rakyat dan menjadikan rakyat baik, beriman dan bertaqwa.
Soal keperluan lahir juga penting tetapi ia jatuh nombor dua.Dalam Islam, memimpin itu seperti membuat kerja Rasul.Rasul itu sebenarnya pemimpin. Siapa yang membuat kerja-kerja rasul juga dianggap sebagai pemimpin. Pemimpin seperti inilah yang sudah tidak ada lagi. Selagi pemimpin seperti ini tidak ada dan tidak dicari, maka selagi itulah hidup manusia akan menjadi rosak dan kucar kacir.
Para pentadbir dan pemimpin dunia seperti yang ada sekarang tidak mampu memimpin. Mereka tidak mampu membina keinsanan rakyat, membawa rakyat kepada Tuhan atau menjadikan rakyat orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Mana mungkin mereka mampu berbuat demikian dalam keadaan mereka sendiri pun tidak terpimpin. Keluarga mereka sendiri pun kucar-kacir.Mereka ini hanya akan melalaikan dan merosakkan keinsanan rakyat. Mereka ini hanya akan membawa manusia kepada dunia dan menjauhkan mereka dari Tuhan dan dari akhirat.
Paling baik, mereka hanya boleh membawa pembangunan dan kemajuan lahiriah dan membina ekonomi negara dan rakyat. Mungkin rakyat boleh hidup dengan selesa. Tetapi kebahagiaan manusia bukan terletak kepada keselesaan hidup.Ia terletak kepada jiwa yang terisi dan fitrah yang terlaksana.
Keperluan fitrah manusia yang utama ialah keinginan berTuhan, keinginan menyembah, taat, patuh dan mengabdi diri kepada Tuhan.Apabila hati-hati manusia terisi dengan dunia dan hidup mereka bermatlamatkan dunia, maka nafsu mereka akan bermaharajalela dan dunia akan menjadi rebutan. Memang dunia itu bahan rebutan dan punca pecah belah dan pemusnah kasih sayang. Manusia akan berebut-rebut dunia, menekan dan menindas seperti anjing yang berebut bangkai. Akhirnya manusia akan bergaduh, berkelahi dan bunuh-membunuh.Tidak ada kasih sayang dan perpaduan.
Sistem Hidup Manusia Sudah Punah
Sistem hidup manusia di muka bumi ini tidak lagi berteraskan syariat Tuhan. Ia adalah hasil dari ciptaan akal manusia yang begitu dhaif dan lemah. Sistem yang kononnya dirancang untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia itu telah makan tuan dan telah merosakkan dan mengkucar-kacirkan kehidupan manusia itu sendiri.
Di antaranya:
1. Sistem pendidikan sekular yang hanya bermatlamatkan dunia telah merosakkan akhlak manusia. Manusia hilang akhlak kepada Tuhan dan hilang akhlak terhadap sesama manusia. Manusia menjadi pencinta dan pemburu dunia.Manusia menjadi jahat, sombong, bakhil, hidup nafsu-nafsi,zalim dan pentingkan diri sendiri. Walhal sistem pendidikan Islam membawa manusia kepada Tuhan dan membina jiwa serta akhlak manusia. Hasilnya, manusia menjadi baik, berguna, bertolong-bantu dan berkasih sayang.
2. Sistem ekonomi ciptaan manusia terutama sistem kapitalis hanya mementingkan untung tidak kira dengan cara apa.Tidak kira sama ada hasil atau khidmat ekonomi itu perkara yang sia-sia, maksiat dan merosakkan orang atau ia menindas pekerja untuk mendapat untung berlipat ganda atau membazir atau merosakkan moral manusia dalam iklan untuk menjual barangan. Berlaku monopoli, oligopoli,kartel, menetapkan harga yang menekan dan berlebihan yang menyusahkan manusia serta berbagai-bagai lagi hanya kerana hendakkan keuntungan yang banyak.Walhal sistem ekonomi Islam menekankan khidmat kepada masyarakat dan membekalkan keperluan masyarakat sebagai suatu ibadah dan tanda kasih sayang. Segala kegiatan ekonomi tidak terkeluar dari syariat dan hukumhakam Tuhan dan tidak lari dari tujuan untuk mendapat keredhaan Tuhan.
3. Sistem kebudayaan berteraskan nafsu telah melalai dan merosakkan akhlak manusia terutama muda-mudi. Mudamudi diajak menghayati rock, pop, metal, berpoya-poya, bergaul bebas dan berjinak-jinak dengan arak dan dadah.Hasilnya, moral muda-mudi runtuh. Timbul bohsia, bohjan,anak luar nikah, buang anak, penagihan dadah dan macammacam lagi. Walhal sistem kebudayaan Islam membawa manusia kepada mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan dan merindui hari akhirat. Menginsaf dan menyedarkan manusia tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Menyegarkan dan menghidupkan jiwa mereka.
Kalau hidup manusia mahu dibetulkan, tidak dapat tidak,ketiga-tiga perkara ini perlu ditangani.
Pertama, manusia perlu dibawa kepada Tuhan. Manusia mesti mula mengenal dan takut pada Tuhan.
Kedua, pemimpin yang sejati yang boleh mendidik manusia perlu dicari. Ketiga, sistem hidup manusia yang sudah punah ranah ini perlu dibaiki dan perlu mengikut peraturan hukum-hakam dan mengikut cara yang Tuhan mahu.
Namun, di antara ketiga-tiga perkara ini, pemimpin sejati itulah yang perlu didapatkan dahulu. Kerana pemimpinlah yang akan dapat membawa kita kepada Tuhan dan pemimpin jugalah yang akan dapat membuat perubahan dan memperbaiki sistem hidup kita. Kita tidak akan dapat mengenal Tuhan tanpa ada pemimpin yang memperkenalkan Tuhan kepada kita. Dan sistem hidup kita tidak akan berubah dengan sendiri tanpa ada pemimpin yang berusaha mengubahkannya.