Tag Archives: mazmumah

ANTARA PELAJARAN DAN PENDIDIKAN

Jpeg

Pelajaran dan pendidikan, atau dalam bahasa Arabnya, Taalim dan Tarbiah ialah dua perkara yang penting di dalam usaha membina anak-anak. Pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara yang berlainan. Ia tidak serupa di antara satu sama lain. Namun begitu ramai di kalangan ibu bapa malahan di kalangan para guru sendiri yang tidak faham tentang kedua-dua perkara ini.

Pelajaran khusus ditujukan kepada akal. Sebab itu ia mudah dan “straightforward” . Pendidikan pula ialah pembinaan insan yang bukan sahaja melibatkan perkara fizikal dan mental tetapi juga hati dan nafsu.Malahan apa yang sebenarnya dididik ialah hati dan nafsu itu sendiri.Justeru itu pendidikan adalah lebih rumit dan lebih sukar.

Kedua-dua perkara ini harus kita fahami betul-betul di dalam membina anak-anak kita.Kedua-dua pelajaran dan pendidikan perlu di dalam membina peribadi yang pandai berbakti kepada Tuhan dan pada masa yang sama pandai berbakti kepada sesama manusia.

Pelajaran ialah proses belajar atau proses mengumpul ilmu. Ada guru, ustaz atau ustazah yang mengajar dan ada murid yang belajar. Hasilnya, murid menjadi pandai, alim dan berilmu pengetahuan.

Pendidikan pula ialah proses pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ilmu yang telah diperolehi terutamanya ilmu agama, cuba difahami dan dihayati hingga ia mendarah mendaging dan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian.

Di dalam erti kata yang lain, pelajaran menyentuh tentang soal ilmu dan pendidikan menyentuh tentang soal akhlak.Pendidikan di antara lain ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia. Membersihkan hati manusia dari segala sifat-sifat yang keji atau mazmumah dan mengisinya dengan segala sifat-sifat yang terpuji atau mahmudah. Pendidikan juga ialah mengembalikan hati nurani manusia kepada keadaan fitrah asal semula jadinya yang suci dan bersih. Nafsu perlu dikekang supaya ia tidak cenderung kepada kejahatan dan maksiat tetapi cenderung kepada kebaikan dan ibadah.

Sepertimana yang telah dinyatakan, kita tidak boleh mendidik sahaja tanpa memberi ilmu, dan kita tidak boleh memberi ilmu sahaja tanpa mendidik. Pelajaran dan pendidikan kedua-duanya perlu. Pendidikan bertujuan untuk membentuk akhlak. Pelajaran sahaja tanpa didikan akan menghasilkan manusia yang pandai tetapi jahat dan tidak bermoral. Sebaliknya, pendidikan sahaja tanpa pelajaran akan menghasilkan manusia yang baik tetapi tidak dapat berfungsi dan berkhidmat di tengah masyarakat.

Dalam skop yang lain pula, ilmu tanpa didikan boleh menyebabkan anak-anak jadi beku (jumud) kerana jiwa tidak hidup.Didikan tanpa ilmu pula boleh menyebabkan mereka jadi kaku ( tidak tahu bagaimana hendak melangkah dan bergerak ) kerana walaupun jiwa hidup, ilmu tidak ada untuk dijadikan panduan.Kalau ilmu sahaja yang diberi tetapi didikan tidak ada, manusia menjadi pandai dan maju di dalam berbagai bidang . Tertegak tamadun kebendaan dan hidup menjadi selesa. Tetapi di dalam kemajuan itulah berlakunya hasad dengki. Di dalam kemewahan itulah hilang hati budi.Manusia menjadi sombong, angkuh dan mementingkan diri. Manusia hidup nafsi-nafsi, hilang perikemanusiaan, ukhwah dan kasih sayang. Manusia hilang identiti.Rupa sahaja macam manusia tetapi perangai tak ubah seperti syaitan dan haiwan.

Sebenarnya, dalam memimpin dan membina manusia, ada dua faktor yang terlibat .
Pertama ialah faktor ilmu , dan kedua ialah faktor didikan .
Namun begitu, peranan ilmu hanyalah sepuluh peratus sahaja sedangkan peranan didikan ialah sembilan puluh peratus. Ilmu selalunya lengkap dengan falsafahnya, hikmahnya, usulnya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi di dalam mendidik, tidak semua ilmu itu berguna atau dapat dimanfaatkan. Paling banyak satu perempat sahaja daripada ilmu layak digunakan dalam mendidik.

Semua orang yang berilmu mampu mengajar tetapi tidak semua orang yang berilmu layak atau mampu untuk mendidik sebab mendidik itu ialah satu kemahiran dan kebolehan yang tersendiri . Ramai orang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak pandai mendidik. Ada pula orang yang kurang ilmunya tetapi dengan ilmu yang sedikit itu, dia mampu mendidik. Dia pandai mengaplikasikan ilmunya itu untuk mengubah sikap, perangai dan kelakuan manusia. Dia faham psikologi dan perjalanan hati manusia. Dia dapat melihat kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan maknawi yang ada pada diri manusia. Dia dapat menawan hati dan membuatkan manusia yakin dan percaya dan mahu mengikutnya. Dia mampu menjadi model untuk diikuti dan dicontohi oleh anak-anak didiknya.

Orang jadi jahat bukanlah kerana dia tidak ada ilmu. Seberapa ramai orang bodoh yang jahat, seramai itu jugalah orang pandai yang jahat. Malahan orang pandai yang jahat itu, jahatnya lebih serius dan lebih bahaya daripada jahat orang yang bodoh, kerana jahatnya dibantu oleh akalnya yang pintar. Jadi, orang jahat itu selalunya adalah disebabkan pendidikan yang tidak selesai.

Di dalam mencari ilmu, seseorang itu boleh belajar dari seberapa ramai guru sekalipun dalam satu-satu masa.Dia boleh ada seorang guru untuk satu matapelajaran dan guru yang lain pula untuk matapelajaran yang lain dan seterusnya.Berapa ramai guru pun tidak mengapa kerana hanya ilmu yang perlu dipelajari. Tetapi di dalam mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang pendidik. Setiap murid hanya boleh mempunyai seorang pendidik sahaja dalam satu-satu masa . Bukan dua, bukan tiga dan bukan pula satu jawatankuasa atau komiti yang mendidik. Pendidik itulah pemimpin, model dan contoh untuk diikuti. Kalau ramai pendidik, maka jadilah murid itu sebagai satu masakan yang dimasak oleh ramai tukang masak. Dia akan jadi rosak. “Too many cooks spoil the broth”.

Tidak semua ilmu mempunyai nilai pendidikan. Ilmu agama, khususnya ilmu fardhu ain memanglah ilmu untuk mendidik. Tetapi kebanyakan ilmu akademik seperti matematik, perdagangan, pertanian, sejarah, ilmu alam, sains dan sebagainya tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan. Ilmu akademik bukan ilmu untuk mendidik. Anak-anak tidak dapat memperoleh akhlak melalui ilmu seperti ini.

Namun begitu, bagi pelajar yang sudah ada asas akidah dan ketauhidan, mereka tetap akan dapat menambah keyakinan dan dapat melihat kuasa dan kehebatan Tuhan di dalam ilmu-ilmu akademik yang mereka pelajari. Malahan, melalui ilmu-ilmu tersebut, iman mereka boleh bertambah.

Tetapi bagi pelajar-pelajar yang kosong jiwa mereka dari mengenal Tuhan, ilmu-ilmu tersebut boleh melalai dan memesongkan mereka, sebab mereka tidak dapat kaitkan apa yang mereka belajar dengan Tuhan.Di dalam membangunkan dan membina manusia, pelajaran dan pendidikan adalah perkara yang wajib. Namun di antara keduanya, pendidikan lebih penting dan perlu diutama dan didahulukan.

Kalau dalam sesuatu sistem itu tidak wujud kedua-duanya atau soal pendidikan tidak didahulukan atau tidak diberi keutamaan; maka manusia yang akan lahir dari sistem tersebut pasti rosak dan merosakkan. Dia akan jadi musuh kepada Tuhan dan musuh kepada manusia. Kunci bagi membina anak-anak kita ialah didik dahulu dan kemudian baru ajar. Didiklah dan ajarlah.Jadikan mereka baik dahulu sebelum menjadikan mereka pandai. Jadikan mereka berakhlak dahulu sebelum menjadikan mereka berilmu. Kenalkan mereka kepada Tuhan dahulu sebelum dikenalkan kepada ciptaan-Nya.

Jadikan mereka hamba Allah dahulu sebelum menjadikan mereka khalifah-Nya. Salahnya kita di dalam membina anak-anak dan muda-mudi kita ialah kita terlalu banyak mengajar terutama ilmu-ilmu akademik atau ilmu-ilmu dunia tetapi tidak cukup mendidik. Kita mesti berbuat sesuatu sebelum semuanya menjadi punah-ranah.

PUASA YANG DIHAYATI

Image result for image ramadan

Untuk menghayati puasa sehingga mendapatkan puasa yang hakiki, marilah kita mengenal manusia, kita ini manusia, ertinya mari mengenal diri. Kata Rasulullah SAW, “Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya.” Jadi kita hendak kenal diri kita. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Makin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.

Perkataan manusia itu dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris disebut human being. Dalam bahasa Arab, disebut ‘insan’. Insan itu, kalau diterjemah ke bahasa Malaysia, ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa kita adalah makhluk pelupa. Jadi bila disebut manusia atau insan itu, bukanlah satu benda yang gah. “Kalau kita kata, mari kita kenal intan.” Besarlah. Tapi kalau sebut,”mari kita kenal orang pelupa,” apalah indahnya. Intan tidak ada rasa bangga tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata kita ini makhluk pelupa?

Sekarang kita hendak kenal makhluk pelupa iaitu kita. Makhluk pelupa atau insan ini, ada 4 unsur yang paling penting padanya. Kalau tidak ada 4 unsur ini, dia bukan manusia, bukan pelupa. Dia boleh jadi malaikat, binatang, syaitan atau jamadat yakni benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah. Jadi pada diri manusia itu ada 4 unsur yang sangat penting. 4 unsur itu merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Yang satu sama lainnya, perlu-memerlukan. Kalaulah ada satu yang jam, tidak boleh kerjasama, habis.

Sebab itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicergaskan untuk membolehkan manusia ini bergerak. Supaya keempat-empat unsur itu boleh bekerjasama, bantu-membantu untuk menggerakkan manusia, agar boleh bertindak, bekerja, berjuang, membangun dan sebagainya. Unsur-unsur itu adalah:

1. Fizikal atau dalam bahasa Arabnya, jawarih.
2. Akal
3. Nafsu
4. Roh

Apakah peranan keempat-empat unsur ini?

1. Apa peranan fizikal? Tenaga lahir adalah rakyat dalam diri. Ia alat yang dialatkan oleh roh, akal dan nafsu. Yang lahir ini ia taat sahaja. Kalau 3 unsur tadi tidak aktif, maka fizikal pun tidak aktif. Itu yang jadi kaki tidur. Sebab akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir tidak pandai berfikir atau merancang, ia hanya tunggu arahan. Dia jadi rakyat dalam kerajaan diri.

2. Apa pula peranan akal? Kita ada akal tetapi kita tidak tahu apa peranannya. Pelik juga. Sebab ia bersifat maknawiyah. Anggota lahir itu kita nampak ia bekerja. Tapi kalau kita tanya orang, “Apa kerja akal awak?” “Entahlah.” Sebab itu perlu kenal akal sebab ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranannya atau kerjanya menerima maklumat, menerima pengalaman, menerima ilmu, kemudian, masuk ke otaknya, ia diproses dan disimpan. Bila perlu, ia dikeluarkan balik. Proses itu yang dikatakan berfikir. Contohnya, dia tengok cawan, maklumat itu masuk. Dia tidak biarkan. Dia berfikir. Itu kalau otaknya aktif. Kalau tidak, kita tidak ajak otak bekerja. Macam fizikal yang tidak diajak bekerja. Begitulah kebanyakan umat Islam kini. Maklumat sudah jumpa tetapi akal tidak diajak bekerja, jadi pasif. Sebab maklumat tidak diproses. Jadi peranan akal, terima maklumat, ilmu, pengalaman, masuk ke otak dan diproses. Disimpan. Bila perlu, dikeluarkan.

3. Nafsu peranannya berkehendak. Dia pendorong. Tanpa nafsu, manusia tidak dapat hidup sebagai manusia. Kalau nafsu itu terdidik, ia akan mendorong manusia kepada kebaikan dan kepada mentaati Tuhan. Kalau ia tidak terdidik, ia akan mendorong kepada kejahatan dan jalan syeitan. Tuhan berfirman : “Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan”

4. Roh dikatakan juga hati atau jiwa. Peranannya ialah untuk merasa. Merasa susah, senang, suka duka takut, cemas, bimbang, risau, gelisah, gembira, sedih dll. Ia raja dalam diri. Roh manusia itu sensitif dan selalu berubah-ubah. Perubahan itu berlaku terlalu cepat hingga susah kita hendak mengesannya. Sifat roh terbagi kepada 2 : sifat mahmudah dan sifat mazmumah.

Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan. Hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa. Hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa, menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa. Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa. Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan. Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria yang dalam gelap-gelita. Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa.

Tuhan pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam. Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa bertuhan. Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita. Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya. Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa. Berzikir bukan di lidah tapi ingatan di hati.

Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya. Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati tahan pula setahun lagi. Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai. Bagi orang yang bertaqwa jiwanya hidup setiap masa. Kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya.Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa. Luar meriah di dalam tidak meriah. Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap. Kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang. Gelaplah hati sepanjang tahun. Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang.

MUTIARA KATA

1-Membuang sifat marah tidak mungkin kerana ia fitrah semulajadi manusia.
Yang salah melajakkan sifat marah.
Allah berfirman maksudnya: “Orang Mukmin itu membenamkan sifat marah.”

2-Akal terang dengan ilmu.
Hati terang dengan zikir serta mujahadah untuk membuang mazmumah.

3-Akhlak baik itu semua orang suka sekalipun orang yang tidak berakhlak.

4-Bersihkanlah badan daripada kekotoran, daripada najis, daripada hadas dan daripada dosa. Bersihkanlah akal daripada ilmu yang tidak berguna dan ilmu yang salah faktanya. Dan bersihkanlah jiwa (hati) daripada syirik dan mazmumah.

5-Di antara sifat Mukmin itu mukanya mesra dengan manusia, hatinya gundah-gulana dengan Allah, fikirannya ke alam yang jauh.

PENGHUJUNG RAMADHAN

Orang-orang Allah, orang-orang yang dekat dengan Allah, mereka menderita sepanjang Ramadhan. Jiwa mereka tidak tenteram kerana dihujani dengan rasa bersalah. Sejak belum Ramadhan lagi, mereka sudah berdebar untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Mereka bimbang tidak mampu menghayati Ramadhan. Mereka sangat sedar betapa agung dan berharganya Ramadhan. Pada mereka Ramadhan adalah anugerah istimewa dari Tuhan. Mereka khuatir, mereka tidak menghargai Ramadhan dengan selayaknya.

Sebenarnya perasaan sebegitulah yang dikatakan sifat taqwa iaitu hati yang penuh dengan rasa hamba. Kalau masih bergembira, bergelak ketawa maka hilanglah rasa hamba. Tiadalah sifat taqwa kerana taqwa itu adalah perasaan hati yang rasa bersalah dengan Allah, rasa belum berbuat ketaatan yang sepatutnya kepada Allah swt. Sedangkan sifat taqwa itulah yang hendak diusaha-dapatkan melalui seluruh ibadah yang dilakukan. Ibadah sepatutnya membina rasa hamba bukannya membuatkan seseorang itu makin sombong.

Ramadhan bagi orang biasa adalah bulan berpesta makan minum. Mazmumah malah makin berkembang biak. Pembaziran, berpeleseran, berfoya-foya dan berpesta-pesta jadi budaya aneh di bulan Ramadhan. Mereka berpuasa tetapi jauhnya disiplin puasa mereka daripada cara Nabi Muhammad saw dan salafussoleh. Puasa hanya rutin tahunan yang dilakukan kerana semua orang berpuasa.

Puasa tidak menjadi satu agenda utama untuk mendapatkan Allah. Bahkan ada yang hanya berpuasa, solatnya tetap tidak dilakukan. Lebih malang jika berpura-pura puasa – makan sembunyi-sembunyi tetapi tidak malu hadir ke majlis berbuka puasa! Sangatlah membudaya di kalangan masayarakat awam aktiviti Ramadhan diisi dengan persiapan hari raya. Sepatutnya Ramadhan dibesarkan dengan pelbagai amalan wajib dan sunat tetapi sebaliknya yang dilakukan.

Demikianlah tidak semua insan terpilih untuk menjadikan Ramadhan sebagai bulan penuh penghayatan. Sedangkan menghayati Ramadhan dengan solat yang lebih khusyuk, puasa yang sangat menginsafkan diri, solat Terawikh yang ditekuni sepenuh hati, baca Quran, bangun malam, bersedekah dan sebagainya adalah elemen pengukuh hubungan hati dengan Allah Maha Pencipta. Para kekasih Allah melakukannya secara sungguh-sungguh sampai menangis dan penuh kekesalan. Kadang-kadang mereka rasa benci dengan diri yang belum cukup istiqamah dalam mujahadah. Mereka kesal dengan hati yang masih terus ditunggangi nafsu walaupun syaitan iblis sudah dibelengggu.

Semakin ke hujung Ramadhan, hati para kekasih Allah semakin sedih dan menderita. Berpisah dengan Ramadhan adalah satu siksa yang mendera jiwa. Allah persiapkan Ramadhan dengan dirantai syaitan tetapi mula membukanya sebaik maghrib 1 Syawal menjelma. Allah bukakan pintu syurga seluas-luasnya dan menutup pintu neraka serapat-rapatnya apabila masuknya Ramadhan.

Habuan berganda untuk mereka yang mengisi Ramadhan dengan hati dan jiwa yang murni. Tetapi segala peluang sebegini akan tamat tawarannya apabila anak bulan Syawal muncul di kaki langit di ufuk barat. Tawaran sudah tamat. Kehidupan biasa akan kembali semula. Pintu neraka kembali dibuka menandakan kemasukan demi kemasukan ke neraka akan mula berlaku. Insan pilihan Allah akan bersedih hati mamikirkan ini semua.

Sejauh mana Ramadhan berjaya mengubah hati, akan dapat dilihat pada penghayatan hati masing-masing. Ianya gambaran hati yang terpancar pada cara Ramadhan diisi. Kemuncaknya pada Aidil Fitri akan terserlah natijah Ramadhan yang telah dilalui. Kecundang atau berjayanya Ramadhan seseorang akan dilihat kepada hatinya menyambut hari raya. Sebab itu syariat menganjurkan bertakbir dan bertahmid memuji Tuhan. Takbir raya yang dilafazkan adalah butiran kata-kata pujian, sanjungan serta penghargaan kepada Tuhan yang maha mengurniakan.

Bukan mudah menempuh hari raya dengan syukur kerana tabiat manusia lebih cenderung kepada kelalaian dari keinsafan. Manusia mudah didorong nafsu untuk mudah lupa diri yang hina dan bersalah dengan Tuhan. Manusia mudah melupakan Tuhan dan segala nikmat anugerahNya. Ramadhan bagi orang-orang Tuhan adalah bulan mengharapkan rahmat, berkat dan keampunan Tuhan. Inilah yang didambakan mereka. Mereka berusaha apa sahaja amal kebajikan agar semuanya dapat dipersembahkan sebaik mungkin untuk Allah yang menjadi ‘Owner’ alam semesta.

Marilah kita jadikan hari-hari akhir Ramadhan sebagai hari-hari yang penuh dengan kesedihan. Dianjurkan agar hati diasak dengan rasa sedih dan dukacita. Jangan dilayan keseronokan dan kegembiraan secara berlebih-lebihan. Berayalah dengan Tuhan kerana Dia sentiasa inginkan kita terus bersama-Nya. Waktu susah dan senang, waktu sihat atau sakit, waktu sendirian atau ketika ramai, kita jadikanlah Tuhan itu rakan sejati. Berayalah dengan Allah, bawalah Allah ke mana-mana. Ketika berziarah atau berbuat apa saja, Allah pasti bersama kita. Jika kita merasa cukup dengan Allah, kesalahan dan kelemahan orang lain akan mudah kita maafkan.

Ingatlah bahawa keselamatan yang utama ialah selamat dari api neraka. Allah-lah yang memilih siapa di kalangan hamba-Nya untuk ditaubatkan dan disedar-insafkan. Ya! Tentulah bukan mudah untuk menjadi orang-orang yang dekat dengan Allah. Ranjau dan liku terlalu menghalang. Jika kita ingin berbuat, nafsu dan syaitan akan tampil menggagalkan niat keinginan. Jika kita sudah berbuat, kecacatan hati pula yang terjadi.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar hati kita sentiasa takut sebenar-benar takut dengan Allah, rindu serindu-rindunya dengan Rasulullah SAW, muga-muga ia nya menjadi pendinding kita dari nafsu dan syaitan

SOMBONG ADALAH SIFAT YANG TERKEJI, PENYAKIT HATI YANG MERBAHAYA

http://www.usahataqwa.com/wp-content/uploads/2010/10/takabbur.jpg

Sombong, bongkak, angkuh dan takabbur atau kibir mempunyai pengertian yang sama. Ia salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat tercela yang terkeji). Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun hanya sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hambaKu, mereka akan masuk Jahannam sebagai makhluk yang hina dina.”(Al Mukmim:60)

Sabda Rasulullah SAW.: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarrah dari perasaan takabbur atau sombong.”

Sifat sombong atau takabbur ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu, sombong lahir dan sombong batin. Sombong lahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah (pangkat, kealiman, darjat keturunan) daripadanya.

Kesombongan itu juga dapat dilihat melalui tutur katanya, seperti tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar dan mengikut nasihat. Imam Al Ghazali berkata; “Orang yang sombong atau takabbur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar.”

Orang yang sombong atau takabbur ini mudah menghina orang lain dan akan marah jika ada yang mengatasinya, ia akan dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandingnya.

Sombong atau takabbur batin ialah membesarkan diri di dalam hati. Inilah maksiat di dalam hati yang dicela. Dengan adanya rasa angkuh di dalam hatilah lahirnya kata-kata membanggakan diri. Iblis menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam, katanya, “Aku lebih baik dan mulia dari dia (Adam), aku dijadikan dari api sedangkan dia dijadikan dari tanah,” lalu dengan angkuhnya Iblis enggan tunduk kepada Nabi Adam, sehingga dengan itu menyebabkan Allah melaknat Iblis dan keturunannya.

Sombong atau takabbur boleh dibahagi kepada tiga:

1. Sombong terhadap Tuhan

2. Sombong terhadap RasulNya

3. Sombong sesama manusia.

Sombong kepada Tuhan ialah tidak memperdulikan ancaman-Nya dan memandang remeh segala syariat dan peraturanNya. Sombong dengan Rasulullah ialah enggan mengikuti petunjuknya. Orang Quraisy zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda adalah anak yatim yang miskin. Orang Yahudi pula tidak mahu mengikut Nabi Muhammad kerana baginda bukan dari keturunan Bani Israel. Kebanyakan orang sekarang pula tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah kerana menganggapnya kolot, orthodoks, ketinggalan zaman dan berbagai alasan lagi.

Merasa lebih tinggi dari orang lain adalah sombong atau takabbur sesama manusia. Orang berpangkat tinggi merasa patut dihormati, dimuliakan dan menganggap orang lain rendah. Apabila seorang isteri berpangkat tinggi dan ada nama, susah untuk taat dan memuliakan suaminya, sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat. Seorang alim ulama’ bersikap sombong apabila ia memandang remeh terhadap orang lain kerana menganggap dia sahaja yang benar, jika ditegur walaupun benar, teguran itu ditolaknya.

Sombong ialah penyakit hati yang merbahaya. Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan atau petua untuk mengelakkan sikap dan sifat takabbur atau sombong ini.

* Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dengan dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.

* Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.

* Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.

* Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

* Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.

*Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.

Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri. Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya.

Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah; “Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh.”

Urwah bin Azzubair berkata, “Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan. Lantaran itu Rasulullah, para Nabi, para Sahabat , para aulia’ dan orang-orang soleh suka merendahkan diri dan memiliki sifat tawadhuk.”

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba, maka saya pilih Nabi dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku pertama manusia yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak.”

Tegasnya untuk menghilangkan sifat sombong dan takabbur perlulah bermujahadah bersungguh-sungguh. Moga-moga dengan berkat Mursyid, Allah anugerahkan kita dengan rasa-rasa hamba, rasa rendah diri dan tawadhuk

Call Now
Directions