Tag Archives: mukmin

MUTIARA KATA

1-Membuang sifat marah tidak mungkin kerana ia fitrah semulajadi manusia.
Yang salah melajakkan sifat marah.
Allah berfirman maksudnya: “Orang Mukmin itu membenamkan sifat marah.”

2-Akal terang dengan ilmu.
Hati terang dengan zikir serta mujahadah untuk membuang mazmumah.

3-Akhlak baik itu semua orang suka sekalipun orang yang tidak berakhlak.

4-Bersihkanlah badan daripada kekotoran, daripada najis, daripada hadas dan daripada dosa. Bersihkanlah akal daripada ilmu yang tidak berguna dan ilmu yang salah faktanya. Dan bersihkanlah jiwa (hati) daripada syirik dan mazmumah.

5-Di antara sifat Mukmin itu mukanya mesra dengan manusia, hatinya gundah-gulana dengan Allah, fikirannya ke alam yang jauh.

UJIAN DAN MUSIBAH, SEMUANYA DATANG DARI TUHAN

Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa camas, rasa bimbang, dan rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri,bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sementara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud:

Pertama:
Sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar.

Kedua:
Bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri.

Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannnya.”

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan laiai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan. Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesengsaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan.

Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan. Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah `mengimpot` kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki diri. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.

Di antaranya:

1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT. Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segaia sifat-sifat kesempumaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat

2. Rasa kehambaan yang mendalam,yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi, ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sifat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan.

Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam; Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan, sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat. Sembahyang yang sempurna lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka. Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya, mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud, “Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba hambaNya yang soleh” ‘ Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah bermaksud “Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iaitu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk.” (Al Mukminun: 1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.”. (Riwayat AI Hakim)

Bagi umat Islam yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali menhambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT. Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

BEZANYA ORANG ISLAM, ORANG MUKMIN, ORANG BERTAQWA

Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam, orang mukmin dan orang bertaqwa.

Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman.

Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.

Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia sembahyang, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam.

Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya.

1.Kalau kita hendak buat misalan, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain.

Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman.

Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.

2. Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.

3. Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

4. Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.

Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).

Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

MARILAH KITA BERDOA KEPADA ALLAH

Berdoalah kepada Tuhan tanda merendah diri kepada-Nya
Memintalah kepada-Nya di dalam sebarang hal
Untuk menghilangkan kesombongan dan ketakburan
Memohonlah kepada Tuhan, itu adalah salah satu sifat kehambaan
Berdoalah kepada-Nya tanda kita hamba yang lemah
Meminta kepada Tuhan tanda kita hamba kepada-Nya dan baik sangka
Memohonlah kepada Tuhan, Dia tetap mengabulkannya sekalipun di Akhirat
Berdoa ertinya kita bermesra dengan TuhanBerdoa ertinya kita bermunajat dengan Tuhan
Berdoa ertinya kita bercakap-cakap dengan Tuhan
Mengadukan hal kita
Meminta itu dan ini

Bukankah itu satu keindahan dan kelazatan
Berdoa adalah satu ibadah
Bahkan ia dianggap otak ibadah
Doa adalah senjata orang mukmin
Berdoa adalah satu harapan
Berdoa termasuk perhubungan di antara hamba dengan Khaliqnya
Orang yang tidak berdoa ertinya dia sombong dengan Tuhan
Dia merasakan ada kuasa, tidak perlu lagi kepada Tuhannya
Ini termasuk orang yang telah putus rahmat dengan Tuhan

SIFAT-SIFAT ORANG BERTAQWA

Sebahagian dari sifat, sikap, akhlak dan pakaian orang mukmin dan lebih-lebih lagilah orang yang bertaqwa itu ada diceritakan oleh Allah SWT di dalam ayat Al Quran: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, yang telah percaya dengan Allah dan rasul-rasul dan yang tidak ada pada mereka itu keadaan ragu dan mereka berjuang dengan menggunakan harta-harta dan diri mereka di jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar.” (Al Hujurat: 15)

Sifat, sikap atau akhlak orang mukmin dan orang bertaqwa yang dapat difahami dari ayat di atas dapat disenaraikan seperti berikut:

1. Percaya dengan Allah

2. Percaya dengan Rasul

3. Tidak ragu

4. Mengorbankan harta dan dirinya di jalan Allah

1. Percaya dengan Allah

Yakni percaya dengan Allah secara ‘ainul yakin dan bukan setakat ‘ilmul yakin. Orang mukmin dan orang bertaqwa yang percayakan Allah secara ‘ainul yakin ini, dia merasa hebat dengan Allah SWT. Dia juga rasa gerun kepada Allah manakala hatinya sentiasa rasa malu kepada Allah. Hatinya sentiasa cinta kepada Allah dan redha apa sahaja yang ditimpakan oleh Allah kepadanya.

Selain itu, dia bertawakal kepada Allah sahaja. Yang mana dia percaya hanya Allah sahaja yang boleh membela dirinya. Inilah kepercayaan orang yang percaya kepada Allah secara ‘ainul yakin. Orang ini sudah bertauhid kepada Allah dengan jiwanya, bukan setakat akal atau fikirannya sahaja. Orang yang percaya kepada Allah secara ‘ilmul yakin, itu sekadar imannya sah tetapi amat sukar baginya untuk memiliki sifat sabar dan redha kepada apa sahaja yang Allah timpakan kepadanya. Tidak mungkin dia dapat memiliki sifat tawakal, rasa hebat dan rasa cinta kepada Allah.

Seperti dalam firman Allah SWT: “Hanya sanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah mereka beriman dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Al Anfal: 2)

‘Ayat-ayat Allah’ dalam firman ini yang boleh menambah iman orang mukmin itu mempunyai dua maksud iaitu:

i. Ayat-ayat Al Quran yang sebenar.

ii. Ciptaan Allah yang dapat kita lihat dan dengar seperti langit, bumi, laut, gunung-ganang dan sebagainya. Itu adalah tanda kebesaran, kekuasaan dan bijaksana-Nya Tuhan. Itu juga tanda Tuhan itu Maha Mentadbir.

2. Percaya dengan Rasul

Ini bererti percaya dengan sifat-sifat yang wajib ada pada Rasulullah SAW yang diyakini dengan sepenuh keyakinan iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Siddiq bererti benar dan betul tentang apa yang dikhabarkan serta bersetuju dengan setiap apa yang disampaikannya adalah dari Allah sama ada pada perkataan mahupun perbuatan. Kemudian percaya bahawa pada Rasulullah itu ada sifat amanah, tabligh (menyampaikan) dan juga sifat fatonah (bijaksana).

Orang mukmin yang sebenar, lebih-lebih lagilah orang yang bertaqwa bukan percaya setakat itu sahaja tetapi dia juga mengikuti sunnah Rasul. Dia ikuti sunnah Rasul dalam apa aspek sekalipun termasuk dalam hal makan minum, ber-pakaian, rumah tangga, pergaulan, masyarakat, dalam berjuang dan berjihad, dalam pendidikan dan pelajaran, dalam ekonomi pentadbiran hinggalah kepada soal-soal negara dan alam sejagat.

Jadi orang mukmin dan orang bertaqwa itu, dia bukan sahaja percaya dengan adanya para rasul yang bermula dari Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Rasulullah SAW tetapi dia juga ikut menegakkan sunnah Rasulullah SAW atau perjalanan Rasulullah atau cara hidup Rasulullah. Barulah dengan itu akan tertegak dan akan nampak syiar Islam. Dalam Al Quran, kita disuruh oleh Allah untuk mene-gakkan syiar.

Firman Allah SWT: “Barangsiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itulah daripada hati yang bertaqwa.” (Al Hajj: 32)

Orang yang belum mukmin sukar untuk mengikut sunnah Rasulullah. Mereka setakat percaya Rasul itu ada sifat-sifat yang wajib padanya. Akal dapat percaya dan menerimanya tetapi belum sampai menghayati keyakinan itu di dalam hati. Sebab itu dia tidak mampu mengikut perjalanan hidup Rasulullah. Dia lebih mudah ikut cara hidup bintang filem, ahli sukan bahkan cara hidup orang Barat, Yahudi dan Amerika dari mengikut cara hidup Rasulullah.

3. Tidak Ragu

Orang mukmin yang sebenar dan orang bertaqwa, keyakinan-nya tidak goyang walaupun datang ribut taufan. Keyakinannya pada Allah dan Rasul tetap kuat dan padu walaupun orang caci maki dia, walaupun datang peperangan yang begitu sengit dan sebagainya. Hatinya juga tidak berganjak sedikit pun walaupun datang susah atau senang di dalam kehidupannya.

4. Mengorbankan Harta dan Diri di Jalan Allah

Orang mukmin yang sebenar dan orang bertaqwa itu, dia mengorbankan hartanya, jiwanya, dirinya dan tenaganya di jalan Allah. Iaitu dia berkorban menegakkan hukum-hakam Allah yang lima iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus di dalam kehidupan. Sama ada dalam hal yang mengenai dirinya ataupun rumah tangganya, pergaulannya, kenduri-kendaranya, pendidikannya, ekonominya, politiknya dan seterusnya kepada persoalan negara dan hubungan sejagat.

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya mendapat kemenangan orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menghindari perkara-perkara yang sia-sia. Dan mereka menunaikan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatan kecuali pada isteri mereka dan hamba sahaya milik mereka, maka mereka itu tidaklah dicela. Dan mereka yang melakukan sebaliknya itu adalah melampaui batas. Mereka yang menunaikan amanah dan janji-janji mereka, mereka yang sentiasa memelihara sembahyang mereka. Mereka itulah yang mempusakai Syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya.” (Al Mukminun: 1-11)

Disenaraikan dalam ayat ini sifat-sifat orang mukmin seperti berikut:

1. Khusyuk dalam sembahyang

2. Menghindar dari perkara-perkara yang sia-sia

3. Menunaikan zakat

4. Menjaga kehormatan

5. Menunaikan amanah

6. Menunaikan janji

7. Sentiasa memelihara sembahyang.

Kupasan bagi sifat-sifat di atas:

1. Khusyuk Dalam Sembahyang

Dalam sembahyangnya, dia merasa kebesaran Tuhan, rasa Tuhan itu hebat, rasa diperhati, didengar dan diketahui oleh Tuhan. Dia rasa lemah, hina dan rendah diri dengan Tuhan. Dalam sembahyang, dia bercakap, berdialog, meminta, mengadu dan bermanja dengan Tuhan.

2. Menghindar Perkara-Perkara Yang Sia-Sia

Yang lahirnya, dia tidak membuat sesuatu yang tidak membawa kepada keredhaan Allah. Dia tidak membuat sesuatu yang tidak jadi ibadah. Kalau dia buat yang harus pun, dijadikannya ibadah dengan mencukupkan syarat-syaratnya. Yang batinnya, dia tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat dan yang tidak membawanya kepada merasa kebesaran Tuhan. Dia juga tidak memikirkan perkaraperkara yang boleh mendorong nafsu.

3. Menunaikan Zakat

Zakat ditunaikan sama ada zakat lahir atau zakat batin. Zakat lahir ialah membahagikan harta kepada lapan asnaf. Ia dikatakan pembersihan harta. Zakat batin ialah membersihkan akal dari perkara yang haram yang boleh membawa kepada syirik dan engkar kepada Tuhan dan membersihkan nafsu dari tamak, dendam dan lain-lain.

4. Menjaga Kehormatan

Yang kecilnya ialah tidak terlibat dengan perkara-perkara seperti bergaul bebas, bercakap-cakap lucah dan mendedahkan aurat. Yang besarnya ialah tidak terlibat dengan zina, liwat, lesbian, homoseks, onani dan lain-lain.

5. Menunaikan Amanah

Menunaikan segala bentuk amanah. Ada tiga bentuk amanah:

a. Amanah dalam agama Islam iaitu beriman, beramal dan memperjuangkannya.

b. Amanah terhadap apa yang Allah kurniakan kepada kita seperti anak-anak, kekayaan, lidah, mata, tangan, kaki dan lain-lain.

c. Amanah yang aradhi yang dipikulkan kepada kita oleh masyarakat atau negara.

6. Menunaikan Janji

Menunaikan segala bentuk janji. Ada dua bentuk janji:

a. Janji yang kita buat di alam roh untuk beriman dan mem-besarkan Allah.

b. Janji yang kita buat kepada sesama manusia.

7. Sentiasa Memelihara Sembahyang

Iaitu menjaga:

a. Waktu sembahyang

b. Syarat, rukun, sah dan batal sembahyang

c. Jaga bacaan dalam sembahyang

d. Jaga makna bacaan

e. Jaga penghayatannya

f. Kalau berjemaah, jaga saf dan barisannya.

Orang mukmin dan bertaqwa itu sangat merendah diri dengan Tuhan. Firman Allah SWT:

Maksudnya:“Dengan Tuhan mereka, mereka merendah diri.”

Mereka sangat takut dengan Tuhan, taat, patuh dan menyerah diri secara total kepada-Nya. Firman Allah Taala: “Jawapan orang mukmin itu, apabila di-ajak kepada Allah dan Rasul agar menghukum di antara mereka, mereka berkata,‘Kami dengar dan kami patuh’.” (An Nur: 51)

Firman Allah SWT lagi: “Di antara sifat orang mukmin lelaki dan perempuan, apabila diperintahkan sesuatu perkara sama ada perintah suruh atau larang, tidak ada dolak-dalik.”

Orang mukmin dan orang bertaqwa itu sentiasa terkenangkenangkan Tuhan. Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk dan berbaring.” (Ali Imran: 191)

Mereka selalu berbuat kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, memberi tunjuk ajar, menjadi pendakwah dan penasihat dan terikat dengan jemaah. Mereka tidak bersendiri macam layang-layang putus tali. Itu bukan sifat orang mukmin atau orang bertaqwa.

Firman Allah Taala: “Orang mukmin lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi pembantu bagi yang lain, mereka menyeru orang berbuat baik dan mengajak manusia men-jauhi kemungkaran.” (At Taubah: 71)

Orang mukmin dan orang bertaqwa itu terikat dengan je-maah, dengan pemimpin dan di antara satu sama lain seperti dalam firman Allah SWT: “Orang mukmin dengan orang mukmin itu sentiasa kuat-menguatkan antara satu sama lain.”

Hadis juga ada menyebut: “Antara mukmin dengan mukmin itu ibarat satu bangunan.”

Orang mukmin dan orang bertaqwa itu sifatnya berkasih sayang sesama mereka dan tegas dan keras terhadap kafir (harbi). Mereka berukhwah dan mendamaikan pergaduhan dan menyelesaikan masalah orang lain. Mereka merasa susah dengan kesusahan orang. Mereka turut terhibur dengan kese-nangan orang walaupun mereka sendiri hidup merempat. Mereka membalas kejahatan orang mukmin yang lain dengan kebaikan.

Firman Allah SWT: “Orang mukmin itu sifatnya bersaudara (berkasih sayang), maka damaikanlah antara dua orang yang bertentangan.” (Al Hujurat: 10)

Firman Allah SWT lagi: “Muhammad Rasulullah dan orang-orang yang bersama dengannya (orang mukmin) itu, mereka tegas dan keras terhadap orang kafir (harbi) tetapi sangat berkasih sayang sesama mereka.” (Al Fath: 29)

Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat kepada kamu.”

Orang mukmin yang sejati dan bertaqwa itu, imannya yang begitu teguh mendorongnya bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah. Dia tidak hiraukan apa yang akan terjadi sekalipun akan merugikan kepentingan dirinya sendiri.

Seseorang itu boleh menunjukkan akhlak yang baik bila ada matlamat kebendaan atau duniawi yang sesuai dengan kehendak atau kepentingan dirinya. Namun, kalau tidak ada sifat taqwa, akhlak baik ini hanya bersifat sementara sahaja dan tidak dapat bertahan lama. Tapi akhlak yang bersumberkan taqwa kekal dan tidak berubah-ubah kerana ia tidak tunduk kepada kehendak hawa nafsu atau pengaruh orang lain dan masyarakat. Taqwa adalah markas di mana semua sifat yang terpuji terkumpul dan dari situlah lahir tindakan seseorang tanpa mengira sama ada ia mendatangkan manfaat pada dirinya ataupun tidak.

Maka dengan sifat taqwa dalam diri seseorang itu, dia sentiasa mencintai Allah dan taat kepada-Nya. Dia sentiasa tunduk kepada perintah dan peraturan Allah lantas mengamalkan se-gala yang disuruh kerana dia tahu dia berhak mendapat pahala dari tindakannya itu. Dalam pada itu pula, dia sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan yang ditegah dan dilarang dan yang akan membawa kecelakaan dunia dan Akhirat. Dengan yang demikian, orang yang bertaqwa sering menjaga kesucian jiwanya, yang disirami dengan amal-amal soleh dan bersih dari segala kekotoran dan kemungkaran serta bersih dari sifat yang rendah dan terhina. Orang yang bertaqwa sedar bahawa dari Islamlah datangnya sifat dermawan, keberanian, adil, dipercayai, arif, jujur, setia, kasih sayang dan lain-lainnya. Orang yang bertaqwa jauh dari sifat takut, bakhil, maksiat, menipu, dusta dan lain-lain sifat yang tercela.

Dengan termaktubnya iman dan taqwa di dalam dada seseorang individu itu, maka terpancarlah akhlak Islamiah di dalam dirinya hingga apa yang dia nampak hanyalah untuk menegakkan kebenaran dan hak sahaja dan berusaha untuk menghapuskan kemungkaran. Akhlak Islamiah yang dibangunkan atas dasar taqwa adalah akhlak yang bercirikan kebajikan yang mutlak yang mana orang yang bertaqwa itu berusaha tidak henti-henti dalam menegakkan amal makruf dan menegah setiap kemungkaran. Kebajikan yang dilaksanakan bukan kerana hendakkan balasan dari manusia tetapi kerana menagih balasan dari Allah. Kerana itu orang yang bertaqwa tidak akan berbuat kebajikan untuk mencari pangkat dan darjat atau kemegahan atau untuk berkuasa atau untuk mendapat keuntungan material. Kebajikan itu menurut nilaian orang yang bertaqwa hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Berbeza dengan orang yang membuat kebajikan atas do-rongan kebendaan atau keuntungan duniawi, mereka akan melupakan aspek-aspek kerohanian hingga lahirlah tindas-menindas dan tekan-menekan dalam mengejar kebendaan itu. Maka akan lahir nanti masyarakat yang berpecah belah iaitu masyarakat yang anggotanya hanya memikirkan kepentingan dirinya sendiri sahaja. Hidup mereka tidak ubah seperti haiwan atau pokok-pokok di hutan yang matlamat mereka adalah semata-mata untuk survival.

Kebaikan yang diwujudkan oleh individu yang bertaqwa adalah kebaikan yang menyeluruh. Sebab itu Islam adalah agama yang selamat lagi menyelamatkan bagi semua manusia di segala zaman dan di semua tempat. Ia bukan sekadar slogan atau kata-kata kosong yang dipamerkan dan dilaungkan kepada manusia tetapi ia adalah suatu realiti.

Orang yang bertaqwa itu membelanjakan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya di jalan yang Allah perintahkan. Ertinya orang yang bertaqwa itu pemurah, lebih suka memberi dari menerima. Kerana cintanya kepada Allah, dia lebih membesarkan Akhirat. Dia tidak menyimpan harta tetapi membelanjakannya kerana Allah untuk simpanan di Akhirat.

Orang yang semata-mata Islam bukan bahan atau material utama untuk menegakkan jemaah atau daulah Islamiah. Kalau tertegak jemaah atau daulah Islamiah di atas orang Islam, jemaah atau daulah itu akan roboh dan hancur, kerana orang Islam takut berjuang dan berkorban serta sangat mementingkan diri sendiri.

Orang bertaqwa sahaja yang berani berjuang dan berkorban. Kerana iman yang kuat, orang bertaqwa menjadi orang yang suka memberi, sanggup bersusah kerana orang lain dan lebih menjaga kepentingan agama dan masyarakat lebih dari kepentingan dirinya sendiri. Orang bertaqwa, mereka berjuang untuk masyarakat.

Orang bertaqwa, dia tidak terlalu gembira dengan kejayaan, tidak terlalu sedih dengan ujian atau kehilangan. Dalam semua keadaan, dia hanya nampak Tuhan. Orang yang bertaqwa, dia sembahyang dengan penuh khusyuk, berpuasa dan berzakat. Apabila cukup syaratnya dia menunaikan fardhu haji. Dia redha dengan ketentuan Allah serta sabar dengan ujian dari Allah. Dia bersyukur pula atas nikmat-nikmat Allah.

Dia menjauhkan diri dari melakukan maksiat seperti ber-zina, minum arak, berjudi dan membunuh. Dia sentiasa men-jaga tutur kata dengan tidak menipu atau berbohong dan tidak bercakap kotor, mengumpat dan mengeji. Dia menjauhkan diri dari sifat-sifat keji seperti bakhil, pemarah, ingin dipuji, takabur, sombong, riyak, ujub, hasad dengki serta berdendam.

Orang yang bertaqwa mempunyai segala ibu atau punca bagi segala sifat-sifat terpuji yang disenaraikan seperti berikut:

1. Al hikmah (bijaksana)

2. Syaja’ah (berani)

3. ‘Iffah (menjaga maruah diri)

4. ‘Adl (keadilan)

Maka daripada empat sifat inilah lahirnya sifat-sifat mahmudah dalam dirinya. Orang yang bertaqwa adalah pemurah, sabar, suka meminta maaf, jujur, mulia, redha, tawadhuk, tawakal, sentiasa merendah diri, bertolak ansur, pemaaf, lemah lembut, berkasih sayang, berkorban, lapang dada, zuhud, amanah, berlaku benar, membela orang yang terzalim, tahan menerima ujian, takut dan cinta kepada Allah, taat kepada Allah dan takut pada seksa Allah. Kalau sifat al hikmah, syaja’ah, ‘iffah dan ‘adl ini belum kita miliki, maka dengan sendirinya sifat-sifat mahmudah yang lain payah untuk dimiliki.

Kehidupan orang bertaqwa amat sederhana sekali dan dia tidak suka bermewah-mewah. Hidupnya sentiasa tenang dan dia tidak mudah putus asa. Dia sering memikirkan tentang kebesaran Allah. Dia sentiasa membetulkan dan memperbaiki diri serta nasihat-menasihati dengan penuh bijaksana dan kasih sayang. Orang bertaqwa sering berjuang dan berjihad serta banyak membuat kebajikan sesama manusia terutama terhadap sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat handai.

Orang bertaqwa itu, hatinya selesai dengan dunia tetapi tidak selesai dengan Tuhan. Dengan dunia, semuanya beres, tidak ada masalah apa-apa. Dengan hal-hal dunia hatinya tenang. Tetapi dengan Allah, hatinya sentiasa bergelora. Dia sentiasa rasa bersalah dan berdosa. Orang yang tidak bertaqwa pula, hatinya selesai dengan Tuhan tetapi tidak selesai dengan dunia. Dengan Tuhan dia rasa tenang. Tetapi dengan hal-hal dunia, hatinya bergelora. Dia membesarkan dunia lebih dari Tuhan.

Orang yang bertaqwa sangat takut kepada Allah kalau ter-buat atau membuat dosa kecil apatah lagi dosa besar. Rasa takut itu macam takutkan gunung yang hendak dihempapkan ke kepalanya. Rasa ngeri, cemas dan bimbang itu sangat mengganggu dirinya. Maka dia bertaubat bersungguh-sungguh minta Allah ampunkan dosanya dan minta dibantu untuk tidak terbuat dosa lagi. Dia takut dengan dosa yang dia mungkin terbuat. Dia selalu bertanya dirinya, “Apa lagi dosa yang akan aku terbuat?”

Ada satu kisah di mana seorang Sahabat baru balik dari medan perang, dia tiba-tiba ternampak di pintu rumahnya betis seorang perempuan (isteri sahabatnya). Terus dia melompat keluar dari pintu dan berlari meninggalkan rumahnya bertahun-tahun, bertaubat dengan Allah kerana ketidaksengajaannya itu. Rintihan taubatnya itu turut menjadi amalan kita sehingga ke hari ini.

Maksudnya: “Tuhanku, aku tidak layak untuk Syurga-Mu. Dan aku juga tidak tahan menanggung akan seksa api Neraka-Mu. Oleh itu ya Allah, terimalah taubatku dan ampunkanlah dosaku kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun dosa-dosa besar.”

Begitulah taqwanya. Begitu takutnya pada Allah kerana kesilapannya, walaupun tidak sengaja. Dia kesal, kenapa perkara haram itu terjadi padanya? Tentu ada maksud Allah. Janganjangan itu sebagai ‘hukuman’ Allah kerana dia masih suka berbuat begitu. Sebab itu Allah temukan dengan perkara itu. Perasaan itu membuatkan dia begitu takut dan malu dengan Allah. Itu membuatkan dia menghukum dirinya sendiri hingga tidak mahu pulang selagi dirinya tidak jadi manusia yang baik, sebaik yang Allah kehendaki.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq pernah terleka di kebunnya hingga tertinggal sembahyang berjemaah Asar (bersama Rasulullah SAW). Dengan rasa takut dan kesal yang tidak terkira, terus diwakafkan kebun itu sebagai hukuman pada dirinya. Di samping itu digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali (sebab pahala berjemaah ialah sebanyak 70 kali). Begitulah taqwa para Sahabat. Takutnya mereka pada Allah bila mengenangkan dosa dan api Neraka boleh membawa pengsan dan sesetengahnya terus mati.

Oleh kerana begitu sekali takutnya untuk melakukan kejahatan dan dosa, maka yang tinggal dalam hati mereka hanyalah keinginan yang kuat untuk membuat kebaikan dan amal soleh, kebaikan dengan Allah dan kebaikan dengan sesama manusia. Maka jadilah mereka orang-orang muttaqin, iaitu orang-orang yang:

1 Memahami, meyakini dan menghayati keenam-enam Rukun Iman.

2 Memahami, meyakini dan menghayati kelima-lima Rukun Islam.

3 Menegakkan amal makruf nahi mungkar.

4 Berjihad melaksanakan cara hidup Islam.

5 Berakhlak mulia iaitu berkasih sayang dengan sesama mukmin, tegas dan keras dengan orang kafir, berbelas kasihan dan mengasihi orang yang kurang dan susah seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri, pemurah, pemaaf dan suka minta maaf, bertaubat, sabar, bertolak ansur, berlapang dada, bertolong bantu, berani, tawakal, tawadhuk (tidak besar diri), berbaik sangka, bertimbang rasa, merasa gembira dengan kegembiraan orang lain, merasa susah dengan kesusahan orang lain dan memikirkan kepentingan orang lain seperti memikirkan kepentingan diri sendiri.

Semua itu mesti ada untuk seorang yang dikatakan ber-taqwa. Kalau kurang satu pun kuranglah taqwanya. Sebab itu golongan bertaqwa itu dibahagi dua:

a. Muqarrobin

b. Solihin

Namun kedua-duanya adalah mukmin sejati. Orang yang hanya ada salah satu daripada ciri-ciri taqwa, tidak boleh dipanggil orang yang bertaqwa tetapi digelarkan sesuai dengan nama sifat baiknya itu. Misalnya orang yang rajin dan bersungguh-sungguh beribadah dipanggil abid. Seorang abid belum tentu bertaqwa kalau ada padanya bakhil, hasad dengki, gila kuasa dan lain-lain.

Seorang yang gigih berjuang dan berjihad dipanggil mu-jahid. Mujahid belum tentu bertaqwa kalau ada padanya sombong, takabur, membazir, tidak sabar, tidak tolak ansur dan lain-lain. Orang dermawan dipanggil assakhi (pemurah). Pemurah belum tentu bertaqwa kalau ada padanya sifat pen-dendam, mengadu domba, berburuk sangka dan lain-lain.

Orang yang gigih berdakwah dipanggil da’i atau mubaligh. Seorang da’i belum tentu bertaqwa kalau dia cuai sembahyang, ambil riba, bebas dengan perempuan ajnabi dan lain-lain. Orang bertaqwa ialah orang yang membuat semua kebaikan yang Allah suruh buat (lahir dan batin, dengan Allah dan dengan sesama manusia), kerana takutnya untuk melakukan dosa walaupun sekecil-kecil dosa. Jangan mudah-mudah mengaku beriman dan bertaqwa sedangkan banyak lagi suruhan Allah SWT yang kita tidak buat. Ertinya kita ini orang berdosa dan hamba Allah yang derhaka. Panggilan yang layak untuk kita ialah mukmin ‘asi atau mukmin yang derhaka atau mukmin yang fasik atau mukmin yang zalim. Bukan mukmin yang sejati, bukan solihin dan lebih-lebih lagi bukan muqarrobin. Kalau mati ketika ini, dalam keadaan taubat tidak diterima, dosa tidak terampun, besar kemungkinan kita akan dilempar ke dalam Neraka.

Jangan pula disalahfahamkan orang bertaqwa itu dengan orang-orang yang jumud dan beku. Iaitu orang-orang penunggu masjid yang berpakaian lusuh, kusut-masai dan miskin papa, anti kemajuan dan anti pembangunan. Generasi taqwa yang menjadi contoh bagi kita bukan orang-orang yang seperti ini. Mereka belum tentu bertaqwa. Contoh kita ialah para salafussoleh dan para Sahabat yang hidup mereka digambarkan begini: “Menjadi pendita (abid) di malam hari, menjadi singa (pejuang) di siang hari.

Dalam keadaan hati mereka rindu dan takut kepada Allah, mereka bertaburan di tengah-tengah manusia di seluruh dunia untuk mengubah dunia dari jahiliah kepada Islam. Dari undangundang taghut kepada kalimah Allah. Dari kekotoran najis dosa kepada kemurnian hati yang bertaqwa. Dari peperangan dan penzaliman kepada keamanan, keadilan dan kemakmuran supaya manusia semua mahu sujud kepada Allah, Tuhan yang menciptakannya dan yang akan mematikannya.

Pada waktu malam yang sunyi sepi, mereka menyembah, memuja dan memuji Tuhan. Mereka mengadu, merintih dan meminta ampun dari Tuhan. Mereka memohon petunjuk, pimpinan dan bantuan Tuhan. Pada siangnya pula mereka berbakti kepada sesama manusia dan berbuat sebanyak-banyak kebajikan dan amalan taqwa.

Bagi orang yang bertaqwa, hiburannya adalah iman, ibadah, zikrullah atau apa sahaja pekerjaan yang akan membawa kepada keredhaan dan kasih sayang Allah. Hatinya tenang dan tenteram. Jiwanya sentiasa hidup dan segar.

Zikrullah itu luas pengertiannya. Ia bukan setakat menyebut puji-pujian, istighfar, selawat, takbir, tasbih dan tahmid di lidah. Zikrullah adalah kerja-kerja hati iaitu mengenal Tuhan dengan hati, rasa bertuhan, rasa cinta dan takut Tuhan, rasa kehambaan yang mendalam, rintihan dan munajat, syukur, sabar, redha dan sebagainya.

Orang bertaqwa itu, jiwanya hidup. Dia terlalu sensitif dengan Tuhan. Tidak berdosa, dia rasa berdosa. Tidak buat salah, dia rasa bersalah. Dia merasakan bahawa dirinyalah yang paling jahat, berdosa, hina, tidak berguna, rasa serba-serbi dhaif, lemah, lalai dan leka di sisi Allah. Justeru itu, dia tidak putus-putus meminta ampun dan bertaubat dengan Tuhan.

Orang bertaqwa itu, kalau dia pemimpin dan berkuasa, dia tidak rasa bahawa kuasa itu adalah kekuasaan dirinya tetapi kekuasaan Allah. Orang bertaqwa, semakin tinggi taqwanya, semakin dia rasa berdosa. Walaupun dia kaya, dia merasa tidak punya apa-apa. Orang bertaqwa merasakan dirinya hamba walaupun dia berpangkat besar. Kalau dia dihina, dia mudah menerimanya kerana hakikatnya dia memang hina. Yang mulia itu Allah.

Orang bertaqwa, walau bagaimana pun hebatnya, dia tenggelam dalam kehebatan Allah. Dialah orang yang paling bebas kerana dia paling kuat terikat dengan Allah. Orang bertaqwa tidak takut dengan makhluk bahkan makhluk takut kepadanya. Orang bertaqwa paling cemas dengan Allah hingga dia tidak cemas dengan malapetaka dunia. Kalau dia mulia, dia akan rasa kemuliaan itu kemuliaan Allah yang dipinjamkan kepadanya.

SIFAT DAN SIKAP ORANG BERTAQWA SECARA KHUSUS

Orang bertaqwa itu mempunyai sikap yang tertentu terhadap berbagai orang dan perkara. Di antara sikap-sikap tersebut adalah seperti berikut:

1. Sikap orang bertaqwa dengan Allah,Tuhannya

Tuhan sangat dibesarkannya melalui ibadah sembahyang, zikir, membaca Al Quran, tasbih dan tahmid. Rasa bertuhan sangat mendalam hingga terserlah pada mukanya dan sikap hidupnya. Seperti merendah diri, pemalu, sabar, redha, tenang, pemurah, tawakal, pemaaf, bertolak ansur, berdisiplin sehingga melihat mukanya mengingatkan kita kepada Allah dan hari Akhirat. Melihat mukanya terasa senang dan tenang.

2. Sikap orang bertaqwa dengan syariat

Syariat sangat dijaga, pakaiannya menutup aurat dan bersih serta kemas. Makan minumnya sangat dijaga dari yang haram dan syubhat. Pergaulan dijaga daripada bergaul bebas lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Matanya selalu ditundukkan, percakapannya disukat dan dikawal daripada tersalah dan tersilap. Pendengarannya juga begitu, sangat dijaga daripada mendengar perkara-perkara yang haram, masanya tidak dibiarkan terbuang dengan sia-sia. Setiap peralihan waktu dia pandai menggunakannya untuk perkara-perkara yang berfaedah dengan kerja-kerja yang sesuai dengan waktu itu.

3. Dengan gurunya

Dia sangat menghormati gurunya. Malu di hadapannya dan merendah diri dengannya. Sekalipun guru yang mengajarnya tentang ilmu dunia. Jasa gurunya selalu dikenang, disebut-sebut nama dan jasanya. Bila ada masa selalu menziarahinya, memberi bantuan dan hadiah. Bukan sahaja gurunya dihormati, bahkan isteri-isteri gurunya dan anak-anak gurunya dihormati juga. Kesalahan gurunya dilupakan, apatah pula dihina dan diberi malu serta diberi umpat. Dia selalu mendoakan gurunya.

4. Dengan ibu bapa

Ibu bapa sangat dihormati, sangat merendah diri di hadapan mereka. Jasa mereka selalu dikenang, bahkan dibalas selalu. Kesusahan mereka dibantu. Kalau mereka orang senang, diberi hadiah selalu. Selalu diziarahi, sering didoakan dan aib mereka ditutup. Bercakap dengan ibu bapa tutur bahasa sangat dijaga. Kalau ibu bapanya memarahinya, dia tidak akan melawan. Kalau pun perlu bercakap, sekadar menjelaskan keadaan.

5. Dengan kawan

Pandai bergaul dengan kawan, setia dengan kawan. Kesusahan kawan ditolong dan dibantu, apatah lagi kalau diminta. Suka menziarahi kawan kalau ada masa. Janjinya ditepati, aib kawan ditutupkan, anak dan isteri kawan dimuliakan, kesalahan kawan dimaafkan walaupun tanpa diminta. Kalau dia yang membuat salah cepat-cepat dia meminta maaf. Menziarahi kawan memilih waktu. Waktu ziarah tidak meliarkan mata. Kehormatan keluarga kawan dijaga.

6. Dengan umum manusia

Dalam pergaulan dengan umum manusia pandai pula menye-suaikan diri. Dalam pergaulan dia sedar diri hingga pandai meletakkan diri pada tempatnya sesuai dengan kedudukannya. Pandai melayan orang sesuai dengan kedudukannya dan mengikut tarafnya. Kalau dia seorang yang pandai atau kaya atau berpangkat, dia tidak sombong atau menunjuk-nunjuk diri di depan orang ramai. Dia tetap tawadhuk dan merendah diri. Kalau dia orang yang serba kurang tidak pula rasa rendah diri atau hina diri lebih-lebih lagi tidak mudah dihambakan orang. Kalau dia susah dia tidak akan meminta-minta apatah lagi menipu. Dia tetap menjaga maruah dirinya. Mudah memberi salam dan mudah pula menjawab salam orang.

7. Dengan tetamu

Dia sangat menghormati dan mengutamakan tetamu. Keper-luan tetamunya, sangat dijaga seperti makan minum dan tempat tinggalnya. Datangnya disambut, kepulangannya dihantar sampai di hadapan pintu atau sampai di hadapan rumahnya hingga hilang dari pandangannya. Dia memberi hadiah kepada tetamu atau memberi buah tangan kalau ada dan di waktu mampu.

8. Dengan anak isteri

Dia mengelokkan pergaulan dengan mereka. Memberi nasihat dan memimpin mereka selalu. Kesilapan mereka dibetulkan dengan bijaksana. Sabar dengan karenah mereka, beribadah fardhu bersama, makan bersama. Kewajipan terhadap anak isteri ditunaikan. Dia mendidik dan mendisiplinkan mereka di dalam semua perkara. Anak-anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang. Yang masih belajar didisiplinkan mereka. Tidak sangat ditunjukkan kasih sayang dan tidak pula ditunjukkan benci. Anak yang sudah dewasa atau yang sudah berkeluarga, mereka di buat macam kawan, diajak berbincang dan berbual-bual. Dengan isteri bergurau senda yang tidak berlebih-lebihan, berbual-bual dengannya sesuai dengan kedudukan isteri untuk mengambil dan menjinakkan hatinya. Bagi orang yang ada berbilang-bilang isteri, bertolak ansur dengan mereka dalam hal-hal yang dibolehkan. Boleh juga tidak bertolak ansur di masa-masa yang tertentu walaupun dalam hal-hal yang dibolehkan untuk mendidik mereka.

9. Dengan situasi

Orang bertaqwa sentiasa menjaga maruah diri. Kalau dia lalu di tempat-tempat yang penuh dengan keadaan-keadaan yang boleh melalaikan dan yang boleh jatuh kepada haram, atau yang boleh menggugat iman dia tidak akan terpengaruh. Dia tetap terhormat dengan tidak meliarkan pandangan dan tidak membuka telinga untuk melihat dan mendengar perkara-perkara yang melalaikan itu. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi. Hatinya tidak rosak oleh suasana sekelilingnya. Keadaannya macamlah ikan di laut. Dia tidak masin oleh masinnya air laut.

10. Dengan ilmu

Orang bertaqwa sentiasa menambah ilmu dan pengalaman. Makin berumur semakin banyak ilmu. Semakin tua, ilmunya juga ikut tua dan matang. Pengalamannya semakin luas, sangat peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil iktibar dan pengajaran. Setiap isu semasa pandai mengambil hikmahnya, serta pandai menilai buruk baiknya. Hingga mendapat ilmu pengajaran darinya. Serta dia boleh menetapkan pendirian dan sikapnya. Orang bertaqwa itu sepatutnya mengambil tahu setiap kejadian di dunia ini. Sebab itu orang bertaqwa tidak mudah tertipu dan ditipu dan tidak mudah terpengaruh dengan yang negatif. Mereka mudah terpengaruh dengan yang positif. Orang bertaqwa tidak mudah dicorak tetapi mudah mencorak.

11. Dengan masa

Orang bertaqwa sangat menjaga masa. Masa tidak dibuang dan disia-siakan begitu saja. Setiap masa diisi dengan sesuatu yang berfaedah. Bahkan dia pandai membahagi-bahagikan masa mengikut jadual hidupnya. Ada masa untuk beribadah, ada masa untuk membaca, ada masa untuk berjuang, ada masa untuk menziarah, ada masa dengan anak-anak dan isteri-isteri, ada masa untuk tidur baring dan rehatnya. Kalau dia orang penting, ada masa untuk tetamu dan orang-orang yang hendak berjumpa dengannya. Begitulah seterusnya. Baginya masa itu sangat berharga. Masa adalah umurnya. Mensia-siakan masa ertinya mensia-siakan umurnya. Dia sudah tentu tidak akan mensia-siakan umurnya.

12. Dengan harta dan mata benda

Orang bertaqwa, bila berhadapan dengan harta benda dan kekayaan, sangat cemas dan bimbang, takut-takut ia disalah-gunakan. Kerana itu dia bersyukur dengan Tuhan. Digunakan harta benda dan kekayaan itu untuk Allah dan untuk berkhidmat kepada manusia lebih-lebih lagi dia sangat cemas kalau-kalau dia terbuat kerja-kerja yang boleh membazirkan harta benda dan kekayaan itu atau membuangnya kepada yang haram dan sia-sia. Orang bertaqwa merasakan harta benda dan kekayaan adalah amanah Tuhan yang perlu dipertanggungjawabkan sebaik-baiknya. Iaitu untuk diagih-agihkan kepada yang berhak dan yang empunyanya, terutamanya kepada fakir miskin dan kepada jihad fisabilillah.

Call Now
Directions