Tag Archives: nafsu
NAFSU PERLU DIDIDIK DAN DI ISLAMKAN
Nafsu yang tidak terdidik boleh mengheret kita ke neraka Allah SWT.
Manakala nafsu yang terdidik dan jinak serta nafsu yang sudah di Islamkan akan membawa kita ke Syurga Allah Taala.
Nafsu ammarah adalah peringkat nafsu yang paling jahat dan buruk sekali lakunya. Nafsu di peringkat ini akan menjunamkan kita ke dalam Neraka Jahanam. Wal’iyazubillah.
Nafsul mutmainnah yakni nafsu yang tenang, nafsu yang sudah dijinakkan, nafsu yang boleh membawa seseorang mendapat keredhaan Tuhannya. Nafsu yang selamat dan layak mendapat pengampunan Allah Taala, nafsu peringkat ini sudah mampu melatih diri seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur, mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf dan lain-lain sifat-sifat terpuji ada padanya.
Sedangkan nafsu ammarah yang jahat dan belum Islam lagi seperti di atas, penuh dengan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, dendam, pemarah, sombong, ego, kasar, kedekut, panas baran, tidak memahami perasaan orang, suka menyakiti hati sesiapa sahaja bahkan sangat jahat sangka dengan Allah dan sangat derhaka pada Tuhannya.
Nafsu ammarah adalah seburuk-buruk nafsu, nafsu liar yang menjerumuskan kita terjun ke neraka Allah.
Firman Allah yang membawa maksud:
“Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”.
Manakala Firman Allah yg berkaitan dengan nafsu mutmainnah yang membawa maksud:
“Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada TuhanMu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu”.
Muga-muga kita dibantu untuk mengekang nafsu dan bercakap-cakap dengan nafsu agar janganlah nafsu menggoda kita. Sama-sama kita mohon pada Allah agar Islamlah nafsu yang ada dalam diri kita, agar selamatlah kita dari ditunggang oleh nafsu yang jahat.
Kalau Sayidina Ali KWJ pernah berkata “Wahai dunia jangannlah tipu aku, kalau kau nak tipu, tipulah orang lain”.
Maka kita katakanlah kepada nafsu ammarah yang ada dalam saluran darah kita, “Wahai nafsu yang jahat, kalau kau nak tipu, janganlah tipu aku, tipulah orang lain”.
Moga dengan kita selalu memberi amaran kepada nafsu yang ada dalam jasad kita, nafsu tidak lagi bermaharaja lela dan tidak lagi menguasai diri. Justeru itu selamatlah kita dari tunggangan nafsu degil yang bagaikan kuda liar itu.
Hati yang selamat dari godaan nafsu ammarah dan lawwamah akan pergi dengan membawa hati yang aman dan sejahtera di sisi Tuhan dan akan berbahagia di alam akhirat sana.
Berbahagialah mereka yang berjaya memperolehi nafsu mutmainnah. Bahagia di dunia lebih-lebih lagi bahagia di akhirat yang kekal lagi abadi.
5 JENIS KESUSAHAN YANG DIHADAPI OLEH ORANG MUKMIN
Ilmu adalah penting bagi kita. Tak ada ilmu, walaupun cita-cita kita baik, cita-cita tu tak dapat kita perjuangkan. Ilmu menyuluh hidup dan perjuangan kita, samada menjadi panduan untuk baiki diri atau perjuangan kita atau ilmu itu kita jadikan panduan bila ada masalah. Kadang-kadang kita tak cukup ilmu, bila ada masalah kita tak mampu untuk selesaikan masalah.
Kita terbaca Hadis, ” Hendaklah kamu menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Kita berfikir dari budak hingga di zaman muda munasabahlah. Sedang Rasulullah SAW tak kata begitu. Dah tua pun kena mengaji, dah nak mati pun kena mengaji.
Dah tua mengaji, macam tak munasabah. Bila kita berjuang baru kita faham cakap Rasulullah SAW, terutama ketika ada masalah. Kalau tak ada ilmu tak boleh selesai masalah sebab ilmu penyuluh untuk selesaikan masalah.
Umat Islam tak betul mengaji. Ia tak dibuat macam makan nasi. Ada kita fikir, makan nasi tak apa, tak makan tak apa? Atau makan nasi seminggu sekali? Ilmu tu macam makan nasi-lah. Kalau tak makan nasi laparnya terasa, lapar ilmu tak terasa, sebab itu orang bermalas-malasan mengaji. Makan tak. 3-4 jam tak makan terasa lapar, merangsang nak makan. Kalau tak mengaji berlakulah lapar ilmu itu, sebab tu Tuhan jadikan kepada kita walau pun tak dirancang terjadi majlis ilmu.
Ada satu Hadis, terjemahannya :
Orang mukmin itu berhadapan dengan 5 jenis kesusahan.
1. Hasad dengki kepada orang mukmin.
2. Nafsu yang ada dalam diri yang nak selewengkan dari Tuhan.
3. Syaitan yang nak menyesatkan kita.
4. Orang munafik yang benci dengan kita.
5. Musuh, orang kafir yang sentiasa cari peluang untuk memerangi kita
Begitulah seorang mukmin tak lepas dari 5 perkara yang menyusahkan dia. Hendak tak hendak, tetap berhadapan. Bertindak atau tak bertindak kita berhadapan dengan 5 perkara tadi. Kalau tak ada ilmu, tak faham, kita akan kecundang, kita akan kalah.
1. Bagaimana nak hadapi hasad dengki orang mukmin. Kita tak dapat lepas dari hasad dengki orang mukmin. Orang yang tak senang dengan kejayaan, dengan kemampuan kita. Kita tak boleh hadapi dengan sembrono, ia akan menimbulkan perpecahan lebih besar. Ada 4 langkah nak hadapi orang hasad dengki
1. Kejahatan dia kita balas dengan kejahatan
2. Tak buat apa-apa, buat tak tahu
3. Jahat dibalas dengan baik
4. Doakan
Yang satu tak boleh, ia berdosa. Walaupun ia menyusahkan kita, kita tak boleh menyusahkan dia. Seolahnya kita tak sanggup serah pada Tuhan untuk selesaikan.
Yang ke-2, ini lebih baik, serah dengan Tuhan. buat baik tidak buat jahat tidak.
Yang ke-3. ini terbaik. jahat dibalas dengan baik. Orang soleh dulu, sahabat, tabiin, tabiut tabiin, orang yang buat jahat pada dia, dia bagi hadiah, dia bagi duit, bagi bantuan.
Yang ke 4. Nak membalas dengan kebaikan susah, doakan. Doa tak keluar duit, tak guna harta, senang sikit, walaupun tak senang juga, hati sakit.
Yang senang nak buat ialah jahat dibalas jahat.
Disinilah hebatnya Rasulullah SAW, pada orang jahat yang kafir, Rasulullah SAW buat baik, Rasulullah SAW doakan. Luar biasa Rasulullah SAW.
Yang ke-2, kesusahan yang dihadapi ialah nafsu kita. Ini susah. Kalau orang luar jadi musuh terasa. Tapi kalau nafsu kita, sebahagian diri kita, tak terasa. Kadang-kadang kita terasa dia penasihat, tak terasa musuh. Terasa dia buat baik, nak buat ini, itu. Sedangkan Tuhan kata sesungguhnya nafsu tu saaaaangat mengajak kepda kejahatan. Kita tak perasan. Sebab itu ilmu kena ada, ilmu yang halus, seni. Kalau tak, tak perasan nafsu memusuhi kita. Dia sangat tersirat. Sifat nafsu tu tamak, bakhil, ego, pantang dicabar, tak mau terima nasihat, tak tahan susah. Bukan senang nak kendalikan nafsu. Sedangkan ia sangat mengajak buat jahat. Kita tak perasan, padahal dia sedang ajak kita buat jahat. Kita rasa dia ajak kita buat baik. Sebab itu ilmu kena halus, faham yang tersirat. Kita kena pandai kesan. Nak mengesan kejahatan nafsu susah sebab ia sebahagian dari diri kita. Kalau tak disuluh dengan ilmu yang halus tak nampak kejahatannya, tak nampak derhaka dengan Tuhan, supaya kita dapat tundukkan sesuai dengan kehendak Tuhan. Kalau boleh begitu barulah kita selamat dari tipuan hawa nafsu. Kalau tak, kita sangka dia penasihat kita.
Yang ke 3 syaitan yang nak merosakkan kita. Sedangkan syaitan tak boleh pengaruhi orang kalau tak ada high way nya atau jalan. Itu lah nafsu. Kalau nafsu tak terkawal, tak terdidik, rakus, tamak, bakhil, pemarah, ego, itulah jalan syaitan. Syaitan nak masuk orang dia perlu jalan. Kalau kita tak jaga nafsu kita, ia jadi jalan pada syaitan. Nafsu lebih jahat dari syaitan. Kalau nafsu terdidik, jalan syaitan tak ada. Ia tak boleh pengaruhi manusia. Syaitan macam jin, dia boleh masuk ke dalam manusia. Maka ia boleh kotak katikkan kita. Kalau tak ada jalan, syaitan usaha juga, ia berbisik dari luar. Boleh dialog dengan hati dan akal kita. Kalau dah masuk habis. diperkotak katikkan kita, sebab dia dah menempuh jalan. Sedang syaitan nak sesatkan kita, banyak jalannya, diantaranya:
Diragukan kita tentang adanya Tuhan, lebih2 lagi kalau kita akal kuat, tak pernah mengaji agama. Dia datang bisik, Tuhan tak ada. yang ada ni yang kita boleh nampak. Tuhan tak nampak, tak adalah
Dia ragukan kita supaya kita jadi kafir. Kita tak terasa sebab kita dah Islam dan dah terdidik. Tapi bagi orang yang tak kenal Tuhan? itu besar. Jangan kita lawan. Kalau kita lawan. Akal kita kata Takkan Tuhan tak ada. Jangan lawan syaitan, kita tak mampu. Profesor2 semua murid dia. Macam mana nak lawan.
Kalau kita lawan, dia akan betulkan kita, dia setuju Tuhan ada. Maka ia cuba gambarkan Tuhan pula, Tuhan tu begian2. Akhirnya jadilah orang-orang yang merupa-rupakan Tuhan. Lahirlah agama ciptaan syaitan.
Kalau orang tu lawan lagi. Tuhan ada tapi tak boleh digambarkan, di rupa2kan. Apa kata syaitan? saya setuju. Jahat betul syaitan. Dah bertumbuk kita dengan syaitan, bila dia kalah dia setuju dan cari jalan lain untuk sesatkan kita.
Kemudian dia ragukan tentang janji Tuhan. Tuhan itu ada, betul tak boleh digambarkan. Maka dia ragukan kita dengan berkata, kalau ikut Tuhan susah makan, jadi orang beriman bertaqwa, makin susah.
Kita lawan lagi, dia setuju pula. Awak betul. Awak cerdik. payah cari orang macam awak ini. Dia bawa cerita lain. Dia tak kacau dengan akidah. Dia ragukan dengan syariat. Dia meniti di atas Quran. Tuhan tu Maha Pengampun, Maha Penyayang, Dia yang ciptakan kita. Takkan Dia nak azab kita, susahkan kita. Dia Maha baik. Tak payah buat perintah itu sekarang, nanti dah tua buatlah. Yang penting kalau mati ikut perintah Tuhan selamat.
Kalau orang itu mengaji, dia akan jawab. Awak kata dah tua baru beramal, kalau saya mati muda? Syaitan kata, cerdik engkau ya. Kalau awak dah yakin, kena beramal, beribadah. Buat2, saya suka. Diriakkan kita pula. Kita buat dengan rasa megah, riak. Tak takut dengan Tuhan. Halusnya tipuan syaitan.
Kita belajar lebih halus lagi, kita tak riak dalam beribadah. Tapi mulut tak pandai jaga, mulut mengumpat, dosa besar. Sebanyak mana dia beribadah sebanyak itu dia mengumpat orang. Begitulah seterusnya.
Kalau syaitan tak dapat ganggu kita di masa hidup, dia goyangkan kita di masa nak mati. Kalau kita tak kuat minta bantuan Tuhan, tak mampu kita lawan. Waktu tu kita serah pada Alah.
Kesusahan yang ke 4 ialah orang munafik. Definisi Munafik adalah melahirkan Islam tapi menyembunyikan kekufuran. Itu yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Cara ini kalau berlaku di akhir zaman sikit. Yang terjadi munafik bentuk lain.
Di zaman Rasulullah SAW orang munafik dia lahirkan suasana Islam,dia sembunyikan kekufuran. Rasulullah SAW tahu, walau sahabat tak tahu. Orang munafik itu tahu yang dia munafik, dia tak Islam. Konon masuk Islam tu nak tipu. Munafik sekarang lagi bahaya. Dia keturunan Islam, sembahyang, puasa, naik haji, tapi ada benda dia ragu. Ini lagi bahaya. Dia sebenarnya dah kafir, tapi orang Islam anggap dia Islam, kadang-kadang jadi imam, jadi bilal, pemegang agama dan dia sendiri yakin dia Islam, tapi sebenarnya ada benda yang dia ragu.
Munafik macam ni paling banyak. Islam akhir zaman ni dikuasai oleh orang-orang munafik. Yang memperjuangkan agama dah jadi munafik. Susah kita nak hadapi mereka. Dulu tidak susah, senang kita hadapi, sebab dia bukan Islam. Munafik sekarang dia adalah tokoh Islam. Susah. Katalah kita tahu, kalau tak bijaksana hadapi mereka, kita bukan hanya akan berhadapan dengan golongan dia saja, orang Islam biasa tak boleh terima kita. Sebab mereka pegang agama, pegang masyarakat, lebih2 kalau meraka ada kuasa. Lagi susah. Orang Islam tak perasan, yang punya diri tak perasan mereka itu munafik. Jangan cakap, bahaya. Kita cakap sebagai ilmu saja. Kena berhati hati nak hadapi golongan ini. Bagaimana nak hadapi mereka, saya campurkan dengan golongan yang akhir yaitu orang kafir.
Yang ke-5 ialah orang kafir samada kristian yahudi budha hindu. Mereka ni dah cerdik2, dah pandai2. ini zaman moden. Mereka tidak akan perangi orang Islam dengan senjata kecuali umat Islam itu tersilap. Kalau umat Islam kasar, mereka ada peluang nak perangi. Kalau kita sanggah mereka orang ramai akan sanggah kita. Kalau kita perangi mereka ada peluang mereka perangi kita. Inilah yang dibuat pejuang-pejuang singkat akal, bodoh. akhirnya mereka ada kesempatan. Kalau tak kasar susah mereka nak perangi. Bagaimana kita nak hadapi golongan munafik dan kafir ini?
Caranya seperti dalam tafsir ayat, bila datang kebenaran, kebatilan itu akan lenyap. Kita berjuang kebenaran melahirkan sistem. Bila lahir sistem nampak cantik. Ia sudah boleh mempengaruhi orang ramai.
Semua ini perlu ada ilmu. Kalau tak, kita akan tersasar. Sikap kita akan membuatkan kita kecundang. Yang penting kita lahirkan alternatif, sebab sistem Tuhan itu kalau dilahirkan betul-betul, orang tak Islam-pun akan rasa seronok, rasa indah, bahagia sebab fitrah manusia sama. Sekalipun bukan Islam, manusia suka kasih sayang, suka kebahagian. Kalau kita faham dan lahirkan sistem ini, maka orang kafir pun akan ikut. Terbukti kebenaran di mana bergerak orang tak kacau. Yang kacau orang munafik. Tapi orang ramai dah sokong kebenaran, maka mereka takut nak kacau kebenaran.
Itulah pentingnya ilmu, kalau pun ada ujian jangka panjang selamat.
ANTARA PELAJARAN DAN PENDIDIKAN
Pelajaran dan pendidikan, atau dalam bahasa Arabnya, Taalim dan Tarbiah ialah dua perkara yang penting di dalam usaha membina anak-anak. Pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara yang berlainan. Ia tidak serupa di antara satu sama lain. Namun begitu ramai di kalangan ibu bapa malahan di kalangan para guru sendiri yang tidak faham tentang kedua-dua perkara ini.
Pelajaran khusus ditujukan kepada akal. Sebab itu ia mudah dan “straightforward” . Pendidikan pula ialah pembinaan insan yang bukan sahaja melibatkan perkara fizikal dan mental tetapi juga hati dan nafsu.Malahan apa yang sebenarnya dididik ialah hati dan nafsu itu sendiri.Justeru itu pendidikan adalah lebih rumit dan lebih sukar.
Kedua-dua perkara ini harus kita fahami betul-betul di dalam membina anak-anak kita.Kedua-dua pelajaran dan pendidikan perlu di dalam membina peribadi yang pandai berbakti kepada Tuhan dan pada masa yang sama pandai berbakti kepada sesama manusia.
Pelajaran ialah proses belajar atau proses mengumpul ilmu. Ada guru, ustaz atau ustazah yang mengajar dan ada murid yang belajar. Hasilnya, murid menjadi pandai, alim dan berilmu pengetahuan.
Pendidikan pula ialah proses pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ilmu yang telah diperolehi terutamanya ilmu agama, cuba difahami dan dihayati hingga ia mendarah mendaging dan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian.
Di dalam erti kata yang lain, pelajaran menyentuh tentang soal ilmu dan pendidikan menyentuh tentang soal akhlak.Pendidikan di antara lain ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia. Membersihkan hati manusia dari segala sifat-sifat yang keji atau mazmumah dan mengisinya dengan segala sifat-sifat yang terpuji atau mahmudah. Pendidikan juga ialah mengembalikan hati nurani manusia kepada keadaan fitrah asal semula jadinya yang suci dan bersih. Nafsu perlu dikekang supaya ia tidak cenderung kepada kejahatan dan maksiat tetapi cenderung kepada kebaikan dan ibadah.
Sepertimana yang telah dinyatakan, kita tidak boleh mendidik sahaja tanpa memberi ilmu, dan kita tidak boleh memberi ilmu sahaja tanpa mendidik. Pelajaran dan pendidikan kedua-duanya perlu. Pendidikan bertujuan untuk membentuk akhlak. Pelajaran sahaja tanpa didikan akan menghasilkan manusia yang pandai tetapi jahat dan tidak bermoral. Sebaliknya, pendidikan sahaja tanpa pelajaran akan menghasilkan manusia yang baik tetapi tidak dapat berfungsi dan berkhidmat di tengah masyarakat.
Dalam skop yang lain pula, ilmu tanpa didikan boleh menyebabkan anak-anak jadi beku (jumud) kerana jiwa tidak hidup.Didikan tanpa ilmu pula boleh menyebabkan mereka jadi kaku ( tidak tahu bagaimana hendak melangkah dan bergerak ) kerana walaupun jiwa hidup, ilmu tidak ada untuk dijadikan panduan.Kalau ilmu sahaja yang diberi tetapi didikan tidak ada, manusia menjadi pandai dan maju di dalam berbagai bidang . Tertegak tamadun kebendaan dan hidup menjadi selesa. Tetapi di dalam kemajuan itulah berlakunya hasad dengki. Di dalam kemewahan itulah hilang hati budi.Manusia menjadi sombong, angkuh dan mementingkan diri. Manusia hidup nafsi-nafsi, hilang perikemanusiaan, ukhwah dan kasih sayang. Manusia hilang identiti.Rupa sahaja macam manusia tetapi perangai tak ubah seperti syaitan dan haiwan.
Sebenarnya, dalam memimpin dan membina manusia, ada dua faktor yang terlibat .
Pertama ialah faktor ilmu , dan kedua ialah faktor didikan .
Namun begitu, peranan ilmu hanyalah sepuluh peratus sahaja sedangkan peranan didikan ialah sembilan puluh peratus. Ilmu selalunya lengkap dengan falsafahnya, hikmahnya, usulnya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi di dalam mendidik, tidak semua ilmu itu berguna atau dapat dimanfaatkan. Paling banyak satu perempat sahaja daripada ilmu layak digunakan dalam mendidik.
Semua orang yang berilmu mampu mengajar tetapi tidak semua orang yang berilmu layak atau mampu untuk mendidik sebab mendidik itu ialah satu kemahiran dan kebolehan yang tersendiri . Ramai orang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak pandai mendidik. Ada pula orang yang kurang ilmunya tetapi dengan ilmu yang sedikit itu, dia mampu mendidik. Dia pandai mengaplikasikan ilmunya itu untuk mengubah sikap, perangai dan kelakuan manusia. Dia faham psikologi dan perjalanan hati manusia. Dia dapat melihat kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan maknawi yang ada pada diri manusia. Dia dapat menawan hati dan membuatkan manusia yakin dan percaya dan mahu mengikutnya. Dia mampu menjadi model untuk diikuti dan dicontohi oleh anak-anak didiknya.
Orang jadi jahat bukanlah kerana dia tidak ada ilmu. Seberapa ramai orang bodoh yang jahat, seramai itu jugalah orang pandai yang jahat. Malahan orang pandai yang jahat itu, jahatnya lebih serius dan lebih bahaya daripada jahat orang yang bodoh, kerana jahatnya dibantu oleh akalnya yang pintar. Jadi, orang jahat itu selalunya adalah disebabkan pendidikan yang tidak selesai.
Di dalam mencari ilmu, seseorang itu boleh belajar dari seberapa ramai guru sekalipun dalam satu-satu masa.Dia boleh ada seorang guru untuk satu matapelajaran dan guru yang lain pula untuk matapelajaran yang lain dan seterusnya.Berapa ramai guru pun tidak mengapa kerana hanya ilmu yang perlu dipelajari. Tetapi di dalam mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang pendidik. Setiap murid hanya boleh mempunyai seorang pendidik sahaja dalam satu-satu masa . Bukan dua, bukan tiga dan bukan pula satu jawatankuasa atau komiti yang mendidik. Pendidik itulah pemimpin, model dan contoh untuk diikuti. Kalau ramai pendidik, maka jadilah murid itu sebagai satu masakan yang dimasak oleh ramai tukang masak. Dia akan jadi rosak. “Too many cooks spoil the broth”.
Tidak semua ilmu mempunyai nilai pendidikan. Ilmu agama, khususnya ilmu fardhu ain memanglah ilmu untuk mendidik. Tetapi kebanyakan ilmu akademik seperti matematik, perdagangan, pertanian, sejarah, ilmu alam, sains dan sebagainya tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan. Ilmu akademik bukan ilmu untuk mendidik. Anak-anak tidak dapat memperoleh akhlak melalui ilmu seperti ini.
Namun begitu, bagi pelajar yang sudah ada asas akidah dan ketauhidan, mereka tetap akan dapat menambah keyakinan dan dapat melihat kuasa dan kehebatan Tuhan di dalam ilmu-ilmu akademik yang mereka pelajari. Malahan, melalui ilmu-ilmu tersebut, iman mereka boleh bertambah.
Tetapi bagi pelajar-pelajar yang kosong jiwa mereka dari mengenal Tuhan, ilmu-ilmu tersebut boleh melalai dan memesongkan mereka, sebab mereka tidak dapat kaitkan apa yang mereka belajar dengan Tuhan.Di dalam membangunkan dan membina manusia, pelajaran dan pendidikan adalah perkara yang wajib. Namun di antara keduanya, pendidikan lebih penting dan perlu diutama dan didahulukan.
Kalau dalam sesuatu sistem itu tidak wujud kedua-duanya atau soal pendidikan tidak didahulukan atau tidak diberi keutamaan; maka manusia yang akan lahir dari sistem tersebut pasti rosak dan merosakkan. Dia akan jadi musuh kepada Tuhan dan musuh kepada manusia. Kunci bagi membina anak-anak kita ialah didik dahulu dan kemudian baru ajar. Didiklah dan ajarlah.Jadikan mereka baik dahulu sebelum menjadikan mereka pandai. Jadikan mereka berakhlak dahulu sebelum menjadikan mereka berilmu. Kenalkan mereka kepada Tuhan dahulu sebelum dikenalkan kepada ciptaan-Nya.
Jadikan mereka hamba Allah dahulu sebelum menjadikan mereka khalifah-Nya. Salahnya kita di dalam membina anak-anak dan muda-mudi kita ialah kita terlalu banyak mengajar terutama ilmu-ilmu akademik atau ilmu-ilmu dunia tetapi tidak cukup mendidik. Kita mesti berbuat sesuatu sebelum semuanya menjadi punah-ranah.
NASIHAT IMAM AL-GHAZALI
Pada suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau mengajukan 6 pertanyaan.
Pertanyaan Pertama, ”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, kawan-kawan ,dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu betul, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah betul. Tapi yang paling betul adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kendaraan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Pertanyaan yang ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, lautan dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al A’Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan ke empat, “Apa yang paling berat di dunia ini?”. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban itu benar, kata Imam Ghazali. Tapi yang paling berat adalah “memegang AMANAH” (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup menyambut permintaan Allah SWT,sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
PENYAKIT LEMAH JIWA
KITA sungguh biasa dengan istilah lemah jantung. Sebut saja lemah jantung segeralah kita fahamianya satu penyakit fizikal yang merbahaya, yang meletakkan pesakit itu di ambang maut. Tapi kita kurang arif dengan penyakit lemah jiwa. Dan kita pun kurang tahu yang penyakit ini lebih bahaya daripada sakit lemah jantung. Sebab penyakit ini bila-bila mass saja boleh membunuh jiwa. Bila jiwa mati, manusia sebenarnya sudah mati sebelum mati. Dan kes ini sebenarnya lebih dahsyat daripada kes kematian itu sendiri. Tapi sayang, doktor-doktor tidak dapat mengesan sakit ini. Sebab ia bukan sakit fizikal, yang boleh dikesan dengan komputer lahir.Ia adalah sakit rohani yang bersifat rohaniah yang hanya dapat dikesan oleh doktor-doktor rohani yang mursyid. Hanya mereka itu yang dapat melihatnya, menggunakan pandangan basyirah mereka serta pandangan hati yang tembus. Seterusnya memka jugalah yang tahu sebab-sebab terjadinya penyakit ini dan apa pula cara pengubatan dan ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis Qudsi ertinya, “Takutilah olehmu firasat (pandang tembus) orang Mukmin kerana mereka memandang dengan pandangan Allah. ”
Maknanya, Allah-lah yang membukakan rahsia-rahsia di alam hakikat untuk diketahui oleh hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Supaya menjadi panduan pada orang-orang lain, yang mahu mengambil pengajaran dan kebaikan darinya. Sebab itu Allah berfirman:
Terjemahannya: Beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwanya. Rugilah orang-orang yang mengotorkun jiwanya. (Surah Asy Syam : 9-10)
Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sihat, sejahtera dan selamat. Manakala jiwa yang kotor itulah jiwa yang sakit.
Sakit lemah jiwa.
Jiwa yang sihat ialah jiwa yang merdeka, berani dan kuat. Jiwa mukmin yang sihat ialah jiwa yang berpegang kuat dan terlalu yakin pada Allah. Maka jadilah dia cukup merdeka, berani dan kuat memegang dan mempertahankan keyakinan jiwanya itu.
Sebaliknya jiwa yang sakit ialah jiwa yang lemah, mudah goyang oleh keadaan, terhoyong-hayang ke sana ke mari tidak ada pendirian dan takut. Bagi seorang Islam yang jiwanya sakit, keyakinan pada Allah adalah lemah, bergoyang-goyang bila ditiup angin dan penakut. Dan inilah yang sudah terjadi pada seluruh umat Islam hari ini. Jiwa mereka yang sakit itu terasa sakitnya dan lemahnya bila bertembung dengan kejadian-kejadian malang atau ujian atau nikmat. Jiwa akan lemah dan bergoyang dan tumbang bila menghadapi keadaan-keadaan yang mencabarnya, sama ada positif atau negatif. Tegasnya keyakinan dan pergantungan pada Allah jadi lemah bila berhadapan dengan ujian atau pun nikmat. Jiwanya akan menyerah pada kehendak keadaan dan jadi longgar atau terlepas langsung pergantungan dengan Allah. Mari kita lihat beberapa contohnya:
Bila berhadapan dengan rumah mewah, kereta besar, binatang ternak dan ladang-ladang tanaman yang luas, terpautlah jiwa padanya.Lemahlah jiwa dan terus menyerah pada dunia itu. Iaitu dengan berusaha dan berharap untuk mendapatkannya. Hingga kerana itu tinggallah perjuangan di jalan Allah, berhentilah ia dari memberi khidmat kepada manusia. Takut untuk menegakkan kebenaran. Jiwa diserah pada dunia yang melambai-lambai itu. Dan lemahlah penyerahan pada Allah SWT.
Bila dapat jadi orang atas, orang besar, pemimpin atau ketua kumpulan, berhadapan dengan kemewahan hidup, sogokan pujian orang, maka lemahlah jiwa dengan Allah. Sebab jiwa terpaut pada kemewahan, sanjungan dan sogokan tadi. Padahal sebelum itu, sebelum berada di kedudukan itu beria-ia berjanji mahu membela nasib rakyat, kalaulah dirinya terpilih jadi pemimpin atau wakil rakyat. Tapi jiwa yang suci itu jadi lemah bila dimasuki oleh keinginan mengambil kemewahan dan sogokan serta pujian orang itu untuk kepentingan diri sendiri. Lupa tanggungjawab. Diri terasa penting, istimewa dan mahu bolot semua peluang-peluang istimewa sebagai orang besar itu untuk diri. Bukan lagi untuk Allah. Itulah penyakit lemah jiwa.
Bila berhadapan dengan perempuan cantik, hati pun tertarik dan jatuh padanya. Lupa Allah, lupa isteri, lupa tanggungjawab. Jiwa diruntun oleh perempuan itu, hinggakan kerja-kerja lain yang lebih besar, jadi kecil dan kurang penting. Keinginan untuk memiliki perempuan itu begitu mencengkam hati hingga jika perempuan itu mengenakan syarat-syarat apa pun, nescaya dia sanggup terima, sekalipun berlawanan dengan syariat Allah.
Bila dapat kejayaan dalam hidup seperti naik pangkat atau dipuji orang, maka hilanglah rasa kehambaan, kekurangan dan kelemahan diri pada Allah SWT, tentu rasa ujub dan riak, rasa diri mampu, besar, istimewa dan hebat. Seterusnya terasalah pula besar diri dan hebat diri, dan terlupalah bahawa segala-gala kejayaan itu pinjaman Allah semata, sedangkan diri tetaplah kerdil dan lemah serta hina. Sama saja dengan orang lain. Lalu menyombonglah ia dengan manusia. Tiada kasih sayang, timbang rasa, kasihan belas pada orang lain terutama orang bawah yang kurang dan lemah. Senyum pun mahal, apa lagi hendak duduk-duduk bersama mereka itu. Kerana rasa tidak layak dan hendak jaga status. Berlanjutanlah keadaan itu hingga akhirnya orang semua benci dan kawan pun lari, tinggallah seorang diri. Itulah akibat penyakit lemah jiwa.
Pejuang-pejuang Islam yang sering berkorban dan terkorban, hingga hiduplah dia dalam susah payah walhal dilihatnya orang lain hidup senang-lenang maka lemah jiwanya pun datang. Dirasanya tidak sabar lagi untuk bersusah-payah. Ingin rasa lapang dan senang macam orang lain. Syaitan pun memberikan suntikan dan menghasut, maka jadilah pejuang tadi pejuang yang letih dan malas.
Para pejuang yang mempunyai isteri yang cerewet, tidak taat, degil dan sombong, selalu mengalah dengan isteri itu. Jiwa perjuangan dan cinta pada Allah dan Rasul tergugat, bergoyang-goyang dan lemah oleh kehendak istri. Bila isteri minta kurangkan keluar rumah, cukup dengan pergi kerja dan balik, tidak payah ‘over-time’ dengan perjuangan, dia pun tidak berani atau tidak sampai hati hendak tolak pandangan isteri itu. Maka tinggallah perjuangan. Tinggallah Allah dan Rasul demi cinta pada seorang perempuan.
Dalam mencari rezeki yang halal, selalunya disiplin sangat ketat. Sengaja orang-orang yang anti-Islam mengenakan undang-undang yang keras misalnya, hendak kerja tidak boleh pakai purdah atau tidak boleh berjubah serban. Maka si lemah jiwa pun tidak berani lagi hendak ikut syariat Allah, maka ikut kata boss pejabat. Atau bagi orang-orang yang berniaga, oleh kerana modal kecil, lambat untung, maka kerana hendak untung besar dan cepat, buatlah pinjaman yang ada riba. Longlailah jiwanya kerana menyerah pada keuntungan dunia yang sedikit. Atau, peniaga-peniaga juga sering berhadapan dengan masalah: barang yang halal, kurang laris, tapi yang haram laris sekali. Maka lemahlah jiwanya. Dijuallah barang haram atau syubhat itu. Maka dapatlah untung di dunia, tapi alangkah ruginya di akhirat nanti.
nAda pemimpin-pemimpin yang kuat jiwanya, pada mulanya. Tapi bila diuji dengan pengikut yang tidak suka dengan perkara-perkara yang diperintahkan Allah seperti sembahyang, tutup aurat, pergaulan yang terbatas lelaki perempuan, menghormati dan mengasihi orang lain, jangan mengata, jangan menuduh. Maka, kerana takut pengikut lari, pemimpin itu pun korbankan prinsip. Berlagaklah dia ikut kehendak pengikut dengan membelakangkan kehendak Allah. Itulah jiwa lemah. Dia sanggup korban prinsip demi harapkan pengikut sokong dan undi dia untuk terus jadi pemimpin. Gila kuasa lebih dari cintakan Allah SWT.
Bila diuji dengan kesusahan hidup seperti turun pangkat, orang kata, miskin, ugutan di tempat kerja, maka jiwa yang asalnya begitu optimis, tiba-tiba saja terasa sakit dan lemah. Rasa kecewa, terhina, takut, putus asa, derita, gelisah, keluh-kesah dan kucar-kacir sekali. Ada yang rasa tidak mahu hidup lagi, terus bunuh diri. Ada yang hendak lupakan semua itu, minum arak atau ambil dadah atau buat maksiat-maksiat lain. Ada yang menuduh-nuduh, meracau-racau, mengadu-ngadu, menghina diri bahkan menyangkan-yangka buruk terhadap Allah SWT. Hingga kerana itu sanggup mengecil-ngecilkan perintah Allah dan Rasul untuk ikut nafsu dan syaitan. Ujian itu tidak dapat diambil sebagai ingatan dari Allah dan penghapusan dosa, pada dosa-dosa yang telah banyak dilakukan. Sedangkan melalui kesusahan-kesusahanlah ramai orang mendapat kebaikan dan kemuliaan dalam hidup. Dalam kesusahan penuh kebaikan, tapi si lemah jiwa jadi lebih susah dengan kesusahan. Susah di dunia dan akhirat. Itulah hasil dari sakit lemah jiwa. Lebih dahsyat dari akibat sakit lemah jantung. Sebab lemah jantung boleh bawa maut tetapi lemah jiwa boleh bawa ke neraka dunia dan akhirat. Ini adalah kerana pesakit jantung tidak bersalah, tapi pesakit lemah jiwa adalah pesalah, penderhaka dan kufur dengan Allah SWT. Allah sudah ingatkan supaya datang ke dunia untuk menghambakan diri pada Allah, yakni dengan merasakan diri adalah hamba Allah. Firman-Nya:
Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku. (Surah AZ Dzariat : 56)
Dalam pada itu tiap-tiap kali berdiri sembahyang mengadap Allah berjanji lagi, hanya Allah yang aku abdikan diriku, bahkan hidup mati untuk Allah. Habis kenapa dalam melaksanakan hidup, berdolak-dalik dengan Allah, bahkan Allah dibelakangkan? Kata-kata Allah, pesanan Rasul, tiada dipakai langsung. Bahkan dipertikai dan diragui, bahkan dikecil-kecilkan dan diketawakan. Konon terasa diri itu pandai, mampu, kuat, berkuasa dan rasa tuan bahkan kadang-kadang rasa ketuhanan itu menguasai hati. Rasa hati seperti apa yang dirasa oleh Firaun itu. Hingga dia berkata, “Akulah Tuhan.”
Sebenarnya rasa inilah sudah masuk dalam hati-hati kita. Terutamanya orang-orang yang Allah kurniakan padanya nikmat bijak pandai, kaya, mewah, disanjung, sihat, cantik, mampu dan serba boleh. Seolah-olah dia berkata akulah Tuhan, dilihat pada sikap dan cakapnya. Rasa kehambaan yakni rasa kecil dan hina bagaikan kecil dan hinanya air mani yang darinyalah Allah reka-bentukkan diri ini, sudah disapu bersih oleh kejahilan, kedegilan, kesombongan, keangkuhan yang sudah berkarat di hati. Yang tinggal dalam hati dan jiwa ialah nafsu dari syaitan. Jadilah jiwa itu kotor sekotor-kotornya. Maka sakitlah ia. Sakit lemah jiwa. Bila dapat amat terlonjak-lonjak, lupa diri, lupa asal-usul dan lupa bahawa Allah berkuasa menarik balik nikmat itu, bila-bila masa saja.
Sebaliknya, bila dapat ujian, rasa putus asa, menderita, kecewa dan hilang pertimbangan. Itulah sifat nafsu amarah dan lawwamah. Nafsu yang sangat jahat, yang setiap detik menuntun jiwa untuk kufur pada Allah. Maka nerakalah tempatnya selama-lamanya. Siapa yang boleh lepas? Sedangkan tiada seorang dari kita yang sihat jiwanya. Semuanya sakit. Pemimpin sakit, ulama sakit, pejuang Islam pun sakit, tok guru pun sakit, anak murid apa lagi. Ayah sakit, anak-anak lebih lagi. Suami sakit, isteri sakit. Pemuda kena pemudi pun sama. Pendek kata semuanya sakit-sakit belaka. Semuanya masih berada di senarai ahli neraka. Wal’iyazubillah.
Tepatlah sabda Rasul tercinta, bahawa. di akhir zaman umatnya ramai. Tapi mereka itu dikeronyok oleh musuh bagaikan makanan dikeronyok oleh tangan manusia. Sebab mereka semuanya sakit., Yakni jiwa mereka lemahnya bagaikan buih. Kerana diserang oleh sakit wahan. Cinta dunia dan takut mati.
Inilah taraf taqwa kita semua. Taqwa yang penuh dengan keinginan pada dunia hingga lupakan akhirat, lupakan mati, bahkan mahu lupa-lupakan mati itu, kerana takut dan benci. Maka inilah hasilnya. Umat Islam hidup bagaikan mayat yang boleh diperlakukan apa saja oleh musuhnya. Umat Islam tidak punya identiti sendiri. Semuanya bersalut dengan salutan musuh, hingga kerana itu makin hari makin hancur dan berkecai, punah-ranah. Mana ada satu negara Islam dan masyarakat Islam yang benar-benar ditakuti kawan dan lawan? Hatta jemaah yang memperjuangkan Islam pun tidak wujud identiti Islamnya.
Kesilapan utama dan pertama pada kegagalan ini ialah kerana kita tidak cukup iman. Hati kita, jiwa kita tidak sekuat yang sepatutnya. Iman dan taqwa kita terlalu lemah. Maka selemah itulah jiwa kita dan nilai diri kita. Sebab Allah tidak bersama kita. Yang memimpin dan mendorong kita selama ini ialah nafsu dan syaitan. Dalam pada itu kita kata kita Islam, Allah Tuhan kita, Muhammad nabi kita. Walhal yang sebenarnya jadi Tuhan dan Nabi kita ialah nafsu dan syaitan. Manalah Allah tidak kutuk kita dan umat Islam seluruhnya.
Kalaulah keadaan ini tidak dibaiki, pasti kita tidak selamat, di dunia pun tidak boleh selamat, apa lagilah di akhirat. Tujuh buah neraka telah disiapkan untuk orang-orang yang sesat dan orang- orang yang Allah benci. Pesakit-pesakit lemah jiwa adalah termasuk orang-orang kebencian Allah, yang pasti menjerit melolong nanti di akhirat oleh azab-Nya. Jangan sampai berita ini diragukan atau tidak difikirkan secara serius. Sebab Allah tidak pernah mungkir janji-Nya. Firman Allah:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak mungkir janji. (Surah Ali Imran: 194)
Orang yang selamat di dunia dan akhirat ialah orang yang hatinya selamat. Lihat betapa indahnya firman Allah. Dan firman Allah lagi:
Terjemahan: Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak melainkan mereka yang membawa hati yang selamat sejahtera. (Surah As Syuara’ : 89)
Hati dan jiwa yang selamat ialah yang mendapat maqam mutmainnah atau sekurang-kurangnya mulhamah. Iaitu orang-orang yang mempunyai iman ayyan, yang hatinya sentiasa teringat Tuhan yang Pengasih itu, yakni Allah SWT. Hati diperhambakan betul untuk Alah hingga tidak pernah membesar dan memuliakan diri, walau bagaimana besar pun nikmat yang didapati. Dan hatinya tidak pernah cacat dengan Allah, walau bagaimana dahsyat pun ujian yang diberi. Hati ini adalah hati yang sungguh gagah dan kuat. Nikmat dan ujian tidak pun menggoyang dan melemahkannya. Dia cukup merdeka untuk Allah. Berani dan yakin serta tawakal dan harap pada Allah menyebabkan dia sangat mengutamakan kehendak dan hukum Allah. Hinggal sekiranya dia terpaksa mati untuk tugas itu, maka dirasanya kematian itu ialah pintu pertemuannya dengan Allah yang sangat dicinta dan dirinduinya. Dia sanggup mati mempertahankan prinsip Islam.
Kenapa kita tidak mencuba dapatkan hati yang begitu? Sedangkan Allah sudah berlaku terlalu baik dengan kita. Patut kita sudah rasa terlalu terhutang budi dan malu dengan Allah. Jadilah hendaknya kita umat yang merdeka jiwa. Merdeka dengan Allah. Takut hanya dengan Allah. Tidak lagi takut pemerintah, takut isteri, takut periuk nasi tidak berasap, takut miskin, takut masuk dapur, takut emak dan bapa mertua dan macam-macam lagi. Sebab semua itu tidak ada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kuasa dan kehendak Allah. Agar dengan itu selamatlah kita dari penyakit lemah jiwa.
=== sekian ===