Tag Archives: nafsu

YA ALLAH, TOLONG SELAMATKAN HATI KAMI

Hati bila baik, baiklah manusia
Hati bila jahat, jahatlah manusia (Mafhum Hadis)

Kalau begitu, berdasarkan hadis di atas, hati manusialah yang paling utama untuk diselamatkan.

​ Hati yang hasad dengki dengan orang yang ada kelebihan, selamatkanlah segera supaya berubah menjadi hati yang boleh terima kelebihan orang lain kerana hati yakin dengan keadilan Allah mengagihkan nikmat kepada hamba-hamba.

​ Selamatkan. Selamatkan segera hati-hati yang penuh hasad dengki itu. Ia cukup merbahaya kalau dibiarkan. Manusia dengki sanggup buat apa saja kepada orang yang didengkinya. Maksud Firman Allah swt :-

Katakanlah, “Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai Subuh (fajr), dari kejahatan makhluk yang Dia ciptakan dan dari kejahatan malam apabila ia gelap gelita. Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (talinya). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”

Allah swt lah mencipta kejahatan nafsu dalam diri kita. Tapi tujuan Allah bukannya supaya kita jahat. Allah mahu hamba-hamba kreatif membina diri yang baik yang juga diciptakan di dalam diri kita! Allah tidak bersalah kerana penciptaanNya itu. Manusialah yang salah kalau dia jahat. Sama seperti tidak bersalahnya manusia bila dia baik.

​ Hasad dengki tiba menyerbu ke dada hati bilamana melihat orang lebih. Seperti jugalah menyerbunya perasaan suka ke dada hati bila ada orang menolong kita di dalam kesusahan.

Sebab itu, orang-orang yang ada kelebihan boleh selamatkan dirinya daripada di hasad dengki oleh kedengkian dengan cara agihkan kelebihan kepada manusia-manusia yang tiada Allah berikan kelebihan. Bukan untuk dibanggakan tapi untuk diambil tanggungjawab menyelamatkan manusia.

Kalaulah orang yang diberi kelebihan oleh Allah itu sanggup menyayangi manusia-manusia yang lemah, tiada sebab untuk Allah biarkan dia dihasad dengki.

Kalaulah orang yang hasad sanggup terima kekurangan diri, sanggup mengalah, tiada sebablah Allah akan biarkan dia terus di dalam kekurangan.

Perhatikanlah hidup! Bukankah ia adalah peperiksaan demi peperiksaan? Seorang yang gagal akan diulang periksa banyak kali sampai dia lulus.

Hidup tidak boleh sendirian. Hidup kena berkongsi. Siapa yang gagal berkongsi hidup di dunia, dia akan sendirian menjerit di Neraka. Kongsikanlah hidup, nescaya terbinalah syurga.

Hati yang selamat ialah hati yang takut dengan Allah. Orang yang hatinya tidak takut dengan Allah, nescaya gagal untuk selamatkan hati daripada rusuhan nafsu.

Berikut ialah sebab-sebab hati wajib takut kepada Allah :

1. Allah ciptakan hati dengan tujuan agar manusia berhubung denganNya. Apakah hati tidak disalah gunakan?

2. Setiap saat Allah memandang ke hati. Allah sangat marah kalau hati dibiarkan kepada nafsu.

3. Setiap saat Allah melimpahkan rahmat dan rezeki, apa kata Allah kalau hati tidak berterima kasih kepadaNya?

4. Sudah macam-macam peringatan Allah buatkan agar manusia takut dan insaf, tapi kalau hati terus saja lalai, manusia tidak pedulikan Allah?

5. Allah mampu buat apa saja, sedangkan kita tidak memohon perlindungan dari Nya, tidak takut akan kemarahanNya, apa akan jadi?

6. Agar hati terkendali kepada Allah, bukannya kita mampu bikin sendiri. Kita perlukan doktor hati. Dia ialah Nabi kita Muhammad saw.

7. Bila kita sudah pandai rindukan Nabi dan banyak berselawat pada Nya, nanti Rasulullah saw akan proses hati. Hatipun selamat daripada nafsu dan Yahudi, maka hatipun tunduk dan takutlah kepada Allah.

Hakikat Hidup

 

bg-sunset

Banyak orang mencari kebahagiaan bukan dengan Tuhan tapi dengan makhluk.
Padahal lumrah berlaku kepada manusia tapi manusia tidak juga mengambil
iktibar dan pengajaran. Ada isteri cantik banyak kerenah pula. Banyak harta
ditimpa penyakit bermacam-macam jenis pula. Ilmu banyak kerana kesombongan
manusia benci pula. Pangkat tinggi banyak pula orang benci kerana sikapnya.
Akhirnya kebahagiaan yang diburu tidak juga kunjung-kunjung tiba. Setengah
orang semua keistimewaan dunia dimilikinya Allah datangkan seribu masalah
pada dirinya. Kebahagiaan berkecai di dalam nikmat yang serba ada dan mewah
pula. Oleh itu carilah Allah dia adalah sumber segala kebahagiaan.

———————————————————————————-
Banyak orang menganggap masa depan itu hanya setakat hidup dunia. Sedikit
sekali yang mengatakan masa depan itu ialah kehidupan di akhirat. Maka
ramailah manusia memikirkan dunia dan sedikit sekali yang memikirkan
akhirat.

———————————————————————————
Banyak orang menyebut nafsu tapi tidak banyak orang tahu bagaimana hendak
membaikkan nafsu. Bila nafsu tidak dapat dibaikkan kita telah membuat
highway di dalam tubuh kita untuk perjalanan syaitan. Bila perjalanan
syaitan ada di dalam tubuh kita ertinya setiap detik kita digoda oleh
syaitan tapi kita tidak sedar. Akhirnya kita jadi bola oleh syaitan, dia
boleh tendang kita ke mana-mana. Di masa yang sama ada kalanya kita maki
syaitan, syaitan ketawa.

SEKOLAH RASA HATI

IMG-20150826-WA004

SEKOLAH RASA HATI – MELAHIRKAN HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH
Semua orang tahu bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang praktikal atau ilmu yang bermunafaat atau berbuah yakni berhasil dalam kehidupan. Untuk apa ladang rambutan beratus ekar kalau ia tidak berbuah! Bersembahyang itu hasilnya ialah “Kemenangan Dunia Akhirat” dengan syarat setiap sekali bersembahyang bertambahnya rasa takut kepada Allah dan bertambah rindukan Nabi Muhammad SAW. Itulah khusyuk namanya yakni sembahyang dengan rasa hati.
Sembahyang yang sempurna lahir dan batin melahirkan masyarakat atau jemaah yang takut Allah dan rindu Nabi, inilah masyarakat bertaqwa. Mereka mampu praktikalkan Islam sebagai cara hidup. Inilah masyarakat aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.
Formula Sekolah Rasa Hati yang dikeluarkan oleh Allah dan Rasul:
Awal-awal agama ialah mengenal Allah. Maknanya sesiapa yang betul-betul mahu berjaya dunia Akhirat, menjadi Muslim yang hakiki, hendaklah ia bermula atau berawal dengan mengenal Allah.
Allah tidak boleh dikenal dengan akal. Akal cuma tahu tentang Allah tapi untuk kenal dan cinta mestilah menggunakan hati. Akal mampu bercerita tentang Allah manakala hati rasa bangga, kagum dan cinta serta takut pada Allah. Akal tahu Nabi tapi hati mampu merindui Nabi.
Maka sesiapa mahu beragama, syaratnya kenalah dia bersekolah tentang hati dan rasa-rasa hati. Tidak cukup kalau ia hanya bersekolah akal dan sekolah ilmu tentang Allah. Sekolah rasa hati telah dibangunkan di muka bumi ini oleh para mursyid. Mereka golongan sufi, tasawuf dan tariqat. Mereka juga mempunyai tauhid dan aqidah yang tinggi. Sebab itu mampu mencapai ilmu tentang hal-hal hati manusia.
Roh atau hati diaktifkan dengan rasa-rasa yang suci melalui sembahyang. Sembahyang itu agung. Pendidikan Rasulullah itu ialah anak-anak 7 tahun disuruh sembahyang. Rasululah tidak perintahkan belajar menulis dan membaca di umur itu. Manusia perlu di rohkan atau dapat rasa-rasa hati dahulu. Bukan akalkan dahulu. Keutamaan diberi pada roh. Akal diasuh membaca menulis untuk kegiatan roh iaitu sembahyang yakni akal itu dibentuk mengikut hala tuju roh ! Akal jangan berdiri sendiri supaya nafsu syaitan tidak dapat menguasai akal.

Dalam sembahyang, Rasulullah akan jadi jambatan dengan berkat guru mursyid ! Setiap orang Islam kena ada guru roh ! Tidak cukup setakat mempunyai guru akal walaupun ramai ! Mursyid seorang cukup ! Siapa yang roh nya tiada mursyid maka syaitan lah mursyidnya. Hati dipenuhi syaitan dan nafsu !

Daripada bacaan-bacaan sembahyang tahulah orang Islam hidup untuk Tuhan. Hidup bukan untuk diri. Sebab diri bukan kepunyaan sendiri. Diri kita ialah ciptaan Tuhan ! Hasil berhubung hati dengan Tuhan di dalam sembahyang maka hati merasai diri hanyalah barang ciptaan ! Diri bukan milik diri ! Diri di ciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah Tuhan di bumi. Hati pun rasa takut pada Pencipta bila mana hidup digunakan untuk selain Allah. Hati jatuh cinta pada Tuhan yang sayang gila pada sihamba ! Tuhan sanggup ciptakan alam sebagai bukti cinta pada manusia !. Namun sebesar zarrah pun kejahatan dicatatNya untuk disoal siasat di Padang Mahsyar ! Siapalah tidak takut gila pada Allah yang dahsyatnya begitu sekali ! Sebab itulah sekolah rasa hati mampu lahirkan pejuang-pejuang yang sanggup memperjuangkan Allah dan Rasul. ISO perjuangan yang harganya melebihi nilai dunia dan seisinya !

Hati ialah sumber rasa-rasa. Manakala akal ialah sumber fikiran. Antara Rasa dan fikiran sebenarnya rasalah yang lebih berkesan kepada pembentukan peribadi. Yakni, bila hati itu baik maka balah diri. Bila hati itu jahat maka jahatlah peribadi-peribadi itu ! Demikian maksud Sabda Nabi SAW tentang seketul daging yang terletak di dada-dada manusia. Dia ialah Hati !
Ertinya hati dengan Otak, hati lebih utama ! Maka kalau akal disekolahkan begitu tinggi lebih-lebih lagilah rasa hati itu perlukan pengajian yang lebih tinggi dan utama.

Hari ini umat Islam hanya mengalami proses latihan-latihan akal yang macam-macam bentuk dan jenisnya di pusat-pusat pengajian mereka sekalipun dalam bidang agama Islam ! Hasilnya jadilah umat Islam dapat menguasai ilmu-ilmu tinggi di berbagai-bagai bidang kehidupan duniawi mereka. Namun semua itu hanya lah 50% daripada apa yang sepatutnya mereka kuasai untuk menjadi seorang Islam yang baik ! Sebab dalam Islam, Hati juga kena disucikan. Dilatih untuk menyuburkan segala-gala rasa hati yang baik ! Juga untuk membenteras rasa-rasa hati yang jahat. Supaya seorang teknokerat Islam ialah seorang yang tidak sombong. Supaya seorang ulama’ Islam ialah seorang yang tidak berhasad dengki. Supaya seorang seniman Islam itu juga ialah seorang yang tidak bakhil. Supaya tokoh sains dan politik Islam itu juga ialah seorang yang sangat berkasih sayang ! Demikianlah seterusnya : agar umat Islam itu ialah orang-orang yang bernilai dunia dan juga bernilai akhirat.

Untuk mencapai kecemerlangan insaniah dan lahiriah yang begitu hebatnya oleh umat Islam, kenalah kita mempunyai sekolah-sekolah, institut-institut, kolej-kolej dan universiti-universiti yang melakukan proses latihan rasa hati atau roh atau jiwa !
Namun sebaiknya kedua-dua latihan akal dan roh digabungkan dalam satu sekolah dan Universiti ! Sebaiknya lagi bilamana siswa siswi di persiapkan untuk muncul sebagai pejuang yang full time. Yakni bukan untuk makan gaji dengan majikan ! Yakni Universiti yang melahirkan majikan-majikan. Yang berjuang untuk ugama, bangsa dan Negara tanpa meminta bayaran ! Sebab dirinya sendiri merupakan sumber rezeki kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan sekaya-kaya kuasa iaitu Tuhan.
Dasar pandang ke Mekah Madinah yakni kepada Allah dan Rasul dengan mengambil dari Quran dan Hadis itulah yang mampu mencipta sistem yang pendidikan yang ajaib ini. Sebab Allah dan Rasul akan bersetuju untuk menjadi Pemimpin dan Mahaguru serta ibu ayah kepada sistem ini. Allah dan Rasul kedua-duanya ialah kuasa ghaib lagi ajaib yang kemampuan mereka tiada terbatas !. Segala halangan dapat diatasi oleh keajaiban kerana kemampuan kuasa teknologi roh yang ghaib ini ialah mencipta keajaiban. Tentunya keajaiban dapat mengatasi segala kebuntuan akal.
Lihat pembangunan akal material semata-mata sekalipun cukup menakjubkan namun ia berakhir dengan kehancuran ! Sebab manusia-manusianya itu mempunyai hati yang tidak pernah disucikan di sekolah-sekolah tinggi ! Bila manusia dikuasai nafsu semata-mata maka mereka saling jatuh menjatuhkan ! Akhirnya perang dan hancur

Kata Rasulullah SAW : Belajarlah sekalipun sampai keliang lahad !Ertinya manusia-manusia itu sepatutnya menuntut ilmu sampai mati. Sebab manusia perlukan ilmu dari Allah dan Rasul itu, setiap hari, detik dan saat sehinggalah ke akhir hayat. Hatinya kena mampu berdepan dengan kematian penuh tabah ! Waktu itu akal sudah tidak mampu berfikir lagi. Tapi hati sangat perlu kekuatan untuk berdaya tahan untuk menghadapi liang lahad ! Supaya waktu nafas terakhir itu biarlah manusia mampu senyum dan berkata : Tuhan ku dan Nabi ku, selamat bertemu kembali.

MANUSA YANG PALING JAHAT ADALAH YANG IKUTI NAFSU

Nabi SAW bersabda : “Sejahat2 hamba ialah yang sangat mengikutkan hawa nafsu.”

Hadis ini menceritakan kepada kita orang yang paling jahat, hamba Allah yang paling jahat iaitu yang menurutkan hawa nafsu. Apakah betul begitu?

Nafsu sudah selalu disebut, dikuliahkan, tapi tak begitu nampak sangat jahatnya. Agama kita telah memberitahu bahwa musuh manusia yang sebenarnya bukan manusia. Kalau manusia dianggap musuh, manusia itu hanya dialatkan oleh nafsu. Musuh itu nafsu dan syaitan. Nafsu dan syaitan alatkan manusia, merosakkan manusia. Jadi musuh yang sebenarnya bukan manusia tapi nafsu. Nafsu dan syaitan yang alatkan manusia. Kalau tak ada nafsu dan syaitan manusia tak akan dapat dialatkan. Kerana adanya nafsu dan syaitan manusia ini dialatkan untuk merosakkan manusia.

Allah berfirman: “Apakah engkau tidak lihat orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan?”

Seorang hamba yang paling jahat ialah orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan bukan lagi Allah sebagai Tuhan. Jadi memang jahat. Oleh kerana bukan lagi mengambil Allah sebagai Tuhan tapi dia ganti dengan nafsu sebagai Tuhan maka jahatlah orang itu. Jadi betullah kata Rasulullah tadi sejahat2 manusia adalah manusia yang ikut nafsu. Rasulullah bercakap mentafsir ayat Qur’an tadi, baru nampak jahatnya. Kerana Rasulullah itu dia Rasul huraiannya pendek saja. Di antara mukjizat Rasul ada mukjizat maknawi, sikit saja huraian tapi masuk ke dalam hati sahabat. Kalau saya, orang tak faham terpaksa dihurai lagi.

Bila turun ayat yang menyatakan : “Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan”.

Jadi Rasul cerita pada sahabat :

“Sejahat2 hamba ialah yang sangat mengikutkan hawa nafsu.”

Dia adalah respon Rasulullah terhadap ayat. Sebab mukjizat maknawi maka para sahabat sudah rasa bersalah, sudah merasa syirik dengan Tuhan, mengambil nafsu sebagai Tuhan, sahabat tak lalu tidur, tak lalu makan, risau dengan kata-kata Rasulullah yang pendek itu. Mereka merasakan dia yang paling jahat. Jahat sebab gantikan nafsu sebagai Tuhan. Dia sudah rasa syirik dengan Tuhan.

Rasul ada mukjizat maknawi cakap sedikit saja orang tak tahan, hingga tak boleh tidur. Kita guru biasa jadi kena hurailah lebih sedikit. Kita bukan Rasul jadi hurailah panjang sedikit. Kerana itu saya akan huraikan sedikit panjang.

Rasul berkata: “Sejahat-jahat hamba ialah yang memperturutkan hawa nafsunya.”

1. Tuhan cakap kalau ikut nafsu sudah syirik. Nafsu telah menjadi Tuhannya

2. Nafsu adalah jalan syaitan, kalau ikut nafsu dia jadikan highway untuk syaitan supaya syaitan dapat laluan untuk rosakkan manusia, diri orang itu dan juga orang lain.

3. Orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan, ertinya nafsu telah menjadi agama.

4. Orang yang ikut hawa nafsu ertinya ia jadikan nafsu sebagai ideologinya.

5. Orang yang ikut nafsu, dia ikut jalan syeitan. Bila ikut nafsu ertinya ikut sunnah Syaitan.

5 perkara besar : Nafsu jadi Tuhan, buka highway syaitan, nafsu jadi agama, nafsu jadi ideologi, ikut sunnah syaitan.

Setelah kita faham logiklah orang yang ikut nafsu adalah sejahat-jahat manusia. Satu kesalahan besar, patutnya ikut sunnah Rasul tapi dia ikut sunnah syaitan. Dia sudah jadi sejahat-jahat manusia. Bagi kita yang sedang mujahadah ini, kalau ibarat jalan, jalan tak sampai highway tapi lorong. Walaupun lorong sesak-sesak, orang ikut juga. Itu bahaya juga. Jalan kampung, denai, lorong-lorong pun jangan buat untuk syaitan. Jangan bagi peluang pada syaitan. Betullah kata Rasul : sejahat-jahat manusia ialah orang yang ikut hawa nafsu sebab ada 5 perkara besar tadi.

Bila seseorang telah memegang 5 prinsip hidup di atas kerana ikut nafsu, maka akan ada berbagai side-effect:

1. keras hati, lupa Tuhan,

2. kalau kaya akan bakhil, tamak

3. kalau ada kuasa akan sombong, zalim dan menindas,

4. kalau miskin akan jadi orang yang tak redha, curi, rokok, kerana memperturutkan nafsu.

5. kalau pandai akan sombong walaupun orang alim, hafal Al Qur’an, hadis. Walaupun dia ulama besar di zamannya, ilmu dijadikan komersial sekalipun alim, hafal Al Quran Hadis, dia komersialkan kealimannya.

Dari side effect itu lahir pula yang lain, tentunya terkena bahana iaitu :

1. hilang ukhuwah, kasih sayang

2. tak ada rasa bersama

3. tak boleh kerjasama,

4. hilang arah tujuan

5. akhirnya tak boleh bersatu padu.

Jadi bila dibahas-bahas, betullah bila ikut nafsu jadi sejahat-jahat hamba. Bila ikut hawa nafsu akan lahirlah 5 prinsip hidup, lahir 5 side effect dalam diri, kemudian lahir 5 side effect dalam masyarkat.

Sekian

 

APA MAKSUD ALLAH MEMERINTAHKAN KITA BERPUASA SEBULAN PADA SETIAP TAHUN

Perkongsian kuliah tentang puasa di bulan Ramadhan sebagai ulang kaji untuk kita semua, muga-muga ada manfaatnya kepada yang sudi membacanya juga.

Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya;

“ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

Berpuasa rupanya dapat mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bilamana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia.

Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH. Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan, hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibubapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan.

Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan, overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula.

Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

B. Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?

Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan. Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya. Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.

C. Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia

Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan. Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.

Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di
Bulan Ramadhan iaitu:
Puasa yang dihayati
Sembahyang yang khusyuk
Baca Quran yang dijiwai

Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah
Tanpa mujahadah adalah mustahil seorang hamba sampai kepadaNya,
Kerana yang menjadi penghalang
Seseorang itu menuju Allah, ialah syaitan dan nafsunya,
Tapi nafsu adalah lebih menghalang
Dari syaitan laknatullah
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan
Biasanya selalu sahaja berlawan,
Disinilah perlunya bermujahadah
Bersungguh dan bermati-matian,
Bermujahadah adalah sangat menjemukan,
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan,
Tapi disinilah pahalanya
Yang besar dari Tuhan,
Bermujahadah ada kalanya Sangat susah dan payah,
Ada juga dengan rahmat Tuhan
Bermujahadah dipermudahkan,
Tapi para rasul dan para nabi
Dengan anugerah Tuhan dipelihara Tuhan,
Mereka diberi kelebihan
Tanpa mujahadah menuju Tuhan,
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan,
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya,
Mereka adalah orang pilihan Tuhan,
Kerana mereka hendak dijadikan
Contoh dan ikutan,
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan,
Untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan
Kita yang bukan rasul dan nabi ini,
Kenalah bermujahadah,
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan,
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah
Melawan nafsu dan syaitan,
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan mursyid,
Meminta tolong di dalam bermujahadah
Agar dimudahkan oleh Tuhan,
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu,
Nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan.

Call Now
Directions